DIALOG RAKYAT |
- Kabinet balas jasa dan kukuhkan sokongan
- Tiba masanya rakyat bangkit’
- Kemampuan Paul Low di JPM jadi persoalan
- Isu Exco Selangor akan selesai dalam 2 hari - Tony Pua
- Pas Selangor sambut baik formula 4-3-3
- ‘Utusan’: Tiada iklan AirAsia sehingga Azran Rani Omar minta maaf
- Kit Siang: KPN dan Zahid ‘bermain politik’, gesa tangani jenayah
- Zahid Cuba Jadikan Anwar Sebagai Modal Politiknya
- [VIDEO & GAMBAR] 60,000 Banjiri Majlis Kesyukuran Pakatan di P Pinang
- Kavyan tolak perkauman, pupuk perpaduan
- Pihak berkuasa Singapura diminta tidak batalkan pas kerja rakyat Malaysia
- Muhyiddin tiada cara lain selamat diri
- Tabung Biasiswa PKNS RM1 Juta Untuk Kakitangan Dan Ahli Keluarga
- MB : Formula 4:3:3 Untuk Lantik Exco Selangor
- DAP: Tangkap penjenayah, bukan pemimpin Pakatan
- Hadi : Pas perkasa bahasa Melayu
- Taib tolak faktor 'tsunami Cina' di S'wak
- 60,000 banjiri majlis kesyukuran Pakatan di P Pinang
- Veteran Umno arah anggota boikot AirAsia, AirAsia X
- Karpal gesa Tunku Abdul Aziz henti sebar 'rahsia' DAP
- Adam Adli direman 5 hari bermula hari ini
- Episod pilih Exco : Untung sabut timbul, untung batu tenggelam
- Sedia terus berlawan dan Zahid yang sombong
- Dua lelaki termasuk anggota polis cedera ditetak di balai polis
- Pas tidak sokong kekerasan, pilih demokrasi
Kabinet balas jasa dan kukuhkan sokongan Posted: 19 May 2013 04:24 AM PDT SIASAH DAILYSelepas pilihan raya umum yang secara praktikalnya telah menamatkan retorik 1 Malaysia, kepimpinan negara kini tertumpu pada Umno dan parti utama dari Malaysia Timur yang masih kekal kubu kuat BN. Najib berdepan pilihan yang semakin sukar dan terhad, dan memilih apa yang ada dan diperlukan untuk mengukuhkan sokongan sedia ada dan yang masih ada selepas Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu. Umno menguasai kabinet kali ini, termasuk perumahan dan kerajaan tempatan, dan pada masa sama memangku Kementerian Pengangkutan yang kedua-duanya sebelum ini dipegang oleh MCA. Najib juga membalas jasa dengan meletakkan beberapa pemimpin dalam kabinet kali ini, termasuk pemimpin Hindraf, Waytha Moorthy Ponnusamy di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Seri Idris Jusoh di Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi. Pelantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar - pemimpin pemuda Umno yang sebelum ini dinafikan tempatnya - ke Kementerian Belia dan Sukan juga satu tindakan membalas jasa, selain merapatkan barisan dan mengelak tindakan tawar-menawar Khairy yang boleh menjejaskan Najib. Perkembangan ini menunjukkan Umno dan parti Melayu di Sarawak terus mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan tanpa komponen utama parti Cina, tetapi menunjukkan juga sokongan yang semakin kurang dan menyukarkan kerajaan BN mengendalikan pentadbiran negara. Kabinet kali ini masih besar, dan beberapa pilihan kelihatan sangat mudah dipersoalkan seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Kementerian Pertahanan dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Memasukkan muka-muka baharu mungkin lebih mudah bagi Najib, berbanding meletakkan muka lama di tempat yang sewajarnya, tempat yang termasuk juga bukan di dalam kabinet. Kabinet Najib ini dibina dengan tujuan penting membalas jasa dan mengukuhkan sokongan dalaman, dan menyediakan pemimpin-pemimpin tertentu - seperti Hishammuddin - menghadapi pemilihan parti akan datang, tetapi belum pasti dapat membina sokongan tambahan yang diperlukan, dalam menghadapi penggal ini dan mengukuhkan BN menghadapi pilihan raya umum akan datang. | ||||
Posted: 19 May 2013 04:07 AM PDT Penangkapan Adam Adli oleh pihak polis boleh mencetuskan kebangkitan anak muda di seluruh negara, kata CheguBard. PETALING JAYA: "Sudah tiba masanya rakyat bangkit, tidak perlu menunggu lima tahun lagi" kata Badrul Hisham Shaharin @ CheguBard, pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dalam satu kenyataan media hari ini. Beliau menambah, ini kerana penantian 55 tahun itu sudah terlalu lama, inilah masanya rakyat bangkit. CheguBard mengeluarkan kenyataan keras ini bagi menunjukkan simpati dan sokongan pihaknya kepada Adam Adli, mahasiswa Universiti Pengurusan Sultan Idris (UPSI) yang ditahan polis semalam. Ketika berucap di satu majlis di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur, baru-baru ini, Adam menyeru orang ramai menyuarakan bantahan secara aman di jalanraya berhubung penipuan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu. Ucapan berapi Adam Adli di pentas anjuran SAMM dan SMM pada 13 Mei lalu telah membawa kepada penahanan beliau semalam di Bangsar Utama. Beliau ditahan di Lokap Berpust Kuala Lumpur di Jinjang dan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948. SAMM bersama hampir 100 aktivis rakyat telah berkumpul dan menunjukkan solidariti terhadap Adam Adli di hadapan lokap yang dihuni oleh beliau sepanjang malam tadi. CheguBard menyifatkan penangkapan Adam Adli sebagai mencetuskan mood yang baik untuk kebangkitan rakyat terutama anak muda akibat penipuan dalam PRU-13 hingga mencemarkan amalan demokrasi di negara ini. Beliau mengingatkan pihak kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) agar sedar bahawa majoriti rakyat mahukan kerajaan yang baru tetapi malang bagi negara ini apabila kemenangan rakyat dicuri atas nama demokrasi palsu. | ||||
Kemampuan Paul Low di JPM jadi persoalan Posted: 19 May 2013 04:04 AM PDT
Akhbar itu menyifatkan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) itu memberikan kenyataan yang mempertahankan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak mengambil tindakan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selepas dakwaan salah guna kuasa terhadap Taib seperti yang disiarkan dalam video Global Witness. Low dilihat memberi kenyataan yang menimbulkan keraguan apabila berkata, Perdana Menteri mungkin mempunyai pilihan yang terhad kerana pendedahan terhadap Taib itu melibatkan urusan negeri. Low juga dilaporkan tidak mengecam tindakan kerajaan sementara BN dalam pilihan raya lalu apabila ia melanggar Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International yang ditandanganinya. Tidak ada sebarang kecaman dilaporkan walaupun TI-M sendiri yang menyifatkan Najib telah mengabaikan salah satu janji dalam ikrar tersebut iaitu tidak menerima atau memberi rasuah atau terlibat dalam sebarang amalan rasuah. Memburukkan keadaan, Khamis lalu, Malaysiakini melaporkan, salah seorang anggota TI-M, Koris Atan, mempersoalkan integriti Low yang menandatangani Ikrar Integriti tersebut dengan Najib tanpa kelulusan jawatankuasa pusat negeri badan itu. "Hanya kerana melibatkan perdana menteri, dia tidak boleh rasa ada kuasa melakukan apa saja ikut kehendak sendiri, sekarang dia dilantik sebagai menteri, persoalan berbangkit sama ada ia sebahagian daripada rancangan," kata Koris. Pengarah Institut Kepimpinan dan Strategi Asia Tan Sri Ramon Navaratnam menyifatkan perlantikan Low menyulitkan pentadbiran baru. "Orang mahu lihat keputusannya. Masih banyak jerung yang berenang-renang dengan begitu seronok. Kita harap dapat melihat tindakan diambil terhadap mereka. "Jika tidak, (perlantikan Low) akan mengakibatkan kesan yang sebaliknya dan hanya lebih kepada retorik," kata beliau. | ||||
Isu Exco Selangor akan selesai dalam 2 hari - Tony Pua Posted: 19 May 2013 04:03 AM PDT
Setiausaha Publisitinya, Tony Pua dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah berjumpa dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengenainya petang ini. Dalam pertemuan itu beliau bersama dengan Teresa Kok (Pengerusi DAP Selangor) dan Teng Cham Khim (Timbalan Pengerusi DAP Selangor) telah berbincang mengenainya dengan Khalid. "Kita telah mencapai kata sepakat ianya akan diselesaikan dengan baik dan tidak akan ada kenyataan sehinggalah Exco dibentuk," kata Tony. Pagi tadi, Tony Pua dalam kenyataannya mempertikaikan perubahan keputusan yang telah dicapai sebelum ini. Sebelum ini PAS diputuskan akan menentu Speaker dan akan mendapat tiga kerusi Exco manakala DAP akan mendapat 4 dan PKR 3. Namun malam tadi Khalid dalam kenyataannya berkata, kouta Exco adalah PAS 4, DAP 3 dan PKR 3. | ||||
Pas Selangor sambut baik formula 4-3-3 Posted: 19 May 2013 03:53 AM PDT SHAH ALAM - Pas Selangor menyambut baik formula senarai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang diumumkan oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meletakkan empat pemimpin parti itu pada penggal ini. Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, setiap negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat (PR) mempunyai beberapa opsyen untuk menghantar senarai calon kepada menteri besar atau ketua menteri. Menurutnya yang juga Adun Meru, Pas juga telah menghantar lebih daripada empat senarai calon sebagai pilihan sekiranya berlaku penolakan oleh Sultan Selangor. "Kita gembira Pas dapat empat kerusi dengan menggunakan formula 4-3-3. "Ini keputusan Tuanku DYMM Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) untuk guna formula itu, kita tak boleh nak pertikai. "Pas ikut pekenan sultan, kalau begitu, begitulah," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Abdul Khalid telah dilantik semula sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua selepas PR memenangi majoriti dua pertiga dengan meraih 44 kerusi 56 kerusi Dun. Pas dan DAP memenangi 15 kerusi setiap satu, manakala PKR pula 14 kerusi. | ||||
‘Utusan’: Tiada iklan AirAsia sehingga Azran Rani Omar minta maaf Posted: 19 May 2013 03:49 AM PDT Awang Selamat dalam ruang kolum tersebut mendakwa harga iklan yang diberikan kepada AirAsia adalah terlalu murah dan tidak memberikan sebarang keuntungan kepada Utusan Malaysia, malah lebih rendah daripada iklan-iklan kecil yang lain. "Tanpa Air Asia, Utusan tidak akan hadapi sebarang masalah. Lagipun nilai iklan yang diberi sangat kecil, lebih rendah daripada iklan jamu dan rawatan rambut," kata Awang Selamat yang dipetik berkata dalam akhbar tersebut. Selain itu, Awang Selamat juga mencadangkan Utusan Malaysia supaya menerima permohonan sebarang iklan daripada syarikat penerbangan tambang murah itu selagi Azran tidak meminta maaf kepada akhbar milik Umno tersebut. "Biarlah iklan syarikat itu ada pada akhbar lain tetapi bukan Utusan," kata Awang Selamat lagi. Dalam ruangan kolum Mingguan Malaysia hari ini, Awang Selamat berkata AirAsia sepatutnya bersyukur kerana Utusan Malaysia tidak pernah menulis atau mengkritik mereka dengan artikel negatif. "Awang juga tidak mahu mengungkit betapa Utusan telah banyak memberi bantuan antaranya, dengan tidak menyiarkan banyak perkara negatif berkaitan AirAsia," kata Awang Selamat yang dipetik dalam Utusan Malaysia hari ini. Dalam ruang itu lagi, Awang Selamat juga membuat perbandingan antara AirAsia dan Malaysia Airlines (MAS), yang mana menyifatkan MAS sebagai memiliki khidmat yang lebih baik dan kental nasionalismenya. "Kepada yang berbudi kita berbahasa, terutama penerbangan Malaysia yang servisnya lebih baik dan kental nasionalismenya," kata Awang Selamat lagi. Azran sebelum ini dilaporkan mengkritik pendirian editorial akhbar itu menerusi akaun Twitter beliau. Beliau dilaporkan meluahkan rasa jengkelnya terhadap isu perkauman yang dimainkan editor akhbar tersebut akhir-akhir ini. Beliau dilaporkan turut mengkritik Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebagai pertubuhan tidak relevan yang menyebabkan orang Melayu berfikiran sempit. Dalam reaksi balas, akhbar milik Umno itu kemudiaan menyiarkan kenyataan dari pemimpin Perkasa, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan juga kenyataan aktivis anti-PKR yang antara lainnya menyelar Azran sebagai "bongkak" dan "lupa diri". Berang dengan tulisan Azran, pemangku presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Bakar dalam laporan Utusan berkata eksekutif tersebut "angkuh" kerana lupa bahawa beliau mungkin tidak mampu berada di kedudukan tersebut tanpa "kuasa Melayu yang diperjuang Utusan Malaysia". "Tidakkah Azran terfikir lesen yang dikeluarkan kerajaan kepada Air Asia adalah kerana pada peringkat awalnya syarikat penerbangan itu dimiliki orang Melayu?," Abdul Rahman dilaporkan berkata. | ||||
Kit Siang: KPN dan Zahid ‘bermain politik’, gesa tangani jenayah Posted: 19 May 2013 03:41 AM PDT Penasihat DAP tersebut membidas KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid ekoran kenyataan kedua-dua mereka ke atas perhimpunan Pakatan Rakyat (PR) dan rakyat Malaysia yang tidak gembira dengan keputusan pilihan raya. "Kedua-dua perlu sedar bahawa mereka dibayar oleh pembayar cukai untuk menjalankan tugas utama mengurangkan jenayah, untuk melindungi keselamatan rakyat Malaysia, pelancong dan pelabur dan untuk menghapuskan perasaan takut terhadap jenayah yang menghantui rakyat Malaysia dalam negara ini , bukan mengabaikan tugas mereka dengan bermain politik dengan menggunakan kedudukan mereka," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini. Lim kemudiaan mencabar kedua-dua individu supaya menumpukan tanggungjawab mereka serta memberitahu kepada rakyat bagaimana mereka akan mengurangkan kadar jenayah, bukan dengan hanya bersikap sambil lewa dan pandai berpolitik sahaja. "Kalau mereka banyak masa terluang, apa kata mereka cabar diri sendiri untuk membuang Johor Baru sebagai pusat jenayah dalam tempoh 12 bulan daripada sekarang. "Adakah Khalid dan Zahid mampu mengumumkan perletakkan jawatan mereka kepada umum jika mereka gagal melakukannya untuk memastikan Johor Baru selamat dan terjaga semula?" kata Lim. Menurut Lim lagi, kedua-dua mereka hanya sibuk bercakap tentang konspirasi mengguling kerajaan tetapi tidak pula melakukan siasatan terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan berbau perkauman walaupun banyak laporan polis telah dibuat, sebagai contohnya terhadap bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah. "Mengapa pihak polis tidak mula siasatan ke atas ucapan hasutan dan perkauman yang dibuat kepada orang awam oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Abdullah pada Ahad lalu walaupun laporan polis telah dibuat?" soal Lim lagi. Malah, akhbar milik Umno Mingguan Malaysia hari ini juga melaporkan bahawa Khalid memandang serius pendedahan bekas paib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, yang menuduh terdapat konspirasi menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan rusuhan dengan nama Malaysia Spring. "Individu yang membuat dakwaan pun tidak mempunyai integriti atau keberanian untuk membuat laporan polis, bagaimana Ketua Polis Negara boleh berkata akan memulakan siasatan ke atas tuduhan yang keterlaluan dan tidak berasas?" kata Lim lagi merujuk kepada Tunku Abdul Aziz. Bulan lalu, media melaporkan pembunuhan dan percubaaan merompak terhadap wanita berumur 52 tahun Irene Ong di Bukit Gasing yang menyayat hati dan mendapat tumpuan orang ramai. Putrajaya telah mengatakan dari 2009 hingga 2012, kadar jenayah kebangsaan menurun sebanyak 27 peratus sementara jenayah jalanan menurun sebanyak 39.7 peratus tetapi ramai pengundi wanita yang berjumlah separuh daripada keseluruhan pengundi. Polis mengatakan kadar jenayah juga jatuh enam peratus untuk suku tahun pertama 2013 berbanding tempoh yang sama tahun lepas tetapi beberapa kumpulan mempertikaikan angka tersebut, mengatakan ianya telah diubah. Pengerusi Pemantau jenayah MyWatch R. Sri Sanjeevan mengatakan Putrajaya dan polis hanya memberitahu jenayah adalah satu persepsi dalam tindak balas terhadap kebimbangan awam. MyWatch menuduh polis Februari lalu mengubah statistik jenayah, mendakwa kes-kes ragut dan samun tanpa senjata api serta kecurian dan pecah rumah, adalah lebih tinggi daripada indeks jenayah diterbitkan dari Januari hingga Oktober 2011. | ||||
Zahid Cuba Jadikan Anwar Sebagai Modal Politiknya Posted: 19 May 2013 03:25 AM PDT MSO Menteri yang dikenali dengan Kerbau Air dikalangan penjengok blog saya, Ahmad Zahid Hamidi nampaknya telah menjadikan jawatan baru Menteri Dalam Negeri (KDN) sebagai kempen untuk mengukuhkan kedudukannya di dalam Umno. Umno akan mengadakan pemilihan pemimpin (MT) pada Oktober nanti; maka Zahid kena mulai berkempen dari sekarang bagi menjamin kedudukkan sekurang-sekurang sebagai Naib Presiden kekal.
Ahli Umno kini bukan saja akan teruja atau menganggap seseorang menteri itu berkualiti setakat tahu berjabat tangan sambil menepuk bahu dan mengeluarkan ketawa kuat selepas itu mengoncang-goncangkan tangan tetamu. Ahli Umno akan membuat pennilaian dari sudut intelektual dan profesionalisme seseorang yang bergelar menteri. Juga ahli Umno tidak akan mudah teruja setakat dapat menghadiri jamuan majlis hari raya atau kenduri kahwin yang dibuat di lokasi mewah dan sebagainya. Apa dinilai ialah pandangan dan juga idea-idea penyelesaian (solusi) masalah oleh menteri berkenaan. Pemimpin atau menteri bukan sahaja diharap menjaga Umno tetapi menjaga negara keseluruhannya. Sebagai Menteri Pertahanan, Zahid sangat lemah dan tidak tegas. Beberapa kenyataan dan keputusannya boleh dipertikaikan. Misalnya menggunakan kuasanya sebagai menteri bagi menjamin kemenangan UBN satu tindakan huduh. Beliau sering dipadankan dengan kebolehan dan kemampuan Menteri Dalam Negeri sebelum ini Hishamuddin Hussein. Beliau dianggap adik beradik segenetik kurang cerdik dengan Hishamuddin Hussein. Ada juga mengatakan wawasan diterapkan oleh Shafei Afdal untuk pembangunan luar bandar lebih baik dari Zahid. Satu kayu ukur untuk melihat siapa lebih hebat di antara tiga Naib Presiden ialah pada ucapan penangguhan dalam perhimpunan agung Umno. Ternyata ucapan Zahid lebih serabut dan komidian berbanding Shafei. Banyak kenyataan-kenyataan beliau tidak menggambarkan kenyataan dari seorang menteri dari ketegasan dan sosok sebagai seorang menteri pertahanan. Seorang menteri pertahanan bukan saja memerlukan seorang yang bermulut besar (bual) tetapi ketegasan dalam tindakan serta keakuratan dan keabsahan dalam kenyataan-kenyataa dibuatnya. Malangnya banyak ketegasan dibuat Zahid khasnya kepada publik tidak ditunaikan dan ia lebih sebagai satu gerakan untuk halau itik makan padi saja. Kalau kita masih ingat beliau pernah berjanji ingin menjelaskan satu persoalan terhadapnya mengenai kunjungannya ke Makkah yang menaiki jet peribadi. Bila dipersoalkan Zahid berjanji dia akan jelaskan jet siapa yang beliau naiki itu. Waktu itu beliau di New Delhi. Katanya sekembali dari New Delhi dia akan jelaskan. Aduh cik Minah sayang, bulu ketiak panjang....sampai ke hari ini beliau tidak menjelaskan siapakah yang punya jet berkenaan, apakah kepunyaannya atau orang lain. Begitu juga kenyataan Zahid sebagai menteri pertahanan mengenai kehilangan enjen jet tidak lama dulu. Satu masa dia mengatakan harga jet itu RM500 ribu, selepas itu dalam kenyataan lain angkanya bertukar menjadi RM 1 juta dan akhir sekali nilainya cuma RM69 ribu saja. Perbezaan kenyataan-kenyataan sebeginilah menyebabkan orang mulai mengukur kepada caka-cakap Zahid sejauh mana benar, tepat dan boleh dipercayai. Atau dia hanya berkomidi tanpa mengira tempat dan keadaan, Terbaru beliau mengatakan ada tiga pemimpin pembangkang akan didakwa di mahkamah kerana terlibat dengan tragedi Lahad Datu. Katanya pendakwaan itu akan dilakukan selepas pilihan raya. Malangnya pilihan raya sudah hampir dua minggu tetapi pendakwaan belum dibuat. Orang ramai ternanti-nanti dengan janji Zahid itu. Apakah kenyataan itu hanya dakyah pilihan raya saja? Kalau ia sekadar modal pilihan raya untuk menimbulkan kelam kabut kepada pihak Pakatan Rakyat, nyatalah kita dapat mengukur tinggi rendah politik Zahid. Hari ini beliau telah menyerang Anwar Ibrahim secara terbuka. Beliau nampaknya dilantik oleh Najib untuk menyerang Anwar. Najib belum memberi apa-apa ulasan berhubung himpunan Black 505 (mungkin masih phobia dengan kekalahan UBN yang hilang tujuh kerusi dan hilang undi popular) tetapi Zahid sudah mendahului Najib dengan mengecam anak-anak muda yang berhimpun. Zahid telah mengambil alih tugas Najib dengan melayan kemarahan rakyat secara pongoh. Boleh jadi Zahid diperintah oleh Najib tetapi boleh jadi juga sikap melampau Zahid dan berperangai macam kambing tidak cukup garam itu atas inisitifnya sendiri. Zahid mula membuat perhitungan untuk peperangan Oktober akan datang. Serangan ke atas Anwar dan pencincangan beliau kepada Pakatan Rakyat sebagai menanam saham untuk dirinya sendiri. Bagi saya kecaman Zahid kepada Anwar atau pun kumpulan anak muda yang bersama Anwar hanya satu sandiwara bukan bertolak daripada keserisuan isu berkenaan ataupun dibuat demi kepentingan negara. Zahid ingin menunjukkan dia hero Jawa peranakan berani untuk menghalau orang. Maksud Zahid ialah untuk diperhatikan oleh 148,000 ahli Umno di seluruh negara kelak. Zahid mahu tunjukkan dalam ramai-ramai khasnya di kalangan Naib Presiden beliaulah paling berani dan konmited dengan Umno. Kalau itulah tujuan Zahid ia tindakan silap. Zahid dinilai bukan saja kepada kenyataan-kenyataan dan dakyah 'lewel'nya dalam politik. Orang juga akan melihat kepada sejarah masa lampau, hubungan beliau dengan Anwar Ibrahim sendiri. Pemerhati politik dan juga pemimpin Umno lain sudah mengenali siapa dia Zahid Hamidi. Sudah tahu bau mulutnya makan petai atau jengko atau buah geduak? Di mana Zahid Hamidi sebelum Anwar dipecat dari Umno? Apakah yang Anwar lakukan kepadanya. Siapakah yang memberi pink form saham kepadanya. Zaman siapakah syarikat-syarikat milik Zahid seperti Tekala Sdn Bhd, Kertam Holding Sdn Bhd dan sebagainya wujud. Apakah zaman Najib menjadi Menteri Kewangan atau Anwar Ibrahim? Dan dimanakah Zahid semasa Anwar dipecat? Bukankah Zahid tercokol berada di rumah Anwar bersama rakan-rakan pemuda Umno lain yang hidup merayap macam kutu itu? Saya masih simpan hingga ke hari ini gambar-gambar Zahid berceramah menggerakkan semangat refomis di rumah Anwar? Dan orang juga akan menjadi tertanya-tanya kenapa selepas itu beliau boleh berundur meninggalkan Anwar dan mendedahkan kemaluannya sendiri konon dia menjadi alat Anwar. Tidakkah pendedahan itu menujukkan Zahid seorang 'komidian'? Apa yang Zahid lakukan hari ini tidak boleh menutup apa yang beliau lakukan sebelum ini. Setiap gerak geri kita, kata-kata kita dan tindak tanduk kita direkod oleh sejarah. Sejarah tetap akan kekal selagi semua manusia tidak gila. Mungkin Zahid telah gila kepada dirinya sendiri menyebabkan segala peristiwa lalu beliau sudah tidak ingat. Kalau dia ingat dia tidak akan membuang najis atas tangga sendiri. Kepada Zahid kita boleh maafkan tetapi beliau perlu bersikap rasional dan kurangkan emosional. Saya hendak mengingatkan Zahid lawannya yang sebenar untuk dia menjadi timbalan perdana atau perdana menteri bukan Anwar, tetapi orang lain. Zahid tidak mengenali musuh beliau siapa yang sebenarnya? Inilah kesilapan Zahid. Sasarannya salah. Inilah kesilapan kadok setelah naik junjung. Untuk pengetahuan Zahid musuh beliau atau batu penghalang untuk beliau naik bukan Anwar tetapi Muhyuddin Yassin. Beliau harus berdepan dengan Muhyuddin secara lunak. Muhyuddin selepas akan akan menyekat kemaraanya. Najib yang kini berada dalam keadaan telor di hujung tanduk tidak dapat melakukan apa-apa untuk membantu Zahid kerana dirinya sendiri juga sakit. Menyerang Anwar yang berada di luar Umno tidak menguntungkan Zahid. Bahkan tindakan itu merugikannya. Seperkara lagi beliau juga kena ingat yang mendominasi Umno kini golongan muda. Jadi sikap Zahid bermusuh dengan orang muda atau cuba menunjuk motor besar kepada orang muda ia tidak membawa apa-apa keuntungasn. Orang muda memiliki motor lebih berkuasa tinggi dari motor Zahid Hamidi. Kalau tidak kena gaya musuh Zahid bukan saja Muhyuddin tetapi Najib juga boleh bertukar menjadi musuh Zahid. Bagi Najib beliau tidak akan bersama orang yang mulai dibenci oleh ahli Umno. Bagi Najib seburuk-buruk atau sepondan Hishamuddin dia tetap akan memilih Hishamuddin sebagai penggantinya kerana Hishamuddin ada adik beradik sepupunya. Zahid kena sedar dan tahu ini. Seperti dikatakan tadi di dalam keadaan Najib sendiri nyawa-nyawa ikan dia tidak boleh banyak membantu orang lain termasuk Zahid. Saya meramalkan dalam pemilihan Umno akan datang Zahid tidak akan mendapat blassing sesiapa, manakala Muhyiddin sudah tentu ada itik nila yang hendak disokongnya. Hendak tidak hendak Zahid terpaksa mempertahankan jawatan secara solo. Ketika Muhyuddin sedang menyusun tapak kepada orang yang akan menjejaknya nanti, Zahid kena sedar dia berada dilorong lain. Muhyuddin sama sekali tidak akan kenang kepadanya. Apakah kita lupa yang Zahid pernah membuat kenyataan akan bertanding jawatan timbalan presiden Umno kemudian menarik balik. Kenapa? Dan kenyataan Zahid itu tidak akan dilupakan Muhyuddin dan ia sekali lagi akan dilihat sebagai komidian. | ||||
[VIDEO & GAMBAR] 60,000 Banjiri Majlis Kesyukuran Pakatan di P Pinang Posted: 19 May 2013 03:20 AM PDT Walaupun polis memberi amaran bahawa ia adalah perhimpunan haram, namun puluhan ribu membanjiri majlis 'kesyukuran' kerajaan negeri di Esplanade di Pulau Pinang malam tadi. Orang ramai, kebanyakannya para belia yang berpakaian Baju-T hitam bersama vuvuzela plastik, penuh dengan semangat Blackout 505 Pakatan menentang dakwaan penipuan dalam pilihan raya umum pada pada 5 Mei. Penceramah terakhir di majlis tersebut, pemimpin Pakatan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di kebanyakan negara jika berlaku penipuan seperti itu, maka akan berlaku mogok awam yang besar. Oleh itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak patut berterima kasih kepada Pakatan kerana mengekalkan keamanan dan tenang dalam semua bantahan yang diadakan. "Di semua negeri, dari Pulau Pinang ke Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang, kita mengadakan perhimpunan yang aman tetapi Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata ianya haram," katanya. "Saya ingin memberitahu mereka (bahawa), mereka boleh cuba untuk mengisytiharkan perhimpunan kita haram tetapi mereka tidak boleh menghalang kuasa rakyat kerana Suara rakyat Suara keramat," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin. Anwar berkata, adalah mustahil untuk menerima keputusan pilihan raya umum apabila terdapat hampir 30 kerusi yang meragukan, dengan BN mengekalkan Putrajaya walaupun ia hanya mendapatkan 48 peratus undi popular. Beliau yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata, walau apa cara sekali pun, rakyat Malaysia tidak boleh menerima penipuan tersebut. "Jika terdapat mana-mana kerusi yang Umno atau BN telah menang, dan tidak ada bukti penipuan, kita akan terima keputusannya, " katanya. "Tetapi jika terdapat 30 kerusi yang kita kalah, kita ada bukti penipuan pilihan raya dan kita akan mencabar keputusan ini," ikrarnya. -mk LIHAT VIDEO DI SINI | ||||
Kavyan tolak perkauman, pupuk perpaduan Posted: 19 May 2013 03:15 AM PDT Oleh: Uthaya Sankar SB Bersama-sama "kaum" itu pula muncul pembahagian berteraskan agama, bahasa dan politik. Walaupun sejak April 2009 pelbagai aktiviti dikendalikan di bawah slogan muluk "1Malaysia", rata-rata masih tidak berjiwa Malaysia atau bersifat inklusif. Kehadiran kelompok/wakil dari kaum tertentu hanyalah sebagai tempelan serta sekadar memenuhi syarat dan formula "Melayu + Cina + India = 1Malaysia". Adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan persekutuan dalam hal ini kerana amalan seperti itu sudah mendarah-daging dan menjadi kebiasaan/lumrah dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) sejak lebih 55 tahun dahulu. Maka, apa yang mampu dilakukan golongan berkenaan hanyalah meneruskan tradisi. Mujurlah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan bahasa pula, wujud minat untuk saling berinteraksi, saling mengenali, saling memahami serta menerima kepelbagaian dan perbezaan yang wujud. Perkara-perkara ini juga secara tidak langsung menjadi antara aspek yang diambil perhatian apabila Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) diasaskan oleh sekumpulan penulis/peminat bahasa dan sastera kebangsaan pada 22 Ogos 1999. Slogan "Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia" yang menjadi pegangan dan panduan Kavyan adalah penting bagi menunjukkan bahawa aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya dikendalikan dalam Bahasa Malaysia supaya boleh melibatkan penyertaan Bangsa Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Suatu perkara yang mungkin sengaja mahu dipersoalkan oleh puak tertentu adalah mengapa jawatankuasa Kavyan hanya terdiri daripada individu kaum India. Untuk makluman, Kavyan dizahirkan secara khusus untuk menonjolkan peranan, sumbangan serta penglibatan kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia secara jelas. Walau bagaimanapun, seperti diketahui umum, sejak awal penubuhan, kesemua aktiviti Kavyan terbuka kepada umum tanpa batas kaum dan agama. Sesiapa yang pernah menyertai acara anjuran Kavyan pasti menyedari hakikat ini. Dalam perkembangan politik semasa, aspek perkauman semakin hangat diungkitkan oleh para pemimpin BN. Apa yang menyedihkan adalah bahawa Presiden BN sendiri yang sebelum ini "bersembunyi" di belakang topeng "1Malaysia" telah menunjukkan wajah sebenarnya menerusi kenyataan "tsunami Cina" berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU). Saya masih optimis bahawa politik perkauman, parti-parti politik berasaskan kaum serta jiwa perkauman yang mendarah-daging dalam diri politikus tidak akan menular kepada masyarakat awam. Peserta bertukar cerita tentang budaya dan amalan Pada masa sama, realiti yang mungkin juga sudah diketahui umum adalah bahawa ada juga persatuan berkaitan penulisan yang sudah diserapi politik perkauman serta budaya rasis, ultra kiasu dan etnosentrik. Tidak mustahil bahawa itulah "wajah sebenar" yang cuba disembunyikan tetapi akhirnya diketahui umum sejak awal 2011. Mungkin masing-masih mahu menjaga periuk nasi sendiri serta sanggup melakukan apa sahaja – termasuk menjual maruah, integriti dan perjuangan sastera – asalkan terus mendapat bantuan dana daripada pihak tertentu yang mengamalkan politik "pecah dan perintah" untuk terus berkuasa. Mujurlah Kavyan tidak pernah (dan tidak akan) terpengaruh dengan budaya sedemikian. Hal ini mungkin disebabkan Kavyan hanya sebuah kumpulan kecil yang tidak berorentasikan keuntungan kewangan atau perebutan jawatan. Sebaliknya Kavyan mahu menyemarakkan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Namun, sama ada disedari atau tidak, ada usaha berterusan oleh pihak tertentu yang cuba melabel Kavyan sebagai kumpulan yang mengamalkan perkauman serta menyebarkan agama Hindu. Lebih memalukan apabila penulis tertentu yang disegani turut membuktikan jiwa perkauman dan ultra kiasu dengan menyebarkan fitnah mengenai Kavyan. Hazayani Zakaria yang berasal dari Dungun, Terengganu antara lain pernah menyertaan bengkel penulisan cerpen dan acara baca cerpen anjuran Kavyan. Katanya, dia tidak menghadapi sebarang masalah sama ada sebelum, sewaktu atau selepas menyertai kedua-dua program berkenaan. "Saya tidak nampak sebarang usaha mewujudkan prejudis perkauman sewaktu berprogram. Penganjur mahupun peserta tidak pernah sesekali memperlekeh mana-mana kaum. Sebaliknya kami banyak bertukar cerita mengenai budaya dan amalan kaum masing-masing memandangkan peserta terdiri daripada pelbagai kaum. "Apa yang menarik juga, kami menggunakan Bahasa Malaysia yang betul sepanjang program. Bilangan rakan saya daripada kaum India dan Cina juga bertambah selepas menyertai program Kavyan. Kami saling berhubung sehingga sekarang," kata wartawan itu yang tinggal di Segambut, Kuala Lumpur. Jeeva Kasthuri Anamalay adalah seorang ibu yang sanggup datang dari Sungai Petani, Kedah untuk menyertai beberapa aktiviti anjuran Kavyan di Shah Alam dan Kuala Lumpur. Jika aktiviti adalah sesuai bagi kanak-kanak, anak-anaknya turut dibawa bersama. Walaupun aktiviti berunsurkan bahasa dan sastera mungkin kurang menarik perhatian masyarakat – khususnya golongan muda – Kasthuri tetap sedar akan kepentingannya. "Bahasa adalah alat yang menjadi penghubung agar wujud kerjasama antara satu sama lain, tanpa mengira batas kaum, etnik, agama dan kepercayaan. Itulah antara keinsimewaan dan keunikan yang saya perhatikan dalam aktiviti anjuran Kavyan," kata guru swasta sepenuh masa itu. Acara "Baca Cerpen Kavyan" pada tahun 2003 menampilkan pembacaan 384 cerpen Bahasa Malaysia secara berterusan oleh 166 peserta pelbagai kaum dalam masa 96 jam 32 minit. Sejak itu, siri baca cerpen dianjurkan di seluruh negara bagi menyemarakkan minat terhadap sastera, bahasa dan pembacaan dalam kalangan masyarakat. Aktiviti Kavyan di Pesta Buku Selangor Antara penulis yang pernah "diraikan" menerusi acara baca cerpen/novel anjuran Kavyan ialah Datuk A Samad Said, Dr Anwar Ridhwan, Kamariah Kamarudin, S M Zakir, Nisah Haron, Anis dan Salina Ibrahim. Terkini, acara "Bakat Bahasa Kanak-kanak Selangor" dan "Baca Cerpen Kavyan" akan dianjurkan sempena Pesta Buku Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 24 Mei – 3 Jun 2013. Aktiviti lain yang dirancang oleh Kavyan adalah "Dialog Penulis di Pesta Buku" dan "Suara Anak Muda Selangor". Walaupun Kavyan diterajui oleh jawatankuasa daripada kalangan kaum India, sebenarnya rakan-rakan pelbagai kaum terlibat dalam menjayakan kesemua aktiviti. Dialog penulis pada 31 Mei misalnya, menampilkan Faisal Tehrani, Roslan Jomel, Kamariah Kamarudin dan Khairulnizam Bakeri. Program "Suara Anak Muda Selangor" pula akan dijayakan dengan kerjasama Teach for the Needs (TFTN) dan Buku Jalanan Shah Alam. Amalan bekerjasama dengan pelbagai pihak dan pertubuhan berasaskan bahasa, sastera, seni dan budaya – tanpa mengambil kira kaum dan agama – sudah menjadi budaya Kavyan sejak dahulu. Kavyan meraikan kepelbagaian dan kerjasama semua pihak. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa setelah sekian lama dimomokkan oleh BN dengan tarikh "13 Mei" (1969), kini rakyat pelbagai kaum bersatu untuk menyambut tarikh berkenaan sebagai Hari Perpaduan. Perkara ini menjadi kenyataan berikutan rakyat sudah menolak politik perkauman dan tidak mahu ditakutkan dengan sentimen perkauman yang tidak menguntungkan sesiapa. Kavyan turut menjalankan program "Konvoi Rumah Ibadat" bagi memupuk perpaduan merentas kaum/agama sejak 2010. Bersama-sama Hidayah Centre dan Pertubuhan Ikram Negeri Sembilan, program sama dilaksanakan dengan penuh jaya di Seremban pada 17 Februari 2013. Salah seorang rakan yang menyertai program berkenaan ialah Shahrul Nizam Abd Hamid, pegawai sumber manusia di Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd. Beliau turut terlibat dalam siri baca cerpen dan majlis pelancaran kumpulan cerpen "Kisah dari Siru Kambam" pada 10 Mac lalu. "Pengalaman bercampur-gaul dan duduk berbincang dengan peserta pelbagai kaum semasa aktiviti Kavyan secara langsung memberikan peluang untuk mendekati dan memahami asas perpaduan. Semasa konvoi ke rumah-rumah ibadat misalnya, saya berpeluang untuk bertanya secara langsung tentang kemusykilan yang timbul tentang adat dan kepercayaan agama lain," kata pemuda itu yang berasal dari Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah. Shahrul juga mengakui bahawa aktiviti Kavyan yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum dan agama secara tidak langsung membantunya menangkis pemahaman negatif tentang budaya kaum lain. "Kavyan bukan hanya bergerak sebagai sebuah kumpulan penulis tetapi juga bertindak sebagai penghubung antara budaya dan agama. Kavyan merapatkan jurang perpaduan kaum. Saya perhatikan bahawa semangat perpaduan semakin terhakis dalam kalangan masyarakat dek ledakan api perkauman yang ditiup segelintir politikus demi keuntungan politik sempit mereka," tegas Shahrul yang akan menjadi pengacara "Baca Cerpen Kavyan" di SACC pada 26 Mei nanti. | ||||
Pihak berkuasa Singapura diminta tidak batalkan pas kerja rakyat Malaysia Posted: 19 May 2013 03:04 AM PDT Roketkini.com KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Singapura diminta memberi peluang kedua kepada rakyat Johor yang melanggar undang-undang negara jiran itu kerana mengadakan aktiviti Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di pulau itu sebagaimana pengecualian diberi kepada bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman. Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata beliau memohon jasa baik pihak berkuasa Singapura supaya memberi peluang kedua kepada pekerja Malaysia yang dikatakan melanggar undang-undang negara itu kerana semangat PRU-13 mereka. "Saya tidak minta negara jiran itu memberi layanan sama seperti Abdul Ghani tapi sekurang-kurangnya memaafkan mereka supaya setiap orang boleh meneruskan kehidupan selepas mempelajari hakikat kehidupan," katanya dalam kenyataan media, semalam. Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, mengikut laporan pihak berkuasa Singapura telah mula membatalkan pas kerja seorang daripada 21 rakyat Malaysia yang terbabit di dalam perhimpunan haram pada 8 dan 11 Mei lalu di Merlion Park Singapura dan pihak berkuasa turut membatalkan pas lawatan dua lagi daripada kalangan mereka. Bagaimanapun, bagi 18 rakyat Malaysia mengikut kenyataan Singapore Police Force (SPF) pas kerja mereka akan dikaji semula selepas selesai siasatan lanjut. Selain itu, pihak berkuasa Singapura menyatakan Datuk Seri Abdul Ghani Othman tidak berkempen dan dengan itu tidak melakukan sebarang kesalahan ketika melawat Singapura pada hari terakhir tempoh berkempen PRU-13, baru-baru ini. "Saya memuji pihak berkuasa Singapura kerana cuba mempertahankan Abdul Ghani apabila mengatakan bekas Menteri Besar Johor itu tidak berkempen di Singapura walaupun jelas matlamat utama Ghani melawat Singapura ialah untuk merayu undi daripada rakyat Malaysia sama ada yang berkerja atau menetap di Singapura, dipercayai seramai 400,000 orang. "Jelajah saat akhir Abdul Ghani ke Singapura untuk merayu undi rakyat Johor yang tinggal dan berkerja di negara itu ialah satu idea melalut yang difikirkan strategis "bilik perang" pemimpin UMNO yang gagal dengan teruk, sama seperti idea menjemput bintang K-Pop Korea Selatan Psy ke Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang atau lebih teruk serangan "Duit Duit Duit" ke atas DAP di Pulau Pinang, mengumpan rakyat negeri itu dengan makanan, minuman dan hiburan percuma serta wang tunai termasuk cabutan bertuah yang mahal-mahal untuk sepanjang minggu! "Saya tidak iri hari dengan lawatan18 tahun sekali Abdul Ghani ke Singapura atau usaha pihak berkuasa Singapura untuk melepaskannya yang berkempen di kalangan pekerja warga Malaysia di Singapura," katanya.-Roketkini.com | ||||
Muhyiddin tiada cara lain selamat diri Posted: 19 May 2013 12:42 AM PDT
"Kedudukan Najib sekarang hanya seorang saja yang mampu mencabarnya iaitu Muhyiddin. Tapi di tempat Muhyiddin, ramai calon yang bakal mencabarnya contohnya (bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd) Ali Rustam, (Pengerusi Felda Tan Sri) Isa Samad dan juga (Naib Presiden Umno Datuk Seri) Hishamuddin Hussein dan (Naib Presiden Umno, Datuk Seri) Shafie Apdal," kata sumber Umno kepada Harakahdaily. Jika Muhyiddin memilih untuk mempertahankan jawatan, kata sumber Umno itu, itu adalah langkah membunuh kareer politik beliau sendiri. "Apakah Najib dan (Datin Seri) Rosmah (Mansor) akan membantu Muhyiddin mempertahankan jawatan ataupun memilih satu timbalan yang baru yang boleh dijinakkan sehingga sampai Pilihanraya Umum ke 14? Muhyiddin tahu jawapan itu dengan jelas," tambah beliau lagi. Hujah beliau, nak atau tidak, Muhyiddin terpaksa mencabar Najib untuk menyelamatkan kareer politiknya dalam Umno. "Muhyiddin rasanya boleh menggunakan Perkasa untuk memanjang hayat politik beliau. Perkasa kini melenting pada Najib apabila mereka disisihkan daripada kabinet tapi Hindraf pula diberi masuk. "Bila Perkasa melenting, tahulah kita apa perasaan dan pandangan Tun (Dr Mahathir). Kabinet yang diputuskan Najib kini menyebabkan sekurang-kurangnya tiga anak panah kini menghala ke beliau – satu dari Sabah/Sarawak, satu Tun dan satu Perkasa," kata beliau. Ketika ditanya mengapa beliau merasakan Muhyiddin tidak dapat mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Umno jika dicabar oleh Ali Rustam dan Isa Samad, beliau menjawab "paip air Muhyiddin tak cukup kuat." "Jangan lupa kali ini 146,500 perwakilan akan mengundi. Ali Rustam sudah mencipta rekod di Malaysia dengan membuat kenduri kahwin anaknya RM600,000 untuk 60,000 orang. Isa Samad pula ada Felda. Muhyiddin ada apa?" kata beliau dengan berseloroh. "Di PRU13, BR1M RM500 senjata berkesan. Agak-agaknya apakah nilai BR1M untuk pemilihan Umno kali ini? Gabungan paip air siapa lebih besar akan menang perlawanan kali ini," tambah beliau lagi. Seramai 146,500 perwakilan Umno daripada 161 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan Umno pada akhir tahun ini selaras dengan pindaan perlembagaan parti pada 2009. Kalau sebelum ini hanya perwakilan ke PWTC sahaja yang akan mengundi untuk jawatan tertinggi Umno, kali semua perwakilan dalam mesyuarat bahagian juga mengundi. | ||||
Tabung Biasiswa PKNS RM1 Juta Untuk Kakitangan Dan Ahli Keluarga Posted: 19 May 2013 12:37 AM PDT SHAH ALAM,: Kakitangan dan keluarga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang mahu melanjutkan pelajaran kini boleh memohon daripada Tabung Biasiswa PKNS. Dengan peruntukan RM1 juta, tabung berkenaan bagi membantu anak anggota PKNS mengikuti ijazah sarjana muda sepenuh masa sementara bagi anggota pula, mereka ditawarkan melanjutkan pelajaran di peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah lanjutan dan kursus profesional sepenuh masa atau secara sambilan. Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran dan Pembangunan PKNS, Noraida Mohd Yusof berkata, peluang ini perlu dimanfaatkan sebaiknya terutama dalam menimba ilmu tambahan bagi memantapkan lagi kemahiran sedia ada. "Melalui Tabung Pendidikan Anak-anak syarikat dan Badan Berkanun Kerajaan Negeri Selangor atau TPASBB pula, PKNS sendiri memperuntukkan sebanyak RM2 juta yang juga boleh dimohon oleh anggota mahupun anak mereka untuk melanjutkan pelajaran. "Semoga ia dapat dijadikan pendorong untuk mereka mencapai kejayaan berterusan dalam pelajaran seterusnya mencapai cita-cita yang diidamkan," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang 2012 Anak Anggota PKNS di Dewan Kemajuan, Kompleks PKNS. Sebelum itu, PKNS menerusi Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja (PKP) dan Badan Islam memperuntukkan sejumlah RM45,000 untuk hadiah saguhati kepada 123 orang anak-anak ahli termasuk dua ahli persatuan. Kesemua mereka diraikan kerana memperolehi keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Agama (PSRA), Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pengajian di peringkat Diploma serta Ijazah Sarjana Muda. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran dan Pembangunan PKNS, Noraida Mohd Yusof serta wakil PKP dan Badan Islam. Pelajar cemerlang menerima wang saguhati antara RM50 hingga RM750 seorang. Hadiah saguhati ini diberikan berdasarkan kategori peperiksaan yang diambil serta jumlah A yang diperolehi. Antara pencapaian terbaik anak-anak ahli ialah 9A+ dalam SPM, 9A dalam PMR dan 5A dalam UPSR/PSRA. Dalam pada itu, penerima anugerah cemerlang Ahmad Zahir Abu Bakar, 20, yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengingatkan anak muda yang masih menuntut ilmu agar menjaga hubungan dengan Allah dan ibu bapa agar memperolehi keberkatan dalam bidang yang diceburi. Ahmad Zahir yang kini sedang mengikuti bidang perakaunan di peringkat ijazah pernah menerima Anugerah Naib Cancelor (Anugerah Dekan) di peringkat diploma dalam bidang sama. | ||||
MB : Formula 4:3:3 Untuk Lantik Exco Selangor Posted: 19 May 2013 12:34 AM PDT PELABUHAN KLANG : Barisan Exco Selangor akan diwakili empat calon daripada PAS dan masing-masing tiga daripada PKR dan DAP. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata akan mengguna pakai formula 4:3:3: (PAS: DAP: PKR),sekaligus mengesahkan desas-desus yang akan berlaku perubahan dalam agihan perwakilan dalam barisan Exco Selangor. Ia berikutan penguasaan PAS dan DAP yang masing-masing dengan 15 kerusi di DUN berbanding 14 kerusi oleh PKR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu. Pada PRU 2008, PKR yang menang 15 kerusi DUN, DAP (13 kerusi) dan PAS (lapan kerusi) dengan barisan exco iaitu empat daripada PKR dan masing-masing tiga daripada DAP dan PAS. Abdul Khalid berkata senarai nama calon bagi mengisi barisan Exco diserahkan kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Jumaat lepas termasuk senarai calon alternatif. "Saya berikan senarai kepada baginda termasuklah beberapa nama alternatif bagi memberi peluang kepada baginda untuk melihat dan membuat pilihan. Jika ada sebarang perubahan DYMM Baginda akan memanggil saya untuk diadakan perbincangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran DUN Pelabuhan Klang di Pandamaran di sini, malam tadi. Beliau yang juga Adun Pelabuhan Klang berkata upacara mengangkat sumpah Exco Kerajaan Negeri akan diadakan dalam tempoh dua minggu lagi. Sementara itu, di Majlis Kesyukuran Pelabuhan Klang di Padang Taman Pandamaran Jaya hampir 5,000 rakyat datang menjamu selera bagi meraikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU-13 lepas. | ||||
DAP: Tangkap penjenayah, bukan pemimpin Pakatan Posted: 19 May 2013 12:31 AM PDT MALAYSIA KINI Ketua polis negara yang baru Tan Sri Khalid Abu Bakar mesti membuang persepsi negatif bahawa beliau mempolitikkan pasukan keselamatan demi kepentingan BN dengan menumpukan kepada usaha membanteras jenayah dan bukan mensasarkan pemimpin Pakatan Rakyat. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (kanan) berkata, Khalid mesti membuktikan ikrarnya untuk mengutamakan keselamatan rakyat dan mengembalikan persekitaran yang selamat untuk orang ramai. "Ikrar tersebut pastinya akan diuji supaya tidak menjadi janji mulut semata-mata tetapi mesti dibuktikan dengan kejayaan menurunkan kadar jenayah di dalam negara," katanya yang juga setiausaha agung DAP. Dalam kenyataannya hari ini, Lim berkata, keselamatan awam antara isu pilihan raya umum yang menyaksikan rakyat meluahkan kebimbangan mereka terhadap peningkatan jenayah meski indeks jenayah menurun sebanyak 7.6 peratus dalam tahun 2012. "Tan Sri Khalid boleh menjadi ketua polis negara yang lebih teruk daripada pendahulunya, kecuali jika beliau boleh menunjukkan kejayaannya membanteras penjenayah dan bukan menguruskan musuh politik BN," katanya. | ||||
Hadi : Pas perkasa bahasa Melayu Posted: 19 May 2013 12:29 AM PDT SEREMBAN – Pas akan terus melaksanakan dasar pendidikan negara bagi mengilmukan rakyat dengan menggunakan pendekatan memperkasa bahasa Melayu, tetapi dalam masa sama menggalakkan penggunaan bahasa ibunda masing-masing. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pendidikan bahasa ibunda bagi setiap kaum tidak boleh dihapuskan kerana ia adalah realiti dan naluri semula jadi manusia. "Bahasa ibunda tidak boleh dimatikan tetapi kita akan terus memperkasakan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara yang boleh menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini," katanya pada sidang media ketika hadir pada Majlis Makan Malam Sempena Hari Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) peringkat kebangsaan di City Kingdom, di sini, malam kelmarin. Hadir sama, Ketua Pengarah Pasti, Hasan Ahmad dan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani. Selain itu katanya, Pas juga menerima pembelajaran bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa asing yang lain. Menurutnya, sejarah menunjukkan semua tamadun tidak bergantung kepada satu bahasa sahaja tetapi berusaha mempelajari bahasa lain untuk mendapatkan ilmu. "Bukan sahaja bahasa Inggeris, tetapi kita perlu belajar bahasa Arab, Perancis, Jepun dan lain-lain. Ketika pembinaan tamadun Islam, orang Islam digalakkan pelajari ilmu dari bahasa lain yang kemudiannya diterjemahkan dalam bahasa Arab. "Negara Jepun sendiri bangkit dengan bahasa ibunda mereka, tetapi dalam masa sama berusaha mempelajari bahasa lain untuk mendapatkan ilmu yang diterjemahkan menerusi bahasa mereka," katanya. | ||||
Taib tolak faktor 'tsunami Cina' di S'wak Posted: 19 May 2013 12:21 AM PDT BN Sarawak menafikan sebab utama kekalahannya di kawasan bandar dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini akibat sokongan masyarakat Cina yang merosot terhadap BN. Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menolak istilah "Tsunami Cina" bagi menyifatkan corak undian masyarakat Cina yang memihak kepada pembangkang. Menurut beliau, kekalahan BN mungkin disebabkan faktor dalaman dan bukan faktor luar. "Berdasarkan analisis pengundi di luar Kuching seperti parlimen Sarikei, Sibu dan Miri, kita kalah dengan selisih angka yang kecil," katanya di majlis jamuan masyarakat bersempena ulang tahun kelapan Bandaraya Miri malam tadi. Menyentuh kekalahan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di enam daripada tujuh kerusi parlimen yang ditandinginya pada PRU13, Taib berkata, terdapat tanda-tanda menggalakkan bahawa BN khususnya SUPP boleh mendapat semula kepercayaan pengundi terutama di luar Bandaraya Kuching. SUPP bertanding di Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Lanang, Sibu dan Miri tetapi hanya dapat mengekalkan kerusi Serian, yang majoriti pengundinya adalah bumiputera. Taib berkata sebagai contoh kerusi parlimen Miri terlepas dari BN dengan majoriti kurang daripada 2,000 undi yang menunjukkan tanda positif bahawa BN punya peluang untuk mendapat semula kepercayaan pengundi di kawasan bandar. Beliau turut menyatakan tidak setuju dengan keputusan MCA tidak sedia menerima sebarang jawatan dalam kerajaan kerana kalah teruk pada PRU itu. Ini, kata Taib, bertentangan dengan semangat BN yang mahukan sebuah kerajaan yang dianggotai pelbagai kaum. - Bernama | ||||
60,000 banjiri majlis kesyukuran Pakatan di P Pinang Posted: 19 May 2013 12:19 AM PDT MALAYSIA KINI Walaupun polis memberi amaran bahawa ia adalah perhimpunan haram, namun puluhan ribu membanjiri majlis 'kesyukuran' kerajaan negeri di Esplanade di Pulau Pinang malam tadi.Orang ramai, kebanyakannya para belia yang berpakaian Baju-T hitam bersama vuvuzela plastik, penuh dengan semangat Blackout 505 Pakatan menentang dakwaan penipuan dalam pilihan raya umum pada pada 5 Mei. Penceramah terakhir di majlis tersebut, pemimpin Pakatan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di kebanyakan negara jika berlaku penipuan seperti itu, maka akan berlaku mogok awam yang besar. Oleh itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak patut berterima kasih kepada Pakatan kerana mengekalkan keamanan dan tenang dalam semua bantahan yang diadakan. "Di semua negeri, dari Pulau Pinang ke Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang, kita mengadakan perhimpunan yang aman tetapi Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata ianya haram," katanya. "Saya ingin memberitahu mereka (bahawa), mereka boleh cuba untuk mengisytiharkan perhimpunan kita haram tetapi mereka tidak boleh menghalang kuasa rakyat kerana Suara rakyat Suara keramat," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin. Anwar berkata, adalah mustahil untuk menerima keputusan pilihan raya umum apabila terdapat hampir 30 kerusi yang meragukan, dengan BN mengekalkan Putrajaya walaupun ia hanya mendapatkan 48 peratus undi popular. Beliau yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata, walau apa cara sekali pun, rakyat Malaysia tidak boleh menerima penipuan tersebut. "Jika terdapat mana-mana kerusi yang Umno atau BN telah menang, dan tidak ada bukti penipuan, kita akan terima keputusannya, " katanya. "Tetapi jika terdapat 30 kerusi yang kita kalah, kita ada bukti penipuan pilihan raya dan kita akan mencabar keputusan ini," ikrarnya. | ||||
Veteran Umno arah anggota boikot AirAsia, AirAsia X Posted: 19 May 2013 12:14 AM PDT MALAYSIA KINI Persatuan Veteran Umno mengeluarkan arahan kepada anggotanya supaya memboikot perkhidmatan penerbangan tambang murah AirAsia dan AirAsia X berikut kenyataan seorang pegawai tinggi syarikat AirAsia X yang didakwa mencerca akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.Laporan edisi hujung minggu akhbar tersebut hari ini memetik kenyataan setiausaha Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub yang mahu anggota persatuan tersebut menunjukkan reaksi balas itu atas sikap yang ditunjukkan ketua pegawai eksekutif AirAsia X Azran Osman-Rani. Tindakan itu juga ekoran kegagalan AirAsia X memecat Azran dari jawatan tersebut, kata Mustapha yang menganggap dakwaan cercaan ke atas Utusan itu sebagai penghinaan ke atas kaum Melayu. "Kenyataan Azran benar-benar menghina Melayu. Oleh kerana AirAsia X tidak mahu menghukumnya, maka veteran UMNO akan menghukum AirAsia X dan AirAsia dengan memboikot kedua-dua syarikat ini. "Bagi kami Azran adalah lambang Melayu yang lupa identiti bangsanya. Inilah Melayu yang dikatakan kacang lupakan kulit. Individu seperti inilah yang menjadikan Melayu hilang identiti malah sanggup menggadai maruah bangsa sendiri," katanya. Menurut Utusan, Azran dalam tulisannya di Facebook menulis: "I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan's editorial stance. (Saya rakyat Malaysia. Saya antiperkauman. Saya meluat dengan pendirian pengarang Utusan)," Azran juga mengumumkan untuk menarikh balik iklan AirAsia, di Utusan Malaysia dan menyebut: "Utusan sudah lama tidak relevan. Jumlah pembaca merosot kerana minda pengarang sempit. Utusan tidak mewakili Melayu Malaysia." AirAsia merupakan antara pembeli ruang iklan utama di media Malaysia.
| ||||
Karpal gesa Tunku Abdul Aziz henti sebar 'rahsia' DAP Posted: 19 May 2013 12:07 AM PDT SINAR HARIAN GEORGETOWN - Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini memberi amaran kepada bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim agar menghentikan segala cerita yang menjadi 'rahsia' dalam parti itu kepada umum. Beliau yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor berkata, beliau juga akan mengemukakan saman di mahkamah sekiranya Tunku Abdul Aziz tidak menghentikan perbuatan memburukkan DAP. "Kita akan bawa perkara ini ke mahkamah, biar beliau (Tunku Abdul Aziz) faham dengan jelas, kini sudah tiba masanya untuk kami bertindak. "Sebagai seorang yang benar-benar 'gentleman' beliau tidak seharusnya mendedahkan apa sahaja yang menjadi rahsia dalam parti kepada pengetahuan umum," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penjual dan pengunjung Pasar Awam Island Park di Jalan Gangsa, di sini. Katanya Tunku Abdul Aziz yang juga bekas Naib Presiden Transparency International telah dibawa masuk menyertai DAP pada 23 Ogos 2008 oleh kepimpinan tertinggi parti itu. Tunku Abdul Aziz kemudian dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP, pada 31 Mei 2009 dan dilantik sebagai senator pada Julai 2009. Pada Mei 2012, Tunku Abdul Aziz mengumumkan keluar daripada DAP dan melepaskan jawatannya dalam parti itu kerana membantah penganjuran perhimpunan haram di ibu negara pada 28 April 2012 kerana khuatir ia boleh bertukar ganas dan bantahan itu kemudian menimbulkan perselisihan faham antara beliau dengan pemimpin DAP. Bagaimanapun beliau tidak menyertai mana-mana parti politik. Pada awal Mei lepas, Tunku Abdul Aziz telah mendedahkan di sebuah blog bagaimana beliau boleh menyertai DAP dan selepas setahun menjadi ahli beliau mendapati ideologi dan perjuangan parti itu tidak sehaluan dengan pendiriannya. - Bernama | ||||
Adam Adli direman 5 hari bermula hari ini Posted: 19 May 2013 12:05 AM PDT SHAH ALAM - Aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim ditahan reman selama lima hari di bawah Kanun Keseksaan 124 B dan Seksyen 4 (1) C Akta Hasutan bermula hari ini. Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (Kami), Khalid Mohd Ismath berkata, sehubungan dengan penahanan Adam Adli, kumpulan aktivis akan terus 'berkampung' di hadapan lokap tersebut bagi membantah penahan rakan mereka itu. "Kita juga akan bermalam di sini dan menyalakan lilin sepanjang lima hari penahanan Adam Adli. "Malahan, Adam Adli juga sempat berpesan kepada rakan aktivis di luar supaya terus berjuang melalui bapanya, Abdul Halim yang hadir di lokap Balai Polis Jinjang pada jam 11.30 pagi tadi," katanya kepada Sinar Harian Online. Menurutnya lagi, Adam Adli diwakili peguam Latheefa Koya dan Eric Paulsen untuk kes ini. Semalam, Adam Adli yang digantung tiga semester pengajian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) ditangkap berhubung kenyataan beliau yang dibuat semasa forum selepas pilihan raya anjuran Suara Anak Muda Malaysia (SAMM) pada 13 Mei lalu. Dalam forum itu, Adam Adli bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) anti kerajaan memanggil satu perhimpunan jalanan besar-besaran untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu. | ||||
Episod pilih Exco : Untung sabut timbul, untung batu tenggelam Posted: 19 May 2013 12:03 AM PDT Di peringkat Persekutuan, barisan anggota Kabinet sudah diketahui umum Rabu lalu. Sementara di peringkat negeri pula, ada yang sudah dan ada juga yang belum selesai merangka strategi untuk membariskan senarai Exco sebagai mengemudi urus tadbir negeri. Sehingga 19 Mei iaitu dua minggu selepas PRU13, hanya dua negeri yang masih belum mengumumkan barisan Exco iaitu Negeri Sembilan dan Selangor. Menteri Besar SNegeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya tidak mahu tergesa-gesa dan hanya akan mengumumkan senarai itu pada bulan hadapan. Sementara Selangor pula difahamkan berada dalam keadaan tertekan ketika ini untuk memutuskan senarai Exco ekoran masalah dalaman perikatan pembangkang itu. Berikut senarai barisan Exco mengikut negeri-negeri yang sudah diumumkan setakat ini :- | ||||
Sedia terus berlawan dan Zahid yang sombong Posted: 18 May 2013 05:14 PM PDT Semasa berkunjung ke Kelantan Selasa lalu, saya dapat mengesan riak kekhuatiran bahawa era pemerintahan PAS sejak 23 tahun lalu bakal berdepan cabaran besar, khususnya selepas pengunduran Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat. Bagi saya, kebimbangan kecil itu boleh membawa kepada natijah positif jika ia diurus dengan baik. Ia jauh lebih baik daripada sikap terlalu yakin dapat mengekalkan kuasa, sehingga berlaku pengabaian ketara, terutama untuk mengawasi strategi licik musuh dan menutup ruang kelemahan sendiri. Ketika majlis jamuan meraikan petugas PRU13 Kelantan di Kota Bharu, yang turut dihadiri Menteri Besar Ustaz Ahmad Yaakob, dua penggerak utama pilihan raya negeri, Wan Nik Wan Yusof dan Zulkifli Mamat menekankan keperluan gerak kerja mendekati rakyat harus bermula dari sekarang. Semasa Pakatan Rakyat dilihat mendapat sokongan lebih meluas di Selangor dan Pulau Pinang, tentunya Kelantan mahu bergerak seiring. Ya, bukan saja memperkukuhkan kekuatan sedia ada, malah mampu menyuntik semangat dan inspirasi, khususnya kepada penyokong PAS di seluruh negara. Ketua Penerangan PAS Negeri, Dr Mohd Fadzli Hassan, yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri, ketika ditemui di pejabanya di Kota Darulnaim, mengakui cabaran tersebut. "Dari segi asas kekuatan, pengaruh PAS dan Umno di Kelantan, hampir seimbang, masing-masing sekitar 35 peratus. Kemenangan terletak kepada 30 peratus pemilih atas pagar dan pengundi luar," tambahnya. Berbicara soal keputusan PRU13, kami agak bersepakat bahawa faktor rasuah politik dan "proses pembodohan" umat, terutama di kawasan luar bandar, membabitkan majoriti pengundi Melayu masih berkesan untuk mempertahankan survival Umno. "Oleh itu, cabaran besar kita sepanjang lima tahun ini adalah untuk melahirkan masyarakat berilmu dan bermaklumat. Dengan itu tidak mudah lagi mereka diugut atau dirasuah, atau aktiviti beli undi lainnya," tambah Dr Fadzli, sambil menjamu kami makan tengahari nasi paprik di pejabatnya. Saya agak kaget apabila Dr Fadzli mendedahkan beberapa pendekatan membeli undi, termasuk sindiket membabitkan kertas undi pos. Dalam PRU13, hampir 250,000 pemilih mengundi secara pos. Lebih dahsyat, menurutnya, kertas undi pos itu cuba "dijual" kepada calon-calon yang bertanding, sehingga RM300 seorang. Malah, kegiatan ini dilakukan oleh broker tertentu, yang mengutip "komisyen" sehingga lebih 60 peratus. Ada kes di mana pemilik kertas undi mendapat RM100, manakala broker membolot RM200! Di sebuah negeri di utara tanahair, diceritakan bagaimana para petugas BN, termasuk seorang bekas menteri besar, di malam hari mengundi, mengetuk pintu dari rumah ke rumah, seterusnya menyogok sejumlah wang, selepas memetrai "perjanjian" dan keesokan harinya ramai pengundi tidak keluar mengundi. Malang sekali. Rupanya politik rimba, politik lama, politik kuno masih mengakar dalam amalan pilihan raya kita. Retorik politik baru, transformasi dan pelbagai istilah yang mahu menggambarkan pembaharuan dicipta untuk mengangkat pemerintahan Najib Razak, ternyata palsu. Sebenarnya kita tidak memerlukan bukti-bukti terkini untuk mengesahkan bahawa sistem dan proses pilihan raya di Malaysia dipenuhi pelbagai ketempangan dan penipuan. Badan yang dipertanggungjawabkan khusus untuk menjalankan pilihan raya yang adil dan bersih, SPR secara jelas mengkhianati "kepercayaan awam" apabila bertindak seperti parti komponen BN yang ke-15! Dalam perkembangan berkaitan, tulisan Dr Zahid Hamidi, Naib Presiden Umno, yang baru dilantik Menteri Dalam Negeri, disiarkan Utusan Malaysia (akhbar mana lagi?), mendapat reaksi panas. Zahid dan Hishammuddin Husein, masing-masing rapat dengan Najib Razak, bertukar posisi di kementerian kanan, Pertahanan dan Dalam Negeri, walaupun pretasi kerja kedua-duanya buruk, seperti dibuktikan dalam kes pencerobohan di Lahad Datu dan peningkatan kadar jenayah. Zahid mencabar golongan yang mengkritik sistem First-Past-The-Post (FPTP) serta mereka yang menimbulkan undi popular yang memihak Pakatan: "Jika golongan ini mahu menerima pakai list system atau single transferable vote seperti mana digunakan oleh negara-negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka." Cabaran kepada "pengkritik" supaya berhijrah ke negara luar atau dicabut terus kerakyatan, selain ditahan tanpa bicara semasa ISA masih mengamuk dulu, hanya menunjukkan kebebalan, kedunguan dan keangkuhan yang tiada batas. Daripada pencacai Umno di kampung, atau bertaraf ketua bahagian, juga pemimpin KeADILan yang dibeli -- termasuk yang pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri atau ahli Parlimen melompat parti -- sehinggalah Menteri Dalam Negeri berkelulusan doktor falsafah, semuanya menunjukkan kecenderungan yang sama, mungkin disebabkan diternak dalam "kandang" yang serupa. Respons Dr Mohamad Agus Yusoff kepada Zahid menarik sekali: "Mengapa DS Zahid boleh mengeluarkan kenyataan sebegini? Apakah salah jika rakyat mempersoalkan pelaksanaan sistem pilihan raya yang ada? Apakah Perlembagaan menghalangnya? Setahu saya, Perkara 10 Perlembagaan menjamin hak rakyat untuk bebas mengeluarkan pendapat, berhimpun dan berpersatuan. "Tidak ada satu klausa pun dalam Perlembagaan yang membenarkan menteri untuk memberitahu rakyatnya supaya berhijrah ke negara lain hanya kerana berbeza pendapat dalam politik. Jika kita akui negara kita adalah negara demokrasi, maka berdemokrasilah secara jujur. "Sebagai menteri, DS Zahid sepatutnya membangkitkan kasih sayang dan semangat patriotik rakyat kepada negara, bukannya mengeluarkan kenyataan sebegini. Sebagai menteri DS Zahid sepatutnya menggunakan masa untuk merancang mengatasi masalah keselamatan, jenayah, social ills dalam negara, daripada menyerang rakyat yang mempunyai perbedaan politik dengan parti kerajaan." Saya tidak pasti apakah Zahid berhasrat mahu menghalau lebih 52 peratus penduduk negara ini (berdasarkan undi popular yang diperolehi Pakatan Rakyat dalam PRU13) keluar daripada Malaysia hanya kerana mereka mungkin tidak bersetuju dengan sistem pilihan raya yang penuh ketempangan dan penipuan itu? Sambil menyifatkan tulisan Zahid itu sebagai kenyataan sombong yang menghina rakyat, Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim, semasa berpidato di perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat edisi Negeri Sembilan, Jumaat lalu, beliau mempersoalkan: "Kamu (Zahid) ingat negara ini bapa kamu punya?" Sebenarnya, apa jua sistem pilihan raya yang dipilih, termasuk FPTP, mempunyai kelemahan dan juga kekuatan tersendiri. Kebanyakan negara yang baru memilih sistem demokrasi dilihat lebih cenderung kepada bentuk-bentuk sistem pilihan raya alternatif, khususnya "yang menilai dan mengambil kira" setiap undi yang dibuang, iaitu sistem proporsional atau yang menggabungkan antara FPTP dan proporsional. Bukan niat saya untuk menilai sistem mana lebih mewakili suara rakyat. Yang hendak ditekankan, mengapa seorang menteri kanan (Dalam Negeri pula itu), memberi reaksi yang sebegitu kasar dan tidak bertamadun, hanya kepada golongan yang mengkritik, hatta membantah sistem pilihan raya yang berjalan sekarang? Apakah partisipasi politik menurut Zahidi bermakna hanya turun mengundi setiap lima tahun sekali, seterusnya memberikan "cek kosong" kepada pemerintah, dan kemudiannya sekadar menjadi pemerhati pasif, walaupun menyedari bermacam-macam penyelewengan dan salahlaku berleluasa? Malah, sistem FPTP di Malaysia, diperalatkan semahunya oleh elit pemerintah terutama semasa proses persempadanan semula kawasan pilihan raya. Lakaran persempadanan baru itu dibuat oleh pegawai-pegawai Umno sendiri, dan SPR hanya menurut saja. Itulah yang berlaku selepas Umno dikejutkan dengan undi protes orang Melayu pada 1999. Pengundi Melayu di Kelantan, Kedah dan Terengganu "dihukum" SPR apabila tiada penambahan kerusi Parlimen diperuntukkan. Di Kedah, tokoh-tokoh utama PAS, misalnya Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar dikalahkan melalui taktik gerrymandering persempadanan semula itu, membabitkan sekurang-kurangnya kerusi Kuala Kedah, Baling, Pokok Sena dan Yan. Jelas, sistem FPTP telah dimanipulasi berdekad lamanya, menyebabkan setiap kali persempadanan semula dibuat, prestasi pembangkang dalam pilihan raya berikutnya akan merosot teruk. Contoh ketara ialah pada 2004, selepas Barisan Alternatif menerima sokongan membanggakan, terutama daripada pengundi Melayu pada 1999. Sistem FPTP yang dilaksanakan sekarang juga memperlihatkan perbedaan ketara jumlah pengundi, misalnya di antara kerusi Parlimen Putrajaya (15,791) dengan Kapar (144,159), malah pengundi di Baling yang jauh tersorok lebih ramai berbanding kerusi Parlimen di Kuala Lumpur. Ketika persempadanan semula itu dibuat, ia berasaskan keyakinan PM ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, bahawa orang Melayu akan mengundi pembangkang dan masyarakat Tionghua menjadi penyelamat BN. Maka banyaklah kawasan Parlimen pengundi campuran yang dibentuk, dan tiada tambahan kerusi di tiga negeri Melayu. "Ibarat main bolasepak, padang permainan condong ke sebelah Pakatan, pihak lawan tak perlu sumbat gol pun, bola boleh meleret sendiri ke gawang kita," rakan saya, Zainal Abidin Hussin, orang kuat Pusat Kajian Strategik Kelantan, memberi contoh kepincangan sistem demokrasi di Malaysia, semasa kami minum air kelapa muda, di sebuah gerai di Pengkalan Chepa, sementara menunggu pesawat bertolak balik ke Kuala Lumpur. Kami sama-sama ketawa, walaupun menyedari hakikat itu cukup pedih untuk diterima. Cuaca buruk pada petang Rabu itu menyebabkan AirAsia terlewat. Namun saya lebih memikirkan, bagaimana kaedah terbaik untuk memanfatkan mood semasa, terutama melalui himpunan "Black505" bagi memperolehi sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan adil, termasuk merombak FPTP. Meskipun belum berkesempatan turun bersama-sama memeriahkannya, saya memberikan sokongan sepenuhnya kepada sebarang usaha melakukan reformasi menyeluruh ke atas sistem dan proses pilihan raya negara kita. Di atas pesawat, saya teringat penutup tulisan Hishamuddin Rais: "Tidak ada sesiapa dalam dunia ini akan mengagihkan Kuasa dan Kebebasan. Kuasa dan Kebebasan hanya dapat dirampas dengan Perlawanan." | ||||
Dua lelaki termasuk anggota polis cedera ditetak di balai polis Posted: 18 May 2013 05:09 PM PDT THE MALAYSIAN INSIDER SEGAMAT— Dua lelaki termasuk seorang anggota polis Pasukan Gerakan Am Batalion Keenam, Bakri, Muar, cedera setelah diserang lima lelaki bersenjata parang di kawasan Balai Polis Labis di sini hari ini. Ketua Polis Daerah Segamat Supt Mohd Kamil Sukaimi berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, anggota polis berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, kaki kanan, dan anggota tubuh badan, manakala rakannya hanya mengalami cedera ringan. "Kedua-dua mangsa bersama dua orang lagi termasuk isteri mangsa sebelum itu sedang menaiki sebuah kereta dalam perjalanan dari arah Labis-Segamat. "Bagaimanapun ketika di pertengahan jalan iaitu kira-kira dua kilometre daripada Balai Polis Labis, kereta yang dinaiki mangsa telah ditahan oleh sekumpulan lelaki," katanya ketika dihubungi di sini malam ini. Menurutnya anggota polis berkenaan yang keluar daripada kereta selepas itu telah ditetak dengan parang daripada belakang oleh salah seorang lelaki terbabit menyebabkan mangsa terpaksa menyelamatkan diri dan kembali masuk ke dalam kereta. Katanya, melihat keadaan itu rakan mangsa bertindak memecut kenderaan ke arah balai polis, namun telah diekori oleh kumpulan lelaki tersebut dengan sebuah kereta. "Rakan mangsa yang keluar untuk membuat laporan kemudian telah diserang di kawasan balai polis berkenaan sebelum anggota polis di balai polis berkenaan bertindak menahan mereka yang terlibat," katanya. Berikutan itu, polis menahan lima lelaki berusi 30 hingga 40-an di tempat kejadaian dan merampas empat bilah parang yang digunakan untuk menyerang mangsa. Mereka ditahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata. Kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Daerah Segamat di sini untuk menerima rawatan lanjut. Anggota polis berkenan kini masih menerima rawatan di hospital berkenaan manakala rakannya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar. — Bernama | ||||
Pas tidak sokong kekerasan, pilih demokrasi Posted: 18 May 2013 04:55 PM PDT SHAH ALAM – Pas berpendirian tegas tidak akan menyokong sebarang usaha oleh mana-mana pihak termasuklah oleh kumpulan pro-PR untuk menjatuhkan kerajaan secara kekerasan. Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, Pas berpendirian begitu kerana di negara ini masih terdapat prosedur lain terutamanya melalui mahkamah atau petisyen untuk mencabar keputusan PRU13. Menurutnya, oleh sebab itu, Pas sekarang masih mengumpul bukti yang didakwa berlakunya penyelewengan di seluruh negara pada PRU13 lalu."Pas berpendirian tidak akan bersama dengan perjuangan kumpulan ini. Memang terdapatnya perasaan tidak puas hati dengan perjalanan pilihan raya tetapi Pas akan mengambil pendekatan mengikut saluran undang-undang dengan mengemukakan petisyen. "Bagaimana pun Pas tiada kuasa untuk menghalang kumpulan ini," katanya kepada Sinar Harian semalam. Sebuah portal berita melaporkan, sebuah NGO yang menggelar diri mereka Asal Bukan Umno (ABU) melalui jurucakapnya Haris Ibrahim, merancang untuk mengadakan himpunan besar-besaran untuk menggulingkan kerajaan seterusnya merampas Putrajaya. Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib turut berpendirian Pas tidak bersetuju dengan cara kekerasan untuk mengambil alih kuasa kerana cara tersebut sudah pasti akan merosakkan negara. Katanya, Pas memilih cara demokrasi sebagai wadah perjuangan untuk menegakkan cita-cita membentuk sebuah negara Islam di Malaysia. "Pas tolak cara kekerasan, Pas hanya memilih cara demokrasi, kami tidak akan ikut mereka," katanya. Sebelum ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh juga menolak sebarang usaha menggulingkan kerajaan dengan cara kekerasan kerana cara tersebut akan menghumban negara ke kancah ketidakstabilan. Setakat ini, sebanyak enam perhimpunan besar oleh mereka yang menggelarnya sebagai 'Himpunan 505' bermula daripada perhimpunan di Kelana Jaya pada 8 Mei lalu, tiga hari selepas PRU13. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan