Isnin, 8 April 2013

.

.


17 Muka Lama Yang Perlu PAS Kelantan Gugurkan

Posted: 08 Apr 2013 02:41 AM PDT

ANALISA                                                                                                                             

Antara faktor yang akan membawa kemenangan kepada sesebuah parti politik dalam pilihan raya ialah isu-isu yang dimainkan. Isu semasa cukup penting tidak kira dalam aspek apa saja. Kalau boleh diberikan percentage isu akan memberi sumbangan 30 peratus untuk kemenangan. 30 peratus lagi ianya datang dari manifesto atau janj-janji yang dibuat yang dicampur dengan pencapaian sesebuah parti atau kerajaan.

Manakala yang lebih kira-kira 30 peratus lagi ianya bergantung kepada batang tubuh calon. Keperibadian atau syaksiah calon. Manakala parti atau wadah pula tidak sangat memainkan peranan penting. Dalam konteks Umno dan PAS ianya boleh dianggap sama rata sahaja. Kerana kedua parti ini sudah matang. Pemilihan parti atas keyakinan soal-soal mitos bukan begitu besar sangat. Apa lagi generasi baru tidak meletakkan soal itu sebagai keutamaan.

Sesetengah pengamat dan penganalisa politik akan menemui jawaban PAS dan Umno sama saja tidak jauh bezanya. Kedua parti ini dipisahkan oleh sempadan yang menjadi slogan atau tagline kedua-dua parti itu. PAS dilihat sebagai Islam walaupun keIslamannya boleh dipertikaikan, manakala Umno pula dipandang sebagai parti nasionalis.

Dalam bahasa mudah PAS parti berideologikan agama dengan menjadikan Islam sebagai landasannya, manakala Umno berideologikan nasionalis, menjadikan semangat Melayu sebagai landasannya.

Tahun-tahun 60-an, 70-an sampai 80-an memang parti menjadi salah satu faktor. Ideologi parti menjadi penilaian kerana ia didoktrin sebagai satu dogma. Misalnya kalau PAS yang hampir kepada Islam dan kalau Umno ia hampir kepada nasionalis atau Melayu. Generasi hari ini yang sudah berada jauh dari sejarah kenegaraan dan suasana perwujudkan parti politik itu tidak lagi menjadikan parti sebagai faktor.

Umum sudah faham parti hanya sebuah wadah atau bekas yang menggariskan perjuangan dan matlamatnya. Generasi yang baru kini sudah memahami parti hanya sebagai satu alat untuk membolehkan ianya menyertai pilihan raya. Apa yang diperhatikan ialah manusia atau tokoh-tokoh di dalam parti itu.

Hari ini idealisme atau perjuangan parti tidak penting lagi kerana ia dinaungi idealisme pemikiran pemimpinnya. Nampaknya idea atau pun keperibadian pemimpin itu lebih menonjol dari matlamat  dan konsep parti. Ertinya parti atau wadah perjuangan itu hanya kecil saja untuk dijadikan kriteria bagi ianya dipilih.

Menerusi catatan ini saya hendak berakap soal batang tubuh calon, di mana 30 peratus ia menyumbangkan kemenangan kepada mana-mana parti. Calon ini akan dikira dari soal pendidikan mereka, latar belakang, kekeluargaan dan juga soal-soal peribadi dari sekecil-kecilnya kepada soal-soal besar pemikiran dan gagasan.

Dosa-dosa kecil dan besar juga diambil kira. Tetapi kerana perkara ini ia bersifat subjektik tidak penting, maka ia tertumpu kepada fizikal saja atau suasana di sekeliling calon itu. Fizikal di sini mengenai hubungan, PR dan juga pemikiran dan idea.


Dalam konteks perlawanan di antara PAS dengan Umno di Kelantan hari ini mana-mana parti yang dapat mengemukakan calon berkeperibadian, parti itu akan menang. Golongan atas pagar akan membuat penilaian dari aspek ini selain mengenai pencapaian kedua-dua buah parti. Manakala parti yang masih mengekalkan calon lama di mana rakyat sudah mengenali keperibadian mereka, daya berfikir budaya dan soal makan minum mereka akan kalah.

Jadi di sini apa yang perlu disebut dan diutamakan oleh kedua-dua parti ialah mengemukakan  calon-calon baru dan menggunakan calon-calon lama. Umno sudah merasai akan hasil ini. Tahun 2004 Umno telah menukar hampir separuh calon-calon mereka, yang lama dirihat dan muka baru diangkat. Hasilnya parti itu menang besar dan hampir mengalahkan PAS.

PAS perlu mengambil iktibar atas apa yang berlaku. Di dalam PAS hari ini seramai 23 orang yang kini menjadi wakil rakyat dianggap sudah tidak layak atau perlu diganti. Dari jumlah itu 17 orang wakil rakyat perlu ditukar untuk menampakkan PAS mengemukan barisan bertenaga dan dinamik.

Sekiranya PAS berdegil untuk tidak tukar dan masih mempercayai mereka akan membawa kemenangan PAS akan tertumus dalam pilihan raya ini. Elok kalau saya sebut nama-nama itu satu persatu agar mudah diketahui dan orang berkenaan juga sedar yang mereka dalam zone tidak selamat. Mudah-mudahan kalau mereka sedar tertakdir mereka dicalon sekali lagi mereka kena berundur dengan terhormat. Mereka ialah:

1. Omar Muhammad (Perupok) Yang Dipertua PAS Bachok.
2. Wan Ismail Wan Jusoh (Melor) Yang Dipertua PAS Ketereh.
3. Zulkefli Mamat (Pualai Chondong) Yang Dipertua PAS Machang.
4. Abdul Fatah Haroh (Bukit Tuku) Yang Dipertua PAS Ranhtau Panjang.
5. Hanifa Ahmad (Pengkalan Pasir ) Yang Dipertua PAS Pasir Mas.
6. Nik Mazian Nik Mohamed (Gaal ) Yang Dipertua PAS Pasir Puteh.
7. Drs Zainuddin awang Hamat (Limbongan).
8. Drs Saiful Baharin (Selising).
9. Mohamad Awang (Gual Periok).
10.Wan Ahmad Lotfi Wan Sulaiman (Kemuning).
11. Rohani Ibrahim (Tanjung Mas).
12. Arifabilah @ Mohd Asri Ibrahim (Dabong).
13. Bhaiyaqi Atikullah (Pasir Tumbuh).
14. Mohamad Huseein (Parlimen Pasir Puteh).
15. Abdul Halim Abdul Rahman (Parlimen Pengkalan Chepa).
16. Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Parlimen Kota Bharu).
17. Muhammad Mustafa (Demit).

Itulah 17 nama sekurang-kurangnya perlu ditukar oleh PAS untuk memperlihatkan barisan calon PAS Kelantan terdiri dari muka baru. Sebenarnya ada enam nama lagi yang juga wajar digugurkan. Sekiranya mereka ini dikekalkan atas apa-apa alasan juga, termasuk mereka boleh membawa kemenangan ia tetap memberi imej buruk kepada PAS. Rakyat akan lihat PAS Kelantan gagal mengemukakan muka baru yang lebih menyakinkan.

Apa lagi kalau kebetulan Umno pula mengemukakan muka baru yang terdiri dari pelbagai profesional dan mereka berketrampilan sudah tentu rakyat akan terliur kepada calon-calon dari Umno.

Cukup dibimbangi kalau muka-muka ini tidak digugurkan ia boleh menyebabkan berlaku sesuatu diluar dugaan kepada PAS Kelantan.[wm.kl.5:39 pm 08/04/13]

Zailah Enggan Pindah Rela Tak Bertanding?

Posted: 07 Apr 2013 09:43 PM PDT

SOROTAN ISTIMEWA HARI INI                                                                                               

Khabarnya Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia Siti Zailah Mohd Yusof keberatan untuk meninggalkan pengkalannya di Rantau Panjang bagi dipindah ke kerusi lain. Zailah tidak bersedia kerana di bumi itu beliau dikatakan sudah lama membajak dan tenggala, bahkan semaiannya sudah pun mulai hendak boleh dituai. Alasannya, tidak munasabah kalau dia hendak meninggalkan ladang yang sedang menguning. Benar juga.. kalau ditinggalkan maka akan kompunlah anak buah yang hendak merasai budi tangannya.

Zailah: Merajuk?
Ada ura-ura Zailah akan dipindah ke kawasan lain atas muslihat tertentu dan percaturan yang tidak jelas baginya. Sehubungan itu beliau akan diturunkan ke Dun Gual Periok bagi mengganti tempat Mohamad Awang yang dikatakan tidak berapa 'rak' untuk memastikan Dun berkenaan terus kekal dalam tangan PAS. Dalamn pilihan raya lalu Mohamad menang dengan majoriti 733 sahaja.

Selalunya kalau kemenangan tipis begitu, sudah tentu dalam pilihan raya akan datang kalau calon itu dikekalkan lagi, kerusi Gual Periok sakan hanyut. Apa yang pernah berlaku ke atas Abdullah Razak tahun 1999 - 2004 akan menimpa Mohamad. Maka untuk menjamin Dun Gual Periok kekal maka satu formula diperkenalkan agar Zailah turun ke Gual Periok demi kemenangan di Rantau Panjang.

Penurunan itu juga merupakan kenaikan pangkat kepada Zailah. Tertakdir PAS dapat memerintah Kelantan beliau sudah pasti akan diangkat menjadi salah seorang anggota exco. Kedudukannya sebagai muslimat akan melayakkan beliau menjawat jawatan itu walaupun jawatan itu tidak semestinya diberi perioriti kepada penjawat jawatan dalam parti. Namun itulah tradisinya.

Tampaknya formula itu tidak mudah dipersetujui dan angin-angin bangkangan sudah mula pejal. Yang cuba menolak dan menghalangnya bukan diri Zailah secara peribadi, tetapi kepimpinan dalam muslimat PAS Pusat. Muslimat mahukan Zailah kekal di parlimen Rantau Panjang. Khabarnya ada yang datang berjumpa dan merayu kepada Tokguru Nik Aziz. Rayuannya mungkin sampai tumpah air mata. Hujah yang diberikan ialah untuk memastikan suara muslimat ada di parlimen. Maka itu Zailah harus berada di Rantau Panjang.

Sebenarnya hujah itu tidak konkrit dan sangat dangkal. Tidak berbangkit lagi suara muslimat akan kekurangan di parlimen kalau Zailah tidak bertanding di Rantau Panjang. Bukankah bekas senator Muntaz Nawi akan diletakkan di parlimen Kubang Kerian bagi menggantikan Sallahuiddin Ayub? Kredibiliti Muntaz sebagai ahli parlimen rasanya lebih terserlah dan anggun lagi dengan latar belakangnya sebagai seorang peguam.

Di parlimen ia memerlukan seseorang yang boleh bercakap mengenai dasar kerajaan dan menyumbangkan idea mengemaskan polisi kerajaan, dan bukan setakat melaporkan soal banjir atau sampah sarap dan anak babi 'berunga-rungga' di celah kampung semata-mata.

Justeru saya melihat halangan dua orang pemimpin muslimat Pusat terhadap Zailah itu bukan kepentingan muslimat sangat tetapi kepentingan diri sendiri. Mereka juga tidak melihat apakah manfaat yang boleh diterima pengundi Rantau Panjang kalau Zailah berada di state dan menjadi anggota Exco. Zailah boleh menyumbang banyak lagi kebajikan bukan saja di Rantau Panjang bahkan diseluruh Kelantan. Di sini perjuangan muslimat Pusat itu jelas demi kepentingan mereka.

Atas keperluan itu maka orang di Rantau Panjang dan saya sendiri melihat keperluan yang sewajarnya diutamakan. Zailah patut mewarasakan kepalanya dan memberi keutamaan yang lebih utama khasnya untuk kesejahtraan dirinya dan juga keluarga. Beliau tidak patut merasa terhina dengan formula berkenaan.

Saya tidak mahu meyebut kenapa ada pemimpin PAS muslimat mahu menggunakan Zailah untuk kepentingan dirinya. Tetapi ada elemen-elemen tertentu yang tidak positif dan baik untuk Zailah terpamer. Mereka mahukan Zailah untuk menjadi alat kepada mereka kerana mereka tahu diri mereka tidak boleh berada di tempat Zailah sekarang ini kerana kelemahan dan penolakan muslimat ke atas stail politik mereka. Mereka juga tahu yang Zailah boleh dipergunakan untuk kepentingan mereka. Hari ini pun suara-suara atau tuntutan mereka telah ditelorkan oleh atau melalui Zailah.  Nah.. itulah tujuan mereka menyingsing lengan mempertahankan Zailah.

Saya tidak pasti apakah Zailah menyedari akan perkara ini? Menyedari akan dia dipergunakan secara halus oleh rakan-rakan muslimatnya sendiri. Atau pun Zailah kini sudah mula merasai enak sebagai seorang ahli Parlimen dan dibayangkan pula bakal menjadi menteri?

Zailah seorang yang lemah lembut dsan mempunyai syaksiah yang baik. Beliau tidak konteroversi dan lantang. Beliau lebih bersifat keibuan daripada fighter wanita liberal. Dengan sifat itu beliau mudah disuruhi apa sahaja. Pernah satu ketika Zailah tidak berbuat apa-apa apabila seorang pemimpin muslimat (belum kahwin) menyanyi-nyanyi dan bertempik di khayalak ramai dalam satu mini demostrasi. Walhal kelakuan muslimat belum kahwin berkenaan agak janggal dan tidak menggambarkan muslimat PAS dari bangsa Melayu. Mungkin dia Kadazan?

Gelagat itu hanya mampu dipandang Zailah tanpa membuat apa-apa teguran. Di sini penghormatan saya sebagai jantan kepada Zailah sebagai seorang mujahidah Islam agat teralat sedikit. Saya mula bertanya dan mengukur sepanjang mana dan setebal mana jubah dipakai Zailah selepas peristiwa itu.

Peristiwa itu menunjukkan kelemahan dan kurang karismatiknya Zailah sebagai pemimpin. Atau sifat dan perwatakannya yang lemah lembut dan mudah kesian itu sangat disukai sesetengah pihak dalam muslimat kerana ia boleh dijadikan alat. Atas alasan dan motif itulah dirasakan kenapa Zailah perlu berada di parlimen bagi mengekalkan kedudukan sebagai ketua muslimat dan seterusnya dipergunakan oleh pemimpin lain.

Dalam muktamar PAS nanti saya percaya Zailah akan ditentang. Mungkin sesudah menyedari ini maka perlu Zailah berada di parlimen bagi menampakkan dia pemimpin nasional. Sebenarnya tanggapan itu salah. Hebat atau tidak seseorang itu bukan masalah dia berada di parlimen atau di Dun. Tetapi ia terserlah menerusi idealisme dan hujah-hujah dan cara politiknya yang mampan.

Jadi apabila Zailah tidak bersedia ditukar sehinggakan katanya bersedia untuk tidak bertanding kalau bukan di Rantau Panjang perlu dihormati. Tetapi harus difikir tindakan itu sesuatu tindakan yang tidak profesional. Politik merajuk, ugut dan kecewa begitu bukan politik yang didokongi prinsip dan sifat-sifat Islam yanhg tulen atau menjadi pakaian muslimat PAS. Kedudukan, kerusi dan pangkat didalam perjuangan bukan perkara utama dan dituntuti. Dan kalau itulah yang menjadi dambaan Zailah ia suatu ajaran yang salah.

Teladan dan tanggungjawab yang dipikul Husam Musa yang sanggup dipulaukan ke Putrajaya seharusnya menjadi renungan dan cabaran buat Zailah. Apa salahnya kalau dia menyahut cabaran itu seberani Husam. Bukankah Husam adalah idola Zailah? Bukankan Zailah yang mencadangkan agar Husam bertanding di dua kerusi parlimen dan state?

Apa lagi kalau Zailah benar-brnar bertahan degan keputusannya itu kerana diminta beralih tempat dan tidak mahu bertanding, maka beliau telah membunuh kerjaya politiknya lebih awal. Zailah sudah mengukur belinda kerandanya lebih awal sebelum dia jatuh sakit lagi.

Apa pun saya percaya Zailah boleh kekal berada di Rantau Panjang seperti dipertahankan seterusnya memenuhi misi beberapa orang pemimpin dalam muslimat PAS itu dengan syarat ada wakil muslimat sekali lagi pergi merayu dan menangis kepada Tokguru agar Zailah jangan dipindahkan. Curahlah air mata dan merayulah Tokguru insyaAllah beliau akan memenuhinya kerana dia seorang berjiwa lembut dan sedia mengorbankan diri dan perasaan untuk anak-anak buahnya.

Inilah kemuliaan Tokguru Nik Aziz. Dan kepada Zailah dan pemimpin muslimat yang tetap mahukan Zailah berada di Rantau Panjang cubalah... masa masih ada. Matahari belum naik di belah Barat lagi. Cuma saya ingin bertanya apakah ertinya dan apakah maknanya slongan yang tertera di billboard yang berbunyi WE LOVE TOK GURU yang kini berlambak di Kelantan? Semasa saya berjumpa Tokguru sebulan lepas saya bertanya kepadanya, apakah makna WE LOVE TOK GURU?

Dia memberi jawaban tidak setepat seperti mana saya mahukan. Selepas saya mengupasnya sedikit lantas beliau berkata dalam mantik begini sebagai jawabannya; SAMALAH MENGAKU ISLAM TETAPI TIDAK SEMBAHYANG. Saya terkedu dan faham. Maksud kalau mulut kata sayang tetapi hati tidak dan perbuatan jauh sekali ia tak ada apa-apa guna. Semalaman kablu saya menangis mengenagkan nasib Tokguru yang dijadikan hamba oleh pendokongnya juga.  [wm.kl.12:21 t/hari 08/04/13]

PKR Gagal Umum Dr Juanda Sebagai Calon di Kangar?

Posted: 07 Apr 2013 09:06 AM PDT

KHABAR MALAM                                                                                                                

Umno Perlis tentu berbahagia dan lega sakan malam ini kerana Pakatan Rakyat negeri itu telah mempamirkan politik tidak sekata dan tidak menunjukkan kesepakatan jitu dalam kerjasama. Ini ekoran hasrat PKR untuk mengumumkan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya sebagai calon parlimen Kangar tidak tercapai apabila PAS terlebih dahulu mengumumkan calonnya untuk kerusi berkenaan.

Juanda: Gagal diumum sebagai calon.
Kehadiran ribuan rakyat Perlis di ceramah perdana di Kuala Perlis malam ini antara lain untuk mendengar pengumuman rasmi Juanda sebagai calon kerusi parlimen Kangar. Anwar Ibrahim sendiri dijangka akan mengumumkan Juanda sebagai calon parlimen Kangar. Mereka yang hadir dikatakan ternanti-nanti pengumuman itu dan akhirnya pulang dengan rasa kecewa dan marah apabila nama Juanda tidak diumumkan.

Kegagalan itu sudah pasti mengembira Umno kerana ia menggambarkan yang Pakatan Rakyat Perlis tidak mantap dan sekata. Peristiwa malam ini menjadikan Pakatan Rakyat Perlis kini sudah retak yang akan menunggu belah bila-bila masa saja.

PAS beberapa hari lalu telah mengumumkan bekas pengurus besar Pos Malaysia Baharuddin Ahmad sebagai calon mereka untuk kerusi parlimen Kangar. Pas juga turut sama membolot dua lagi kerusi parlimen, Arau dan Padang Besar. Langkah PAS itu menghairankan ramai pemerhati politik dan merasakan parti itu tamak kerana membolot semua kerusi parlimen. Tindakan mengumumkan calon tanpa persetuan PKR itu satu perbuatan menghina.

"Tuan apa sudah jadi dengan PAS Perlis ini?" begitulah tanya seorang yang sedang mengikut ceramah Pakatan Rakyat di Kuala Perlis menerusi telefon sebaik mengetahui yang nama Juanda tidak diumumkan malam ini.

"Apa nak jadi dengan Pakatan Rakyat ini bang. Nampaknya impian ke Putrajaya akan tinggal mimpi saja, terburai di tengah jalan," katanya dengan nada kesal.

"Abang bagi tahulah kepada PAS jangan tamak sangat..," katanya lagi penuh mengharap. Pemanggil ini tidak menyebut namanya tetapi dia mengakui sangat rapat dengan blog saya.

Keluhan dari pemanggil itu merisaukan saya. Saya juga nampak begitu, PAS Perlis tidak menunjukkan semangat kerjasama yang baik dengan rakan mereka. Apa yang berlaku di Perlis itu semacam ia disengajakan dan ada motif tertentu. Semacam ada elemen untuk mengkhianati Pakatan Rakyat.

Sepatutnya PAS Perlis tidak berbuat demikian? Sikap tolenrasi yang tinggi seharusnya tunjukkan bukannya sifat tamak. Apakah ianya arahan dari PAS Pusat ataupun saja-saja pandai PAS Perlis? PAS pusat perlu melihat dan mengkaji semula tindakan PAS negeri berkenaan. PAS Pusat tidak patut membiarkan apa yang berlaku di Perlis itu diuruskan sendiri oleh PAS negeri itu. PAS Kuala Lumpur harus lebih bertanggungjawab terhadap PAS Perlis.

Tidak mustahil kalau PAS membiarkan apa yang berlaku di Perlis itu tanpa dipantau, semua usaha dan pengemblengan tenaga selama ini untuk menumbangkan BN sia-sia sahaja. Paling mendukacitakan rakyat khasnya penyokong Pakatan Rakyat akan hampa di atas apa yang berlaku. Mereka akan hilang kepercayaan kepada UBN yang kini nampak semakin kemas dan sekata. Sikap PAS itu juga akan dijadikan bukti dan dalil besar oleh Umno bahawa parti-parti gabungan Pakatan Rakyat lebih mementingkan diri sendiri dari menjaga kepentingan rakyat.

Apakah yang berlaku di Perlis itu atas kehendak tokoh spritual PAS Perlis Haron Din? Apakah tindakan itu adalah atas ilham dan wahyu daripada Haron Din yang baru-baru ini telah memberi kata dua yang memedihkan kepada Anwar Ibrahim berhubung jawatan perdana menteri?

Beberapa minggu lalu Haron Din dilaporkan telah menemui Anwar dan memberi formula mengenai jawatan perdana menteri. Sebenarnya formula dikemukakan Haron Din itu sudah dianggap 'mabuk todi' kerana belum apa-apa beliau sudah bercakap siapa lebih layak menjadi PM sedang kemenangan masih berada di dalam laut.  

Saya yakin isu calon dan pembolotan kerusi ini kalau tidak diselesaikan secara baik Pakatan Rakyat Perlis akan bergolak di mana natijahnya nanti satu kerusi pun tidak akan berjaya ditawan. Orang-orang PKR yang mengundi di semua kawasan di Perlis akan membalas dendam sama ada tidak keluar mengundi ataupun mereka akan undi UBN. [wm.kl.12:09 am 08/04/13]

Tiada ulasan: