. |
Posted: 25 Apr 2013 10:08 PM PDT CATATAN SEMANGAT Malam 18 April lalu bertempat di Padang Bandaran Machang dalam gerimis malam, 49 nama-nama calon PAS yang akan bertanding di kerusi parlimen dan DUN diumumkan satu persatu. Nama-nama calon parlimen diumumkan oleh Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan, Ahmad Yaacob manakala nama-nama calon DUN atau Negeri diumumkan oleh Mohd Amar Nik Abdullah selaku Timbalan Pesuruhjaya III.
Sepatutnya nama-nama calon kerusi Negeri itu diumumkan oleh Husam Musa sesuai dengan kedudukannya dalam hierarki parti sebagai orang nombor tiga. Husam adalah Timbalan Pesuruhjaya II. Tetapi kerana beliau tiada di majlis itu, maka Mohd Amar sebagai timbalan pesuruhjaya III diberikan kesempatan. Kesempatan itu tentulah membahagiakan beliau kerana ia merupakan satu penghormatan. Tanpa perimis Mohd Amar mengambil peluang itu sebaik mungkin. Ketika pengumuman nama-nama calon itu yang dianggap saat paling mendebar dan menggembirakan bagi mereka yang dipilih, Husam tidak berada di pentas. Beliau berada nun 560 km dari Machang, Kelantan. Ketika itu beliau berada di Putrajaya berperang dengan perasaannya sendiri. Ketiadaan Husam ini menjadi tanda tanya kepada sesetengah orang, tetapi ia sesuatu kemujuran pula kepada sesetengah yang lain. Husam sepatutnya berada sama di Machang untuk sama-sama mendengar dan memerhatikan nama-nama calon yang umumkan. Tetapi kerana beliau juga bertanding di Putrajaya di mana kawasan baru, beliau terpaksa 'absen' majlis penuh bermakna di Machang itu dengan memilih untuk berada di Putrajaya. Husam seperti lebih obses kepada Putrajaya yang merupakan satu kawasan belantara politik untuk diterokai olehnya.Nasib baik ada Putrajaya Husam dapat jadikan ia sebagai alasan. Walhal untuk berada di Putrajaya ketika nama-nama calon diumumkan bukan satu kemestian buatnya. Putrajaya tidak akan hilang kalau beliau pulang sekejap ke Kelantan dan berada di Machang. Ia tidak menjadi masalan dan membebankannya. Namun kerana ada hambatan dan isbab lain, maka Husam pilih untuk bersendirian di Putrajaya pada malam orang berpesta membahagi calon di Kelantan. Tidak terbayang oleh saya macam mana perasaan dan jiwa Husam ketika majlis pengumuman itu berlangsung sedang beliau juga salah seorang penting PAS Kelantan berada di luar gelanggang.
Mereka, khususnya yang baru pertama kali bertanding seperti Ku Zaki Ku Hussein (Dabong), Dr Yusnan Yusof (Melor), Nazlan Mohd Hasbullah (Limbongan), Rozi Mohamad (Tendong), Mohamad Abdul Rosul (Bukit Tuku), Mohd Rosli Ismail (Kemuning) dan lain-lain mestilah akan teringat kepada Mohd Amar. Mereka akan kenang sampai ke mati. Nama mereka diumum oleh Mohd Amar. Signifikennya buat mereka, Mohd Amar adalah pemimpin atau orang yang mereka harus hormati kerana 'memilih' mereka bertanding dalam pilihan raya. Bagi Mohd Amar pula kesempatan yang diberikan dan diambil beliau mengumumkan nama-nama calon itu merupakan satu markah untuknya. Satu penghormatan dan akan dianggap sebagai isyarat jelas daripada Nik Aziz. Tidak boleh tidak mereka yang nama disebut oleh Mohd Amar akan menerima Mohd Amar sebagai taukeh mereka di masa akan datang. Mohd Amar pula boleh menyebut secara beseloroh 'nama demo kawan yang umum'. Apa yang berlaku itu tidak merupakan isu dan masalah bagi PAS sebenarnya. Sesiapa yang mengumumkan nama-nama calon tidak berbangkit. Sesiapa sahaja boleh umumkan. Namun kerana dunia politik itu penuh dengan prejudis dan persepsi, menyebabkan apa yang berlaku itu akan menjadi sebutan dan percakapan. Bagi pemerhati pula akan mula membuat congakan dan analisa di atas apa yang berlaku. Politik itu tetap politik di mana dan dalam keadaan apa sekali pun. Orang boleh menganggap apa yang berlaku di Machang malam itu Mohd Amar sedang berlatih untuk jadi ketua? Sesiapa saja yang layak tidak menjadi masalah. Baik Husam atau Mohd Amar tidak menjadi persoalan. Tetapi yang musykilnya kenapa Husam harus berkorban dan berundur begitu juah semasa pengumuman calon dibuat? Inilah yang kalau dijadikan isu ataupun bahan untuk berfikir apabila menghitung politiking di dalam PAS. Apakah Husam sudah dapat membaca bahawa Mohd Amar akan jadi tukang mengumumkan calon malam itu dengan menyangka Setiausaha Badan Perhubungan memilih Mohd Amar? Majlis malam itu adalah kepunyaan Badan Perhubungan ertinya Setiausaha Badan Perhubungan Zulkefli Mamat berkuasa ke atasnya. Pengarah majlis malam itu adalah Zulkefli. Bekebetulan Zulkefli Mamat berbiras pula degan Mohd Amar jadi mereka mempunyai hubungan kekeluargaan yang intim berbanding dengan Husam. Jika diadakan undi sulit Zulkefli akan memangkah Mohd Amar berbanding Husam. Kalau benar begitu wajarlah kalau Husam tidak hadir dan melarakan diri di rantau orang. Kerana kalau dia hadir, tiba-tiba Mohd Amar juga diberikan ruang maka malulah Husam. Di mana Husam hendak meletakkan mukanya. Tetapi saya tidak berfikir begitu, kalau Husam ada di pentas saya kira dia juga akan diberi kesempatan untuk mengumum calon-calon kalau tidak semua pun, separuh berkongsi dengan Mohd Amar. Tidakkah PAS itu sebuah parti yang 'adil madil'? (Madil pulak). Biarlah saya tinggalkan kisah di malam pengumuman calon yang sedikit ganjil tanpa kehadiran pemimpin PAS masa depan si Husam Musa itu. Kini saya cuba selak pula apa yang berlaku di hari penamaan calon di Putrajaya 20 April lalu. Ramai yang terlepas pandang kepada satu aksi spontan yang amat menyentuh emosi. Penamaan calon di Putrajaya sungguh meriah. Bumi Putrajaya yang hijau ditambakan lagi dengan kehijauan bendera PAS dan berbagai-bagai peralatan kempen. Walaupun Husam dagang musafir, tetapi dia tidak berseorangan. Ribuan anak-anak Kelantan yang berada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor hadir memberi sokongan moral kepadanya. Mereka berarak mengiring Husam ke pusat penamaan calon penuh ukhwah dan semangat Kelantanis. Pendeknya hari itu Husam tidak merasakan dia keseorangan berada dalam belantara politik Putrajaya yang menjadi kubuh utuh buat UBN. Kehadiran yang ramai merujakan Husam dan menjadi kehangatan sambutan itu sebagai petanda penerimaan Husam sebagai pemimpin. Terutamanya anak-anak muda sudah menjadikan Husam sebagai ikon. Dia sendiri sudah dapat merasakan di mana dan ke mana dia pada masa akan datang. Husam sudah mula menjadi publik figure peringkat nasional. Melihat kepada sambutan dan gaya Husam tampil bersama orang ramai dengan berbaju gumbang berwarna hijau bersongkok hitam, (ketinggalan samping) ditemani isteri tercinta Rohana Mohamad, sambil melambai-lambai tangan, tidak salah kalau disebut Husam adalah Anwar kedua di Malaysia. Husam sudah mula mencuri rentak Anwar dan menjadikan dirinya sama popular dengan Anwar khasnya dari kalangan remaja Melayu. Seandai Anwar tiada, tidak syak Husam sudah bersedia untuk mengganti tempat Anwar. Kekosongan yang bakal ditinggalkan Anwar ia akan di isi oleh Husam atau Lim Guan Eng dalam konteks Pakatan Rakyat. Berada di Putrajaya berdepan dengan Teuku Adnan Teuku Mansor menjadikan Husam seorang hero. Penerokaan beliau ke belantara politik di situ menggambarkan Husam mempunyai pandangan politik yang jauh dan optimisme. Dia melakukan sesuatu yang orang lain tidak berani lakukan. Husam selalu memulakan sesuatu yang tidak masuk akal kemudian akan dikagumi umum sebagai kebijaksanaan dan keistimewaannya. Siapa yang sedia bertanding di Putrajaya kawasan yang dikirakan A++ buat UBN? Saya yakin tidak siapa berani berbuat begitu. Siapa berani menempah maut di siang hari. Tetapi kenapa Husam sedia menyanggupinya setelah orang lain bertolak-tolak mahu mencari kawasan selamat? Inilah pencelahan Husam yang dinamik dan perlu dinilai semua orang. Di sinilah kehebatan Husam dan kepantasan dia membaca menu politik kemudian mengukuhkan bingkai politiknya di masa depan. Ternyata tindakan itu tepat apabila beliau disambut demikian rupa dan keberanian bertanding di Putrajaya dianggap sebagai wira. Husam sendiri saya kira tidak menyangka dia akan diberi penghormatan dan sokongan begitu rupa. Dia benar-benar teruja dan ini memeranjatkan Husam. Semasa proses penamaan calon saya tidak ada di Putrajaya kerana memilih Gua Musang sebagai pusat penamaan calon untuk diperhatikan. Jadi saya tidak dapat menyaksikan dengan mata kepala sendiri setiap kerenah, lagak, atau mendengaran sorakan dan nyanyian serta takbir untuk memberi semangat kepada Ahmad al Fateh ini. Apa yang dapat saya lihat ialah klik video dan foto still semasa proses itu lewat Facebook. Meremang dan merinding bulu roma saya apabila melihat jujutan orang ramai khasnya anak-anak muda yang mengiringi Husam ke pusat penamaan calon. Kehangatan di Putarajaya terasa ke dalam pembuluh darah saya. Dan dalam keadaan darah menyiarap itu perasana saya diusik dengan audio-video Husam sedang meletakkan penumbuk ke matanya untuk menahan perasaan dan emosinya. Husam kelihatan sebak dan menangis. Kedutan sedih dimukanya meragut dahan hati saya untuk sama-sama merasai kesayuan yang sedang membelit naraninya. Sambil menekapkan mata ke audio-video itu saya seakan memberi semangat dan membujuk Husam... "wiraku jangan menanangis, ayuh tabah dan mara mendepani musuh... lupakan segala kekesalan nasib..". Dalam pada itu perasaan saya terus tertekan. Rasa simpati kepada Husam makin mendalam dan menunjang. Saya tidak tahu apakah orang faham kenapa Husam menangis dan menjadi emosi? Yang jelasnya mata saya 'berbanir' merah melihat wajah Husam. Saya rasa, saya tidak tersalah anggap dengan Husam yang akhirnya dia boleh menyaman saya? Saya boleh membaca kenapa dia sedih, sebak dan tidak dapat menahankan sendu hari itu. Saya membaca satu persatu aksinya dan membelek pintu kamar jiwanya. Mungkin Husam menangis mengenangkan nasibnya. Mungkin dia berfikir kenapa dihari meletak kerja, mula angkat senajat untuk menebak musuh dia harus berada jauh dari bumi Kelantan. Husam sebagai Husam tidak seharusnya berada di luar gelanggang. Mungkin dia tidak sangka nasib yang menimpa dirinya. Kalau ikut kelaziman dan keperluan, dia sepatutnya bersama rakan-rakan di Kelantan untuk berdepan dengan Umno. Berdepan dengan Mustapa Mohamed, Awang Adek Hussein dan lain-lain yang sedang 'merenyut' dan 'menghingguk' untuk meruntuhkan kerajaan PAS Kelantan. Dia sepatutnya berdiri sama tegak dan atas barisan sama untuk berdada dengan Umno. Saat Umno mendakwa mereka kuat dan ingin merobekkan kubu PAS, dia terkanjal ke luar. Kenapa? Inilah yang menyebabkan Husam meritih dan menangis kekesalan? Dia mengerti perjuangan berada di mana-mana sahaja. Perjuangan boleh dilancar dari luar Kota Bharu. Tetapi sebagai orang yang telah 10 tahun lebih membina Kelantan dan membuat landskap baru dengan pelbagai idea dan pembangunan fizikal dan material hasil dari krativitifnya, adalah ganjil kalau dia tidak ada sama untuk mempertahankannya. Mungkin di kejauhan dan keterasingan itu Husam merasakan dia seperti tidak diingini? Merasakan seperti dia tidak diperlukan dan tindakan itu menjadikan apa yang beliau lakukan selama ini tidak dikenang. Orang terlupa kepada jasa dan baktinya. Memejam mata kepada sumbanganya selama ini. Semua itu ditindih dan ditimbus kebencian tidak berasas. Mungkin itu menyebabkan dia menangis dalam diam dalam hiru pikuk orang memberi sokongan kepadanya. Realiti politik di Kelantan tidak boleh menafikan yang ada usaha untuk meminggirkan Husam. Pelbagai cerita dan alasan direka untuk menghalalkan tindakan mengnyahkan Husam dari persada siasah Cik Siti Wan Kembang. Cerita-cerita tidak masuk akal terus dibualkan bagi menjustifikasikan kenapa Husam tidak bertanding di Kubang Kerian, tetapi bertanding di Putrajaya. Usaha ini sudah lama. Usaha ini adalah pengkhianatan senyap sesama sendiri. Kebetulan Husam pula bukan seorang peminta, perayu dan tetap ego dengan kediriannya, beliau tidak pedulikan itu. Pengasingan dan 'penohokkan' beliau ke luar - Putrajaya itu diterima dengan penuh terbuka. Kebencian itu disambut dengan melakukan sesuatu yang menakjubkan. Husam seboleh-bolehnya hendak menunjukkan dia gentlemen dalam perjuangan dan seorang yang akur kepada keputusan jemaah. Dia tahu dia boleh meminta dan mendesak atas kapasitinya sebagai Naib Presiden PAS dan Timbalan Pesuruhjaya II, tetapi kerana dia nampak begitu banyak tangan yang mengepal ke arahnya, dan nawaitu hendak menyingkirkan serius maka dia pasrah. Dia bertawakal kepada Allah. Husam mengambil tanggungjawab memikul apa saja beban perjuangan. Husam mungkin tahu dia akan kalah di Putrajaya, tetapi dia juga tahu kekalahan bukan menamatkan segalanya. Yang menjadi hero bukan saja seseorang laskar itu pulang membawa kemenangan. Yang menjadi hero juga ialah laskalah yang kalah di dalam kebenaran. Perlawanan Husam di Putrajaya adalah satu perintah dirinya, satu isyarat buatnya dan satu sindiran buat orang-orang yang mengerti. Tidak mengapa sahabatku, mara terus mara, berjuanglah sesuci hati. Seribu membenci sejuta menyanyangi kita asalkan kita benar dan jujur ikhlas. Kemenangan itu telah dijamin oleh Allah ia berada dalam genggaman orang-orang beriman dan betakqa. Usah menangis dan sebak lagi. Kesatlah air mata mu, sapu dan hapuslah dukalara...hadaplah musuh dengan keberanian yang jantan, dengan kesedaran dan keinsafan, bahawa kemenangan itu tercetak dari sebuah keyakinan hakiki. Musuh kita bukan di dalam selimut tetapi musuh kita ialah pengkhianat di laur gebal kehidupan seluruhnya. Selamat sahabat! [wm.kl.9:30 am 26/04/13] | ||||
SPR Jangan Melakukan Sesuatu Yang Merosakkan Integritinya Posted: 25 Apr 2013 04:22 AM PDT ULASAN SENJA Bagi mereka yang ingin melakukan perubahan ke atas kerajaan UBN yang berkuasa lebih 55 tahun, sedang menanti hari keramat 5 Mei. Masing-masing tidak sabar untuk membuat tanda 'pangkah' kepada setiap ruang pangkah milik calon yang melawan UBN, dengan harapan UBN akan kalah. Dalam penantian itu semua orang, tidak kira lapisan masyarakat mengharapkan agar pilihan raya ke-13 ini dilakukan dengan bersih, telus dan berintergiri. Hanya dengan pilihan raya bersih saja akan menatijahkan keputusan yang sihat. Jika dilihat kepada sokongan yang semakin hari semakin kuat kepada Pakatan Rakyat, semacam sudah boleh diperkirakan kerajaan akan dibentuk selepas 5 Mei ini bukan lagi dari komponen BN. Ia semestinya dari Pakatan Rakyat. Cuma dalam penantian itu rakyat berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diamanahkan menjadi pengendali pilihan raya ini bersikap adil dan saksama. Hanya dengan jaminan ada kesaksamaan itu sahajalah keadilan akan menjelma, manakala dengan adanya keadilan sahaja hegomeni UBN yang ditulangi Umno boleh ditumbangkan. Berkali-kali pihak SPR membuat perakuan yang mereka telus, jujur dan ikhlas dalam mengendalikan pilihan raya yang bersih. Adakalanya nada mereka seakan condong dan bersimpati dengan UBN. Mereka kononnya tidak cenderung kepada mana-mana termasuk sedia menjadi alat kepada UBN dan rela melakukan penyelewengan meskipun dikutuk. Setiap kali dikemukakan bukti ada sesuatu yang boleh meragukan ketulusan SPR, Pengerusinya Abdul Aziz Yusuf dan timbalannya Wan Ahmad Wan Omar akan bangun mempertahankan integriti SPR. Mereka tidak perlu mempertahankan apa yang mereka lakukan kerana bekas pengerusi sebelum ini banyak mendedahkan kepincangan atau kerja-kerja senyap SPR untuk membantu Umno atas dasar dan kepentingan Melayu. Apa lagi hendak berdolak dalih kalau pelaku sendiri mengakuinya? Kadang-kala walaupun bukti dikemukakan itu jelas menunjukkan kelemahan SPR sehingga ia boleh dianggap sebagai bias, tetapi dinafikan secara hidup-hidup. Selalunya untuk menegakkan benang basah, SPR akan menunding jari kepada Jabatan Pendaftaran Negara, sedangkan umum tahu ada persekongkolan di antara kedua badan atau jabatan berkenaan untuk melindungi UBN. Seharusnya SPR sedar dan tahu membezakan di antara parti ketika menjadi pemerintah dengan parti yang bertanding semula untuk menguasai kerajaan. Apakah SPR boleh menjamin pilihan raya ke-13 ini ini bersih dan telus? Ia adalah pertanyaan dan jawaban di dalam mimpi. Persoalan ini terus menjadi tanda tanya di dalam kepala. Pendedahan terbaru dibuat Anwar Ibrahim hari ini yang mendakwa ada maklumat memberi tahu ternampak kenderaan SPR memindah peti undi ke satu kawasan dari ibu pejabat SPR menjadi tanda tanda tanya sejauh mana integriti SPR. Anwar hari ini mendedahkan ada peti undi dipindah ke Taman Perindustrian Sungai Chua di Kajang dari Ibu Pejabat SPR. Apa yang menjadi tanda tanya Anwar pemindahan itu dibuat awal? Apakah konspirasi dan kedurjanaan SPR sudah bermula? Anwar lantas meminta penjelasan daripada SPR atas apa yang berlaku itu. Ada munasabah dan keperluan bagi Anwar meminta SPR berbuat demikian. Kalau pun peti undi itu akan digunakan di kawasan berkenaan, apakah ianya dibuat sekarang? Anwar tidak bercakap berdasarkan 'rasa' mengenai hal itu. Beliau menunjukkan kepada pemberita gambar yang memaparkan dua peti undi dibaluti menggunakan polister dan dicop logo SPR sebagai bukti ianya dipindah menggunakan Pajero di Jalan SC 2. Bagi menutup keraguan umum SPR perlu menjawab perkara ini dengan sejelas-jelasnya. Kegagalan SPR memberi penjelasan menyebabkan orang meragui dan tidak percayai bahawa pilihan raya kali ini telus seperti mana dijanjikan. Jelaslah. Mungkin juga SPR tidak ada maksud buruk dalam kerjanya itu, tetapi apabila ia menjadi persoalan wajar ianya diterang dan dijelaskan agar semua pihak berpuas hati. [wm.kl.7:14 pm 25/04/13] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan