Sabtu, 8 Jun 2013

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


62, 286 Undi hilang, penjelasan SPR diperlukan..

Posted: 07 Jun 2013 09:30 PM PDT


Seorang pengundi menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menjelaskan kehilangan 62, 286 undi atau ia tidak dikembalikan dalam data yang dipamirkan.

Tuntutan itu dibuat oleh Mohd Azlan Bin Mohd Sharif, seorang pengundi di P146 Muar melalui suratnya kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam, 7 Jun.

"Saya membuat analisis terperinci dan menemui terdapat 62,286 undi hilang atau tidak dikembalikan. Hal ini menyebabkan saya serius untuk bertanya kepada pihak SPR selepas mendapatkan warta PRU13 nanti," kata Azlan dalam suratnya.

Menurut Azlan, beliau dapat membeli warta PRU13 di Kedai buku Pencetakan Nasional Malaysia Berhad, Jalan Satu, Chan Sow Lin pada 27 Mei 2013 (walaupun diwartakan pada 22 Mei 2013) dan Corrigendum PRU13 pula beliau beli pada 5 Jun 2013 (diwartakan 31 Mei 2013).

"Saya sangat terkejut dalam analisa saya pada 27 hingga 30 Mei 2013 mendapati 53,045 undi hilang(berdasarkan warta PRU13 pada 22 Mei 2013), salah kira undi, maklumat yang berubah, perbezaan kertas undi yang dikeluarkan di Parlimen dan DUN dan kerusi parlimen dan dun berbeza maklumat sebelum dan selepas diwartakan.

"Saya mengetahui warta corrigendum pada 31 Mei 2013 apabila mencari maklumat di website pejabat peguam negara iaitu http://www.federalgazette.agc.gov.my/," katanya.

"Sehubungan itu, saya ingin mendapatkan penjelasan pihak Yang Berbahagia Tan Sri berkenaan KEBANYAKAN MAKLUMAT DALAM WARTA KEPUTUSAN PRU13 (22 MEI 2013) DAN CORRIGENDUM KEPUTUSAN PRU13 (31 MEI 2013) BERBEZA DENGAN PENGUMUMAN OLEH PEGAWAI PENGURUS (mengikut BORANG 16-Borang Keputusan Pertandingan) pada 5 Mei 2013," kata Azlan dalam suratnya.

Salinan surat Azlan itu diperolehi Harakahdaily hari ini.

Kes Dharmenderan : Polis buru Polis..

Posted: 07 Jun 2013 07:44 PM PDT


Polis sedang memburu seorang pegawai polis yang menghilangkan diri selepas disyaki terlibat dalam kes N. Dharmenderan yang ditemui mati dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, 21 Mei lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata usaha mengesan suspek sedang dipergiatkan selepas tiga anggota polis yang terlibat dalam kes tersebut didakwa di Mahkamah Majistret pada Rabu lepas.

"Kita akan kesan suspek, kerana suspek tersebut telah menjadi buruan polis dan diletakkan dalam senarai orang yang dikehendaki. InsyaAllah tidak lama lagi kita dapat (tahan) suspek," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di antara Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin yang sebelum ini menyandang jawatan tersebut kepada Datuk Hadi Ho Abdullah yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Pengarah (Risikan/operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Sebelum ini, tiga anggota polis masing-masing seorang berpangkat sarjan dan dua koperal dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh Dharmenderan, 32, di lokap tersebut.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu Khalid turut mengulas mengenai cadangan penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) polis dalam mengendalikan tahanan yang ditempatkan di lokap ekoran terdapat tiga insiden tahanan yang mati dalam tahanan polis baru-baru ini.

Khalid berkata cadangan penambahbaikan tersebut sedang dikaji pihak polis kerana ia melibatkan beberapa faktor yang perlu diteliti dengan sebaik-baiknya sebelum ia dilaksanakan.

"Kita sedang menyediakan satu pelan yang komprehensif, kita perlukan masa untuk siapkan SOP berkenaan kerana kita perlu kaji dengan sedalam-dalamnya sebelum dilakukan. InsyaAllah sebelum akhir Jun ini kita akan melaksanakannya (SOP baharu)," katanya.

Sebelum ini terdapat tiga kes membabitkan tahanan polis mati di lokap termasuk yang terbaru pada 1 Jun lepas apabila seorang lelaki berusia 42 tahun ditemui mati di lokap Balai Polis Tampin, Negeri Sembilan. – Bernama

PANAS!! Delegasi Mongolia mahu jawapan siapa bertanggungjawab atas kematian Altantuya.. (Video Inside)

Posted: 07 Jun 2013 09:43 AM PDT


Delegasi Mongolia di Sidang Kemuncak Global Wanita di Kuala Lumpur menggesa kerajaan Malaysia memberi jawapan atas kematian misteri wanita warganegara itu, Altantuya Shaariibuu di Malaysia.

Bercakap kepada media di luar persidangan itu, Presiden Persekutuan Wanita Mongolia (MWF), J Erdenechimeg berkata, perbicaraan baru harus bermula untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab atas kematian Altantuya.


"Kami membuat permintaan khusus kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia untuk bertindak atas ini dan supaya perbicaraan segera diadakan," tegasnya.

Diapit oleh kira-kira 70 anggota delegasi, beliau berkata ia demi untuk dua anak lelaki Altantuya yang kini membesar tanpa ibu mereka.

"Kami juga berharap diberi bantuan kewangan kepada kedua-dua anak-anak tersebut," katanya.

Menurut pengarah eksekutif MWF, Ariunna Shagdarsuren, MWF telah memutuskan untuk membawa mesej itu bagi pihak keluarga si mati selepas bertemu dengan bapa Altantuya.

"Bapanya telah meminta kami supaya membangkitkan perkara ini kerana beliau perlu memberitahu cucunya mengapa ibu mereka mati di Malaysia," katanya.

"Sudah bertahun-tahun berlalu, berapa lama lagi mereka perlu menunggu?" ~ Malaysiakini 

Lelaki yang terbunuh dalam runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua adalah bekas Polis..

Posted: 07 Jun 2013 09:14 AM PDT


Mayat lelaki yang terperangkap dalam timbunan runtuhan tanjakan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dalam pembinaan di Batu Maung, di sini, berjaya dikeluarkan pada pukul 8.45 malam Jumaat.

Mayat dikeluarkan anggota pasukan keselamatan dan terus dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mangsa dikenali sebagai Tajuddin Zainal Abidin, 45 dan tinggal di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas.

Beliau berkata mayat itu dicam oleh isteri dan abang mangsa di tempat kejadian setelah Tajuddin yang menaiki kereta jenis Kelisa tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.

Mayatnya ditemui dalam keadaan tunduk di tempat duduk pemandu dan keretanya remuk akibat dihempap tanjakan konkrit itu.

"Pada sebelah petang tadi, abang mangsa ada datang ke lokasi dan membuat pengecaman berdasarkan pakaian yang dipakainya itu adalah adiknya dan selepas mayat dikeluarkan, isteri mangsa sekali membuat pengecaman dan mengaku lelaki yang memakai pakaian itu adalah suaminya," katanya pada sidang media di sini.

Abdul Rahim berkata bagaimanapun pengecaman bagi mengenal pasti identiti mangsa akan dibuat di bilik mayat HPP dan bedah siasat dijalankan pada pukul 10.30 malam ini.

Katanya operasi mencari dan menyelamat diteruskan berikutan beberapa maklumat yang di perolehi memaklumkan ada mangsa lain terlibat dalam kejadian runtuhan berkenaan.

"Kita tidak pasti sama ada maklumat (ada beberapa mangsa lain terlibat)yang dapat itu tepat atau tidak tetapi operasi akan diteruskan. Setakat ini hanya satu laporan polis yang kita terima kehilangan anggota keluarga iaitu dari keluarga mangsa (Tajuddin)," katanya ~ mStar

Laporan dari The Star pada pukul 11.00 malam tadi mengatakan lelaki yang terbunuh itu adalah bekas Polis, Tajudin Zainal Abidin, 45 tahun..

The Star Online

Gambar mangsa telah tersebar di internet.. bagaimanapun sebagai menghormati jenazah dan juga kaum keluarganya aku tak akan siarkan diblog ini.. korang carilah..

Al-fatihah buat Allahyarham... semoga rohnya ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman...

Tiada ulasan: