Sabtu, 11 Mei 2013

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Apa lagi Cina mahu?.. Ini pandangan Dr. Asri.

Posted: 11 May 2013 05:00 AM PDT


Tindakan mengapi-apikan isu perkauman adalah haram disisi agama Islam, kata Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini, ditengah-tengah kemelut kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) menyalahkan masyarakat Cina ekoran keputusan buruk pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Bekas mufti Perlis tersebut berkata tindakan memainkan isu perkauman bertentangan dengan ajaran Islam sebenar yang mengajar ke arah keamanan dan kemakmuran.

"Haram bagi seorang muslim meniupkan api perkauman yang menzalimi pihak yang tidak bersalah hanya kerana warna kulit ataupun keturunannya.

"Wajib kita mempamerkan keindahan kesejagatan Islam kepada semua pihak supaya keindahan Islam dapat diterima oleh manusia," kata Asri dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Asri,masyarakat berbilang kaum dalam negara akan berpecah-belah dan menyebabkan situasi tidak harmoni sekiranya pemimpin politik negara terus menggunakan isu perkauman untuk kepentingan politik.

"Ia boleh mengundang kemusnahan masyarakat dan negara terutama negara berbilang kaum seperti Malaysia ini.

"Ia hanya akan menimbulkan ketegangan dan pergaduhan yang tidak berasaskan prinsip kebenaran, sebaliknya atas prejudis perkauman," katanya lagi.

Beliau juga berkata isu perkauman adalah sesuatu yang bertentangan dengan Islam yang mana ia tidak khusus kepada sesuatu kaum sahaja ataupun negara, berbeza di Malaysia dimana orang Melayu adalah secara tidak langsung ditafsir sebagai penganut agama Islam.

"Islam adalah agama rentas kaum dan sempadan geografi. "Keadilannya Islam itu melebar merentasi perbezaan pemikiran dan agama," tambah tokoh agama tersebut lagi.

Ketentuan seseorang itu dilahirkan dalam bangsa tertentu bukan adalah pilihan individu tersebut tetapi adalah ditakdirkan oleh Allah, tegas Asri sambil menambah masyarakat di Malaysia sepatutnya memahami antara satu sama lain.

"Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau cina atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah," katanya lagi.

Asri kemudiaan memetik ayat Al-Quran yang menyebut, "Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan."

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia antara yang paling lantang mengkritik dan menyalahkan masyarakat Cina ke atas prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya 2013 disamping menyerang DAP yang dikatakan menghasut masyarakat tersebut.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga selepas keputusan PRU13 mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila mengganggap pilihan raya kali ini adalah "tsunami Cina" dan kemudiaan Utusan Malaysia menyokongnya dengan mengeluarkan artikel berbentuk perkauman "Apa lagi Cina mahu".

Selain itu, blogger pro-Umno Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris baru-baru ini juga ditahan pihak berkuasa kerana mengeluarkan artikel berbau perkauman ke atas masyarakat Cina dan beliau disiasat dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta dibawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, tetapi telah dibebaskan semalam.

Penganalisis telah menekankan keputusan Pilihan Raya 2013 bukanlah "tsunami Cina" seperti didakwa oleh Najib akan tetapi peralihan besar pengundi bandar dan kelas menengah yang menyaksikan jurang antara bandar-luar bandar Malaysia semakin luas.

BN memenangi 133 berbanding 222 kerusi yang dipertandingkan untuk parlimen, menurun tujuh kerusi, kepada pembangkang jika dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya 2008.

Daripada 89 kerusi dimenangi Pakatan Rakyat, DAP memperolehi kerusi terbesar dengan 38 kerusi. BN turut hilang undi popular kepada PR — pertama kali sejak 1969 ketika parti itu dikenali sebagai Perikatan.

~ The Malaysian Insider

"Sekilas ikan di air, saya tahu jantan betinanya".. Apa maksud Husam Musa ni?

Posted: 11 May 2013 12:47 AM PDT


Faham betul-betul apa yang Husam Musa nyatakan ini.. Ada yang tersirat dari apa yang tersurat ini..

Gugur daripada barisan Exco Kanan Kerajaan Negeri tidak mematahkan semangat Timbalan Pesuruhjaya II Pas Negeri, Datuk Husam Musa untuk terus mempertahankan kerajaan Pas sehingga akhir hayatnya.

Katanya, selagi Pas ini berdiri atas nama Islam yang Syumul, melaksanakan kewajipannya mengikut Allah SWT, beliau akan tetap mempertahankan kerajaan Pas sampai akhir hayatnya.

"Tetapi kalau kerajaan ini (Pas) bersifat duniawi yang nak mengaut balak, lombong, Nauzubillah… Ampunkan saya kalau saya berdiri di dalam dewan untuk memperbetulkan kerajaan.

"Saya masuk dalam perjuangan ini bukan main-main. Saya masuk ini untuk melihatkan apa yang kita usrahkan Islam yang syumul, Islam yang komprehensif, yang menjaga khazanah negeri dan negara supaya miskin dan yatim piatu, mereka itu dibela dan Islam menjadi model. Ini cita-cita saya," kata Husam yang juga Adun Salor. .

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Majlis Kesyukuran Kemenangan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Pondok Pasir Tumboh, di sini, malam kelmarin.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, beliau turut mengakui tidak menerima jemputan untuk hadir mesyuarat pada pagi 6 Mei lalu.

"Maaf, saya tidak terima jemputan tersebut. Tolong tunjukkan surat, sistem pesanan ringkas (SMS), telefon, yang bercakap dengan saya. Maaf saya tidak mahu perbesarkan isu ini. Ini perkara teknikal. Tidak perlu jelaskan.

"Saya boleh terima semua keputusan tersebut demi kebaikan parti, kemudian diganti dengan sebab-sebab saya tidak dilantik. Saya tidak minta apa sebab saya tidak dilantik. 'Terkilas ikan di air, saya tahu jantan betinanya'," katanya.

Husam yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan selama dua penggal berkata, atas pengguguran tersebut, beliau bukanlah orang yang yang berfikiran buntu, malah dapat mengesan perkara itu sejak empat tahun lalu.

"Jadi, tidak perlu beri sebab, saya tahu sebabnya. Sebab itu ada dalam dada saya. Saya tak perlu dedah kepada sesiapa demi menjaga keharmonian parti kita.

"Ibarat kalau kita pergi meminang anak orang, tiba-tiba tak jadi kahwin, atas sebab tertentu. Tidak perlulah beritahu (sebab) bulu betis dia panjang, kepala lutut dia senget, hidung dia kembang sebelah. Itu akan menyebabkan sakit hati teman yang kita pinang itu. Biasa kita sebut, tiada jodoh," katanya.

Beliau akui boleh menerima keputusan tidak disenaraikan dalam exco di bawah pimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, malah tidak pernah meminta namanya dimasukkan semula ke dalam senarai exco kerana menganggap kerajaan Pas adalah kerajaannya.

Katanya, sebagai orang Melayu, mereka perlu menjaga tatasusila tanpa melibatkan sultan dalam memberikan alasan demi menjaga keharmonian ~ Sinar Harian

Najib akan diminta lepaskan semua jawatan?.. kirim salam laaa...

Posted: 10 May 2013 05:30 PM PDT


Laporan dari Reuters yang disiarkan oleh sebuah media cetak di New Zealand menyatakan, Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak berkemungkinan melepaskan jawatannya di penghujung tahun ini, memetik sumber dalaman partinya apabila Barisan Nasional menang tetapi dengan prestasi paling buruk di dalam sejarah pilihanraya di Malaysia.

Najib, 59, telah cuba memperkuatkan masa depan politiknya dengan harapan memperkukuhkan majoriti BN di parlimen melalui pemberian BR1M kepada rakyat Malaysia sebelum berlansungnya pilihanraya kali ke 13 pada 1 Mei yang lalu.

Tetapi usaha Najib dilihat gagal setelah BN cuma memenangi 133 kerusi daripada 222 kerusi parlimen, kurang 7 kerusi daripada pencapaian BN pada tahun 2008 dan gagal memperolehi majoriti 2/3 yang diharapkannya.

Untuk kali pertama di dalam tempoh 44 tahun, BN juga gagal untuk meraih undi popular. Tertekan dengan keputusan itu, Najib kini berdepan dengan tugas sukarnya selepas ini.

"Kita akan dapat menyaksikan Najib akan turun di penghujung tahun ini," kata seorang pemimpin kanan UMNO, parti yang mendominasi BN.

"Beliau mungkin enggan (letak jawatan), kita tak pasti tentang itu, namun beliau telah menunjukkan prestasi paling buruk. Beliau kini tidak mempunyai banyak kuasa tawar-menawar lagi," katanya, yang lebih suka untuk tidak mendedahkan identitinya.

Mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang masih mempunyai pengaruh di dalam UMNO, memberitahu Reuters tahun lalu bahawa Najib perlu memperbaiki kedudukan 140 kerusi yang dimenangi di dalam tahun 2008 atau berrisiko kedudukannya tergugat.

Kaum Cina, yang membentuk seperempat penduduk Malaysia, memilih untuk menolak Barisan Nasional, satu penerusan terhadap tren 2008.

Mereka telah menolak dengan jelas parti MCA, parti kaum Cina di dalam BN. Najib, yang tersentak dengan keputusan pilihanraya tersebut telah menyalahkan "Tsunami Cina" sebagai faktor kekalahan BN.

Namun yang nyata juga, sokongan dari masyarakat Melayu terhadap BN, terutama di kawasan bandar, juga merudum, satu petanda kelas menengah Melayu kini mengharapkan satu perubahan.

Najib, akan terpaksa berdepan dengan cabaran dari dalam UMNO sendiri seawal Oktober atau November, apabila parti itu mengadakan perhimpunan dan pemilihan terhadap kepimpinan parti.

"Di dallam pemilihan kali ini, kita akan dapat menyaksikan mereka yang tak berpuas hati bangun dan meminta Najib untuk meletakkan jawatannya", kata sumber berkenaan yang juga pernah menduduki kerusi kabinet sebelum ini.

Barisan Nasional juga gagal untuk merampas Selangor, yang diwarwarkan sebelum ini oleh Najib, negeri yang amat perlu ditawan kembali oleh UMNO.

"Najib kini mengepalai sebuah parti yang kehilangan undi popular, sebuah parti gabungan yang terpaksa berhempas-pulas untuk membuktikan legitimasi pemerintahannya," kata Wan Saiful Wan Jan, Ketua Institut Untuk Democradi Dan Hal-Ehwal Ekonomi di Kuala Lumpur.

"Pada pendapat saya ia bukan perkara mudah untuk Najib", tambahnya.

Tan Sri Khalid Ibrahim dinamakan sebagai Menteri Besar Selangor.. diharap tiada yang kecewa..

Posted: 10 May 2013 09:15 AM PDT


Dengan pengesahan oleh Setiausaha Agong PKR ini bahawa Tan Sri Khalid dilantik semula sebagai Menteri Besar Selangor buat penggal yang kedua ini.. diharap tiada yang kecewa..

Tak perlu nak kecewa lebih-lebih, buat kerja seperti biasa.. jangan mengharu birukan lagi keadaan..

Pasti ada hikmahnya disebalik apa yang telah berlaku ini.. sebagaimana terserlahnya hikmah mengapa Pakatan Rakyat tidak ditakdirkan oleh Allah untuk menguasai Putrajaya..

Berikut Adalah Kenyataan Penuh Datuk Saifudin Nasution (Setiausaha Agong PKR)...

Parti KEADILAN Rakyat memanjatkan rasa syukur kami ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan Pakatan Rakyat mempertahankan negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke-13 baru-baru ini.

Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kami dan rakan-rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat terhadap para pengundi khususnya dan rakyat negeri Selangor amnya kerana telah memberikan kepercayaan mereka kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan negeri Selangor buat penggal yang kedua.

Bagi pihak KEADILAN, saya juga ingin merakamkan penghargaan kami kepada pimpinan Pakatan Rakyat negeri Selangor, juga kepada jentera ketiga-tiga Parti KEADILAN, PAS dan DAP yang telah bertungkus lumus dan penuh komited dalam amanah yang dipikul untuk memastikan kepercayaan rakyat Selangor terus diberi kepada Pakatan Rakyat.

Kejayaan ini juga disambut dengan penuh rasa tawaddhu' dan rendah diri, terutama dalam proses untuk menamakan seorang Menteri Besar bagi memimpin kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam pentadbiran negeri.

KEADILAN sesungguhnya amat berbesar hati dan menghormati sokongan oleh PAS dan DAP yang telah bersetuju supaya jawatan Menteri Besar Selangor dinamakan dari Parti KEADILAN Rakyat.

Berteraskan kepada prinsip konsensus dan rundingan serta semangat kesetiakawanan dan kerjasama yang selama ini telah tersemai dalam Pakatan Rakyat, KEADILAN telah mengangkat dua (2) nama dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri KEADILAN yang berjaya memenangi kerusi mereka dalam pilihanraya umum Negeri Selangor baru-baru ini kepada pimpinan PAS dan DAP untuk dibincang secara bersama dengan KEADILAN bagi memilih salah seorang daripada mereka untuk dinamakan sebagai Menteri Besar Selangor.

PAS dan DAP, menerusi Presidennya Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Yang Berhormat Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid bin Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang untuk diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

KEADILAN dengan ini menyeru supaya keseluruhan rakyat Negeri Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk terus menggembeling semangat kerjasama dan setiakawan antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit yang telah selama ini ditunjukkan, bagi terus memastikan agenda perubahan rakyat dapat diteruskan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

Sekian, terima kasih.


SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL 
SETIAUSAHA AGUNG
PARTI KEADILAN RAKYAT

Aku tahu Tan Sri Khalid ni kedekut orangnya.. tapi kedekut kepada Ahli Parti sendiri lebih baik dari dia kedekut kepada rakyat..

Lagipun.. aku ni kan orang PKR  Permatang Pauh.. Ketua Cabang aku ialah Datuk Seri Wan Azizah .. alaaa.. Presiden PKR tu.. oleh itu apa saja keputusan dia aku sokong!!

Orang PKR Selangor jangan marah yaaa....

Tiada ulasan: