Anak Sungai Derhaka |
- Mahasiswa usung keranda ke SPR Putrajaya..
- Kenyataan Media Khas Azmin Ali.. (Video Inside)
- Padan muka Azmin Ali..
- Kedua-dua kaki Ustaz Azizan selamat dipotong.
Mahasiswa usung keranda ke SPR Putrajaya.. Posted: 10 May 2013 02:47 AM PDT Beberapa NGO mengadakan perhimpunan di hadapan bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Putrajaya bagi menyerahkan memorandum menuntut agar pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Abdul Aziz Yusof meletak jawatan berhubung dakwaan berlaku penipuan dalam keputusan pilihan raya umum ke-13. Perhimpunan yang bermula pada jam 2.30 petang itu dihadiri kira-kira 50 orang yang diketuai oleh Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang. Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin atau Chegu Bard. Sambil membawa dua buah replika keranda bewarna hitam dengan tulisan SPR serta sepanduk bertulis "PRU 13 adalah yang paling kotor" mereka turut melaungkan "Tukar SPR" dan "Anak muda mahukan keadilan". Turut kelihatan juga ialah kira-kira 10 orang anggota polis di sekitar kawasan perhimpunan itu bagi mengawal keselamatan. Sementara itu, dalam ucapan selepas memorandum diserahkan kepada pegawai perhubungan awam SPR, Safwan berkata, pihaknya memberi masa selama tujuh hari untuk pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberikan respon terhadap tuntutan mereka. "Kita bagi tempoh sampai hari Jumaat minggu depan untuk SPR respon memorandum dan letak jawatan. "Jika tak jawab, kita akan turun di jalanan. Hari Sabtu nanti berdepanlah dengan kemarahan rakyat. "Kita juga akan membawa perkara ini ke Istana Negara," katanya. Perhimpunan itu bersurai kira-kira jam 3:15 petang. Dalam memorandum tersebut, mereka membuat tiga tuntutan iaitu menolak keputusan pilihan raya umum ke-13, meminta supaya SPR yang baru dan telus ditubuhkan serta mendesak agar pilihan raya umum diadakan semula ~ Malaysiakini |
Kenyataan Media Khas Azmin Ali.. (Video Inside) Posted: 09 May 2013 09:46 PM PDT Dalam masa 48 jam yang lalu, pelbagai khabar angin beredar di kalangan media, internet dan media sosial berkenaan kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden KEADILAN dan kesetiaan saya kepada Pakatan Rakyat di peringkat Negeri dan Persekutuan. Khabar – khabar angin ini menggambarkan saya akan meletakkan jawatan dalam Parti dan sebagai wakil rakyat yang dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen. Saya percaya khabar – khabar angin ini dimulakan oleh UMNO – BN. Dari khabar – khabar angin ini, mereka ingin menuduh saya sebagai individu yang tidak bertanggungjawab, yang akan meninggalkan Parti untuk kepentingan material dan kedudukan politik, seterusnya mengkhianati amanah yang diberikan kepada saya oleh rakyat. Khabar – khabar angin ini adalah berkaitan dengan isu perlantikan Menteri Besar Selangor. Mereka telah bekerja bersungguh – sungguh untuk membina pesepsi bahawa saya terlalu kemaruk untuk menjadi Menteri Besar Selangor dan saya akan menyertai UMNO sekiranya saya tidak mendapat jawatan tersebut. Fitnah ini adalah satu penghinaan terhadap integriti saya. Cita – cita kepada jawatan politik bukanlah satu jenayah. Bahkan ianya satu motivasi kepada setiap orang yang terjun ke dalam kancah politik. Dengan syarat cita – cita tersebut mestilah berlandaskan niat untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik dan lebih berkesan. Hasrat untuk memegang jawatan termasuk jawatan Menteri Besar semestinya tidak didorong oleh motif peribadi untuk bermegah – megah dan memperolehi kekuasaan. Motif tersebut akan merosakkan jiwa, merendahkan martabat diri dan mengaburkan pandangan untuk melihat yang benar dari yang salah, yang baik dari yang jahat dan tidak dapat membezakan kepentingan peribadi dan kepentingan rakyat. Rakyat Selangor telah memberikan mandat baru yang sangat meyakinkan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU – 13. Pakatan Rakyat Selangor telah berjaya melonjakkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri kepada 44 kerusi daripada 56 kerusi keseluruhannya berbanding dengan hanya 36 kerusi Dewan Negeri pada tahun 2008. Usaha bertubi – tubi Dato' Sri Najib untuk merampas Selangor bukan sahaja gagal tetapi hakikatnya Pakatan Rakyat Selangor semakin kuat. Kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama Pakatan Rakyat yang mantap serta usaha dan penat jerih kolektif pimpinan dan anggota di Cabang dan jentera Pakatan Rakyat di semua peringkat. Justeru kerana rakyat Selangor telah memberikan mandat sebegitu besar kepada Pakatan Rakyat maka sewajarnya mereka mendapat seorang Menteri Besar yang berwibawa untuk menjaga kepentingan rakyat Selangor. Seorang Menteri Besar yang membuka pintu pejabat kepada Ahli – Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen Negeri Selangor kerana mereka dipilih oleh rakyat dan bertanggungjawab kepada kepentingan pengundi-pengundi mereka. Seorang Menteri Besar yang tidak mempunyai prasangka buruk terhadap masyarakat perniagaan kerana mereka adalah penjana pertumbuhan ekonomi, pencipta kekayaan dan pekerjaan. Dalam penggal kedua, Pakatan Rakyat perlu melakukan reformasi pentadbiran. Kita bersyukur dengan rizab bernilai RM 2.6 bilion. Namun, rakyat menuntut pentadbiran bersikap responsif terhadap permasalahan rakyat. Isu jalan berlubang, sampah yang tidak dipungut, masalah bekalan air, bencana alam seperti banjir harus diselesaikan dengan kadar segera sebaik mandat baru diterima. Kegagalan untuk respon kepada usaha menangani masalah rakyat telahpun dibawa kepada perbincangan dalam kepimpinan Parti. Maka, mandat baru rakyat menuntut satu kepimpinan kuat dan segera menyelesaikan masalah rakyat sebagai tanda penghargaan Pakatan Rakyat kepada rakyat yang mendukung dasar – dasar Pakatan Rakyat yang berasaskan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pengagihan yang adil. Saya ingin menafikan tohmahan yang dilontarkan oleh pihak – pihak yang tidak bertanggungjawab kononnya saya kemaruk dengan jawatan Menteri Besar. Sekiranya saya kemaruk dengan jawatan tersebut saya telah menjadi Menteri Besar Selangor pada tahun 2008 menyusul Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, yang mana Dato' Seri Anwar sendiri telah meminta saya bersedia untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim kerana parti sangat tidak berpuas hati dengan prestasi Menteri Besar Negeri Selangor. Aduan diterima dari penjawat awam dan masyarakat perniagaan yang merungut dengan amalan birokrasi yang melampau dan bukan pentadbiran yang bersifat reformasi. Tetapi saya dengan tegas menolak arahan tersebut kerana ia akan mengoncang kestabilan parti. Saya sendiri mencadangkan kepada Biro Politik untuk melantik Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi bagi membantu melicinkan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Semalam saya telah memanggil mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Negeri Selangor untuk mendengar pandangan pimpinan dan akar umbi. Saya telah digesa oleh rakan – rakan pimpinan untuk berkongsi maklumat bagi menjamin parti terus berada di atas idealisme perjuangan. Saya tegaskan sekali lagi bahawa isunya bukanlah Azmin Ali dipilih sebagai Menteri Besar Negeri Selangor. Isunya adalah proses pemilihan calon tersebut untuk dipersembahkan kepada DYMM Sultan Selangor mestilah melalui consultation yang telus seperti yang dituntut oleh al-Quran Surah Assura ayat 38: Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka. Jelas dalam proses memilih calon Menteri Besar anjuran al – Quran ini tidak dipatuhi. Saya tidak mahu amalan nepotisme membudaya dalam KEADILAN. KEADILAN adalah sebuah parti reformasi. Saya seorang yang setia dengan prinsip – prinsip perjuangan parti. KEADILAN bukan milik individu atau keluarga tertentu. Parti ini adalah milik rakyat. Apabila parti ini menyimpang dari prinsip maka ia akan ditinggalkan oleh rakyat. Oleh kerana itu, setiap kesilapan yang berlaku itu harus ditegur demi kepentingan parti secara keseluruhannya. Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah menjadi pemimpin UMNO dan saya hanya berkhidmat kepada seorang tokoh UMNO yang saya yakin berwibawa, memiliki gagasan, berintegriti dan layak menjadi Perdana Menteri Malaysia. Bahkan apabila ada desas desus supaya KEADILAN berunding dengan UMNO atas nama perpaduan Melayu, saya menolaknya dengan menegaskan bahawa KEADILAN bukanlah sebuah parti Melayu. KEADILAN adalah sebuah parti pelbagai kaum yang berteraskan nilai – nilai Islam dan nilai – nilai universal. Saya mengucapkan terima kasih kepada anggota – anggota Parti dan pimpinan yang memberikan semangat dan dorongan kepada saya untuk meneruskan perjuangan. Saya juga komited dengan prinsip musyawarah dalam parti di mana bila keputusan telah dibuat maka ianya mestilah dipatuhi oleh semua pihak tanpa kecuali. Tidak ada pimpinan yang maksum dan sacrosant yang bebas daripada penilaian ahli parti dan rakyat. Saya ingin mengulangi kata – kata Dato' Seri Anwar Ibrahim iaitu kepimpinan itu adalah satu taklif dan bukan tashrif, adalah satu tanggungjawab dan bukan satu keistimewaan. Negeri Selangor adalah sebuah Negeri yang kaya dengan sumber dan mempunyai kekuatan kewangan untuk mengundang bakat - bakat politik, ekonomi, intelektual dan budayawan untuk merumuskan dasar – dasar Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat mempunyai ramai tokoh – tokoh yang berkelayakan yang gigih berjuang. Mereka ini adalah aset Pakatan Rakyat yang boleh digembeling demi kemaslahatan rakyat dan memastikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU14 nanti. Saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua jentera parti dan Pakatan Rakyat yang memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor pada PRU 13. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh penjawat awam Negeri Selangor yang telah bertindak secara professional untuk melaksanakan dasar-dasar Pakatan Rakyat sepanjang 5 tahun yang lepas. Marilah kita sama – sama berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar kita sentiasa istiqamah dengan idealisme dan perjuangan Pakatan Rakyat. Akhir sekali, kepada saudagar khabar angin ini, saya ingin menegaskan bahawa saya akan meneruskan perjuangan dengan lebih gigih lagi. Saya tidak berhasrat untuk meletakkan jawatan dari jawatan parti dan wakil rakyat apatah lagi meninggalkan perjuangan rakyat ini. Mohamed Azmin bin Ali Timbalan Presiden Ini adalah video sidang media tersebut.. Kalau korang ada kawan yang berada dalam PKR Selangor terutama yang berdiri bersama Azmin Ali dalam gambar di atas tu.. tentu tahu apa anggapan mereka terhadap Tan Sri Khalid.. Ada baiknya untuk kita berkongsi kata-kata Tan Sri Khalid yang berucap dalam Majlis Kesyukuran PR di Dataran Shah Alam, 9 Mei lalu. "Ada orang kata saya kedekut, yaa!!..memang saya kedekut,sebab itu bukan duit saya,itu duit dan hak rakyat, berdosa besar jika saya salah guna duit rakyat, saya tak boleh beli syurga dengan duit..Saya akui tak berapa pandai berpolitik,tetapi saya pandai berniaga dan cari duit untuk kerajaan negeri Selangor.." |
Posted: 09 May 2013 06:54 PM PDT Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) menyaksikan kedudukan Pakatan Rakyat (Pakatan), yang terdiri dari gabungan PAS, DAP dan PKR, di Selangor semakin kuat. Pakatan semakin kuat walaupun usaha untuk mengambil alih pentadbiran negeri yang paling kaya itu diketuai sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor. Pencapaian PAS paling memberangsangkan apabila berjaya memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding hanya lapan DUN pada tahun 2008. DAP pula menambah dua kerusi iaitu daripada 13 DUN pada PRU-12 kepada 15 DUN pada PRU-13 Ahad lepas. Namun PKR mengalami kemerosotan apabila memenangi 14 kerusi DUN kali ini, berbanding 15 DUN pada tahun 2008. Siapa yang harus dipersalahkan kalau bukan Timbalan Presiden PKR yang juga Pengerusi PKR Selangor, Mohamed Azmin Ali. Beliau harus bertanggungjawab di atas kemerosotan kerusi DUN PKR di Selangor. Umum mungkin melihat pada angka dan beranggapan PKR cuma kalah satu kerusi DUN tetapi apa yang orang ramai tidak sedari ialah ini adalah akibat sikap tamak haloba Azmin. PKR sepatutnya boleh menang di dua lagi DUN (Semenyih dan Kota Damansara) menjadikan sekurang-kurangnya memenangi 16 kerusi DUN di Selangor. Hanya kerana isu kecil penggunaan logo (genggam tangan) PSM (Parti Sosialis Malaysia), yang akhirnya PSM mengalah dan bersetuju menggunakan logo PKR. Azmin tanpa belas kasihan dan bertimbang rasa terhadap usaha dan gerak kerja Setiausaha PSM, S Arutchelvan di Semenyih sejak lebih 10 tahun lepas, membuat keputusan agar PKR tetap bertanding di DUN Semenyih. Seterusnya bos Azmin iaitu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim langsung tidak membantah keputusan Azmin dan tanpa rasa bersalah kepada PSM, seterusnya mengumumkan Hamidi Hassan sebagai calon DUN Semenyih pada malam 4 April lalu. Sumber PAS memberitahu, apabila senario ini berlaku, ia mendesak PAS juga untuk meletakkan calonnya sendiri di DUN Kota Damansara kerana tidak mahu rugi dari segi pembahagian kerusi apatah lagi ianya kerusi yang berpotensi dimenangi PAS. Maka PAS mencalonkan Ridzuan Ismail di Kota Damansara walaupun penyandang DUN itu, Dr Mohd Nasir Hashim bertanding di situ. Tidak mungkin Ridzuan menghantar kertas pencalonan kalau tidak mendapat watikah daripada PAS Pusat sedangkan pada asalnya PAS tidak pernah menyatakan hasrat untuk bertanding di Kota Damansara. Arutchelvan dan Dr Nasir masing-masing calon yang paling layak untuk bertanding di DUN Semenyih dan DUN Kota Damansara. Akhirnya mereka bukan sahaja terpaksa bertarung dengan calon BN tetapi juga dengan PKR dan PAS; walaupun Setiausaha PAS, Datuk Mustafa Ali mengarahkan Ridzuan menarik diri dari bertanding di Kota Damansara. Kalau bukan sebab Azmin yang disebut-sebut mempunyai cita-cita untuk menjadi Menteri Besar Selangor, yang membuli PSM dengan meletakkan calon di Semenyih, maka situasi "Pakatan Rakyat lawan dengan kawan Pakatan Rakyat" tidak akan wujud di DUN Semenyih dan DUN Kota Damansara. Jika Arutchelvan dan Dr Nasir dibiarkan bertanding atas tiket PKR, sudah tentu hari ini PKR mempunyai 16 kerusi DUN di Selangor dan kedudukan Menteri Besar terjamin. Apa yang sedang berlaku sekarang ialah, PKR sudah hilang hak untuk tuntut jawatan Menteri Besar secara automatik. Malah Azmin juga boleh lupakan angan-angan beliau (jika benar spekulasi) untuk duduk di kerusi empuk sebagai orang nombor satu kerajaan negeri Selangor. Kini kedudukan PKR untuk duduk di kerusi Menteri Besar Selangor terletak atas ehsan (courtesy) PAS dan DAP. Dikhabarkan PAS dan DAP selesa dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan mahu beliau meneruskan agenda pembaharuan di Selangor. Bagaimanapun apa yang mungkin berlaku PKR terpaksa mengorbankan satu lagi jawatan Exco kepada PAS sebagai 'make weight' dalam rundingan 'bargaining' tersebut iaitu Abdul Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor. Azmin mungkin terpaksa mengigit jari dan kuasa menentukan siapa Menteri Besar Selangor bukan ditangan beliau mahu pun ditangan Anwar tetapi PAS dan DAP yang akan menentukan. Azmin juga sepatutnya membuat pertukaran strategi saat akhir dengan meletakkan calon DUN Bukit Melawati, S Manikavasagam di DUN Ijok kerana lawannya ialah K Partiban dari BN. Seharusnya Azmin mencaturkan calon PKR DUN Ijok, Idris Ahmad pula bertanding di DUN Bukit Melawati bertemu calon BN, Jakiran Jacomah. Keputusan PRU-13 di DUN Bukit Melawati menunjukkan Manikavasagam gagal mendapat undi yang banyak di kawasan majoriti pengundi Melayu. Ada kesilapan strategi di sini. Diharap Azmin tidak menyalahkan Pakatan Rakyat sebaliknya diri beliau sendiri yang mempunyai kelemahan. Wassalam... bukan aku yang tulis.. tapi aku copy n paste dari SINI Sebenarnya.. aku tak berminat untuk menyerang pimpinan parti ini secara terbuka.. tetapi setelah ditunjukkan tauladan oleh seorang pemimpin atasan.. maka akupun belajarlah dari dia.. nak tahu siapa dia itu sila lihat di SINI |
Kedua-dua kaki Ustaz Azizan selamat dipotong. Posted: 09 May 2013 11:17 AM PDT Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selesai menjalani pembedahan memotong kedua-dua kakinya sekitar jam 11.30 malam tadi. Setiausaha Akhbarnya, Mohd Helmi Khalid dalam sms kepada Harakahdaily memberitahu, Ustaz Azizan telah dimasukkan ke bilik pembedahan Hospital Pulau Pinang sekitar jam 6.30 petang tadi. "Sekitar jam 8.30 malam, kaki kanan beliau telah dipotong dan kaki kiri turut dipotong selepas itu, pembedahan selesai sekitar jam 11.30 malam," jelas Helmi. Sebelum ini Bernama melaporkan.. Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak akan menjalani pembedahan bagi memotong kedua-dua belah kakinya untuk mengelak jangkitan kuman, kata Setiausaha Akhbarnya Mohd Helmi Khalid. Bersamalah kita mendoakan agar beliau cepat sembuh hendakNYA... |
You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan