Jumaat, 31 Mei 2013

Muslimeen United

Muslimeen United


Safwan Anang Dibebaskan Jam 10.20 Pagi Tadi

Posted: 30 May 2013 11:18 PM PDT



Aktivis pelajar yang enggan diikta jamin, Safwan Anang telah dibebaskan tepat jam 10.20 pagi tadi.

Beliau dibebaskan dari penjara Sungai Buloh selepas bersetuju menandatangani borang ikat jamin.

"Safwan bersetuju untuk tanda tangan ikat jamin. Dia akan dibebaskan jam 9 pagi ini dari penjara Sungai Buloh," kata Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Ismath membuat pengesahan, lapor Keadilandaily.

Pada 29 Mei lalu, Safwan menolak ikat jamin sebagai bantahan kepada kerajaan berhubung isu tangkapan bermotif politik. Safwan didakwa dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan berhubung ucapannya di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH) 13 Mei lalu.

Turut didakwa ialah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, penyelaras Asalkan Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim, aktivis Pas, Tamrin Ghafar, aktivis sosial Hishamuddin Rais dan pimpinan mahasiswa Adam Adli.

Kesemua mereka diikat jamin dengan jumlah RM 5,000 setiap seorang dan mahkamah menetapkan 2 Julai bagi pendengaran kes.

Sementara itu, Khalid Ismath memaklumkan, satu serahan memorandum bantahan akan dibuat di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya jam 2.30 petang ini.

"Kami mendesak Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Zahid Hamidi menghentikan tangkapan bermotif politik yang melampau," katanya.

UMNO/BN Semakin Fobia Dengan Pimpinan PR

Posted: 30 May 2013 11:16 PM PDT



Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar telah tidak dibenarkan oleh pihak imigresen Sabah memasuki negeri ini.

Menurut ahli Parlimen (MP) Lembah Pantai itu, pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sedang mengatur untuk menghantarnya pulang.

"Saya ditahan oleh imigresen Sabah dan diarah pulang oleh pejabat ketua menteri Sabah. Beginilah nasib demokrasi pasca-PRU13. Just you wait BN" tulis Nurul dalam twitter pada kira-kira jam 7.30 petang ini.

Katanya, beliau tidak dibenarkan berjumpa MP Penampang, Darell Leiking yang bertindak sebagai peguamnya.

Nurul Izzah adalah naib presiden PKR yang kedua tidak dibenarkan masuk ke Sabah. Sebelum ini, naib presiden PKR yang juga MP Batu Tian Chua disenaraihitam oleh imigresen Sabah tidak lama selepas kejadian Lahad Datu berlaku pada bulan Februari.

"Terdapat MP lain yang tidak akan dibenarkan masuk ke Sabah. Apabila ditanya nama (mereka yang tidak akan) dibenar masuk, (pihak imigresen berkata ia) dianggap rahsia," kata Nurul Izzah.

Sebelum ini, Hilman Idham, pembantu Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, juga tidak dibenarkan memasuki negeri ini, bersama-sama dengan ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 Syukri Razab, yang berasal Sabah.

Pada kira-kira 8.20 malam, Nurul menulis dalam twitter bahawa beliau tidak dibenarkan bertemu peguamnya dan diiringi tiga pegawai imigresen Sabah menaiki kapal terbang. -mk


Mohamad Sabu beri 8 punca kekalahan PAS

Posted: 30 May 2013 11:13 PM PDT


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu memberikan lapan sebab yang biasanya menjadi punca kekalahan PAS dalam setiap kali pilihan raya.

Sebab-sebab itu adalah:

1. Media yang tidak adil.

2. Pemerintah (BN) gunakan jentera kerajaan dalam kempen sebelum dan semasa pilihan raya.

3. Parti pemerintah (BN) menggunakan wang terlalu banyak dalam sogokan kepada pengundi.

4. Politik ugutan, projek dan pembangunan terhadap rakyat yang disyaki enggan mengundi kepada parti pemerintah.

5. Daftar pemilih yang tidak bersih dan dimanipulasikan daftar pemilih oleh BN.

6. Masa berkempen yang pendek, sebelum hari mengundi dan halangan berkempen sebelum pilihan raya terutama di kawasan Felda.

7. Polis didapati memihak dan ejen pula mengugut rakyat untuk kepentingan parti pemerintah (BN).

8. Undi pos yang amat diragukan kesahihannya. -Hrkh

‘SPR Bukan Parti Politik, Wan Ahmad Pun Bukan YB’

Posted: 30 May 2013 11:12 PM PDT



Bekas Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim membidas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Omar yang mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim memboikot parlimen jika benar-benar yakin berlaku penipuan dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Beliau berkata, kenyataan itu adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya datang dari seorang Timbalan Pengerusi SPR.

"SPR bukan parti politik dan Wan Ahmad tidak sepatutnya bertindak seolah beliau seorang wakil rakyat.

"(Dan) SPR sepatutnya bertindak secara berkecuali dan profesional dengan menangani segala kritikan dan dakwaan dari mana-mana pihak sekalipun secara berhemah dan mengikut prosedur undang-undang.

"Mereka sepatutnya mampu mengawal diri dalam apa jua keadaan dan tidak melenting seperti cacing kepanasan apabila dikritik keras," kata Mat Zain dalam suratnya kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini.

Salinannya dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun.

Ahli SPR dilantik khas oleh Yang di-Pertuan Agong

Setiap ahli SPR dilantik khas oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 114 Perlembagaan untuk mengendalikan pilihan raya Persekutuan atau Negeri dengan bersih dan adil mengikut prosedur undang-undang.

Menurut Mat Zain, sekiranya benar pihak SPR sebuah badan berkecuali dan profesional, mereka sepatutnya boleh membuat siasatan sendiri bagi mengesahkan sama ada benar atau tidak, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Ke-6 pada 3.April 2009.

Katanya, ini kerana sumpah itu dengan tidak mengikut Jadual Keenam Perlembagaan seperti yang didakwa.

"SPR hanya perlu menonton semula rakaman upacara mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri oleh Najib di-hadapan Yang di-Pertuan Agong Ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 3 April 2009, serta membandingkan apa yang dilafazkannya dalam upacara tersebut, dengan perkataan sumpah yang wajib beliau angkat sepertimana yang dinyatakan dalam Jadual Keenam Perlembagaan.

"Verifikasi ini boleh diselesaikan dalam tempoh tidak sampai 5 minit pun. Malahan orang ramai juga boleh membuat semakan sendiri dengan menggunakan kaedah yang sama," kata Mat Zain lagi.

Beliau juga menyarankan SPR mendapatkan kerjasama Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru Datuk Seri Ahmad Shabbery Cheek untuk menyiarkan acara angkat sumpah Perdana Menteri pada 3.April 2009 itu.

`Filem Tanda Putera'

Ini supaya lebih ramai rakyat yang tidak mempunyai ekses kepada internet, peluang untuk membuat verifikasi yang sama serta sekaligus, dapat memahami isu yang dibangkitkan ini.

"Jika Menteri Penerangan telah menunjukkan keghairahannya untuk filem Tanda Putera ditayangkan kepada umum,maka saya yakin beliau tidak keberatan menayangkan rakaman majlis angkat sumpah yang ringkas itu," katanya lagi.

Beliau menambah, rakyat boleh membuat penilaian samada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri-nya memang sentiasa menghormati dan mematuhi peraturan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan seperti yang mereka sering laungkan, atau ianya sekadar retorik.

Katanya, beliau yakin rakyat akan lebih menyanjung Menteri Penerangan yang baru ini, jika beliau dapat menyiarkan proses perlantikan Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di kalangan Ahli Dewan Negara yang belum dilantik sebagai Senator seperti kekalutan yang berlaku baru-baru ini, sebagai penambahan ilmu kepada rakyat.

Menurutnya, penerangan seperti ini-lah yang akan dialu-alukan oleh segenap lapisan rakyat khasnya masyarakat luar Bandar dimana mereka boleh menilai sama ada Menteri dan Timbalan Menteri mereka itu jujur ataupun mereka sekadar kaki temberang sahaja.

Mat Zain berkata, persoalan undang-undang melibatkan Perlembagaan hendaklah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sepertimana yang dinyatakan dalam Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, (Akta 91.

Harap SPR nyatakan pendirian

Untuk itu beliau berharap SPR dapat menyatakan pendirian mereka secara terbuka sama ada mereka bersedia merujukkan perkara dalam persoalan ini kepada badan tersebut atau sebaliknya.

Dalam isu berkaitan, bekas pegawai kanan polis itu mengulas mengenai dua menteri dan tiga timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong tetapi belum dilantik sebagai Senator.

Kata Mat Zain ia perbuatan yang sangat biadap terhadap Yang Di Pertuan Agong kerana telah meletakkan susunan keutamaan Baginda, di-belakang kedudukan Yang Di-Pertua Dewan Negara.

Sekiranya perbuatan ini bukan suatu pengkhianatan dan penghinaan serta mencemarkan keadaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, Mat Zain berkata, Najib wajar menjelaskan kepada rakyat apakah maksud tindakan beliau.

Perdana Menteri, tambahnya juga wajar menjelaskan kepada rakyat sama ada dua orang menteri dan tiga orang timbalan menteri tersebut layak melaksanakan fungsi jawatan masing-masing setelah peruntukan Perlembagaan Persekutuan ditunggang-langgangkan. Jika di kalangan sejumlah 61 orang menteri dan timbalan menteri yang ada sekarang ini,terdapat lima orang atau lebih 8% daripada jumlah itu adalah "ahli haram", maka keseluruhan Kabinet itu juga terpalit menjadi haram.

Disebabkan nila setitik,rosak susu sebelanga, kata Mat Zain. -FMT

Tiada ulasan: