Sabtu, 4 Mei 2013

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Bersinarkah Malaysia baru pagi 6 Mei nanti? (4/5/13)

Posted: 04 May 2013 04:03 AM PDT


Akhbar The Star hari ini terbit dengan "pullout" khas 16 mukasurat yang memberi tumpuan kepada PRU 13.
Terdapat 7 analisa yang diberikan oleh penulis kanan dan penulis jemputan akhbar berkenaan yang menarik perhatian saya dan yang telah saya baca dengan penuh teliti untuk melihat apakah gambaran yang dapat kita cungkil darinya.

7 analisa berkenaan masing-masing disediakan oleh:
1) Wong Chun Wai – Ketua Pengarang Kumpulan The Star 2) Wong Sai Wan – Pengarang Eksekutif The Star 3) Johnson Chong 4) Michael Yeoh CEO ASLI 5) Dr Denison Jayasuria UKM 6) K. Baradan dan 7) Razak Ahmad.

Rata-rata dua penemuan yang dikira dikongsi oleh kesemua mereka adalah:
PERTAMA: pengundi Cina "solid" di belakang Pakatan Rakyat

Kata CW Wong – ramai (masyarakat Cina ) yang yakin bahawa 5 Mei nanti perubahan akan berlaku dan mereka mahu menjadi sebahagian dari sejarah itu kerana pimpinan Pakatan akan berkuasa. Menurut MICHAEL YEOH – kemungkinan sehingga 80% (masyarakat Cina) akan mengundi DAP dan calon-calon Pakatan. K.BARADAN pula berpandangan – masyarakat Cina yang memiliki majoriti di 40 kerusi Parlimen bersungguh akan mengundi DAP selain PKR dan PAS.
KEDUA: pengundi Melayu dijangka menjadi penentu

Dan bagi pengundi Melayu pula mereka menjangkakan kecuali mereka yang berada di kawasan Bandar, masyarakat Melayu di luar bandar dijangka kekal bersama BN.
Cumanya CW Wong contohnya masih belum dapat membaca adakah segmen pengundi Melayu ini kali ini akan kekal sebagai "fixed deposit" BN atau akan beralih kali ini. DR DENISON menjangkakan masyarakat India juga kali ini dijangka condong kembali kepada BN sebagaimana pengundi Melayu. Menurut BARADAN sebagaimana DAP dijangka menang besar dikalangan pengundi Cina, pengundi Melayu juga dijangka bertaut di belakang Najib dengan memerikan kemenangan besar kepada BN.

Memanglah berdasarkan analisa mereka masing-masing, yang mengakui PRU kali ini genting, namun semua membuat kesimpulan BN akan kembali berkuasa. Barangkali kesimpulan itu dibuat bukan untuk menyedapkan diri sendiri tetapi orang lain.
Apa pun tiada yang berani mengatakan BN akan kembali dengan majority 2/3 majoriti. BN mereka laporkan akan menang tetapi menang kecil seolah menyatakan yang jika tidak menang kemungkinan Pakatan pula yang menang!

Majoriti 2/3 akan diperolehi bagi mana-mana parti yang menang 148 kerusi dan lebih dari 222 kerusi yang dipertandingkan peringkat Parlimen.
CW WAI menjangkakan BN akan menang membentuk kerajaan Persekutuan dengan 138 kerusi, iaitu dalam keadaan DAP mungkin menang semua 45 kerusi majoriti Cina (selebihnya antara PKR dan PAS)

Begitu juga BARADAN menjangkakan BN menang di 145 kerusi (kalau kita biasa ikuti tulisan beliau dalam akhbar The Star, beliau tidak pernah langsung punya simpati selain terhadap BN).
DR DENISON pula menjangkakan BN menang tetapi dengan prestasi di bawah PRU 12, kata beliau mustahil BN dapat majoriti 2/3. Dan beliau membuat kesimpulan PAS akan menang di Shah Alam dan Pasir Mas (kerana Najib silap pilih calon), DAP kalah di Gelng Patah tetapi PKR menang di Segamat. Juga PR kekal di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan menang kembali Perak.

JOHNSON CHONG pula lebih berimbang dengan menyatakan samada BN atau PR yang menang di Federal kelak, pemenang akan menang dengan kelebihan antara 8 ke 22 kerusi (iaitu menang dengan 119 ke 133 kerusi)!
RAZAK juga menjangkakan BN menang tetapi tidak capai majoriti 2/3 .

Yang penting di sini kemampuan PR tidak ditolak malah kemungkinan PR menang diperingkat Federal jelas tersirat dalam tulisan kesemua mereka. Yang kritikal adalah kemanakah akan perginya undi pengundi Melayu kerana undi pengundi Cina sudah seakan muktamad iaitu buat PR.
Oleh itu bagi saya esok jika calon-calon PR selain di bandar-bandar, selain di Lembah Kelang, Lembah Kinta, Pulau Pinang dapat meraih sebahagian dari sokongan pengundi Melayu, pengundi Cina lebih 80% menyokong PR dan masyarakat India tidak kembali kepada BN, Putrajaya insyallah akan beralih tangan.

Tetapi jika sebaliknya, PR akan menanggung banyak rugi termasuklah di negeri-negeri yang ia kuasai.
Kuasa penentu adalah pada rakyat, jika setelah sekian lama kita bertarung ini rakyat yakin dan bersungguh bersama kita insyallah bersinarlah Malaysia baru menjelang pagi 6 Mei……

Henti kempen jam 12 malam ini (4/5/13)

Posted: 04 May 2013 02:32 AM PDT


Siang tadi terbit di TV Pengerusi SPR yang mengingatkan semua pihak yang bertanding dalam PRU ke 13 ini agar menamatkan kempen pilihanraya masing-masing tepat jam 11.59 malam ini. Ini kerana hari berikutnya bermula tengahmalam ini iaitu 5 Mei adalah Hari Mengundi.
Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihanraya menghuraikan "batasan" pada Hari Mengundi yang dengan jelas melarang sebarang bentuk kempen pada hari berkenaan.

Kita harapkan semua pihak akan akur dan menjunjung undang-undang Negara.
Cumanya pihak SPR kena beri perhatian adakah pihak BN yang menguasai media arus perdana khasnya media elektronik iaitu TV dan radio akan turut berbuat demikian. Adakah pihak BN akan memastikan semua siaran TV dan radio tiada lagi mengandungi unsur kempen bermula jam 12 tengah malam ini. Semua klip video termasuklah "Sayang Selangor Yakini BN" seharusnya tidak lagi dimainkan bermula jam berkenaan.

Adakah pihak SPR akan saksama dan memastikan TV dan radio tidak digunakan oleh mana-mana pihak kerana mematuhi semangat Akta di atas?
Seksyen 26 berikutnya menggariskan:

(2) Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen (1) boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.
(3) Sesuatu kesalahan di bawah subseksyen (1) ialah kesalahan boleh tangkap mengikut pengertian Kanun Tatacara Jenayah.

Mampukah pihak SPR menguatkuasakan peraturan ini?

PAS mendahului yang lain dengan 2 kerusi Parlimen (4/5/13)

Posted: 03 May 2013 10:51 PM PDT


Tinggal lagi 11 jam sebelum tempuh berkempen bagi PRU ke 13 ini berakhir.
Berbagai bacaan, ramalan dan jangkaan terkeluar dan terbit khasnya dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini, menggambarkan bagaimanakah agaknya keputusan PRU ke 13 itu esok. Menurut SPR keputusan pertama dijangka keluar seawall jam 7.30 petang esok.

Apa pun yang mahu dikatakan saya kira satu yang pasti adalah rakyat Malaysia era 2013 ini rata-rata menolak politik ekstrim dan "ultra". Tak kiralah Melayu, Cina atau India, siapa pun tidak lagi tertarik atau gemar bermain politik seumpama ini khasnya apabila ia berbau perkauman dan agama yang keterlaluan sehingga memecahbelahkan perpaduan sesama kaum dalam Negara.
Atas alasan itu sebelum pun rakyat keluar mengundi jam 8.00 pagi esok dan sebelum pun keputusan terawal diumumkan jam 7.30 petang esok, emnurut pengamatan saya PAS bakal menang "mudah" di 2 kerusi Parlimen. Bermakna perkiraan PAS untuk kerusi-kerusi Parlimennya sudah bermula +2.

Mengapa, kerana di dua kerusi ini lawannya adalah calon yang ditolak rakyat Malaysia kerana dikenali sebagai juara politik ekstrim seumpama ini.
Kerusi itu adalah Parlimen P.22 Pasir Mas, Kelantan dan P. 108 Shah Alam, Selangor. Calon-calon PAS dikedua-dua kerusi ini bagi saya sudah hampir pasti dengan izin Allah menang di kawasan masing-masing lantaran lawannya yang tidak memenuhi citarasa dan selera pengundi Malaysia. 

Keputusan meletakkan IbrahimAli di Pasir Mas dan Zul Nordin di Shah Alam bagi saya adalah kesilapan terbesar Najib Tun Razak dalam PRU ke 13 ini! 

Tiada ulasan: