Selasa, 4 Jun 2013

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Laporan Polis: Calon BN rampas kertas undi pos dan rasuah RM100 petugas SPR..

Posted: 04 Jun 2013 09:08 AM PDT

Pendedahan ini dibuat oleh Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR, dengan cara mendedahkan satu salinan laporan polis yang dibuat mengenainya.

Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jerteh ini merekodkan pengakuan seorang petugas SPR (namanya dirahsiakan) yang mengaku bahawa:

1. Pada 29 April 2013, beliau bersama-sama 24 orang petugas SPR yang lain telah dipanggil masuk ke sebuah bilik mesyuarat oleh calon BN dan pintu bilik mesyuarat dikunci;

2. Beliau dan petugas SPR yang lain diarahkan menyerahkan kertas undi pos yang kosong kepada calon BN dan dibayar wang RM100 setiap seorang;

3. Keesokan harinya beliau berasa tidak senang dan telah pergi bertemu semula dengan wakil-wakil BN di bilik gerakan BN bersama-sama empat orang petugas SPR yang lain;

4. Setelah mendapat kembali kertas undi pos, mereka mendapati bahawa kertas undi pos mereka telah dipangkah;

5. Beliau juga menjadi saksi bahawa kertas undi pos sebanyak 20 lagi yang tidak dikembalikan telah dimasukkan ke dalam peti undi; dan

6. Selepas membuang kertas undi pos, jari beliau tidak dicalitkan dengan dakwat kekal seperti yang sepatutnya mengikut peraturan pilihanraya.


Bagi Rafizi dengan jumlah undi pos dan undi awal yang mencecah 500,000 di seluruh negara, ia cukup penting untuk mempengaruhi keputusan pilihanraya di seluruh negara.

"Saya telah bertegas bahawa keseluruhan proses yang melibatkan pengendalian undi pos – dari senarai pemilih pengundi pos, pengedaran undi-undi pos, membuang undi pos, seliaan semasa membuang undi pos dan peti undi pos – mempunyai pelbagai kelemahan yang mengundang penipuan dan penyelewengan,"katanya.

Selama ini pun, katanya, pelbagai pengakuan telah dilontarkan oleh bekas-bekas anggota tentera yang mengaku mereka memangkah kertas undi pos bagi pihak anggota tentera yang lain.

"Bukti-bukti ini sudah cukup menunjukkan bahawa berlaku terlalu banyak kepincangan melibatkan pengendalian undi pos dan undi awal sehingga membolehkan calon BN merampas dan membeli kertas undi, sementara dakwat kekal tidak pun digunakan seperti sepatutnya.

"Saya yakin kepincangan dan penyelewengan yang sama berlaku di tempat-tempat lain yang mempunyai pengaruh yang besar ke atas keputusan undi di kawasan parlimen tertentu," katanya.

Pendedahan mengenai UMNO oleh Mahathir yang macai wajib baca..

Posted: 04 Jun 2013 02:50 AM PDT


Dulu.. Perjuangan pemimpin dan ahli pengasas UMNO ialah untuk bangsa, agama dan tanahair, tidak ada tujuan lain yang menggerakkan mereka, tidak ada kepentingan diri atau niat untuk jadi pembesar negara dengan upah yang lumayan.

Sekarang.. UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair, UMNO berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja, UMNO berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri.

Itu apa yang telah ditulis oleh Tun Mahathir mengenai UMNO dahulu dan sekarang, ianya jelas menunjukkan bahawa apa yang diperjuangkan oleh pemimpin UMNO sekarang hanyalah Kuasa dan Kekayaan diri mereka sendiri.. Bukannya untuk bangsa Melayu biarpun mereka sering melaungkan 'HIDUP MELAYU!!"..

Baca apa yang Tun Mahathir tulis ni..

1. Pada 11hb. Mei 2013, UMNO merayakan hari penubuhannya yang ke 63 dengan sembahyang dan tahlil, ucapan bersemangat dari Presiden Najib Tun Razak dan majlis makan malam. Tetapi UMNO pada 2013 ini bukanlah sama dengan UMNO 1946.

2. Pada 1946, pengasas UMNO yang berkumpul di Johor Baru bersemangat untuk menyelamatkan bangsa Melayu dari kehilangan bangsa mereka, dari kehilangan tanahair mereka, dari menjadi rakyat sebuah tanah jajahan British dan hilangnya Melayu di dunia.

3. Perjuangan pemimpin dan ahli pengasas UMNO pada masa itu ialah untuk bangsa, agama dan tanahair. Tidak ada tujuan lain yang menggerakkan mereka, sudah tentu tidak ada kepentingan diri atau niat untuk jadi pembesar negara merdeka dengan upah yang lumayan.

4. Oleh kerana itu mereka dihormati, dialu-alukan dan disokong oleh hampir semua orang Melayu. Mereka adalah pejuang dan jaguh dan orang Melayu datang berduyun-duyun untuk menyertai parti UMNO yang ditubuh oleh mereka.

5. Maka bersatulah Melayu, tanpa mengambilkira pangkat dan darjat, tanpa mempedulikan berpelajaran Melayu, Inggeris atau agama. Mereka semua Melayu samada dari negeri-negeri yang berlainan, dengan raja yang berlainan, atau apa-apa lain yang membezakan mereka.

6. Dan berbaris padat dan rapatlah mereka untuk perjuangan yang suci, perjuangan untuk menyelamatkan bangsa mereka, agama mereka dan negara mereka. Mereka tidak takut, tidak gentar dalam menghadapi kuasa besar British.

7. Dan berjayalah mereka dengan menewaskan Malayan Union, usul satu penjajah terkemuka, satu dari pemenang perang besar dunia. Dan terdirilah negara bangsa Melayu yang merdeka yang dikenali secara rasminya Persekutuan Tanah Melayu. Nama Federation of Malaya ialah terjemahan kepada Bahasa Inggeris dan dianggap oleh orang Melayu sebagai bukan nama rasmi.

8. Itulah UMNO enampuluh lebih tahun dahulu. Mereka disanjung, didukung oleh semua yang berbangsa Melayu di negeri-negeri Melayu dan di mana-mana ada orang Melayu.

9. Tetapi tidak pada hari ini. Sekarang UMNO tidak lagi dipandang tinggi dan tidak lagi disokong seperti dahulu. Sesungguhnya ramai orang Melayu meluat dengan UMNO, anggapnya tidak lagi relevan dan perlu ditolak pun.

10. Kenapa?. Kerana UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair. UMNO ternampak dan memang pun benar, berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja. UMNO berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri.

11. Untuk ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar, kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. UMNO adalah hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang Melayu. Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain, terutama yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai UMNO. UMNO adalah untuk pemimpin dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua bahagian. UMNO tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa lagi kerana ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika terlalu banyak ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi tentulah tidak sebanyak sebelum berkongsi.

12. Apa itu perjuangan untuk bangsa, agama dan tanahair! Bukankah yang sudah ada dalam UMNO, sebagai pemimpin atau ahli biasa terdiri dari bangsa Melayu, yang beragama Islam. Perjuangan untuk diri mereka bermakna perjuangan untuk bangsa mereka, bangsa Melayu, agama mereka, agama Islam. Oleh itu perjuangan untuk bangsa, agama dan negara sedang diteruskan, tanpa penyertaan Melayu lain.

13. Kesannya ialah hari ini ahli tidak bertambah selaras dengan pertumbuhan jumlah orang Melayu. Dan mereka terutama yang berkebolehan, yang berbakat tidak dibenar masuk UMNO lagi.

14. Yang boleh menyertai hanyalah yang kurang berkebolehan disbanding dengan yang sudah ada. Oleh kerana penyertaan dalam UMNO mestilah melalui cawangan, yang boleh masuk UMNO ialah yang kurang berkebolehan dari ketua cawangan.

15. Ketua cawangan manusia biasa yang boleh diserang penyakit, bahkan boleh mati pun. Satu hari ketua cawangan terpaksa lepaskan jawatannya. Penggantinya tentulah orang yang memiliki kebolehan yang kurang darinya. Dengan itu kebolehan ketua cawangan akan merosot sepanjang masa, tiap kali pengganti mengambil alih.

16. Dan ini akan terjadi dalam keseluruhan parti. Semakin lama semakin kurang pemimpin UMNO yang berbakat. Semakin lama semakin kurang ahli yang berbakat dan layak untuk menjadi calon dalam PRU. Calon payung terjun yang berbakat akan dikalahkan. Dengan itu pemimpin Kerajaan juga akan terdiri dari yang tidak berkebolehan.

17. Di mana pergi mereka yang berbakat ini?. Mereka pergi ke mana mereka di terima, tentunya parti lawan.

18. Melihat UMNO hanya berjuang untuk diri sendiri semata-mata, dan tidak lagi untuk bangsa, agama dan tanahair, orang Melayu tidak lagi nampak kenapa mereka harus sokong dan jayakan semasa PRU orang yang utamakan kepentingan diri sendiri sahaja. Jika ada sahaja parti lain, mereka akan sokong parti itu. Hanya jika parti lain lebih buruk baharulah sokongan kepada UMNO diteruskan. Inilah yang berlaku pada PRU 13.

19. Mungkin kita boleh tepuk belakang kerana UMNO masih menjadi parti yang menang terbanyak dalan PRU 13. Tetapi ini bukan kerana orang Melayu masih sokong UMNO. Sebenarnya kemenangan UMNO dalam PRU 13 disebabkan mereka tidak ada pilihan. Mereka amat takut kalau-kalau Anwar Ibrahim menang bersama dengan DAP. Akan hancurlah harapan orang Melayu sama sekali. Seburuk-buruknya UMNO, ia masih berbau Melayu, masih lebih mungkin memelihara kepentingan orang Melayu. Justeru itu tidak ada pilihan bagi orang Melayu jika tidak sokong UMNO. Namun demikian dalam PRU 14 UMNO tidak boleh harap keadaan ini berterusan. Jika UMNO tidak bersihkan dirinya dari rasuah dan kepentingan diri, orang Melayu mungkin mencari jaguh yang lain.

20. Demikianlah riwayat dan sejarah sebuah parti politik yang lupakan usul-asal dan sebabnya ia ditubuh. Demikianlah berakhirnya perjuangan yang lari jauh dari matlamat asalnya. Dahulu lain, sekarang lain. Sejarah dan kecapaian dahulu tidak akan meraih sokongan selama-lamanya. Dahulu dahulu, sekarang sekarang. Hanya berharap kepada kata-kata hikmat Hang Tuah, "Tak akan Melayu hilang di dunia" tidak mencukupi. Mungkin Melayu tidak akan hilang di dunia, tetapi apakah jenis Melayu yang tidak hilang ini. Apakah mereka terdiri dari pencuci kasut, pemandu kereta, kuli yang terbongkok-bongkok menyembah bangsa lain yang menjadi Tuan mereka. Dan apakah nasib UMNO? Ia akan jadi cerita dongeng dalam buku kanak-kanak dizaman akan datang.

21. Inilah masa depan yang menunggu UMNO. Inilah masa depan sebuah parti yang cemerlang tetapi sudah hilang kegemilangannya. Inilah masa depan bagi yang tidak mahu sedar dan tidak mahu membetulkan diri.

22. Kata seorang penulis sajak di zaman dulu, "tidak ada yang lebih menyayat hati dari melihat bangsa ku dihina dan ditindas oleh orang".

~ Chedet

Macai-macai UMNO yang ambil upah untuk baling batu dan berbagai-bagai lagi kerja tak bertamaddun tu sewajarnya menggunakan otak mereka untuk berfikir sebaik-baiknya apa yang didedahkan oleh Tun Mahathir ni..

Fikirkan adakah wajar pemimpin-pemimpin UMNO yang berselindung disebalik 'HIDUP MELAYU!!' itu terus disokong atau disingkirkan dari tampuk kuasa..

Itupun kalau ada otak untuk berfikir leee....

NGO mesra UMNO mahu Kerajaan sekat Facebook

Posted: 03 Jun 2013 11:57 PM PDT

Ini dah jadi macam kes marahkan nyamuk kelambu dibakar.. sepatutnya yang ditangani ialah 'nyamuk' bukannya kelambu..

Berapa ramai yang menggunakan FaceBook untuk hina Yang Dipertuan Agung? Ramai pelajar di IPTA dan juga IPTS menggunakannya untuk berkongsi maklumat akademik sesama mereka.

SHAH ALAM – Malaysia boleh mengikut langkah Iran dan China yang menyekat akses ke laman web sosial sekiranya langkah itu mampu membendung sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh menggugat keamanan negara.

Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin berkata, tindakan itu perlu difikirkan kerana ada pengguna yang menggunakan laman sosial itu untuk menyebarkan fitnah, menghina agama dan kaum serta mencaci-maki pemimpin negara.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu membangunkan membangunkan mekanisme bagi menyekat bahan-bahan yang boleh menimbulkan kemarahan atau menghina di laman sosial itu dan juga blog.

"Memang tidak wajar menyekat penggunaan internet tetapi Facebook perlu disekat sebelum parah kerana ramai yang telah menyalahgunakan fungsi laman sosial itu dengan melakukan perkara-perkara yang di luar faedah," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Sekumpulan pengguna Facebook bertindak biadab terhadap ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial itu.

Mereka dipercayai menulis kata-kata itu di laman sosial berkenaan sewaktu Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah ucapan sempena ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pada masa yang sama kata Hamidzun, beliau berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak tegas dengan menghukum mereka di bawah Akta Hasutan agar ancaman sebegitu tidak berleluasa dan menghancurkan keamanan dikecapi negara kini.

"Kalau boleh perketatkan lagi undang-undang siber yang sedia ada supaya tidak sewenang-wenangnya mereka melakukan jenayah di laman sosial. Tindakan tegas perlu dikenakan supaya mereka bersalah dapat dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Pengerusi Majlis Belia Selangor (MBS) Petaling, Badrul Hisham Badrudin turut menyokong sekiranya kerajaan bertindak awal menyekat penggunaan Facebook yang kini telah disalahguna untuk tujuan negatif seperti mana laman web lucah.

"Laman sosial sepatutnya diguanakan secara berhemah, bukan tempat untuk mencaci, menghasut dan menipu. Facebook ini jika tidak disekat akan membawa lebih banyak mudarat. Saya rasa tidak ada ibu bapa atau cendekiawan yang membantah sekiranya kerajaan menyekat laman sosial ini," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya turut berharap KDN di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak bertolak-ansur dengan golongan yang dianggap 'pelampau' yang sanggup menghina pemimpin negara dalam laman sosial.

"Bila bagi amaran mereka umpama tak peduli maka sudah tiba masanya KDN kenakan tindakan keras supaya semua pihak dapat menghormati Perlembagaan.

Tindakan tegas perlu diambil supaya keamanan negara dapat terpelihara daripada ancaman anasir-anasir seperti ini," katanya ~ Sinar Harian

Rasanya yang bersungguh-sungguh nak tutup Facebook ini ialah sebab untuk menyelamatan masa depan UMNO dan Barisan Nasional daripada ranap ditelan arus media massa alternatif... setelah cyber trooper upahan mereka gagal dalam tugas mereka..

Yang peliknya perkara negatif yang dilaksanakan dalam sistem negara China, Myanmar, Iran mahu dijadikan contoh untuk diikuti tetapi nilai-nilai demokrasi yg baik dalam sistem UK, US, tak mahu pula diikut..

Inilah Barisan Nasional, apa saja perkara yang tidak memihak kepada mereka hendak disekatnya dengan alasan memberi ancaman kepada negara..

UMNO muncul parti terkuat?.. Mahathir sahkan Najib syok sendiri..

Posted: 03 Jun 2013 08:54 PM PDT


31 Mei lalu Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, UMNO muncul parti terkuat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu apabila jumlah kerusi yang dimenangi hampir menyamai dengan jumlah dimenangi oleh pakatan pembangkang.

Menurutnya, jumlah kerusi yang dimenangi oleh UMNO sebagai parti tunggal adalah sebanyak 88 kerusi manakala jumlah kerusi yang dimenangi oleh tiga parti pembangkang hanya lebih satu kerusi iaitu 89 kerusi.

Selain itu katanya, berlaku peningkatan dari segi jumlah kerusi yang dimenangi oleh UMNO pada pilihan raya kali ini berbanding PRU-12, iaitu daripada 79 kerusi kepada 88 kerusi.

Bagaimanapun Tun Mahathir yang berada di Yogyakarta kerana memberi syarahan umum mengenai "Keamanan Global dan Penyelesaian Konflik" sempena perasmian Mahathir Global Peace School di Universiti Muhammadiyah Yogyakarta (UMY) menafikan dakwaan Najib itu..

Katanya..

"Kemenangan UMNO kali ini bukan kerana kekuatan UMNO ataupun perpaduan dalam UMNO, kemenangan UMNO kali ini disebabkan oleh perasaan takut orang Melayu, terutamanya kalau-kalau parti lawan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim bersama dengan DAP mendirikan kerajaan di Malaysia.

"Kalau mereka mendirikan kerajaan di Malaysia, sudah tentu nasib orang Melayu akan menjadi lebih buruk. Sebab itu mereka memberi sokongan kepada UMNO," kata Dr Mahathir.
Perkara ini telah dilaporkan oleh Bernama di SINI

Penafian itu secara tidak langsung menjadikan Najib 'Syok Sendiri'... Manakala ayat Mahathir yang mengatakan bahawa "Kalau mereka (Pakatan Rakyat) mendirikan kerajaan di Malaysia, sudah tentu nasib orang Melayu akan menjadi lebih buruk." adalah tidak rasional sama sekali..

Ini kerana dibeberapa buah negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat nasib Melayu telah terbukti tidak menjadi lebih buruk tetapi nasib kroni-kroni UMNO yang selama ini bergantung harap melalui tender-tender projek tanpa tender terbuka tetapi kabel sememangnya menjadi lebih buruk..

Itu nasib kroni-kroni UMNO yang tak boleh berdiri dengan kaki sendiri tetapi ianya berbeza dengan kroni UMNO yang mampu bersaing dan berdiri dengan kaki sendiri..

Ianya juga membuktikan Melayu tidak takut untuk menukar kerajaan tetapi yang takut dalam hal ini ialah Melayu yang menjadi Kroni UMNO!!

Pembunuh Altantuya kembali bersuara..

Posted: 03 Jun 2013 05:00 PM PDT


Bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis Sirul Azhar Umar, yang disabitkan kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan bagi memohon pembebasannya, mendakwa wujud perbicaraan silap oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Notis usul itu difailkan firma guaman The Chambers of Kamarul Hisham and Hasnal Rezua di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya dalam usaha untuk memasukkan alasan rayuan tambahan.

Dalam permohonan itu, bekas Koperal Sirul Azhar mendakwa beliau terdedah kepada "publisiti buruk" secara meluas semasa perbicaraan itu yang jelas mengelirukan dan prejudis terhadap dirinya, dengan itu menafikan dirinya perbicaraan adil.

Beliau memohon Mahkamah Rayuan mengisytiharkan perbicaraan itu sebagai perbicaraan silap, sabitannya diketepikan dan beliau dibebaskan.

Sirul Azhar, 39, mendakwa publisiti buruk yang diterimanya telah mewujudkan kebarangkalian bahawa hakim mahkamah tinggi bersikap berat sebelah, menyebabkan sabitannya boleh dipertikaikan.

Sirul Azhar mendakwa beliau terdedah kepada publisiti buruk menerusi tiga akuan bersumpah, dua dibuat oleh penyiasat persendirian mendiang P Balasubramaniam dan satu lagi oleh Raja Petra Kamarudin.

Beliau berkata akuan bersumpah yang pertama oleh Balasubramaniam, dibuat selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pada 23 Jun, 2008, mengandungi perkara-perkara yang prejudis terhadap dirinya kerana perkara itu tidak didedahkan dalam keterangannya (Balasubramaniam) pada perbicaraan.

Katanya Balasubramaniam telah, pada 4 Julai 2008, membuat satu lagi akuan bersumpah menyatakan beliau menarik balik akuan bersumpah yang pertama.

Sirul Azhar berkata akuan bersumpah itu telah dimuat naik di pelbagai laman web dan telah menjadi punca pelbagai spekulasi, perdebatan dan ulasan daripada orang awam, pengamal undang-undang dan pemimpin yang telah ditafsirkan sebagai mempersoalkan kesahihan dan ketulenan akuan bersumpah itu.

Katanya persoalan penting yang bermain di fikiran para pembaca yang mendapat akses kepada bahan itu mungkin ialah, "Apa yang mendorong perayu-perayu untuk membunuh mangsa" dan "Siapa yang memberi arahan supaya pembunuhan dilakukan oleh perayu-perayu".


Sirul Azhar berkata Raja Petra telah, pada 21 Jun, 2008, memuat naik akuan bersumpahnya di laman web Internet menyatakan tiga individu lain turut hadir semasa mangsa dibunuh, yang boleh ditafsirkan untuk membawa maksud bahawa beliau (Sirul Azhar) adalah pembunuhnya.

Beliau mendakwa Raja Petra juga telah memuat naik satu salinan kenyataan beramaran dipercayai olehnya (Sirul Azhar) menyatakan beliau (Sirul Azhar) telah mengaku membunuh wanita Mongolia itu.

Sirul Azhar dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 bagi kesalahan membunuh Altantuya, ketika itu berusia 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam, Selangor antara 10 malam pada 19 Oktober 2006 dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman mati dijadual didengar Mahkamah Rayuan pada 10 Jun.

Peguam yang mewakili Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamarudin berkata salinan notis usul itu akan diserahkan kepada pihak pendakwaan. -Bernama


Tiada ulasan: