Roslan SMS Corner |
Dewan Sarawak naik 300% Dewan Rakyat bagaimana? (22/5/13) Posted: 22 May 2013 01:49 AM PDT Dalam kita menuntut agar elaun dan ganjaran ahli-ahli Parlimen kita disemak semula, Dewan Negeri Sarawak telah pun mendahuluinya. Semalam satu rang undang-undang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Negeri Kedua Sarawak, bagi menaikkan elaun 71 ADUN dan Kabinet Negerinya sebanyak 300%. Semakan terakhir dilakukan di Sarawak adalah lebih 33 tahun dahulu iaitu pada tahun 1980. Cuma yang lajunya di Sarawak, elaun Ketua Menterinya setelah disemak semula melalui rang undang-undang berkenaan kini lebih tinggi dari elaun Perdan Menteri sendiri. Elaun PM Malaysia kini adalah sebanyak RM22,826.65 manakala elaun Ketua Menteri Sarawak dengan rang undang-undang berkenaan bakal mencecah RM39,000 iaitu lebih RM16,173.35 dari PM. Begitu juga elaun bulanan ADUN Sarawak bakal naik RM15,000 (dari RM4,500) berbanding elaun ahli Parlimen Malaysia sekitar RM6,508.59 iaitu lebih RM 8,491.41! Bagaimana dengan cadangan kenaikkan buat ahli-ahli Parlimen kita? Kalau 300% dijadikan "benchmark" maka ahli-ahli Parlimen kita juga sepatutnya menerima elaun bulanan RM19,525.77 sebulan. Sebenar-benarnya adakah tinggi RM19,525.77 itu jika dibayar kepada ahli-ahli Parlimen kita? Dua hari lepas akhbar The Star menyiarkan pendapatan dua orang tokoh korporat yang meninggalkan jawatan korporat mereka kerana menyertai kabinet. Senator Datuk Paul Low contohnya menerima elaun RM560,000 setahun dari pelbagai jawatan korporat yang disandangnya iaitu bersamaan RM18,666.66 sebulan. Manakala Senator Datuk Seri Abd Wahid Omar bekas CEO Maybank pula menerima RM4.68 juta iaitu bersamaan RM390,000 sebulan! Bagi saya memandangkan peri pentingnya tugas dan tanggungjawab ahli-ahli Parlimen kita serta status mereka dalam masyarakat tidaklah keterlaluan kalau apa yang berlaku di Sarawak turut dinikmati oleh mereka. Mudah-mudahan jika ia dipertimbang dan menjadi realiti, mereka akan memberikan khidmat yang lebih fokus dan baik buat Negara, dan yang akan menikmati kesejahteraannya nanti adalah rakyat jua. Padan-padankanlah tugas dan tanggungjawab mereka dengan imbuhan yang dibayar. Mungkin ada pula nanti kalangan mereka yang menolak, kalau tolak terpulanglah kepada individu berkenaan tetapi saya yakin yang selebihnya akan menerimanya dengan nita akan memartabatkan lagi tugas dan pengorbanan mereka. |
Antara himpunan aman dan keganasan (22/5/13) Posted: 21 May 2013 08:31 PM PDT Saya mungkin jadi tidak popular kerana posting ini. Tetapi saya sebagaimana anda semua masing-masing punya hak dan kebebasan bersuara. Hak dan kebebasan itu sewajarnya dihormati kecualilah sekiranya ia bertentangan dengan undang-undang dan peraturan Negara. Kerana itu selaku seorang blogger contohnya, beliau perlu bertanggungjawab di atas segala yang ditulis dan diterbitkannya. Jika melanggar sebarang undang-undang atau peraturan, blogger tadi perlu berani bertanggungjawab sebagaimana ia berani mengeluarkan pandangannya itu. Politik keganasan contohnya, adalah sesuatu yang ditolak rakyat Malaysia. Perhimpunan aman walaubagaimanapun yang menyuarakan hak dan tuntutan tidaklah termasuk dalam kategori ini. Jenis politik keganasan adalah menghasut hadirin bangkit menentang dengan cara tidak demokratik, menggunakan tangan dan tidak undang-undang. Kebelakangan ini kita membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin muda PAS yang kini masing-masing bakal duduk dalam Dewan Rakyat. Antaranya Nik Abduh, ahli Parlimen Pasir Mas yang menyatakan dalam facebooknya bahawa: Anda terfikir untuk 'spring' dan memperolehi kerajaan melalui ledakan di jalan raya? Itu adalah gopoh. Fikirkan kemenangan melalui kesabaran. Kesabaran adalah kunci yang membuka. Apa perlu kemenangan yang isinya belum ranum? Orang muda perlu insaf, semangat tidak boleh meminggirkan ketuanan sifat sabar dalam memburu kemenangan. Kesedaran rakyat baru bermula. Kita masih ada masa dan masa itu sedang bersama kita. Itu pandangan seorang anak muda pemimpin Islam yang waras. Pandangan itu turut dikongsi oleh Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, ahli parlimen Temerloh yang juga Ketua Pemuda PAS. Kata beliau: Kami berjuang untuk masa depan agama, negara dan rakyat. Kami tidak akan turun ke jalan raya untuk mencetus keganasan dan keresahan rakyat sebagaimana yang telah ditegaskan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz semalam Dan kedua-dua kenyataan ini disahut secara positif oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Dato Harun Taib apabila beliau menyatakan: Memang sudah lama, sejak dulu lagi hingga sekarang Pas pilih demokrasi dan perkara ini kekal menjadi pegangan kita (Pas), mungkin sampai bila-bila. Bagi Pas, amalan demokrasi adalah yang sebaik-baiknya, bukan bertindak mengikut emosi sehingga berlaku huru-hara. Dalam Islam juga tak mahu berlaku huru-hara. Biarlah semuanya dalam keadaan aman damai untuk kesejahteraan rakyat. Perlu ingat, Pas tak suka buat huru-hara. Saya membangkitkan hal ini ekoran insiden yang melibatkan aktivis pelajar Adan Adli yang ditahan polis di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan kerana ucapannya dalam satu majlis di Dewan Perhimpunan Cina Selangor baru-baru ini. Antara kandungannya: Kalau ada polis, SB (cawangan khas), ejen Umno, ejen Barisan Nasional di sini, nama saya Adam Adli Abd Halim... ambil butiran saya, buat laporan polis kerana hari ini saya mahu mengajak semua rakyat, kita susun dan kita akan turun ke jalan raya untuk merampas balik kuasa. Kita tidak banyak masa lagi, kita akan turun ke jalan raya sebab dalam dunia ketiga seperti negara Malaysia ini, pilihan raya tidak akan menumbangkan kerajaan, yang boleh hanyalah kuasa rakyat. Ini sahaja peluang kita ada, Adam telah mengeluarkan kenyataan mengajak rakyat menumbangkan kerajaan yang ada melalui kuasa selain demokrasi. Lalu beliau didakwa. Jika benar kenyataan ini jelas ia bertentangan dengan kenyataan-kenyataan di atas. Apa pun Adam kini akan dihadapkan ke mahkamah dan beliau akan di adili. Di sana beliau berhak mempertahankan diri dan proses undang-undangnlah yang akan menentukan nasibnya. Bagi saya kenyataan seperti ini dan kenyataan-kenyataan lain yang hampir serupa yang dinukilkan oleh blogger tertentu dalam blog mereka adalah keras dan tajam dan dalam proses politik berpilihanraya, ianya sangat bertentangan. Apa pun sesiapa sahaja layak menyatakan apa sahaja yang tertunjam dibenak hatinya, kalau mahu dikongsi dengan orang-ramai, asalkan ia sanggup bertanggungjawab. Saya sekali lagi menegaskan bahawa saya setuju dengan kaedah perhimpunan aman dan bantahan secara terbuka namun apa sahaja yang berunsur ketegangan dan kekerasan perlu ditolak oleh semua, wallahualam. |
You are subscribed to email updates from Roslan SMS Corner To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan