Roslan SMS Corner     |   
|    BN langgar etika guna Sultan (15/4/13) Posted: 14 Apr 2013 11:52 PM PDT   Sebagaimana pilihanraya-pilihanraya yang lalu, media arus  perdana sejurus Parlimen dibubarkan terus menjadi agen dan media rasmi BN.  Kempen-kempen BN dengan dacing-dacingnya terpapar secara meluas dalam usaha  memancing hati rakyat.   TV3 seperti biasa, kalau ada pertandingan akan terbit  sebagai juaranya. Dalam sibuk-sibuk kempen semua pihak perlu berhati-hati  jangan membabitkan pihak dan institusi tertentu yang sepatutnya "non partisan"  tidak sepatutnya memihak ke mana-mana. Siapakah mereka ini. Sudah pastilah  antaranya pihak Suruhanjaya Pilihanraya sendiri. Dan yang paling utama adalah  institusi Raja-raja Melayu.  Saya perhatikan dalam keghairahan pihak BN berkempen, mereka  telah menyeret pihak istana menjadi sebahagian dari bahan kempen mereka. Klip  video "Sayangi Selangor yakini BN" jelas memaparkan wajah Sultan Selangor.   Kalau ya pun "desperate" mahu rampas kembali Selangor,  sehingga TV3 memainkan video klip ini saban waktu, janganlah sampai mebabitkan  pihak Istana.  Dalam PRU lalu BN bawah Pak Lah telah memuatkan wajah Ketua  Polis Negara ketika itu dalam manifesto mereka. Pihak PAS telah membuat  bantahan, saya ingat ketika itu sebagai Setiausaha Akhbar Presiden, kita mengeluarkan  kenyataan rasmi membantah. Tidak berapa hari kemudian gambar tersebut  dikeluarkan.   http://n32.blogspot.com/2008/02/dari-laman-web-malaysiakini-why-is-igp.html  Dalam hal kempen "Sayang Selangor" ini saya kira PR perlu  buat bantahan. Jangan lihat remeh perkara ini kerana ia jelas melanggar etika.    |   
|    Tahap sokongan terhadap PR - PAS (bahagian 2) (15/4/13) Posted: 14 Apr 2013 10:16 PM PDT   "Benchmark" bagi Kit Siang untuk menang di Parlimen Gelang  Patah adalah meraih 80% sokongan pengundi Cina, 40% pengundi India dan 15%  pengudi Melayu, demikianlah sasaran kem Kit Siang di sana.   Parlimen Gelang Patah mempunyai 54% pengundi Cina 12%  pengundi India dan 34% pengundi Melayu.  Saya kira inilah kali pertama Kit Siang bertanding di  kawasan maoriti Cina kurang dari 70%. Ini bermakna sekurang-kurangnya DAP yakin  bahawa mereka dalam PRU ke 13 ini akan berjaya mencatatkan paling tidak 80%  sokongan pengundi Cina. Jika menurut kajian PRU ke 12 lalu, PR memperolehi  60.5% purata sokongan pengundi Cina, bermakna kali ini blok pengundi Cina  disangka lebih ramai akan condong kepada PR iaitu dengan kenaikan sehingga  19.5%!   Bagi saya angka ini munasabah memandangkan rata-rata  pengundi Cina hari ini dilihat lebih selesa kepada PR khasnya DAP dan seakan  putus terus harapan pada BN.  Malah ada rakan-rakan yang menjangkakan tidak mustahil  kecenderungan pengundi Cina terhadap PR itu boleh naik sehingga 90%!   Dengan kekuatan ini, sudah pastilah jika trend begini merata  di semua kerusi Parlimen dan DUN, PR punya harapan cerah sekurang-kurangnya  dikerusi-kerusi yang pengundi Cina melebiohi 50% sebagaimana Gelang Patah.  Dalam pada itu kecenderungan pengundi India pula dikesan  akan semakin menyusut terhadap PR kali ini. Kalau menurut kajian sebuah NGO  pada PRU ke 12 lalu lonjakkan pengundi India terhadap PR mengatasi kaum-kaum  lain iaitu mencecah 89.6% lantaran sentimen anti BN yang kuat ketika itu.  HINDRAF berjaya mencelikkan pengundi India secara meluas, selain kebebalan MB Selangor  Khir Toyo dalam merobohkan sebuah Kuil Hindu di Selangor menjelang Deepavali.   Menggunakan "benchmark" Kit Siang di Gelang Patah, kem  mereka di sana menjangkakan sekadar 40% pengundi India akan undi Kit Siang. Ia  suatu penurunan besar berdasarkan angka PRU 12 di atas iaitu kemerosotan 49.6%.  Adakah pengundi India telah kembali ke BN?   Bagaimana pula dengan pengundi Melayu?   Hujan ribut bantuan demi bantuan, BRIM demi BRIM selain angin  patriotisma yang bertiup dari insiden di bumi Sabah selain isu-isu kecil lain  dijangka banyak mempengaruhi sentimen pengundi Melayu, tetapi mungkin tidak  menyeluruh, namun jika tidak dikawal dan dirawat mungkin boleh menjejaskan  harapan PR khasnya beberapa calon PKR dan sebahagian besar calon-calon PAS.   Pada PRU ke 12 lalu secara purata PR dianggarkan menerima  45.6% sokongan pengundi Melayu. Dalam PR Kecil Parlimen Bukit Gantang, PR yang  diwakili calon PAS mengaut 43% undi Melayu dan angka ini dijangka lebih  mengecil hari ini.  Kembali kepada "benchmark" Gelang Patah tadi, kem DAP  menjangkakan Kit Siang mampu memungut 15% undi Melayu……..angka konservatif ini  menunjukkan penurunan yang besar. Mungkin dengan formula 80+40+15 Kit Siang  boleh menang di Gelang Patah tetapi bagaimana dengan kerusi-kerusi lain yang PR  tandingi. Bolehkah formula yang sama digunakan?   Di Parlimen Kuala Selangor contohnya peratus pengundi adalah  seperti berikut Melayu 60.96% Cina 15.64% India 23.30% (angka PRU 12). Jika  formula Gelang Patah digunakan, calon PAS akan tewas di sini. Ini memandangkan  kerusi ini adalah antara salah sebuah kerusi yang mempunyai pengundi India  terbanyak selain Parlimen Kota Raja 28.27% (angka PRU 12).  Namun sentimen di Gelang Patah mungkin berbeza dengan di  Selangor kerana di Selangor rekod kerajaan negeri PR mungkin membantu.   Walaubagaimanapun kecenderungan pengundi Melayu dan India  sangat penting dan kritikal buat PR khasnya PAS samada untuk bertahan di  Selangor dan untuk mencapai kemenangan di tempat-tempat lain.   Pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham contohnya dalam Malay Mail  3 April lalu menyatakan bahawa PR mampu kembali memerintah di Perak dengan  syarat memperolehi 50% sokongan pengundi Melayu disamping 50% sokongan pengundi  India. PAS Perak (The Edge 29 Mac) pula yakin BN tumbang di Perak sekiranya PAS  dapat menguasai tidak kurang dari 45% sokongan pengundi Melayu.   Manakala di Johor pula PAS Johor semasa mengumumkan senarai  calon-calon menyatakan bahawa 38% sokongan pengundi Melayu dan 50% pengundi  India dapat menumbang BN di Johor.  PR di Perak dan Johor yakin kepada "swing" besar pengundi  Cina, mungkin sebagaimana Kit Siang di Gelang Patah iaitu sehingga 80%.   Kesimpulannya semua pihak khasnya PAS perlu bekerja keras  memenangi hati pengundi Melayu begitu juga rakan-rakan lain dalam menambat hati  pengundi India. Pengundi Cina nampaknya telah membuat keputusan. Jangan pula  kerana senang dengan sokongan pengundi Cina tumpuan terhadap pengundi Melayu  dikesampingkan.Jika di awal-awal penubuhannya dari Pilihanraya Persekutuan 1955 sehinggalah PRU I 1959 dan berikutnya, PAS bergantung kepada undi Melayu, kini nampaknya PAS boleh meningkatkan pencapaiannya dengan syarat pengundi tradisinya, iaitu Melayu, yakin dan menyokongnya.   Tiada orag yang lebih mengenali hati dan isi perut pengundi  Melayu selain orang PAS sendiri. Berhati-hatilah, pujuk dan belai mereka, jangan  diluka hati mereka ketika ini, jangan diperkecilkan mereka, kekuatan Islam yang  ada dalam tangan perlu digunakan sepenuhnya untuk meyakinkan mereka. Pengundi  Cina tetap bersama PR, jika hati pengundi Melayu berjaya ditawan tidak mustahil  suatu perubahan besar bakal tercatat dalam PRU ke 13 ini.    |   
| You are subscribed to email updates from Roslan SMS Corner   To stop receiving these emails, you may unsubscribe now.  |   Email delivery powered by Google | 
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan