™ kaasii peecaahhh laaa...® |
PRU13: MAJLIS PEMASYHURAN PAKATAN HARAPAN WANITA Posted: 30 Apr 2013 11:56 PM PDT Hari ini merupakan Hari Pekerja Sedunia; hari di mana kita mengiktiraf kerja keras yang ditonjolkan oleh wanita dan lelaki di seluruh dunia. Pakatan Rakyat ingin mengambil peluang untuk mengiktiraf setiap wanita Malaysia yang telah menyumbang tanpa jemu kepada negara sebagai seorang ibu, anak, pengasuh dan pekerja yang rajin dalam menjana ekonomi negara. Sejak kita mencapai kemerdekaan, penyertaan wanita dalam pembangunan negara telah sampai ke satu tahap yang jauh. Kini, sebanyak 70% pelajar universiti tempatan adalah wanita dan penyertaan wanita dalam tenaga kerja adalah pada kadar 48%. Meskipun terdapat peningkatan, wanita Malaysia masih diselubungi dengan pelbagai cabaran. Dasar yang mendiskriminasi menjadi punca kepada bayaran gaji dan faedah yang tidak seimbang walaupun kerja tersebut tidak ada bezanya dengan apa yang dilakukan oleh rakan setugas lelaki mereka. Wanita diharapkan untuk menggalas pelbagai tugas dalam keadaan tiadanya sistem sokongan. Kita mahukan wanita menjadi tunjang kepada keluarga dan mengasuh anak-anak tetapi turut mengharapkan mereka menyumbang kepada pembangunan negara. Ini adalah satu keadaan yang tidak adil dengan ketiadaan sistem sokongan yang sepatutnya. Pakatan Rakyat sedar akan keadaan tersebut. Maka, pada hari ini, kami ingin mengambil peluang untuk melancarkan semula Agenda Wanita Malaysia (AWM) yang pertama kali diluncurkan pada September 2012 yang lepas; satu agenda yang menggariskan enam bidang utama yang kami percaya akan menyumbang kepada pembangunan dan pemerkasaan wanita. Pakatan Rakyat percaya bahawa idea kreatif dan strategi inovatif adalah diperlukan untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh wanita moden hari ini- iaitu kebajikan, hak-hak, serta pemerkasaan dari segi politik, ekonomi dan sosial. Kepekaan politik dan kekuatan ekonomi wanita mengubah diri, keluarga dan masyarakat. Agenda Wanita kami adalah berasaskan falsafah hormat kepada wanita yang memperkasa dan memastikan keadilan untuk wanita. Agenda 'Pakatan Harapan Wanita' akan memberikan impak kepada pengundi-pengundi wanita melalui: · Meningkatkan penglibatan dan peluang wanita dalam ekonomi dengan menyediakan sistem sokongan yang sepatutnya untuk wanita yang bekerja melalui penubuhan Agensi Kesamarataan Hak untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan gaji dan faedah untuk wanita serta memastikan keadaan bekerja yang kondusif dan adil dari segi peluang-peluang pekerjaan dan kenaikan gaji. · Meningkatkan keselamatan, dengan meningkatkan jumlah polis peronda (terutamanya ketika waktu pejabat) dan menambah jumlah CCTV di kawasan tempat letak kereta dan jalan-jalan. Lebih penting, kami cadangkan untuk tingkatkan jumlah wanita dalam polis supaya satu bahagian khas dapat ditubuhkan untuk menangani kes wanita-wanita yang menjadi mangsa jenayah. · Menyemak kembali dasar perpindahan, pertukaran serta prosedur penghantaran pegawai kerajaan supaya suami, isteri dan keluarga dapat hidup bersama. Kami tidak akan benarkan keluarga-keluarga dipisahkan. Prinsip penting perkhidmatan awam adalah menyokong 'keluarga harmoni'. Kami menjangkakan dasar ini tidak akan membabitkan sebarang pertambahan dalam belanjawan. · Berdasarkan kejayaan di Selangor, kami akan menubuhkan Pusat Hentian Krisis di setiap negeri dengan bekerja bersama NGO-NGO tempatan dan polis untuk menyediakan kaunseling, bantuan guaman (untuk sivil dan syariah) dan tempat berlindung kecemasan. Ini akan mengisi jurang besar dari segi pertolongan untuk wanita yang buat masa ini tidak disediakan oleh NGO-NGO tempatan. Apa yang lebih penting, pusat ini akan menyediakan bantuan untuk semua dan mengurangkan ketidakseimbangan geografi antara kawasan luar bandar dan bandar. Diharap cadangan yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat ini bukan sekadar berkisarkan kepada kewangan semata-mata, tetapi harus sensitif kepada kesusahan dan kesedihan yang dialami oleh penjawat awam dan rakyat secara keseluruhannya. Kerajaan Pakatan Rakyat akan berteraskan rakyat. Saya percaya dasar ini akan disambut dengan baik oleh setiap penjawat awam dan rakyat. 1 Mei 2013 Datuk Seri Dr. Wan Azizah Presiden, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) |
You are subscribed to email updates from ™ kaasii peecaahhh laaa...® To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan