Selasa, 5 Mac 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


[PANAS] 10 Ribu Militan Sulu Sudah Belayar ke Sabah?

Posted: 05 Mar 2013 06:18 AM PST

Sekadar hiasan.

[TMI] KUALA LUMPUR, 5 Mac — Ribuan penduduk Tausug atau lebih dikenali sebagai Sulu telah belayar ke Sabah untuk membantu sahabat militan Filipina mereka itu berikutan serangan besar-besaran pasukan keselamatan Malaysia sejak pagi tadi, lapor The Philippine Inquirer hari ini.

Dakwaan yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Islam Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Habib Hashim Mudjahab, itu bercanggah dengan laporan kebanyakan media yang pihak berkuasa Malaysia dan Filipina yang menghalang laluan masuk ke Lahad Datu, di mana militan berkenaan berkubu.

"Kami tidak mampu menghalang orang-orang kami. Kami sedih, dan ramai orang kami, termasuk mereka yang bukan pejuang, pergi ke Sabah untuk membantu tentera sultan," kata Mudjahab dipetik akhbar tersebut.

Namun Inquirer turut melaporkan penafian berkenaan pergerakan tersebut daripada Ketua Angkatan Tentera Mindanao Barat Lt. Gen, Rey Ardo, dan juga pemangku Gabenor Wilayah Autonomi Muslim Mindanao Mujib Hataman.

Kedua-dua pemimpin itu berkata mereka tidak pasti berkenaan perkara itu.

Jelas Mudjahab, bagaimanapun, 10,000 Tausug daripada Basilan, Sulu, Tawi-Tawi dan Zamboanga telah meninggalkan Filipina sejak malam tadi dalam menggunakan bot pancung melalui "pintu belakang selatan." - laluan yang menjadi laluan pelayar.

Pegawai rasmi MNLF berkata halangan tentera laut juga tidak akan berkesan kerana mereka tidak biasa dengan perairan tersebut dan boleh melepasinya tanpa rasa curiga.

"Ia soal maruah dan harga diri, dan orang-orang kami sedia untuk berkorban," tambahnya.

Awal hari ini, pemimpin MNLF, Nur Misuari menafikan penglibatan dalam ketegangan di Sabah dalam satu sidang media, yang masih berterusan.



P/s: Harap-harap mereka tidak terlepas ke Sabah. Kalau terlepas, silalah PM dan menteri yang berkenaan meletakkan jawatan. Bagilah orang yang layak menjaga keselamatan dam kedaulatan negara.





Anwar Dakwa Philppine Inquirer Tawar Beri Penjelasan Isu Pencerobohan Sulu

Posted: 05 Mar 2013 05:59 AM PST


[TMI] KUALA LUMPUR, 5 Mac — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini berkata beliau telah diberi peluang untuk membuat penjelasan bagi membersihkan namanya oleh media Filipina berhubung laporan media negara berkenaan yang mendakwa sumber risikan Filipina yang mengaitkan seorang pemimpin Sabah yang rapat dengannya berjumpa dengan Sultan Sulu.

Anwar berkata, Philippine Inquirer telah menghubunginya pagi tadi untuk membolehkan beliau memberi penjelasan berhubung perkara itu ekoran penafiannya semalam berkenaan penglibatan beliau dengan insiden pencerobohan di Sabah.

"Saya telah dihubungi Philippine Inquirer pagitadi untuk memberikan penjelasan melalui radio secara langsung dan akhbar mereka.

"Sepatutnya pagi tadi ... tapi saya menolak kerana sibuk atas urusan lain," katanya kepada pemberita ketika sidang media di sini.

Keadaan itu jelas Anwar berbeza dengan laporan media di Malaysia yang telah pun disamannya, stesen televisyen TV3 dan akhbar Utusan Malaysia, kerana terus mendakwa penglibatan beliau dengan insiden pencerobohan oleh militan Filipina di Sabah tanpa mendapatkan penjelesannya.

"Sekurang-kurangnya mereka (Philippine Inquirer) bagi ruang untuk saya beri penjelasan," katanya menyalahkan media yang didakwanya ditunjangi Umno.

Akhbar Filipina itu tambah Anwar, tidak mengaitkan beliau secara langsung dengan insiden berkenaan, tetapi hanya melaporkan sumber daripada risikan Filipina.

Ketua Umum PKR itu juga menegaskan Putrajaya masih lagi perlu untuk melaksanakan tuntutan Pakatan Rakyat (PR) yang menggesa diadakan sidang khas Parlimen dan sesi meja bulat bagi membincangkan isu keganasan di Lahad Datu tersebut.

"Masih ada keperluan untuk sidang khas Parlimen dan meja bulat walaupun tentera sudah gempur militan Filipina itu pagi tadi," katanya.

Jelas Anwar, Malaysia bukan menentang masyarakat Sulu keseluruhannya, tetapi hanya menentang kumpulan militan bersenjata yang mengakibatkan kematian dan kecederaan anggota keselamatan Malaysia.

"Kita tidak menentang Sulu, kita menentang militan di Sabah, itu perlu jelas," tegasnya.

Philippine Inquirer sebelum ini memetik sumber risikan tentera Filipina Jumaat lalu melaporkan bahawa seorang pemimpin politik Sabah yang rapat dengan Anwar berjumpa dengan penceroboh bersenjata.

Reuters pada 14 Februari turut melaporkan insiden pencerobohan di Sabah dengan memetik sumber risikan berkata pemimpin pembangkang mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan.


Berkaitan:

Apa Kata Bekas Jeneral tentang Pencerobohan di Lahad Datu?

Posted: 05 Mar 2013 04:38 AM PST



[KD] KUALA LUMPUR 5 MAC: Konflik bersenjata di Lahad Datu Sabah yang masuk minggu keempat mengundang kritikan keras daripada jeneral bersara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab berkata, kelewatan Najib Razak dan Kementerian Pertahanan membuat keputusan menyebabkan lapan anggota keselamatan terkorban.

Katanya, sekiranya tindakan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara sejak minggu pertama pencerobohan, tentunya situasi lebih mudah ditangani.

"Mengapa (operasi masih) diberi kepada pihak polis sedangkan musuh datang dari pihak luar? Ini tugas tentera.

Keputusan menentukan strategi (menyerang musuh) juga mengambil masa lama. Lebih buruk, perisikan juga kelihatan gagal mengenalpasti identiti dan keupayaan (persenjataan) musuh.

"Kerajaan sepatutnya memutuskan sama ada menggunakan taktik peperangan konvensional atau kaedah mengawal insurgensi (pemberotakan). Atau strategi bercampur antara kedua-duanya?" kata Hadi yang juga anggota sekretariat Majlis Rundingan Keselamatan KEADILAN.

Hadi turut membidas Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) ATM kerana lalai melaksanakan tugas hingga gagal memberi amaran awal pencerobohan.

"Kita persoalkan unit perisikan tentera. Apakah mereka ambil mudah semua yang berlaku. Mengapa pencerobohan terjadi tanpa dikesan pada peringkat awal?

"Inilah akibat apabila BN memperguna unit perisikan untuk mengekori pemimpin Pakatan. Akhirnya tugas penting mempertahankan negara terabai.

"Saya cabar mereka mengambil tanggungjawab dan segera meletak jawatan," tegasnya.

Selain itu, Hadi kecewa terhadap kepimpinan Najib yang patut mencari jalan penyelesaian, bukan menunding jari ke arah Pakatan Rakyat.

"Beliau cuba mengalih pandangan umum dari krisis ini dengan menyalahkan Pakatan, seolah-olah krisis ini disebabkan oleh Pakatan dan bukan kelemahan pentadbirannya," kata Hadi.




Selangor Tunai 90% Manifesto PRU 12

Posted: 05 Mar 2013 04:25 AM PST



[KD] SHAH ALAM 5 MAC: Kerajaan Negeri Selangor berjaya menunaikan dan sedang melaksanakan lebih 90 peratus daripada 23 janji di dalam manifesto Pakatan Rakyat Selangor 2008.

Menurut data Sekreteriat akhbat pejabat Menteri Besar Selangor, sebanyak 14 janji (61 peratus) berjaya dilaksanakan, seperti hadiah anak masuk universiti sebanyak RM1000 dan skim perlindungan insurans warga emas.

Sejumlah 8 janji pula sedang dilaksanakan, antaranya diskaun 20 peratus cukai pintu rumah yang akan dilaksanakan dalam fasa kelima program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Manakala, penubuhan institusi bagi menyelaraskan hal ehwal agama selain Islam akan diumumkan pada masa akan datang.

Selain itu, kerajaan Negeri juga melaksanakan beberapa program yang tidak dimasukkan ke dalam manifesto, antaranya pemberian air percuma 20 meter padu, Tabung Anak Pekerja Ladang dan Program Mikrokredit Miskin Bandar Selangor (MimBar).

Klik untuk besarkan imej.



Balu Sultan Sulu Kata Pencerobohan Hanya Drama, Najib Kata Tuduh Sandiwara Kerajaan Keji

Posted: 05 Mar 2013 01:00 AM PST


Balu Sultan Sulu dakwa ceroboh Sabah hanya drama 

[SH] MANILA - Balu kepada Sultan Sulu, Mohd Mahakuttah Kiram percaya pertempuran yang sedang berlaku di Sabah hanya satu drama dan menegaskan ia hanya sebagai pelan permainan untuk mendapatkan kembali hak milik mereka.

Balu Sultan Sulu dakwa ceroboh Sabah hanya drama
Maryam Kiram (kiri) bercakap pada sidang media di Makati semalam. - Foto ihsan The Philippine Star

Bercakap kepada pemberita semalam, Puteri Maryam Kiram mendakwa yang dirinya juga pernah ditawar untuk menjadi sebahagian dari drama oleh pihak-pihak berkenaan satu ketika dahulu.
"Saya yakin perkara ini hanya drama selepas saya pernah duduk sekali bersama mereka.

"Saya juga bersedia untuk berunding bagi menyelesaikan konflik ini dari terus berlanjutan. Penyelesaian bersama kedua-dua belah pihak dapat dicapai," ujar beliau dipetik The Philippine Star.

Maryam bagaimanapun tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan sebagai "drama" tetapi mendakwa yang media turut memainkan peranan dalam mengada-adakan cerita.

Beliau yang mendakwa mewakili Kesultanan Sulu berkata ahli keluarga diraja telah menubuhkan Yayasan Diraja Kesultanan Sulu.

Maryam turut berharap dapat mengadakan perbincangan dengan pemimpin Malaysia.

Beliau turut yakin yang kerajaan Malaysia mengamalkan sikap terbuka dan mampu menyelesaikan perkara ini secara baik.


Menuduh peristiwa di Lahad Datu sandiwara kerajaan perbuatan keji

[Bernama] KUALA LUMPUR - Perbuatan menuduh peristiwa pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara kerajaan adalah perbuatan yang cukup keji, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Beliau yang sedih kejadian pencerobohan itu telah mengakibatkan lapan anggota keselamatan terkorban, berkata manusia yang tergamak berkata sedemikian adalah mereka yang tidak mempunyai perasaan dan tidak berhati perut.

"Apabila ada kumpulan yang menceroboh bumi Malaysia di Sabah, gugurnya perwira-perwira, kehilangan nyawa, yang paling sedih dan yang menyayat hati saya apabila saya terpaksa pergi ke lapangan terbang untuk menerima jenazah wira-wira negara.
 
"Apabila saya berdepan dengan balu-balu, anak-anak mereka, saya cukup sedih. Ada seorang balu kehilangan suami dalam keadaan dia mengandung sebulan, ada anak (berumur) lima hingga enam tahun yang tidak tahu apa, dia beritahu saya bapa kena bom seolah-olah bapa dia akan muncul semula. Inilah kisah-kisah yang menyedihkan saya.
 
"Tetapi ada juga orang yang tergamak menuduh ini satu sandiwara kerajaan. Saya tak tahu apa saya nak kata kepada manusia seperti ini. Manusia yang tergamak cakap macam itu, takde perasaan dan hati perut, satu perbuatan yang cukup keji. Sebab itulah, kita perlu menolak orang seperti ini," katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara dan Asnaf di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini hari ini.

Umno telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Chua Tian Chang berhubung kenyataan beliau yang mengaitkan Umno dengan insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.
 
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kenyataan semalam berkata tindakan itu diambil melalui Penasihat Undang-Undang parti iaitu Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak.
 
Beliau berkata notis telah dihantar kepada Tian Chua yang juga anggota Parlimen Batu menuntut supaya beliau dalam tempoh tujuh hari bermula semalam berhenti membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah berkenaan isu tersebut atau sebarang kenyataan yang serupa terhadap Umno.



Menarik:

Kes Bunuh Dirang: Pakar Sahkan DNA Muidin Pada Vagina Dirang

Posted: 04 Mar 2013 11:16 PM PST

Muidin dibawa ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru untuk dibicarakan atas tuduhan membunuh Dirang semalam. Pic: Kosmo!
[Kosmo] JOHOR BAHRU: Seorang pakar sains mengesahkan, analisis terhadap profil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) Muidin Maidin, 26, lelaki berketurunan Sulu sepadan dengan calitan spesimen daripada vagina dan dubur Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang yang mati dibunuh dan dibakar tahun lalu.

Bagaimanapun, Pegawai Sains dari Jabatan Kimia Cawangan Negeri Johor, Adrieanne Reeza Alwi yang juga saksi ke-18 kes pembunuhan kejam itu gagal memastikan sama ada mangsa telah dirogol atau tidak oleh buruh kontraktor tersebut.

"Profil (DNA) berkenaan ditemui pada dua putik kapas yang ditandakan sebagai E31 dan E32 yang diambil daripada kanak-kanak itu.

"DNA itu juga menunjukkan sel yang diperoleh bukan jenis spermatozoa dan air mani sebaliknya kemungkinan daripada sel kulit, air liur dan air peluh.

"Antara satu kemungkinan DNA boleh berada dalam vagina seseorang mungkin disebabkan peneterasi tanpa ejakulasi, ia juga boleh terhasil menerusi sentuhan membabitkan sel kulit, peluh atau air liur," katanya di hadapan Hakim Datuk Abdul Halim Aman.

Dalam kes tersebut, Muidin, 27, dituduh membunuh kanak-kanak itu di ladang kelapa sawit, Jalan Suria, 47, Bandar Seri Alam, Masai antara pukul 11.30 pagi pada 1 Mac dan 12 malam pada 2 Mac 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Perbicaraan semalam memasuki hari kelima dan dijangka 30 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan Hakim Abdul Halim.

Sementara itu, Adrieanne yang berpengalaman lapan tahun dalam kajian DNA memberitahu, analisis terhadap perbandingan ujian DNA darah milik seorang wanita yang dikenali sebagai Roselyn Alan, 27, juga sepadan dengan anaknya, Dirang.

Menjawab satu soalan yang diajukan peguam tertuduh, Mohd. Daud Ismail semasa pemeriksaan balas, pegawai sains itu menjelaskan, untuk uji kaji tersebut, hanya sampel ibu mangsa yang dianalisis memandangkan beliau tidak memperolehi sampel darah bapa mangsa, Henry Yondot.

Perbicaraan bersambung pada 20 Mac ini dan Abdul Halim serta barisan pendakwaan dan pembelaan akan dibawa ke lokasi Dirang dibunuh pada hari tersebut iaitu di sebuah rumah terbengkalai di Bandar Seri Alam, Masai.



[Terkini] Kronologi Peristiwa Serangan terhadap Penceroboh Sulu

Posted: 04 Mar 2013 10:20 PM PST


[MK] 1.54pm: Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menasihatkan warganya agar tidak mengunjungi kawasan pantai timur Sabah, termasuk bandar Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat kedutaan berkenaan menyebut menjangkakan lebih banyak insiden keganasan akan berlaku di kawasan terbabit.

1.42pm: ABS-CBN melaporkan bahawa Filipina meminta pihak berkuasa Malaysia untuk membantu menyediakan perjalanan keluar yang selamat dari Sabah untuk wanita Filipina dan mereka yang bukan penceroboh bersenjata.

Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario (kanan) telah meminta rakan sejawatannya dari Malaysia untuk berbuat demikian supaya mereka dibenarkan meninggalkan kawasan pertempuan di sana.

Del Rosario juga meminta Jabatan Hal Ehwal Luar di Manila untuk menyampaikan nota kepada duta Malaysia ke Filipina untuk berhubung rayuan tersebut.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Anifah Aman berkata beliau akan menyampaikan permintaan itu kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zamid Hamidi.

1.30pm: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pertahanan Zahid Hamidi tiba di Felda Sahabat dengan helikopter dan diiringi ke bilik taklimat.

1.15pm: pegawai-pegawai Jabatan Penerangan mengedarkan jaket kuning terang bertulis 'media' kepada wartawan di pusat media.

"Ini adalah permintaan pihak polis, jadi kita mematuhinya. Ia akan lebih mudah mengenal pasti petugas media," jelas seorang pegawai.
1.08pm: The Star dalam laporan di Twitter menyebut, Semporna diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan Ops Sulu di Tanduo.

1pm:
Dalam satu lagi laporan pada 12.43pm, Philippine Daily Inquirer melaporkan dakwaan Azzimudie, yang mengetuai kumpulan bersenjata Sulu di Lahad Datu memberitahu jurucakap kesultanan Sulu Abraham Idjirani bahawa mereka sedang "beristirahat".

12.50pm:
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata makanan disediakan untuk penduduk yang tersesar.

"Mereka ditempatkan dalam dewan... berdekatan dan kami membantu mereka. Tiada masalah makanan atau air," katanya.

12.44pm: Laman The Philippine Inquirer menyiarkan laporan mendakwa Askar Diraja Sulu tidak bercadang untuk menyerah walau digempur pasukan keselamatan Malaysia.

Laporan itu menyebut, jurucakap kesultanan Sulu Abraham Idjirani memberitahu satu stesen radio bahawa kumpulan itu akan terus berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.

Idjirani yang memetik Azzimudie Kiram mendakwa bom yang dilepaskan jet Malaysia jatuh ke kawasan berkenan tetapi tidak mengenai kumpulan bersenjata Sulu.

InterAksyon.com juga menerbitkan laporan sama pada jam 10.46 pagi ini.

"Tidak. Tidak menyerah," kata Idjirani, yang menambah Azzimudie dalam perbualan terakhir mereka melalui telefon memberitahunya bahawa mereka akan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.

Laporan itu tidak menyatakan masa panggilan telefon itu dibuat.

Idjirani juga dilaporkan berkata, mereka akan mencari jalan untuk keluar dari keadaan bahaya demi kelangsungan kumpulan itu.

"Ini hanya bermakna merka hanya takut kepada kita... Jika mereka berani, mereka tidak akan guna pasukan besar untuk mengelakkan tuduhan (bertindak) keterlaluan. Mereka menunjukkan kepada dunia bahawa apa yang mereka lakukan keterlaluan."

11.54am: Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar berkata operasi bersama antara polis dan tentera masih menerima tentangan musuh yang melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan negara.

Pasukan Malaysia kini menjalankan operasi 'mopping up'. Tiada korban di pihak kita direkodkan setakat ini namun di pihak musuh masih belum diketahui.

Ismail meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi mengenai jumlah kemalangan kerana akan menjejaskan Ops Sulu ini.

Katanya, operasi ini hanya difokuskan di Kampung Tanduo.

11.50pm: Seorang wartawan ABN-CBS memuatkan gambar penunjuk perasaan membakar gambar menunjukkan Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan presiden negara itu, Benigno Aquino.

Kumpulan berkenaan berbuat demikian dalam perhimpunan di luar kedutaan Malaysia di Filipina.

11.35am: The Star yang memetik sumber polis melaporkan, kumpulan penceroboh bersenja di Kampung Tanduo berjaya ditewaskan sepenuhnya.

Ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa pasukan kita, lapor laman itu.

11. 25am: Satu-satunya stesen minyak di kawasan Felda Sahabat kehabisan petrol. Kawasan itu terletak kira-kira 15km dari Kampung Tanduo yang menjadi medan pertempuran.

11.10am: Bercakap dalam satu akhbar, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata operasi masih berjalan dan pihak keselamatan yang terdiri daripada anggota PDRM dan tentera mendapat tentangan dalam bentuk beberapa das tembakan yang dilepaskan oleh pihak musuh.

Katanya, ketika ini pasukan keselamatan sedang menjalankan pengeledahan terhadap beberapa buah rumah di kampung tersebut.

Ketika sidang akhbar itu diadakan, beliau berkata, setakat ini tidak ada kehilangan nyawa di pihak keselamatan  di pihak PDRM dan tentera.

11.02am: Pekerja ladang kelapa sawit dilihat berkumpul di bawah satu pondok sementara. Mereka diminta menangguhkan tugas sementara polis memperluaskan kawalan di sekeliling ladang tersebut yang terletak hampir dengan kawasan pertempuran

Turut bersama pekerja tersebut ialah seorang penduduk, Sabri Abdullah, 49, yang tidak dapat pulang disebabkan kawalan polis.

"Saya menunggu untuk pulang sejak pagi ini. Saya lapar dan tidak ada makanan," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, mereka orang miskin dan tidak mempunyai wang dan terpaksa menyediakan makanan sendiri.

11am: Datuk Seri Najib Razak berkata operasi besar-besaran hari ini bermula dengan serangan udara menggunakan pesawat TUDM, serangan mortar dan diikuti serangan oleh pasukan tentera darat dan polis.

"Kita bermula dengan serangan udara melalui pesawat TUDM diikuti dengan kekuatan mortar dan pada saat saya sedang berucap ini, pasukan tentera darat dan anggota polis, dalam kereta dengan anggota yang mengikuti dibelakang sedang melakukan tindakan untuk memberkas, menumpas pasukan yang telah melanggar kedaulatan negara,"katanya.

Menurutnya, tindak tanduk "yang berhemah" tersebut, pada awalnya tidak ada niat lain melainkan untuk tidak membenarkan setitik darah tertumpah di bumi Sabah, sama ada rakyat Malaysia atau kumpulan yang menceroboh.

"Namun umat dukacita, niat murni kita telah dibalas dengan tembakan dengan sangat kejam yang dilakukan kepada pasukan polis kita," katanya dalam satu majlis di Bukit Jalil.

10.45am: Media Filipina melaporkan jurucakap presiden negara itu Benigno Aquino berkata Manila melakukan apa yang termampu untuk mengelakkan situasi di Sabah berakhir dengan keganasan.

"Kami melakukan semua yang kami mampu untuk mengelakkannya, namun akhirnya orang (Jamalul) Kiram memilih jalan ini," kata Setiausaha Ricky Carandang.

10.43am:
Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur mendedahkan satu pertemuan diadakan pada malam tadi di antara setiausaha luar negaranya Albert F del Rosario, menteri luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman dan menteri pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pertemuan di Kuala Lumpur itu bagi membincangkan langkah untuk penyelesaian aman berhubung situasi di Lahad Datu.

10.17am:
Memetik laporan dari ANC News Channel, InterAksyon.com melaporkan bahawa bom telah digugurkan kira-kira satu kilometer jauhnya dari kubu Azzimudie Kiram dan orang-orangnya.

Azzimudie berkata pihaknya tidak pasti sama ada bom tersebut mensasarkan mereka atau pengikut mereka, tetapi mereka kekal selamat dan bersedia untuk bertempur.

Sementara itu di Manila, sekumpulan penunjuk perasaan tiba di kedutaan Malaysia untuk mengutuk serangan itu.

10.15am: Azzimudie Kiram, pemimpin penceroboh, meluahkan kemarahannya terhadap kerajaan Filipina, dalam temubual radio dengan InterAksyon.com - portal berita dalam talian saluran TV Filipina TV5.

"Kerajaan mengarahkan penangkapan sahabat kita walaupun kita tidak melakukan apa-apa yang buruk," katanya. "Ia seperti kita bulan rakyat Filipina."

Sementara itu, Abraham Idjarani, jurucakap kesultanan, memberitahu stesen radio dzBB bahawa Azzimudie telah menelefon untuk memberitahu mereka tentang serangan tersebut.

"Tidak ada apa yang dapat dilakukan tentang itu sekarang," kata Idjirani dalam satu wawancara berasingan dengan AFP.

Beliau mengulangi pengumuman awal Azzimudie bahawa mereka akan berjuang hingga ke akhir ayat.

"Kami bukan penceroboh. Mereka (rakyat Malaysia) adalah orang yang menduduki tanah nenek moyang kami," katanya.

10.09am: Pihak polis telah menubuhkan pusat pemeriksaan di jalan utama di Tanjung Labian, iaitu kira-kira 5km dari medan pertempuran. Tiada siapa dibenarkan masuk ke kawasan itu.

Bunyi letupan telah berhenti sejak sejam yang lalu. Tidak jelas sama ada tentera darat telah dikerah masuk ke Kampung Tanduo.

10.05am: Di Manila, pasukan polis dan wartawan berkumpul di luar kedutaan Malaysia. Mereka menjangka satu kumpulan penunjuk perasaan akan tiba di sana.

9.55am: Azzimudie Kiram mengesah dalam temubual dengan radio dzMM ABS-CBN bahawa pasukan Malaysia menggunakan jet pejuang dalam serangan terbaru itu ke atas kedudukan mereka di Lahad Datu.

Pemimpin tentera diraja itu juga melahirkan kekecewaan terhadap pendirian Presiden Filipina Benigno Aquino berhubung krisis tersebut.

Beliau berkata kerajaan Malaysia dan Filipina jelas telah berhenti mendengar gesaan mereka untuk menyelesaikan krisis tersebut secara aman.

9.45am: Menurut ABS-CBNnews, sebelum serangan, pagi ini Azzimudie Kiram, yang mengetuai kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, memberitahu radio dzMM bahawa dia tidak risau dengan rancangan kerajaan Malaysia untuk membawa lebih ramai tentera ke Sabah untuk membanteras mereka.

Azzimudie berkata dia dan tenteranya akan tidak akan berganjak walaupun kerajaan Malaysia dan Filipina telah berulangkali menggesa mereka supaya menamatkan pencerobohan tersebut.

"Ini adalah masa. Kami perlu komited untuk memperjuangkan hak kami. Saya meminta mereka (Filipina) melakukan sesuatu untuk menyokong kami.

"Mereka tidak boleh menakutkan kami kerana kami berjuang untuk hak kita - hak Bangsa Sulu dan secara umum, rakyat Filipina.  Iaitu, jika kerajaan Filipina masih menganggap kami adalah rakyat Filipina," katanya.

9.41am: Stesen radio Filipina dzBB melaporkan bahawa Abraham Idjarani, jurucakap kesultanan Sulu, berkata Azzimudie Kiram, adik sultan yang mengetuai pencerobohan itu,  mengesahkan jet pejuang telah menggugurkan sekurang-kurangnya dua butir bom.

Bagaimanapun, Idjirani mendakwa bom mengenai kedudukan penduduk Malaysia dan bukan kumpulan Azzimudie.

Stesen radio itu juga berkata pertempuran itu berlaku 107 tahun selepas bermulanya Perang Bud Dajo di Sula pada 1906 .

Dalam pertempuran itu 1,000 Tausug, termasuk wanita dan kanak-kanak, telah dibunuh oleh tentera Amerika juga dikendali sebagai Pembunuhan Bud Dajo.

9.37am: Menurut sati sumber tentera, operasi yang terlibat jet pejuang, meriam serta askar berjalan kaki.

9.15am: Di bandar Lahad Datu, kira-kira 120km dari medan pertempuran, persediaan sedang dibuat di hospital utama bagi menerima mangsa serangan tersebut.

9.11am: Difahamkan tujuh batalion tentera dikerahkan ke kawasan tersebut untuk mengukuhkan pasukan polis.

8.54am: Seorang pegawai Felda tiba dan memberitahu ketua kampung untuk membuat kiraan jumlah penduduk dan mendaftarkan mereka.  Seluruh penduduk kampung sekitar 300 orang beredar dari tempat itu menuju ke jalan kebun kelapa sawit.

8.45am: Penduduk  Kampung Sungai Merah meninggalkan kediaman mereka dengan menaiki lori, dengan hampir seratus orang memenuhi setiap kenderaan.

Ketua kampung, Bani Rauf berkata mereka telah cuba ke Kampung Embara Budi tetapi tidak dibenarkan masuk.

"Pengawal kata mereka tidak akan benarkan kami masuk, jadi kami datang ke sini," katanya.

Mereka berhimpun di di jalan utama dari Kampung Tandou menunggu apa yang perlu dilakukan selepas ini. 

8.19am Pasukan keselamatan telah melancarkan serangan ke atas kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada jam 7 pagi ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini.

8:18am: Letupan kedengaran berhampiran Kampung Tandou yang diduduki sekumpulan penceroboh asing, pada kira-kira jam 7:30 pagi ini, menyebabkan 100 penduduk kampung melarikan diri.

"Mereka telah  mula mengebom kawasan itu. Kami nampak jet pejuang di udara, mereka mengebom tempat itu empat kali," kata seorang penduduk kampung, Nasir Asrama, 38.

Penduduk kampung tersebut adalah dari Kampung Sungai Merah, sebuah kampung jiran dengan Kampung Tandou di mana kira-kira 100 penceroboh bersenjara dari Filipina berkubu.

Kampung Tandou terletak di antara Tanjung Labian dan Kampung Sungai Merah, masing-masing dalam 5km dan 2km.

Pencerobohan Lahad Datu: Tentera Mulakan Serangan Pagi Ini

Posted: 04 Mar 2013 04:29 PM PST

Sekadare hiasan.

Twitter BH melaporkan bahawa pasukan keselamatan melancarkan serangan terhadap kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu. Hal ini didedahkan oleh  Perdana Menteri dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Jet pejuang turut juga digunakan dalam serangan tersebut. Kedengaran beberapa letupan bom dipercayai daripada jet pejuang tentera dijatuhkan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah yang menjadi lokasi persembunyian kumpulan penceroboh dari Selatan Filipina.

Sejak pukul 7 pagi tadi, kedengaran empat kali bunyi bom dari hotel wartawan yang membuat liputan yang terletak kira-kira 20 km dari lokasi kejadian.-DCM

Laporan lanjut menyusul...

[Wajib Baca] Kesultanan Sulu NAFI Ada Hubungan dengan Pembangkang Malaysia

Posted: 04 Mar 2013 04:11 PM PST



[Jalan Pulang] Kesultanan Sulu menafikan dakwaan pembangkang Malaysia terlibat membantu menyemarakkan krisis Sabah sebagaimana dakwaan kerajaan Malaysia.

"Kami tiada hubungan dengan pembangkang Malaysia. Kami tidak adakan perbincangan dengan mereka," kata Puteri Jacel Kiram, anak kepada Sultan Jamalul Kiram III dipetik dari interaksyon.com bertarikh 4 Mac lalu.

Beliau juga menolak dakwaan Presiden Filipina, Benigno Aquino III, kononnya ada 'dalang' membiayai pelayaran kira-kira 200 pengikut ke Sabah untuk menuntut wilayah itu.

Muka depan Utusan Malaysia bertarikh 2 Mac lalu melaporkan berita fitnah dengan tajuk 'Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?' manakala TV3 menggunakan istilah dalang bagi mengaitkan Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim dalam Tragedi Lahad Datu.

Anwar kemudian memfailkan saman RM200 juta kepada kedua-dua media kawalan rejim Umno itu untuk menarik balik tuduhan dan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam bermula semalam.

Interaksyon.com adalah laman berita bagi saluran TV5, rangkaian radio dan televisyen komersil utama di Filipina yang dimiliki dan dikendali ABC Development Corporation.

Mengikut laporan itu, Jacel Kiram turut membidas dan mencabar Aquino untuk menamakan dalang yang didakwa membantu pelayaran pengikutnya ke Sabah.

Dalam satu taklimat media, jurucakap Kesultanan Sulu, Abraham Idjirani pula berkata, perjalanan itu dipanggil 'KKB' – singkatan pada 'kaniya-kaniyang bayad' yang bermakna semua menyumbang kepada perbelanjaan perjalanan.


Berita penuh ABN News, Filipina di bawah.

Sulu Sultanate denies links with Malaysian Opposition

04 MAR 2013 09:00PM

MANILA, PhilippinesThe Sulu Sultanate denied claims by the Malaysian government that the political opposition there had helped stoke the Sabah crisis.

"We are not connected to the Malaysian opposition; we have not talked to any of them," Princess Jacel Kiram, daughter of Sulu Sultan Jamalul Kiram III said, www.interaksyon.com reported.

She also brushed off President Benigno Aquino III's allegations "conspirators" funded the voyage of some 200 followers who went to Sabah to press its claim to the territory.
The voyage was "KKB," short for "kaniya-kaniyang bayad," meaning everyone who went paid contributed towards expenses, Abraham Idjirani, spokesman of the sultanate, said at a press briefing Monday afternoon,
The sultanate's briefing immediately followed that held in Malacanang by Aquino.
She slammed Aquino's briefing, calling it full of "hypothetical analogy" and "speculative statements" to which they could not respond and dared Aquino to "name the conspirators" he claimed had abetted their follower's voyage to Sabah.


 Laporan HD: 

Kesultanan Sulu Tidak Berbincang dengan Pembangkang Malaysia
 
 

[HD] KUALA LUMPUR: Di sebalik bermacam tuduhan oleh kerajaan kononnya kehadiran penceroboh di Sabah ada kaitan pembangkang, Kesultanan Sulu pula tampil menafikannya.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan portal berita interaksyon.com semalam, anak kepada Sultan Jamalul Kiram III, Puteri Jacel Kiram menafikan ada hubungan dengan pembangkang Malaysia.

"Kami tiada hubungan dengan pembangkang Malaysia. Kami tidak adakan perbincangan dengan mereka," katanya kepada agensi berita online Filipina itu.

Penafian itu sekaligus menolak dakwaan kerajaan Malaysia sebelum ini kononnya kedatangan penceroboh yang mendakwa penyokong "tentera diraja" Kesultanan Sulu atas 'pelawaan' pembangkang.

Ianya termasuk laporan berita yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 2 Mac lalu dengan tajuk Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?' manakala Buletin Utama TV3 pula menggunakan istilah dalang bagi mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pencerobohan itu.

Pada masa sama Puteri Jacel Kiram juga menolak dakwaan Presiden Benigno Aquino III, kononnya ada 'dalang' membiayai pelayaran kira-kira 200 pengikut ke Sabah untuk menuntut wilayah itu.

Interaksyon.com adalah laman berita bagi saluran TV5, rangkaian radio dan televisyen komersil utama di Filipina yang dimiliki dan dikendali ABC Development Corporation.

Mengikut laporan itu, Jacel Kiram turut membidas dan mencabar Aquino untuk menamakan dalang yang didakwa membantu pelayaran pengikutnya ke Sabah.

Dalam satu taklimat media, jurucakap Kesultanan Sulu, Abraham Idjirani pula berkata, perjalanan itu dipanggil 'KKB' – singkatan pada 'kaniya-kaniyang bayad' yang bermakna semua menyumbang kepada perbelanjaan perjalanan.





P/s: Kantoi-mantoi!!!!



 

Tiada ulasan: