Roslan SMS Corner |
Ketika Parlimen dahulu dibubar .... (3/4/13) Posted: 02 Apr 2013 11:08 PM PDT Berikut adalah posting blog saya pada 13 Febuari 2008 lalu, iaitu hari PM ketika itu Dollah Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen. Kebetulan hari ini 3 April PM (sekarang "caretaker PM") Najib Tun Razak juga membubarkan Parlimen. Bagi saya isi kandungan posting ini masih mencerminkan hasrta dan kemahuan hati saya. Ketika itu saya bertugas sebagai Setiausaha Akhbar Presiden PAS. (Untuk makluman Pakatan Rakyat tidak disebut kerana PR hanya lahir selepas PRU ke 12) : Saya menerima maklumat yang Parlimen akan dibubar hari ini juga walaupun baru semalam Perdana Menteri Dollah Badawi menafikannya. Parlimen jika mahu dibubarkan perlu sangat kepada tarikh sebelum 17 Mac kerana jika tidak sidang Parlimen berikutnya akan dirersmikan oleh Yang Dipertuan Agong. Jika SAHIH Parlimen bubar hari ini, saya merayu kepada Tuan/Puan/Sdr/i pembaca dan mereka yang mengikuti BLOG saya ini serta tulisan saya dimana-mana sumber lain agar membantu menegakkan perjuangan kebenaran ini. Inilah peluang terbaik kita untuk membawa perubahan dengan izin Allah swt. Berkempenlah kita semua kepada adik-beradik, saudara-mara, kawan dan taulan, kita semua perlu bekerja dan jangan mengharapkan jentera parti PAS atau PKR sahaja, malah kita yang tidak berparti lebih-lebih lagi perlu menyumbang tenaga. Yakinkan kepada semua bahawa Malaysia berhak kepada sebuah kerajaan dan barisan pimpinan yang bersih, adil, tidak korap dan sentiasa membela dan mempertahankan nasib dan kebajikan rakyat. Malaysia akan maju dan disegani dunia apabila pimpinan negara kita terdiri dari mereka yang berwibawa, bermaruah dan berakhlak mulia. Sesungguhnya diperingkat ini individu dan parti tidak utama, yang lebih utama adalah maruah negara, agama dan bangsa. Pilihlah mereka yang terbaik diantara kita, pilihlah mereka yang ikhlas dan bertaqwa. Jika kita semua dapat memikul amanah ini dengan baik, insyallah selepas Pilihan Raya Umum ini Malaysia akan lahir sebagai sebuah negara baru yang dapat dimegahi oleh semua. |
Bubar parlimen ayuh berubah (3/4/13) Posted: 02 Apr 2013 10:04 PM PDT Tiada lagi teka-teki. Semua ahli nujum boleh lah berhenti kerja. Akhirnya bubar juga Parlimen sebagaimana diumumkan secara langsung oleh Najib Tun Razak sebentar tadi. Kini masing-masing menunggu pengumuman pihak SPR pula yang akan bersidang dan menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi. Apa pun yang pastinya untuk menang semua pihak perlu bekerja keras. Bukannya tak bekerja keras sebelum ini tetapi masing-masing kena pacu jentera ke tahap maksima supaya kemenangan yang diimpikan dapat dicapai. Awas jika jentera tidak diselenggarakan dengan baik pasti nanti ia menjadi panas dan memudaratkan, ketika itu menangis air mata darah pun tak berguna. Semua PM dan MB-MB serta KM dan barisan Jemaah kabinet serta EXCO masing-masing kini bertaraf "caretaker" atau sementara sehinggalah kerajaan yang baru terbentuk selepas PRU ke 13 nanti. Semoga kali ini tiada pihak menyalahgunakan jentera kerajaan bagi tujuan kempen pilihanraya, tetapi adalah dijangkakan ia akan disalah-gunakan juga…..itulah Malaysia. Diperingkat ini saya menjangkakan lebih 75% rakyat Malaysia yang terdiri dari pengundi yang berdaftar telah pun membuat keputusan parti dan calon (setelah diumumkan) pilihan mereka. Tinggal lagi 25% atau mungkin kurang lagi yang masih terapung-apung, duduk atas pagar, masih belum pasti nak pilih siapa, ini lazimnya dikalangan pengundi kali pertama, umumnya yang lahir ditahun 90an.Tetapi senario Malaysia suka tak suka, citarasa pengundi dari pengalaman masih banyak berkait dengan faktor kaum. Pengundi Melayu, pengundi Cina dan pengundi India, ke mana arah sokongan mereka kali ini? Tahun 2008 lalu, iaitu pada PRU ke 12, majoriti pengundi Cina dan India condong kepada PR iaitu PAS, DAP dan PKR. Pengundi Melayu ketika itu dikejutkan juga tetapi tidak semua bangkit membuat perubahan, sokongan pengundi Melayu lah (kecuali disesetengah bahagian dan negeri) yang mengakibatkan BN dapat bertahan memerintah kerajaan Pusat dengan majoriti mudah (tanpa 2/3) dan bertahan di Sabah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Terengganu dan Pahang. Sesungguhnya corak pengundian begitulah di Negara kita sejak beberapa PRU lalu seingat saya. Tahun 1990 begitu juga, "swing" pengundi Cina dan India (tak sekuat PRU 12) kuat menentang BN tetapi penundi Melayu menyelamatkan BN. 1999 ketika PAS menang di Terengganu, lonjakkan pengundi Melayu menolak BN besar, malangnya pengundi Cina dan India kembali kepada BN sehingga Lim Kit Siang sendiri tewas. Ketika itu di DUN Selangor lantaran lonjakkan sokongan Melayu tadi PAS menang 4 kerusi (Hassan Ali, Dato Ismail Kamus, Dr Shafiee dan Sallehen Mukhyi), PKR 1 melalui Azmin Ali dan DAP cuma tinggal 1 iaitu Teng Chang Khim (Speaker DUN sekarang). Dari 1999, ramai menjangkakan BN akan lebih merosot lagi dalam PRU 2004, rupanya rakyat kembali kepada BN, PAS tewas di Terengganu dan hampir kecundang di Kelantan namun Kit Siang kembali ke Parlimen melalui Ipoh Timur. Di Selangor PAS dan PKR hilang kerusi dan DAP tambah 1 jadi 2. Begitulah senario yang lepas-lepas. Bermakna jika PR berhasrat menundukkan BN diperingkat Pusat dan negeri-negeri, sebaik-beiknya ketiga-tiga golongan pengundi Melayu, Cina dan India perlu bangkit menyokong PAS, PKR dan DAP. Senario begini hampir terjadi sekali iaitu dalam PRU 1969, namun tidak menyeluruh kerana PAS tetap tewas di Terengganu dan Kedah. Oleh itu sekarang parlimen dah bubar, bekerjalah kuat jangan terlepas pandang walau seorang pengundi, ketika itulah insyallah perubahan pasti berlaku. Selamat bertugas, jangan takutkan pengundi tetapi tawanlah hati mereka. |
You are subscribed to email updates from Roslan SMS Corner To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan