labun KulupSakah... |
politik membodoh-bodohkan penyokong Posted: 20 Mar 2013 08:24 PM PDT Ini sudah kita maklum dilakukan oleh BN sejak mereka berkuasa. Mereka sentiasa mahu rakyat di dalam keadaan bodoh, lemah dan susah supaya mereka berada di dalam keadaan menagih bantuan dan keperluan. Apabila datang kepayahan, pemerintah hulurkan penawar. Apabila tidak tenteram, pemerintah bagi ubat. Media dikawal, suara-suara bantahan dipengap. Ini kita dah tahu. Ahli politik mengawal semuanya sampailah ke dunia seni dan hiburan, sukan mahu pun perkembangan budaya. Mereka mempergunakan sesiapa untuk kepentingan sendiri. Mana-mana yang mereka lihat lantang, cepat-cepat dipujuk, ditawar itu ini termasuk jawatan agar mulut mereka tersumbat. Yang harus rakyat sedar, kita mestilah sentiasa peka dan sedar akan kuasa. Jangan diperalatkan dan dipaksa bersetuju. Sedar tak sedar ketaksuban sudah berjangkit kepada penyokong parti Pakatan Rakyat. Pemimpin, dasar, pelan mereka dianggap terbaik dan tidak boleh dikritik. Jika dikritik melenting, dikutuk dan dimaki hamun, dituduh agen umno. Inilah proses pembodohan yang secara tidak disedari (atau mungkin disedari) ditanam oleh ahli politik walau di dalam parti mana sekali pun. Apabila aku mengkritik Manifesto Rakyat tanpa OKU, aku dan saudara Rosli Ibrahim yang cacat penglihatan dimaki hamun malah mula dijeling masam oleh ahli politik termasuk penyokong-penyokong yang kebanyakannya masih baru dan hanya melekap di depan komputer. Seolah-olah parti itu milik peribadi mereka sahaja. Cukup cantik, jangan diusik-usik, kami tahu yang terbaik. Itu kata mereka. Disuruhnya juga kita bersyukur, macam orang umno. Apabila timbul kes seorang anak wakil rakyat menggunakan AP bapanya untuk membeli kereta mewah yang sangat mewah, bermati-matian penyokong mempertahankannya dengan hujah 'itu hak dia', 'salahkah dia menikmati sedikit kemewahan hasil perjuangan' dan macam-macam lagi walhal orang dah bongkar sikap temberang anak pemimpin itu. Ini bukan isu hak dia atau apa, ini persepsi. Kalau berceramah selalu kita petik kisah khalifah Umar Abdul Aziz atau Umar Khattab yang langsung memelihara diri dari sebarang persepsi khususnya melibatkan ahli keluarga, tapi bila timbul bab ini, lesap semua tazkirah - keluar segala hujah taksub. Apabila aku membantah cadangan orang politik kawasan aku yang mahu mengambil artis realiti fantasi yang tak tentu hala pendiriannya semata-mata mahu menarik khalayak ke majlis rumah terbuka, mereka berkata ini politik baru dan kita mahu 'tarik crowd'. Aku mencadangkan nama artis kita yang sudah lama menghasilkan karya melawan tapi ditolak kononnya tak popular. Ya! Kita terjerat dengan budaya popular dan glamour. Sebab itu sambutan masuk artis arus perdana cukup gila-gila, diarak ke sana-sini. yang sudah lama menghasilkan karya mereka tak sokong. Mereka bukan mahu angkat seni tetapi mempergunakan populariti orang lain demi kepentingan mereka. Aku banyak terluka tentang isu OKU ini ditangani. Kalau ada yang kata ini perjuangan berkepentingan peribadi sebab aku ada anak OKU, hey! Pendidikan percuma bukan perjuangan peribadi kamu yang ada anak normal? Ketika aku menyokong itu, mengapa tak kata aku pejuang yang tidak hirau kepentingan peribadi? Tapi....sebelum itu, jangan label aku pejuang. Jauh sangat tak layak. Cuma aku dapat sedikit merasa kepayahan OKU ini. Menjadi OKU tidak susah, tetapi hidup sebagai OKU di Malaysia agak susah. Kesedaran masyarakat terhadap keperluan OKU sangat lemah. Yang orang politik ajar duit, duit, duit. BN dan PR berlumba-lumba siapa bagi duit banyak. Yang paling asas apa? Potongan 50% cukai taksiran terhadap OKU? Berapa peratus OKU di Selangor ada rumah sendiri? Gaji minimum RM1500? Berapa ramai OKU bekerja makan gaji? Menjual tisu dan main muzik tepi jalan berapa gaji minimum dan mampu beli rumahkah untuk dipotong separuh cukai taksirannya? Yang paling asas ialah masalah asas itulah! Pekerjaan! Pendidikan! Bukan naikkan elaun atau itu ini percuma sahaja... Janganlah sombong dan segan memanggil wakil golongan ini untuk berbincang tentang merangka pelan dan strategi. Kenalilah mereka. Tapi berhati-hati sebab ada juga yang teringin nak jadi YB atau cuba mengambil kesempatan. Itu biasa. Mari kita bertenang, jadi waras, kurangkan sombong. Jangan memperbodohkan dan diperbodohkan! |
Posted: 20 Mar 2013 05:30 AM PDT Saya tidak tahu dengan sahih apabila saya lahir, saya ini campur-campur dari darah apa. Saya pernah diberitahu bapa saudara saya bahawa keturunan datuk sebelah ayah saya berasal dari India, malah pernah diceritakan puluhan tahun dahulu ada surat dari kerajaan India sampai kepada moyang-moyang saya agar menuntut lima buah kedai kain sarung dan ladang lembu di sana kerana kawasan itu hendak diambil kerajaan waktu itu. Sejauh mana benar, wallahua'lam. Tapi sebelah kami kuat mempercayai yang kami berdarah keling. Ada pula mengatakan opah keturunan jawa. Waktu kecil-kecil saya sentiasa diajar oleh kelompok Melayu yang Cina dan India sentiasa berniat jahat menggugat negara. Malah untuk menggambarkan jahatnya mereka, saya diperkenalkan dengan istilah 'mampus' untuk orang cina dan 'mati' untuk keling jika mereka meninggal dunia. Cina dikaitkan dengan kongsi gelap, india kuat mabuk dan penipu. Malah kami juga takut dengan Chahu, benggali yang selalu membawa sabit untuk menyabit rumput buat lembu belaannya makan. Kata kaum-kaum ibu, Chahu mencari kepala untuk disabit dan kepala itu dijadikan bahan asas membina jambatan. Prasangka buruk ini hilang ketika saya masuk sekolah rendah kebangsaan kerana kami di sini bercampur dengan semua kaum. Kanak-kanak belajar, bermain, bersukan dan berpersatuan tanpa prejudis. Sehingga masuk sekolah menengah, perkauman marak semula. Pelajar yang majoritinya cina kerap membuli kami. Seringkali kami bergaduh dan berlarutan sehingga ke luar pagar sekolah. Oleh kerana jumlah mereka lebih ramai, kami selalunya beralah dan kalau boleh akan mengelak untuk bergaduh. Ketika masuk sekolah berasrama yang majoritinya Melayu, kami kembali berkuasa dan tidak membiarkan cina atau keling naik tocang. Mereka pula terpaksa berbaik-baik dengan kami. Tamat persekolahan saya merantau ke ibu kota dan menjadi mekanik di Petaling Jaya. Taukeh dan penyelia berbangsa cina dan rakan sejawat saya semuanya india kelas rendah. Saya seorang saja Melayu dan paling muda. Mereka sering meminjam duit kepada saya pertengahan bulan sebelum gaji kerana saya masih bujang sedang mereka ramai sudah berkeluarga. Gaji kami pekerja am pada era awal 90an sekitar RM300-350. Beberapa bulan kemudian mereka ini berhenti kerja dan masuk pula pekerja india yang lain. Saya perasan waktu itu memang kaum india walaupun sudah berumahtangga tetapi tidak bekerja tetap, gaji murah dan sering bertukar-tukar kerja. Kemudian saya bekerja kilang haram milik taukeh cina di Taman Shamelin. Buruh Indonesia dan Myanmar juga bekerja di sini. Penyelia (supervisor) terdiri dari bangsa Melayu dan Cina. Saya berasa pelik ketika itu kerana gaji penyelia berbeza mengikut bangsa. Penyelia Melayu gajinya RM600 sementara cina yang sama peranan dan tanggungjawabnya bergaji RM1000-1500. Malah pekerja am seperti kami yang berbangsa cina gajinya lebih mahal daripada kami. Pendatang asing tak usah cakaplah, lebih rendah. Sering juga saya mendengar rungutan sebegini di tempat kawan-kawan saya bekerja. Apabila hari ini kita sering dipertontonkan dengan mainan politik perkauman oleh umno dan penyokongnya yang kononnya mempertahankan Melayu, saya tidak boleh menafikan hati saya bahawa rasis juga masih diamalkan oleh kompeni-kompeni cina atau juga india dan lain-lain. Untuk mengubat hati saya, saya mencipta teori sendiri bahawa penindasan bukan bersifat perkauman. Tidak Melayu, cina atau india. Tetapi penindasan adalah dari orang yang memegang kuasa sama ada politik dan ekonomi terhadap golongan bawahan. Ia adalah kaum penindas Melayu, cina dan india yang menindas Melayu, cina, india yang susah. Soalnya apakah orang lain tak kira bangsa apa pun, berfikiran seperti saya? Ahh! Saya sebentar lagi mahu ke Oldtown Whitecoffee berbual, minum kopi dan bergurau dengan Adam, Isham, Kecik, Siew Ki, Mandeep, Sara, Naz atau bertukar fikiran dengan Lawrence Jayaraj, Johnny dan lain-lain. |
You are subscribed to email updates from ronasina To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan