PUTRAJAYA: Pilihan Raya Umum ke-13 di kawasan yang terbabit dengan insiden pencerobohan pengganas Sulu boleh ditangguhkan sekiranya kawasan itu diisytiharkan darurat, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata, dari segi undang-undang terdapat peruntukan tertentu untuk membolehkan PRU di bahagian berkenaan ditangguhkan.
"Di bawah undang-undang jika keadaan darurat berlaku, maka SPR akan mengambil pertimbangan sebelum membuat keputusan muktamad tentang pilihan raya umum di kawasan itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin daripada 30 parti politik yang antara lain untuk memperjelas perkara-perkara baharu yang pertama kali akan dilaksanakan pada pilihan raya umum akan datang.