Ahad, 3 Mac 2013

labun KulupSakah...

labun KulupSakah...


jalan kaki

Posted: 02 Mar 2013 09:45 AM PST

Aku suka jalan kaki dahulu. Pernah aku ceritakan pengalaman jalan kaki aku sewaktu umur 20an dulu (ini kerana waktu itu aku tak berduit) dari panggung Coliseum Jalan Tunku Abdul Rahman  pulang ke Wangsa Maju seksyen 4 di tengah terik panas dan juga dari Ampang Park ke Bandar Tun Razak pada waktu tengah malam. Di Bentong juga aku kerap ke pekan 3 km hanya berjalan kaki.

Hari ini aku semakin manja. Berkereta walaupun hendak membeli goreng pisang 300 meter dari rumah. Aku rasa anda pun begitu. Ada juga aku lihat orang malas turun dari kereta dan memesan makanan dari dalam kereta sahaja. Baru-baru ini aku menegur seorang anak muda yang memesan sebungkus nasi lemak dengan membiarkan enjin kereta berekzos besarnya terus menderam. Perbualan aku dengan kawan agak terganggu. Ini di gerai nasi lemak depan Malaysiakini. Teguran aku dibalas dengan kasar dan anak muda ini berlalu sambil melepas geram memerah minyak agar bunyinya lebih bising. Kita bukan sahaja semakin malas malah semakin kurang ajar.

Kelembikan aku bermula beberapa tahun dahulu juga. Ini kerana kemalasan aku itu menggagalkan aku untuk mendaki Gua Hira' .Ia membuat peluang aku melihat besar dan luas mana gua itu atau kedudukan geografi mulut gua itu yang dikatakan menghadap Kaabah itu gagal.

Budaya jalan kaki ini masih kuat dan biasa diamalkan oleh orang China dan Korea kot? Waktu Wooyoung tinggal dengan kami dulu selalu juga aku hantar dia ke rumah kawannya di Ampang. Selalunya dia minta diberhentikan di hadapan Ampang Point. Suatu hari kami mahu menghantarnya betul-betul di kondo sewaan kawannya dan kami dapati ia sangat jauh dari Ampang Point yang mana aku tak sanggup berjalan kaki sejauh itu. Tapi kata dia, kami biasa jalan sejauh itu.

Mungkin juga kita malas berjalan kerana faktor keselamatan. Bayangkan jika anda berjalan kaki dari Bangsar hendak ke Brickfields. Pasti beberapa kali anda diancam maut dengan kereta yang laju menderu bukan? Ketika di Beijing laluan pejalan kaki sangat luas dan sangat selamat. Begitu juga laluan sikalnya. Taklah macam di Lebuhraya Persekutuan. Sempit, gelap dan membahayakan keselamatan.

Apa kata sesekali kita berjalan kaki? Macam pergi beraya ke segenap kampung masa kecil-kecil dahulu. Best kan?


(mengah...)

Tiada ulasan: