Rabu, 22 Mei 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Kerajaan Minoriti BN Tidak Akan Bertahan Lama

Posted: 22 May 2013 01:00 AM PDT


Apa yang hendak dihairankan jika ramai rakyat samada melalui parti-parti pembangkang atau NGO-NGO atau orang persaorangan mempersoalkan hal kepimpinan dalam kerajaan minoriti yang ada pada hari ini? Di mana-mana negara pun jika kerajaannya dipimpin oleh kerajaan minoriti keadaan seperti yang sedang dihadapi oleh BN sekarang adalah kejadian biasa.

Itulah sebabnya kita melihat banyak kerajaan menubuhkan kerajaan campuran. Kerajaan Britain sekarang adalah kerajaan campuran apabila tidak ada parti yang menang secara mutlak. Kerajaan Australia adalah kerajaan campuran selama satu penggal yang lalu dan akan mengadakan pilihanraya lagi pada September nanti.

Tiada parti yang mendapat kemenangan yang tipis, boleh bertahan dan apa yang dihadapi oleh BN hari ini adalah keadaan yang sama dan dijangka tidak akan bertahan lama. Dalam memperbetulkan keadaan ini, semua pihak terutamanya kepada pihak yang menang dengan kerusi yang kecil itu mesti melakukannya secara baik dan jujur dan pertimbangannya hanyalah terhadap kesejahteraan rakyat sahaja, dan tidak yang lain.

Jangan ada pertimbangan yang lain dari itu kerana jika ada pertimbangan lain ia sudah pasti akan membantutkan usaha penyatuan itu. Apabila ada perundingan dan perbincangan ia wajar meletakkan kepentingan negara lebih dari yang lain. Jika PM Najib mahu melakukan perundingan itu beliau perlu tegas dan tidak mudah digoyang oleh elemen-elemen ugutan dari dalam Umno itu sendiri.

Sekarang nyata memilih Perdana Menteri secara "convention" iaitu seorang Presiden Umno itu adalah Perdana Menteri sudah jelas tidak lagi "feasible". Ini di sebabkan Umno sudah tidak mampu lagi mewujudkan kepimpinan yang ber "consequence" untuk negara kita.

Penyelesaian mesti dilakukan dengan kadar segera kerana jika ada kelengahan, ia akan membawa kepada situasi yang lebih buruk lagi kerana situasinya akan lebih buruk pada masa akan datang dalam kadar yang cepat pula. Kelalaian Umno selama ini menyebabkan parti itu sudah tiada yang berkepimpinan maka rakyat terpaksa mencari orang yang mampu untuk melakukan perubahan itu.

Jika Umno tidak mahu bertindak segera melakukan perubahan ini, maka yang jelas parti itu akan kecundang dan jika pimpinan hari ini masih dengan acara dan ragam yang sama maka rakyat akan memberikan persepi Umno tidak mahu berubah dan sudah bersedia untuk ditumpaskan. Jika itu berlaku Umno tidak boleh menyalahkan sesiapa termasuk ahli-ahlinya sendiri kerana bersikap degil dan tidak memahami apa yang dikehendaki rakyat sebenarnya.

Sememangnya Umno dan BN sedang menurun sokongan ramai. Semasa Abdullah Badawi yang dikatakan oleh setengah pihak seorang Perdana Menteri yang "tidur" dan tidak bersedia untuk membuat persiapan menghadapi pilihanraya, beliau tetap mendapat 140 kerusi dalam PRU 12 yang lalu.

Di sebaliknya semasa pentadbiran Najib yang sudah tersedia maklum dengan masalah yang ada di hadapan beliau dan telah melakukan kerja keras. Tetapi kerja keras beliau hanya mendapat kejayaan hambar dengan jumlah kerusi yang lebih rendah dari PRU sebelumnya.


Bagi melakukan perubahan ini kita mesti akui dahulu yang Umno serta BN sudah sampai kepenghujungnya dan ia memerlukan pembaharuan yang besar-besaran. Melakukan pembaharuan itu wajib dengan menampilkan seorang yang disegani dan boleh membantu membawa situasi politik yang berbeza dari yang ada pada hari ini. Itu dahulu yang mesti dilakukan.

Selagi ada baki-baki situasi politik sekarang ini wujud, usaha untuk melakukan pembaharuan itu tidak mudah dicapai.

Pihak yang mahu melakukan perubahan ini mesti membawa rakyat berfikir dalam "environment" yang baru supaya masing-masing akan merasa kebersamaan dalam melakukan perubahan dan membina negara yang bersatu padu itu. Semua pihak wajar merasakan keterlibatan mereka dalam usaha ini. Apabila dibawa rakyat bersama untuk mencapai penyatuan ini, maka rakyat akan bersama-sama menjaga apa yang telah diputuskan bersama itu.

Saya selalu membawa isu ini kerana saya sedar yang Umno akan kecundang dan pihak yang mengambilalih pun tidak mungkin berjaya melakukan perubahan sepenuhnya. Yang menang tidak akan dapat semua dan yang kalah tidak akan kehilangan semua. Justeru masalah perbalahan itu akan tetap wujud.

Bagaimanapun ini hanyalah pandangan peribadi jika diberikan ruang untuk difikirkan bersama. Jika tidak abaikan sahaja pandangan ini dan teruskanlah dengan perbalahan yang anda sekalian sedang lalui sekarang. — aspanaliasnet

Mahfuz Beri Amaran Kepada BN Supaya Hormat Suara Majoriti Rakyat

Posted: 21 May 2013 11:04 PM PDT


Ribuan hadiri perhimpunan Kedah, Mahfuz beri amaran kepada BN jangan cari pasal

ALOR STAR, 22 Mei — Ribuan menghadiri perhimpunan Black 505 di sini malam tadi dan ketua PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar memberi amaran kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) agar jangan mencari pasal kerana majoriti rakyat bersama Pakatan Rakyat (PR).

Mahfuz menganggarkan lebih 50,000 orang hadir di luar ibu pejabat PAS itu turut menyelar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Mukhriz Mahathir kerana memberi amaran terhadap penganjuran perhimpunan tersebut.

"Saya nasihatkan Zahid untuk menerima majoriti rakyat bersama Pakatan Rakyat dan jangan mulakan perang dengan rakyat. Jadi rasional," kata naib presiden PAS dan ahli Parlimen Pokok Sena itu dilaporkan berkata dalam laporan media.

"Kepada Mukhriz, saya nak nasihatkan dia jadi terbuka sedikit kerana dia masih muda. Dia tak patut berkelakuan seperti pemimpin Umno masa lampau yang menggunakan pendekatan konfrontasi dengan rakyat," tambah Mahfuz.

Pesuruhjaya PAS negeri itu turut mengingatkan kerajaan BN Mukhriz kerajaan PAS dahulu membenarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menggunakan stadium dalam satu perhimpunan Januari lepas.

Mukhriz, anak bongsu perdana menteri paling lama berkhidmat Tun Dr Mahathir Mohamad enggan memberikan kebenaran untuk PAS menggunakan stadium bagi perhimpunan Black 505 malam tadi.

'Kabinet Najib sikit atas dari Ahmad Nisfu'

PAS menyifatkan kabinet Datuk Seri Najib Razak yang dibentuk dengan undi popular 47 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, bukan sahaja kabinet minoriti tetapi juga mirip 'kabinet Ahmad Nisfu' dalam cerita Tiga Abdul yang turut dibintangi Allahyarham P.Ramlee.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, oleh hal yang demikian, Najib dan menteri-menteri kabinetnya perlu sedar, jangan terlalu berlagak atau angkuh dengan kuasa yang mereka ada kerana majoriti rakyat bukan lagi bersama BN.

"Alhamdulillah kita dapat 52 peratus sokongan pada PRU13 lalu. Dia (BN) dapat 47 peratus sahaja. Ahmad Nisfu dan Saleh Kamil 20 percent, kabinet Najib ini kabinet 47 percent sikit atas pada Ahmad Nisfu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 50,000 orang yang hadir pada Himpunan Black505 peringkat negeri Kedah malam tadi yang dipengerusikan Datuk Johari Abdul.

Program yang berlangsung di Kompleks PAS Kota Sarang Semut itu juga turut dihadiri pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Selain mereka, turut hadir adalah Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, AJK PAS Pusat Dr Hatta Ramli, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Ajak Mukhriz debat

Dalam ucpannya juga, Mahfuz yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah menyelar sikap Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir yang melarang himpunan ini diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim.

Katanya, alasan yang diberikan Mukhris kononnya himpunan ini hanya sarat dengan fitnah dan menimbul ketegangan, hanya tuduhan jahat terhadap Pakatan Rakyat.

"Dia kata himpunan ini cuba menimbulkan fitnah, cuba menimbulkan ketegangan, akan menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan.

"Ini bukan fitnah, bukan dakwaan kosong, ini fakta, semua orang tengok begitu teruknya berlaku penipuan (dalam PRU13 lalu).

"Saya bukan cabar Datuk Mukhriz, nanti orang kata saya sombong, tapi kalau dia kata dakwaan saya dan pimpinan Pakatan Rakyat ini berbaur fitnah, ayuh buat forum terbuka debat antara saya dengan dia di bandar Alor Setar,"
tegasnya.
-HD

Zahid, Adakah Pampasan Kuasa BN Di Perak Tindakan Demokratik?

Posted: 21 May 2013 08:24 PM PDT


Merujuk kenyataan Zahid semalam, kononnya 'rampasan kuasa tidak demokratik dan perlu terima keputusan PRU', Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengingatkan Zahid Hamidi supaya jangan lupa bagaimana dia mempertahankan rampasan kuasa Perak pada Februari 2009.

Speaker DUN Perak, V Sivakumar terpaksa mengadakan sidang media bawah pokok setelah BN merampas Perak dari Pakatan Rakyat secara haram pada 2009.

Apakah rampasan kuasa di Perak itu cukup demokratik? Mengapa tidak terima sahaja keputusan PRU12 lalu bahawa Perak dimenangi Pakatan Rakyat?

Mengenai kebangkitan rakyat pasca PRU13, Zahid janganlah bersikap munafik. Zahid tahu dan sengaja memutar belit isu dengan menyebut seolah rampasan kuasa akan berlaku.

Rakyat protes bukan kerana mahu merampas kerajaan melalui jalan raya tetapi turun kerana pilihan raya 5 Mei lalu penuh penipuan. Kemenangan rakyat pada 5 Mei telah digelapkan maka rakyat keluar menyatakan bantahan untuk menuntut kembali demokrasi yang dicuri.

Telah diumumkan oleh Gagasan #SuaraRakyat505 bahawa tarikh 25 Mei dipilih sebagai acara kemuncak untuk pesta rakyat menuntut demokrasi, manakala lokasi berhimpun adalah di depan Amcorp Mall bermula petang. Gabungan yang disertai lebih 50 NGO ini menyasarkan j/kuasa tertinggi SPR meletakkan jawatan segera sebagai tuntutan yang pertama dan utama.

SPR menjadi punca utama kecurangan besar PRU-13 dengan pelbagai taktik kotor yang diatur untuk memenangkan pemerintah. Malah, kononnya SRP direformasikan, tetapi senarai daftar undi masih tidak bersih dan paling penting ialah apabila dakwat kekal yang dijamin tahan lebih lima hari tidak mampu bertahan untuk 5 minit.

Kalau beginilah reformasi pilihanraya yang ditunjukkan, bukan bukan sekadar celup jari tetapi celup kepala pun boleh menipu tetap boleh berlaku penipuan.

Oleh demikian, semua rakyat diseru untuk bersama pada 25 Mei nanti yang merupakan kemuncak kesinambungan belasan himpunan besar Blackout505, dalam menyatakan protes dan bantahan terhadap kecurangan PRU-13.

SAMM juga meminta Zahid selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri jangan ulang kesilapan Hishammuddin Hussein yang asyik berpolitik mempergunakan agensi bawah KDN untuk kepentingan politik sehingga jenayah berleluasa.

Wahai Zahid ketahui atau tidak bahawa rumah kakak Muhiyuddin telah dirompak dan rumah adik IGP telah dipecah masuk ketika polis sibuk siasat Adam Adli dan Zahid sibuk mempolitikkan isu bantahan rakyat terhadap PRU yang kotor.

Percayalah, rakyat tetap akan bangkit menuntut demokrasi. Rakyat telah beri peluang, telah bersabar dan beri laluan untuk pilihanraya bersih dan adil.

Malangnya rakyat dikhianat dengan penipuan pilihan raya, kemenangan dirampas dan hak demokrasi bersuara telah ditutup rapat. Rakyat tetap akan bangkit dan kekuatan rakyat tidak mampu dibendung, 25 Mei, Amcorp Mall.

Badrul Hisham Shaharin/CheguBard
Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Najib Dikutuk Kerana Tidak Tepati Janji Mansuh Akta Hasutan

Posted: 21 May 2013 05:35 PM PDT


Pemuda Pakatan: Najib mungkir janji mansuh Akta Hasutan

Pemuda Pakatan Rakyat menyelar pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang pernah mengumumkan untuk menghapuskan Akta Hasutan tetapi masih menggunakan peruntukan tersebut untuk menahan aktivis siswa Adam Adli.

Gabungan sayap parti dalam Pakatan itu dalam kenyataan bersama mempersoalkan tindakan tersebut ke atas Adam Adli, sedangkan individu lain yang didakwa membakar sentimen perkauman tidak dikenakan apa-apa tindakan.

"Akta sedemikian patut dihapuskan dan tidak patut disalahgunakan untuk menzalimi rakyat biasa.

"Kredibiliti Najib sekali lagi dipersoalkan kerana beliau pernah menyarankan untuk menghapuskan akta ini pada tahun 2012.

"Ini menunjukkan bahawa Najib hanya bersandiwara dan tidak mempunyai niat politik untuk menghapuskan undang-undang yang langsung tidak mematuhi semangat ketertinggian perlembagaan," kenyataan itu dipetik.

Menurut Pemuda Pakatan, pihak berkuasa sepatutnya mengambil tindakan ke atas individu seperti presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali, naib presiden NGO pro-Melayu tersebut Datuk Zulkifli Noordin dan juga bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah.

Pemuda Pakatan mahu tindakan itu dikenakan ke atas Ibrahim ekoran kenyataan bekas MP Pasir Mas itu yang menggesa agar membakar bible berbahasa Melayu, ketika isu penggunaan kalimah Allah kembali menjadi tajuk utama laporan media pada awal tahun ini.

Tuntutan untuk mengenakan tindakan ke atas Zulkifli pula adalah berhubung satu kenyataan yang didakwa menghina penganut Hindu, dalam satu rakaman video.

Mohd Noor pula meraih populariti ekoran kenyataannya di satu forum pada 12 Mei lalu, yang antara lainnya mendakwa masyarakat Cina mengkhianati setiakawan dengan orang Melayu.

Pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat- Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan, Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong serta Ketua Pemuda PKR (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataan hari ini turut menuntut agar Adam dibebaskan segera tanpa dikenakan sebarang syarat.

Malah mereka juga berkata, tindakan polis yang menangkap Adam tanpa sebarang sebab boleh disifatkan sebagai tidak menghormati hak rakyat Malaysia dalam menggunakan perlembagaan.

Polis kini menjalankan siasatan ke atas Adam mengikut Seksyen124(b) Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 4 Akta Hasutan atas kenyataan yang dibuat dalam satu forum awam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei.

Beliau dan beberapa pemimpin lain dalam perhimpunan tersebut antara lainnya menggesa orang ramai untuk mengadakan perhimpunan jalanan besar-besaran untuk membantah penipuan yang didakwa berlaku dalam pilihan raya.

Pemuda Pakatan bagaimanapun bertegas bahawa Adam Adli sekadar memberikan pandangan yang munasabah dan berpatutan apabila menyeru rakyat Malaysia berhimpun bagi menyatakan protes ke atas pilihan raya yang kotor.

"Seruan beliau tidak melampaui hak yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, tidak berunsur hasutan dan tidak mempunyai motif-motif untuk menjejaskan demokrasi berparlimen kerana kebebasan berhimpun adalah hak yang dijamin di bawah unsur Perlembagaan Persekutuan," kenyataan itu dipetik.

[LIVE] Himpunan Black505 Di Kota Sarang Semut, Kedah

Posted: 21 May 2013 08:30 AM PDT


Himpunan Black 505, peringkat negeri Kedah malam ini yang pada awalnya dijadualkan di Stadium Sultan Abdul Halim dipindahkan ke Kompleks PAS Kedah, Batu 9, Kota Sarang Semut.

Himpunan yang diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap tahap demokrasi di Malaysia yang tercalar itu, akan dihadiri pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat.

Ia akan disertai Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ketua Menteri Pulau Pinang; Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Turut serta, seluruh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah dan Perlis.


Rakyat Berhak Mempersoalkan Kerajaan Minoriti BN, Kata Guan Eng Kepada Zahid Hamidi

Posted: 21 May 2013 06:00 AM PDT


Rakyat Malaysia berhak mempersoalkan mengapa sistem pilihan raya negara membenarkan kerajaan minoriti terus berkuasa, kata Lim Guan Eng hari ini sambil menyelar tindakan autokratik dan keras kerajaan menghukum mereka yang berani bertingkah.

Lim juga turut mengecam Menteri Dalam Negeri yang baru Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana meminta rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya negara agar berhijrah serta mencabar naib presiden Umno itu untuk berdebat dengannya sehari penuh di parlimen, dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang ataupun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua menteri Pulau Pinang itu turut menggelar Ahmad Zahid sebagai "bongkak" dan hanya berani di depan media dan kemera TV BN untuk menyelar rakan-rakan beliau dari PR.

"Adakah beliau berani untuk berdebat secara terbuka dengan saya atau Lim Kit Siang atau pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menunjukkan sama ada kenyataannya yang ekstremis dan memecahbelah itu bersifat demokratik dan sebahagian daripada rekonsiliasi nasional selepas pilihan raya umum," soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid menimbulkan kontroversi minggu lalu apabila menulis di dalam akhbar milik Umno Utusan Malaysia mengatakan rakyat Malaysia yang tidak berpuas dengan kemenangan BN kerana sistem "first past the post" boleh berpindah ke negara lain.

"Pemimpin-pemimpin parti pembangkang khususnya PKR dan DAP telah mengelirukan anak-anak muda Cina dan para pengikut yang buta politik untuk berpakaian serba hitam sebagai tanda protes terhadap keputusan PRU-13 yang dianggap memihak kepada mereka mengikut undi popular," tulis Ahmad Zahid.

"Jika golongan ini mahu menerima pakai list system atau single transferable vote seperti mana yang digunakan oleh negara-negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka," tambah beliau lagi.

Walaupun pertama kali hilang undi popular semenjak 1969, BN masih lagi memerintah negara dengan 133 kerusi Parlimen berbanding PR yang hanya mendapat 89 kerusi.

"Rakyat ada hak untuk menyoal demokrasi jenis apa yang ada di Malaysia yang membenarkan kekuasaan minoriti ke atas majority," kata Lim.

"Sebalik memberi jawapan kepada tuntutan umum terhadap reformasi pilihan raya supaya menghormati pinsip 'satu orang, satu undi, satu nilai', Ahmad Zahid mengambil pendekatan autokratik dan keras bagi menghukum mereka yang berani bertingkah," tambah beliau lagi.

Dalam satu forum pada 13 Mei lalu, aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim dilaporkan telah mencadangkan untuk mengadakan demonstrasi jalanan, dengan berkata: "Pilihan raya tidak akan menyingkirkan kerajaan, kuasa rakyat yang akan lakukannya."

Disebabkan itu, beliau kini direman di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

Pemimpin pergerakkan Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim juga pada forum sama berkata kerajaan hanya boleh ditumbangkan menerusi demonstrasi jalanan.

Walau bagaimanapun, PR telah menjauhkan diri daripada gesaan demonstrasi jalanan selepas keputusan Pilihan Raya 2013 meskipun mendakwa terdapat banyak penipuan berlaku.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan minggu lalu PR akan kekal mengadakan perhimpunan tertutup "untuk meluahkan rasa marah" terhadap penipuan undi pada pilihan raya umum 5 Mei baru-baru ini. Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad telah didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 minggu lalu ekoran kegagalan memberitahu pihak polis dalam tempoh 10 hari untuk berhimpun di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 8 Mei lalu. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

[VIDEO] Rafizi Kemuka Saksi Wujud Pengundi Hantu Dalam PRU-13

Posted: 21 May 2013 03:45 AM PDT


Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini mengemukakan lapan saksi yang dinafikan hak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 yang lalu.

Kesemua mereka ini mendakwa nama mereka terlebih dahulu digunakan orang lain untuk mengundi.

Menurut Rafizi selain membuat laporan polis, mereka juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Lapan individu tersebut, setiap seorang merupakan pengundi bagi Parlimen Sungai Petani, Rembau, Kuala Selangor, Kemaman, Tumpat, Shah Alam dan dua di Serdang.

"Mereka yang buat laporan ini tidak diarahkan, mereka juga bukan orang parti, tetapi bertindak disebabkan marah terhadap penipuan ini," kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Merchant Square di sini.

Rafizi turut menolak andaian bahawa kejadian itu berlaku disebabkan masalah teknikal, disebabkan semasa cuba mengundi semakan dua, tiga orang kerani di tempat mengundi, semuanya menunjukkan nama mereka sudah dipotong, bermakna seseorang sudah mengundi menggunakan nama mereka.

"Kalau cuma seorang sahaja kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memotong namanya, mungkin kita boleh percaya ia kesilapan teknikal kerani yang seorang itu, tetapi semua kerani dah potong nama pengundi terbabit.

"Ini sekaligus membuktikan bahawa Mykad palsu dan pengundi hantu itu memang wujud," katanya lagi.

Rafizi turut memberitahu pihak yang membuat laporan tersebut sebelum ini tidak pernah kehilangan Mykad masing-masing.

SPR tidak wajar menjadikan alasan lapan pengundi tidak menjejaskan keputusan pilihan raya kerana menurut Rafizi ia melibatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya negara ini.

Selain pengundi yang tampil membuat laporan polis, #Siasatpru13 yang diketuai Rafizi turut menerima video dan foto dari orang ramai yang boleh dijadikan bukti penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13 lalu.

Rafizi menambah, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merupakan dua badan yang bertanggungjawab terhadap penipuan dan penyelewengan dalam PRU-13 lalu.


Tiada ulasan: