MIMPI SENJA |
- Najib bubar parlimen kerana desakan dalaman
- PARLIMEN BUBAR
- Hassnar Ibrahim (bekas DO Sandakan - yang kaitkan Mahathir dengan projek IC) dilapurkan hilang
- [Video] JMR DSAI @ Beserah, Kuantan 30/3/13
- Polis: Pengganas Kiram menyamar jadi orang kampung
Najib bubar parlimen kerana desakan dalaman Posted: 02 Apr 2013 10:12 PM PDT KUALA LUMPUR: PAS percaya pengumuman pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini dibuat selepas beliau mendapat tekanan hebat dari pihak dalam Umno BN sendiri. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Najib sebenarnya tidak berhasrat untuk membuat pembubaran parlimen awal namun kerana ada desakan dan beberapa faktor yang dilihat 'sesuai' untuk pembubaran, maka pembubaran akhirnya dibuat hari ini. "Saya mendapat info sebenarnya Njib tak berhasrat untuk membubarkan parlimen awal. Tapi sebab dia dapat desakan dari dalam dan dia melihat seolah-olah ada sedikit kekecohan dalam Pakatan Rakyat soal pembahagian kerusi. "Jadi dia menggunakan kesempatan ini untuk membubarkan parlimen," katanya yang dihubungi Harakahdaily. Mengulas lanjut, Mustafa berkata, jika Najib membubarkan parlimen atas maklumat bahawa hubungan Pakatan Rakyat 'retak' ekoran pembahagian kerusi, telahan Najib tersebut ternyata silap. "Tapi sebenarnya Najib silap kerana soal pembahagian kerusi Pakatan dah selesaikan awal. "Kerjasama pakatan kekal malah semakin utuh dan kita dapat selesaikan pembahagian kerusi secara cepat," katanya lagi. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman pembubaran parlimen oleh Najib yang disiarkan secara langsung jam 11.30 pagi ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Dengan pembubaran tersebut juga, Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya. Semalam, Mustafa membayangkan kemungkinan PRI13 hanya akan berlaku selewat-lewatnya akhir Mei memandangkan Najib dilihat tidak bersedia. Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan semua parti khususnya BN supaya dapat bertanding secara gentleman, bersih, dan tidak melakukan perkara-perkara yang menyalahi prinsip pilihan raya. "PAS harap pimpinan-pimpinan BN dapat bertindak scara gentlemanlah. "Kepada semua ahli, kita bersiap sedia menghadapi PRU semaksima mungikin untuk memenangkan PAS dan Pakatan," katanya. |
Posted: 02 Apr 2013 09:06 PM PDT KUALA LUMPUR, 3 April — Dewan Rakyat telah sah dibubarkan, pembubaran tersebut baru sahaja diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi dalam penampilan secara langsung melalui stesen televisyen nasional sekaligus memberikan laluan untuk pilihan raya umum (PRU) ke-13 diadakan. The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya umum bakal diadakan selewat-lewatnya 20 April ataupun seminggu selepas itu pada 27 April, bergantung kepada kesediaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Perdana menteri mengatakan telah bertemu Yang Di-Pertuan Agong pagi ini dan mendapat perkenan Tuanku untuk membubarkan Parlimen. Difahamkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) juga akan dibubar hari ini dan esok untuk memberi laluan kepada PRU. DUN Negeri Sembilan telahpun terbubar secara automatik pada 27 Mac lalu manakala Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada April 2011. Pilihan raya terakhir yang berlangsung di dalam negara adalah pada 8 Mac 2008, namun Najib yang memegang tampuk pemerintahan empat tahun lalu telah mengambil masa agak lama untuk membubar Parlimen kali ini. "Jika saya perdana menteri, saya sudah pun mengadakan pilihan raya tahun lepas. Semua penantian ini... sebulan, dua bulan, tiga bulan... ia tidak akan berakhir," kata mentor Najib dan juga bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sidang media pada 27 Mac lalu. Najib merupakan perdana menteri paling lama tanpa mandat sendiri daripada rakyat, mengatasi bapanya Tun Abdul Razak Hussein yang berkhidmat sebagai perdana menteri Malaysia kedua daripada 22 September 1970 hingga hari pilihan raya pada 24 Ogos 1974. SPR akan bertemu dalam beberapa hari lagi untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari bermula dengan notis pembubaran disetiap DUN yang masih belum dibubarkan. Ahli politik daripada parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) akan bertarung untuk merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN pada Pilihan Raya 2013, The Malaysian Insider difahamkan ia bakal berlangsung dalam tempoh sebulan ini. Sumber juga mendedahan akan terdapat ramai muka baru walaupun Najib selaku pengerusi BN turut dijangka akan mengekalkan beberapa pemimpin veteran untuk kesinambungan, terutamanya mereka memperoleh markah tinggi dalam kad laporan tahunan kerajaan yang telah diumumkannya pada 19 Mac. Pemimpin negara berusia 59 tahun tersebut yang mana penilaian kelulusan peribadi kekal melebihi 65 peratus telah menjelajah ke seluruh negara sejak beberapa bulan ini bagi melonjakkan sokongan kepada beliau dan BN pada pilihan raya kali ini. Beliau juga melaungkan kejayaan program transformasi kerajaan sejak tiga tahun lalu dan memberikan pemberian wang tunai kepada semua demografik dalam pelbagai bentuk skim bertujuan untuk membantu lima juta keluarga yang berhadapan dengan impak ekonomi global. Langkah tersebut telah dikritik sebagai langkah untuk memancing pengundi pada pilihan raya umum yang bakal menjelang, termasuklah kenyataan kontroversi Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakannya sebagai memberikan makan kepada haiwan untuk mendapatkan sokongan. Penganalisis menekankan inisiatif dibawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah menyumbang kepada perkembangan KDNK negara 6.4 peratus dari setahun ke setahun dalam suku keempat tahun lepas. Seramai 13.3 juta pengundi, termasuk 3,000 yang menetap di luar negara telah mendaftarkan diri sebagai pengundi pada pilihan raya kali ini yang dilihat paling sengit dan penting untuk seluruh rakyat Malaysia. Pegawai rasmi kerajaan menjangka kerajaan sedia ada akan mendapat majoriti tradisi dua pertiga mereka dengan memenangi sekurang-kurangnya 160 kerusi walaupun pada masa sama juga PR yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim juga yakin untuk menang. Kajian bebas menunjukkan BN mungkin boleh memenangi pilihan raya tetapi tipis dengan memperoleh 117 kerusi berbanding PR dengan 105 kerusi sahaja. |
Hassnar Ibrahim (bekas DO Sandakan - yang kaitkan Mahathir dengan projek IC) dilapurkan hilang Posted: 02 Apr 2013 04:12 AM PDT Hassnar Ibrahim (bekas DO Sandakan) merupakan individu yang bertanggungjawab mendedahkan perihal projek IC dan rusuhan di Sabah angkara Tun Mahathir, telah hilang dan tidak dapat dikesan. Beliau bersama isterinya telah menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur pada hari Ahad dan kemudian langsung tidak dapat dihubungi lebih dari tempoh 24 jam. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan Hassnar dan isteri di atas situasi ini. Kedudukan Pak Hassnar mungkin berbahaya kepada pihak tertentu kerana pendedahan sensasi yang dilakukan khususnya memetik Tun Mahathir sebagai dalang pemberian IC kepada warga asing di Sabah yang menjurus kepada berlakunya pencerobohan Lahad Datu. Berikutan itu, satu laporan polis dibuat SAMM di Balai Polis Jalan Pantai Baharu petang tadi. Edy Noor Reduan Solidariti Anak Muda Malaysia Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=48994 |
[Video] JMR DSAI @ Beserah, Kuantan 30/3/13 Posted: 01 Apr 2013 08:49 PM PDT |
Polis: Pengganas Kiram menyamar jadi orang kampung Posted: 01 Apr 2013 07:27 PM PDT 2 April 2013 LAHAD DATU - Polis tidak menolak kemungkinan ada pengganas Kiram yang menyamar sebagai orang kampung untuk melarikan diri dari kawasan pertempuran. Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rashid berkata, polis meminta kerjasama penduduk supaya segera melaporkan kepada mereka jika terlihat orang yang tidak dikenali berada di kawasan kampung. Menurutnya, ini secara langsung memudahkan pihak berkuasa melumpuhkan kegiatan pengganas Kiram yang menceroboh negara ini sejak 12 Februari lalu. "Saya mengharapkan supaya penduduk kampung dapat memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa supaya keamanan di kawasan pertempuran dapat dipulihkan segera," katanya kepada Sinar Harian ketika meninjau keadaan Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian selepas penduduk dibenarkan pulang, semalam. Mengulas mengenai gerakan ofensif ke atas pengganas Kiram, Salleh berkata, pasukan keselamatan kini sedang melakukan gerakan pembersihan di kawasan Kampung Sungai Bilis, Lok Buani dan Lok Semawang. "Kita menjangkakan tindakan ini (pembersihan) akan mengambil masa dalam satu atau dua hari lagi sebelum kita isytiharkan kawasan tersebut selamat untuk diduduki," katanya. Beliau berkata, Majlis Daerah Lahad Datu juga sudah diarahkan untuk melakukan pemeriksaan di setiap rumah bagi menilai tahap kerosakan dan kemusnahan yang ditanggung penduduk sebelum sebarang bentuk tindakan dapat dilakukan kerajaan. Mengulas mengenai penemuan peluru atau bahan letupan yang masih aktif, Salleh meminta orang ramai segera melaporkannya kepada pasukan keselamatan yang bertugas di lokasi. Beliau juga meminta orang kampung jangan mengambil atau membiarkan kanak-kanak bermain bahan letupan itu kerana bimbang berlaku kemalangan termasuk kehilangan nyawa. |
You are subscribed to email updates from MIMPI SENJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan