"BERANI KERANA BENAR!" |
- Sabar, kebaikan cara berkesan bukti kesyumulan Islam
- Awas mati hati
- Bentuk remaja berakhlak
- DEMI AKHBAR BEBAS,MANGSA KDN TERBIAR
Sabar, kebaikan cara berkesan bukti kesyumulan Islam Posted: 22 May 2013 07:25 PM PDT Akhlak yang baik mampu mengubah seseorang ke arah kebaikan. Kebaikan akan meresap ke dalam hati manusia secara perlahan-lahan walaupun ada kalanya perbuatan itu nampak kecil, tetapi meninggalkan kesan yang besar. Contohnya, apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mempersendakan Islam atau ajarannya, kita sepatutnya sabar dan membalas tindakan mereka dengan kebaikan. Sabar dan kebaikan ini bukan bermakna kita tidak melawan, ia strategi halus boleh menyentuh perasaan secara perlahan-lahan. Umat Islam perlu menjaga keharmonian hidup bersama dengan bukan Islam dalam keadaan prinsip Islam dijaga." Malangnya, ramai antara kita mengambil jalan pintas melepas geram dengan kata-kata kesat dan kasar. Membalas kejahatan dengan kejahatan tidak akan menginsafkan manusia, sebaliknya menambahkan lagi penyakit dalam hati. Contohilah Rasulullah SAW yang mampu memberi senyuman kepada orang kafir Quraisy walaupun mereka melemparkan batu dan najis kepada Baginda. Walaupun kisah ini sudah beratus tahun lamanya, hingga hari ini ia masih disebutkan di dunia Islam, malah oleh bukan Islam. Menghormati semua bangsa Perbezaan agama adalah perbezaan ajaran dan cara amalan keseluruhannya. Ia mungkin dianggap pelik daripada ajaran kita. Namun, kita diwajibkan menghormati mereka tanpa sebarang alasan. Jika ingin agama kita dihormati, jangan memperkecilkan kepercayaan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil." (Surah al-Mumtahanah, ayat 8) Kebanyakan pengakuan mereka yang mendapat hidayah Allah mengaku mereka sentiasa didedahkan mengenai unsur keganasan, diskriminasi terhadap wanita dan salah faham lain terhadap Islam tanpa tanpa memahami hakikat sebenarnya. Maknanya, disebabkan bukan Islam didedahkan kepada perkara negatif yang direka atau fitnah musuh Islam, maka kebenaran tertutup. Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk menjernihkan pemahaman dan memperbetulkan salah faham itu. Ada juga rakan bukan Islam akan bertanyakan mengenai agama Islam. Peluang ini sepatutnya digunakan untuk menjelaskan kebenaran Islam supaya mereka memahami kemurnian agama Islam. Selain penjelasan, cara berkesan untuk menunjukkan kesyumulan Islam ialah melalui tindakan. Maka tunjukkan keindahan atau hikmah di sebalik segala perintah Allah. Kebanyakan yang menerima Islam kerana tertarik dengan kebaikan tersembunyi di sebalik ajaran Islam. Serlahkan keindahan Islam Ramai yang tidak nampak keindahan Islam kerana hanya Islam pada nama. Seharusnya kita berasa bertuah terhadap nikmat iman yang diberikan Allah SWT. Menjadi umat yang terpilih ini menuntut usaha untuk berdakwah kepada Muslim dan bukan Muslim. Umat Islam perlu menjaga keharmonian hidup bersama dengan bukan Islam dalam keadaan prinsip Islam dijaga. Umat Islam juga dilarang menimbulkan perselisihan dan mencetuskan permusuhan dengan orang yang bukan Islam. Bermula hari ini, mari kita bermuhasabah diri, sejauh mana akhlak kita telah fahami dan amalkan serta pamerkan dalam muamalah dengan semua orang. Semaikan dalam hati dan minda bahawa kita wajib berlaku baik kepada semua orang demi memelihara kesucian Islam. |
Posted: 22 May 2013 07:19 PM PDT SUATU hari, Imam Fath Al-Musili berkata kepada murid-muridnya, "Bukankah seorang pesakit jika tidak diberi makan, minum dan ubat selama tiga hari ia akan mati?" Murid-muridnya menjawab: "Ya." Guru yang bijak ini melanjutkan: "Begitu juga hati kita. Jika tidak diberikan ilmu dan hikmah selama tiga hari, ia akan mati." Hati manusia Setiap amalan bersumber daripada hati. Hati yang baik akan melahirkan perbuatan yang baik. Dan hati yang rosak hanya akan melahirkan perbuatan yang buruk. Meskipun ia melakukan kebaikan, namun tersimpan niat buruk di sebaliknya. Oleh itu, hati sangat menentukan kualiti amalan seseorang. Rasulullah SAW bersabda: Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, daging itu adalah hati. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Hati manusia sangat ajaib. Ia selalu berubah-ubah. Ia juga sangat mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran. Apa-apa yang dilihat ataupun didengar dapat merubah suasana hati. Oleh yang demikian, seorang mukmin wajib selalu menjaga pancainderanya daripada maksiat agar terjaga kejernihan hati. Sebagaimana tubuh badan, hati boleh sihat ataupun sakit. Tanda hati yang sihat adalah ia giat melakukan ibadat dan amalan kebajikan. Setiap amalan ibadah dan zikir terasa nikmat untuk dikecapi. Sama seperti seseorang yang tengah sihat tubuhnya, ia akan nikmat menyantap makanan dan minuman. Adapun tanda hati tengah sakit adalah ia tidak dapat merasakan manisnya ibadat. Ia tidak tahan berlama-lama dalam aktiviti ibadah. Sebaliknya, ia sangat seronok melakukan maksiat. Seperti orang yang tengah sakit kulit, perkara yang paling nikmat adalah menggaruk gatalnya hingga melukai diri sendiri. Imam Tabiin di Basrah yang bernama Hasan Al-Basri pernah mengajarkan teknik semak kesihatan hati. Beliau berkata: "Rasakanlah kemanisan dalam tiga perkara: ketika melakukan solat, membaca al-Quran dan ketika berzikir. Jika engkau merasakannya, maka bergembiralah. Namun jika kau tidak merasakannya, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah tertutup." Ubat hati Hati orang kebanyakan seperti kita tidak berapa sihat. Kita sedari ataupun tidak, pelbagai penyakit tersimpan di dalam hati kita seperti hasad dengki, dendam, tamak, kedekut, meragukan janji Allah dan lain-lain. Tingkatan sakit itu berbeza-beza. Ada yang masih ringan, ada juga yang sudah parah. Oleh itu, kita perlu segera mengubati hati kita. Ubat hati adalah hikmah dan ilmu yang memperkenalkan tuhannya, hakikat dirinya dan tugasan yang mesti ia lakukan di dunia sebagai hamba Allah. Semua itu boleh didapatkan apabila kita bercampur dengan orang-orang yang "berhati sihat." Berkata Ibrahim Al-Khawas, "Ubat hati lima perkara: Membaca al-Quran sambil memahami maknanya, mengosongkan perut, solat malam, berdoa pada waktu fajar dan bergaul dengan orang-orang saleh." Jika kita tidak segera mengubati hati yang sakit, ia akan terus sakit. Suatu hari nanti, ia bahkan boleh mati. Orang yang mati hati lebih berbahaya daripada mati jasad. Sebab orang yang mati jasad boleh segera dikuburkan. Namun orang yang mati hati akan menjadi sampah masyarakat. Ia sangat mengganggu kehidupan masyarakat, namun tidak boleh dibuang ataupun ditanam. |
Posted: 22 May 2013 07:17 PM PDT PERKEMBANGAN teknologi maklumat yang pesat dalam era globalisasi ini telah melanda masyarakat kita dan telah menunjukkan tanda-tanda kepincangan moral, keruntuhan akhlak dan juga kegiatan negatif akibat daripada perkembangan tersebut. Hal ini juga menjadi penyumbang kepada kegiatan negatif yang lain seperti fitnah, penculikan, penyalahgunaan pil-pil, penjualan video cakera padat (VCD) lucah, khayal, gengsterisme, pergaduhan, kes rogol, rompakan, pembunuhan dan kes ragut. Semuanya telah menjejaskan kedamaian dan keamanan hidup masyarakat selama ini. Walaupun tiada kajian tepat yang mengaitkan perkembangan teknologi dengan kes jenayah, namun umum mengetahui sedikit sebanyak perkembangan teknologi telah menyumbang ke arah terhakisnya nilai-nilai murni, budaya dan moral masyarakat. Terdapat juga faktor lain antaranya pengaruh budaya luar, melalui filem, bahan bacaan lucah yang memaparkan sikap individualistik, budaya kurang ajar, tidak sopan, gelojoh, biadab, rakus, dan seumpamanya. Hal ini telah menghakis sikap-sikap positif seperti membuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kasih sayang kepada anggota keluarga, muafakat, tolong-menolong dan bantu-membantu, amanah, dan silaturahim. Bagi masyarakat di negara ini yang sering menegaskan nilai-nilai komuniti mengatasi nilai-nilai individu, tumpuan pada komuniti memang wajar dan selaras dengan ciri-ciri budaya dan sejarah masyarakat di negara ini. Masyarakat yang mementingkan nilai-nilai komuniti dapat difahami sebagai kumpulan orang yang tinggal di sesuatu daerah dan negara, masyarakat di sesuatu tempat, orang ramai umumnya yang mempunyai sifat-sifat kecenderungan dan kepentingan yang sama dan serupa. Dalam kehidupan harian, kita dapati fenomena komuniti wujud dalam pelbagai bentuk. Antaranya menghormati orang yang lebih tua, semangat kejiranan, muafakat, muhibah dan semangat perpaduan yang kental. Bagi membentuk personaliti remaja yang berkualiti dan mementingkan nilai-nilai komuniti nilai-nilai murni seperti penyayang, kerjasama dan saling membantu mestilah dididik sejak kecil. Kini usaha-usaha menerapkan nilai-nilai murni dalam pendidikan di sekolah giat dilakukan. Kajian psikologi mendapati, personaliti dan kebolehan dipengaruhi secara eksklusif oleh pengalaman individu itu. Sebaliknya kajian pengasas ujian mental pula menegaskan bahawa personaliti dan kebolehan bergantung sepenuhnya kepada baka. Sementara itu, pada masa kini ahli psikologi berpendapat baka dan persekitaran adalah sama penting. Penyelidikan telah membuktikan bahawa baka dan pengalaman bersama mempengaruhi kecerdasan, pembawaan dan personaliti. Daripada kajian ini dapat disimpulkan bahawa generasi hari ini yang terikat dengan gegala negatif adalah berpunca daripada persekitaran dan pengalaman yang menyebabkan tingkah laku, proses mental terpengaruh dengan gegala yang tidak sihat. Sesungguhnya dunia sekarang dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Di sana sini manusia memperkatakan tentang hak asasi, kasih sayang akan tetapi ia sama sekali tidak berlaku. Oleh itu, untuk mengembalikan semula nilai-nilai yang baik kita manusia bertanggungjawab melaksanakannya. Ibu bapa mestilah mendidik anak dengan adab-adab kehidupan yang baik. Guru-guru juga mempunyai lebih besar tanggungjawab melahirkan generasi muda yang berpersonaliti dan berjati diri. Kita tidak dapat menahan ledakan dan perubahan era globalisasi. Tanggungjawab kita memulakan peranan mendidik sepanjang perkembangan individu itu dari segi fizikal, emosi, sosial, intelek dan pembelajaran. Asuhlah anak-anak dengan iman dan nilai-nilai murni yang baik. Sesungguhnya kita tidak mahu melihat bahaya paling serius sekiranya kita meneruskan corak pembangunan kita akan menjadi sebuah masyarakat yang kaya dari segi material tetapi miskin jiwanya iaitu miskin dan gersang daripada segi budaya, akhlak, tingkah laku, iman dan budi pekerti serta nilai-nilai kerohanian. Apa yang diharapkan generasi hari ini mempunyai kekuatan jati diri, semangat patriotisme, cinta akan keluarga, masyarakat dan negara. Mereka juga mestilah diasuh dengan akhlak dan iman yang kental serta mempunyai budi pekerti yang luhur. Kita mengharapkan generasi yang akan menjadi pemimpin pada masa depan yakin akan diri sendiri, berani menghadapi segala rintangan, tidak terkongkong jiwanya serta dihormati oleh semua bangsa lain. Mereka juga mestilah cemerlang, berbudi pekerti dan berbudaya penyayang. Dalam hal ini, Rasulullah SAW mengingatkan dan bersabda yang bermaksud: "Umatku terdahulu selamat (jaya) kerana teguhnya keyakinan dan zuhud. Dan umat terakhir kelak akan binasa kerana kebakhilan (harta dan jiwa) dan cita-cita yang kosong." (Riwayat Abi Ad Dunia) Oleh itu, sebagai umat Islam kita mesti berusaha menyelamatkan generasi muda dengan membentuk personaliti yang baik beriman dan berakhlak. Rasulullah SAW berpesan dalam sabdanya yang bermaksud: "Seseorang Muslim ialah yang menyelamatkan kaum Muslimin daripada indah dan tangannya. Seorang Mukmin ialah yang dipercayai oleh kaum beriman terhadap jiwa dan harta mereka dan seorang muhajir ialah berhijrah meninggalkan dan menjauhi keburukan (kejahatan)." (riwayat Ahmad) Akhirnya, daripada segi pengisian hati dan diri generasi hari ini perkara yang perlu diberi tumpuan adalah didikan berterusan dalam pendidikan agama dan ilmu pengetahuan lain yang dapat diseimbangkan bagi kehidupan mereka. PENULIS berkelulusan PhD Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. |
DEMI AKHBAR BEBAS,MANGSA KDN TERBIAR Posted: 22 May 2013 07:10 PM PDT Oleh Fathi Aris Omar Dia cemas, untuk sekian kalinya. Sehari selepas anak sulungnya dilahirkan, ketika isteri tersayang masih tidak bermaya di katil hospital, anak muda ini harus berdiri di kandang orang salah. Dan bakal menerima hukuman berat. Dia tiada dosa kecuali menjual akhbar tanpa permit Haraki. Dia berdosa kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN). Kes Zabidi Morad, 27, tidak dilaporkan dalam sebarang media, termasuk media alternatif atau pembangkang di negara ini. Jauh sekali namanya tercatat dalam rekod penindasan antarabangsa terhadap wartawan, seperti halnya nama Ahmad Lutfi Othman atau Zulkifli Sulong. Tetapi Zabidi, dan mereka yang sekerdilnya, memikul risiko besar. Dia adalah unsung hero. Sejarah lazimnya melupakan individu sepertinya. Datang daripada keluarga yang mempunyai tradisi penulisan dan penerbitan, Zabidi bersama adik-beradiknya terjun ke dalam dunia pengedaran bahan-bahan bacaan politik kira-kira empat tahun lalu. Sehari selepas keputusan pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit, Zabidi melangkah ke mahkamah magistret Kuala Lumpur berseorangan, tiada penyokong meriuhkan isi perjuangannya walau beliau pernah juga mengendalikan laman web 'media bebas' Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami). Pakciknya sendiri, Ahmad Lutfi, masih berada di kawasan pilihanraya itu. Aktivis-aktivis Kami sendiri tidak tahu. Tidak ada wartawan dari sebarang akhbar, berada di mahkamah. Selepas kes itu, tiada media melaporkannya. Tabloid politik bebas Di tengah-tengah ghairah perjuangan menuntut kebebasan akhbar, mangsa KDN ini terbiar. Dua lagi kes pengedar didakwa menjual atau memiliki bahan-bahan penerbitan tanpa lesen, di Shah Alam dan Parit Buntar (Perak), sedang dibicarakan. Kedua-dua kes ini tidak dilaporkan, malah nama penuh mereka tidak diketahui oleh kumpulan wartawan, termasuk Kami, apatah lagi Harakah, malaysiakini atau Suara PRM. Mereka seolah-olah tanpa wajah. Tetapi tanpa mereka, pembaca di daerah-daerah pedalaman tidak mungkin mengetahui kewujudan tabloid politik bebas, apatah lagi membaca isi kandungannya. Berkat kedegilan pengedar kecil-kecilan ini, dengan bayaran komisyen yang tidak berbaloi, mereka akhirnya diseret ke mahkamah oleh KDN. Dunia ini tidak adil -- itulah yang sewajarnya diucapkan kepada Zabidi dan dua lagi pengedar bernasib malang. Zabidi wajar berasa cemas pada pagi 19 Julai lalu. Dia hanya membawa wang tunai RM2,000. Sedang beliau didenda RM5,000 (maksimum RM20,000 atau penjara tiga tahun). Teringat anak yang baru lahir dan janji untuk melawat isteri petang itu, dia berpeluh di mahkamah kira-kira 2 jam sementara menunggu kakaknya membawa baki wang. Tekanan baru Jika gagal, dia berfikir-fikir, tentu akan dibawa ke lokap atau penjara Kajang. Kini kes itu menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Tetapi bukan saat ini pertama kali dia cemas. Berdepan dengan KDN, polis dan Umno sudah menjadi darah dagingnya. Walaupun begitu, setiap tekanan baru pihak berkuasa membawa kegelisahan baru. "Saya gementar dan panik," katanya kepada penulis semalam, mengingatkan satu insiden di Perhimpunan Agung Umno 1997, ketika menjual buku politik Anwar Terjerat?: Teori Konspirasi Menjatuhkan TPM Melalui Tuduhan Skandal Seks karya Ahmad Lutfi. Buku jualannya dirampas, sementara abangnya Rozani disoal siasat pihak berkuasa PWTC. Atas arahan Anwar Ibrahim, pengedaran buku itu dilarang di acara tersebut. (Nota: Kesulitan yang dialami penulisnya dan pengedar buku ini diceritakan pada satu bab dalam buku Komplot Bunuh Diana. Dalam analisis tentang kematian Puteri Diana ini, Ahmad Lutfi mendedahkan beberapa pencetak enggan bekerjasama kerana bimbang tekanan KDN, juga amaran kementerian itu ke atas majalah pimpinannya, Tamadun). Diganggu pihak berkuasa Kemudian pada tahun yang sama, Zabidi berdepan dengan karenah imam-imam besar di Masjid Negara pula. Buku Mufti Lawan Mahathir? dilarang dijual di pameran buku di kaki lima masjid itu dengan alasan "tulisan itu kontroversi." Zabidi berkeras untuk terus menjual sehinggalah pihak berkuasa itu mengeluarkan arahan hitam putih agar buku tersebut ditarik balik. Sempat juga buku itu dijual beberapa hari biar tempoh pameran selama seminggu. Apabila Anwar dipecat pada September 1998, sekali lagi Zabidi diganggu pihak berkuasa. Beberapa anggota polis merampas kaset-kaset ucapan Anwar yang dijual di kedainya, Penerbitan Pemuda. Waktu itu, Anwar belum ditangkap, kaset ucapan dan video road-show beliau mendapat sambutan hangat. "Seorang daripada polis itu pernah datang membeli kaset. Saya masih ingat, dia berpakaian biasa (sebelum operasi itu)," imbas Zabidi. Dalam rampasan kali ini, dia memang cemas kerana diarah ke balai untuk diambil keterangan. Tetapi selepas berunding, pasukan pihak berkuasa itu mengambil keterangan di kedai itu sahaja. Sebulan selepas itu, sekali lagi, kedainya di Medan Idaman, Jalan Gombak diserbu polis. Kali ini buku Anwar: Skandal Seks atau Konspirasi Politik dirampas kononnya dengan alasan penerbit tidak menulis nama dan alamat syarikat percetakan. Walaupun tidak diseret ke balai, dia masih bimbang apabila pakciknya Ahmad Lutfi yang mengarang buku itu dibawa ke balai polis Sentul selama beberapa jam. Serbuan pihak KDN Sementara di tengah-tengah Kuala Lumpur, beratus-ratus penunjuk perasaan proreformasi ditangkap di celah-celah kebimbangan operasi kedua Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang baru bermula 10 Oktober (apabila Presiden JIM Saari Sungib ditahan). Operasi pertama dimulakan dengan penahanan Anwar, Ruslan Kasim pada 20 September dan ia memakan masa lebih seminggu. Selepas rampasan Haraki pada 9 Mei 2000, pada 10 November tahun itu, KDN menyerbu lagi Penerbitan Pemuda dan merampas lebih 600 naskhah tabloid tidak berkala Islah. Naskhah itu menjadi agak hangat dan kontroversi kemudiannya apabila setiausaha parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Noh Omar bangun menunjukkan tabloid itu yang memuatkan berita utama 'Guna royalti minyak langgan perempuan.' "Mereka menyalahgunakan kebebasan media, menyebarkan surat layang, menyalah guna internet. Malah kanak-kanak kecil di tadika telah disemai perasaan benci (kepada pemimpin kerajaan)," dakwa Noh di Dewan Rakyat. Tiada simpati Sekali lagi, Zabidi dihadapkan ke mahkamah magistret berhubung pengedaran tabloid tanpa permit. Bagaimanapun, pada hari yang dijadual, pihak pendakwa KDN tidak hadir. Sementara kertas pendakwaan juga agak kabur - nama tertuduh tidak disebut kecuali "Pengurus Penerbitan Pemuda.". Justeru Zabidi tidak pernah menghadiri perbicaraan. Waran tangkap tidak pula dikeluarkan oleh mahkamah. Seperti nasib Zabidi, kes itu tergantung. Ditanya apakah isterinya, yang dikahwini pada September tahun lepas, bimbang tekanan demi tekanan yang dialaminya, Zabidi menjelaskan dia boleh menenangkan ahli keluarganya. Bagaimanapun, sampai bila? "Kadang-kadang saya rasa kecewa kerana tidak mendapat sokongan serta simpati mana-mana pihak," jelasnya jujur. "Ada waktunya pula saya cukup serik apabila memikirkan tentang keluarga." (Zabidi Morad telah membuat rayuan di Mahkamah Tinggi ,dan dalam Mahkamah Rayuan beliau di dapati tidak bersalah) ARTIKEL INI DISIARKAN DIDALAM LAMAN WEB WWW.MALAYSIAKINI.COM pada 2 |
You are subscribed to email updates from "BERANI KERANA BENAR!" To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan