Isnin, 13 Mei 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Sah, Tan Sri Khalid Angkat Sumpah Sebagai MB Selangor Esok

Posted: 13 May 2013 01:56 AM PDT



[TMI] SHAH ALAM, 13 Mei — Teka-teki siapa akan menjadi Menteri Besar Selangor terjawab selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sah akan mengangkat sumpah esok di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Perkara ini disahkan setiausaha politik beliau, Faekah Husin, selepas dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

"Ya, beliau (Abdul Khalid) akan angkat sumpah jam 9 pagi esok di Istana Alam Shah," kata Faekah.

Perkembangan ini sekali gus menamatkan spekulasi yang sudah berlarutan selama seminggu tentang siapa pemimpin daripada gabungan parti PAS, PKR dan DAP (PR), yang akan mengisi kerusi menteri besar selepas pilihan raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei.

Abdul Khalid (gambar) ketika ditemui pemberita selepas menghadap Sultan Selangor di luar pintu masuk utama Istana Bukit Kayangan di sini berkata barisan baharu exco kerajaan negeri Selangor akan dibuat selewatnya-lewatnya dalam tempoh dua minggu.

"Senarai barisan exco dah ada. Sasaran kami, paling lebih dua minggu, paling awal seminggu exco baharu akan dilantik," katanya.

Abdul Khalid mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas PRU 2008 manakala barisan anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor mengangkat sumpah pada 23 Mac, iaitu 10 hari selepas itu.

Beliau juga merupakan orang pertama dalam kalangan pemimpin pembangkang yang dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

Kesemua 13 MB Selangor sebelum ini daripada Umno, parti komponen utama Barisan Nasional (BN).

Pada PRU13, PR memenangi 44 daripada 56 kerusi dewan undangan negeri (DUN) Selangor, meningkat daripada 36 kerusi yang diperoleh pada 2008.

PKR menang 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi. Barisan Nasional (BN) pula memenangi 12 kerusi.

Beberapa hari lepas, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menyatakan sokongan mereka kepada Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.



[Gambar] Magik PRU13: Tiada Calon BN Kecuali Najib dalam Top 20 Majoriti PRU13

Posted: 13 May 2013 01:00 AM PDT



P/s: Jangan terkejut. Inilah magik PRU13.





[PANAS] Khabar Angin Bertiup Kencang Adik Najib Bakal Jawat...

Posted: 12 May 2013 09:53 PM PDT


Khabar angin mendakwa adik Najib, Nazir akan meletakkan jawatan sebagai CEO CIMB dan menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet Najib.

Adakah khabar angin ini benar dan Najib merelakan dirinya dikaitkan dengan amalan nepotisme?

Khabar angin ini dipanjangkan dari blog ini.





[Gambar] 50 Ribu Rakyat Perak Hadiri Perhimpunan Black505

Posted: 12 May 2013 08:41 PM PDT



[KD] IPOH 13 MEI: Hampir 50,000 rakyat semua kaum memenuhi perkarangan Pejabat KEADILAN Perak, dekat Medan Istana, Ipoh, malam tadi dalam Himpunan 'Suara Rakyat, Suara Keramat: Tolak Penipuan PRU 13′ (Black 505) bersama Perdana Menteri Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Himpunan yang dijadualkan pada jam 8.30 malam itu bagaikan pesta apabila rakyat terutama anak muda hadir seawal 5 petang.

Ini demi menyatakan bantahan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab melakukan penipuan keputusan PRU 13 sekaligus memberi kemenangan tidak sah kepada Umno BN.

Turut memeriahkan acara, deretan gerai makanan, warung-warung NGO, busana pro-perubahan dan pelbagai lagi menjadi pilihan hadirin.

Kebanjiran lautan rakyat menyebabkan lalu lintas bandaraya Ipoh sesak hingga menyebabkan ada di antara mereka terpaksa meletakkan kenderaan sejauh lima kilometer dari tempat himpunan.

Rata-rata yang hadir berpakaian hitam membawa plakad seperti 'BN tipu, SPR Tipu', 'Ini Tsunami Malaysia', 'Hentikan Perkauman' dan 'Demokrasi Sudah Mati Dibunuh Umno BN'.


Ucapan pimpinan dimulakan tepat jam 8.30 malam oleh Pengerusi KEADILAN Negeri, Dr Muhammad Nur Manuty; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sepetang, Chua Yee Ling dan Naib Pengerusi KEADILAN Negeri, Baldip Singh.

Turut sama berucap, Adun Teja, Chang Lih Kang; Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing; Ketua Serikandi, Siti Aishah Shaik Ismail serta beberapa pemimpin Pakatan yang lain.

Acara kemuncak bermula sebaik Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menyampaikan input penerangan kepada rakyat.

Ucapan diakhiri Anwar yang juga Ketua Umum dengan penuh bertenaga dan paling ditunggu-tunggu.


Himpunan 'Black 505′′ peringkat Perak adalah yang ketiga dalam siri jelajah penerangan penipuan pilihan raya selepas himpunan di Kelana Jaya pada 8 Mei dan Batu Kawan, Pulau Pinang (11 Mei).

Himpunan 'Black 505′′ turut diadakan di Kuantan, Pahang pada Selasa, 14 Mei dan Johor Bahru, Johor pada Rabu, 15 Mei.

Ipoh

ipoh blackout 505 rally medan istana 120513





Berita Lain:

Rapat Perdana 13 Mei: Hari Bangsa Malaysia di KLSCAH 13 Mei (Isnin)

[KD] Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kebangsaan dengan kerjasama kumpulan Mahasiswa akan menganjurkan sebuah Rapat Perdana bertajuk 13 Mei: Hari Bangsa Malaysia, selamatkan demokrasi pada malam ini, 13 Mei 2013, jam 8 hingga 12 malam bertempat di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH).

Program akan dihoskan oleh Penyelaras SAMM, Chegu Bard dan hadirin disaran memakai baju hitam sebagai simbol penipuan SPR.

Antara pemidato yang bakal menghiasi pentas termasuk Sasterawan Negara, A. Samad Said; Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar; Tian Chua; R. Sivarasah; Profesor Aziz Bari; Hishamuddin Rais dan Datuk Thamrin Ghaffar.

Badan bukan kerajaan akan diwakili Maria Chin dari Bersih dan Haris Ibrahim dari badan Asalkan Bukan Umno (ABU).

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang, Adam Adli; KS Bawani; KC Heng dan Farel dari SAMM akan turut hadir mewakili suara mahasiswa.

Semuua dijemput hadir.




Susulan Budak 11 Tahun Dirogol, Mangsa Tidak Dicekik atau Dijolok dengan Kayu

Posted: 12 May 2013 06:30 PM PDT


[SH] SHAH ALAM – Polis mengesahkan mayat kanak-kanak malang, Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor atau Cinang, 11, yang ditemui mati di Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi, Klang minggu lalu dipercayai lemas dan dirogol.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Senior Asisten Komisioner Mohammad Md Yusop berkata, teori yang mengatakan mangsa dicekik dan kemaluannya dijolok tidak benar sama sekali.

"Siasatan mendapati mangsa lemas. Ada pendarahan di bahagian kemaluannya dipercayai dirogol. Walaupun kita menemui penyodok tanah di kawasan berhampiran, namun kemaluan mangsa tidak dijolok dengan alat itu. Mangsa hanya dirogol. Laporan perubatan sepenuhnya masih tidak diperoleh," katanya.

Sebelum ini, dua penjenayah lelaki berusia 19 dan 24 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Semalam, Sinar Harian melaporkan polis masih menunggu laporan DNA yang dijangka diterima minggu depan.



PR Fail Petisyen untuk 20-30 Kerusi Parlimen

Posted: 12 May 2013 05:54 PM PDT



[SH] JOHOR BAHRU - Pembangkang menaruh keyakinan akan dapat menumbangkan kerajaan BN termasuk menerusi cadangan memfailkan petisyen di 20 hingga 30 kerusi Parlimen yang dimenangi parti pemerintah.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, jika usaha itu berjaya, kerajaan BN akan tumbang dan PR akan mengambil alih Putrajaya.

"BN sekarang ada 133 kerusi Parlimen. Sekiranya daripada petisyen yang kita akan buat, kita berjaya dapat 22 kerusi, yang akan tinggal pada BN hanya 111 kerusi. Ini bermakna kita akan dapat majoriti dan jadi kerajaan," katanya di sini, semalam.

Kit Siang berkata, mengambil kira undi popular, PR sudah dapat 51 peratus berbanding BN yang hanya dapat 47 peratus.

"BN dapat sokongan minoriti daripada undi popular," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai petisyen yang akan dikemukakan, Kit Siang berkata, DAP sudah melantik Gobind Singh Deo untuk mengetuai jawatankuasa yang akan meneliti perkara itu.

"Kita tunggu keputusan PRU13 diwartakan, selepas itu dalam tempoh 21 hari, kita boleh buat petisyen. Kita jangka boleh kemuka petisyen di 20 hingga 30 kerusi Parlimen yang dimenangi BN," katanya.

Ditanya mengenai cabaran Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan supaya 89 calon PR yang memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya lalu tidak angkat sumpah kerana menolak keputusan PRU13, Kit Siang berkata: "Tidak perlu hirau cabaran ini. Kita tak perlu jawab apa-apa cabaran."



Berkaitan:

27 Kerusi yang Dimenangi BN Diragui

[TMI] PETALING JAYA, 13 Mei — PKR hari ini berkata mereka telah menerima 237 laporan penipuan yang berlaku ketika Pilihan Raya 2013 di 27 kawasan Parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN).

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, berkata, pasukan #siasatPRU13 yang diketuainya turut menemui keraguan di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Kedah dan Pulau Pinang, dan akan meneliti kesemua kerusi berkenaan.

"PKR akan bekerjasama dengan DAP dan PAS untuk menjalankan siasatan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini. "Oleh kerana 19 daripada kerusi ini dimenangi tipis oleh BN adalah kerusi PKR, proses mengumpul maklumat dan bukti bagi tujuan petisyen pilihan raya sedang giat dijalankan."

Rafizi juga mengesahkan Pakatan Rakyat (PR) juga akan mengemukakan petisyen mengenai penipuan dalam pilihan raya umum ke-13 pada hujung Mei ini, namun mendakwa undang-undang pilihan raya tidak "mesra" pembangkang.

"Kami akan kemuka petisyen hujung Mei ini ... bagaimanapun undang-undang semuanya menentang kami kerana BN yang buat undang-undang," katanya.

"Saya tidak menjangkakan petisyen akan berpihak kepada pembangkang," katanya dan menambah, beliau tidak mempercayai gesaan pemimpin BN supaya menyuarakan rasa ketidak puasan hati mereka berhubung perjalanan pilihan raya melalui petisyen.

Ketika sidang media itu juga, Rafizi turut mengemukakan senarai antara kerusi yang diraguinya, termasuklah Bentong; Kuala Selangor; Baram; Sungai Besar; Pasir Gudang; Labis; Machang; Ketereh; Titiwangsa; Tebrau; Bagan Serai; Kota Marudu; dan Beufort.

Rafizi turut menyenaraikan kerusi Setiawangsa; Segamat; Ledang; Balik Pulau; Kulim Bandar Baharu; Pulai; dan Kuala Kangsar; Muar; Pendang; Hulu Selangor; Sabak Bernam; Merbok; Pensiangan; dan Saratok.

Ahli Parlimen Pandan itu turut menegaskan, daripada 27 kerusi Parlimen berkenaan, hanya dua sahaja yang mereka masih lagi belum menerima laporan penipuan iaitu di kerusi Parlimen Machang dan Hulu Selangor.

Antara kriteria utama yang menjadi fokus siasatan mereka jelas Rafizi adalah termasuk margin kemenangan tipis bawah 5 peratus; margin kemenangan tidak sepadan dengan undi rosak apabila undi rosak lebih besar daripada margin kemenangan; peratusan undi pos dan undi awal mengatasi margin kemenangan undi biasa sehingga keputusan pengundi biasa bertukar akibat pola undian kedua-dua undi berkenaan yang diragukan; serta kerusi yang dilaporkan bukti kukuh beserta laporan polis.

PKR juga jelas Rafizi turut menumpukan kepada enam senarai penipuan yang jelas iaitu; pengundi dilarang mengundi kerana undi mereka dibuang orang lain; BN membeli undi; dakwat kekal tidak kekal; kesalahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menandatangani Borang14 sebelum pengiraan; dan pengundi warga asing.

"Kami mempunyai bukti bergambar dan video untuk menyokong dakwaan kami di kerusi Parlimen Balik Pulau," katanya mendakwa berjaya memperolehi gambar pengundi menukarkan vaucer kepada wang tunai.

"Kami sedang berusaha mendapatkan pengundi yang berani tampil mendedahkan tentang kewujudan vaucer berkenaan," tambah pemimpin muda PKR itu lagi

Rafizi bagaimanapun turut berkata, pihaknya juga kini sedang mengesan beberapa penipuan yang dipercayai wujud di kerusi yang dimenangi pembangkang, seperti di Parlimen Lembah Pantai, Selayang dan juga kawasan yang dimenanginya, di Pandan.

Pasukan yang diketuainya itu jelas Rafizi mengandungi seramai 67 anggota sukarela, yang meliputi mereka yang bekerja sebagai peguam, dan akauntan.

Jelasnya lagi, laporan berkenaan penipuan yang berlaku ketika pilihan raya itu juga sedang diteliti dan pasukannya memanggil pengadu untuk mengambil keterangan dan bukti untuk tindakan susulan.

"Selain penyiasatan kualitatif, #siasatPRU13 juga menjalankan analisa kuantitatif untuk mengenalpasti pelbagai perkara yang menguatkan lagi sentimen rakyat bahawa PRU13 dimenangi BN melalui penipuan," kata Rafizi.

Segala bukti yang berjaya dikumpulkan jelas Rafizi lagi akan dikumpulkan dalam tempoh seminggu dari sekarang setelah kesemua saksi selesai memberikan keterangan.

Sebagai bantahan kepada keputusan Pilihan Raya 2013, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menganjurkan beberapa siri perhimpunan besar-besaran di seluruh negara termasuk di Petaling Jaya, Pulau Pinang, dan Ipoh sejak minggu lepas.






Tiada ulasan: