Selasa, 21 Mei 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Peranan Paul Low Tidak Berkesan Jika Tidak Didayakan Dalam Kabinet

Posted: 21 May 2013 04:22 AM PDT


bn putrajaya

SHAH ALAM : Perlantikan Presiden Transparensi Antarabangsa Malaysia (TIM), Datuk Paul Low sebagai Menteri disifatkan tidak mendatangkan hasil sekiranya peranan beliau tidak didayakan sepenuhnya dalam Kabinet baru yang dibentuk.

Perlantikan Paul akan hanya bermakna sekiranya pembahruan yang dibawa beliau untuk membasmi rasuah diterima kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebelum ini, Malaysia telah menubuhkan institusi, agensi dan undang-undang anti-rasuah tetapi persepsi rasuah masih buruk kerana tiada iiltizam politik untuk membersihkan pentadbiran.

Dr Dzulkefly berkata Paul dibawa masuk ke dalam Kabinet dengan harapan supaya komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membanteras rasuah dapat dilihat rakyat sebagai sesuatu yang positif.

"Saya mengingatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, walaupun Low adalah daripada TIM, beliau tidak akan dapat berbuat apa-apa sekiranya peranannya (Low) tidak didayakan di dalam Kabinet.

"Ini bermakna, sekiranya Low mengesan kecurangan dalam tadbir urus dan tata kelola khususnya pemberian kontrak, perolehan dan sebagainya, beliau mesti menyatakan tentangan dengan tegas, telus, lantang dan berani," katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Paul, seorang yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam parti politik Umno-BN dilantik sebagai Menteri di Dalam Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun tegas Dr Dzulkefly, pelantikan Paul tidak akan mengubah tanggapan buruk rakyat terhadap pentadbiran Najib ekoran pelbagai salah guna kuasa yang dilaporkan berlaku sebelum ini.

"Undang-undang itu ada, institut pun ada, badan penguatkuasaan pun ada tetapi kesemuanya akan gagal andainya pihak eksekutif tidak mempunyai komitmen yang tegas untuk memerangi rasuah.

"Peraturan boleh dibolosi kerana tiada iltizam politik untuk membersihkan pentadbiran," katanya lagi.

Sementara itu, bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan melahirkan kebimbangan beliau terhadap pemilihan Paul dalam Kabinet yang dikatakan mungkin tidak akan mendatangkan sebarang impak.

"Pelantikan Low ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana beliau bukan daripada kalangan ahli politik.

Tetapi apa yang membimbangkan ialah sama ada beliau akan diberikan tanggungjawab yang membolehkannya melakukan tugasan atau hanya bertindak sebagai penasihat sahaja.

"Kita perlu tunggu sekurang-kurangnya dalam tempoh lima hingga enam bulan untuk melihat perubahan," jelasnya.

Berita yang disembunyikan: BN hilang deposit di 2 kerusi

Posted: 21 May 2013 04:14 AM PDT

http://mutaligat.blogspot.com,


Media perdana menyembunyikan berita bahawa BN hilang deposit di 2 kerusi di Pulau Pinang. Lihat bukti di bawah ini.

N.27 Pengkalan Kota, Pulau Pinang.
KEPUTUSAN PILIHAN RAYA UMUM
DEWAN UNDANGAN NEGERI
NEGERI : PULAU PINANG

BAHAGIAN PILIHAN RAYA : N.27 - PENGKALAN KOTA
NAMA PENUHPARTIBILANGAN UNDIKEPUTUSAN
1. LOKE CHEANG GIN @ LOKE POH CHYE BN1,803HILANG DEPOSIT
2. LAU KENG EE DAP15,403MENANG

JUMLAH PEMILIH BERDAFTAR:19,980

JUMLAH KERTAS UNDI DITOLAK:243

JUMLAH KERTAS UNDI DALAM PETI UNDI:17,449

JUMLAH KERTAS UNDI DIKELUARKAN:17,468

JUMLAH KERTAS UNDI TIDAK DIKEMBALIKAN:19

PERATUS PENGUNDIAN:87.40%

MAJORITI:13,600


N.13 Berapit
NEGERI : PULAU PINANG

BAHAGIAN PILIHAN RAYA : N.13 - BERAPIT
NAMA PENUHPARTIBILANGAN UNDIKEPUTUSAN
1. LAU CHIEK TUAN BN2,230HILANG DEPOSIT
2. ONG KOK FOOI DAP16,995MENANG

JUMLAH PEMILIH BERDAFTAR:22,394

JUMLAH KERTAS UNDI DITOLAK:165

JUMLAH KERTAS UNDI DALAM PETI UNDI:19,390

JUMLAH KERTAS UNDI DIKELUARKAN:19,422

JUMLAH KERTAS UNDI TIDAK DIKEMBALIKAN:32

PERATUS PENGUNDIAN:86.70%

MAJORITI:14,765

Malangnya media perdana cuba menutup berita ini. Tak lama BN akan pupus ........mungkin tak pernah berlaku BN hilang deposit sebelum ini.

SPR berselindung di sebalik undang-undang - Asmuni

Posted: 21 May 2013 04:11 AM PDT

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: PAS sedang mengumpul bukti secara terperinci berhubung dakwaan terdapatnya penipuan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada Pilihan Raya Umum (PRU13),  Mei lalu.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi berkata, bukti itu perlu bagi mengemukakan petisyen untuk kerusi Parlimen dan Dun yang dikesan wujudnya penipuan.

"Kebanyakan kes menunjukkan mahkamah tidak bersedia untuk mengubah peraturan yang ada," katanya kepada Harakah.

Pindaan terhadap Seksyen 9A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2002), ujarnya, menyebabkan daftar pemilih yang digazetkan tidak boleh dibawa ke mahkamah oleh mana-­mana pihak.

Ujarnya, pada 2002 hakim pernah membatalkan keputusan Pilihan Raya Kecil Dun Likas (Sabah) dengan alasan daftar pengundi SPR didapati penuh dengan penipuan dan daftar pemilih tersebut tidak bersih dengan dicampur aduk orang yang tidak sepatutnya mengundi.

"Apa yang berlaku selepas itu, SPR mengambil iktibar daripada keputusan mahkamah, undang­undang dipinda dengan Seksyen 9A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2002) yang menyebabkan daftar pemilih yang digazetkan tidak boleh dicabar di mahkamah," jelasnya.

Beliau berkata, kes yang sama berlaku pada Pilihan Raya Kecil Dun Pengkalan Pasir apabila mahkamah menolak petisyen PAS walaupun dengan bukti kukuh.

Katanya, beberapa kes ini membuktikan SPR sendiri tidak suka menerima teguran dan kritikan serta berselindung di sebalik undang-­undang sedia ada.

Asmuni menegaskan, dalam seksyen yang sama walaupun dibuktikan berlakunya kesilapan, tapi sekiranya keputusan penyelewengan itu tidak boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, maka penyelewengan itu dikatakan tetap sah dan tidak boleh dibatalkan.

"Inilah dilema pihak Pakatan, walaupun penipuan dan penyelewengan wujud tetapi amat sukar untuk mengemukakan bukti sepenuhnya kerana tidak semua individu terbabit sanggup menjadi saksi," katanya.

Kelantan tuan rumah Tilawah al-Quran Kebangsaan

Posted: 21 May 2013 04:03 AM PDT

Zamani Mohd Zain,


KUALA LUMPUR: Negeri Kelantan dipilih menjadi tuan rumah kepada musabaqah Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-56 tahun ini.

Majlis tersebut akan diadakan pada 10 hingga 14 Jun ini bertempat di Kompleks Balai Islam, Lundang.

Pemilihan negeri itu merupakan pertama kali sejak 23 tahun ianya ditadbir oleh PAS.

Seramai 30 qari dan qariah dari seluruh negara akan mengambil bahagian pada tilawah berkenaan.

Kelantan juga telah membenarkan qariah mengambil bahagian sejak dua tahun lepas.

Tilawah al-Quran kali ini pada mulanya dijadualkan diadakan 2 hingga 6 Mei lalu, namun ditangguh ekoran pilihan raya umum ke-13.

Perasmian penutup akan disempurnakan Sultan Muhammad V, manakala pembukaan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam perkembangan sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini berkunjung ke Kelantan bagi meninjau persiapan untuk majlis itu.

Beliau berkunjung ke Kota Darulnaim bertemu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob di pejabatnya.

Sementara itu, Menteri Besar selepas pertemuan itu berkata, kerajaan negeri menyambut baik Kelantan dipilih sebagai lokasi penganjuran tilawah al-Quran kali ini.

"Insya-Allah kita akan berusaha melaksanakan program berkenaan yang julung kali diadakan di sini dengan sebaik mungkin.

"Saya seperti juga Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini sentiasa bersikap terbuka dalam menjalin kerjasama hubungan antara kerajaan negeri dan pusat demi kebaikan rakyat," katanya.

Hadir sama pada pertemuan itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Dato' Mohd Nasuruddin Daud dan pegawai kanan kerajaan pusat serta negeri.

Jamil Khir berkata, tilawah al-Quran tahun ini turut menawarkan hadiah kereta Proton Preve kepada johan qari dan qariah.

Selain itu katanya, hadiah wang tunai RM15,000, piala pusingan, piala iringan, pakej menunaikan haji dan sijil penyertaan.

"Semua negeri akan menghantar peserta qari dan qariah termasuk Kelantan," katanya.

Lebih 25 Buah Binaan dan Bangunan Yang Rosak, Roboh dan Runtuh Sejak 2008

Posted: 21 May 2013 03:59 AM PDT

Editor BULETIN

http://buletinonline.net/images/stories/aberita20/tangki%20air%20runtuh.jpgKUALA TERENGGANU -  Sejak peristiwa perobohan masjid Bujal, banyak binaan dan bangunan terutamanya yang dibina oleh kerajaan Umno-BN, khususnya dibina sewaktu zaman Idris Jusoh telah rosak, roboh dan runtuh.

'Badi' keruntuhan tersebut yang tidak henti-henti sehingga runtuhnya Masjid Binjai Kertas semalam 20 Mei, 2013, seolah-olah menjadi 'siri' runtuhan yang menyebabkan negeri Terengganu Darul Iman digelar sebagai 'Darul Runtuh'.

Ada binaan yang sudah disiapkan, tetapi tidak lama selepas itu telah runtuh dan rosak binasa seperti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Manakala ada yang runtuh sebahagiannya, setelah siap dibina seperti masjid Kampung Lingai di Batu Rakit, masjid Kampung Batu Putih di Kemasik dan yang terbaru, masjid Kampung Binjai Kettas di Kuala Berang.

Ada binaan awam yang sudah siap, tetapi tidak dapat digunakan kerana 'takdir Allah', walau pun segala kepakaran yang ada pada manusia, bangunan tersebut yang dibina begitu baik, tiba-tiba tanahnya mendap dan bangunannya rosak seperti Pasar Baru Kampung Binjai Kemaman, Sekolah enengah Kebangsaan Alor Limbat dan masjid al-Redga di kampung Manir.

Ada bangunan yang belum pun siap, tetapi telah roboh dan runtuh semasa pembinaannya seperti bangunan Universiti Malaysia Terengganu dan Pentas Astaka di bandar Jertih, Besut.

Dan banyak lagi bangunan-bangunan yang terdapat 'cecat cela' yang kesemuanya itu, menyebabkan kerajaan terutamannya rakyat Terengganu telah mengalami kerugian ratusan juta ringgit.

Berikut dilampirkan senara terbaru binaan atau bangunan yang runtuh sejak tahun 2008;

1.    Dewan Saidina Abu Bakar SMK Wakaf Tapai, Marang
Tarikh    : 12 April 2008
Harga    : RM 2 juta

2.    Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Tarikh    : 2 Jun 2008
Harga    : RM292 juta
Punca    : "Semua buat silap" – Ahmad Said

3.    Kolam Renang batu Burok Bocor
Tarikh : 5 Jun 2008
Harga :  RM 18 juta

4.    Siling  Bumbung Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Tanggal
Tarikh : 29 Jun, 2008
Harga  : (Terminal ) RM123 juta

http://buletinonline.net/images/stories/aberita20/binaan%20rosak%20dan%20runtuh.jpg5.    Pusat Latihan Antarabangsa (ITC), Kemaman
Maklumat – Runtuh sebahagian balkoni di tingkat lapan.
Tarikh    : 15 Mac 2009

6.    Menara komunikasi jalur lebar di Kampung Chegar Batang, Besut.
Maklumat – Tumbang.
Tarikh    :  6 Ogos 2009.
Harga    : RM15 juta

7.    Bumbung Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman
Tarikh    : 3 Oktober 2009
Harga    : RM 2.1 Juta

8.    Bumbung Kaca Terminal Bas Kuala Berang
Tarikh    : 21 Disember 2009
Harga    : sekitar RM700,000  (RM4.2 juta kos keseluruhan projek)
Pemaju    : Gemilang Mega Sdn Bhd
Punca    : Tiada pemantauan semasa

9.    Bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu
Maklumat – Runtuh sebahagian semasa dalam pembinaan.
Tarikh    : 29 Mac 2010.

10. Pondok rehat di kawasan landskap Pasar Besar Kedai Payang
Tarikh; 9 Januari, 2011
Rekod bangunan paling cepat runtuh setelah siap dibina

10. Astaka Dalam Pembinaan di Besut
Tarikh; 21 Jun, 2012

11. Papan tanda atau sign board gergasi Pusat Penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu di Bukit Kor, Marang
Tarikh; 19 Julai, 2012

12.Tangki Air Sekolah Menengah Paka
Tarikh; 24 Julai, 2012

13. Sengkuap bumbung pentas Astaka di Taman Bandar Chukai
Tarikh; 30 Disember, 2012

14. Kerangka Stadium Sultan Mizan runtuh semasa dibaik pulih tarikh; 20 Februari 2013

14. Masjid Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang
Tarikh; 20 Mei, 2013
Harga; RM1.4 juta

Lain-lain senarai binaan yang rosak adalah;

1.    Binjai Souq
2.    Bazaar Warisan
2.    Masjid Kristal Tarikh : 22 November, 2008
3.    Masji Kg Lingai Tarikh : 4 November 2009 Harga : RM3 juta
4.   Taman Tamadun Islam – Stor Dewan runtuh pada Julai 2010
5.    Masjid An Naim Dungun
6.    Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Limbat, siap dibina pada 2010, harga; RM19 juta. Di Parlimen Timbalan Menteri Pelajaran Mohd Puad Zarkashi mengesahkan, sebanyak RM15 juta diperlukan untuk membaik pulih
7. Masjid al-Redha, Kampung Manir, seluruh binaan mendap, harga RM1.2 juta
7. Pasar Baru Kedai Buluh
8. Pasar Baru Manir
9.    Dewan Serbaguna dan Masjid di KETENGAH
10. Taman Panorama Bukit Pak Apil
11. Pagar padang sintetik KampungTok Jiring, beluam dirasmikan runtuh dipukul ribut pada 2 Mei, 2013

Lebih ramai ‘Adam Adli’ akan muncul selagi pilihan raya tidak bersih, kata pemimpin muda Pakatan

Posted: 21 May 2013 03:51 AM PDT


Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR — Penangkapan aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim dibawah Akta Hasutan adalah disebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) takut dengan kebangkitan rakyat menentang keputusan Pilihan raya 2013, kata pemimpin pemuda Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Pemuda ketiga-tiga parti komponen PR daripada PAS, PKR dan DAP menegaskan, penentang keputusan pilihan raya lalu bukan hanya semata-mata Adam Adli, sebaliknya terdapat lebih ramai yang menyokong beliau demi mahukan keputusan pilihan raya yang bersih.

"Selagi pilihan raya yang bersih dan adil tidak dikembalikan kepada rakyat, maka lebih banyak Adam Adli akan bangkit dan lawan tetap lawan demi negara Malaysia!" kata kenyataan berkenaan yang dikeluarkan bersama Ketua Dewan Pemuda PAS, dan ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan Tantawi; Ketua Pemuda Sosialis DAP Teo Kok Seong yang juga ahli Parlimen Rasah; dan Ketua Angkatan Muda PKR  Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga ahli Parlimen Bukit Katil.

"BN harus diingatkan bahawa bukan sahaja Adam Adli seorang sahaja yang menentang pilihan raya yang kotor, malah beliau akan disokong oleh rakyat jelata yang menginginkan pilihan raya yang bersih dan adil," kata mereka lagi.

Adam Adli telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 pada Sabtu lalu.

Beliau dikatakan telah menghasut rakyat supaya turun ke jalanan bagi membantah keputusan pilihan raya dalam satu forum anjuran Suara Anak Muda Malaysia (SAMM) pada 13 Mei di Dewan Himpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCH).

Pimpinan Pemuda PR itu juga turut menyeru supaya BN menghentikan segala taktik dan tindakan kotor yang menindas rakyat dan membebaskan Adam Adli yang hanya melaksanakan haknya untuk bersuara.

"BN diingatkan untuk menepati janjinya dengan menghapuskan Akta Hasutan dan kesemua akta zalim yang sedia ada ... hak perlembagaan rakyat harus dibela dan bukannya dizalimi," kata mereka.

Khairy Jamaluddin, selaku Menteri Belia dan Sukan tegas mereka harus mempertahankan dan membela hak perlembagaan Adam Adli sekiranya beliau memang berniat untuk memenuhi aspirasi anak muda.

"Sesungguhnya Barisan Nasional adalah pihak yang telah menjejaskan demokrasi berparlimen dan bukannya Adam Adli," tegas mereka lagi.

[VIDEO] Rafizi Kemuka Saksi Wujud Pengundi Hantu Dalam PRU-13

Posted: 21 May 2013 03:44 AM PDT


KELAB GREENBOC

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini mengemukakan lapan saksi yang dinafikan hak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 yang lalu.

Kesemua mereka ini mendakwa nama mereka terlebih dahulu digunakan orang lain untuk mengundi.

Menurut Rafizi selain membuat laporan polis, mereka juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Lapan individu tersebut, setiap seorang merupakan pengundi bagi Parlimen Sungai Petani, Rembau, Kuala Selangor, Kemaman, Tumpat, Shah Alam dan dua di Serdang.

"Mereka yang buat laporan ini tidak diarahkan, mereka juga bukan orang parti, tetapi bertindak disebabkan marah terhadap penipuan ini," kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Merchant Square di sini.

Rafizi turut menolak andaian bahawa kejadian itu berlaku disebabkan masalah teknikal, disebabkan semasa cuba mengundi semakan dua, tiga orang kerani di tempat mengundi, semuanya menunjukkan nama mereka sudah dipotong, bermakna seseorang sudah mengundi menggunakan nama mereka.

"Kalau cuma seorang sahaja kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memotong namanya, mungkin kita boleh percaya ia kesilapan teknikal kerani yang seorang itu, tetapi semua kerani dah potong nama pengundi terbabit.

"Ini sekaligus membuktikan bahawa Mykad palsu dan pengundi hantu itu memang wujud," katanya lagi.

Rafizi turut memberitahu pihak yang membuat laporan tersebut sebelum ini tidak pernah kehilangan Mykad masing-masing.

SPR tidak wajar menjadikan alasan lapan pengundi tidak menjejaskan keputusan pilihan raya kerana menurut Rafizi ia melibatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya negara ini.

Selain pengundi yang tampil membuat laporan polis, #Siasatpru13 yang diketuai Rafizi turut menerima video dan foto dari orang ramai yang boleh dijadikan bukti penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13 lalu.

Rafizi menambah, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merupakan dua badan yang bertanggungjawab terhadap penipuan dan penyelewengan dalam PRU-13 lalu. 



LIHAT VIDEO DI SINI


Baru Cakap Suruh Tumpukan Kes Jenayah, Rumah Kakak Muhyiddin & Adik IGP Dirompak!

Posted: 21 May 2013 03:40 AM PDT


Pemimpin Pakatan pernah menggesa supaya Menteri KDN dan KPN supaya utamakan soal benteras jenayah, bukan "bermain politik"

Rumah kakak Muhyiddn, adik IGP dirompak

KELAB GREENBOC

Hanya dalam masa lima jam, dua kediaman milik anggota keluarga orang kenamaan negara dirompak dalam dua kejadian berasingan pada hujung minggu lalu.

Laporan China Press menyebut, kejadian pertama berlaku di kediaman milik seorang kakak kepada timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di SS3, Petaling Jaya.

Kediaman tersebut, sebuah rumah banglo, dilaporkan dipecah masuk pada jam 10 malam pada hari Sabtu.

Pada jam 3 pagi selepas itu, satu lagi kejadian rompakan dilaporkan berlaku di Mantin, Negeri Sembilan di sebuah rumah banglo milik seorang adik kepada ketua polis negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Seramai lima orang dalam keluarga terbabit diikat oleh lima orang perompak, dipercayai warga asing.

Menurut satu kiriman berita Nanyang Siang Pau, perompak berkenaan menghilangkan diri tanpa dikesan manakala mangsa enggan mendedahkan jumlah kerugian.


Kit Siang: KPN dan Zahid 'bermain politik', gesa tangani jenayah


GEORGE TOWN, 19 Mei — Ketua polis negara (KPN) baru dan menteri dalam negeri perlu berhenti "bermain politik" dan mula melindungi rakyat Malaysia, pelancong dan pelabur selamat daripada jenayah dan bahaya, kata pemimpin DAP Lim Kit Siang hari ini.

Penasihat DAP tersebut membidas KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid ekoran kenyataan kedua-dua mereka ke atas perhimpunan Pakatan Rakyat (PR) dan rakyat Malaysia yang tidak gembira dengan keputusan pilihan raya.

"Kedua-dua perlu sedar bahawa mereka dibayar oleh pembayar cukai untuk menjalankan tugas utama mengurangkan jenayah, untuk melindungi keselamatan rakyat Malaysia, pelancong dan pelabur dan untuk menghapuskan perasaan takut terhadap jenayah yang menghantui rakyat Malaysia dalam negara ini, bukan mengabaikan tugas mereka dengan bermain politik dengan menggunakan kedudukan mereka," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim kemudiaan mencabar kedua-dua individu supaya menumpukan tanggungjawab mereka serta memberitahu kepada rakyat bagaimana mereka akan mengurangkan kadar jenayah, bukan dengan hanya bersikap sambil lewa dan pandai berpolitik sahaja.

"Kalau mereka banyak masa terluang, apa kata mereka cabar diri sendiri untuk membuang Johor Baru sebagai pusat jenayah dalam tempoh 12 bulan daripada sekarang.

"Adakah Khalid dan Zahid mampu mengumumkan perletakkan jawatan mereka kepada umum jika mereka gagal melakukannya untuk memastikan Johor Baru selamat dan terjaga semula?" kata Lim.

Menurut Lim lagi, kedua-dua mereka hanya sibuk bercakap tentang konspirasi mengguling kerajaan tetapi tidak pula melakukan siasatan terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan berbau perkauman walaupun banyak laporan polis telah dibuat, sebagai contohnya terhadap bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah.

"Mengapa pihak polis tidak mula siasatan ke atas ucapan hasutan dan perkauman yang dibuat kepada orang awam oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Abdullah pada Ahad lalu walaupun laporan polis telah dibuat?" soal Lim lagi.

Malah, akhbar milik Umno Mingguan Malaysia hari ini juga melaporkan bahawa Khalid memandang serius pendedahan bekas paib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, yang menuduh terdapat konspirasi menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan rusuhan dengan nama Malaysia Spring.

"Individu yang membuat dakwaan pun tidak mempunyai integriti atau keberanian untuk membuat laporan polis, bagaimana Ketua Polis Negara boleh berkata akan memulakan siasatan ke atas tuduhan yang keterlaluan dan tidak berasas?" kata Lim lagi merujuk kepada Tunku Abdul Aziz.

Bulan lalu, media melaporkan pembunuhan dan percubaaan merompak terhadap wanita berumur 52 tahun Irene Ong di Bukit Gasing yang menyayat hati dan mendapat tumpuan orang ramai.

Putrajaya telah mengatakan dari 2009 hingga 2012, kadar jenayah kebangsaan menurun sebanyak 27 peratus sementara jenayah jalanan menurun sebanyak 39.7 peratus tetapi ramai pengundi wanita yang berjumlah separuh daripada keseluruhan pengundi.

Polis mengatakan kadar jenayah juga jatuh enam peratus untuk suku tahun pertama 2013 berbanding tempoh yang sama tahun lepas tetapi beberapa kumpulan mempertikaikan angka tersebut, mengatakan ianya telah diubah.

Pengerusi Pemantau jenayah MyWatch R. Sri Sanjeevan mengatakan Putrajaya dan polis hanya memberitahu jenayah adalah satu persepsi dalam tindak balas terhadap kebimbangan awam.

MyWatch menuduh polis Februari lalu mengubah statistik jenayah, mendakwa kes-kes ragut dan samun tanpa senjata api serta kecurian dan pecah rumah, adalah lebih tinggi daripada indeks jenayah diterbitkan dari Januari hingga Oktober 2011.
-TMI

Ulasan GB

Sekarang ini jawapannya!

Apabila Menteri KDN dan KPN asyik menumpukan hal-hal untuk menahan dan menangkap pemimpin politik dan pelajar, sedangkan penjenayah-penjenayah yang berleluasa tidak dititikberatkan, sekarang terkena batang hidung sendiri.... rumah-rumah kakak Muhyiddin dan adik KPN sendiri dirompak.

Itulah hukum kebenaran dan keadilan berjalan apabila kedua-dua "pegawai tertinggi" sudah lari dari tanggungjwab utama mereka membenteras jenayah tetapi asyik menumpukan perhatian untuk menjaga kkeselamatan UMNO BN, maka bergembiralah penjenayah-penjenayah di seluruh negara.

Apatah lagi Menteri KDN yang masih bersifat kebudak-budakan dan melayani nafsu samsengnya untuk menghalau rakyat dari negara ini bagi mereka yang tidak bersetuju dengan sistem bilangan kerusi berbanding undi popular sedangkan "majoriti rakyat" (51%) sudahpun membuat pilihan memilih Pakatan Rakyat dan "minoriti rakyat"(47%) memilih BN. Apakah majoriti rakyat itu perlu berhijrah? Minoriti nak halau majoriti? Sudah hilang akalkah menteri itu?

Tidak salah untuk mempersoalkan kerajaan minoriti BN, kata Guan Eng kepada Zahid Hamidi

Posted: 21 May 2013 03:36 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Rakyat Malaysia berhak mempersoalkan mengapa sistem pilihan raya negara membenarkan kerajaan minoriti terus berkuasa, kata Lim Guan Eng hari ini sambil menyelar tindakan autokratik dan keras kerajaan menghukum mereka yang berani bertingkah.

Lim juga turut mengecam Menteri Dalam Negeri yang baru Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana meminta rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya negara agar berhijrah serta mencabar naib presiden Umno itu untuk berdebat dengannya sehari penuh di parlimen, dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang ataupun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua menteri Pulau Pinang itu turut menggelar Ahmad Zahid sebagai "bongkak" dan hanya berani di depan media dan kemera TV BN untuk menyelar rakan-rakan beliau dari PR.

"Adakah beliau berani untuk berdebat secara terbuka dengan saya atau Lim Kit Siang atau pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menunjukkan sama ada kenyataannya yang ekstremis dan memecahbelah itu bersifat demokratik dan sebahagian daripada rekonsiliasi nasional selepas pilihan raya umum," soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid menimbulkan kontroversi minggu lalu apabila menulis di dalam akhbar milik Umno Utusan Malaysia mengatakan rakyat Malaysia yang tidak berpuas dengan kemenangan BN kerana sistem "first past the post" boleh berpindah ke negara lain.

"Pemimpin-pemimpin parti pembangkang khususnya PKR dan DAP telah mengelirukan anak-anak muda Cina dan para pengikut yang buta politik untuk berpakaian serba hitam sebagai tanda protes terhadap keputusan PRU-13 yang dianggap memihak kepada mereka mengikut undi popular," tulis Ahmad Zahid.

"Jika golongan ini mahu menerima pakai list system atau single transferable vote seperti mana yang digunakan oleh negara-negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka," tambah beliau lagi.

Lim Guan Eng: Jemput Ahmad Zaid Hamidi berdebat pemimpin Pakatan. — Gambar failPilihan raya 5 Mei menyaksikan perpecahan golongan bandar-luar bandar Malaysia.

Walaupun pertama kali hilang undi popular semenjak 1969, BN masih lagi memerintah negara dengan 133 kerusi Parlimen berbanding PR yang hanya mendapat 89 kerusi.

"Rakyat ada hak untuk menyoal demokrasi jenis apa yang ada di Malaysia yang membenarkan kekuasaan minoriti ke atas majority," kata Lim.

"Sebalik memberi jawapan kepada tuntutan umum terhadap reformasi pilihan raya supaya menghormati pinsip 'satu orang, satu undi, satu nilai', Ahmad Zahid mengambil pendekatan autokratik dan keras bagi menghukum mereka yang berani bertingkah," tambah beliau lagi.

Dalam satu forum pada 13 Mei lalu, aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim dilaporkan telah mencadangkan untuk mengadakan demonstrasi jalanan, dengan berkata: "Pilihan raya tidak akan menyingkirkan kerajaan, kuasa rakyat yang akan lakukannya."

Disebabkan itu, beliau kini direman di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

Pemimpin pergerakkan Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim juga pada forum sama berkata kerajaan hanya boleh ditumbangkan menerusi demonstrasi jalanan.

Walau bagaimanapun, PR telah menjauhkan diri daripada gesaan demonstrasi jalanan selepas keputusan Pilihan Raya 2013 meskipun mendakwa terdapat banyak penipuan berlaku.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan minggu lalu PR akan kekal mengadakan perhimpunan tertutup "untuk meluahkan rasa marah" terhadap penipuan undi pada pilihan raya umum 5 Mei baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad telah didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 minggu lalu ekoran kegagalan memberitahu pihak polis dalam tempoh 10 hari untuk berhimpun di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 8 Mei lalu. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

RCI: Kerajaan tampung RM21.7j penjagaan kesihatan pendatang di Sabah sejak 2007

Posted: 21 May 2013 03:33 AM PDT

Oleh Boo Su-Lyn

KOTA KINABALU— Kerajaan membelanjakan RM21.7 juta bagi penjagaan kesihatan untuk pendatang asing yang tidak membayar kos perubatan mereka, kata pegawai Jabatan Kesihatan kepada Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) berkenaan dengan pendatang haram di sini hari ini.

Angka pesakit asing, kebanyakkannya rakyat Filipina dan Indonesia di hospital kerajaan meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini kepada 40,826 pada 2011 yang menerima rawatan pesakit, atau 19 peratus daripada jumlah pesakit secara keseluruhan.

"Pesakit asing datang ke hospital sama ada sebagai pesakit luar atau dalam meningkatkan beban kepada kami," kata Dr Maria Suleiman, timbalan pengarah prinsipal (Epidemiology) di Jabatan Kesihatan Sabah semasa RCI hari ini.

Beliau juga mendedahkan sejumlah 25 peratus rakyat asing melahirkan anak di hospital kerajaan pada 2011 atau 14,096 bayi.

Dari 2000 sehingga 2011, rakyat asing telah melahirkan 122,882 bayi di hospital kerajaan, purata 22 peratus daripada kelahiran keseluruhan.

"Rakyat asing melahirkan anak di hospital kerajaan membimbangkan kita kerana terdapat sejumlah 122,882 kelahiran," kata Maria.

Panel SPRM mahu menteri, MB tidak dibenarkan terbabit kontrak kerajaan

Posted: 21 May 2013 03:29 AM PDT

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR— Anggota keluarga jemaah Menteri dan Menteri Besar termasuk juga kumpulan anggota jawatankuasa negeri dicadangkan supaya dilarang daripada terbabit dengan kontrak kerajaan, kata Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Panel berkenaan yang dipengerusikan oleh Datuk Johan Jaaffar dalam satu kenyataan hari ini berkata mereka mencadangkan agar anggota pentadbiran kerajaan pada peringkat pusat dan negeri serta anggota keluarga terdekat mereka tidak melibatkan diri dalam permohonan atau membida kontrak kerajaan.

"Cadangan ini juga bagi mengelakkan pandangan serong rakyat terhadap mereka yang berada dalam kedudukan yang mempunyai kuasa dalam mempengaruhi keputusan kerajaan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

"Panel ini mencadangkan hal ini dilaksanakan serta merta pada peringkat pusat, negeri dan juga kerajaan tempatan atau lain-lain agensi kerajaan," tambah beliau lagi.

Amalan sebelum ini, jelas panel berkenaan apabila mana-mana menteri atau menteri besar dan ketua menteri yang "meninggalkan mesyuarat" dan tidak mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan apabila agenda mengenai syarikat yang mempunyai milik keluarga dibincangkan tidak lagi boleh diterima pakai.

Selain itu, panel dengan lapan anggota itu turut mencadangkan supaya semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat pengisytiharan harta setiap tiga tahun kepada SPRM.

Langkah itu jelas mereka bagi memastikan komitmen mereka dalam perang menentang rasuah.

"Dengan pengisytiharan harta yang dibuat oleh semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri ini maka keraguan terhadap pertambahan aset sepanjang mereka memegang jawatan dapat dihindari," katanya.

Selain menyokong pelantikan Datuk Paul Low sebagai anggota Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, panel berkenaan turut mencadangkan diwujudkan tempoh bertenang bagi membenarkan penjawat awam yang telah bersara memegang jawatan korporat atau pengamalan profesional dalam sesebuah syarikat atau firma.

"Keadaan ini boleh menimbulkan konflik kepentingan kerana mereka boleh memanfaatkan pengetahuan, pengaruh dan peranan ketika berkhidmat dalam kerajaan untuk kepentingan masa pencen. Ia juga merupakan 'insuran' atau jaminan bagi mereka apabila meninggalkan jawatan awam.

"Risiko kesalahan rasuah juga boleh berlaku kerana pegawai yang bakal bersara itu berpeluang memanfaatkan kedudukan awamnya

untuk melobi jawatan atau faedah peribadi tertentu bagi dirinya apabila dia bersara kelak," tambahnya lagi.

Putrajaya mahu Dong Zong buat pengubahsuaian jika mahu UEC diiktiraf

Posted: 21 May 2013 03:27 AM PDT

Oleh Md Izwan

PUTRAJAYA — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) membuat pengubahsuaian dalam Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam tempatan (IPTA).

Dong Zong pada 1 April lalu, sebelum pilihan raya umum ke -13 telah menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berbincang tentang pengiiktirafan UEC, namun tiada sebarang kata putus dicapai.

"Pendirian kerajaan jelas, kalau ada perubahan pun kita mahu pihak disebelah sana buat pengubahsuaian dan perubahan selaras dengan dasar pendidikan negara dan berpandukan kepada undang-undang dalam Akta Pendidikan negara.

"Mana-mana pihak yang mahukan mereka diterima, mereka juga harus bersedia buat sedikit perubahan," kata Muhyiddin (gambar) merujuk kepada tuntutan kumpulan tersebut yang mahu UEC diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Dalam perjumpaan sebelum ini dengan Dong Zong, Najib menyarankan keperluan pelajar dari sekolah aliran Cina untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu kredit kertas Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berserta dengan UEC, sebagai satu syarat untuk memohon memasuki IPTA.

Dalam sidang media hari ini di Kementerian Pengajian Tinggi di sini, Muhyiddin berkata setakat ini Dong Zong belum memberikan sebarang jaminan untuk membuat sebarang pengubahsuaian terhadap syarat yang diberikan sebelum ini.

"Sampai sekarang kita belum terima kata putus daripada Dong Zong untuk membuat pengubahsuaian.
"Dan bagi kami, jika mereka ikut dasar dan akta, ia tidak jadi masalah," kata beliau lagi.

Dong Zong merupakan kumpulan yang aktif memperjuangkan hak pendidikan masyarakat Cina serta lantang menggesa kerajaan untuk mengiiktiraf sistem persekolahan tinggi aliran Cina, kumpulan tersebut menguruskan 60 Sekolah Tinggi Persendirian Cina di sekitar Malaysia.

Sekolah vernakular Cina dan Tamil hanya wujud di peringkat sekolah rendah dan merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Walaupun bahasa Mandarin dan Tamil masing-masing digunakan sebagai bahasa pengantar, sukatan pelajaran yang digunakan ialah satu sistem pendidikan kebangsaan adalah sama dengan sekolah-sekolah kebangsaan menggunakan Bahasa Melayu.

Tiada sekolah Cina atau Tamil di peringkat sekolah menengah.

Tetapi terdapat 60 institusi swasta yang dikenali sebagai sekolah persendirian Cina, di mana Mandarin dan Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar.

Walau bagaimanapun, sekolah-sekolah ini tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Baru-baru ini sebaik saja berakhir pilihan raya 5 Mei, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah dan bekas pro-canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Abdul Rahman Arshad menyeru kerajaan agar menghapuskan sekolah vernakular atas alasan ia menggugat perpaduan dan punca sokongan kepada pembangkang meningkat.

Dalam satu forum bertajuk "Wacana Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah" anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Kuala Lumpur pada 12 Mei lalu, Mohd Noor berkata sistem persekolahan tersebut tidak diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan negara.

"Menurut Perlembagaan, kita sepatutnya hanya ada satu aliran sekolah sahaja. Sepatutnya kita hapuskan sekolah jenis kebangsaan (SJK).

"Hapuskan oleh kerana Perlembagaan tak iktiraf sekolah jenis kebangsaan kerana adanya sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan, adanya sekolah Cina, India, ia memecah-belahkan rakyat," katanya Mohd Noor.

Abdul Rahman pula menegaskan sekolah vernakular sebagai punca perkauman semakin meluas dikalangan masyarakat pelbagai kaum dalam negara, serta mencadangkan kerajaan mengikut langkah negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang menerima pakai penggunaan bahasa tunggal dalam dasar pendidikan mereka.

Sejurus kenyataan kontroversi itu, parti pembangkang Pakatan Rakyat (PR) mengecam kenyataan tidak bertanggungjawab kedua-dua individu tersebut dan menegaskan Perlembagaan Persekutuan melindungi sekolah vernakular dan pendidikan dalam bahasa ibunda, memetik Perkara 152 (1) (a) dan (b) dalam undang-undang tertinggi negara.

PR juga mengkritik dan mengecam kedua-dua individu tersebut kerana dilihat cuba mencetuskan ketegangan antara masyarakat Cina dan Melayu di dalam negara.

Malah, Pengerusi DAP Karpal Singh pada 15 Mei lalu membuat satu laporan polis ke atas Mohd Noor yang juga merupakan salah seorang panel dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kenyataan berbentuk hasutan tersebut dan menggesa Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan.

Pembantu khas Zairil dipukul

Posted: 20 May 2013 10:12 PM PDT

RUZY ADILA IDRIS

 Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari
 
SHAH ALAM - Pembantu khas kepada Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari dipukul ketika mengadakan "candlelight vigil" bagi memberi sokongan kepada aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim, malam tadi.

Zairil yang dipetik dari laman sosial Twitter mendakwa pembantunya itu, Rozaimin Khir Johari dipukul ketika upacara berlangsung di pintu depan Universiti Sains Malaysia (USM), Sungai Dua, Pulau Pinang.

"Baru dapat laporan pembantu khas saya @Rozaimin dipukul oleh samseng-samseng yang menyerang candlelight vigil bebaskan Adam Adli di USM," katanya.

Sabtu lalu, Adam Adli ditahan reman selama lima hari di bawah Kanun Keseksaan 124 B dan Seksyen 4 (1) C Akta Hasutan bermula.

Sementara itu, Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (Kami), Khalid Mohd Ismath berkata, sehubungan dengan penahanan Adam Adli, kumpulan aktivis akan terus 'berkampung' di hadapan lokap tersebut bagi membantah penahan rakan mereka itu.

"Kita juga akan bermalam di sini dan menyalakan lilin sepanjang lima hari penahanan Adam Adli," ujarnya.

Sementara itu, menerusi laman Twitter Rozaimin turut memaklumkan beliau telah selesai membuat laporan polis.

"Selesai laporan polis di Balai Polis Sungai Nibong.

"Saya, @AkmalKomal dan @Shaik_Itaro tidak akan undur lawan Umno!" beliau dipetik berkata.

Warga Utusan gagal kawal perasaan hadapi Hata Wahari

Posted: 20 May 2013 10:08 PM PDT

Oleh Mohd Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Protes bekas wartawan Utusan Malaysia, Hata Wahari di hadapan ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad disambut oleh kira-kira 100 kaki tangan Utusan.

Lebih melucukan, 50 anggota polis dan dua trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) turut dikerahkan bagi berhadapan dengan Hata yang hadir keseorangan.


Polis_depan_Utusan

Hata yang juga bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menuntut akhbar milik Umno-BN itu mengembalikan dasar kewartawanan yang beretika.

Beliau turut membawa kain pemidang yang tertera empat peringatan berhubung etika kewartawanan untuk disampaikan kepada Ketua Pengarang Utusan.

Hata_Wahari

Kain pemidang tersebut mendesak Utusan menghentikan kewartawanan tidak bertanggungjawab, memastikan wartawan menjunjung etika kewartawanan, tidak menggadaikan masa depan Utusan untuk kepentingan diri dan melarang wartawan Utusan bersikap perkauman dalam laporan.

Seorang  kakitangan Utusan juga dilihat gagal mengawal perasaan apabila bertindak ganas menepis sepanduk empat perkara yang dipegang oleh Hata.

Hata_Wahari4

Namun, kakitangan berkenaan tidak berjaya merampas kain pemidang berkenaan.

Protes yang berlangsung selama kira-kira 10 minit itu berakhir dengan aman berdasarkan rundingan antara Hata dan Ketua Polis Daerah Cheras.

Bumbung masjid di Terengganu runtuh malam tadi

Posted: 20 May 2013 10:06 PM PDT

KEADILAN DAILY

HULU TERENGGANU: Tiada hujan dan tiada ribut melanda, tiba-tiba Masjid Kampung Binjai Kertas di Jalan Manir ke Kuala Berang, Terengganu yang siap dibina pada 2007 runtuh sebahagian bumbungnya, seusai jemaah menunaikan solat Isyak, malam tadi.

Menurut saksi kejadian, dua keping atap masjid tersebut luruh, sekali sejurus para jemaah selesai menunaikan solat Maghrib dan sekali lagi ketika waktu hampir solat Isyak, sebelum ia runtuh sepenuhnya.

runtuh masjid binjai ketas 4

"Selepas solat sunat Isyak, ada jatuh sekali (lagi) gummm…jatuh, selepas (kira-kira) dalam masa empat saat atau lima saat, brummmmm…selalu, sekejap saja dalam masa (lebih kurang) dua…..tiga minit habis (runtuh semuanya).

"Bahagian beranda…kira-kira bukan ruang solat…bahagian luar yang tak ada karpet," jelasnya yang tidak mahu dikenali, seperti dilapor Buletin Online.

Katanya, nasib baik kerana tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian tersebut kerana ada dua orang ahli jemaah yang keluar dari masjid beberapa ketika sebelum ia runtuh.

Kata beliau, ada seorang warga emas yang hampir-hampir ditimpa runtuhan itu apabila kejadian runtuh berlaku ketika beliau sampai di pintu masjid dan berundur semula apabila bumbung tersebut runtuh keseluruhannya.

Pemuda buktikan memang boleh mengundi dua kali

Posted: 20 May 2013 10:00 PM PDT

Harakahdaily Foto SH,


KUALA LUMPUR: Biarpun sebelum ini Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) bermati-matian menyangkal dakwaan boleh mengundi lebih sekali ekoran penggunaan dakwat kekal, seorang pemuda di Kuantan semalam mendedahkan bahawa beliau boleh mengundi dua kali.

Mohd Fadhli Khaharruddin, seperti dilapor Sinar Harian Online, mengaku keluar mengundi dua kali kerana mahu membuktikan sistem pilihan raya menggunakan dakwat kekal masih boleh dipertikaikan.

"Saya mengundi kali pertama jam 10.30 pagi di saluran 4, peti undi Sekolah Kebangsaan Sungai Isap dan kemudian undi kali kedua pada jam 1.15 petang di lokasi yang sama," katanya dipetik akhbar bahasa Melayu versi online itu.

"Dengan cara mengundi sebanyak dua kali maka saya boleh membuktikan bahawa sistem pilihan raya masih boleh dipertikaikan," katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau mendakwa tidak buang undinya kali kedua, sebaliknya berhasrat menyimpan kertas undi SPR dan nombor saluran sebagai bukti bahawa prosedur mengundi dengan dakwat kekal lemah.

Katanya, tindakan untuk keluar mengundi kali kedua dilakukan tanpa disuruh dan dibayar mana-mana pihak sebaliknya dengan rela hati berikutan dakwat kekal di jarinya tanggal sepenuhnya apabila dibasuh selepas undi kali pertama.

Ekoran dakwat kekal yang boleh tanggal dan terlalu mudah untuk melepasi setiap petugas untuk mengundi kali kedua itu, beliau membuat satu laporan polis.
Laporan polis itu katanya dibuat supaya tindakan beliau itu tidak ditafsir sebagai mempermainkan sistem pilihan raya.

Tindakan oleh Mohd Fadhli ini sekaligus menguatkan lagi dakwaan bahawa wujud ruang manipulasi yang mendorong kepada penipuan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Tema hitam di Kongres PKR pada 24 dan 25 Mei ini

Posted: 20 May 2013 09:56 PM PDT

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Kongres Nasional PKR ke-9 akan diadakan pada 24 dan 25 Mei ini bertempat di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
 
Kongres PKR kali ini membawa warna tema hitam dengan slogan 'Suara Rakyat, Suara Keramat' simbol kebangkitan rakyat bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil, lapor KeadilanDaily.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menyampaikan ucaptama pada hari Sabtu jam 8.30 pagi sekaligus merasmikan kongres itu.

Perasmian bersama Kongres AMK dan Wanita akan disempurnakan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pada hari Jumaat jam 2 petang.

Pendaftaran boleh dibuat bermula jam 10 pagi. Dijangka lebih 2,500 perwakilan dan pemerhati serta jemputan khas dari luar negara akan hadir.

Matinya seekor monyet

Posted: 20 May 2013 09:47 PM PDT

http://muhaiminsulam.blogspot.com/,


1.  Seperti manusia, monyet juga makhluk yang ada titik mula dan akhirnya. Sudah tertulis pada kitab sebelum kelahirannya.

2.  Bagai buang tabiat seekor monyet ini apabila tidak memberi laluan pada aku. Langsung tiada rasa takut pada dirinya. Dia berdiri di belakang rumahku sedangkan rakan-rakan seusrahnya telah bertempiran lari melihat aku datang.

3. Pagi ini, kulihat monyet seekor tu terbaring di belakang rumahku, Kelopak matanya terbuka. Tangan kirinya memegang perutnya. Ada darah hitam pekat di lantai. Nyata monyet itu sudah mati.

4. Kurakamkan takziah pada warga monyet Kg. Padang Tembak atas kehilangan anggotanya. Melalui firasatku, monyet itu luka parah kerana bergaduh sesama mereka sewaktu berebut untuk pasang bendera semasa kempen PRU13 lalu.

5. Sekiranya kutahu monyet itu dalam kelukaan yang amat, tentu kurawat atau setidak-tidaknya boleh kudail 999 untuk rawatan kecemasan. Malangnya, aku tidak pernah tahu jeritan monyet tengahari semalam adalah panggilan terakhirnya.

6. Aku tidak boleh memusuhi monyet-monyet ini. Seharusnya begitu.

GST: Kerajaan Najib tamatkan tempoh berpantang mereka

Posted: 20 May 2013 09:44 PM PDT

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Nampaknya, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menamatkan tempoh berpantang mereka dengan cara menggasak rakyat dengan cukai GST yang bakal diperkenalkan,  kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagi beliau, kerajaan BN yang baru dibentuk  Najib ini tidak sabar-sabar untuk membalas dendam mereka kepada rakyat yang banyak menolak mereka.

"Lepas dia tibai etnik Cina dengan serangan 'Tsunami Cina' dan pelbagai kata kesat hulubalangnya yang dihamburkan ke arah rakyat termasuk kenyataan kurang cerdik menteri dalam negeri itu, kini giliran menteri di jabatan perdana menteri pula untuk 'mendera' rakyat dengan pengumuman sistem cukai baru," tulis beliau.

Ikuti tulisan beliau sepenuhnya di bawah ini.

GST dulu ke atau Gaji Minima dulu Najib?!

Oleh Dr Dzulkefly Ahmad


Telah berakhir tempoh PM Datuk Seri Najib Razak dan pentadbiran Umno-Barisan Nasional (UBN) untuk 'berpantang' menahan nafsu amarah mereka untuk 'menggasak' rakyat negara ini.

2. Lepas dia tibai etnik Cina dengan serangan 'Tsunami Cina' dan pelbagai kata kesat hulubalangnya yang dihamburkan ke arah rakyat termasuk kenyataan kurang cerdik menteri dalam negeri itu, kini giliran menteri di jabatan perdana menteri pula untuk 'mendera' rakyat dengan pengumuman sistem cukai baru.

3. Setelah memenangi kembali Putrajaya, dengan pilihanraya yang sangat dipertikaikan pelbagai pihak kerana sarat dengan penipuan, Najib sudah tidak segan-silu lagi untuk melakukan apa yang dianggapnya 'agenda tertangguhnya'.

4. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bakal dilaksanakan oleh kerajaan Najib dalam tahun 2013 ini dan telah diwar-war oleh Datuk Seri Idris Jala kononnya akan menjana pendapatan RM27 bilion setahun. Apa tidaknya kalau mereka sanggup mencekik rakyat dengan kadar 7% cukai!

5. Najib dan Idris Jala juga perlu terangkan kepada rakyat kerana yang akan membayar cukai ini adalah rakyat bahkan semua lapisan rakyat termasuk yang kaya dan juga yang miskin atau berpendapatan rendah. Apabila mereka membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan tersebut selagi barangan itu bukan dalam kategori 'sifar cukai' atau 'zero-rated', bermaksud GST tetap dikenakan.

6. Kadar GST sebanyak 7% adalah sangat tinggi dan ini jelasnya adalah 'janji Najib yang tidak ditepati' kerana kadar 4% adalah angka yang disebut-sebut sejak awal GST diperkenalkan. Mungkin Najib telah kemaruk kerana baru sedar hutang kerajaan pusat dah terlalu membengkak hampir 55% KDNK kerana dirinya sendiri.

7. Ataukah Najib mahu sahaja 'mendera' rakyat yang tidak mengizinkannya untuk mendapat 2/3 majoriti di parlimen dan menawan kembali Selangor, negeri terkaya di Persekutuan Malaysia?

8. Singapura, yang rakyatnya mempunyai pendapatan per kapita hampir dua kali ganda dari kita pun memulakan kadar GST mereka pada kadar 3%. Kerana kos perlaksanaan cukai baru ini adalah sangat tinggi, yang dianggarkan berbilion RM. Contohnya Australia A$ 4 bilion ketika memperkenalkan GST di negara itu, maka tekanan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yakni inflasi, adalah tidak dapat dielakkan ekoran sebab faktor kos permulaan sistem GST.

9. Singapura, contohnya mengalami inflasi sebanyak 3% untuk selama 3 tahun akibat dari perlaksanaan GST dan begitu juga di kesemua negara-negara yang melaksanakannya juga turut mengalami tekanan inflasi untuk beberapa tahun.

10. Pakatan Rakyat secara prinsip tidak menolak sistem cukai penggunaan ini atau 'consumption tax' tetapi mahukan beberapa syarat penting mesti dilaksanakan oleh kerajaan terlebih dahulu. Pakatan Rakyat mahukan rakyat teramai mempunyai pendapatan yang menasabah bagi mampu menjalani kehidupan yang lebih bermaruah  atau 'a dignified life'.

11. Bank Dunia sendiri telah mengisytiharkan bahawa gaji sebenar (real wage) rakyat Malaysia dengan mengambil kira faktor inflasi, hanya naik 2.8% dalam satu dekad yang lalu.

12. Gaji minima adalah satu kaedah memecah hambatan atau 'bottleneck' peningkatan pendapatan rakyat. Sudah terlalu lama perlaksanaan 'Gaji Minima' ditangguhkan Najib. Ini satu pengkhianatan! Najib masih berdolak-dalik seperti dulu juga. Memang Najib tak ada tulang belakang atau 'spineless' dalam banyak hal.

13. Pakatan Rakyat menuntut supaya dengan pembenterasan amalan rasuah, kronisme dan sesetengah jenis monopoli, oligopoli dan kartel, negara akan dapat meningkatkan pendapatan dari sumber penjimatan.

14. Sekaligus kos saraan hidup rakyat akan dapat dikawal dan diperturunkan serentak mengizinkan rakyat meningkatan pendapatan dan 'pendapatan boleh berbelanja' (disposable income).

15. Pakatan Rakyat bercadang GST hanya dilaksanakan ketika pedapatan rakyat adalah pada paras yang lebih munasabah dan tidak seperti hari ini di mana 60% dari isirumah mempunyai pendapatan kurang dari RM3000 sebulan. Hari ini hanya 10% sahaja mereka yang dalam pasaran kerja yang dikenakan cukai pendapatan kerana pendapatan yang rendah-sederhana.

16.   Kerajaan Najib juga mestilah mendidik rakyat tentang konsep dan perlaksanaan GST ini kerana sememangnya sistem cukai ini rumit dan tidak mudah difahami. Ada yang menganggap bahawa rakyat atau pengguna akan dikenakan cukai sebanyak 28% kalau kita mula dengan pengenalan 7%, kerana cukai yang dibayar pengimpot, pengilang, pemborong dan peruncit akhirnya akan dibebankan kepada pengguna.

17. Fahaman ini adalah silap kerana GST adalah menggunakan sistem nilai-tambah atau 'Value-Added Tax' ( VAT) seperti digunakan di beberapa negara seperti United Kingdom. Rakyat keliru bahkan ada akauntan juga tidak faham. Rakyat perlu difahamkan dengan betul.

18. Meskipun GST, sebagai sistem cukai baru yang bakal menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 5% itu adalah satu sistem yang lebih efisien dari segi pungutannya serta dapat mengurangkan 'pengelakan cukai' (tax evasion),  namun ianya perlu mengambil kira syarat-syarat yang lain termasuk menurunkan cukai pendapatan dan cukai korporat supaya ianya tidak terlalu membebankan rakyat dan lebih menasabah.

19. Terpaling penting ialah GST ini tidak dilaksanakan selagi sumber-sumber kebocoran dan pembaziran yang menelan berbilion RM setahun tidak ditangani.

20. Tegasnya, Kerajaan Najib jangan paksa dan dera rakyat dengan GST setelah rakyat ditipu untuk memberikan mereka kelebihan kerusi diparlimen sekali lagi dalam pilihanraya umum ke-13 yang lalu.

21. PM Najib, kalau anda mahu madunya, jangan jolok sarangnya ya!

Penulis adalah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Zahid Hamidi : Kalau Tak Suka Politik Malaysia, Keluar!! (5.6 Juta Rakyat Malaysia Dikenalpasti)!

Posted: 20 May 2013 09:33 PM PDT

Staff Berita Semasa 
Gambar Zahid Hamidi

Listen! Listen! Listen! Berita Semasa sebenarnya agak terkejut kata-kata seperti tajuk di atas keluar daripada seorang yang bergelar menteri penuh.

Mengapa dan kenapa Zahid Hamidi tiba-tiba menjadi garang sebegini rupa? Cuba maklumkan kepada Rakyat Malaysia mungkin kalau rakyat Malaysia terlepas pandang, kepada Zahid Hamidi :
  • Di mana silap & kesalahan jikalau ada kalangan rakyat Malaysia mempersoal dan menuntut pelaksanaan sistem pilihan raya yang sedia ada sekaranga
  • Adakah perlembagaan negara kita menghalangnya rakyat Malaysia berbuat demikian?
  • Perkara 10 Perlembagaan menjamin hak rakyat untuk bebas mengeluarkan pendapat, berhimpun dan berpersatuan. Jadi, di mana silapnya?
  • Di mana klausa perlembagaan Malaysia yang membenarkan menteri untuk memberitahu rakyatnya supaya berhijrah ke negara lain hanya kerana berbeza pendapat dalam politik. Di mana? Mungkin kami terlepas pandang.
Selama ini, negara Malaysia dicanang selama ini sebagai sebuah negara demokrasi. Jadi, berdemokrasilah secara jujur. Malaysia adalah milik kita semua, bukannya milik orang-orang atas. Janganlah hanya kerana berbeza ideologi politik semata, kita semua bertelingkah dengan cara sebegini rupa. Hentikanlah….

Inilah masanya untuk Zahid Hamidi tumpukan masa untuk merancang mengatasi masalah keselamatan, jenayah, sosial dalam negara dan mendengar permasalah serta tuntutan rakyat Malaysia berbanding menyerang rakyat yang mempunyai perbezaan idelogi politik yang pelbagai. Kata-kata seperti "kalau tidak suka, sila keluar dari Malaysia" tidak sepatutnya keluar mulut pemimpin yang bergelar Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN). Kalau begitu cara menanganinya, senanglah tugas bergelar menteri nampak gayanya.
"Kalau berasa sukar untuk menangani tuntutan rakyat Malaysia yang pelbagai, usahlah jadi menteri. Mengapa susah-susahkan diri andai anda berasa sukar untuk menangani dan tidak menjumpai formula untuk menyelesaikannya"
Dalam pada masa kerajaan berusaha keras untuk menarik kembali kepakaran rakyat Malaysia yang sedang bekerja di perantauan di bawah usaha TelentCorp tetapi dalam pada masa sama kita begitu mudah untuk melepaskan rakyat Malaysia yang sudah sedia ada setia untuk berkhidmat dan menabur bakti di dalam negara. Bukankah itu, perbuatan yang sia-sia. Nah….sekarang, namakan satu dua individu yang bernama besar yang bersetuju untuk kembali ke Malaysia sepanjang program Talent Corp selama ini?

Dan tanya kepada diri sendiri mengapa tenaga pakar & tokoh pemikir seperti Tan Sri Hassan Marican telah dibiarkan terlepas begitu sahaja dan memberikan khidmat di sebuah negara yang dicanang selama ini sebuah negara yang rasis, tidak suka Melayu, anti Islam dan pelbagai lagi. Terbaru beliau diberikan pula, jawatan sebagai pengerusi Pavilion Energy Pte (anak syarikat tenaga baru di bawah Temasek Holdings yang menguruskan pelaburan Singapura).

Ingatlah menteri, bukan sahaja kepada Zahid Hamidi tetapi kepada semua. Kami tinggalkan sedikit puisi untuk ingatan bersama :
  • rezeki jawatan Allah memberi
  • baru sepekan dalam genggaman
  • kalimat dan langkah perlu cermati
  • jangan langkah hilang pedoman
Walaaubagaimanapun kami yakin dan percaya Zahid Hamidi akan menjadi lebih baik berbanding Menteri Dalam Negeri sebelum ini, Hishamuddin. termasuklah arahannya membabitkan isu Lahad Datu. Dengan syarat, jadilah seorang menteri yang berkhidmat untuk negara, rakyat malaysia, bukannya kepada "parti politik" semata. Rakyat Malaysia sedang menilai prestasi anda ketika ini…..

AirAsia nafi laporan Utusan halang penumpang, dakwa bayi menghidap cacar air

Posted: 20 May 2013 09:31 PM PDT

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR — Syarikat penerbangan AirAsia menafikan laporan akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia yang mengatakan mereka menghalang seorang ibu dan bayi daripada menaiki pesawat dengan sengaja hari ini, langkah yang dilihat bakal menambah ketegangan antara kedua-dua pihak.

Utusan baru-baru ini secara terbuka mengkritik ketua pegawai eksekutif anak syarikatnya, AirAsiaX, Azran Osman Rani ekoran komennya menerusi akaun Twitter yang meluahkan rasa jengkelnya terhadap isu perkauman yang dimainkan akhbar Umno tersebut.

"Kami ingin menjelaskan bahawa mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat kerana salah seorang daripada mereka, iaitu seorang bayi, telah didapati dijangkiti dengan virus cacar air," kata AirAsia dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

"Ini telah disahkan oleh doktor yang bertugas di lapangan terbang, yang juga mengisytiharkan bahawa bayi tersebut tidak berada di tahap kesihatan yang dibenarkan untuk menaiki penerbangan," kata kenyataan itu lagi.

Akhbar tersebut melaporkan seorang wanita Izan Suhaila Mohd Ali, 36, bersama anaknya Maryam Sofea Mohd Reza, 14 bulan, tidak dibenarkan menaiki pesawatAirAsia, AK 1455 dari Ho Chi Minh, Vietnam untuk pulang ke Malaysia sebaliknya syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) dan Tourism Malaysia yang tampil membela mereka.

Utusan juga melaporkan kakitangan AirAsia tidak menghiraukan penjelasan Izan Suhaila anaknya sudah pulih daripada demam campak dan kesan tompokan hitam yang kelihatan merupakan parut akibat penyakit tersebut.

"Dalam kes ini, laporan perubatan menunjukkan bahawa kanak-kanak itu telah dibawa untuk perjalanan hanya 3 hari selepas simptom pertama muncul dan didapati menghidapi demam, mata berair, hidung berair dan ruam pada kebanyakan bahagian badan.

Berdasarkan penemuan ini, doktor mengisytiharkan bahawa kanak-kanak itu tidak berada di tahap kesihatan yang sesuai untuk terbang," kata AirAsia lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar juga menafikan dakwaan mengatakan pihaknya tidak memberikan bantuan kepada penumpang terbabit, sebaliknya berkata tawaran bantuan oleh AirAsia telah ditolak.

"Pada hari tersebut, wakil kami telah menyediakan bantuan yang diperlukan kepada kedua ibu dan anak tersebut, dan kami telah membuat persediaan untuk menerbangkan mereka kembali ke tanahair serta 2 orang dewasa yang menemani mereka secara percuma, sebaik sahaja anak kecil itu didapati sihat sepenuhnya oleh pakar perubatan.

"Kami juga ada menawarkan untuk menguruskan penginapan hotel dan pengangkutan, namun mereka mengesahkan bahawa sudah mempunyai apa yang perlu untuk berada di Ho Chi Minh City," kata Aireen.
Semalam, The Malaysian Insider melaporkan akhbar tersebut menggesa Azran meminta maaf kepada Utusan Malaysia serta kolumnis Awang Selamat juga mencadangan iklan AirAsia tidak diterima oleh akhbar tersebut.

"Tanpa Air Asia, Utusan tidak akan hadapi sebarang masalah. Lagipun nilai iklan yang diberi sangat kecil, lebih rendah daripada iklan jamu dan rawatan rambut," kata Awang Selamat yang dipetik menulis semalam.

Azran sebelum ini dilaporkan mengkritik pendirian pengarang akhbar yang memainkan isu perkauman serta turut mengkritik Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebagai pertubuhan tidak relevan yang menyebabkan orang Melayu berfikiran sempit.

Dalam reaksi balas, akhbar milik Umno itu kemudiaan menyiarkan kenyataan dari pemimpin Perkasa, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan juga kenyataan aktivis anti-PKR yang antara lainnya menyelar Azran sebagai "bongkak" dan "lupa diri".

Berang dengan tulisan Azran, pemangku presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Bakar dalam laporan Utusan berkata eksekutif tersebut "angkuh" kerana lupa bahawa beliau mungkin tidak mampu berada di kedudukan tersebut tanpa "kuasa Melayu yang diperjuang Utusan Malaysia".

"Tidakkah Azran terfikir lesen yang dikeluarkan kerajaan kepada Air Asia adalah kerana pada peringkat awalnya syarikat penerbangan itu dimiliki orang Melayu?," Abdul Rahman dilaporkan berkata.

Budaya Politik Samseng Mengakar Dalam Pergerakan Pemuda UMNO dan sekutu

Posted: 20 May 2013 09:25 PM PDT

  

DETIK DAILY

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Selangor menyelar kejadian serangan yang dilakukan oleh hampir 10 orang yang dipercayai anggota Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan sekutu mereka ketika acara himpunan 'candle light vigil' untuk menyatakan rasa solidariti kepada Saudara Adam Adli di Pulau Pinang malam tadi.


Tindakan menyerang masyarakat prihatin yang hadir menyokong pembebasan Saudara Adam Adli adalah samseng, keterlaluan dan tidak ubah seperti binatang yang bertindak tanpa akal rasional. Kejadian ini sekaligus membuktikan bahawa budaya politik samseng sudah mengakar dalam Pemuda UMNO.
AMK Selangor cukup yakin kejadian ini tidak akan mendapat perhatian pihak polis yang akan terus menjadi aparat pemerintah untuk mempertahankan kekuasaan mereka. Justeru kita menggesa Pergerakan Pemuda UMNO yang dipimpin oleh Saudara Khairy Jamaluddin segera mengambil tindakan yang tegas terhadap anggota Pemuda yang terlibat dalam kejadian malam tadi. Tambah pula, sebagai Menteri Belia, beliau wajar memastikan golongan belia khususnya dalam Pemuda UMNO melaksanakan agenda membanteras tindakan samseng yang kini mengakar dalam Pemuda UMNO.
Harapan kita, budaya politik baru yang menolak asas gangsterisme menjadi asas kepada pembentukan lanskap politik yang lebih baik. Semoga budaya politik samseng menjadi cemuhan masyarakat dan tidak diwariskan kepada mana-mana organisasi kepemudaan di Malaysia.
Salam perjuangan,
Hamsah Djabir
Timbalan Ketua
Angkatan Muda Keadilan Negeri Selangor

Cina, Melayu, India, Kadazan mahu keadilan

Posted: 20 May 2013 09:22 PM PDT





DETIK DAILY

Mengapa kaum Cina disalahkan? Kenapa bangkitkan isu Tragedi 13 Mei, perangi bahasa lain selain bahasa Melayu, syor ditutup SJKC dan SJKT? Apa telah terjadi dengan Najib Tun Razak, Umno dan BN selepas PRU13? Ikuti pandangan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, Hu Phang Chaw mengenai perkara ini, ketika ditemubual wartawan kanan AZIZ MUDA pada 16 Mei lalu.

WARTAWAN: Najib Tun Razak kata BN kalah teruk sebab "Tsunami Cina". Apa komen saudara? 

HU PHANG CHAW: Saya nak tanya balik kepada Dato' Seri Najib dan kepada Umno- BN, apakah kemenangan PAS di Kelantan itu juga kerana "Tsunami Cina"? Calon-calon Pakatan Rakyat yang bertanding dalam PRU13 lalu di seluruh negara sama ada di kawasan Melayu, di kawasan Cina dan di kawasan India, bukan sahaja disokong oleh orang Cina, tetapi oleh semua bangsa.

Di Selangor contohnya, terdapat banyak kawasan majoriti pengundi Cina yang ditandingi calon Melayu tetapi dimenangi calon Melayu. Banyak juga di kawasan majoriti Melayu yang ditandingi calon Cina dan dimenangi calon Cina.

Kalau dikatakan "Tsunami Cina", kenapa saya yang bertanding di kawasan Parlimen Ayer Hitam di Johor tak menang?

Pada hal di kawasan itu 58 peratus pengundinya Melayu, Cina hanya 38 peratus dan India 4 peratus.
Kalau Cina begitu kuat sekali, kenapa saya tak menang dan kenapa pula MCA yang bertanding di kawasan Melayu juga tak menang?

Apa sebenarnya yang terjadi?

Najib dan Umno-BN perlu sedar, perjuangan BN sudah tak relevan lagi. Kemerosotan sokongan yang dialami oleh Umno-BN pada PRU13 adalah tsunami semua kaum.

Orang Melayu, India, Cina yang duduk di bandar dan pinggir bandar amat terbeban dengan kos hidup yang tinggi kerana rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa yang berlaku dalam kerajaan BN. Itulah sebabnya Umno-BN ditolak oleh pelbagai kaum.

Najib tanya lagi "Apa lagi yang Cina mahu?"

Sebenarnya apa yang orang Melayu, Cina, India dan Kadazan mahu ialah keadilan. Orang Cina ditindas, Melayu pun ditindas.

Bukti penindasan terhadap orang Melayu, kenapa kerajaan BN tak beri royalti petroleum kepada Kelantan?

Kenapa lebuhraya tak dibuat oleh kerajaan BN di Kelantan? Orang Melayu masih banyak miskin. Jadi orang Melayu memerlukan pembelaan. Begitu juga dengan orang Cina dan apa bangsa pun semuanya memerlukan pembelaan.

Apa yang Cina nak?

Cina nak tengok BN tumbang. Pada PRU13, hanya 47 peratus yang masih bagi undi BN, manakala Pakatan Rakyat dapat 53 peratus. Saya percaya pada PRU14 yang saya jangka akan diadakan 3 tahun setengah lagi, BN akan akan tumbang.

Orang kampung yang diperbodoh dan dipermainkan oleh BN akan sedar. Anakanak mereka yang belajar dan bekerja di bandar, mereka akan sedar. Kalau Umno nak sekat kebangkitan rakyat, Umno-BN kena tutuplah universiti, kena hanya belajar hingga tingkatan 5 sahaja.

Mengapa "Tragedi 13 Mei" ditiup sama selepas BN kalah teruk?

Kalau Dato' Seri Najib atau Umno suka mengaitkan kebangkitan rakyat sekarang dengan Tragedi 13 Mei, saya nak cabar BN supaya diterangkan perkara yang sebenar biar rakyat tahu, siapa yang mulakan Tragedi 13 Mei?

Jangan main api dengan saya, Zahid memberi amaran kepada portal berita

Posted: 20 May 2013 05:23 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

Dr Ahmad Zahid memberi amaran kepada portal berita Malaysiakini supaya lebih bertanggungjawab. - Gambar failPUTRAJAYA — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi amaran kepada portal berita Malaysiakini supaya lebih bertanggungjawab dalam menyiarkan berita.

Beliau berkata portal berita itu perlu berpegang kepada etika kewartawanan tanpa memutarbelitkan berita atau kenyataan asal menjadi kontroversi.

"Anda (wartawan Malaysiakini) selalu putar belitkan kenyataan, selalu sangat. Perkara yang tak ada anda buat ada, anda tulis elok-elok.

"Saya pantau setiap perkataan, ayat, perenggan, setiap berita di Malaysiakini. Anda jangan main api dengan saya. Anda selalu putar belit.

"Tolong cuba menulis mengikut etika kewartawanan okay?," katanya kepada wartawan portal itu pada sidang media sempena hari pertama beliau bertugas di kementerian itu, di sini hari ini.

Ahmad Zahid juga menegaskan beliau tidak akan memohon maaf kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berhubung kenyataannya menggesa mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya di Malaysia supaya berhijrah ke negara di mana mereka boleh mempraktikkan kepercayaan politik mereka, yang menurutnya telah disalah tafsir.

"Dia (Lim) yang patut minta maaf kepada saya, sebab salah tafsir kenyataan saya. Bukan saya minta maaf kepadanya," katanya dengan nada serius. — Bernama

Kewujudan pengundi hantu cemar integriti SPR dan JPN, dakwa Rafizi

Posted: 20 May 2013 05:20 PM PDT

Oleh Mohd Farhan Darwis

PETALING JAYA— Kehadiran pengundi hantu dalam Pilihan Raya 2013 tegas Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli hari ini menyebabkan daftar pemilih yang disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diragui serta kewujudan kad pengenalan palsu telah mencemarkan integriti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, kehadiran lapan pengadu yang dihalang untuk mengundi kerana kad pengenalan mereka telah digunakan pengundi hantu ketika Pilihan Raya 2013 lalu membuktikan bahawa keputusan Pilihan raya Umum ke-13 (PRU 13) diragui rakyat.

"Penyelewengan yang paling berleluasa adalah kehadiran pengundi hantu yang berpunca daripada daftar pengundi yang tidak bersih.

"Perkara ini membayangkan kelemahan dan mungkin keterlibatan dua badan yang bertanggungjawab iaitu SPR dan JPN ... kehadiran pengundi hantu membawa impak besar yang meruntuhkan keyakinan rakyat kepada integriti keputusan PRU13," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Ketika sidang media berkenaan, Rafizi turut memberikan salinan laporan polis lapan pengadu yang dinafikan hak mengundi kerana nama mereka telah dipotong kerani SPR pusat pengundian masing-masing disebabkan ada individu lain telah menggunakan nombor kad pengenalan untuk mengundi.

Daripada lapan mereka yang membuat laporan polis berkenaan, empat daripadanya adalah dari Selangor, dan satu masing-masing di Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu, dan Kelantan.

"Insiden seperti ini membuktikan wujud kad-kad pengenalan palsu yang dikeluarkan JPN yang telah diberikan kepada individu tertentu bagi tujuan menjadi pengundi hantu," dakwanya.

"Saya tidak mengatakan keseluruhan JPN dan SPR terlibat... mungkin sebahagian mereka mengetahui perkara ini," katanya lagi.

Sidang media hari ini adalah pendedahan bukti pertama didedahkan badan #siasat PRU13 yang disertainya, dan Rafizi turut berkata, beliau akan terus melakukan pendedahan termasuk membawa pengadu berkenaan dalam sidang medianya pada masa akan datang.

Pasukan #siasat PRU13 juga kata Rafizi sedang mendapatkan persetujuan pengundi-pengundi ini untuk membuat Akuan Bersumpah bagi mengukuhkan bukti yang ada.

"Insiden ini juga amat membimbangkan kerana ia membayangkan kegagalan JPN untuk memastikan kad pengenalan yang dikeluarkan adalah tulen, selamat dan unik kepada setiap rakyat Malaysia," tambahnya.

"Saya mencabar SPR dan JPN untuk mengemukakan alasan mereka bagi dihakimi oleh mahkamah rakyat."

Tiada ulasan: