Jumaat, 31 Mei 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Waytha Mula Bersuara: "Gantung Tugas Polis Yang Terlibat"

Posted: 31 May 2013 01:01 AM PDT


Waytha mahu anggota polis terbabit digantung tugas

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy mengecam tindakan yang dianggap ringan terhadap anggota polis yang sedang disiasat berhubung kematian N Dharmendran dalam tahanan, dengan berkata langkah itu hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada pasukan tersebut.

Sambil menegaskan bahawa kes pembunuhan merupakan suatu kesalahan tidak boleh dijamin, Waythamoorthy berkata, empat anggota polis berkenaan sepatutnya telah digantung tugas dan ditahan reman sehingga siasatan selesai, dan bukan hanya ditugaskan melakukan kerja pejabat.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini atas sifatnya sebagai Pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf).

"Undang-undang adalah sama bagi anggota polis serta orang awam. Oleh itu apa-apa tindakan yang kurang, hanya akan terus mengecewakan orang ramai kerana amalan dwi-standard terhadap anggota polis dengan kekebalan secara terang-terangan diberikan kepada mereka.

"Tindakan yang tidak berkesan seperti ini oleh pegawai atasan mereka dalam pasukan polis hanya akan terus merendahkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis dan integriti mereka dalam menjalankan tanggungjawab mereka untuk kepentingan awam,"
kata kenyataan itu.

Waythamoorthy juga mempersoalkan bagaimana polis hendak mengharapkan untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap "profesionalisme, kecekapan dan keberkesanan" mereka dalam mengurangkan jenayah, jika mereka tidak dapat mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis yang disyaki.

Tambahnya, tindakan seumpama itu mencerminkan kurangnya rasa hormat pihak polis terhadap "hak asasi dan nilai kehidupan manusia", seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Tindakan memastikan tiada lagi kematian dalam tahanan di kalangan kaum India, adalah antara tuntutan Hindraf apabila menandatangani perjanjian bersejarah dengan BN yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak pada bulan April, satu langkah yang menyebabkannya menjadi sasaran kritikan. -mk

[KEMASKINI] Safwan Anang Dibebaskan Jam 10.20 Pagi Tadi

Posted: 31 May 2013 12:15 AM PDT


Aktivis pelajar yang enggan diikta jamin, Safwan Anang telah dibebaskan tepat jam 10.20 pagi tadi.

Beliau dibebaskan dari penjara Sungai Buloh selepas bersetuju menandatangani borang ikat jamin.

"Safwan bersetuju untuk tanda tangan ikat jamin. Dia akan dibebaskan jam 9 pagi ini dari penjara Sungai Buloh," kata Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Ismath membuat pengesahan, lapor Keadilandaily.

Pada 29 Mei lalu, Safwan menolak ikat jamin sebagai bantahan kepada kerajaan berhubung isu tangkapan bermotif politik. Safwan didakwa dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan berhubung ucapannya di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH) 13 Mei lalu.

Turut didakwa ialah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, penyelaras Asalkan Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim, aktivis Pas, Tamrin Ghafar, aktivis sosial Hishamuddin Rais dan pimpinan mahasiswa Adam Adli.

Kesemua mereka diikat jamin dengan jumlah RM 5,000 setiap seorang dan mahkamah menetapkan 2 Julai bagi pendengaran kes.

Sementara itu, Khalid Ismath memaklumkan, satu serahan memorandum bantahan akan dibuat di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya jam 2.30 petang ini.

"Kami mendesak Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Zahid Hamidi menghentikan tangkapan bermotif politik yang melampau," katanya.


Safwan Anang dibebas dengan ikat jamin RM5 ribu


Aktivis mahasiswa Muhammad Safwan Anang hari ini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM5,000, kata isterinya Mastura Abu Bakar.

Menurut Mastura, Safwan dijamin oleh adik lelakinya sendiri di mahkamah dekat Jalan Duta, pada kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Safwan yang juga pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dituduh bersama pemimpin politik dan aktivis NGO Naib presiden PKR Tian Chua, aktivis PAS Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim pada 29 Mei lalu.

Kesemuanya mengaku tidak bersalah atas tuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan.

Mahkamah membenarkan keempat-empat individu tersebut diikat jamin RM5,000 setiap seorang. Bagaimanapun Safwan enggan diikat jamin dan dibawa ke penjara Sungai Buloh.

Ketika dihubungi Malaysiakini tengahari ini, Mastura berkata suaminya pada asalnya, enggan diikat jamin selepas dituduh di bawah akta tersebut.

Bagaimanapun, Mastura berkata, Safwan menukar fikirannya selepas mempertimbang peranan yang boleh dilakukannya di luar penjara sebagai aktivis mahasiswa.

"Beliau merasakan beliau boleh melakukan lebih banyak perkara di luar penjara berbanding di dalam penjara," kata Mastura.

Tambahnya lagi, Safwan kini sedang berehat sebentar di rumah mereka dan akan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya petang ini.

Menurutnya, Safwan bersama beberapa aktivis pelajar lain akan menyerahkan memorandum membantah penangkapan aktivis dan pemimpin politik oleh polis kepada kementerian itu. -mk

Dua MP Sabah Kecam Tindakan Halang Nurul Masuk Sabah

Posted: 30 May 2013 07:21 PM PDT


Bung Mokhtar, Ahli Parlimen Kinabatangan dan Darell Leiking, Ahli Parlimen Penampang

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Raden menyifatkan tindakan menghalang Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dari memasuki Sabah merupakan satu kesilapan dan malapetaka.

Menerusi akaun twitternya, Bung Mokhtar berkata beliau tidak faham kenapa Nurul Izzah tidak dibenarkan memasuki Sabah.


Bung Mokhtar juga menyifatkan tindakan menghalang Nurul Izah dari memasuki Sabah itu merupakan satu kesilapan besar yang perlu diperbetulkan.


Menjawab satu soalan apakah yang akan beliau lakukan jika menjawat jawatan Ketua Menteri dalam kes seperti yang dialami Nurul Izzah, Bung Mokhtar hanya menjawab, malangnya beliau tidak memegang jawatan tersebut.


Nurul Izzah ditahan oleh Jabatan Imigresen Sabah dan diarahkan pulang. Beliau dimaklumkan arahan tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ke Sabah untuk bersama rakyat sabah menyambut Pesta Keamatan. -astrowani


[PRESS STATEMENT] MP PENAMPANG CONDEMNS NURUL IZZAH DEPORTATION FROM SABAH


MP Nurul Izzah Anwar was on her way to celebrate Kaamatan with her fellow Malaysians when she was held back by Sabah Immigration allegedly under Sabah Chief Minister Department's instruction before being forcibly deported back to Semenanjung Malaysia.

I condemn this act, more so because Izzah was visiting Sabah to celebrate Pesta Kaamatan in her personal capacity. It makes it all political with no purpose and hurt our state's reputation as hosts.

Nurul Izzah arrived at Kota Kinabalu Airport around 645pm via Air Asia on 30th May 2013 and was to return back on the evening of 31st May 2013 to Semenanjung Malaysia.

Immigration Department Sabah informed YB Nurul Izzah that the Chief Minister's department had decided to bar her and many more personalities from Peninsula Malaysia from entering Sabah henceforth.

The right of entry is Sabah Government's constitutional right but it should not be abused, more so since there are evidence (as revealed in the ongoing Royal Commission of Inquiry) that illegal immigrants have entered and not confronted by the same level of scrutiny as the re-elected parliamentarian of Lembah Pantai and my party's (KeADILan) vice-president.

Why is it that Malaysians joining a festive celebration with fellow Malaysians especially the Kadazans from Sabah and in Sabah now a reason for denial of entry? I personally met at the airport while waiting for YB Nurul Izzah the many Malaysians from West Malaysia (who took the same flight with YB Izzah) who had told me that they came to Sabah to join in the Kaamatan festivity at KDCA, Penampang. They were equally concerned that YB Izzah was detained by Sabah Immigration and this has indeed shamed us in Sabah.

Nurul Izzah is an elected MP, a mother of two, a loving wife and poses no threat at all to the security of my state. The Sabah Immigration Department and those instructing it to carry this order should be ashamed of themselves. I challenge the Chief Minister and the State Cabinet to explain to the people of Sabah and Malaysia as a whole why this act had happened.

DARELL LEIKING
MEMBER OF PARLIAMENT, PENAMPANG

UMNO/BN Semakin Fobia Dengan Pimpinan PR

Posted: 30 May 2013 05:01 PM PDT


Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar telah tidak dibenarkan oleh pihak imigresen Sabah memasuki negeri ini.

Menurut ahli Parlimen (MP) Lembah Pantai itu, pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sedang mengatur untuk menghantarnya pulang.

"Saya ditahan oleh imigresen Sabah dan diarah pulang oleh pejabat ketua menteri Sabah. Beginilah nasib demokrasi pasca-PRU13. Just you wait BN" tulis Nurul dalam twitter pada kira-kira jam 7.30 petang ini.

Katanya, beliau tidak dibenarkan berjumpa MP Penampang, Darell Leiking yang bertindak sebagai peguamnya.

Nurul Izzah adalah naib presiden PKR yang kedua tidak dibenarkan masuk ke Sabah. Sebelum ini, naib presiden PKR yang juga MP Batu Tian Chua disenaraihitam oleh imigresen Sabah tidak lama selepas kejadian Lahad Datu berlaku pada bulan Februari.

"Terdapat MP lain yang tidak akan dibenarkan masuk ke Sabah. Apabila ditanya nama (mereka yang tidak akan) dibenar masuk, (pihak imigresen berkata ia) dianggap rahsia," kata Nurul Izzah.

Sebelum ini, Hilman Idham, pembantu Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, juga tidak dibenarkan memasuki negeri ini, bersama-sama dengan ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 Syukri Razab, yang berasal Sabah.

Pada kira-kira 8.20 malam, Nurul menulis dalam twitter bahawa beliau tidak dibenarkan bertemu peguamnya dan diiringi tiga pegawai imigresen Sabah menaiki kapal terbang. -mk


Masa Depan Malaysia Lebih Cerah Dengan Pakatan Rakyat

Posted: 30 May 2013 08:13 AM PDT


Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Merton College, University Oxford, England pada 28 Mei 2013

1. Malaysia berada di ambang perubahan. Persoalannya ialah jika kita begitu hampir dengan perubahan mengapa perubahan tidak berlaku? Malaysia mengalami sedikit anjakan apabila Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum 2013, dan bukan Barisan Nasional (BN). BN menang walaupun hakikatnya tewas disebabkan amalan persempadanan semula kawasan pilihan raya secara tidak adil yang dilaksanakan lebih 40 tahun lalu.

2. Ramai orang telah bertanya, apakah implikasi Pakatan Rakyat memenangi 51% undi popular? Ia akan mengarah kepada kerajaan BN yang lebih tidak stabil berikutan Najib dilihat sebagai seorang Perdana Menteri minoriti mengetuai sebuah kerajaan minoriti? Adakah akan ada "Malaysian Spring" akibat daripada protes yang berterusan terhadap keputusan pilihan raya? Ya, akan ada "Malaysian Spring" tetapi dalam keadaan yang aman, yang lahir atas tujuan yang sama iaitu untuk membebaskan Malaysia daripada kemiskinan, kejahilan, ketakutan dan rasuah.

3. Saya tidak akan mempertikaikan hakikat bahawa Najib adalah Perdana Menteri minoriti yang mengetuai kerajaan minoriti kerana tidak wujud di dalam dunia, sebuah negara demokratik yang menggunakan sistem "First-Past-the-Post", parti yang berjaya mendapat 51% undi hanya berkesudahan dengan sekadar 40% daripada jumlah kerusi. Dalam apa keadaan sekalipun, parti yang memenangi undi majoriti sepatutnya memenangi peratusan jumlah kerusi yang lebih besar. Hanya di Malaysia, akibat daripada persempadanan yang tidak adil, parti yang memenangi undi majoriti boleh berkesudahan dengan jumlah kerusi yang kurang daripada majoriti. Mungkin ini adalah apa yang BN maksudkan dengan "Malaysia Boleh".

4. Bagaimanapun masih ada pemimpin BN yang menolak logik itu dengan mempertikaikan bahawa walaupun Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya atau memenangi undi popular ia langsung tidak penting. Tetapi bagaimana perkara itu boleh terjadi apabila demokrasi sepatutnya adalah majoriti memerintah minoriti dan menghormati hak minoriti? Demokrasi tidak sepatutnya berakhir dengan minoriti menerajui majoriti. Tidak juga boleh dibandingkan seperti sebuah perlawanan badminton.

Demokrasi bukan perlawanan badminton atau minoriti memerintah majoriti


5. Dalam perlawanan badminton sekalipun, setiap set diberikan kewajaran yang sama. Tetapi untuk BN, tiada kewajaran untuk setiap kerusi kerana beberapa kerusi seperti Kapar (160,000 undi) mempunyai lebih kurang 10 kali ganda lebih nilai daripada Putrajaya (17,000 undi) tetapi masing- masing mempunyai hanya satu nilai kerusi. Sekiranya sistem pilihan raya di Malaysia disamakan seperti dengan perlawanan badminton, pemain badminton PR perlu memenangi 10 set untuk setiap kerusi yang dimenangi BN.

6. Menteri Dalam Negeri barangkali berpura-pura marah apabila beliau meminta rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan ketidakadilan sistem pilihan raya untuk meninggalkan negara ini. Tetapi ada metod dalam kepura-puraannya kerana tiada sesiapa pun yang boleh menyuruh majoriti atau 51% daripada penduduk untuk meninggalkan negara ini. Beliau hanya mahu menakut-nakutkan rakyat dan tidak mahu memberi tumpuan kepada BN yang kehilangan undi popular dan mengalihkan perhatian mereka dengan menyalahkan masyarakat Cina. Tetapi bagaimana BN boleh kehilangan 51% undi popular apabila masyarakat Cina hanya 24% daripada jumlah pengundi? Adakah baki 27% daripada jumlah itu terdiri daripada mereka yang mengundi Pakatan Rakyat itu warga Bangladesh? Atas sebab ini tidak akan ada orang yang takut, dibohongi atau dialihkan pandangannya lagi. Rakyat tahu mereka yang merupakan majoriti dan menuntut reformasi pilihan raya supaya bersih, adil dan mampu menyediakan satu platform untuk mencerminkan kehendak majoriti.

7. Rakyat tidak akan tunduk dengan ancaman penangkapan semula 3 aktivis pembangkang atau mendakwa lebih ramai pemimpin PR di mahkamah kerana menghasut. Mengapa mereka yang pro-BN yang membuat kenyataan anti-Cina tidak dihukum?

8. Saya menolak pendirian yang mengatakan bahawa prospek masa depan negara akan terjejas dengan kehadiran pembangkang yang kuat. Sudah tentu sekiranya Pakatan mengambil alih, saya yakin untuk menyatakan bahawa Malaysia pasti berada di landasan yang betul untuk mencapai potensi yang sepenuhnya. Walaupun kita tidak mencapai matlamat untuk memenangi Putrajaya, saya amat percaya dengan kehadiran Pakatan Rakyat yang lebih kukuh di Parlimen, bersama-sama dengan pengalaman penggal kedua memerintah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor, akan memberi kesan positif kepada pembangunan negara.

9. Pertamanya, anda boleh yakin bahawa BN akan lebih sukar untuk menerima tawaran yang hanya akan memberi manfaat kepada kroni mereka. Ketika kita hanya 10% Ahli Parlimen, adalah lebih mudah bagi BN untuk melakukan banyak perkara terutama jenis kontrak kroni yang terlalu banyak untuk kumpulan kecil kita di Parlimen. Tetapi sekarang dengan kekuatan 89 Ahli Parlimen yang datang dari setiap negeri di Malaysia kecuali Perlis, anda boleh yakin yang kami akan membongkar setiap sudut dan celah bagi memastikan BN berasa sukar untuk mengulangi seperti perjanjian NFC "lembu di kondo". Anda boleh bergantung kepada Ahli Parlimen seperi Rafizi Ramli, Nurul Izzah atau Dr Ong Kian Ming, Mahfuz Omar dan Oxonian kita sendiri – Tony Pua, serta ramai lagi Ahli Parlimen muda untuk menjalankan tugas semak dan imbang terhadap Kerajaan BN.

10. Ini bukan bermaksud mereka tidak akan mencuba. Sepertimana yang ditunjukkan daripada penubuhan 1MDB, BN tidak pernah berubah cara. 1MDB, yang tidak mempunyai apa-apa manfaat selain daripada menjadi dana simpanan khas, sepatutnya diserap ke dalam Khazanah. Ini adalah cadangan kami dalam Manifesto Pakatan Rakyat.

11. Kita sudah melihat bagaimana persaingan polisi memaksa BN bertindak terhadap cadangan Pakatan Rakyat. Kontrak untuk generasi pertama bagi Penjana Kuasa Bebas (IPP) yang akan berakhir tidak lama lagi akan diperbaharui dengan kos yang lebih rendah disebabkan tekanan yang diberi Pakatan Rakyat. Anda boleh lihat bagaimana BN dipaksa untuk mengurangkan harga kereta secara perlahan-lahan hasil daripada manifesto Pakatan Rakyat.

12. Kita telah membuktikan yang kita boleh mentadbir Pulau Pinang dan Selangor lebih baik daripada BN. Dan kita telah memperolehi mandat lebih besar terutama daripada segi kerusi dan undi. Di Pulau Pinang, kita berjaya meningkatkan bilangan kerusi negeri daripada 29 kepada 30 dan undi popular daripada 58% kepada 67%. Di Selangor, kita menambah kerusi negeri daripada 36 kepada 44 dan undi popular meningkat daripada 55% kepada 59%. Kita telah menunjukkan bahawa rizab negeri meningkat dan dalam masa yang sama, bantuan kewangan dan agihan peruntukan juga dijalankan secara adil dan telus.

13. Kita akan terus mencari cara yang lebih baik untuk mentadbir kedua-dua negeri. Kita akan teruskan dengan mencari cara-cara yang lebih kreatif untuk memenuhi aspirasi kita untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang dipandu dengan idea yang lebih progresif, pelaburan swasta dan awam yang berterusan dan terancang. Penubuhan Penang Paradigm, yang dilancarkan pada awal tahun ini menyediakan pelan tindakan yang telah dan akan digunakan untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bagaimana Pakatan Rakyat akan mentadbir Putrajaya.

14. Proses perubahan dan pembaikan adalah sebahagian daripada kehidupan. Dan ia adalah satu realiti dalam kehidupan politik. Bakat manusia hanya boleh dibina dan dibangunkan melalui latihan dan kerja keras. Jika Amerika menghadapi "fiscal cliff" yang mengancam kesihatan kewangan dunia, Malaysia menghadapi "talent cliff" yang boleh mengancam kemakmuran ekonomi masa depan kita.

15. Kita perlukan anak muda yang berbakat untuk kembali ke sini bagi menjadikan Malaysia lebih kukuh. Kita tahu bahawa anda akan kembali ke sebuah negara Malaysia yang sesuai didiami dan menyediakan peluang yang sama untuk anda berjaya. Persaingan sihat dan akauntabiliti akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang baik, yang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat untuk semua baik untuk hidup, bekerja dan berekreasi. Pakatan Rakyat yang lebih kuat memberi harapan kepada masa depan yang lebih cerah bagi demokrasi, keadilan, kebebasan, integriti dan pembudayaan prestasi di Malaysia.

‘SPR Bukan Parti Politik, Wan Ahmad Pun Bukan YB’

Posted: 30 May 2013 05:05 AM PDT


Bekas Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim membidas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Omar yang mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim memboikot parlimen jika benar-benar yakin berlaku penipuan dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Beliau berkata, kenyataan itu adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya datang dari seorang Timbalan Pengerusi SPR.

"SPR bukan parti politik dan Wan Ahmad tidak sepatutnya bertindak seolah beliau seorang wakil rakyat.

"(Dan) SPR sepatutnya bertindak secara berkecuali dan profesional dengan menangani segala kritikan dan dakwaan dari mana-mana pihak sekalipun secara berhemah dan mengikut prosedur undang-undang.

"Mereka sepatutnya mampu mengawal diri dalam apa jua keadaan dan tidak melenting seperti cacing kepanasan apabila dikritik keras," kata Mat Zain dalam suratnya kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini.

Salinannya dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun.

Ahli SPR dilantik khas oleh Yang di-Pertuan Agong

Setiap ahli SPR dilantik khas oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 114 Perlembagaan untuk mengendalikan pilihan raya Persekutuan atau Negeri dengan bersih dan adil mengikut prosedur undang-undang.

Menurut Mat Zain, sekiranya benar pihak SPR sebuah badan berkecuali dan profesional, mereka sepatutnya boleh membuat siasatan sendiri bagi mengesahkan sama ada benar atau tidak, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Ke-6 pada 3.April 2009.

Katanya, ini kerana sumpah itu dengan tidak mengikut Jadual Keenam Perlembagaan seperti yang didakwa.

"SPR hanya perlu menonton semula rakaman upacara mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri oleh Najib di-hadapan Yang di-Pertuan Agong Ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 3 April 2009, serta membandingkan apa yang dilafazkannya dalam upacara tersebut, dengan perkataan sumpah yang wajib beliau angkat sepertimana yang dinyatakan dalam Jadual Keenam Perlembagaan.

"Verifikasi ini boleh diselesaikan dalam tempoh tidak sampai 5 minit pun. Malahan orang ramai juga boleh membuat semakan sendiri dengan menggunakan kaedah yang sama," kata Mat Zain lagi.

Beliau juga menyarankan SPR mendapatkan kerjasama Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru Datuk Seri Ahmad Shabbery Cheek untuk menyiarkan acara angkat sumpah Perdana Menteri pada 3.April 2009 itu.

`Filem Tanda Putera'

Ini supaya lebih ramai rakyat yang tidak mempunyai ekses kepada internet, peluang untuk membuat verifikasi yang sama serta sekaligus, dapat memahami isu yang dibangkitkan ini.

"Jika Menteri Penerangan telah menunjukkan keghairahannya untuk filem Tanda Putera ditayangkan kepada umum,maka saya yakin beliau tidak keberatan menayangkan rakaman majlis angkat sumpah yang ringkas itu," katanya lagi.

Beliau menambah, rakyat boleh membuat penilaian samada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri-nya memang sentiasa menghormati dan mematuhi peraturan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan seperti yang mereka sering laungkan, atau ianya sekadar retorik.

Katanya, beliau yakin rakyat akan lebih menyanjung Menteri Penerangan yang baru ini, jika beliau dapat menyiarkan proses perlantikan Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di kalangan Ahli Dewan Negara yang belum dilantik sebagai Senator seperti kekalutan yang berlaku baru-baru ini, sebagai penambahan ilmu kepada rakyat.

Menurutnya, penerangan seperti ini-lah yang akan dialu-alukan oleh segenap lapisan rakyat khasnya masyarakat luar Bandar dimana mereka boleh menilai sama ada Menteri dan Timbalan Menteri mereka itu jujur ataupun mereka sekadar kaki temberang sahaja.

Mat Zain berkata, persoalan undang-undang melibatkan Perlembagaan hendaklah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sepertimana yang dinyatakan dalam Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, (Akta 91.

Harap SPR nyatakan pendirian

Untuk itu beliau berharap SPR dapat menyatakan pendirian mereka secara terbuka sama ada mereka bersedia merujukkan perkara dalam persoalan ini kepada badan tersebut atau sebaliknya.

Dalam isu berkaitan, bekas pegawai kanan polis itu mengulas mengenai dua menteri dan tiga timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong tetapi belum dilantik sebagai Senator.

Kata Mat Zain ia perbuatan yang sangat biadap terhadap Yang Di Pertuan Agong kerana telah meletakkan susunan keutamaan Baginda, di-belakang kedudukan Yang Di-Pertua Dewan Negara.

Sekiranya perbuatan ini bukan suatu pengkhianatan dan penghinaan serta mencemarkan keadaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, Mat Zain berkata, Najib wajar menjelaskan kepada rakyat apakah maksud tindakan beliau.

Perdana Menteri, tambahnya juga wajar menjelaskan kepada rakyat sama ada dua orang menteri dan tiga orang timbalan menteri tersebut layak melaksanakan fungsi jawatan masing-masing setelah peruntukan Perlembagaan Persekutuan ditunggang-langgangkan. Jika di kalangan sejumlah 61 orang menteri dan timbalan menteri yang ada sekarang ini,terdapat lima orang atau lebih 8% daripada jumlah itu adalah "ahli haram", maka keseluruhan Kabinet itu juga terpalit menjadi haram.

Disebabkan nila setitik,rosak susu sebelanga, kata Mat Zain. -FMT

Tiada ulasan: