Ahad, 24 Mac 2013

labun KulupSakah...

labun KulupSakah...


pra 'surat untuk anak'

Posted: 23 Mar 2013 01:27 PM PDT


Kami mencecah kaki ke bumi Beijing pada jam 6.30 pagi 14 Februari 2012. Ajaibnya waktu di Beijing sama dengan waktu Malaysia, cuma 6.30 pagi sudah terang benderang. Walaupun di penghujung musim dingin, suhu tetap -8 darjah selsius. Kami bergembira main hembus nafas di mulut untuk mengeluarkan wap.
Cukup dipermudahkan untuk kami melepasi imigresen. Mungkin kerana mereka nampak kami seperti orang baik-baik apatah lagi membawa An-Nur maka kami diberi laluan segera.
"Kalau bawa dadah senang-senang boleh lepas." Seloroh Sham yang tidak langsung diperiksa rapi ketika menyorongkan kereta tolak An-Nur. Walaubagaimanapun, muka-muka pegawai imigresen yang masam dan tidak mesra membuat kami tersinggung. Ah! Masih terlalu awal untuk membuat penilaian.

Sham, An-Nur dan Siew Ki di bilik sewaan kami
Zhangyan, staf Hospital Erkang yang juga anak salah seorang eksekutif hospital tersebut menunggu di balai ketibaan dengan memegang kertas bertulis Hope2Walk. Kualiti tutur Bahasa Inggerisnya seperti budak sekolah rendah walaupun khabarnya dia pernah belajar di Kanada. Mujur Siew Ki ada.
Aku dan Siew Ki entah apa kalutnya tergopoh-gopoh membeli sim card untuk telefon bimbit. Cakap-cakap kawan yang orang China kuat menipu mempengaruhi kami juga, sebab itu aku ambil kesempatan sementara Siew Ki ada, segala urusan walaupun membeli sim card harus dibereskan. Sangat kecewa bila berada di negara yang mengharamkan laman sosial facebook, twitter dan you tube. Itu seperti nyawa bagi kita di bumi Malaysia. Malah China masih menggunakan enjin Internet Explorer dan Yahoo!. Enjin Google pun kadang-kadang bermasalah.
Kami tidur sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke Hospital Erkang. Yang aku perasan lebuhrayanya besar, tiga lorong pergi dan tiga lorong balik. Ada jalan alternatif di tepi lebuhraya yang boleh kita masuk jika mahu singgah di kedai-kedai yang berderet tepi-tepi jalan. Jalan-jalan alternatif ini juga tiga lorong dan tiada tol. Pokok-pokok kering menguning kerana musim sejuk dan ada pokok-pokok yang dibungkus dengan kanvas untuk mengelakkan ia mati.
Sedar-sedar kami sudah sampai. Bilik untuk kami sudah disiapkan, seluas 10 kaki x 20 kaki. Dua katil bujang dicantum dua, peti ais, peti televisyen, meja bulat dan kerusi kecil.
"Ah! Nasib ada dapur masak elektrik." Kata Sham. Bolehlah memasak. Kata abang Hasan Suyut, waktu dia bawa Atiq Wazif ke sini empat tahun lalu tidak dibenarkan memasak.
Tidak sampai setengah jam, sekumpulan pengurusan terdiri daripada ketua jabatan, doktor, jururawat datang melawat dan memeriksa asas An-Nur. Siew Ki jadi penterjemah. Zhangyan mengambil dokumen perjalanan kami untuk mendaftar di balai polis sebagai pemberitahuan yang kami menetap sementara di situ.
Selesai semuanya, aku memilih untuk berehat. Sham dan Siew Ki keluar berjalan meninjau keadaan persekitaran sambil mencari barang keperluan memasak di kedai runcit. Sebaik sampai ke bilik, Sham dan Siew Ki bersungut sambil ketawa.
"Ini macam kampung Zombi! Apa pun tak ada!" Sungut Siew Ki. Sham menceritakan kehairanan mereka berdua terhadap minyak masak yang 'lain macam'. Maklumlah kita sudah biasa dengar cerita banyak benda-benda palsu termasuk telur tiruan di China.
"Kami tanya kenapa minyak ini lain macam. Kata pekedai tu, minyak ini membeku, memanglah begini." Kami ketawa.
Sebelah petang sedikit aku turun meninjau sekeliling. Sangat sejuk. Aku terpaksa menutup muka. Sarung tangan yang aku pakai dapat ditembus oleh kesejukan. Kalau ada pun orang yang lalu lalang, langkah mereka laju-laju. Mereka memandang aneh terhadap aku. Mungkin mereka fikir siapalah orang gila yang berjalan perlahan-lahan sambil mengelek iPad. Aku mengambil foto di kawasan tersebut. Musim sejuk membuatkan suasana muram. Cepat gelap. Kedai-kedai seakan tidak beroperasi kerana ditutup dengan kanvas tebal. Malang sekali kawasan ini tidak menarik kerana banyak kedai sudah dirobohkan dan diminta ke semuanya berpindah. Betul kata Siew Ki, seperti kampung zombi. Banyak sepanduk tulisan cina yang menurut Siew Ki ditulis oleh kerajaan akan kebaikan berpindah demi kemajuan.
"Kalau di Malaysia, rakyat yang tulis sepanduk enggan pindah, di sini kerajaan yang tulis mesti pindah demi kebaikan" kata Siew Ki.
Suka atau tidak, aku terpaksa belajar menerimanya demi An-Nur. Belajar menyesuaikan diri di Yongfeng Lu (jalan Yong Feng), kampung Daniufang atau lebih mesra kami panggil sebagai kampung zombi.

Ini sebahagian dari bab buku "SURAT UNTUK ANAK - Catatan bapa kepada dua anak istimewa" tulisan aku yang dijangka berada di pasaran hujung April. Sediakan duit untuk membeli dan tisu untuk menangis.

Tiada ulasan: