DIALOG RAKYAT |
- Seorang Mufti Akan Jadi Calon PKR
- PAS gesa kerajaan senarai syarikat terlibat perjanjian LIMA 2013
- Kit Siang: Saya tunggu Dr M di Gelang Patah
- [BONGKAR] K'jaan Terengganu Bayar Pertemuan Dengan Blogger UMNO Termasuk Papagomo?
- Bahasa Kebangsaan tetap dimartabat jika Pakatan perintah
- Nurul Izzah tunjuk bukti surat SPR maklum kes pengundi diragui
- Lajim yakin Pakatan tawan Sabah
- Petugas p’raya KEADILAN Lembah Pantai diugut samseng, khemah diroboh
- Umno BN kena dedahkan perjanjian kontrak pertahanan RM4.27 bilion
- Bekas Polis : Pencerobohan Lahad Datu Mengelirukan
- Masalah sosial: Kelantan telah lakukan yang terbaik
- Mahfuz: BN rancang huru-hara 13 Mei?
- Harga Motosikal Lebih Murah Di Bawah Pakatan Rakyat
- PR sasar 12 tambahan kerusi Parlimen di negeri bukan deposit tetap BN
- Izzah Sanggah SPR, Kemuka Surat Aduan Sebagai Bukti
- Dakwaan Manifesto Rakyat Lonjak Defisit Negara Tidak Berasas
- Tiada kompromi: DAP tegas angkat Melayu jadi MB Negeri Sembilan
- Deklarasi Gelang Patah bukti DAP serius tangani isu komuniti India
- Najib perlu umum jika mahu parlimen dibubar automatik
- Penyanyi Yasin disoal siasat SKMM petang ini
- Istilah perkuda tidak wujud
- Bantuan persekolahan RM100, dapat hanya RM50
- PRU13: Ahli MPAN 308 sokong Pakatan Rakyat
- Mahathir: Jangan bagi pembangkang menang di Johor
- Ceroboh Sabah: Muhammad Ridzwan serah diri bantu siasatan
Seorang Mufti Akan Jadi Calon PKR Posted: 01 Apr 2013 05:26 AM PDT MSO PKR bakal mendapat lonjakan baru apabila seorang Mufti dikatakan akan bertanding atas tikit parti berkenaan. Pengumuman penyertaan Mufti berkenaan ke dalam parti itu akan diumumkan sendiri oleh Penasihat Umumnya Anwar Ibrahim sempena kunjungan Anwar ke negeri berkenaan 7 April nanti. Penyertaan Mutfi ini memberi suntikan dan keyakinan baru bahawa PKR bukan parti yang cuba membawa pepercahan umat negara ini atau pun menolak tanggapan ia parti rasis ataupun tidak memandang berat kepada kedudukan agama Islam. Seorang Mufti sudah tentu beliau tahu mengenai hukum hakam dan juga falsafah politik dan kepentingan politik dari sisi agama. Penyertaan Mufti ini secara tidak langsung menempelak pandangan dan kritikan ulama muda yang cuba mengaitan perjuangan PKR sebagai alat kepada DAP seperti mana dituduhkan ke atas PAS. | ||
PAS gesa kerajaan senarai syarikat terlibat perjanjian LIMA 2013 Posted: 01 Apr 2013 05:20 AM PDT Mahfuz berkata langkah tersebut penting untuk rakyat mengetahui tentang perjanjian yang dibuat demi ketelusan supaya pertikaian komisyen pembelian Scorpene tidak berulang lagi seperti sebelum ini. "Saya menggesa kerajaan menyenaraikan projek ataupun pembelian yang dibuat selepas 8 Mac 2013 iaitu selepas berakhir mandat 5 tahun. "Kerajaan tidak berhak membuat apa-apa keputusan yang boleh memberi implikasi kewangan apabila mandat sudah tamat," kata Mahfuz pada satu sidang media di ibu pejabat PAS, Raja Laut di sini. Mahfuz mengakui secara perlembagaannya tempoh berakhir Parlimen ialah pada 30 April, tapi secara moral politiknya tindakan oleh kerajaan tersebut adalah salah. "Ia adalah tindakan tidak wajar... hingga kini kerajaan belum menyenaraikan apa-apa syarikat dan agensi kerajaan yang terlibat. "Ini adalah satu tindakan tidak wajar... seperti kes pembelian Scorpene lalu, berapa banyak orang tengah dapat komisyen dalam pembelian baru-baru ini pula?" soal MP Pokok Sena tersebut. Disamping itu, Mahfuz berkata sekiranya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Putrajaya mereka akan dedahkan satu persatu butiran dalam perjanjian LIMA baru-baru ini dan yang terdahulu dianjurkan. Mahfuz juga berkata walaupun nama-nama syarikat dan agensi kerajaan yang terlibat dalam perjanjian LIMA sudah dikeluarkan kepada umum, perkara tersebut masih tidak memadai memandangkan butiran dan maklumat tentang perjanjian tersebut masih lagi berada dalam gelap. Skandal pembelian kapal selam Scorpene mula mendapat perhatian semula pada 2012 apabila badan hak asasi manusia SUARAM secara aktif telah mengikuti skandal Scorpene di mahkamah Perancis, dan berazam untuk mendedahkan dakwaan rasuah kerajaan dalam pembelian kapal selam berbilion ringgit pada tahun 2009 dan mungkin membuka semula kes pembunuhan model Mongolia Altantuyaa Shaariibuu, yang dikatakan ada kaitan dengan perjanjian itu. Pada April tahun ini, Tribunal Grand Instance di Paris memulakan siasatan ke atas dakwaan bahawa firma Perancis DCNS telah membayar kira-kira RM452 juta sebagai rasuah kepada pegawai Malaysia untuk mendapatkan kontrak bagi dua kapal selam tentera laut. SUARAM juga telah memfailkan aduan ke mahkamah Perancis pada tahun 2009. Dalam satu sidang akhbar di Bangkok pada 30 Mei, peguam Perancis SUARAM, Joseph Breham telah mendedahkan dokumen kerajaan tentang penilaian tentera laut Malaysia tentang kapal selam Scorpene yang mereka rancang untuk beli telah dijual oleh Terasasi (Hong Kong) Ltd kepada DCNS dengan harga RM142 juta. Abdul Razak Baginda, bekas ketua pemikir yang menjadi watak utama dalam penyiasatan 2006 dalam kes pembunuhan Altantuya, disenaraikan sebagai pengarah Terasasi dengan bapanya, Abdul Malim Baginda. Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini semasa pameran LIMA di Langkawi telah mengumumkan 24 perjanjian membabitkan pelbagai aset dan perkhidmatan pertahanan bernilai RM4.2 bilion, ditandatangani antara Kementerian Pertahanan, syarikat industri pertahanan tempatan dan antarabangsa serta kerajaan negeri Pahang. Ahmad Zahid berkata jumlah keseluruhan itu diperoleh menerusi enam Dokumen Kontrak serta tiga Surat Setuju (LOA) Kementerian Pertahanan bernilai RM548 juta disamping 11 Memorandum Persetujuan (MoA) dan empat Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM3.7 bilion. Antara syarikat yang menandatangi Dokumen Kontrak dan LOA adalah syarikat Joint Stock Company Aviation Holding Company Sukhoi, Rosebank Engineering, UniKL Resources, Telekom Malaysia, syarikat penerbangan MAS, BHIC Aeroservices dan BHIC Defence Techservices. | ||
Kit Siang: Saya tunggu Dr M di Gelang Patah Posted: 01 Apr 2013 05:16 AM PDT "Saya yakin tiada pihak akan kata 'Tidak' ... lagipun beliau lebih berkuasa dengan berselindung 'dibalik tabir' apabila sama sibuk semasa menjadi perdana menteri selama 22 tahun lalu dengan kenyataan-kenyataan hariannya kepada pemimpin Umno dan BN," kata Kit Siang ketika berucap di Taman Molek, Johor Jaya, di sini. Jelas Ketua Parlimen DAP itu lagi, dengan bertanding di Gelang Patah juga, kedua-dua seteru politik itu bakal membuktikan "siapa yang akan terkubur" apabila mempertaruhkan nasib mereka kepada pengundi di kawasan yang menjadi milik BN sejak sekian lama. Menurut Kit Siang lagi, beliau berani meninggalkan kerusi Ipoh Timor yang ditandinginya dan memiliki kedudukan selesa berbanding untung nasib yang belum diketahui di Gelang Patah, serta mempersoalkan keberanian Dr Mahathir untuk melakukan tindakan sama dengan bertanding menentangnya di kerusi yang kini menjadi milik Tan Ah Heng, yang merupakan Ketua Wanita MCA Johor. "Saya menjemput Dr Mahathir untuk bertanding di Gelang Patah dan biarkan pengundi menentukan hayat politik siapa akan berakhir, sama ada kuburkan saya atau beliau. "Saya bersedia menyerahkan nasib kepada penduduk Gelang Patah yang memiliki 53 peratus pengundi Cina, 33 peratus Melayu, dan 12 peratus pengundi India," tegasnya. Gelang Patah menjadi perhatian apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kit Siang akan bertanding di kawasan berkenaan, sekaligus menamatkan konflik perebutan kerusi berkenaan antara Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau, dan Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Chua Jui Meng. "Adakah Dr Mahathir sedia menyerahkan hayat politiknya kepada pengundi Gelang Patah,?" soal Kit Siang dalam ucapannya. Gelang Patah yang dimenangi parti komponen BN daripada MCA menunjukkan majoriti besar apabila menewaskan calon PKR dalam Pilihan Raya 2008, 9,000 undi. "Meninggalkan Ipoh Timor yang saya menangi dengan majoriti 21,000 undi pada PRU 2008 untuk Gelang Patah, saya diibaratkan 'menggantung diri'. "Berdasarkan sejarah Gelang Patah yang sering memihak kepada BN, Dr Mahathir seharusnya akan menang selesa dengan majoriti besar," kata Kit Siang. "Saya tunggu Mahathir di Gelang Patah." Dr Mahathir malam tadi menyeru rakyat Johor untuk menamatkan karier politik Kit Siang di Gelang Patah dalam Pilihan Raya 2013 dalam rangka untuk membantu BN mempertahankan kubu kuat mereka daripada kemaraan pembangkang. "Sekarang ni Lim Kit Siang nak datang ke Johor, mudahlah, boleh menang bila-bila jam. Orang Johor mesti ganyang dia habis-habis ... biar itu jadi hari terakhir dia dalam bidang politik," kata Dr Mahathir dihadapan ribuan orang di projek perumahan rakyat anjuran Umno Pulai di luar Hospital Pulai di sini. Kedatangan beliau di sini selepas ceramah Pekatan Rakyat (PR) hampir setiap malam dan yakin akan menang beberapa kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri kelahiran Umno itu. Bekas presiden Umno dan pengerusi BN itu mengkhususkan kepada Kit Siang, musuh politiknya semenjak beliau masih perdana menteri bermula 1982, sehingga bersara pada 2003. "Kalau dia nak bertanding di Penang, Melaka kita faham, tapi nak serang kubu Umno di Johor ini perbuatan bodoh, tak masuk akal," Dr Mahathir memperlekehkan Lim, pemimpin veteran DAP yang merupakan anak kelahiran Johor. Beliau mengatakan pemimpin DAP itu seharusnya memikirkan persaraannya oleh kerana sudah lama berada dalam politik dan partinya sering bercakap soal perubahan. | ||
[BONGKAR] K'jaan Terengganu Bayar Pertemuan Dengan Blogger UMNO Termasuk Papagomo? Posted: 01 Apr 2013 05:09 AM PDT KELAB GREENBOC Kuala Terengganu: Umno negeri Terengganu mempunyai hubungan dengan blogger penjenayah dan pengundi hantu Papagomo serta pernah menggunakan wang kerajaan negeri menjemput beliau pada satu majlis pada hujung Januari, tahun lalu. Menurut Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu, Dr Azman Ibrahim, seramai 50 orang 'bloggers dan facebookers' pro Umno dari seluruh negara menghabiskan masa selama dua hari menjadi tetamu kerajaan dan disambut oleh pemimpin kerajaan termasuk Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Ahmad Said dan Exco kerajaan YB Razif Bin Abdul Rahman. "Majlis Pemimpin Bersama Bloggers anjuran Kerajaan Umno Terengganu yang diadakan di sebuah hotel di Bandaraya Kuala Terengganu dengan turut sama disertai oleh MB Ahmad Said serta beberapa orang EXCO Kerajaan Negeri, "Pihak KAMI memandang serius perkara ini terutamanya apabila ada di kalangan blogger yang dijemput adalah blogger pemfitnah seperti Papagomo dan blogger Pas Beruk yang mengesahkan pembabitan kerajaan Umno dengan fitnah dan caci maki, "Apatah lagi kini telah disahkan oleh PDRM bahawa Papagomo telah ditamatkan perkhidmatan kerana melakukan jenayah dan Pengerusi SPR mengakui bahawa beliau juga adalah seorang pengundi hantu," ujarnya. Menurutnya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff selaku Pengerusi SPR mengaku wujud dua nama Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) yang memegang kad pengenalan (biasa) 830121-03-5019 dan kad pengenalan (polis) RF142863 yang didaftar dua kali atau dengan lain perkataan mendaftar sebagai 'pengundi hantu' di dalam daftar pengundi. Manakala susulan penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azman berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 28 Mac lalu mengesahkan bekas anggotanya Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang popular sebagai penulis blog dengan nama samaran Papagomo, telah dibuang kerja kerana kes jenayah. "Mortadza menjelaskan, Wan Muhammad Azri telah ditangkap atas satu kesalahan jenayah dan dihadapkan ke mahkamah pada 31 Oktober 2005. dan kemudiannya telah dibuang kerja daripada pasukan polis sejak September 2012. "Penjelasan polis ini menunjukkan kerajaan Umno Terengganu selama ini telah mempunyai hubungan bekerjasama dengan blogger papagomo yang disahkan melakukan jenayah,"ujarnya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media. -BO Ulasan GB GB meminta satu laporan polis dibuat oleh KAMI. Setidak-tidaknya untuk tujuan rekod sekalipun besar kemungkinan polis tidak menyiasat hal tersebut (Ini kerana sebelum ini sudah ada laporan hubungan baik Ketua Polis Negara dengan si penjenayah itu, papagomo). Namun sekalipun tiada tindakan polis buat ketika ini, kita akan pastikan tindakan dilakukan semasa PR memerintah nanti dan tindakan saman ke atas polis yang tidak mengambil tindakan ke atas laporan yang dilakukan juga akan dilakukan nanti. Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan dan yang bersalah pasti terhukum! | ||
Bahasa Kebangsaan tetap dimartabat jika Pakatan perintah Posted: 01 Apr 2013 05:04 AM PDT Oleh Nazar Hashim ALOR SETAR : Pakatan Rakyat tetap akan mempertahan dan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan jika berjaya menerajui pemerintahan negara, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya, kedudukan sekolah jenis kebangsaan serta sekolah agama juga akan diberi perhatian sama rata. "(Tak kira) sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan serta sekolah agama tetap akan mendapat peruntukan modal di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat," kata Anwar pada pertemuan bersama lebih 3,000 masyarakat Tionghua di Dewan Soo Heng, Taman Berjaya, Alor Setar, Kedah, semalam. Beliau turut membidas tol yang dikenakan ke atas rakyat walaupun sebahagian besar darinya mendapat pulangan melebihi modal sebenar. "Kutipan tol telah pun mencapai pulangan dua kali ganda dan melebihi modal yang dikeluarkan. "Apakah kita mahu biarkan kerajaan mengutip tol sejak dulu, kini dan selamanya sepertimana menjadi pegangan Umno?," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin yang melimpah ke luar dewan. Tambah Anwar, inilah membezakan pemerintahan BN yang konsisten memeras wang, sebaliknya Pakatan membantu meringankan beban rakyat. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Nasir Mustafa; Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik dan pimpinan Pakatan Negeri. – NS | ||
Nurul Izzah tunjuk bukti surat SPR maklum kes pengundi diragui Posted: 01 Apr 2013 05:02 AM PDT Oleh Aisha Geoffrey PANTAI DALAM: Dakwaan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof tidak dimaklumkan berhubung permohonan semakan untuk membatalkan senarai 4,637 pemilih yang meragukan tidak berasas, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar. Katanya, bukti surat daripada Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Baria yang menunjukkan suruhanjaya itu mengambil maklum perkara tersebut dan sedang meneliti aduan berkenaan. Surat tersebut dikemukakan Izzah pada sidang medianya di Pejabat Parlimen beliau, hari ini. "Saya ada surat bertarikh 6 Mac 2013 yang juga dihantar menerusi faks pada hari yang sama melalui peguam saya kepada SPR. Pada surat penerimaan keesokannya dicop dengan jelas dan ditandatangani oleh peguam kanan SPR. "Surat itu adalah pembatalan nama-nama berdaftar yang tidak lengkap dan merujuk kepada kawasan mengundi Lembah Pantai P121," jelas Izzah. Menurutnya, jawapan Kamaruddin itu bukti jelas bahawa SPR dimaklumkan terlebih dahulu tentang tindakan undang-undang yang akan diambil sekaligus menunjukkan kenyataan Aziz tidak selari dengan jawapan tersebut. "Mengapa Pengerusi (Aziz) kata saya tak hubungi dia sebelum ambil tindakan undang-undang? Tindakan ini menghancurkan lagi kredibiliti SPR kerana tidak mengambil serius isu daftar pemilih dan buat dakwaan tidak berasas," tegasnya. "Ia kenyataan yang tidak boleh diterima dari seorang pengerusi sedangkan kami berusaha sedaya mungkin untuk bekerjasama dengan SPR," kata Izzah. Aziz dalam wawancara disiarkan akhbar Mingguan Malaysia menyatakan kononnya Naib Presiden KEADILAN itu tidak pernah memaklumkan kepada pihaknya berhubung senarai 4,637 pemilih yang meragukan dalam kawasan parlimen beliau. Pada 27 Mac lalu, Izzah memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi membatalkan senarai nama pemilih yang meragukan tersebut. "Saya terkejut dengan kenyataan beliau (Aziz) yang menyatakan SPR tidak dimaklumkan tentang semua rungutan dan senarai pengundi yang meragukan sebelum kami failkan ke mahkamah," kata Izzah. – NS | ||
Lajim yakin Pakatan tawan Sabah Posted: 01 Apr 2013 04:13 AM PDT KL TODAY Pakatan Rakyat bakal mentadbir Sabah selepas pilihanraya akan datang apabila gagasan itu memenangi kira-kira 35 kerusi dewan undagan negeri.Negeri di bawah bayu itu juga bakal menyumbang 15 buah kerusi parlimen kepada PR bagi menguatkan lagi peluang gagasan itu mencapai 112 kerusi parlimen untuk berjaya mentadbir Putrajaya.Ramalan tersebut dibuat oleh Ahli Parlimen Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin yang berkata beliau bersandarkan kajian sentimen politik penduduk Sabah dan pertumbuhan cawangan dan cabang parti PR di Sabah. Beliau berkata gelombang perubahan sokongan daripada Umno-BN kepada PR paling kuat berlaku di kalangan komuniti Cina Sabah, di mana dianggarkan lapan daripada 10 kerusi majoriti Cina akan dimenangi PR. Manakala 15 daripada 20 kerusi majoriti komuniti Kadazan Dusun-Murut turut akan dimenangi oleh PR, kata Lajim, yang merupakan bekas Timbalan Menteri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Di antara kerusi bumiputera Islam pula, Lajim berkata 13 hingga 15 bakal dimenangi PR. "Apabila kita tubuhkan bahagian atau cabang PKR dan Pas kita buat kajian dan juga pilihanraya percubaan dan ia amat memberangsangkan. "Kita nampak kita boleh menang 35 kerusi dan mungkin akan sampai 40 kerusi. "Rakyat Sabah sudah biasa bertukar kerajaan negeri. "Dalam sejarah kerajaan negeri sudah ditukar sebanyak tiga kali. Pengalaman tukar kerajaan sudah ada," katanya di dalam sidang media selepas majlis ramah mesra warga Sabah di Selangor bersama Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Kuasa mentadbir Sabah sebelum ini pernah bertukar tangan pada April 1985 daripada BN ke Parti Bersatu Sabah (PBS). Kemudiannya ia bertukar balik kepada BN pada tahun 1986. Pada pilihanraya 1990 pula, PBS berjaya merampas kembali tampuk pemerintahan. Akan tetapi pada pilhanraya Mac 1994, Sabah jatuh kembali ke tangan BN. "Apa yang dilakukan BN hari adalah merugikan rakyat sabah yang tidak dapat jaminan keselamatan, pembangunan, kemajuan dan begitu ketinggalan berbanding rakyat semanjung," Lajim berkata. | ||
Petugas p’raya KEADILAN Lembah Pantai diugut samseng, khemah diroboh Posted: 01 Apr 2013 04:11 AM PDT Oleh Aisha Geoffrey PANTAI DALAM : Satu lagi siri keganasan politik berlaku di Lembah Pantai apabila petugas pilihan raya KEADILAN Parlimen itu diugut sekumpulan samseng dan khemah mereka diceroboh serta dimusnahkan. Ketua Jawatankuasa Daerah Mengundi Lembah Pantai, Siti Mariam Mohd Aly berkata, pada 26 Mac lalu, beliau bersama tiga petugas di khemah Taman Sri Sentosa Utara didatangi dua lelaki dan mengancam mereka. "Mereka ugut supaya jangan aktif di kawasan tersebut dan cepat cabut khemah," kata Mariam kepada Keadilan Daily. Menurutnya, samseng tersebut kemudian datang semula ke kawasan khemah berkenaan keesokan hari bersama enam lagi rakannya dengan empat motosikal. Mereka turut diiringi sekumpulan samseng yang menaiki dua kereta dan sebuah teksi. "Mereka cabut bendera, rampas risalah, patahkan kaki khemah dan maki hamun kami dengan kata-kata kesat. Turut dirampas sebuah Samsung Galaxy Note," jelasnya. Mariam membuat laporan polis berhubung insiden itu pada 28 Mac, dan diminta membuat kawad cam terhadap samseng tersebut. "Polis kemudian periksa kawasan kejadian. Apa yang menghairankan, polis suruh kami dirikan khemah jauh dari situ kerana tapak khemah tersebut berdekatan khemah BN. "Kami was-was kenapa polis arahkan demikian sedangkan kami tak buat kacau, malah kami yang diserang," kata Mariam. Pada hari yang sama, salah satu bilik operasi KEADILAN di kawasan Jalan Kurau, Bangsar dipecah masuk. Barang-barang seperti kayu bendera dicuri dan kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM20,000. Pada 29 Mac pula, seorang petugas pilihan raya di Jalan Kampung Kerinchi Kiri mengalami kecederaan akibat diserang samseng dan terpaksa menerima lima jahitan di kepala. Selain itu, papan iklan Ahli Parlimen Lembah Pantai bertajuk 'Berani Kerana Benar' yang dipasang di Lebuh Raya Persekutuan turut dirosakkan pada 12 Mac lalu. Sehubungan itu, Ahli Parlimen kawasan tersebut, Nurul Izzah Anwar mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sedaya mungkin memastikan insiden keganasan politik tidak berulang. "Semua parti komponen tidak kira dari BN atau Pakatan Rakyat harus menolak politik ganas dan perlu memastikan tiada lagi insiden sebegini," katanya pada sidang media di Pejabat Parlimen beliau di Pantai Dalam, hari ini. Pelbagai insiden keganasan berlaku di Lembah Pantai sejak 2012. Antaranya sukarelawan dari pejabat Parlimen Izzah menjadi mangsa intimidasi sewaktu membuat tinjauan pengundi di kawasan perumahan pada Mac dan 'Malam Berdarah' Lembah Pantai pada Mei menyaksikan penyokong ceramah Pakatan Rakyat cedera diserang. Manakala aktivis mahasiswa, Adam Adli turut menjadi mngsa apabila ditumbuk di Kerinchi pada April. "Justeru, Hishammuddin perlu sedaya mungkin dalam bidang kuasa beliau memastikan insiden-insiden keganasan tidak berulang. Mereka yang dibuktikan terlibat wajib dibawa ke muka pengadilan serta-merta," tegas Izzah. – NS | ||
Umno BN kena dedahkan perjanjian kontrak pertahanan RM4.27 bilion Posted: 01 Apr 2013 04:07 AM PDT Oleh Aliff Fikri KUALA LUMPUR: Umno BN digesa menjelaskan perjanjian dengan pelbagai agensi untuk pembelian peralatan pertahanan berjumlah RM4,27 bilion pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa 2013 (Lima'13), di Langkawi, Kedah baru-baru ini. Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, perjanjian tersebut perlu didedahkan kerana ia dibuat selepas tempoh mandat rakyat kepada kerajaan berakhir dan mereka berhak mengetahuinya. "Umno BN tiada lagi hak membuat keputusan berhubung implikasi kewangan negara kecuali hal pentadbiran harian seperti pemberian gaji kerana tempoh pemerintahan mereka tamat pada 8 Mac 2013," kata Mahfuz pada sidang media di Pejabat Agung PAS Pusat, hari ini. Tambahnya, walaupun tempoh Parlimen menurut Perlembagaan berakhir pada 30 April ini, namun secara moral politik, tindakan itu salah. "Sehingga kini Umno BN masih belum menyenaraikan syarikat dan agensi kerajaan yang terlibat. "Perjanjian tergesa-gesa ini menimbulkan keraguan seperti mana yang berlaku dalam pembelian Scorpene. Berapa ramai lagi orang yang akan mendapat habuan komisen melalui pembelian kontrak ini? "Beli peralatan canggih-canggih, tetapi pertahanan negara terus dipersoal seperti isu Lahad Datu. Setiap kali Lima, Malaysia beli peralatan pertahanan, tapi tak dapat nak kesan kemasukan penceroboh yang mengancam keselamatan negara. "Walhal penceroboh seramai 200 orang itu, hampir kesemua dari mereka umurnya sama dengan Tun Dr Mahathir (Mohamad), tapi sampai sekarang tak boleh nak selesaikan," sinis Naib Presiden PAS itu. Pada Khamis lalu, sebanyak 24 perjanjian dan kontrak bernilai RM4.271 bilion yang membabitkan industri pertahanan ditandatangani dalam Lima 2013. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi dilapor berkata, jumlah keseluruhan itu diperoleh menerusi enam dokumen kontrak serta tiga surat persetujuan kementerian bernilai RM548 juta. – NS | ||
Bekas Polis : Pencerobohan Lahad Datu Mengelirukan Posted: 01 Apr 2013 03:57 AM PDT SHAH ALAM : Bekas Pengarah Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari menyifatkan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah adalah mengelirukan. Ini kerana menurutnya, polis melalui Cawangan Khas mempunyai sistem perisikan yang berkeupayaan jika mereka mengikuti standard arahan yang ditetapkan khususnya dalam menangani anasir yang mengancam keselamatan negara. "Peristiwan pencerobohan pengganas di Sabah adalah kejadian yang amat mengelirukan kerana bagaimana mereka boleh menembusi tahap keselamatan pertahanan negara. "Bagaimana mereka (pengganas bersenjata) itu boleh datang secara serentak dan membolosi pertahanan negara. "Seandainya pencerobohan secara serentak ini maka ia perlu ditangani oleh pihak Tentera," kata Fauzi. Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kejadian pencerobohan yang berlaku di Sabah adalah disebabkan kegagalan politik yang ditunjukkan oleh pimpinan Umno-BN dalam menangani situasi itu dalam mengambil tindakan pencegahan. "Kita melihat betapa rapuhnya sistem pertahanan negara akibat kesilapan yang dilakukan oleh pimpinan politik. "Pencerobohan yang berlaku menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena," kata beliau. Forum juga menampilkan tiga bekas pegawai tinggi tentera, Lt. Jen. (B) Datuk Abd Ghafir Abd Hamid, Brig. Jen. (B) Datuk Abd Hadi Abd Khatab (TUDM) dan Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid (TLDM) . Sebelum forum dijalankan, majlis tersebut dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan tazkirah kemudian diikuti solat Isyak berjemaah dan solat hajat serta munajat khas khusus mendoakan keselamatan negara dalam menangani krisis pencerobohan di Sabah. Forum 'Lahad Datu: Rakyat Berhak Tahu' dan Ceramah Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan di Stadium Melawati di sini. Kira-kira hampir 8,000 orang hadir dalam majlis itu yang turut dihadiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri DrWan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul. | ||
Masalah sosial: Kelantan telah lakukan yang terbaik Posted: 01 Apr 2013 03:54 AM PDT Kami mengharamkan premis judi, rumah-rumah urut dan menghalang penjualan minuman keras secara terbuka. kata Nik Aziz. PETALING JAYA: "Kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik untuk mengekang aktiviti tidak bermoral di negeri ini dan saya tidak pernah menyatakan bahawa Kelantan sempurna," tegas Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata demikian sebagai respon kepada laporan muka hadapan New Straits Times semalam mengenai masalah sosial di Kelantan dengan tajuk 'Kelantan After Dark'. Ia disambung pula dengan paparan Buletin Utama TV3 malam semalam dan juga kenyataan seorang pemimpin utama UMNO Kelantan yang mengatakan bahawa ini adalah bukti Kelantan tidak sempurna. Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS menegaskan, "kami mengharamkan premis judi, rumah-rumah urut dan menghalang penjualan minuman keras secara terbuka. Jika ia wujud, ertinya kewujudannya tanpa lesen dan secara haram. "Sesuatu yang wujud secara haram bukan bukti ia direstui, adakah apabila meningkatnya gejala penyalahgunaan dadah di seluruh negara contohnya bermakna ia direstui oleh kerajaan pusat?," soal beliau. Ujar beliau, "sesuatu yang wujud secara haram perlu dibanteras, bukannya diberikan lesen, ini pendirian kami. Kami tidak sama dengan sesetengah pihak yang ingin memberikan lesen kepada kegiatan yang wujud secara haram. "Lesen judi untuk pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2010 contohnya, ada sesetengah pemimpin UMNO Kelantan berhujah ia wajar diberikan lesen agar tidak beroperasi secara haram. "Sewajarnya semua pihak yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan haram ini, perlu membuat aduan. Sayangnya, ada yang saban masa mencabar undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri," tambahnya. Katanya, Jamuan Perdana Perayaan Hari Guru 2012 pada 15 Julai tahun lepas contohnya, diserikan dengan persembahan artis wanita secara terbuka yang jelas melanggar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998. "Saya perhatikan laporan NST tiada butiran jelas dan tepat. Ia sekadar laporan umum dengan melindungi fakta-fakta dan individu yang terlibat, begitu juga dengan paparan TV3 yang sangat kabur dan diragui. "Saya kira, lebih baik untuk disebut dengan jelas fakta-fakta kes agar ia memudahkan pihak penguatkuasa untuk bertindak," terang beliau. Nik Aziz menegaskan, "di Kelantan, kami perkenalkan undang-undang dalam bidang kuasa kami. Namun, bolehkah kami menghalang 100% gejala sosial sedangkan di peringkat pusat sendiri senarionya lebih berat? Sama-samalah kita berusaha. "Hakikatnya, jika hanya petak sawah kita sahaja dijaga daripada ular dan tikus sedangkan petak sawah di sebelah berkubang dengan anasir perosak, lama kelamaan petak sawah kita juga akan mengalamai nasib yang sama," katanya. | ||
Mahfuz: BN rancang huru-hara 13 Mei? Posted: 01 Apr 2013 03:52 AM PDT BN akan meggunakan sentimen tersebut untuk menakut-nakutkan rakyat kerana mereka kini sedang menghadapi krisis kepercayaan daripada pengundi. KUALA LUMPUR: PAS mendakwa Barisan Nasional (BN) sedang merangka satu percaturan untuk menimbulkan huru-hara ala 'Peristiwa 13 Mei' sekiranya gagal mendapat mandat untuk membentuk kerajaan pusat selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa, BN akan menggunakan sentimen tersebut untuk menakut-nakutkan rakyat kerana mereka kini sedang menghadapi krisis kepercayaan daripada pengundi. "Saya yakin ini yang sedang dirancang untuk membolehkan PRU diadakan menjelang 13 Mei untuk menyuntik satu jarum pemikiran ketakutan yang kemudiannya akan ada satu provokasi daripada BN yang sedang menaja kumpulan pengganas politik di negara ini untuk timbulkan huru-hara," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini. Beliau percaya indikator itu boleh berlaku kerana melihat kerajaan sehingga sekarang masih belum membubarkan Parlimen, sebaliknya sengaja melengahkan tarikh PRU sehingga diadakan pada sekitar hujung April sehingga Mei ini. Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mendakwa, provokasi itu akan berlarutan sehingga rakyat dan ahli politik pembangkang dijadikan mangsa tahanan pihak berkuasa dengan merujuk kepada Operasi Lalang 1987. "Saya percaya BN sedang rancang sesuatu untuk timbulkan huru-hara berasaskan beberapa keadaan politik apabila BN sedang menghadapi krisis kepercayaan daripada rakyat seperti mana saya dimangsakan Ops Lalang 1987 iaitu isu ketegangan kaum pada waktu itu yang diketuai Najib Tun Razak (Umno) dan Datuk Lee Kim Sai (MCA). "Walaupun Akta Keselamatan Negeri (ISA) sudah tiada, kali ini mereka akan gunakan apa saja undang-undang yang ada termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012)," katanya. Sehubungan itu, beliau menggesa satu badan bebas ditubuhkan bagi menyiasat kewujudan konspirasi tersebut dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menghalang perkara itu terjadi. "Saya sedia bekerjasama untuk menyelamatkan negara kita daripada terjebak dalam suasana yang boleh merosakkan perpaduan masyarakat dan rakyat. "Sekarang ni rakyat pelbagai kaum kena lebih berhati-hati dengan tindakan Umno-BN dan tidak terperangkap dengan adu domba politik yang akan merosakkan negara kita," katanya. | ||
Harga Motosikal Lebih Murah Di Bawah Pakatan Rakyat Posted: 01 Apr 2013 03:48 AM PDT PETALING JAYA, : Pelaksanaan cukai eksais sedia ada ke atas semua jenis kenderaan termasuk motosikal akan dikurangkan kepada 20 peratus apabila Pakatan Rakyat(PR) mentadbir Putrajaya. Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, di bawah pentadbiran Umno-BN sekarang, pemilik motosikal perlu membayar duti eksais sehingga 20 peratus bagi saiz enjin bawah 150cc dan 30 peratus untuk kapasiti enjin melebihi 150cc. "Ini bermakna bagi motosikal paling murah sekitar RM5,500 pun jumlah cukai yang dikenakan adalah RM1,334 (cukai eksais dan cukai jualan). "Lebih membebankan apabila institusi kewangan tidak menawarkan pinjaman untuk membeli motosikal bersaiz enjin rendah kerana ia tidak mempunyai nilai pasaran kedua yang baik. "Oleh itu, pembeli dari golongan berpendapatan rendah terpaksa meminjam dari kedai yang menjual motosikal dan menanggung kadar faedah yang tinggi sehingga mencecah 10 peratus," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, pagi tadi. Justeru, demi menjamin keadilan kepada semua dengan memastikan golongan yang memerlukan mendapat manfaat daripada dasar yang digubal, PR memberi jaminan akan mengurangkan cukai eksais ke atas semua jenis kenderaan. Tegasnya, cadangan yang dikaji di peringkat Jawatankuasa PR itu adalah memastikan kadar penurunan cukai eksais bagi motosikal adalah sama seperti kadar penurunan cukai eksais untuk kereta iaitu sebanyak 20 peratus. Tambahnya, penghapusan cukai eksais ke atas motosikal tidak mempunyai kesan kewangan yang besar kepada negara kerana ia termasuk dalam perkiraan RM7 bilion cukai eksais yang akan digantikan. "PR bersetuju untuk memperuntukkan RM2 bilion setahun (bagi tempoh 2013 hingga 2017) bagi memastikan aliran tunai negara tetap berimbang dengan penghapusan cukai eksais. "Penghapusan cukai eksais secara berperingkat untuk menurunkan harga kereta dan motosikal dijangka membantu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat secara serta-merta tanpa mempunyai kesan kewangan yang memudaratkan kepada negara," katanya lagi. | ||
PR sasar 12 tambahan kerusi Parlimen di negeri bukan deposit tetap BN Posted: 01 Apr 2013 03:46 AM PDT Roketkini.com GELANG PATAH: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, objektif keempat Pertempuran Gelang Patah adalah Pakatan Rakyat (PR) mensasar 12 lagi kerusi Parlimen di negeri yang bukan deposit tetap Barisan Nasional (BN) untuk menuju ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti. Katanya, bagi mencapai sasaran 125 kerusi dengan majoriti 28 kerusi di Parlimen, PR perlu memenangi 12 lagi kerusi Parlimen di negeri bukan 'deposit tetap' BN. "25 kerusi Parlimen yang BN menang kurang daripada 55% undi popular (tidak termasuk Kuala Terengganu), terdapat sekurang-kurangnya satu kerusi BN marginal dalam setiap daripada kerusi di negeri bukan deposit tetap BN. "Pakatan juga mensasar untuk memenangi separuh daripada kerusi berkenaan iaitu Parlimen Arau di Perlis; Alor Setar (Kedah); Kuala Nerus (Terengganu); Larut, Kuala Kangsar, Kampar dan Lumut (Perak); Bentong, Raub dan Jerantut (Pahang); Sabak Bernam dan Pandan (Selangor); Rembau (Negeri Sembilan) dan Bukit Katil (Melaka). "Kerusi lain BN yang marginal juga memihak kepada PR ialah Dungun, Terengganu; Jerlun (Kedah); Padang Rengas, Tambun, Parit, Tapah, Pasir Salak dan Bagan Datok (Perak); Temerloh (Pahang); Sepang (Selangor); dan Jempol (Negeri Sembilan)," katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 11 Hari Ke PRU-13, hari ini. Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, bagaimanapun, PR boleh menang dengan majoriti yang baik dan selesa jika memenangi 125 kerusi Parlimen membabitkan 45 kerusi yang ditandingi PKR dan masing-masing 40 kerusi oleh DAP dan PAS. Menurutnya, kebanyakan kawasan itu mengalami peningkatan pengundi baru yang agak besar, sebahagian besarnya pengundi muda yang lebih tertarik kepada PR untuk mengubah masa depan mereka. "Sepanjang tempoh kempen, peningkatan semangat untuk perubahan akan muncul di negeri Sabah dan Sarawak, yang tidak boleh lagi dianggap sebagai negeri deposit tetap BN. "Gelombang yang sama juga akan muncul dalam negeri deposit tetap BN untuk menghantar PR berkuasa di Putrajaya dan menjadikan Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin pembangkang," katanya. Tiga hari lalu, Kit Siang menggariskan tiga objektif Pertempuran Gelang Patah sebagai sebahagian daripada objektif yang lebih besar untuk menggerakkan PR ke Putrajaya. Katanya, objektif ketiga PR mensasar untuk memenangi 33 daripada 83 kerusi Parlimen di tiga negeri deposit tetap BN negeri iaitu Johor, Sabah dan Sarawak. Menurutnya, jika PR berjaya mempertahankan 80 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU-12 lalu dan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, selain memenangi 33 kerusi tambahan di Johor, Sabah dan Sarawak, ini bermakna PR bakal memperolehi 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. – Roketkini.com | ||
Izzah Sanggah SPR, Kemuka Surat Aduan Sebagai Bukti Posted: 01 Apr 2013 03:43 AM PDT KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyanggah kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang mendakwa pihaknya tidak menerima sebarang makluman membatalkan senarai pemilih yang didakwa meragukan sebelum memfailkan permohonan semakkan. Sebaliknya Izzah mendedahkan satu surat yang ditandatangani Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Baria bagi membuktikan bahawa pihak suruhanjaya telah menerima surat berkenaan. Selain itu, surat peguam melalui Tetuan Chooi & Company turut diterima dan disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan SPR, Nur Ezdiani Rolen. "Pembatalan nama-nama yang alamat berdaftarnya tidak lengkap atau tidak wujud terkandung dalam Rang-Rang Daftar pemilih Lembah pantai P121 yang mana semua nama yang kita bantah kita maklumkan kepada SPR. "Kita sebut di perenggan terakhir sila maklumkan secara bertulis dalam masa tujuh hari dari tarikh di sini sama ada pihak tuan akan membatalkan nama-nama terkandung yang dilampirkan bersama surat. "Jika kami tidak menerima apa-apa jawapan atau jawapan yang tidak boleh diterima, kami telah diarahkan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tuan tanpa notis selanjutnya," katanya dalam sidang media hari ini. Beliau turut mempersoalkan mengapa soal tidak menghubungi SPR sebelum difailkan ke mahkamah dibangkitkan sedangkan pihaknya melakukan perkara berkenaan mengikut prosedur yang telah ditetapkan. "Pada saya kenyataan ini lagilah menghancurkan sebarang kredibiliti yang masih ada dalam SPR. Bukan sahaja mereka (tidak) mengambil serius dengan (dakwaan) pengundi hantu kita tonjolkan tapi boleh membuat dakwaan yang tidak berasas," ujarnya. Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan lebih 4,600 pengundi yang didakwanya meragukan dalam Rang Daftar Pemilih dalam Parlimen Lembah Pantai. | ||
Dakwaan Manifesto Rakyat Lonjak Defisit Negara Tidak Berasas Posted: 01 Apr 2013 03:41 AM PDT PETALING JAYA : Dakwaan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa pelaksanaan Manifesto Rakyat akan melonjakkan defisit negara ke paras 11.5 peratus disifatkan tidak berasas malah tidak masuk akal. Selain itu, beliau turut mendakwa hutang negara akan bertambah ke paras 62.1 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan akan mengakibatkan kerajaan terpaksa berhutang untuk membayar gaji penjawat awam. Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, kesemua dakwaan itu dibuat tanpa membentangkan sebarang data atau perkiraan, berbeza dengan disiplin Pakatan Rakyat (PR) yang sentiasa mempertahankan rancangan ekonominya menggunakan fakta dan data yang jelas. Tegasnya, Ahmad Husni masih lagi berada dalam kepompong politik lama yang beranggapan rakyat akan menerima bukat-bulat sebarang angka yang disebut oleh seorang menteri, walaupun ia tidak masuk akal. "Mutakhir ini rakyat menuntut mana-mana parti politik yang membentangkan dasarnya turut menyertakan analisa yang lengkap sebagai bukti. "Ini telah dibuat secara terperinci oleh PR sejurus selepas Manifesto Rakyat dibentangkan, analisa lengkap kos setiap program dan bagaimana membiayainya dibentangkan kepada rakyat agar ia boleh dikaji dan diktirik," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini. Rafizi menambah, sehingga kini Ahmad Husni masih belum menamplikan satu analisa yang membuktikan bahawa kira-kira kewangan PR adalah tidak tepat. Selarnya, Umno-BN bukan sahaja tidak mampu menghasilkan analisa kewangan yang lengkap, malah mereka juga cuba menyembunyikan kegagalan pengurusan ekonomi di bawah pentadbiran mereka. "Masalah defisit negara yang berpanjangan sejak tahun 1998 ini sebenarnya dimulakan oleh pengurusan ekonomi Umno-BN. "Walaupun hasil negara bertambah mendadak terutamanya dengan kenaikan harga minyak mentah sejak tahun 2008, Umno-BN tidak menggunakan peluang itu untuk memotong defisit, sebaliknya pertambahan pendapatan itu dijadikan alasan untuk berboros sedangkan defisit kekal tinggi walaupun hasil negara meningkat," katanya lagi. | ||
Tiada kompromi: DAP tegas angkat Melayu jadi MB Negeri Sembilan Posted: 01 Apr 2013 03:37 AM PDT Roketkini.com KUALA LUMPUR: DAP tetap melantik orang Melayu menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan jika Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat oleh rakyat memerintah negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti. Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook berkata demikian dalam wawancara eksklusif dengan wartawan Roketkini.com baru-baru ini. Kenyataan ini sekaligus menafikan pelbagai tuduhan jahat dan fitnah yang mendakwa orang bukan Melayu akan dilantik menjadi Menteri Besar jika PR memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri itu. Menurut Loke, fitnah sedemikian merupakan 'modal politik lama' yang sama ketika oposisi berjaya menawan DUN Perak pada PRU 2008 lalu. "Fitnah begini sengaja digembar-gemburkan ejen propaganda upahan UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk menakut-nakutkan orang Melayu yang semakin mesra dan menyokong PR. "Isu itu tidak sepatutnya timbul. Sudah jelas pendirian DAP. Apa yang berlaku di Negeri Sembilan sekarang, hubungan kerjasama PR negeri ini sangat baik. Kita bertemu pelbagai lapisan masyarakat melalui program seperti ceramah dan aktiviti lain. Ini yang menimbulkan ketakutan mereka (UMNO-BN)," katanya. Ditanya mengenai situasi kempen PR negeri Sembilan, Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, akar umbi ketiga-tiga parti mempunyai persefahaman yang kuat dan sentiasa bersama dalam kempen turun padang yang dijalankan. "Semua parti dalam PR perlu menumpukan agar kempen dijalankan bersama. Ini untuk memastikan penyokong akar umbi akan memberi undi kepada satu sama lain misalnya pengundi Cina akan memilih PAS dan PKR manakala pengundi Melayu akan memilih DAP," ujar beliau. Tambahnya, PR juga bersedia mengambilalih pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan daripada BN jika memenangi majoriti kerusi DUN dan akan memastikan pelantikan Menteri Besar akan diselesaikan pada malam keputusan diumumkan. "Kita sudah bersiap sedia untuk mentadbir bermula pada hari pertama lagi," katanya. Berkongsi pendirian yang sama, Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, UMNO-BN memang sangat terdesak apabila terpaksa mengitar semula isu perkauman sebagai modal politik. Menurut beliau, dalam sesi wawancara yang lain, antara isu yang sering dimainkan UMNO ialah isu "Menteri Besar Cina" dan isu "Melayu hilang kuasa." "Majoriti adalah orang Melayu. Kita semua tahu, jadi untuk menempelak fitnah UMNO-BN, pada pelancaran manifesto PR Negeri Sembilan 3 November 2012 lalu, kita sudah tegaskan sekiranya PR menang, orang Melayu akan menjadi Menteri Besar. "Kami (DAP) tidak pernah bangkitkan isu Menteri Besar daripada orang Cina, ini kerja UMNO mahu menakutkan orang Melayu. Sebab itu kami memang beri fokus menjelaskan perkara itu dalam program di kawasan pedalaman," katanya yang juga ADUN Bukit Kepayang. Pada Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan pada November tahun lalu, satu persefahaman dimeterai PR Negeri Sembilan yang berikrar mendokong dan menjunjung Undang-undang Tubuh Negeri itu serta Tonggak Nan 9 yang antara lain adalah ikrar untuk membela keseluruhan rakyat termasuk komuniti Orang Asal jika diberi mandat mentadbir negeri itu.-Roketkini.com | ||
Deklarasi Gelang Patah bukti DAP serius tangani isu komuniti India Posted: 01 Apr 2013 03:34 AM PDT Roketkini.com GELANG PATAH,: Perdana Menteri, Najib Razak sudah terlambat untuk menawan semula hati pengundi India kerana komuniti itu sudah sedar bahawa tindak-tanduk beliau dan kerajaan Barisan Nasional pimpinannya sekadar mahu meraih undi. Demikian disifatkan oleh Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M. Kulasegaran yang berkata usaha kerajaan BN pimpinan Najib untuk mengatasi masalah pokok kaum India terlalu sedikit walhal masalah ini sudah berlanjutan sejak puluhan tahun lalu. "Perdana Menteri bercakap mengenai 'nambike' (kepercayaan) dan menyeru komuniti India supaya menyokong BN tetapi adakah selama ini kerajaan BN mendengar rintihan dan penderitaan yang dihadapi mereka?" soal beliau dalam majlis Deklarasi Gelang Patah di sini, malam tadi. Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, antara contoh mudah ialah masalah melibatkan kemiskinan bandar, kad pengenalan, sekolah Tamil dan peluang pekerjaan. "Kita telah banyak kali bangkitkan di parlimen untuk segera tunaikan janji-janji mereka ini. Tapi bagaimana ia akan diselesaikan dengan tempoh pilihan raya yang sangat hampir?" soalnya lagi. Menurut beliau, kini sekurang-kurangnya 70 peratus komuniti India tinggal di kawasan bandar setelah mereka berhijrah akibat pemecahan estet-estet seluruh negara. "Sekarang, 70 peratus dari mereka kini kebanyakannya berada dalam situasi "miskin bandar" yang dihantui dengan kadar jenayah yang tinggi, pengangguran dan masalah sosial lain. "BN terbukti gagal bantu komuniti India dengan serius. Saya berasa sangat sedih tetapi hakikatnya sebahagian besar komuniti India negara ini merasakan mereka adalah 'warganegara kelas ketiga''," jelas Kulasegaran. Atas kegagalan perancangan dan perlaksanaan dasar kerajaan BN, komuniti ini antara yang terjejas teruk akibat ketidak seimbangan sosial dan ekonomi negara, malah banyak masalah melibatkan komuniti ini tidak mampu ditangani dengan serius oleh BN. Justeru, Kulasegaran menegaskan bahawa DAP dan Pakatan Rakyat berikrar untuk menyelesaikan masalah yang melanda ini dan menjadikan Malaysia, negara yang lebih baik untuk semua. Deklarasi Gelang Patah merupakan bukti pengiktirafan DAP terhadap sumbangan dan perjuangan komuniti India selama ini di Malaysia. Ia mengandungi 14 perkara yang bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang jauh lebih baik bagi komuniti itu dan mahu hak dan taraf hidup mereka terjamin dan dilindungi. – Roketkini.com | ||
Najib perlu umum jika mahu parlimen dibubar automatik Posted: 31 Mar 2013 11:57 PM PDT Oleh: Rusnizam Mahat KUALA LUMPUR : Pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak patut mengumumkan jika mahu parlimen terbubar sendiri, 28 April ini sebelum mengadakan pilihan raya umum (PRU). Beliau mengulas cadangan beberapa pihak agar pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ditetapkan secara automatik selepas genap lima tahun. Menganggap ia cadangan yang baik, Aziz berkata penetapan itu boleh mengelakkan teka teki seperti sekarang yang disifatkan membuang masa. "Memang elok kalau ditetapkan begitu. Jadi tak timbul suspen yang membuang masa ini. Masalahnya selama ini Umno fikir bubar dewan itu hak mutlak mereka. "Lucunya mereka tak tahu, kalau parlimen tidak dibubar, ia akan terbubar sendiri bila sudah ranum," ujarnya. Bagaimanapun katanya, sebagai pemimpin bertanggungjawab, Najib seharusnya memaklumkan perkara itu bagi mengelakkan timbul pelbagai spekulasi yang akhirnya menyulitkan ekonomi negara. "Sebaiknya dia (Najib) kena beritahu kepada rakyat jika mahu memilih dewan terbubar secara automatik. Jika tidak ia akan menimbulkan kesulitan dari segi ekonomi dan pelabur. "Dia kena berani bercakap kerana ini adalah masalah negara dan pentadbiran," ujar bekas Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ini. Aziz merujuk langkah diambil perdana menteri Australia, yang memohon pembubaran parlimen Ogos ini bagi membolehkan pilihan raya di negara itu diadakan September depan. "Ertinya jika tidak ada masalah, kerajaan (boleh) membuat pengumuman yang dewan akan terbubar bila ia genap lima tahun. "(Pengumuman) Ini boleh dibuat sekitar 4 tahun atau bila sudah masuk tahun ke lima," tambah beliau sambil menyarankan Pakatan memulakan langkah berkenaan. | ||
Penyanyi Yasin disoal siasat SKMM petang ini Posted: 31 Mar 2013 11:54 PM PDT Oleh Sidiqin Omar KUALA LUMPURL: Penyanyi Yasin Sulaiman dipanggil Suruhanjaya Komunikasi & Mulitimedia Malaysia (SKMM) jam 3 petang ini di Bangunan Sultan Abdul Samad, Jalan Raja Kuala Lumpur. Setiausaha Kerja Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Syed Badli Shah ketika dihubungi memaklumkan pihak SKMM mahu merakam percakapan Yasin. Yasin sebelum ini menerima dua mesej ugutan bunuh menerusi akaun Youtube miliknya selepas memuat naik lagu Reformasi sempena Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4 pada 25 Februari lalu. Mesej berkenaan ditulis pemilik akaun bernama 'Azzali Abdul Aziz' mengugut untuk memijak-mijak penyanyi itu sehingga lumat manakala 'Pencinta Muzik' menulis, 'Yasin patut dibunuh'. Pengugut kemudian menarik semula ugutannya dan meminta maaf menyebabkan Yasin membatalkan hasrat membuat laporan polis. AMK pada 17 Februari lalu melancarkan video klip lagu 'Reformasi' nyanyian Yasin yang menjadi lagu rasmi kempen AMK di seluruh negara. Yasin adalah duta rasmi kempen pilihan raya AMK akan bergerak mengelilingi Malaysia dan turun ke setiap kawasan ditandingi calon AMK. – SDQ | ||
Posted: 31 Mar 2013 11:52 PM PDT TANJONG KARANG - "Istilah Pas diperkuda DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat yang dilabelkan Barisan Nasional dan Umno selama ini tidak wujud tetapi sebaliknya parti itu diperguna MCA dan MIC untuk mengekalkan kuasa mereka selama ini," kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Menurutnya, sekiranya Umno medakwa Pas menjadi kuda tunggangan kepada DAP dan PKR untuk mendapatkan kuasa, ia tidak berasas sama sekali kerana Umno yang selama ini mengkhianati orang Melayu dengan menyerahkan kerusi yang mempunyai majoriti Melayu kepada bukan Melayu. "Rakyat boleh menilai apabila daripada 222 kerusi Parlimen, Umno menyerahkan sebanyak 21 kerusi yang mempunyai majoriti Melayu kepada parti komponen mereka iaitu MCA, MIC dan Gerakan tetapi Pas bersama dengan Pakatan Rakyat (PR) berjaya mengambil semula kerusi itu. "Seperti kerusi Parlimen Kota Raja yang dimenangi calon Pas, Dr Siti Mariah Mahmud pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu, sekali gus membuktikan pengundi majoriti Melayu lebih memilih calon Melayu untuk bertanding di kawasan itu. "Selama ini ahli Umno yang kononnya memperjuangkan Melayu turut bekerja keras untuk memenangkan calon bukan Melayu dan memangkah mereka semata-mata mahu memenangkan BN. Jadi, apakah ertinya perjuangan Melayu yang mereka perjuangkan selama ini? "Sebaliknya di dalam PR, DAP hanya bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti Cina sahaja manakala Pas pula akan bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu diikuti PKR di kawasan majoriti Melayu dan campuran," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang. Abdul Hadi turut menjelaskan, dakwaan kononnya DAP akan mentadbir negara sekiranya PR berjaya mengambil alih Putrajaya juga tidak berasas kerana DAP hanya bertanding antara 50 hingga 60 kerusi Parlimen sahaja sedangkan Pas dan PKR masing-masing bertanding lebih daripada 70 kerusi. "Justeru, rakyat dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan propaganda dimainkan Umno," katanya ketika sesi ceramah di Perhentian Bas Tanjong Karang sempena siri lawatannya di Tanjong Karang. Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman yang juga Adun Meru; Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani; Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi dan Ketua PKR Cabang Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri. Abdul Hadi berkata, kerjasama antara Pas dan DAP bukan satu perkara baru, bahkan pernah berlaku sejak zaman Rasulullah lagi sebagaimana dicatatkan dalam beberapa sejarah perjuangan Islam apabila meminta bantuan orang bukan Islam ketika penghijrahan ke Madinah. "Begitu juga sewaktu baginda Rasullah di Madinah mengadakan permuafakatan dengan bukan Islam dari golongan kafir Madinah sehingga termeterainya perjanjian ataupun disebut sebagai piagam Madinah dan pernah membuat perjanjian dengan Bani Khuza'ah dan lain-lain. "Sebab itu, kerjasama antara Pas dan DAP dibolehkan oleh syarak kerana Majlis Syura Ulama' Pas yang menjadi pemandu perjuangan Pas sejak daripada awal lagi sekali gus membezakan kerjasama antara Umno dan parti komponen mereka yang semata-mata hanya untuk mendapatkan kuasa," katanya. | ||
Bantuan persekolahan RM100, dapat hanya RM50 Posted: 31 Mar 2013 11:48 PM PDT
Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi sesi persekolahan tahun 2013 di bawah Bajet 2013 telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak September lalu. Media melaporkan, Kementerian Pelajaran telah mula mengagihkan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 10,019 sekolah rendah dan menengah di seluruh Negara secara berperingkat bermula 15 Januari 2013. Anak kami belajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning, Jalan Anggerik Aranda 31/8, Kota Kemuning, juga telah menerima bantuan RM100. Tetapi pihak sekolah telah memaksa semua murid menderma RM50.00 kepada tabung PIBG. Oleh yang demikian anak kami membawa pulang RM50.00 sahaja. Kami kurang pasti wajarkah pihak sekolah berbuat begitu? Baru ini sekolah juga minta semua murid menderma RM5.00 seorang untuk membeli pasu bunga. Kami memohon agar tuan dapat menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Yang Berharap, IbuBapa Malang | ||
PRU13: Ahli MPAN 308 sokong Pakatan Rakyat Posted: 31 Mar 2013 11:39 PM PDT
KEPALA BATAS: Seramai 400,000 ahli Pertubuhan Kebajikan Menyatupadukan Anak Negara Malaysia (MPAN 308) seluruh negara mengisytiharkan menyokong Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Majlis pengisytiharaan itu dibuat sendiri oleh Pengasas MPAN 308, Rashidi Ismail atau dikenali dengan 'Paduka Ayahda' dalam satu majlis ringkas di pekarangan kediamannya di Kampung Permatang Manggis, di sini kelmarin. Program yang dihadiri oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Johari Kasim dan kepimpinan PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bertam (gambar atas) menambahkan lagi keyakinan di kalangan ahli MPAN 308 bahawa Pakatan boleh menjadi kerajaan yang lebih baik, bertanggung jawab dan amanah berbanding Umno BN. Baginya, tragedi dipukul oleh 20 petugas Umno Kepala Batas di hadapan sebuah pasar raya baru-baru ini membuatkan mereka 'berpatah arang' untuk bersama Umno BN lagi. "Dengan ini saya menggesa semua ahli MPAN 308 yang ada malam ini dan seluruh negara supaya berikan sokongan kepada Pakatan Rakyat kerana Umno tidak lagi releven kerana mengamalkan gengsterisme. Umno buat negara ni macam tiada undang-undang," katanya menceritakan detik-detik beliau dipukul di hadapan isteri dan anaknya ketika sedang memasukkan barangan ke dalam kereta. Beliau juga terkilan kerana tiada seorang pemimpin Umno Bahagian Kepala Batas datang menziarahi atau bertanya khabar ekoran kejadian itu kecuali Johari bersama rakan-rakannya. "Saya ucapkan terima kasih kepadanya yang begitu prihatin," tegasnya. Sementara itu, Johari dalam ucapan ringkasnya menyifatkan sokongan yang diberikan itu merupakan tamparan hebat kepada Umno yang sedang berhadapan dengan krisis dalaman yang parah. Justeru, ujarnya biarlah Umno bangga dengan budaya samseng kerana rakyat sudah tahu menilai yang mana baik untuk dijadikan parti pilihan semasa membuang undi nanti. "Jauhilah parti yang mengembangkan budaya samseng untuk bersama-sama bertekad memenangkan Pakatan Rakyat dan seterusnya menakluk Putrajaya bagi menjadi Kerajaan Pakatan Rakyat yang sah," terangnya. | ||
Mahathir: Jangan bagi pembangkang menang di Johor Posted: 31 Mar 2013 11:37 PM PDT JOHOR BAHRU - Rakyat Johor disaran tidak membenarkan sama sekali calon Pakatan Rakyat (PR) menang sama ada kerusi Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rekod dan prestasi Johor sebagai 'deposit tetap' Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan. "Melalui apa yang media laporkan, mereka (pembangkang) mahu bertanding di Johor. Jadi saya mahu tidak ada calon dari parti lawan dibenarkan menang di Johor. "Kekalkan rekod Johor, prestasi Johor sebagai 'fixed deposit' BN," katanya semasa berucap pada program Bicara Perdana Bersama Pemimpin Ulung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permas, di sini malam tadi. Pada kali ini, dua pemimpin kanan PR iaitu Lim Kit Siang dan Salahuddin Ayub masing-masing Penasihat DAP dan Naib Presiden Pas akan bertanding di Johor. Sambil menyifatkan Johor sebagai contoh negara, Dr Mahathir berbangga dengan rakyat Johor dan pencapaian pada pilihan raya umum terdahulu kerana terus menyokong serta memilih BN. "Harap Johor akan menang tiap-tiap pilihan raya umum dan kemenangan diraih adalah 100 peratus. "Inilah Johor iaitu sebuah negeri yang mencerminkan Malaysia. Negeri berbilang bangsa dan agama sentiasa memberi kerjasama serta sokongan kepada pemimpin-pemimpin BN yang bertanding seterusnya membawa kemenangan," katanya. | ||
Ceroboh Sabah: Muhammad Ridzwan serah diri bantu siasatan Posted: 31 Mar 2013 11:36 PM PDT SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan, Datuk Seri Muhammad Ridzwan Sulaiman hari ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan bersenjata di Sabah. Beliau, yang memakai baju Melayu merah dan berserban, hadir bersama lebih 10 orang kenalannya di balai polis itu pada 11.05 pagi tadi. Bercakap kepada pemberita sebelum menyerah diri kepada pihak polis, Muhammad Ridzwan mengaku memberi bantuan kewangan kepada Sultan Sulu, Jolo, selatan Filipina iaitu Sultan Muedzul Lail Tan Kiram yang pernah ditemuinya pada 15 dan 16 Sept tahun lalu. Beliau bagaimanapun menafikan bahawa Jamalul Kiram, yang dipercayai menjadi dalang pencerobohan di Sabah, adalah Sultan Sulu. "Saya tidak kenal pun Jamalul Kiram," katanya. Muhammad Ridzwan menyerah diri hari ini berikutan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib semalam yang memintanya menyerah diri dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran. Hamza berkata Muhammad Ridzwan, yang tidak terlibat dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina, boleh membantu pihak polis dalam siasatan mengenai kes pencerobohan di Lahad Datu pada 12 Februari lepas. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan