. |
- Jaguh-Jaguh Perdebatan Baru di Parlimen
- Ahmad Perlu Tiru Mukhriz Dan Profesional
- Meninjau Emas di Tapak Tuan Aceh Selatan
Jaguh-Jaguh Perdebatan Baru di Parlimen Posted: 18 May 2013 02:59 AM PDT SUSUPAN TENGAHARI Pastinya sidang parlimen penggal ke-13 yang dijangka bersidang bulan depan tidak akan kalut dengan juahan dan bangkangan membuta tuli dari beberapa bekas orang ahli parlimen yang dianggap pengacau sidang dan sekaligus menjadikan parlimen riuh randah laksana pasar ikan. Orang seperti Inchek Ibrahim Ali, orang itu, bekas MP Kulim - Bandar Baru, Zaharain Hashim, Gobalakrishan atau Wee Chee Keong adalah bekas ahli parlimen yang mahu menjadi hero dan alat kepada UBN.
Mereka ini adalah orang-orang yang boleh 'diciskan'. Mereka bukan saja tidak ada moral politik tetapi sebenarnya tidak pernah menghormati demokrasi dan amanah rakyat kepada mereka. Cis 44 kali. Ada yang juga yang terpaksa berpaling tadah kerana dikejar jenayah yang mereka lakukan sendiri. Jadi untuk menyelamatkan diri mereka sanggup menjilat ludah dan 'menggetel telor' pemimpin UBN. Ada juga yang sanggup menggunting lidah sendiri di akhirat besok semata-mata untuk mempertahkan kedudukan sebagai ahli parlimen. Sidang parlimen kali ini tanpa mereka. Mereka semua kalah dalam pilihan raya lalu atau tidak diberi peluang bertanding langsung. Inchek Ibrahim Ali yang kononnya bisanya sampai ke telinga, dihumban pengundi Pasir Mas, kalah sehinggakan makan pasir kepada lawan yang dianggap sebagai 'anak kera Pulau Melaka" dengan kekurang undi sebanyak 8,047.
Yang ada hanya Bung Mokhtar Radin dari Kanabatangan Sabah. Mungkin kehilangan mereka itu kita tidak terasa bahkan mujur. Mudah-mudahan sidang parlimen tanpa mereka tidak akan jadi kalut dan membentuk parlimen menjadi sarkas. Mudah-mudahan parlimen akan datang benar-benar terjaga akan kemuliaanya. Tetapi ketiadaan orang-orang seperti Sallahuddin Ayub, Saifuddin Abdullah, Saifuddin Nasation Ismail, Azan Ismail menjadikan sidang kali ini kurang bertenaga. Kita tidak dapat mendengar lagi perbahasan mereka yang sarat dengan fakta dan berkualiti dan senantiasa dinanti-nanti oleh pegawai kerajaan dan pengikut sidang parlimen.
Sayang sekali. Tetapi apa boleh buat, semua terletak ditangan pengundi. Pengundilah yang menentukan apakah mereka masuk atau tidak ke parlimen. Betapa pun mereka diperlukan untuk menjadi pembahas dan kritikus parlimen yang baik tetapi kerana kehebatan mereka itu tidak dinilai pengundi, maka mereka tertinggal. Kekalahan mereka sedikit sebanyak menghilangkan keceriaan parlimen kali ini. Bagaimana pun kata orang, yang hilang akan berganti, yang patah akan tumbuh. Ketiadaan mereka pasti akan berganti. Beberapa muka baru yanhg mulai melangkah ke perlimen sebagai anggota dewan diharap dapat menyambung tugasan dan tanggungjawab kekawan mereka yang tiada dalam dewan. Kehangatan dewan dengan suara mereka yang membawa suara dan aspirasi rakyat akan dapat diteruskan oleh muka-muka baru.
Idris Jauzi bekas pegawai kerajaan begitu juga Idris Ahmad bekas pensyarah dan pendakwah. Kedua mereka banyak pengalaman. Manakala Takiyuddin, Hanifa dan Shamsul Iskandar pula ketika-tika mereka adalah peguam yang berpengalaman. Teruyamanya Takiyuddin bekas anggota Exco Kelantan akan menggunakan pengalamannya sebagai anggota Exco untuk berhujah dan membawa idea-idea baru di parlimen. Sebagai peguam sudah tentu Takiyuddin, Hanifa dan Shamsul akan menegakkan keadilan dan kebenaran di parlimen. Mereka akan menjadi pengkirtik berwibawa terhadap mana-mana tindak tanduk kerajaan yang tergelecah dari perundangan dan perlembagaan.
Selain mereka berlima terdapat beberapa muka baru yang lain. Mereka ialah Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, (Pasir Mas) Marzub Shaari (Bachok) dan juga Nasdaruddin Hassan. (Temerloh). Kebetulan mereka adalah dari Dewan Pemuda PAS. Mereka sudah dikenali sebagai penceramah dan da'i di dalam PAS tetapi kewibawana mereka sebanarnya akan diuji di dalam parlimen. Apakah mereka akan hadir ke parlimen setakat mendengar dan angguk, ataupun membaca beberapa hadith dan ayat-ayat Quran untuk mematahkan hujah pihak kerajaan dari konteks agama? Atau mengemukakan pandangan berupakan konsep atau pun idea-idea progresif dari akar Islam untuk membangun agama dan negara?
Kita berharap mereka bukan beretorik atau pun sekadar memberi ingatan dan pesan agar solat, jangan tinggalkan puasa ataupun sekadar menceritakan hikmah dan filsafah Haji dan Umrah ataupun membentangkan kehebatan syaksiyah para Rasul dan Umur Ibnu Aziz seperti di pentas-pentas ceramah fardu ain atau kuliah Maghrib. Kita mahu mendengar apakah pandangan mereka untuk membaik-pulih pentadbiran negara, ataupun lebih diharapkan mengemukakan formula konkrit ke arah perpaduan sejagat. Hujah dan idea mereka untuk mengatasi masalah sosial juga diperlukan. Dalam masa sama, apakah mereka dapat bertindak menjadi pembangkang yang bijak dan kreatif. Lain-lain muka baru seperti Dr Izani Hussein dari Pengkalan Chepa, atau Wan Hassan dari Dungun Terengganu dan lain-lain juga diharap jangan setakat mengambil bahagian sekadar mengemukakan soalan bertulis tetapi yang lebih diharap akan mengemukakan soalan tambahan yang boleh menggoncangkan pihak kerajaan. Sama-sama kita tunggu dan ambil perhatian atas apa yang saya perkatakan ini. [putrajaya 2:45 pm 17/05/13] | ||||||||||||||
Ahmad Perlu Tiru Mukhriz Dan Profesional Posted: 17 May 2013 07:12 PM PDT BICARA SABTU Langkah yang diambil oleh MB Kedah yang baru Mukhriz Mahathir untuk menilai pencapaian atau prestasi Exconya setiap setahun sekali boleh ditiru oleh MB Kelantan, Ahmad Yaakob. Mukhriz berkata dia akan membuat penilaian ke atas Exconya menerusi Indeks Prestasi Utama (KPI) setahun sekali. Menerusi tindakan ini kesemua exco di Kedah akan dinilai dan sekiranya mereka tidak mencapai indeks yang ditetapkan mereka akan digugurkan. Langkah Mukhriz itu adalah untuk memberi kesan dan memastikan Exco dilantik berkebolehan dan mampu melaksanakan tanggungjawab. Tidak menjadi kesalahan bagi MB Kelantan kalau meniru sesuatu yang baik dari sesiapa saja. Apa dilakukan Mukhriz itu baik bagi memastikan perlaksanaan segala pembangunan dan kebajikan untuk rakyat menerusi portfolio masing-masing berjalan lancar. Maka wajar kalau Ahmad juga berbuat benda yang sama. Tanpa ada penilaian preatasi berkenaan dan Exco dilepas bagaikan haiwan ternakan di padang ragut menyebabkan Exco melakukan atau berbuat sesuka hati mereka saja. Mereka akan menggunakan porfolio mereka tanpa berlandaskan kepada dasar dan konsep kerajaan. Dengan ada KPI itu para Exco akan berhati-hati dan masing-masing akan mejaga keupayaan diri seperti mana diharapkan. Dengan cara itu juga kewajiban mereka kepada negeri dan rakyat juga terjamin. Sikap menjadikan porfolio sebagai syarikat sendirian berhad tanpa boleh dikongsi dan ditegur oleh rakan Exco lain rasanya tidak begitu kondusif lagi. Bekerja secara berpasukan lebih penting kerana ada sesetengah Exco tidak mempunyai keupayaan selayaknya untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Malang lagi exco yang tidak berdaya maju dan kreatif tidak boleh ditegur atau diberi pandangan atau sukar untuk menerima kritikan sesama sendiri. Pemilihan Exco itu sendiri bukan berdasarkan kepada track record dan pengalaman masa lampau tetapi lebih kepada soal senioriti dan kedudukan dalam parti. Cara pemilihan demikian juga sudah usang dan perlu dirombak kerana ia tidak membawa kesan besar kepada kerajaan. Seseorang yang hendak dilantik menjadi Exco bukan dilihat kepada ketuaannya tetapi kepada kebolehannya, justeru sebelum Exco dilantik resumenya perlu dilihat. Apabila KPI dikenakan kepada Exco, MB akan dapat mengetahui sejauh mana kebolehan seseorang Exco itu., Dan mana-mana Exco yang tidak dapat mencapai tahap yang dikehendaki mereka hendaklah diberhentikan atau pun lebih gentlemen mereka berhenti sendiri secara sukarela. Tidak ada guna 'sikit abuk' kalau menjadi Exco hanya setakat makan gaji buta ataupun kemajuannya dilihat dengan mengadakan lawatan ke luar negara tanpa memberi banyak faedah. Setiap orang Exco juga harus malu kepada keempukan kusyen keretanya yang dibawa oleh driver. Dalam soal ini Sultan juga yang menjadi prestui kepada perlantikan Exco perlu tegas dan turut membuat penilaian sendiri dalam soal ini. Sekiranya didapati mana-mana Exco relatif tidak mampu melaksanakan tugas Sultan perlulah menarik balik perkenannya pada bila-bila masa tanpa menunggu Exco berkenaan kalah dalam pilihan raya baru hendak digugurkan. Sehubungan dengan itu MB hendaklah mengarahkan kepada semua Exco agar mengadakan satu projek blue print untuk menguji sejauh mana kebolehan dan kesungguhan seseorang Exco itu. Projek blue print yang dikemukakan oleh Exco itu kemudian dedahkan kepada rakyat untuk dinilai dari segi kemunasabahan dan sejauh mana daya kreativiti Exco berkenaan. Dari sini juga rakyat akan tahu nilai dan kemampuan Exco. Seperkara lagi yang perlu ditekankan oleh MB Kelantan yang baru ialah, mengenai lawatan ke luar negara yang mana sebelum ini didapati tidak ada laporan disediakan. Setiap lawatan ke luar negeri baik oleh Exco, wakil rakyat, PBT atau mana-mana agensi kerajaan hendaklah menyediakan laporan lawatan kerja bertulis. Laporan secara lisan menerusi mesyuarat atau kedai-kedia kopi rasanya sudah tidak sesuai lagi. MB kena memastikan pentadbirannya profesional dan cekap. Kegagalan MB untuk melaksanakan dan menguatkuasakan cadangan ini juga akan disuluh dan ditilik kepada kemampuan beliau sebagai MB. Justeru Ahmad kena tegas, prihatin dan tidak perlu banyak bertolak ansur mengenai pentadbiran dan pengurusan. Beliau juga perlahan-lahan kena melakukan perubahan dan menambahkan keyakinan ke atas dirinya dari sebagai pembantu MB kepada seorang MB ini Ketua Eksekutif Negeri Kelantan. Dalam tempoh 100 hari sesuatu yang lebih tegas dan signifiken perlu dilakukan. [wm.kl.9:59 am 18/05/13] | ||||||||||||||
Meninjau Emas di Tapak Tuan Aceh Selatan Posted: 17 May 2013 05:51 AM PDT CATATAN PERJALANAN Semasa mengunjungi kota Tapak Tuan di Aceh Selatan dua minggu sebelum pilihan raya lepas saya sempat singgah di sebuah perkampungan yang kini menjadi sebutan ramai kerana kawasan itu kaya dengan bahan galian (mineral) terutamanya emas, biji besi, kuprom dan lain-lain. Kampung dimaksudkan itu ialah Sawang.
Penemuan emas di Sawang sejak beberapa tahun lalu. Tepatnya selepas Aceh dilanda bencana tsunami 2004. Ia menjadi tumpuan penduduk Aceh bukan saja dari Aceh Selatan tetapi sampai dari Bandar Aceh atau Aceh Besar juga. Bahkan mereka yang datang mencari rezeki di daerah Sawang, nun jauh dari Jawa Timur yang bertindak sebagai penggali. Orang Jawa terkenal dengan kepakaran dan berani untuk melakukan kerja-kerja pengerudian di bawah tanah hingga sampai 60 hingga 100 meter ke dalam. Hari ini kerja menggali dan membawa turun bongkah batu dari gunung atau memproses emas dari ketulan batu batan merupakan kerja utama penduduk di daerah berkenaan di samping kerja-kerja kampung lain, bertukang rumah, nelayan ataupun bersawah padi dan menanam sayur-sayuran.
Khabarnya kehidupan penduduk kampung berkenaan dan kampung berdekatan berubah wajah dan roma sejak penemuan bahan paling bernilai itu. Penemuan logam itu memberi sumber pendapatan baru kepada penduduk setempat. Menyaksikan industri berkenaan dilakukan secara total tradisional mengasyikkan. Sekaligus ia menggambarkan bahawa masyarakat Aceh masih jauh ketinggalan dan masih hidup seca tradisi tetapi mereka mahir mengenainya. Semua mereka yang terlibat dengan kerja menggali sampai ke mengayak adalah kaum lelaki. Inilah keistimewaan orang Aceh mereka tidak menggalak kaum perempuan berkerja di luar rumah kecuali bertani. Sekali pandang kegiatan penduduk di situ tidak ubah seperti kumpulan semut yang berkerja dalam satu kumpulan besar menguruskan kehidupan mereka secata tersusun dan semuljadi. Di kiri kanan jalan memasuki ke perkampungan itu sepanjang kira-kira 20 km dari jalan besar, terlihat oleh kita rumah-rumah kecil alias bangsal yang ditempatkan kilang memproses atau mengasingkan emas. Keadaanya persis seperti sebuah pekan cowboy yang sibuk dengan kenderaan motosikal yang menjadi kenderaan utama memunggah bongkah-bongkah batu ke kilang pemecah.
Proses mengasingkan serbuk emas dari batu dan pasir ringkas saja. Mulanya batu-batu yang dibawah turun diketuk agarnya pecah kemudian digiling dengan mesin yang mempunyai empat atau lima roller. Habuk gilingan akan dialirkan menerusi satu saluran untuk dimendapkan ke dalam air yang bercampur dengan selut. Selut yang mengandungi serbuk emas itu akan disaring menggunakan kain atau penapis.
Itu kegiatan di bawah bukit, tetapi berlainan pula kegiatan menggali dan menggerudi ketulan batu emas di lembah gunung Sawang yang terletak kira-kira 5 atau 6 km dari kawasan pemerosesan (kilang). Di atas bukit Sawang dan lembahnya kedapatan ratusan lubang yang ditutupi dengan khemah biru. Kerja-kerja menggali emas ini sungguh mengkagumkan dan ia merbahaya. Lubang seluas 4 kaki pesegi digali atau memuatkan seorang untuk turun ke bawah. Kedalamannya mencecah sehingga 60 meter hingga 100 meter dalamnya. Menurut maklumat pernah berlaku kemalangan jiwa di dalam lubang berkenaan.
Sepanjang jalan menuju ke gunung itu berliku-liku dan di tengahnya berlorong macam laluan gajah atau kerbau. Hanya pemandu yang cekap saja dapat menunggang motorsikal dijalanan berkenaan. Terdapat ratusan motor yang naik turun untuk mengambil bongkah dan membawa turun ke bangsal penghancur. Laluan itu menjadi seolah-olah trek perlumbaan motorsikal lasak.
Mereka mula berkerja dari seawal pagi jam 8:00 pagi hinggalah ke waktu senja dan ada kalanya membawa ke malam tanpa ada rihat. Mereka bekerja tujuh hari seminggu. Ditanya pendapatan pemunggah bongkah atau guni batu ini seharian mereka akan memperolehi di antara RM20 hingga RM30.
Menurut satu sumber kapasiti emas yang terdapat di gunung Sawang dan disepanjang lembahnya dianggar 30 kilometer tidak terhitung. Masih kedapatan kira-kira 300,000 ekar kawasan yang masih belum terusik dan dipercayai kawasan ini mempunyai kepadatan emas yang tinggi. Tidak anihlah kalau Tapak Tuan kini sedanag menjadi tumpuan para taukeh emas di beberapa negara jira termasuk Cina dan Malaysia. Pelabur asing juga sudah mulai meninjau ke situ dan sekiranya tidak ada apa-apa aral melintang Tapk Tuan akan menjadi pusat pelombongan emas terbesar di Aceh dalam sedikit masa lagi. [wm.kl.8:50 pm 17/05/13] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan