Jumaat, 12 April 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Tema Manifesto BN Jadi Bahan Khutbah Hari Ini

Posted: 12 Apr 2013 06:21 AM PDT



[MK] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menggunakan tajuk khutbah Jumaat yang sama dengan tema manifesto BN yang dilancarkan Datuk Seri Najib Razak pada 6 April lalu, iaitu "Menepati Janji, Membawa Harapan".

Malah kandungan khutbah untuk masjid-masjid di Wilayah Persekutuan itu mempunyai nada hampir sama dengan retorik pilihan raya BN, termasuk penegasan mentaati pemerintah dan bersyukur atas "kebijaksanaan pemerintah dalam melaksanakan tanggungjawab".

"Percayalah, ketaatan kepada pemerintah negara hari ini yang terbukti sentiasa mempertahankan agama Islam terutamanya dalam isu kalimah Allah dan berjaya membela nasib rakyat sangatlah dituntut," kandungan khutbah itu dipetik.

BN sebelum ini mengkritik keras pendirian Pakatan Rakyat yang lunak terhadap penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu di negeri ini.

Sementara itu, mimbar Jumaat juga turut memuji "kebijaksanaan pemerintah" yang menurutnya melaksanakan tanggungjawab berteraskan prinsip maqasid al-Syariah (tujuan-tujuan syariah).

"Lihat dan pertahankanlah apa yang telah dilaksanakan oleh pemerintah negara hari ini demi menjaga kesucian agama, nyawa, akal, maruah, keturunan dan juga harta. Semuanya berasaskan kepada kepentingan rakyat dan negara.

"Justeru sebagai rakyat yang bijaksana, kita hendaklah bersyukur di atas segala nikmat ini dan menghargai pihak pemerintah dan bandingkanlah keadaan kita dengan umat Islam di negara-negara jiran," menurut khutbah Jakim lagi.

Justeru, mimbar menyimpulkan, menjadi tanggungjawab semua pihak "mempertahankannya" dan tidak dipengaruhi emosi dalam membuat keputusan - gesaan yang dilihat merujuk kepada pengundian 5 Mei ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada 14 Julai tahun lalu dilaporkan berkata, perjuangan kerajaan persekutuan berteraskan konsep Maqasid Al-Shariah, iaitu memelihara dan memperkasakan Islam, dalam masa yang sama memelihara jiwa serta menghormati hak asasi.

Sebagai menghormati hak asasi rakyat Malaysia, katanya lagi, kerajaan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang dipertikaikan pembangkang dan aktivis NGO sejak sekian lama.

Jakim sebelum ini beberapa kali mengeluarkan khutbah menyentuh isu-isu semasa, yang dilihat senada dengan pendirian BN, seperti dalam isu insiden menghina gambar Najib, isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan khutbah anti-BERSIH.




[Video] Respons TG Haji Hadi Awang tentang Video Fitnah Mustafa Ali

Posted: 12 Apr 2013 05:59 AM PDT




Hadi: Video seks kaitkan pemimpin Pas fitnah

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

[SH] KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap penyebaran gambar dan DVD lucah yang dikaitkan dengan pemimpin kanan parti itu sebagai fitnah dan bukan masalah besar kepada Pas.

Beliau berkata perkara itu tidak serius dan pemimpin kanan Pas yang dianggap mangsa fitnah itu tidak perlu memberi penjelasan kepada parti kerana banyak lagi perkara lain yang perlu dibuat ketika ini.

"Kita (Pas) anggap itu satu fitnah...lagi lama dia siar, lagi pahala banyak dapat kepada dia (pemimpin itu). Kita yakin benda itu tidak benar dan dia siar, dia berdosa, biarlah dia siar lagi luas lagi banyak dapat pahala," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rusila hari ini.

Abdul Hadi berkata beliau hairan kenapa pemimpin terbabit menjadi mangsa kerana beliau bukanlah calon Pas untuk bertanding mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.

Katanya, Pas berserah kepada Tuhan untuk memberikan petunjuk dan setakat ini, beliau tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang bertanggungjawab membuat fitnah itu.

Semalam di Kampung Alor Lintang Besut, polis dilaporkan menemui 16 bungkusan yang mengandungi gambar dan DVD lucah dipercayai melibatkan seorang pemimpin kanan Pas. 


Berita Lain:

Hadi Nafi Haron Din Tinggalkan Pas

[Bernama] MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menafikan khabar angin kononnya Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din telah keluar Pas.

Beliau sebaliknya menegaskan veteran parti itu akan bertanding di kerusi Parlimen Arau, Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini.

Hadi berkata demikian ketika ditemui pemberita di Rusila, Marang di sini, berhubung khabar angin itu. 


Respons Datuk Mustafa Ali tentang Video Lucah yang Disebar Lahanat Politik

Posted: 12 Apr 2013 01:28 AM PDT



Saya tidak mahu jawab, serah kepada peguam - Mustafa

[HD] KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau tidak akan menjawab sebarang pertanyaan mengenai video lucah yang diedarkan.

Dalam satu kenyataan ringkasnya kepada Harakahdaily, Mustafa berkata, "Semuanya saya telah serahkan kepada peguam saya melalui Awi & Co untuk uruskan."

Beliau dipercayai merujuk kepada video lucah yang disebarkan melalui beberapa blog Umno sejak lewat petang semalam.

Ulasan dalam blog itu mengatakan, kononnya ia dibuat oleh rakan PAS dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR.

Ada juga blog Umno yang menulis ia dibuat oleh golongan parasit dalam PAS yang tidak senang dengan Mustafa.

Mustafa adalah mangsa yang kesekian kalinya politik buruk Umno dalam membunuh musuh politik mereka selepas kelihatan tersepit.

Kajian poll yang dibuat oleh akhbar Sinar Harian online menunjukkan, manifesto yang mereka keluarkan ditolak rakyat Malaysia apabila hanya 19 peratus menyokong manifesto BN dan 81 peratus lagi menyokong menifesto Pakatan.

Kesal dengan politik perkauman dan buruk Umno, Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek telah mengumumkan tidak bertanding dalam pilihan raya ini, satu sejarah baru dalam politik Malaysia apabila presiden parti komponen BN tidak mahu bertanding.

Bimbang dengan sokongan pengundi Cina, Tan Sri Muhyidin Yasin telah memaksa semua guru besar dan guru-guru sekolah Cina dari seluruh negara menyertai perhimpunan bersamanya di Johor 16 April ini.

Dalam suasana tertekan inilah video lucah dikeluarkan lagi oleh BN untuk menekan Pakatan Rakyat.

Kali ini mereka cuba menundingkan jarinya kepada rakan PAS iaitu PKR untuk melaga-lagakan kedua-dua parti itu.

Berikut adalah kenyataan ringkas Mustafa.


KENYATAAN MEDIA

Saya tidak akan menjawab sebarang petanyaan mengenai isu yang diperkatakan. Semuanya saya telah serahkan kepada peguam saya melalui Awi & Co untuk uruskan.


Datuk Mustafa Ali
Setiausaha Agung.

529280_272010659600958_205605795_n


Video Seks Pemimpin PAS Pula Disebarkan Oleh Pihak Terdesak

Posted: 11 Apr 2013 08:26 PM PDT

 
 
[MK] ULASAN Sekarang tiba giliran pemimpin PAS pula dijadikan sasaran serangan video seks.

Sebelumnya PKR memberi amaran akan muncul serangan politik berbentuk aksi lucah dua video berasingan melibatkan dua pemimpin kanan parti itu, seorang menteri besar dan seorang lagi naib presiden.

Tidak lama sebelum pilihan raya umum 2008, aksi lucah tokoh MCA menjadi perbualan. Dr Chua Soi Lek kemudiannya mengaku dan meletakkan jawatan daripada kabinet.

Sembilan hari sebelum penamaan calon bagi pilihan raya umum 5 Mei ini, tiada sesiapa menduga PAS pula menjadi sasarannya.

Foto wajah seseorang yang kelihatan seperti tokoh utama parti itu yang berbogel dikatakan mengadakan hubungan seks di sebuah bilik.

Desas-desus ini tersebar awal malam tadi dan diberitakan di laman web The Star Online menjelang tengah malam.

Sementara Malaysiakini difahamkan tentang kewujudan imej ini sekitar 8 malam tetapi mengambil keputusan tidak melaporkan sehingga mendapat ulasan tuan punya badan.

Sementara dunia blog, khususnya yang pro-Umno, dengan tangkas menyebarkan imej-imej video tersebut bersama sejumlah maklumat yang mengejutkan.

Wanita dibayar oleh PKR?
Kononnya, menurut blog-blog tersebut, wanita yang berasmara dengan tokoh PAS itu telah dibayar oleh PKR untuk memerangkap pemimpin berkenaan.

Kononnya lagi, dua pemimpin Pemuda PKR berjaya ditahan dan disiasat berhubung pengedaran video lucah ini di Besut, Terengganu semalam.

Lebih memeranjatkan, sekonyong-konyongnya menurut blog lagi, dalam satu rondaan polis pada 7.45 pagi semalam, pihak berwajib telah menemui "16 sampul surat berwarna putih dan setiap sampul mengandungi sekeping cakera padat video gambar lucah" di satu kawasan perumahan di Kampung Alor Lintang.

Sama ada sahih atau tidak, blog menyebut: suspek ahli PKR Kuala Terengganu telah mengedar salinan video tersebut, lebih kurang 11 minit 25 saat.

Video itu memaparkan seorang perempuan, kata blog lagi, disyaki bukan warganegara melakukan hubungan seks dengan tokoh berkenaan.

Jadi, berbeza kes video lucah mantan menteri kesihatan, sensasi terbaru ini mempunyai dimensi politik konspirasi dalam Pakatan Rakyat.

Alasannya, menurut blog pro-Umno lagi, tokoh PAS itu cuba membawa masuk mantan pemimpin kanan yang telah terpinggir dan seorang tokoh parti yang telah dipecat.

Oleh kerana tidak suka dengan langkah tokoh PAS berkenaan, maka dirancanglah satu "perangkap seks" sedemikian rupa!

Yakinkan penyokong totok Umno
Persoalan yang muncul: kenapa perlu video lucah itu diedar di Besut, sebuah kawasan parlimen yang dikenali kubu kuat Umno?

(Atau, dua pemimpin muda PKR itu memang berasal dari daerah Besut?)

Jika begitulah hasratnya, untuk apa lagi diyakinkan kepada penyokong totok Umno bahawa pemimpin PAS memang tidak guna?

Apakah tidak cukup selama berdekad-dekad serangan Umno terhadap PAS di negeri penyu itu?

Kerusi parlimen itu atau Terengganu umumnya tidak pernah dikhabarkan akan bergoncang pada pilihan raya 5 Mei nanti -- tidak seperti Negeri Sembilan, Kedah, Johor atau Perak.

Kenapa tidak diedarkan di Marang, kerusi presiden PAS Abdul Hadi Awang atau Kuala Terengganu yang bakal ditandingi seorang arkitek terkenal dan kerabat diraja?

Jika serangan video itu dilancarkan oleh PKR dengan gaya baling batu sembunyi tangan, kenapa tidak ia disebarkan sahaja melalui Internet, media berpengaruh yang dikuasai sebaik-baiknya oleh parti itu?

Bukankah Internet sudah menjadi sarang bahan-bahan porno yang boleh dijadikan saluran sebaran dengan murah tetapi sasarannya ribuan, malah jutaan, penyokong PAS?

Jika pengundi meragui kesucian pemimpin-pemimpin PAS, apakah kesannya kepada Pakatan Rakyat yang ingin merampas Putrajaya? Tidakkah menyerang PAS bererti juga menghakis peluang pembangkang menambah undi?

Walaupun ia tidak mustahil, dan sekalipun video itu benar, bagaimana mungkin PKR merancang menggoda tokoh PAS itu dan kemudiannya merakam pula aksi ranjangnya?

Jika ia benar, tentulah ia diusahakan oleh unit perang saraf terbaik PKR sehingga tidak terbocor kepada sesiapa -- daripada mengupah wanita itu, kemudian menggoda tokoh politik berkenaan dan kemudian lagi memasang kamera di bilik tidur.

Jika wujud unit terhebat itu, kenapa pula unit itu tidak berjaya mengedarkannya dengan senyap-senyap tanpa dengan mudah diketahui umum dan ditangkap polis?

Jika benarlah laporan polis mengesyaki wanita itu bukan warganegara ini, bagaimana pula blog pro-Umno dengan mudah mendapat pengakuannya?

Sejak bila pula polis atau penulis pro-Umno menemui wanita itu dan mengambil keterangannya?

Dan bagaimana pula unit terbaik PKR itu gagal menyembunyikan wanita upahannya agar tidak dicekup oleh pihak berwajib atau musuh-musuh politiknya seperti BN atau Umno?

Pendek kata, skrip video lucah pemimpin Pakatan -- sekalipun benar-benar wujud -- tunggang-langgang dan boleh menjadikan orang ramai cukup meluat dan menentang BN habis-habisan pada Ahad, 5 Mei nanti.


FATHI ARIS OMAR seorang editor kanan di Malaysiakini.

Bukan Bekas MB Perak, Bekas MB Selangor yang Bakal Sertai PAS?

Posted: 11 Apr 2013 08:21 PM PDT


[SH] SHAH ALAM –  Spekulasi bekas menteri besar yang didakwa akan menyertai Pas dalam waktu terdekat sebagaimana didedah Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin kelmarin kemungkinan besar adalah bekas Menteri Besar Selangor.

Sumber Pas membayangkan bekas Menteri Besar Selangor , Tan Sri Muhammad Muhammad Taib adalah individu yang dimaksudkan itu diperkuatkan dengan kenyataan dua pemimpin tertinggi Pas Selangor yang tidak menafikan kemungkinan perkara itu berlaku.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan bekas Menteri Besar Selangor yang lebih mesra dipanggil Mat Taib itu akan menyertai Pas dalam masa terdekat berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Timbalan Pesuruhjaya Pas  III Selangor, Khalid Samad.

"Beliau (Mat Taib) tidak ada hubungi saya. Saya tidak dapat mengesahkan perkara ini.

"Saya difahamkan, beberapa pegawai kanan Mat Taib ada menghubungi Khalid malah pegawai- pegawainya juga telah mengisi borang keahlian Pas seumur hidup," katanya.

Muhammad menjadi menteri besar Selangor dari 1986 hingga 1997.

Dr Rani berkata, beliau hanya mengetahui perkara tersebut setelah diberitahu oleh Khalid sewaktu makan selepas mesyuarat ahli jawatan kuasa Pas Pusat, Selasa lalu.



Wow, Polis Dubai Guna Kereta Peronda Lamborghini!

Posted: 11 Apr 2013 05:34 PM PDT



[Kosmo] DUBAI - Polis Dubai di Emiriah Arab Bersatu menggunakan sebuah kereta Lamborghini Aventador yang berharga hampir AS$550,000 (RM1.66 juta), lapor agensi berita AP semalam.

Kereta sport buatan Itali itu yang boleh mencecah kelajuan sehingga 349 kilometer sejam dicat dengan warna hijau dan putih.

Harga petrol di Dubai adalah lebih murah berbanding harga minuman.

Kelmarin, ibu pejabat polis Dubai menyiarkan gambar kereta tersebut di depan pusat beli-belah terbesar di dunia, Dubai Mall.

Pihak berkuasa di negara ini berdepan masalah kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian disebabkan kenderaan dipandu laju.

Menurut laporan media tempatan, seramai 33 orang mati akibat nahas jalan raya di Dubai dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Kereta sport itu juga digunakan polis Itali, Panama dan United Kingdom. - Agensi

Tiada ulasan: