Isnin, 10 Jun 2013

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Solat bermula dari rumah

Posted: 10 Jun 2013 01:02 AM PDT

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

ISRAK Mikraj merupakan satu peristiwa yang tercatat dalam lipatan sejarah umat Islam apabila terjadinya pengembaraan Nabi Muhammad SAW ke langit dalam satu malam sahaja untuk bertemu Allah SWT.
Sepanjang pengembaraan Israk Mikraj, baginda diperlihatkan dengan keseluruhan perjalanan kehidupan manusia melalui balasan yang Allah SWT berikan. Termasuk individu yang degil mematuhi syariat agama Islam.
Namun, perkara utama yang berlaku pada malam itu adalah turunnya perintah solat seperti mana yang kita tunaikan pada hari ini.
Walaupun pada mulanya Allah SWT memerintahkan bilangan solat berjumlah 50 waktu, namun Rasulullah SAW memohon agar jumlah itu dikurangkan kepada lima waktu sehari semalam.

Akhirnya permintaan baginda diterima Allah. Lalu dituntut umat Islam menunaikan lima waktu solat iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak.
Solat fardu yang bermula seawal pagi diikuti waktu petang sehinggalah sebelum pertengahan malam merupakan satu kewajipan harian yang wajib ditunaikan oleh umat Islam sebagai tanda kepatuhan dan perasaan syukur kepada Allah selaku tuhan sekalian alam.
Solat fardu berbeza daripada ibadah lain. Bukan sahaja daripada sudut rukun dan syarat, namun masing-masing mempunyai kaitan iaitu untuk tunduk kepada perintah Allah.
Oleh demikian, bagi mendapat kualiti solat, kita dituntut mendalami konsep ibadat itu.
Maka para ulama mewujudkan pelbagai cabang ilmu berkaitan ibadah contohnya seperti Fikah Solat.
Bahkan kewujudan program perkhemahan solat atau bengkel penghayatan sembahyang penting supaya umat Islam menjiwai ilmu agama selain mendapatkan ibadat solat yang sempurna dan diterima Allah SWT.
Menurut Jurulatih Akademi Daraini Management, Dr. Azhar Yaakub yang telah menjalankan program penghayatan solat sejak lima tahun lalu, hal demikian berlaku kerana masyarakat khususnya dalam kalangan ibu bapa yang kurang arif dalam ilmu fikah mahu ahli keluarga mereka menjiwai ilmu agama.
Jelas Azhar, mereka kemudian menyertai atau menghantar anak-anak ke program solat yang kebiasaannya dianjurkan pada musim cuti sekolah.
Sebaliknya menurut Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, timbul masalah apabila para ibu bapa menyerahkan bulat-bulat kepada pengajur program solat untuk mendidik anak mendalami solat.
"Sedangkan ketika di rumah mereka tidak pernah mengajak anak-anak menunaikan ibadah itu.
"Pendidikan ini sepatutnya bermula dari rumah. Golongan seperti kami hanya pembimbing dalam waktu singkat. Mungkin tiga hari atau seminggu kami boleh mendidik mereka tetapi pada akhirnya tugas itu terletak di bahu ibu bapa untuk selamanya.
"Maka berlakulah masyarakat malas menunaikan solat apabila anak-anak tidak dilatih dan terdidik oleh ibu bapa sejak dari awal untuk solat," kata beliau.
Menurut Azhar, masyarakat kini menyedari peri pentingnya pendidikan agama khususnya berkaitan solat. Tetapi sebenarnya semua itu perlu bermula dari rumah.
"Jika benih subur maka buahnya akan manis. Begitu juga dengan solat," katanya.
setiap Muslim tidak terkecuali daripada melaksanakan kewajipan mendirikan solat. - Gambar hiasan
Tunai solat
Nada sama turut dilontar oleh Pembimbing Motivasi Telaga Biru Training dan Consultancy, Yaser Mohd. Akhir yang menegaskan selama ini pelbagai pihak menyalahkan televisyen, alat permainan video, hiburan sebagai punca anak-anak tidak menunaikan solat.
Sebaliknya ujar beliau, hal berkenaan disebabkan oleh kurangnya penerapan dan penekanan oleh ibu bapa terhadap permasalahan itu.
Kata beliau, ibu bapa perlu tanam konsep 'pentingnya' solat dan 'mudahnya solat' dalam sanubari anak sejak daripada buaian lagi. Jika hal itu berterusan maka visi melahirkan masyarakat menunaikan solat bakal tercapai.
"Orang yang menjaga solat, insya-Allah akan terus menerus menjaganya. Manusia tidak akan senang hati jika perbuatan yang biasa dilakukan, tidak ditunaikan.
"Sebagai contoh, sejak dari kecil pada setiap pagi kita diajar menggosok gigi dan mandi. Hal ini sudah menjadi kebiasaan walaupun sejuk, kita tetap akan mandi dan gosok gigi. Kalau tidak mandi, kita rasa sesuatu tidak kena. Hal ini disebabkan mandi sudah sebati dengan darah daging kita. Begitu juga dengan solat," ujar Yaseer.
Mengapa kem solat?
Ketika ditanya kepada kedua-dua individu itu yang merupakan penganjur program solat, mengapa mereka memilih ibadat tersebut berbanding puasa, zakat dan sebagainya sedangkan selainnya merupakan Rukun Islam.
Selain itu turut ditimbulkan juga persoalan penganjuran perkhemahan solat tidak pula kepada program kecemerlangan sahsiah, akademik dan sebagainya.
Ketika menjawab soalan itu, Azhar terlebih dahulu menyatakan bahawa solat merupakan ibadat asas dalam agama Islam.
"Seseorang yang tidak menunaikan solat tidak akan menjadi manusia terbaik. Seseorang yang tidak baik akan menjadi manusia berguna selepas dia melakukan ibadah solat.
"Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah menerusi ayat 45 surah al-Ankabut yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar," kata Azhar.
Azhar mengambil pengalaman beliau yang pernah dijemput oleh sebuah syarikat korporat untuk memberi motivasi kepada kakitangan yang mengalami masalah integriti.
Akhirnya, perunding motivasi itu memperkenalkan satu program yang dinamakan terapi diri melalui kaedah asas solat.
"Program itu berjaya. Oleh demikian, saya merumuskan bahawa solat merupakan jalan penyelesaian masalah yang melibatkan penyakit dalaman," kata beliau.
Menurut beliau, solat merupakan ibadah asas yang memberi maksud jika hubungan manusia dengan Allah betul, maka hubungan sesama manusia akan positif.
"Konsep solat adalah menggambarkan Allah melihat hamba-Nya. Lalu ketika solat kita akan tekun dan khusyuk. Hal ini sama dengan manusia. Jika kita berniat untuk malas berkerja hanya disebabkan majikan bercuti atau tiada di pejabat tetapi sekiranya menggunakan konsep solat, nescaya manusia akan amanah dalam pekerjaan.
"Oleh sebab itu saya utamakan solat berbanding elemen-elemen lain. Solat itu ibadah asas. Jika sempurna solat, maka perjalanan hidup manusia itu baik," kata Azhar.
Perkara sama turut dijelaskan oleh Yaseer bahawa umat Islam yang berdisiplin lahir daripada ibadah solat.
Kurangnya akhlak manusia berpunca daripada individu yang tidak menjaga solat.
Tambah beliau, jika melihat kembali konsep solat, tidak satu pun dalam Islam satu ibadah yang memerlukan tumpuan 100 peratus dan tidak boleh bergerak selain gerakan yang ditetapkan sahaja melainkan ibadah itu.
Bahkan jelas beliau, perlu diingat bahawa malaikat Jibrail menjadi perantara di antara Allah dan Rasulullah dalam menyampaikan sebarang ilmu dan ibadah serta hukum-hakam, kecuali solat.
"Solat diwajibkan apabila Rasulullah bertemu dengan Allah dalam peristiwa Israk Mikraj dan bukannya melalui Jibril.
"Maka ditekankan solat perlu diberi perhatian kepada setiap manusia bahawa solat juga merupakan perkara pertama yang akan disoal di mahsyar nanti," tegas beliau.

Tiada ulasan: