Isnin, 29 April 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


BR1M (RM500 – RM1200) Lebih Baik Daripada Turun Harga Minyak (RM1.50)? Apa Pilihan Anda?

Posted: 29 Apr 2013 05:37 AM PDT

Staff Berita Semasa

BR1M VS Turun Harga Minyak

Sebelum ini, Berita Semasa pernah mengeluarkan laporan berita yang mana Pakatan Rakyat akan menurunkan harga minyak sekitar RM1.50 (DI SINI), itupun jika rakyat Malaysia memberikan mandat kepada mereka pada Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) kelak. Walaubagaimanapun……

Datuk Najib melalui ucapan terbarunya menemplak tindakan Pakatan Rakyat yang mahu turunkan harga minyak kerana beliau merasakan pemberian BR1M 1.0 dan BR1M 2.0 seperti yang dilakukan kerajaan piminannya sekarang lebih baik dan bagus berbanding dasar Pakatan Rakyat.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jika dibuat perbandingan antara janji pembangkang yang mahu kurangkan harga minyak dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) – bantuan yang diberikan kerajaan itu lebih baik dan menguntungkan rakyat.
"Kita kurangkan (harga) minyak siapa untung? Orang kaya yang untung. Orang kaya yang bawa kereta besar pun untung. Pekerja asing pun untung.
"Bila kita bagi BR1M siapa untung? Rakyat yang untung. Sekarang ini kita dapat lima keping. Ada yang ketaq lutut orang Kedah kata.
"Bila dapat BR1M bukan sahaja rakyat untung tapi pekedai untung, peniaga pasar tani, pasar minggu pun untung.
"Ekonomi semakin berkembang," katanya yang disambut sorakan oleh kira-kira 1,000 hadirin.
Alasan yang digunakan Datuk Seri Najib adalah, BR1M lebih menguntungkan rakyat. Manakala tindakan menurunkan harga minyak yang disubsidi, dikatakan tidak menguntungkan rakyat oleh kerana orang kaya dan pekerja asing juga akan dapat menikmati minyak subsidi ini.

Hakikatnya, menurunkan harga minyak memberikan kesan domino terhadap kebanyakan sektor dan ianya melibatkan banyak rantaian ekonomi dan juga rakyat malaysia secara amnya.

Berita Semasa sedar, paras harga minyak ketika ini sememangnya membebankan ini kerana kami sendiri sebagai pengguna harian minyak petrol RON95 juga. Harga minyak yang tinggi, akan menaikkan kos pengangkutan dan seterusnya berkemungkinan, harga barang juga akan turut sama terkesan dan meningkat.

Kenaikan Harga Barang 2013 

Jika sekiranya harga minyak dapat diturunkan, ia memberi kelegaan kepada rakyat. Manakala kos pengangkutan juga akan menjadi murah dan berkemungkinan harga barang juga dapat diturunkan.

Sekurang-kurangnya, jikalau harga barang tidak juga turun walaupun harga minyak sudah diturunkan, peniaga tidak mempunyai apa-apa alasan untuk terus menaikkan harga barang sesuka hati daripada masa ke semasa dibandingkan dengan suasana sekarang.

Kami tidak menidakkan terus pemberian BR1M ini juga ada bagusnya. Tetapi adakah ianya memberikan kesan yang besar kepada ekonomi secara keseluruhan? Pendapat kami, pemberian BR1M ini hanya sesuatu bersifat jangka pendek dan bersifat berkelompok. Melainkan bantuan BR1M ini diberikan secara bulanan. Tetapi ia tidak berlaku….
  • Pemberian BR1M 1.0 & BR1M 2.0 : RM5.6 bilion (Barisan Nasional) (DI SINI)
  •  Jumlah subsidi tambahan untuk harga minyak menjadi (RM1.50) adalah berjumlah RM6.8 bilion setahun (Pakatan Rakyat)
Bagaimana pula nasib miskin bandar yang berpendapatan lebih sedikit sahaja RM3000 yang tidak layak menerima BR1M? Adakah mereka ini turut rakyat Malaysia juga? tetapi malangnya mereka tidak layak merasai sendiri kemeriahan BR1M 2.0.
  • Realitinya sekarang ini kalangan menteri menikmati tol percuma dan dapat mengisi minyak dapat memikirkan kos bahanapi yang digunakan mereka hasil wang rakyat malaysia
  • Sedangkan, hakikatnya rakyat Malaysia yang acapkali berhadapan dengan bebanan kos sara hidup baik di kawasan bandar atauoun di luar bandar
Sebenarnya, Berita Semasa boleh terima pendapat sekiranya harga minyak tidak diturunkan kerana atas alasan kos subsidi akan meningkat atau menyebabkan peningkatan penggunaan stok minyak negara. Tetapi, kalau dibandingkan dengan BR1M? Hmmm….membuatkan kami berfikir dua kali.
  • Wang tunai sifatnya sementara & kepuasan jangka pendek berbanding penurunan petrol yang sifatnya kekal yang dikatakan menyeluruh mendapat tempiasnya termasuk kos pengangkutan bahan-bahan makanan, kos pengangkutan awam,
  • Kalangan yang memiliki gaji lebih sedikit daripada RM3,000 tetapi dalam pada masa yang sama tolak duit rumah, kereta, pinjaman PTPTN, pendidikan anak-anak seramai 3-4 orang, duit minyak, duit tol, berapa banyak yang tinggal pada setiap hujung bulan?
  • Tetapi dalam pada masa yang sama mereka tidak layak menerima BR1M?
  • Apakah rakyat Malaysia yang berpendapatan RM3010 sebulan hidupnya cukup mewah & kaya dibandingkan dengan yang berpendapatan RM3000 + menikmati BR1M RM500?
Ya…kami bersetuju dengan pendapat turun harga minyak memang tidak semestinya menyebabkan harga barang turun. Benar! Tetapi…
  • Sekurang-kurangnya jika harga barang tidak turun ketara sekalipun, dan dalam pada masa yang sama tiada alasan harga barang untuk dinaikkan sesuka hati.
  • Sekurang-kurangnya kos penggunaan minyak seharian berkurang yang mana ramai golongan pertengahan menikmati tempiasnya
Harga Minyak TURUN VS BR1M 

Berita Semasa perhatikan golongan pertengahan kurang mendapat perhatian daripada pihak kerajaan sedangkan golongan inilah yang banyak menggerakkan ekonomi negara ketika ini. Adakah di Malaysia sekarang ini hanya ada 2 golongan sahaja, iaitu golongan kaya dan miskin sahaja sehingga terlupa kewujudan golongan pertengahan dan hakikatnya golongan inilah yang paling ramai di Malaysia yang rata-ratanya adalah penyumbang cukai kepada negara?

Daripada sudut ekonomi, pemberian BR1M ini telah menyebabkan lambakan tunai untuk tempoh yang sementara dalam ekonomi.
  • Apabila terlalu banyak tunai, bermaksud permintaan untuk beli barang akan turut naik
  • Harga barang akan kekal setelah naik, tetapi apabila tunai di pasaran ekonomi telah mulai berkurang
  • Apa ajdi kepada rakyat selepas itu?
Ya, masalah utama yang memuncak hari ini adalah nilai pendapatan bersih rakyat.

Kesan BR1M RM500 – RM1200 VS Harga Minyak Turun RM1.50?

Apakah kesan Bantuan BR1M?
  • Rakyat dapat duit one-off RM500-RM1200, mereka yang berpendapatan RM3000 ke bawah.
  • Rakyat dapat berbelanja, beli barang atau bayar hutang dengan duit tersebut
  • Ada lagi daripada anda sendiri?
Kesan kepada ekonomi, hutang negara bertambah dan harga barang akan meningkat disebabkan peningkatan permintaan dan spekulasi, pengurangan bban kos sara hidup akan mulai terasa kembali apabila duit telah habis dibelanjakan.

Apakah kesan Penurunan Harga Petrol?
  • Semua lapisan masyarakat dapat jimat duit minyak sebanyak 21% sebulan (RM0.40/RM1.90 x 100%) tidak kira kepada golongan pertengahan, rakyat miskin
  • Penggunaan kos bahanapi terhadap pengangkutan awam, pemborong kalangan perniaga
  • Produktiviti bertambah kerana kos bahan api telah dijimatkan, contohnya salesmen yang kerja luar, sudah jimat duit minyak.
  • Ada yang anda mahu tambah?
Kesan kepada ekonomi, semestinya beban hutang negara turut bertambah, produktiviti bertambah, syarikat boleh buat lebih banyak keuntungan, kos operasi pengangkutan awam dapat dijimatkan, kos operasi perniagaan juga dapat dikurangkan.

Adakah anda bersetuju dengan pendapat Mohd Najib bahawa BR1M lebih baik dari turun harga minyak? Mengapa?

[VIDEO] 15,000 Rakyat Sabah Sambut Anwar, Jalan Terpaksa Ditutup

Posted: 29 Apr 2013 05:30 AM PDT


KELAB GREENBOC

Tawau 29 April: Sambutan luar biasa rakyat Sabah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Ketua Umum KEADILAN itu tiba di Tawau semalam sangat mencemaskan Umno Barisan Nasional.

Ini berikutan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, kononnya Sabah dan Sarawak tidak mampu ditawan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei ini.

Beliau menyatakan demikian susulan lautan 20,000 rakyat membanjiri ceramah Anwar di Sarawak Jumaat lalu.

Bimbang dengan sokongan rakyat itu, Najib turut bergegas bertemu penduduk Sarawak keesokan harinya.

Bagaimanapun, usaha Najib untuk meyakinkan penduduk Malaysia Timur itu gagal apabila kedatangan Anwar ke Sabah disambut ribuan rakyat.

Dua jalan menghala ke pejabat KEADILAN Tawau, iaitu lokasi ceramah Anwar berlangsung, terpaksa ditutup untuk memberi laluan kepada 15,000 penyokong yang tidak putus-putus hadir mendengar amanat pemimpin negara paling popular ketika ini.> (Lihat kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)).

"Dengan sambutan kepada Pakatan Rakyat sebegini, Najib boleh kata; 'Saya yakin Umno Barisan Nasional boleh menang'.

"Sebab RTM, TV3 tak akan siar semua ini. Memang tak boleh pakai…Bila (kita) boleh tengok semula RTM, TV3? 6 haribulan (Mei 2013), InsyaAllah…(lepas kita menang ke Putrajaya)," kata Anwar malam tadi, disambut sorakan gemuruh rakyat di Jalan Kuhara, Taman Gek Poh, Tawau.

Sementara itu, Pengarah Program Kempen Pilihan Raya KEADILAN Tawau, Thressia M Umar menyifatkan, kehadiran ribuan rakyat adalah kerana faktor populariti Anwar sendiri, selain gerak kerja jentera yang mula berkempen tiga hari selepas Anwar mengesahkan kehadirannya.

"Datuk Seri Anwar memang popular, Perdana Menteri Najib Razak datang pun jalan tak ditutup macam sekarang.

"Generasi muda terutama yang sudah mendengar ucapan dan ceramah beliau di tempat-tempat lain menerusi internet, tapi semuanya mahu mendengar dan melihat sendiri beliau berucap," kata Thressia.

Anwar kemudiannya bergegas pulang ke Semenanjung pada jam 8 malam, untuk dua lagi siri ceramah di Setiawangsa dan Subang, malam tadi.

Sebelum itu, beliau menjelajah Gum-Gum, Sikom, Silam, Semporna dan Lahad Datu untuk menyampaikan amanat terakhir pilihan raya.

KEADILAN meletakkan Datuk Kong Hong Ming sebagai calon di Parlimen Tawau (P190).



LIHAT VIDEO DI SINI



Anwar bersama rakyat Negeri Sembilan esok, 30 April

Posted: 29 Apr 2013 05:16 AM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersama rakyat di Negeri Sembilan esok.

Program pertama yang bakal dihadiri beliau iaitu Sepetang Bersama Anwar Ibrahim bermula jam 3 petang di Pekan Tanjong Ipoh, Seri Menanti.

Bagi program kedua pula, beliau akan ke Bilik Gerakan Pakatan Rakyat (PR) Simpang Pertang, jam 4.30 petang bagi program Sepetang Bersama Anwar Ibrahim.

Seterusnya bagi program ketiga yang sama di negeri itu diadakan di Dataran Niaga, Palong 8, Gemas turut dihadiri beliau bermula jam 6 petang.

Kemudian Anwar akan menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Nurul Huda Jelai 3 jam 7.15 malam.

Sementara itu, jam 8 malam, beliau akan menghadiri Jamuan Bersama Rakyat di Bilik Gerakan PR Felda Jelai 3, Gemas.

Bagi ceramah pertama malam itu di Negeri Sembilan, beliau akan menyampaikannya di Bilik Gerakan Pakatan Rakyat Rembau, Pekan Chembong, Rembau jam 9.30 malam.

Seterusnya bagi kemuncak ceramah Perdana Pakatan Harapan Rakyat, akan diadakan di Betaria Business Centre, Jalan Datuk Siamang Gagap, Seremban jam 11 malam.

Di Perak, Pakatan melihat kemenangan dengan peningkatan sokongan Cina pedalaman

Posted: 29 Apr 2013 05:12 AM PDT

OLEH CLARA CHOOI
PENOLONG PENGARANG BERITA

 Pada Jumaat, sesi 'teh tarik' secara mengejut bersama Lim Guan Eng menarik ramai orang di Kinta Riverfront Hotel & Suites di Ipoh. – Gambar oleh Choo Choy MayIPOH — Pakatan Rakyat (PR) yakin mengambil alih Perak pada 5 Mei ini dengan peningkatan sokongan di kawasan majoriti Melayu pedalaman melalui sokongan pengundi Cina, yang kini sudah tidak keberatan untuk mengundi bukan Cina bagi mewakili mereka.

Cina merupakan minoriti di kebanyakkan kerusi pendalaman ini dimana parti PR, terutamanya parti Islam PAS, kalah dengan margin kecil dalam Pilihan Raya 2008.

Akan tetapi Setiausaha DAP Perak Ngar Kor Ming mengatakan dengan PAS, DAP dan PKR kini berkempen sebagai satu di bawah payung PR, komuniti Cina luar bandar sudah semakin selesa untuk mengundi calon Islam dari PAS atau PKR.

"Dalam tinjauan bebas terbaru kami, kami agak optimistik. Kami mempunyai kerusi yang kuat sekarang… diantara 35 dan 38. Paling baik ialah 40," katanya kepada The Malaysian Insider apabila ditemui semasa berkempen di Trong, berdekatan Taiping pada Jumaat.

Terdapat 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak. Dalam Pilihan Raya 2008, DAP, PKR dan PAS secara kolektifnya memenangi 31 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) 28.

"Di kerusi marginal seperti ini, undi bukan Melayu adalah penting," kata Nga, merujuk kepada Trong, kerusi DUN dimana PAS tewas kepada Umno dengan 916 undi dalam Pilihan Raya 2008.

Nga menambah, seperti dimana-mana di Perak, kekalahan di Trong sebahagian besarnya disebabkan oleh kekurangan sokongan Cina kepada calon PAS Norazli Musa, kerana takut dengan pendirian parti Islam itu.

Termasuk Trong, PAS juga kalah di 15 kerusi DUN dalam pilihan raya 2008, 10 kerusi dengan majoriti kecil di bawah 1,000 undi dan lima kerusi di bawah 500 undi.

Dengan situasi sebegini, Nga mengatakan sokongan Cina dari kawasan pedalaman Perak boleh meningkatkan sokongan dari komuniti itu sebanyak 10 peratus dan peralihan selebihnya memihak kepada PR 5 Mei ini.

"Di Perak, kita mendapat lebih kurang 70 peratus undi Cina sebelum ini. Jika kita boleh meningkatkan kepada 80 peratus, kita bukan sahaja boleh menubuhkan kerajaan akan tetapi boleh menubuhkan yang stabil untuk mengelakkan lompat parti," katanya.

Kerajaan PR Perak jatuh pada 2009 selepas memerintah selama 11 bulan oleh kerana tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti.

Semasa pilihan raya 2008, tiga parti tersebut menang di Perak sebahagian besarnya disebabkan oleh sokongan besar Cina, terutamanya di kerusi kawasan bandar di Lembah Kinta.

DAP telah memenangi kesemua 18 kerusi majoriti Cina yang mereka tandingi dan kalah di satu kerusi Parlimen mereka tandingi - Kampar.

Akan tetapi kali ini, bintang paling besar DAP Lim Kit Siang telah meninggalkan kerusinya di Ipoh Timur untuk bertanding di Gelang Patah sebagai strategi parti itu untuk meningkatkan kempen mereka di negeri selatan tanahair.

Terdapat ketakutan kemungkinan tindakan Kit Siang meninggalkan Ipoh Timur akan menyebabkan kemarahan penyokong yang mengundinya pada dua pilihan raya lalu akan tetapi menurut pemimpin DAP tempatan, ini tidak menjadi masalah setakat ini.

Disebalik ketiadaan Kit Siang, kata mereka, kehadiran pemimpin veteran DAP itu masih dirasai disepanjang Lembah Kinta dan sokongan Cina kepada PR berterusan kuat.

"Mereka memahami sebab mengapa beliau ke Johor. Dan sebenarnya, mereka lebih bimbang daripada bersedih.. sesetengahnya berjumpa saya untuk menyatakan kebimbangan Kit Siang mungkin kalah di Gelang Patah," kata Thomas Su yang menggantikan Lim untuk kerusi Ipoh Timur.

"Kematangan politik mereka sangat tinggi. Sambutan sangat menggalakkan walaupun kami sudah tidak lagi punyai personaliti besar bertanding di sini."

Penyandang kerusi Pasir Panji itu menambah di kebanyakkan tempat, bukan sahaja bersalaman dan sorakkan yang diterima oleh calon DAP dalam walkabout mereka, akan tetapi tepukan gemuruh.

"Respon yang menarik. Ceramah kami agak hebat juga," kata Su kepada The Malaysian Insider.
Pada Jumaat, sesi "teh tarik" secara mengejut bersama Lim Guan Eng, anak kepada Kit Siang menarik ramai orang di Kinta Riverfront Hotel & Suites di sini.

Acara tersebut yang sebenarnya bermaksud sebagai sesi minum teh bertukar menjadi ceramah waktu petang dengan ucapan dari pemimpin DAP Perak termasuk Su, penyandang kerusi Parlimen Ipoh Barat M. Kula segaran dan bekas Speaker Perak V Sivakumar, selain daripada Guan Eng sendiri.

Bilik itu penuh dengan penonton bersemangat, majoriti daripada mereka adalah Cina, manakala yang tiba terlambat beberapa minit terpaksa bersesak sehingga pintu masuk.

Penganjur hanya menjangkakan paling maksimum 400 orang akan tetapi sekurang-kurangnya 600 cuba masuk ke bilik Pusing di hotel, yang hanya mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 400.

Seorang penyelaras acara hotel memberitahu The Malaysian Insider dia tidak pernah melihat seperti rusuhan dalam apa-apa acara di hotel ini sebelum ini.

"Mereka berulang kali memberitahu kami, hanya 400 orang. Tetapi lihatlah sekarang," katanya.

Selepas kekecohan, kerusi dalam bilik Pusing itu terpaksa dikeluarkan untuk memberikan peluang lebih ramai untuk masuk.

Walaupun di luar pintu masuk, sesetengah cuba untuk mengambil gambar pemimpin apabila mereka mengambil alih mikrofon. Sesetengah mengadu kerana terlepas ucapan.

Di dalam lif hotel untuk ke lobi, hadirin yang tidak kenal antara satu sama lain bertukar maklumat mengenai ceramah seterusnya, terdapat juga menasihati sesama sendiri mengenai waktu terbaik untuk sampai bagi mengelakkan kesesakan.

Apabila ditemui di luar bilik program penyandang kerusi Canning Wong Kah Who memberitahu The Malaysian Insider acara tersebut merupakan bukti sokongan kuat masyarakat Cina terhadap PR di Ipoh.

"Kami juga tidak menjangkakan hadirin sebagini. Ia sangat menggalakkan," katanya.

Seperti Su, Wong mengatakan kekurangan nama besar di PR untuk perlawanan di Perak tidak mengurangkan sokongan kepada pembangkang, terutamanya dari pengundi Cina.

"Tidak, penyokong kami tidak meninggalkan kami. Mereka telah sangat, sangat responsif setakat ini," katanya.

Najib tolak hasil kajian Umcedel sebab memihak kepada Pakatan

Posted: 29 Apr 2013 05:09 AM PDT

Oleh Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Penolakan Datuk Seri Najib Razak terhadap kajian terbaru Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang menunjukkan beliau berada empat mata di belakang Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri disebabkan kajian itu tidak memihak kepadanya.

Saifuddin

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Najib tidak patut menolak dan memandang rendah kajian itu, sebaliknya menghormati Umcedel kerana hasil kajian badan akademi itu pada Jun 2012 juga pernah berpihak kepada BN dan beliau sendiri memuji Umcedel.

Katanya, hasil kajian terbaru Umcedel itu menunjukkan bahawa usaha berterusan KEADILAN untuk melakukan perubahan yang bermakna kepada rakyat kini hampir menjadi kenyataan.

"Ini satu kepercayaan rakyat yang mesti dipegang teguh oleh Pakatan dan kita akan terus berkempen dengan bersungguh-sungguh sehingga hari pengundian nanti," kata calon Parlimen Bandar Baharu Kulim itu pada kenyataan.

Saifuddin berkata, tuduhan kononnya Pakatan tidak mempunyai sokongan orang Melayu dinafikan oleh kajian Umcedel itu yang menunjukkan 54 peratus dalam kalangan responden Melayu yakin dengan kewibawaan Anwar.

Lebih membanggakan, katanya, 43 peratus responden membabitkan semua bangsa percaya dengan kemampuan Anwar menjadi Perdana Menteri, berbanding Najib yang hanya mendapat 39 peratus, dan ini amat membanggakan seluruh penyokong Pakatan.

"Saya percaya kajian ini yang membuktikan Pakatan Rakyat berjaya meraih sokongan daripada semua sektor dan komuniti. Ia adalah relevan kerana dilakukan secara profesional dengan menggunakan kaedah terbaik," kata Saifuddin.

Keganasan politik: Anwar ulangi cabar Najib debat sebelum PRU

Posted: 29 Apr 2013 05:07 AM PDT

Oleh Aisha Geoffrey

PETALING JAYA : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mencabar Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak berdebat sebelum PRU 13 Ahad ini dan berhenti menggunakan elemen keganasan sebagai jalan untuk memenangi pilihan raya.

"Saya mengulangi cabaran untuk berdebat kepada Najib sebelum 4 Mei ini, kerana ini adalah cara terbaik.

najib penakut-debat

"Kalau tidak setuju atas sesuatu perkara, kita bincang dan bahas, bukan cerca, maki atau baling batu," kata Anwar pada sidang media bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.

Cabaran itu ekoran kebimbangannya terhadap beberapa insiden keganasan yang berlaku sepanjang tempoh kempen pilihan raya kali ini.

Antaranya, samseng 'Waris Malaya' mengugut dan mengancam untuk mencederakan petugas dan penyokong KEADILAN Taman Medan, 21 April lalu.

Selain itu, kereta milik anak calon DUN Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dibakar di hadapan rumahnya pada 25 April.

Dalam sidang media selepas itu, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad turut menggesa Najib agar menyahut cabaran Anwar.

"Amat malang sekali ketika pemimpin BN yang lain seperti Chua Soi Lek, Shabery Cheek, Saifuddin Abdullah dan Khairy Jamaluddin berani berdebat dengan pimpinan Pakatan, Najib sendiri tak berani," sinisnya.

Tambah Nik Nazmi, selain takut debat, Najib terus membiarkan media arus perdana yang dikuasai BN menyuburkan budaya politik perkauman, lucah serta amalan gangsterisme.

"Najib masih mempunyai minggu ini untuk menerima tawaran berdebat dengan Anwar. Perdebatan ini saya yakin akan menarik minat rakyat Malaysia yang mahu melihat calon-calon Perdana Menteri di atas satu platform," katanya.

Anwar: Mana siasatan SPR kes peti undi dilencong?

Posted: 29 Apr 2013 05:05 AM PDT

Oleh Aedi Asri

PETALING JAYA : Pakatan Rakyat sekali lagi mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar bertindak terhadap bukti yang dikemukakan berhubung pemindahan peti undi meragukan di Kajang.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SPR perlu berhenti berdolak dalih, memandangkan pilihan raya sudah semakin hampir.

"Banyak bukti dikemukakan dan kita mendesak sekali lagi SPR (untuk) betulkan (perkara ini). Jangan biarkan keraguan dan kecurigaan bertambah, dan jangan izinkan penipuan berlaku.

"SPR harus jawab, jangan dolak dalih kerana pilihan raya sudah dekat, dan jangan anggap (rakyat) merestui penipuan seperti ini, kerana angka (dan bukti) telah dikemukakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN pagi tadi.

Pada 25 April lalu, KEADILAN mendedahkan, kenderaan SPR didapati memindahkan peti undi ke sebuah premis meragukan di Jalan SC2, Pusat Perindustrian Sungai Chua, Kajang.

Undi 2

Pada sidang media itu juga, Anwar turut menunjukkan gambar peti undi dibalut polister dan dicop logo SPR yang dipindahkan menggunakan kenderaan Pajero.

Ketika itu juga, beliau turut mengemukakan analisis KEADILAN menunjukkan 28,593 pengundi dalam daftar pemilih adalah warganegara Indonesia, Filipina, Pakistan dan Bangladesh, serta 42 nama dari negara tersebut yang menjadi pengundi pos polis dan angkatan tentera.

Memetik Bernama 25 April lalu, SPR mendakwa proses penghantaran peti undi adalah perkara biasa, serta daftar pengundi adalah muktamad dan Anwar tiada hak mempersoalkan kewarganegaraan mana-mana pihak.

Ketika ditanya wartawan, Anwar menyifatkan jawapan SPR sebagai lemah, dan gagal menjawab persoalan khusus yang dikemukakan.

"Mereka tidak beri maklum balas jelas, serta (respon) kepada soalan spesifik tentang daftar pemilih…(Walaupun) kita beri bukti jelas," kata Anwar lagi.

"Munasabah sangatkah bangunan seburuk ini jadi tempat simpanan rasmi SPR, sepertimana yang disebut SPR," katanya sambil menunjukkan gambar-gambar premis itu.

Menurut Anwar, dokumen seperti sampul No. 9P, Bahagian Pilihan Raya Negeri dengan cop rasmi SPR juga ditemui di kawasan itu.

"Jadi bgaimana dokumen yang begini rahsia dan penting didapati di sebuah kedai yang tidak didaftar langsung sebagai milik SPR," katanya.

Berhubung 42 pengundi pos warga asing, beliau berkata, tidak ada warga asing yang menjadi anggota keselamatan.

"Saudara tahu tidak ada orang Bangladesh jadi anggota tentera atau polis…(Kes ini) mesti dijawab," katanya.

Ketika ditanya adakah laporan akan dibuat kepada SPR, Anwar berkata: "Itu tangungjawab SPR (untuk bertindak). Nak lapor apa lagi. Dia nak ambil, ambillah (bukti) dokumen ini semua. Saya hanya perlu berkempen".

Nik Aziz ajak rakyat solat hajat 3 Mei sempena PRU 13

Posted: 29 Apr 2013 05:00 AM PDT

Oleh Aisha Geoffrey

PETALING JAYA : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meminta agar semua umat Islam melakukan solat hajat di seluruh negara Jumaat ini.

Nik

"Arahan Tuan Guru Nik Aziz meminta umat Islam bermunajat, solat hajat khas dan berdoa pada malam 3 Mei nanti," kata Anwar memaklumkan amanat itu pada sidang media hari ini.

Menurut Anwar, solat hajat itu bersempena hari mengundi yang semakin hampir iaitu pada Ahad ini, 5 Mei.

"Tuan Guru menggalakkan solat hajat itu dilakukan pada waktu Maghrib. Beliau turut menggalakkan semua rakyat dari agama lain supaya melakukan upacara doa mereka," katanya.

"InsyaAllah, jika melihat sambutan rakyat, termasuk di Sabah dan Sarawak semalam, kita ada keyakinan, (tetapi) kita juga perlu berdoa," kata Anwar merujuk kunjungannya di kedua-dua negeri itu.

Fariz pantau pusat pengundian awal di Pekan esok, elak penipuan

Posted: 29 Apr 2013 04:56 AM PDT

Oleh Norutul Ilham

PEKAN : Calon KEADILAN Pekan, Fariz Musa akan membuat pemantauan di semua lokasi pengundian awal dalam Parlimen itu esok bagi memastikan pengundi tentera dapat menjalankan tanggungjawab mereka tanpa rasa bimbang undi mereka diketahui pihak lain.

Ini berikutan maklumat yang diperolehinya bahawa tentera yang akan membuang undi esok dikehendaki mengisi borang identiti dan memasukkan ke dalam sampul bersama kertas undi ke dalam peti undi.

"Saya akan membuat pemantauan esok di semua lokasi pengundian awal di kawasan Parlimen Pekan bagi memastikan amalan demokrasi dilaksanakan secara adil dan profesional serta tidak melanggari hak asasi manusia.

"Saya telah mendapat informasi bahawa satu taklimat telah diadakan kepada anggota-anggota tentera pada jam 9 pagi tadi.

"Semua anggota tentera yang akan melaksanakan pengundian awal pada esok dikehendaki mengisi borang identiti dan memasukkan ke dalam sampul bersama kertas undi ke dalam peti undi," katanya pada kenyataan hari ini.

Ekoran itu, beliau mendapatkan penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mendakwa mereka tidak terlibat dalam perkara tersebut.

"Pihak saya telah menghubungi Pengarah SPR Negeri Pahang untuk mendapatkan kesahihan dan kepastian daripada pihak SPR adakah ianya adalah implimentasi oleh badan itu.

"SPR juga telah mengesahkan bahawa ia bukan arahan pihaknya dan menyatakan ia dilaksana oleh pihak pengurusan tertinggi kem," kata Fariz yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat.

Justeru, beliau membantah dan mendesak supaya menghentikan tindakan tidak rasional itu yang disifatnya tidak menghormati sistem demokrasi negara.

"Saya membantah tindakan terhadap arahan tersebut yang akan dilaksanakan esok pagi, bertujuan menakut-nakutkan anggota tentera yang mahu melaksanakan amalan demokrasi dan kebebasan sebagai warganegara Malaysia," katanya.

Mat Sabu: Isu tindih kerusi sudah selesai

Posted: 29 Apr 2013 04:48 AM PDT

RUZY ADILA IDRIS

mat sabu
Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu
 
PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) hari ini menegaskan kontroversi pertindihan kerusi membabitkan tujuh kawasan ditandingi komponen perikatan itu telah selesai sepenuhnya.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, semua kerusi bertindih sudah pun selesai termasuk kerusi Parlimen Labuan, Dun Sungai Acheh dan satu lagi kerusi Dun Kota Damansara.

"Tumpuan kami sehingga 4 Mei ini ialah untuk mengerahkan ahli dan penyokong menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.

"Tumpuan kami ketika ini untuk mengajak rakyat untuk bersetuju dengan manifesto yang telah dibentangkan oleh PR," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan PR di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke.

DAP: Norman diambil tindakan selepas PRU13

Posted: 29 Apr 2013 04:47 AM PDT

RUZY ADILA IDRIS
Anthony Loke
Anthony Loke
 
PETALING JAYA - Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez bakal dikenakan tindakan tegas oleh parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Pas.

Setiausaha Pengelolanya, Anthony Loke berkata, tindakan itu hanya akan diambil selepas pilihan raya kerana DAP ingin fokus bagi menghadapi PRU13 yang hanya tinggal berbaki beberapa hari sahaja lagi.

"Kenyataan adalah beliau sebelum ini hanyalah bersifat peribadi dan bukannya mewakili parti DAP.

"Semangat dalam Pakatan Rakyat (PR) adalah jelas.

"DAP menyeru ahli serta penyokongnya untuk memberikan sokongan penuh bukan hanya kepada calon DAP malahan calon dari Pas dan juga PKR kerana calon ketiga-tiga parti adalah calon dari PR," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Pimpinan PR, di sini hari ini.

Kelmarin, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Norman meminta masyarakat bukan Islam di Johor supaya tidak mengundi Pas kerana menyifatkan parti itu sebagai ekstremis.

Mengulas perkara sama, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu berkata, Pas tidak akan terjejas berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Fernandes itu.

"Kami sekarang hanyalah mahu kalahkan BN dan menuju ke Putrajaya.

"Orang Pas dan calon-calon Pas akan tetap menyokong calon-calon dari DAP," tegas beliau.

Tambah beliau, Majlis Syura juga telah memutuskan semua ahli Pas harus memilih semua calon daripada PR pada pilihan raya nanti.

Mahathir Memperorak Peranda Umno Pasir Mas

Posted: 29 Apr 2013 04:21 AM PDT

MSO

Ahli Umno yang waras atau yang tidak gila seperti mana disebut Inchek Ibrahim Ali yang pernah mengatakan hanya orang gila sahaja menyertai Umno, pasti tidak setuju dengan tindakan Mahathir Mohamad yang bermati-matian memberi sokongan kepada calon Bebas di Pasir Mas. Sebagai ahli Umno dimanakah logiknya Mahathir memberi sokongan kepada seorang calon Bebas yang juga menjadi pengkhianat kepada Umno.

Mahathir: Menyesatkan politik Umno.
Ahli Umno yang mahukan kepada integriti pasti marah dengan politik 'reban ayam' Mahathir itu. Dalam menyokong Inchek Ibrahim, beliau juga akan membela Che Johan Che Pa yang tidak menyerahkan borang pencalonan. Kata Mahathir dia akan menjadi peguam kepada Johan kalau timbalan ketua bahagian Umno Pasir Mas itu dihadap ke mahkamah keadilan parti. Apakah cara dilakukan Che Johan itu boleh diterima oleh ahli Umno seluruhnya?

Mungkin iya bagi ahli Umno gila tetapi tidak bagi yang rasional dan berintegriti dan mementingkan maruah dalam berpolitik.

Mahathir boleh terima apa dilakukan Johan sebab ia satu pengorbanan kepada Inchek Ibrahim Ali. Mahathir berbudi dan terhutang nyawa politik dengan Ibrahim maka dia kena balas dengan apa cara sekali pun. Tetapi apakah maruah parti apabila seorang pengkhianat dipeluk dan dicum? Ahli yang waras dan tidak gila tetap akan melihat tindakan Che Johan itu satu pengkhiantan dan menjatuhkan maruah parti sebab ia tidak akur kepada keputusan parti. Belum pernah dalam sejarah 12 kali pilihan raya ada calon Umno yang pengecut untuk menyerah borang. Tidak pernah...

Sebenarnya apa dilakukan Johan dan Mahathir itu besar implikasi dan risikonya. Ia akan menjadi iktibar untuk masa akan datang. Di masa akan datang akan ada calon Umno tidak menyerahkan borang pencalonan yang dilakukan atas nama pengorbanan atau pun kerana dibayar. Kes yang dilakukan Johan itu akan menjadi rujukkan. Kalau ia dirujuk siapa yang perlu dipersalahkan? Pemimpin hari inilah, Najib, Muhyuddin dan lain-lain. Mereka akan dipersalahkan oleh sejarah dan dunia.

Begitu juga apa dilakukan Mahathir akan dijadikan menjadi percedent, ikutan. Di mana ahli yang buat salah tidak perlu gundah guala kerana mereka akan dibela atau diberi sedikit upah. Mahathir sudah mengajar sesutau yang songsang di dalam Umno. Inilah ajaran sesat dalam parti Melayu berkenaan. Kesesatan atau kerakusan melakukan apa saja kepada parti inilah menjadi Tengku Razaleigh Hamzah bersama rakan-rakan dahulu keluar parti dan menubuhkan Semangat 46. Alasan besarnya Umno sudah terpesong jauh dari landasan asalnya. Dari 'keMelayuan' kepada 'keMamakan".

Sebenarnya cara Mahathir tidak pelik. Di eranyalah Umno telah diharamkan di mahkamah. Dia sendiri juga dipecat dari Umno kemudian masuk kemudian keluar kerana tidak bersetuju dengan presiden, kemudian masuk balik. Dialah yang menulis surat layang memburukkan presiden parti. Cara Mahathir berminan politik sebenarnya sudah tidak waras dan sangat busuk dan jahat. Cuma ahli Umno yang mabuk dengan 'kuntau'nya saja tidak berani berbuat apa-apa, tetap memuji dan memuja Mahathir sebagai hebat walaupun kebusukan sampai ke usus.

Inchek Ibrahim Ali bukan calon Umno, dia adalah calon Bebas yang menggunakan lambang bunga raya. Ibrahim juga dipecat oleh Umno seumur hidup kerana menentang calon Umno dalam dua pilihan raya 2004 dan 2006. Macam mana orang yang telah dibuang seumur hidup dalam parti boleh disokong oleh bekas presiden? Tidakkah itu gila namanya? Mereka yang lurus dan ikhlas berpegang kepada undang-undang dan peraturan tidak dapat menerimanya walaupun cuba disogok dengan wang yang banyak. Lainlah yang gila...

Apa yang berlaku di Pasir Mas baik oleh Johan, Ibrahim dan Mahathir sesuatu yang ganjil dan pelik. Ia adalah terjemahan kepada Umno itu sendiri yang sudah berusia lebih 60 tahun dalam keadaan gayut dan nyanyuk. Ahlinya boleh melakukan apa sahaja kepada parti sehingga mencemarkan maruahnya, kerana politik atau disebabkan keadaan terlalu terdesak.

Kepelikan di Pasir Mas menunjukkan Umno sudah terdesak untuk kalah. Umno akan menghalalkan apa saja demi menyelamatkan kuasa dan kedudukan. Umno sedia mengambil atau menggunakan bukan saja mereka yang tidak waras, hatta haiwan atau binatang pun akan digunakan sekiranya ia dianggap berfaedah. Itulah cara Umno. Apakah situasi ini orang Pasir Mas khasnya ahli Umno tidak faham? Macam mana pula perasaan ahli-ahli Umno dan pimpinan Umno bahagian Pasir Mas yang lain yang ada nilai dan maruah. Dengan apa yang berlaku mereka seolah-olah 'diperlembulaki Sharizatkan' oleh Mahathir, Johan dan Inchek Ibrahim Ali.

Hanafi Mamat sebagai ketua bahagian seakan merelakan apa yang berlaku kerana dia lepas. Hanafi juga menumpang 'tui' Ibrahim di Pasir Mas untuk menang di Tendong. Dia seorang individualistik. Belum tentu Hanafi boleh menang di Tendong kerana bekas Adun Fauzi Muhammad sedang menanti dengan onak dan duri dalam senyap di sana. Hanafi tidak mempedulikan kepada ahli dan pengikut lain. Sikap terima tanpa bantah oleh Hanafi ke atas apa yang berlaku menunjukkan kelemahan dan tidak ada kredibilitinya beliau sebagai seorang ketua.

Jelas penerimaan itu Hanafi mementingkan kedudukan dan bukan menjaga maruah parti dan dirinya. Apa yang boleh diharapkan kepada seseorang yang tidak ada maruah?  Kalau begitu elok saja Hanafi letakkan jawatan sebagai ketua bahagian dan serahkan terus kepada Ibrahim Ali. Tidak perlu tanya apakah ia bertentangan dengan perlembagaan atau tidak, lakukan sahaja. Umno kini yang dalam keadaan nazak sudah tidak menghormati perlembagaan dan peraturan lagi. Perlemnbagaan Umno sudah lama dijadikan penyapu punggung untuk membodek. Semuanya menjadi caca merba seperti mana Mahathir tuduh kepada pakatan pembangkang.

Pengundi di Pasir Mas yang masih ada nilai moral dan berpegang kepada disiplin hidup dan agama diharap dapat menilai kerencaman politik Umno di Pasir Mas. Pilihan raya ini adalah peluang terbaik untuk ahli Umno mengajar sesetengah pemimpin Umno di Pasir Mas yang diam-diam sudah terlarut dalam ajaran politik sesat Ibrahm Ali yang tidak ada air muka, tidak ada maruah dan sanggup memakai bangkai demi survive politik.

Ibrahim termasuk juga Hanafi Mamat perlu dikalahkan demi membina Umno baru yang berwibawa dan bermaruah di Pasir Mas. Ini kalilah.

PAS: Pakatan harus berhenti berperang sesama sendiri

Posted: 29 Apr 2013 04:16 AM PDT

Oleh Md Izwan

 Media melaporkan hujung minggu lalu Timbalan Pengerusi DAP Johor Norman Fernandez dan ahli jawatankuasa DAP Kedah, S. Neelamekan secara terbuka menyuruh pengundi supaya tidak mengundi PAS. - Gambar failKUALA LUMPUR— PAS hari ini menggesa rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) supaya berhenti menyerang sesama sendiri, ini ekoran dua kenyataan pemimpin DAP supaya supaya pengundi tidak memangkah PAS pada pilihan raya 5 Mei depan.

Media melaporkan hujung minggu lalu Timbalan Pengerusi DAP Johor Norman Fernandez dan ahli jawatankuasa DAP Kedah, S. Neelamekan secara terbuka menyuruh pengundi supaya tidak mengundi PAS kerana agenda negara Islam.
"Hentikan daripada menyerang sesama sendiri .

"Kita telah pilih pertarungan yang kita akan lawan, janganlah serang antara satu sama lain," kata Ahli Jawatakuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS, di Jalan Raja Laut di sini.

Kenyataan Dzulkefly itu dilihat sebagai percubaan untuk meredakan ketegangan diantara pemimpin PR yang seringkali menggunakan media sebagai medan untuk berperang sesama sendiri.

Dzulkefly berkata kenyataan oleh dua pemimpin DAP tersebut bukan mencerminkan pendirian sebenar parti itu kerana kedua-dua pemimpin itu tidak berada dalam jawatankuasa tertinggi pusat (CEC).

"Selagi DAP pusat tidak buat kenyataan, iaitu CEC, saya tidak akan buat kenyataan.

"Saya tidak akan membuat kenyataan terhadap komen individu-individu tertentu," katanya lagi.

Musa Hassan sertai panel keselamatan Pakatan, bimbang dengan keganasan politik

Posted: 29 Apr 2013 04:09 AM PDT


Oleh Emily Ding

 Musa bimbang dengan keganasan politik dalam Pilihan Raya 2013. - Gambar The Malaysian InsiderKUALA LUMPUR— Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan telah menyertai majlis penasihat keselamatan Pakatan Rakyat (PR), dan mengatakan hari ini beliau bimbang dengan keganasan politik dalam Pilihan Raya 2013.

Musa menegaskan dirinya tidak memihak kepada mana-mana parti politik,
memberitahu pemberita beliau akan melakukan perkara sama jika pemerintah Barisan Nasional (BN) meminta nasihatnya mengenai urusan keselamatan.

"Saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik… Saya datang hari ini kerana saya mengambil urusan keselamatan rakyat dengan serius," kata Musa dalam sidang akhbar di sini.

Pengerusi majlis penasihat keselamatan PR, bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Darat Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein memberitahu pemberita kenyataan Menteri Dalam Negeri sementara Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada Mac mengenai insiden keganasan akan lebih buruk semasa kempen pilihan raya sama seperti menyokong keganasan politik.

"Sebagai orang yang telah menghabiskan masa indah dalam hidup untuk mempertahankan dan berkhidmat untuk rakyat Malaysia bagi memastikan keamanan dan keselamatan dalam negara, kami ingin menyatakan keganasan politik tiada tempat dalam proses demokrasi," kata Md Hashim yang juga merupakan calon PKR untuk Johor Baru.

Md Hashim memberitahu The Malaysian Insider majlis penasihat keselamatan PR memainkan peranan untuk menyokong pasukan polis dan menafikan ianya ditubuhkan kerana kurangnya keyakinan terhadap polis.

"Saya fikir kami hanya wujudkan kesedaran awam mengenai undang-undang… Keselamatan adalah urusan semua. Jangan hanya biarkan kepada pasukan keselamatan," katanya.

Dalam mesej yang hampir sama Musa memberitahu pemberita beliau akan menasihatkan majlis keselamatan tersebut tentang bagaimana untuk melibatkan polis dan pihak berkuasa dan pada masa sama meminta polis adil dalam siasatan mereka kepada kedua-dua pihak.

Beliau menggalakkan semua parti politik untuk bekerjasama dengan polis: "Sebab itu adalah baik bagi setiap parti yang mahu mengadakan ceramah memberitahu polis terlebih dahulu, kawasan mana anda nak lakukan dan polis akan mengerahkan pasukan mereka dengan lebih awal untuk menyemak kawasan dan memastikan kawasan tersebut selamat.

Beliau juga meminta penyokong parti politik agar tidak memprovokasi atau mudah untuk diprovokasi.

"Jika provokasi berlaku, jangan ambil undang-undang di tangan sendiri. Cara terbaik adalah dapatkan semua bukti orang yang provokasi kamu… itu akan menjadi bukti kepada polis kemudiannya yang akan membantu penyiasatan mereka," katanya.

Aksi keganasan telah mencemarkan tempoh berkempen menjelang pilihan raya umum 5 Mei.

Bom petrol dilemparkan ke kompaun rumah anak perempuan calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Andalas Khamis lalu menyebabkan keretanya terbakar.

Ketua Menteri sementara Pulau Pinang Lim Guan Eng juga dilaporkan membuat laporan polis Khamis lalu kerana menerima kiriman pesanan ringkas (SMS) yang mengugut nyawa isteri dan anaknya dalam bahaya jika beliau dilantik semula menjadi ketua menteri.

Bom petrol dilemparkan ke bilik operasi BN di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah minggu lalu.

Majlis penasihat keselamatan PR ditubuhkan pada akhir Mac untuk menghalang insiden keganasan berlaku semasa tempoh berkempen dan memastikan perubahan kuasa berlaku secara aman dalam pilihan raya akan datang.

Kickdefella diperintah jawab saman Husam selewat-lewatnya 22 Mei

Posted: 29 Apr 2013 12:59 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER
 
KUALA LUMPUR— Penulis blog Syed Azidi Syed Abdul Aziz diberi tempoh hingga 22 Mei untuk menjawab saman fitnah yang difailkan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berhubung dakwaan beliau telah menyalahgunakan kuasa semasa menjadi anggota Exco Kelantan

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Lee Heng Cheong memerintah penulis blog itu, yang dikenali sebagai Kickdefella, supaya memfailkan kenyataan bela dirinya sebelum 22 Mei selepas mengadakan perjumpaan dengan pihak terbabit di dalam kamarnya.

Anis Afiqah Che Rahim, peguam yang mewakili Syed Azidi, memberitahu pemberita bahawa mahkamah juga menetapkan 5 Sept sebagai tarikh untuk mendengar saman itu.

Pada 21 Feb tahun ini, Husam, yang menyandang jawatan naib presiden PAS, memfailkan saman terhadap penulis blog itu kerana menyiarkan satu kenyataan fitnah dalam akhbar Sinar Harian edisi Kelantan bertarikh 25 Julai tahun lepas.

Dalam kenyataan tuntutannya, Husam berkata kenyataan itu disiarkan dengan niat jahat dan merosakkan maruah, kredibiliti dan nama baiknya.

Husam menuntut ganti rugi RM10 juta, perintah yang menghalang defenden daripada memberi komen atau menyiarkan kenyataan bersifat memfitnah terhadapnya dan permohonan maaf oleh defenden dalam akhbar Sinar Harian. – Bernama

Shahrir Berang Dengan Penganjur, Berceramah Dihadapan ‘Kerusi Kosong’

Posted: 29 Apr 2013 12:54 AM PDT


Johor bahru — Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Johor Baru Tan Sri Shahrir Abdul Samad berucap dalam satu majlis dengan dewan yang hampir kosong apabila hanya kurang 100 sahaja penduduk Cina dari Taman Century di sini yang hadir semalam.

Shahrir yang merupakan ahli Parlimen di kawasan yang dikenali sebagai "sting garden" oleh penduduk temapatan sejak enam penggal itu juga dilihat gagal menarik kelompok masyarakat Cina dalam program anjuran parti komponen BN, Gerakan.

Malah, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, yang dijadualkan akan berada di sana, juga tidak muncul.

Program yang dijalankan di Dewan Persatuan Wushu Hua Tiong itu turut menyaksikan kerusi kosong gagal dipenuhkan walaupun penganjur turut menyediakan jamuan bagi hadirin.

Shahrir ketika berucap di hadapan majoriti masyarakat cina yang berusia itu turut menjelaskan kemasukan Pakatan Rakyat (PR), terutamanya DAP di Johor akan mengubah budaya masyarakat berbilang kaum di negeri kubu kuat BN itu.

"Orang luar datang kata Umno rasis dan tiada pandangan seimbang ... dan yang cakap ini DAP, mereka bukan mahu undi orang Melayu, tetapi mahu jadi suara orang Cina, itu pandangan yang racial," kata Shahrir yang pernah memenangi kerusi Parlimen Johor Bahru atas tiket calon bebas selepas meletakkan jawatan sebagai protes kepada perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1988 malam tadi.

"Sebagai orang Johor saya ingin menyatakan kita diajar untuk membuat keputusan. Sama ada kita Melayu Cina, India ... cara sebagai orang Johor mahu kita teruskan atau orang seperti Kit Siang akan bawa keadaan lain," katanya, merujuk kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Jelas Shahrir, cara yang dibawa pemimpin veteran DAP itu bukanlah cara masyarakat Johor, kerana rakyat berbilang kaum di negeri itu mengamalkan kaedah komuniti berbincang dengan kerajaan tanpa melibatkan retorik politik.

Shahrir yang memenangi kerusi berkenaan pada 2008 dengan majoriti 43,143 undi kali ini akan menentang pesara tentera, calon PKR daripada PR, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein.

Hashim merupakan anak jati Kempas, Johor dan merupakan bekas tentera yang pernah berkhidmat untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di serata dunia serta berjanji akan meningkatkan mutu dan taraf hidup anggota tentera ekoran kehidupan mereka kini dakwanya tidak dibela kerajaan.

"Ini soal kita harus fikir benar-benar kerana ia tentunya keputusan dan persoalan yang begitu besar.

"Selama ini tiada masalah yang kita tidak boleh selesaikan. Tiada rintangan menyekat kemajuan kita ke depan," katanya, dan menambah, "kita mahu ubah kepada keadaan yang kita tak tahu untung atau rugi."

Kerusi Parlimen Johor Bahru mempunyai sejumlah 96,515 pengundi berdaftar dengan masyarakat Melayu membentuk 51 peratus, Cina 43 peratus atau 41,501, dan baki lima peratus adalah India.

Selepas majlis selesai, Shahrir ketika dalam perjalanan menuju ke kenderaannya turut kedengaran memberi teguran kepada penganjur program itu.

"Lain kali nak organise (anjur), organise betul-betul".


Seramai 13.3 juta rakyat Malaysia termasuk 5,200 orang diluar negara layak mengundi untuk Pilihan Raya 2013 yang dikatakan paling sengit dalam sejarah ini. Johor yang merupakan kubu kuat BN juga diancam dengan kehadiran tokoh besar seperti Lim Kit Siang dari DAP dan Salahuddin Ayub dari PAS.

Johor juga merupakan negeri dimana Umno dilahirkan. -TMI

Pesta Buku Tak patut diadakan di Kompleks Umno lagi!

Posted: 29 Apr 2013 12:41 AM PDT


 

Oleh FB Ahmad Lutfi Othman   

Sememangnya semalammemang memenatkan, selepas kempen promosi Harakah, Bangkit dan Inikalilah! bermula stesen keretapi Sg Buloh ke Kuala Lumpur, seterusnya mengedarkannya di sekitar Sogo dan Jalan Tunku Abdul Rahman, pada sebelah petangnya... saya ke ...majlis bedah buku Kemilau Publika, di PWTC, yang turut membabitkan buku saya "PENCURI PILIH ANJING", bersama Pak Subky Abd Latiff dan Dr Muhaimin Sulam.


Belum sempat selesai acara, ada arahan daripada pihak pengurusan Pesta Buku (Kementerian Pelajaran atau pihak PWTC atau Umno) minta diberhentikan majlis bedah buku itu segera. Apabila moderator Baharuddin Ali Masrom seperti melewat-lewatkan untuk melaksanakan arahan itu, seorang petugas naik ke atas pentas utama dan cuba memberhentikan diskusi serta-merta.

Saya cuba mengingatkan, apalah sangat yang sensitifnya dalam penjelasan saya kepada audien di Pesta Buku di PWTC tadi sehingga pihak pengurusan mengarahkan majlis bedah buku itu berhenti .... Buku-buku yang diulas pengarang masing-masing tidaklah mengancam keselamatan negara, 'kan? Pencuri Pilih Anjing, Propagandis Zamn dan Aku Melayu di Kota Inggeris ....

Satu isu yang patut ditimbulkan sekarang:

MULAI TAHUN DEPAN PESTA BUKU TIDAK PATUT DIADAKAN DI KOMPLEKS UMNO LAGI

 kempen promosi Harakah, Bangkit dan Inikalilah!




Tolak politikus rasis

Posted: 29 Apr 2013 12:37 AM PDT



Oleh Uthaya Sankar SB

Tarikh mengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin hampir dan antara topik yang masih hangat adalah mengenai tindakan Barisan Nasional (BN) meletakkan Zulkifli Noordin sebagai calon bagi kerusi Parlimen Shah Alam. 

Agak menarik untuk diperhatikan bahawa Zulkifli adalah "calon rakan BN" dan bukannya "calon BN". Nampaknya Umno dan Presiden Umno sendiri tidak berani mengambil risiko meletakkan lelaki rasis, fanatik, etnosentrik dan ultra kiasu itu sebagai "calon BN" bagi bertanding kerusi Parlimen Shah Alam!

Pada masa sama, perlu diingat bahawa Zulkifli bukan calon dari mana-mana parti komponen BN; sebaliknya calon pilihan Pengerusi BN sendiri secara langsung. Mungkin itulah antara sebab MIC tidak berani bersuara menentang pencalonan itu sebaik diumumkan pada 16 April.

'Kenapa Hindu tak pecahkan buah betik ke, buah tembikai ke?' — Zulkifli NoordinDalam pada itu, ada pihak yang mengatakan bahawa kaum India/Hindu perlu memaafkan Zulkifli (atau sesiapa sahaja) yang pernah menghina agama Hindu dan mengundinya dalam PRU-13. Seolah-olah kemenangan BN adalah lebih besar daripada maruah para pengundi.

Rayner Sylvester Yeo dari Bandar Baru Klang (Parlimen Shah Alam) memberikan reaksi menerusi mesej Facebook kepada saya bahawa beliau berterima kasih kepada Pengerusi BN. "Terima kasih kerana memudahkan saya untuk membuat keputusan," kata pemuda itu yang berasal dari Sabah.

"Dia (Zulkifli) telah meminta maaf dan saya mendapat maklum balas bahawa sebilangan besar kaum India menyokong beliau," kata Pengerusi BN seperti dilaporkan di Utusan Malaysia (23 April).

Saya percaya bahawa pandangan itu adalah "imaginasi" Datuk Seri Najib Razak semata-mata. Mungkin juga beliau mengeluarkan kenyataan itu apabila MIC, PPP, IPF Hindraf dan parti-parti lain dalam BN "tidak cukup jantan" untuk tampil menolak pencalonan Naib Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa).
Keadaan "membisu" itu mungkin dianggap oleh Najib sebagai "bersetuju" tanpa mengambil kira realiti masyarakat pelbagai kaum dan agama membidas serta menolak pencalonan Zulkifli.

Baru-baru ini, lebih 100 ahli MIC di Shah Alam dilaporkan keluar parti berikutan isu Zulkifli, Ibrahim Ali dan Ahmad Nawawi M Zin. Ibrahim adalah Presiden Perkasa yang amat rasis tetapi tidak pernah diambil sebarang tindakan oleh Kerajaan BN walaupun dia menghina agama. Dia bertanding kerusi Parlimen Pasir Mas, Kelantan dan calon BN/Umno, Che Johan Che Pa menarik diri pada saat akhir.

Ahmad Nawawi pula calon DUN Batu Tiga dan dia pernah terlibat secara langsung dalam insiden menghina penganut agama Hindu dengan memijak kepala lembu pada 28 Ogos 2009. Kejadian itu berikutan bantahan terhadap cadangan pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman dari Seksyen 19 ke Seksyen 23, Shah Alam.

Umno dipenuhi pemimpin rasis?

Di Sungai Rapat, Perak pula, seorang lagi calon BN/Umno, Hamidah Othman dilaporkan pernah mengguris hati kaum India dengan mengeluarkan kenyataan "Jika bertemu ular dan orang India, bunuh orang India dahulu". Maknanya, Umno memang dipenuhi pemimpin yang rasis serta tidak tahu menghormati perasaan orang lain.

Berbalik kepada isu pencalonan Zulkifli, Shahrul Nizam, seorang pegawai Jabatan Sumber Manusia di sebuah syarikat swasta di Shah Alam menyatakan bahawa walaupun beliau tidak mengundi di Parlimen Shah Alam, sebagai seorang Islam, beliau berasa amat malu apabila Zulkifli mengeluarkan kenyataan yang jahil sifatnya.

"Islam melarang umatnya menghina agama dan kepercayaan umat lain. Pemimpin yang tidak mampu menyelaras minda ketika berucap bukanlah seorang pemimpin. Mereka ini tidak lebih daripada seekor burung kakak tua. Malaysia tidak perlu kepada pelaris agama yang bersifat menghina kepercayaan orang lain kerana Islam terlalu indah, Malaysia terlalu aman," kata pemuda itu yang berasal dari Alor Star.

Seorang lagi rakan di Facebook, Khairul Azhar Tarmizi yang berasal dari Batu Gajah mengatakan bahawa golongan oportunis seperti Zulkifli akan berbuat apa sahaja untuk mendapatkan undi. Pada pandangan juruukur bahan ini, kesalahan Zulkifli mungkin boleh dimaafkan "tapi jangan lupakan".



Ibrahim Ali pernah menghasut orang Melayu membakar kitab Bible.Ghanthimathi, seorang pegawai teknologi makanan di Sungai Buloh pula meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan sikap politikus yang tidak tahu menghormati sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

"Mengapa golongan ini sentiasa mengeluarkan kenyataan yang menghina dan mengguriskan hati kaum India dan penganut agama Hindu? Mengapa mereka seolah-olah begitu membenci kaum India?" Demikian tanya wanita ini yang saya kenali sejak zaman sekolah rendah di Aulong, Taiping.

Pembantu penyelidik dari Kajang, Mohamad Firdaus Rosli turut berkongsi pandangan semasa topik ini dibincangkan di laman rangkaian sosial baru-baru ini.

"Seorang Muslim sejati tidak akan menghina rakannya yang berlainan agama kerana perkara sedemikian ditegah oleh Rasulullah s.a.w. tercinta," pemuda yang berasal dari Sungai Petani itu mengingatkan.

Bagi Baradhan Krishnan dari Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, biarlah Tuhan sahaja yang menghukum Zulkifli jika dia bersalah dan orang ramai tidak perlu emosional dengan kenyataan Zulkifli yang menghina agama Hindu.

"Jika kita menentang, seolah-olah kata-katanya adalah benar. Kalau mahu menyentuh mengenai orang yang menghina kaum India dan agama Hindu, bukan Zulkifli sahaja yang berbuat begitu. Tindakan perlu diambil terhadap ramai lagi orang. Cara terbaik adalah dengan kerajaan menggubal undang-undang ketat bagi menghukum mana-mana pihak yang menghina mana-mana agama atau kaum," kata eksekutif pemasaran insurans itu.

Konsep 1Malaysia sudah terkubur

Seorang rakan perunding kewangan, Aslambigai dari Kuala Lumpur mengakui bahawa penganut agama Hindu di Malaysia sering menjadi mangsa penghinaan. Bagaimanapun, katanya, penganut Hindu diajar supaya tidak membalas perbuatan itu dengan turut menghina orang lain.

"Kita tidak perlu risau memikirkan adakah kenyataan Zulkifli itu benar atau salah. Malah, agama Hindu mengajar kita supaya bertolak ansur dan sifat itu amat penting dalam konteks Malaysia. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa orang seperti Zulkifli memang wujud dan kita yang beragama perlu menguatkan iman serta bertolak ansur," kata wanita ini yang berasal dari Taiping.

 'Bila nampak seekor ular dan seorang India, pukul India dulu, setuju?' — Hamidah Othman Turut berkongsi pandangan dalam isu ini ialah Mohanan @ Mohan Perumal, editor berita di akhbar Makkal Osai. Walaupun beliau ahli MIC, Mohan tetap lantang bersuara menentang pencalonan Zulkifli.

"Saya ada beberapa kawan rapat dalam MIC dan sebahagian daripada mereka turut dicalonkan untuk bertanding dalam PRU-13. Ada dalam kalangan mereka yang kecewa kerana saya lantang mengkritik keputusan Najib meletakkan Zulkifli sebagai calon.

"Saya sedar bahawa ramai di antara rakan-rakan saya dalam MIC juga marah dan kecewa dengan tindakan Najib yang menghancurkan usaha MIC sejak empat tahun lalu untuk meraih kembali kepercayaan kaum India terhadap BN. Rakan-rakan dalam MIC memilih untuk memendam rasa marah dan kecewa tetapi saya berani meluahkannya secara terbuka," katanya.

Bagi Tharmaraj Bathmanathan dari Klang, agama dan bahasa adalah identiti serta diibaratkan seperti "dua mata" bagi setiap kaum.

"Perdebatan intelektual tentang kedua-dua topik itu boleh diterima tetapi kutukan dan penghinaan tidak boleh diterima sama sekali. Apatah lagi apabila individu terbabit adalah seorang yang berpendidikan tinggi (peguam) yang sepatutnya mampu berfikir secara rasional sebelum bertutur.

"Dalam kes Zulkifli, jelas menunjukkan fikiran dan pendirian rasis serta fanatik. Individu seperti ini tidak boleh mewakili penduduk pelbagai kaum dan agama di Malaysia dengan memenangi pilihan raya. Najib telah menguburkan konsep 1 Malaysia dengan menamakan Zulkifli sebagai calon PRU-13," jurutera rangkaian itu menegaskan.

Pasti sahaja pemimpin, penyokong dan juak-juak dalam MIC, Umno dan BN akan berusaha bersungguh-sungguh untuk "memutihkan" imej Zulkifli menjelang tarikh mengundi pada 5 Mei 2013. Namun, saya percaya bahawa para pengundi pelbagai kaum dan agama di kawasan Parlimen Shah Alam akan tetap menolak calon yang rasis, fanatik dan sanggup menghina mana-mana agama.

Biarlah keputusan pengiraan undi di Parlimen Shah Alam menjadi pengajaran kepada BN bahawa masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini menolak politik perkauman dan politikus yang bersikap etnosentik dan ultra kiasu.

* Uthaya Sankar SB berkempen menolak politik perkauman menerusi tulisan. Lebih banyak tulisan boleh dibaca di www.uthayasb.blogspot.com

Najib teruja dengan hasil kajian Umcedel

Posted: 28 Apr 2013 09:42 PM PDT

Sekretariat Umcedel,


Nota ini merujuk kepada pandangan Datuk Seri Najib yang tidak bersetuju dengan hasil kajian Umcedel berkaitan dengan hasil kaji selidik yang telah dijalankan oleh Umcedel berkaitan pilihan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang disiarkan dalam http://www.malaysiakini.com/news/228343 online pada 28 April 2013.
Berbeza dengan kajian yang dilakukan sebelum ini, Datuk Seri Najib turut memberi pandangan yang berbeza. Berikut dilampirkan:

Dalam majlis pelancaran Majlis Ihsan Samudera Peringkat Kebangsaan di Kampung Tanjung Lumpur, Kuantan pada 21 Januari 2012 (Sabtu), Datuk Seri Najib Seri Tun Razak pernah mengakui teruja dengan kajian Umcedel yang menunjukkan BN akan terus berkuasa. Kenyataan ini dikeluarkan dalam berita Utama TV1 dan Buletin TV3 pada pukul 8.00 malam. Kenyataan yang sama diulang dalam berita TV3 pukul 12.00 malam. Tidak ada sebarang persoalan ditimbulkan tentang kajian selain melahirkan keterujaan. Kenyataan ini dipetik daripada blog berikut yang merujuk kepada laporan Utusan Malaysia.

Sila rujuk:

Sementara itu, berhubung kaji selidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang mendapati sebahagian besar daripada 2,559 responden percaya Barisan Nasional (BN) akan terus berkuasa, Najib berkata, beliau mengakui teruja dengan laporan itu dan percaya ia didorong oleh proses transformasi oleh kerajaan.

http://che-syaedah.blogspot.com/2012/01/utusan-online-dalam-negeri_22.html

2.Sementara itu, berhubung kaji selidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang mendapati sebahagian besar daripada 2,559 responden percaya Barisan Nasional (BN) akan terus berkuasa, Najib berkata, beliau mengakui teruja dengan laporan itu dan percaya ia didorong oleh proses transformasi oleh kerajaan.

http://detikperubahan.com/2012/01/22/terserah-tafsiran-anda/

Pihak yang berminat boleh melayari laman sesawang www.umcedel.um.edu.my untuk mendapatkan butiran lanjut kajian tersebut dan beberapa kajian yang telah kami jalankan. Pihak kami juga bersedia berdiskusi dengan mana-mana individu dan pertubuhan yang mahu meneliti lebih lanjut kajian kami. Pandangan dan komen separuh masak yang tidak mempunyai nilai akademik tanpa melihat dengan lanjut kajian tersebut amat dikesali.

Sekian.
29 April 2013

Projek IC PRU: Jangan Jadikan Selangor Seperti Sabah

Posted: 28 Apr 2013 09:33 PM PDT


azmizam luar pc 01

PELABUHAN KLANG: Kemunculan pendatang asing yang memiliki kad pengenalan biru di Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke -12 lalu berada di tahap membimbangkan.

Menurut Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri, sekiranya isu ini tidak ditangani segera, Selangor akan menghadapi masalah yang sama seperti dihadapi rakyat dan pasukan keselamatan di Sabah.

"Di Sabah masa isu pencerobohan Lahad Datu, pihak keselamatan tak dapat bezakan mana pendatang asing, mana warganegara sebab pendatang asing ini juga ada kad pengenalan biru.

"Sekarang di Selangor sudah mula menular sebab nak rampas Selangor.

"Saya menyeru supaya kita selamatkan Selangor jangan jadi seperti Sabah gara-gara Umno-BN nak mengekalkan kuasa mereka," kata Azmizam dalam satu program ceramah di Taman Telok Gadong.

Azmizam berkata, beliau sendiri bertemu dengan empat warga Myanmar yang mendapat kad pengenalan biru secara mudah dan sempat membuat salinan dua daripadanya.

"Saya beri amaran kepada mereka, jangan sampai saya jumpa mereka di tempat mengundi, kalau jumpa siaplah," kata beliau lagi.

Sebelum ini, bekas Ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah ketika tampil sebagai saksi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung projek IC mendakwa beliau dan beberapa kakitangan lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin bagi melicinkan operasi projek IC.

Abdul Aziz adalah Setiausaha Politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Manakala seorang saksi lain turut mengaitkan dua bekas orang kanan Mahathir  berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.

Bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin turut mendakwa menerima arahan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.

Husam: 'Saya tanding di Putrajaya demi rakyat Malaysia'

Posted: 28 Apr 2013 09:28 PM PDT

JANATUL FIRDAUS YAACOB & JAMILAH HAMZAH

Husam Musa
Husam Musa
 
ANAK Kelantan ini bersemangat waja dan yakin mampu menggugat kedudukan Umno-Barisan Nasional (BN) di kubu kuatnya dan lambang kebanggaan negara, Putrajaya.

Menggunakan pendekatan yang lebih mesra dengan rakyat, mendengar keluh kesah mereka yang bergelar penjawat awam, calon Pas, Datuk Paduka Husam Musa komited untuk menyantuni masyarakat Putrajaya jika diberi peluang sebagai wakil rakyat di kawasan terbabit.

Ikuti wawancara wartawan SINAR HARIAN ONLINE.

SINAR HARIAN ONLINE: Memandangkan pada PRU13 ini Datuk akan bertanding di Putrajaya jadi apakah kriteria yang perlu ada untuk dipilih sebagai calon menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) ini?

HUSAM: Yang pertama setiap wakil rakyat mesti mampu memperjuangkan kepentingan rakyat di sesuatu tempat dan juga di seluruh negara.
Kemudian yang kedua saya kira sebagai wakil Pas seorang wakil rakyat mestilah mempunyai keperibadian Islam dalam hidup mereka dan boleh memberikan sedikit sebanyak tazkirah, menjadi imam solat, boleh menghayati ajaran Islam.

Dalam bidang kepimpinan dan pemerintahan perlukan semua itu, jadi saya kira rakyat di mana-mana tempat bukan sahaja Putrajaya memerlukan pemimpin yang boleh memperjuangkan aspirasi mereka di samping mempunyai keperibadian Islam yang boleh membantu meninggikan daya kepimpinan mereka.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah cabaran Datuk pada kali ini, yang akan bertanding di dua kawasan berbeza Salor di Kelantan dan Putrajaya?

HUSAM: Ini bukan masalah cabaran kerana dua kawasan berbeza, cabarannya sistem demokrasi negara kita ini tidak benar-benar bebas dan telus.

Sehingga hari ini kami belum dapat kebenaran untuk mengadakan ceramah dalam kawasan Parlimen Putrajaya padahal kita ini mengamalkan sistem demokrasi dan Putrajaya ini adalah ibu kota pusat demokrasi dalam negara (temu bual diadakan sehari sebelum penamaan calon).

Kenapa ada batas-batas? Jadi ini menjadi halangan, dan halangan kedua adalah tiada akses media jadi saya nak berkomunikasi dengan semua penduduk saya tidak ada instrumen, saluran sepatutnya pada masa pilihan raya semua pihak diberikan masa siaran, satu-satunya TV yang datang temu bual saya Sinar TV, TV lain tak pernah minta untuk temu bual saya.

Semasa saya melawat, berjumpa dengan orang ramai, tv-tv lain tidak ada buat liputan sedangkan sebelah sana, kalau Umno, kalau dia terbatuk pun TV siarkan jadi tak seimbanglah. Ini halangan besar di seluruh negara bukan sahaja di Putrajaya.

SINAR HARIAN ONLINE: Selain daripada halangan tidak mendapat akses media apa lagi cabaran kepada Datuk untuk mendapatkan Putrajaya?

HUSAM: Cabaran lain di sini umumnya perasaan takut warga Putrajaya. Sekarang sudah hilang ketakutan, pada mula dulu saya ingat mereka takut tapi sekarang oleh sebab mereka yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) ini mampu ditumbangkan kerana dosa-dosa yang tidak dapat lagi dimaafkan oleh rakayat jelata dan tidak ada perubahan ketara dalam segi sikap pemimpin-pemimpin utama.

Bahkan tokoh-tokoh lama yang bermasalah dari segi politik wang juga terpilih sebagai calon dan kebangkitan berlaku di seluruh negara termasuk di Sabah jadi kakitangan dan guru-guru di sini nampak yakin bahawa selepas 6 Mei 2013 ada sebuah kerajaan baru.

Jadi dulu orang cakap mereka takut tetapi kali ini nampaknya sudah tidak takut.

Saya harap tidak ada ugutan-ugutan dibuat. Ada beberapa blog yang terbabit dengan parti lawan saya, menyiarkan nama-nama dan juga gambar-gambar ugutan terhadap sesetengah kakitangan yang telah memberikan komen yang bebas dalam blog-blog, Facebook dan lain-lain.

Saya kira ini bersalahan dengan 'spirit' yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga oleh Tun Mahathir Mohamad bila kita buka dunia siber kita nakkan kebebasan minda semua warga negara Malaysia.

Dengan kebebasan itu mereka akan menjadi lebih maju dan berpolitik kerana minda mereka tidak dikongkong. Kalau ugutan-ugutan dibuat, ini bersalahan dengan semua polisi-polisi negara kita.

Jadi adalah ujian besar Putrajaya ini BN terikat dan mematuhi promosi yang mereka sendiri lakukan seperti dunia maya yang tidak ada batasan sekatan asalkan ia adalah berakhlak, bermoral dan tidak melanggar undang-undang utama negara dan juga.... di mana saya dilarang berkempen sama ada ceramah ataupun aktiviti lain melawat apartmen-apartmen di sini, kawasan presint-presint di sini kalau tidak dunia akan katakan kita mundur ke belakang.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah setakat ini insiden seperti itu berlaku di Putrajaya?

HUSAM: Setakat ini tiada apa-apa insiden kerana saya bergerak dengan cara yang sangat 'low profile' tapi selepas penamaan calon kita akan memohon permit untuk ceramah, mempamerkan skrin LED kita di pasar-pasar, masjid dan lain-lain dan juga aktiviti menyebarkan maklumat dan kempen rumah ke rumah. Saya berharap masa itu tidak ada sebarang gangguan.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah isu yang akan Datuk bawa untuk meraih sokongan pengundi di sini?

HUSAM: Isu adalah isu mereka, saya tak boleh reka isu apa yang telah mereka suarakan pada saya, saya dah sebut dah sebelum ini, hari-hari pertama saya di sini adalah untuk berinteraksi, mendengar, menghayati kehidupan mereka jadi selepas itu banyaklah disampaikan pelbagai rungutan.

Masalah utama sekali adalah perumahan mahal, tidak mencukupi, dan sempit bagi kaki tangan awam rendah. Kemudian masalah premis perniagaan, yang sewanya adalah melalui orang ketiga yang terlalu mahal dan tidak diberi peluang untuk disewa beli kepada peniaga menyebabkan kos juga naik.

Isu ketiga adalah kos hidup naik, termasuk bayaran bil elektrik dan air termasuk cukai bandar adalah yang tertinggi di Putrajaya. Isu lain adalah mengenai tempat 'parking' yang tidak cukup baik di apartmen mahupun di pejabat dan sesetengah tempat 'parking' berbayar. Apabila kakitangan bawah datang mereka tidak ada tempat 'parking', kalau mereka salah 'parking' tayar kereta mereka dikunci. Jika berbayar pula tidak berbaloi dengan pendapatan mereka.

Kemudian sekolah agama tidak mencukupi kerana di sini penduduknya majoriti orang Islam dan mereka mencadangkan mewujudkan maahad tahfiz sains dan ada satu cadangan lain mereka berharap kita boleh menubuhkan madrasah atau pun institusi al-Quran peringkat dunia sesuai dengan tahap dan taraf Putrajaya dan menjadikan al-Quran sebagai orientasi pusat tersebut.

Selain daripada itu isu lif rosak, isu klinik kesihatan yang tertangguh lama, isu kafetaria terbakar yang sudah hampir lapan bulan terbakar, selepas saya lawat barulah Tengku Adnan melawat. Itu maknanya baguslah sama-sama melawat dan itu isu lokal.

Dalam pada itu, isu blok pangsapuri Putra Damai bagi kumpulan kakitangan rendah sewanya adalah dari segi nisbahnya berbanding tempat lain adalah tinggi jadi saya cadangkan bagi kuarters ini Putra Damai dikurangkan sewanya dan rumah ini terlalu sempit 650 kaki persegi dan sepatutnya 1,000 kaki persegi.

Manakala isu pentadbiran, termasuk kongkongan terhadap pegawai-pegawai. Dalam satu insiden seorang penduduk di sini, bila jumpa saya di medan selera Presint 8, dia datang sambil menangis kerana dia rasa tertekan sedemikian lama.

Dia terharu bila saya datang bertanding di sini dan dia harap kali ini Putrajaya akan merdeka sama dengan Malaysia sekarang, dia kata Putrajaya tidak merdeka duduk dalam kongkongan.

Pegawai-pegawai rasa dikongkong, dihimpit, dikawal dan isu pegawai awam adalah antara lainnya peratus caj pinjaman kerajaan dan perumahan.

Mereka cadangkan ini dihapuskan dan mereka juga mahukan supaya tidak ada campur tangan politik dalam jabatan pentadbiran penjawat awam.

Penjawat awam boleh buat keputusan berdasarkan rasional sesuatu perkara bagi mengelakkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah dan pembaziran peruntukan. Mereka percaya kalau tidak ada campur tangan politik keputusan-keputusan akan jadi lebih jitu seperti NFC mereka berpendapat kalau ada campur tangan politik RM250 juta itu dapat diselamatkan, itu satu contoh.

Kemudian isu nasional adalah seperti penghapusan tol, penurunan harga minyak, adalah disambut baik dan saya lupa tadi isu kakitangan juga adalah pusat asuhan jagaan anak-anak tidak mencukupi, orang kena beratur untuk hantar anak sejak dari dalam kandungan lagi sudah kena daftar kalau tidak dia tidak dapat hantar anak dia ke pusat jagaan tersebut. Jadi ada isu kecil, lokal dan nasional yang wujud di Putrajaya.

SINAR HARIAN ONLINE: Sejak bila Datuk kenal pasti isu-isu tersebut?

HUSAM: Saya datang ke sini menemu bual mereka dan kemudian membuka Facebook dan talian aduan, sebahagian staf saya berinteraksi dengan mereka dalam perjumpaan-perjumpaan dan dari situlah kami mengutip masalah-masalah ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah pembaharuan yang Datuk bawa berbanding pemimpin BN di Putrajaya?

HUSAM: Yang pertama mereka semua tahu 'track record' saya dalam Parlimen dahulu saya boleh menyuarakan. Jadi saya sudah tulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Perdana Menteri, rakyat jelata.

Saya telah tulis surat menyuarakan bagi pihak rakyat Insya-ALLAH kalau saya jadi ahli Parlimen, saya boleh bertemu dengan Perbadanan Putrajaya, Putrajaya Holdings dan pihak-pihak berkuasa lain, menteri dan lain-lain untuk membawa isu ini kepada mereka.

SINAR HARIAN ONLINE: Jika boleh Datuk kongsikan, apakah yang pengundi perlu tahu tentang Datuk dan perlu menyokong Datuk?

HUSAM: Negara kita perlukan perubahan, arah yang dibawa oleh kerajaan sekarang ini adalah menuju kepada kehancuran. Saya ambil contoh dari segi hutang negara. Hutang negara semasa Datuk Seri Najib meningkat mendadak daripada RM350 bilion sekarang kepada RM500 bilion lebih iaitu naik RM229 bilion. Naik dalam masa tidak sampai lima tahun. Ini tertinggi berbanding bekas-bekas perdana menteri sebelum ini .

Jadi sehingga hari ini, tidak nampak gaya hutang negara ini akan berhenti bahkan terus meningkat dan setengah hutang ini tidak dikira tetapi sebagai tanggungan negara seperti bon yang dikeluarkan 1 Malaysia Development Berhad dalam masa dua tahun sahaja 1MDB ini telah keluar bon berpuluh ribu juta, RM20 bilion bon.

Maknanya kalau tidak disekat ia akan 'membelon' terus sampai pecah. Jadi negara kita akan jadi bermasalah. Jadi ini menunjukkan bahawa kerajaan sedia ada tidak lagi mampu menguruskan negara kita dan isu-isu pecah belah, perkauman, seks lucah, caci maki tidak dapat dihalang bahkan berkembang dengan begitu ketara.

Nampaknya kerajaan hanya berdiam diri, jadi tidak mungkin masyarakat kita sepanjang masa berada dalam ketegangan. Sebuah kerajaan yang berteraskan akhlak dan moral keadilan serta kesaksamaan perlu diwujudkan. Sebuah kerajaan bersih dan telus serta akauntibiliti adalah asas berkerajaan yang ditekankan oleh Islam.

Amanah ALLAH sendiri sebagai makhluk, di mana pengundi yang berikan undi itu pun satu amanah. Jadi amanah ini ALLAH gunakan titah untuk dilaksanakan menghakimi manusia dengan keadilan.

Bila suatu kuasa telah disalahgunakan wajib kepada kita untuk betulkan semula kuasa tersebut. Jadi pada hari ini calon-calon ada yang dikitar semula yang pernah kena politik wang, terkenal terlibat dalam rasuah masih dipilih. Kabinet dengan sendirinya nanti tidak bersih, Kabinet lama yang mengulangi cerita-cerita politik wang.

Maknanya peluang bagi BN adalah terhalang dan PR menampakkan perpaduan dan kesungguhan dan 'track record' di negeri-negeri yang ditadbir dengan berkebajikan. Dengan berkebajikan ini kita yakin kita lebih sensitif dengan rakyat jelata apa yang menjadi masalah mereka akan menjadi keutamaan dalam dasar-dasar kita.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah jaminan Datuk boleh berikan kepada rakyat terutamanya warga Putrajaya sekiranya berjaya menawan Parlimen ini bahawa keadaan politik seumpama ini tidak akan wujud lagi?

HUSAM: Kita dalam Islam nombor satu adalah keperibadian mesti bertakwa, tetapi kalau keperibadian bertakwa sistem dan mekanismenya tidak baik, lama-lama orang itu boleh jadi tidak baik.

Umpamanya pemimpin-pemimpin kerajaan mesti mengisytiharkan harta mereka dan pengisytiharan ini bukan untuk simpanan perdana menteri dalam biliknya. Kalau disimpan dalam laci perdana menteri dia tahu orang ni bertambah kekayaan tetapi kroninya ditambah lagi kekayaan melalui projek.

Mekanisme lebih bertanggungjawab boleh diaudit oleh Ketua Audit Negara, boleh diperiksa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain. Dan dengan cara itu pemimpin kurang peluang untuk melakukan kesalahan penyalahgunaan kuasa, serta mengaut kekayaan sesama mereka.

Sistem tender terbuka boleh mengelakkan kronisme dan menghapuskan orang tengah yang dipanggil monopoli seperti Perbadanan Putrajaya. Perbadanan ini bagi orang tengah untuk kawal premis perniagaan untuk ambil untung, kalau kita buang fungsi orang tengah ini, keuntungan itu boleh dijimatkan. Kita juga boleh mengurangkan kos sewa sama dengan Bernas yang berfungsi sebagai orang tengah dalam industri beras negara 2012.

Kenapa teksi tidak boleh diberikan secara milikan terus? Hanya dekat pilihan raya diuar-uarkan nak bagi tapi amalan kronisme beri kepada orang tertentu masih berjalan.
Sistem itu tidak ada sistem itu, tak ada terbuka, tak ada telus, amalan kronisme di mana orang tengah ambil peluang mengambil keuntungan masih lagi berlaku.

SINAR HARIAN ONLINE: Ada dakwaan yang mengatakan ramai kakitangan kerajaan ini adalah orang Kelantan. Jadi adakah dengan tanggapan itu menjadi salah satu faktor berani mengambil risiko bertanding di sini?

HUSAM: Tak ada itu tak betul, orang Kelantan di sini tidak seramai mana dan saya bukan datang kerana Kelantan, Datuk Najib dia dari Pekan macam mana dia boleh duduk sini? Kalau kira macam itu semua menteri-menteri tak boleh duduk Putrajaya. Tengku Adnan sendiri berasal dari Melaka, jadi kalau orang Melaka boleh bertanding sini, apa salah orang Kelantan bertanding di sini?

Saya bukan bertanding di sini untuk orang Kelantan tetapi untuk Malaysia, untuk negara kecuali dia buat di situ orang Kelantan tak boleh masuk sini kenapa nak 'bias' dengan Kelantan?

Mentang-mentang saya Kelantan, jadi saya ini rakyat kelas kedua? Perdana menteri pun sebut dalam ucapan beliau saya ini orang Kelantan, adakah orang Kelantan ini rakyat kelas kedua dalam Malaysia, sehingga orang di Putrajaya anggap saya 'paria' yang tak boleh bertanding.

Tak kenalah macam itu. Kita sudah berada pada abad 21. Malaysia negara maju, Putrajaya mesti menganuti fahaman masyarakat madani. Putrajaya mesti jadi 'an excellent city '.

Ciri-ciri keterbukaan menerima perbezaan pendapat dan melahirkan idea-idea yang boleh dicambah oleh pelbagai pihak untuk kebaikan bersama dan kesaksamaan yang menyeluruh yang utama sekali.

Ciri kemanusiaan bukan bangunannya, bangunan itu kedua. Manusia dan kemanusiaan itu utama.

Bangunan dan lain-lain infrastruktur berada di tempat kedua. Infrastruktur itu dan lain-lain itu mesti diolah seperti kehidupan, kesejahteraan penghuninya bukan hendak menjadi Tengku Adnan.

Kalau kita kata jambatan itu mahal kerana dibengkokkan begitu-begini, tetapi kemudahan tempat letak kereta tidak ada, sudah tak seimbang antara keperluan manusia yang sebenar dengan hiasan-hiasan.

SINAR HARIAN ONLINE: Jadi apakah yang membuatkan Datuk berasa kuat berada di Putrajaya?

HUSAM: Saya berasa kuat, pertama kerana sekarang di seluruh negara atmosfera politik berubah untuk perubahan.

Kedua, orang di sini orang rasional, terpelajar, terbuka, celik IT dan menerima maklumat melalui internet. Pas percaya saya boleh menang.

SINAR HARIAN ONLINE: Jika Datuk berjaya menawan Putrajaya apakah janji yang akan Datuk tunaikan kepada pengundi di sini?

HUSAM: Janji khidmat apa yang telah saya lakukan di Dewan Rakyat, Dewan Negeri boleh ditonton dalam YouTube, ada buku dalam Parlimen saya semasa jadi ahli Parlimen yang dianggap sebagai 'newsmaker of the year' oleh Malaysiakini.com.

Ini kerana saya sentiasa membangkitkan masalah isu dengan tepat, berdasarkan fakta-fakta itu antara kebolehan saya.

Saya akan teruskan bakat saya dan menyantuni masyarakat di sini sebagai sahabat. Saya datang ke sini untuk bersahabat jadi KSU, KSN, dan jusa-jusa yang banyak pendapat dan idea, kita bina potensi mereka dapatkan idea-idea mereka ini sangat berguna untuk kemajuan.

Saya akan fokus untuk selesaikan masalah-masalah berbangkit dan maahad tahfiz sains. Perbadanan Putrajaya adalah sebuah badan yang banyak duit kerana ada Petronas. Tidak mungkin Perbadanan Putrajaya ini tidak boleh layan penduduk di sini termasuklah dalam isu lif rosak tidak dibaiki, bangunan lusuh, dan sebagainya.

Ini kerana berpunca tidak ada persaingan di sini, saya yakin kalau ada persaingan di sini orang beri perhatian meningkatkan lagi mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan Putrajaya

Insya-ALLAH selepas menang baru bincang, penerimaan sangat baik. Tahun 2013 ini, tahun kelam-kabut buat Umno, ramai nak jadi calon Bebas.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah harapan Datuk pada PRU13 ini?

HUSAM: Saya berharap pilihan raya ini, berjalan licin dan aman serta rakyat tidak diugut dengan apa-apa ugutan termasuk berbaur perkauman, perpecahan dan huru hara.

Rakyat perlu diberi kebebasan memilih, lima tahun sekali nak bertukar kerajaan. Sejak 55 tahun kerajaan sedia ada memerintah, ia sudah nyanyuk dan uzur dan tidak lagi mampu, seakan-akan bertongkat, hilang daya saing dan mutu perkhidmatan sebab itu kita buat demokrasi pilihan raya.

Wujudnya persaingan, pertukaran kerajaan, Malaysia akan jadi lebih maju. Saya yakin, ALLAH bantu hamba yang tulus ikhlas untuk berkhidmat. Selepas kempen saya yakin momentum rakyat di sini naik sedikit berbanding dulu.

Kena patuk ular ketika pasang bendera

Posted: 28 Apr 2013 09:26 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

Abdul Manan
Abdul Manan melihat kesan patukan di bahagian tumit Afazi.
 
KUANTAN - Seorang ahli puteri Umno dipatuk seekor ular tedung ketika sedang memacak bendera Barisan Nasional (BN) di Perkampungan Orang Asli di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, di sini, kira-kira jam 5 petang, Selasa lalu.

Kejadian itu menyebabkan Afazi Zarita Hamzah, 26, dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapat rawatan sebelum dibenarkan pulang.

Menceritakan detik cemas itu, Afazi berkata, sebelum kejadian, dia bersama suaminya Tan Hassan, 26, dan beberapa ahli puteri Umno sedang memacak bendera BN berhampiran paya di tepi jalan.

Menurutnya, ketika sedang gigih memacak bendera BN, dia secara tiba-tiba berasa pedih di tumit kaki kiri lalu rebah mengakibatkan suaminya bersama beberapa rakan panik sebelum dia menjerit meminta bantuan.

"Saya tak perasan tapi nampak darah mula mengalir serta terdapat dua kesan patuk," katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Perkampungan Orang Asli, di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, di sini, semalam.

Turut hadir melawat, Calon BN, Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang turut bersimpati dengan nasib malang mangsa.

Afazi berkata, berikutan kesan daripada patukan ular tedung itu, dia kehilangan banyak darah namun bersyukur kerana sempat dikejarkan ke HTAA sebelum diselamatkan doktor.

Katanya, walaupun kecederaan berkenaan dianggap serius, dia tetap tidak patah semangat untuk meneruskan perjuangannya untuk menaikkan bendera BN sempena Pilihan raya Umum ke-13.

PKR bersikap positif kajian Umcedel

Posted: 28 Apr 2013 09:24 PM PDT

Saifuddin Nasution

 Datuk Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Saifuddin Nasution Ismail
 
PKR berasa bangga dengan angka survei dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang menunjukkan bahawa usaha berterusan parti untuk menjanakan perubahan yang bermakna kini menjadi kenyataan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebetulnya tidak menolak dan memandang rendah hasil kajian pendapat umum Umcedel. Sebaliknya, beliau patut menghormati hasil kajian tersebut yang dijanakan oleh sebuah badan akademik Universiti Malaya, institusi pengajian tinggi yang terunggul di Malaysia. Lagipun, Najib telah memuji Umcedel pada Jun 2012 apabila hasil kajian pendapat umum Umcedel memihak kepada pihak BN.

Kajian pendapat umum apabila dikendalikan secara professional dan berpandukan metodologi amalan terbaik merupakan barometer yang releven dan boleh dipercayai. Namun, kami akan menghormati keputusan pilihanraya seperti yang diputuskan oleh rakyat pada 5 Mei.

Pihak kami berasa bangga dan rendah hati bahawa 43 peratus orang Malaysia yang ditemubual antara April 3-20 (yang mencerminkan hampir separuh penduduk negara) percaya kepada kebolehan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri berbanding angka 39 peratus untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Adalah menggembirakan bahawa 54 peratus daripada pihak orang Melayu yang ditemubual yakin kepada Datuk Seri Anwar. Hal ini jelas menafikan dakwaan bahawa Pakatan Rakyat tidak mempunyai sokongan di kalangan orang Melayu.

Pakatan Rakyat kini berjaya meraih sokongan daripada semua sektor dan komuniti. Pihak kami akan berpegang teguh kepada kepercayaan rakyat dan berjanji akan berkempen bersungguh-sungguh sehingga hari pengundian.

(*) Datuk Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung PKR

PM tak setuju tinjauan Umcedel, yakin BN menang PRU13

Posted: 28 Apr 2013 09:22 PM PDT

SINAR HARIAN

Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
 
RAWANG - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan sebagai karut satu tinjauan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), dan menegaskan beliau yakin Barisan Nasional (BN) berada di laluan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Najib berkata beliau tidak setuju dengan kajian Umcedel itu yang menunjukkan beliau berada empat mata di belakang penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

"Saya tidak setuju dengan tinjauan itu (oleh Umcedel). Kami ada tinjauan kami sendiri. Tinjauan saya menunjukkan kami (BN) berada di hadapan.

"Saya yakin kita boleh memenangi PRU13," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru Sungai Terentang di sini hari ini.

Najib mengulas tinjauan itu dibuat awal April melibatkan 1,407 responden yang tinggal di Semenanjung Malaysia.

Tinjauan itu menunjukkan 43 peratus pengundi berpendapat Anwar layak jadi perdana menteri sementara 24 peratus tidak setuju dan selebihnya tidak pasti.

Sementara bagi Najib, 39 peratus pengundi berkata beliau layak menjadi perdana menteri sementara 31 peratus tidak setuju dan 30 peratus selebihnya tidak pasti. - Bernama

Tiada jaminan ulama menang

Posted: 28 Apr 2013 09:21 PM PDT

FARUSH KHAN

PRU13
PRU13
 
SHAH ALAM – Berbanding dengan pilihan raya umum  (PRU) yang silam, PRU13 menyaksikan lebih ramai ulama ditampilkan untuk menjadi calon.

Keadaan ini wujud bukan sahaja dalam parti yang meletakkan Islam sebagai teras perjuangan mereka, bahkan parti yang menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan kepentingan pembangunan fizikal.

Justeru, untuk mengatakan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) sebagai satu-satunya parti yang menampilkan ulama sebagai calon adalah tidak tepat, kerana parti seperti Umno, parti pemerintah dalam gabungan Barisan Nasional (BN), juga turut memberi tumpuan dan tempat kepada ulama dalam setiap PRU.

Bezanya hanyalah parti mana yang meletakkan lebih ramai tokoh ulama dalam barisan calon-calon mereka dan sejauh mana mereka dikenali, diterima dan mampu menjadi calon boleh menang.

Kemenangan cemerlang BN pada PRU11 juga tidak boleh dinafikan mempunyai kaitan rapat dengan pengaruh agama dan ulama, yang sekali gus dikaitkan pula dengan kejujuran, ketelusan dan keadilan.

Parti itu diberi mandat di luar jangkaan barangkali disebabkan latar belakang dan personaliti perdana menteri ketika itu, yang dikaitkan dengan pengaruh ulama dan agama.

Masalahnya, prestasi cemerlang seperti ini tidak bertahan lama, bukan kerana perubahan sikap pemimpin, tetapi kerana ketidakpuasan hati rakyat dengan perkhidmatan yang diberikan.

Terbukti, latar belakang sahaja bukan jaminan seseorang calon boleh menang pilihan raya.

Yang menjadi pilihan rakyat dalam setiap PRU tetap kepada tokoh yang terkenal, mempunyai pengaruh yang kuat dan membuktikan kemampuan serta kesediaan mereka untuk berkhidmat, memperjuang dan mengamalkan apa yang diajar, walaupun mereka bukan ulama.

Sebagai contoh, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah tidak dikenali sebagai tokoh ulama, namun pada 1969, kerana ketokohan beliau, beliau menewaskan tokoh agama dan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Asri Muda, yang dua tahun kemudian menjadi Presiden Pas. Tengku Razaleigh terus menang dalam setiap PRU yang ditandinginya.

Sebaliknya, Datuk Dr Haron Din, tokoh agama yang sangat terkenal dan berpengaruh di seluruh negara terutama disebabkan kelulusan, peranan dan perkhidmatannya kepada masyarakat, tewas dalam PRU 2004 dan PRU 2008.

Apakah dengan memilik MA Syariah dari Ain-Shams, Universiti Kaherah dan PhD Syariah, di samping banyak jawatan, termasuk sebagai Timbalan Mursyidul Am Pas, ahli Majlis Fatwa Selangor dan Perlis, tidak cukup untuk beliau dipilih? Apakah pengundi berasa walaupun beliau layak menjadi wakil rakyat, tetapi beliau lebih layak meneruskan sumbangan sebagai seorang ulama dan pendidik?

Sekali lagi terbukti, ulama bukan jaminan untuk memenangi pilihan raya.

Untuk PRU13, BN sudah pun membariskan beberapa tokoh agama sebagai calonnya. Antara yang dikenali ialah Dr Fathul Bari Mat Jahaya, seorang alim muda berusia 33 tahun dan pendakwah yang aktif mengajar di majlis-majlis pengajian ilmu di dalam dan luar negara. Turut dicalonkan oleh BN ialah bekas kadi Segamat, Abdul Mutalib Abdul Rahim (Layang-Layang), antara lain.

Bagi Pas, di samping Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, tokoh-tokoh agama yang turut dipilih sebagai calon ialah Mohd Shamsul Mohd Yusoff (Pasir Tumboh), Nasrudin Hassan (Temerloh), penceramah Mohd Azam Mohd Razak (Endau) dan Kamaruddin Sedik (Serkam), antara lain.

Ketokohan mereka sebagai orang agama, kelulusan mereka di bidang agama dan kesediaan mereka untuk menunaikan amanah dengan sebaiknya tidak dipersoalkan, namun apakah ada jaminan bahawa mereka akan dipilih oleh pengundi seperti yang diharapkan oleh parti masing-masing?

Apa pun, keputusannya tetap di tangan pengundi dan persoalan ini hanya akan terjawab pada Mei 5 nanti.

Tiada ulasan: