Ahad, 10 Mac 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Minggu Depan: Ringgit Diunjur Lebih Rendah Berbanding Dolar AS

Posted: 10 Mar 2013 04:18 PM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR-- Ringgit berkemungkinan diniagakan lebih rendah sedikit berbanding dolar AS minggu depan kerana tanda-tanda pemulihan ekonomi AS dijangka memberikan sokongan kepada mata wang Amerika itu, kata peniaga.

Purata Perusahaan Dow Jones, pengukur pasaran saham AS, mencatatkan rekod ketinggian dalam minggu ini dengan disokong oleh pasaran kerja AS yang lebih baik.

"Dalam jangka pendek, ringgit lemah, tetapi dalam jangka panjang ia dijangka kukuh dengan prospek ekonomi yang lebih baik di AS dan China," kata seorang peniaga.

Ringgit, yang turun ke paras terendah dalam tempoh lima bulan pada Februari, diramalkan mencecah paras sekitar RM3 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun.

Dalam minggu ini, ringgit berada dalam arah aliran menyusut berbanding dolar AS, tetapi dalam arah aliran meningkat berbanding mata wang utama kecuali euro.

Dalam minggu ini, euro mengukuh apabila agensi penarafan antarabangsa menaikkan penarafan kredit Portugal kepada 'stabil' daripada 'negatif'.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 3.1045/1065 daripada 3.0950/0980.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.4924/4942 daripada 2.5010/5042 dan lebih tinggi berbanding yen pada 3.2508/2546 daripada 3.3402/3491.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding pound Britain kepada 4.6568/6604 daripada 4.6951/7009 tetapi turun berbanding euro kepada 4.0632/0664 daripada 4.0470/0519.-- BERNAMA

MENGAPA TAK PANGGIL NAJIB? Polis akan panggil bapa Saiful beri keterangan

Posted: 10 Mar 2013 04:13 PM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil Azlan Mohd Lazim iaitu bapa Mohd Saiful Bukhari, dalam masa terdekat untuk mengambil keterangan berhubung kenyataannya semalam, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata langkah itu diambil bagi mengenal pasti sebab dan tujuan Azlan membuat keterangan sedemikian.

"Dalam kes itu, Azlan tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah, dan kalau adapun, keterangan yang dia bagi kepada pihak polis adalah keterangan yang tidak jelas.

"Jadi, keterangan itu tidak bernilai dan tidak boleh diguna pakai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 'Bersatu Memerangi Jenayah' di Kuchai Lama hari ini

Semalam, bapa Saiful Bukhari tampil memberi keterangan bahawa kes liwat yang melibatkan anaknya dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu 'konspirasi politik jahat' untuk memburukkan nama pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) itu.

Sementara itu, di SERI MANJUNG, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata rakyat perlu adil dalam menilai kenyataan Saiful dan dakwaan bapanya berkaitan pertuduhan liwat terhadap Anwar.

"Saya terkejut bapa dia tuduh macam-macam kerana Saiful yang jadi mangsa. Rakyat kena adil kepada orang yang mendakwa menjadi mangsa, bukannya hanya nak bercakap, memfitnah dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Pasar Komuniti dan Karavan Daerah Manjung hari ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu meminta pembangkang tidak mengambil kesempatan memperguna Azlan dalam isu tersebut kerana bapa Saiful mengaku tidak mengetahui apa yang berlaku.

"Dia hanya mendengar daripada perbicaraan, dan dia pernah merungut dengan mengatakan bahawa pihak kerajaan tidak berjumpa dengannya," katanya.

Saiful berpegang teguh pada sumpah laknatnya sebelum ini bahawa beliau pernah diliwat Anwar, sekali gus menolak dakwaan Azlan kononnya pertuduhan terhadap Anwar itu adalah satu fitnah.

Saiful berkata beliau percaya isu itu sengaja ditimbulkan bagi mengalih perhatian masyarakat daripada isu 'pengkhianat negara' berikutan kes pencerobohan pengganas Sulu di Sabah ketika ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul pula berkata kenyataan Azlan secara tiba-tiba itu adalah sesuatu yang mengejutkan.

"Saya yakin rakyat tertanya-tanya mengapa baru sekarang perkara ini ditimbulkan. Adakah ini cubaan pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu yang lebih besar berlaku di negara ini, iaitu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah?," katanya.

Beliau berkata beberapa pemimpin pembangkang turut mengeluarkan kenyataan tweet 'kantoi' kepada pihak kerajaan sebagai respons mereka untuk menyokong kenyataan Azlan.

"Perlu diingat mungkin perkara ini akan berbalik kepada pembangkang juga apabila memainkan isu ini dengan niat untuk meraih sokongan rakyat," katanya.- Bernama

35 ahli PAS Jabi sertai Umno hanya 'Umno masuk Umno'

Posted: 10 Mar 2013 06:53 AM PDT

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Setiu menganggap laporan kemasukan ahli PAS ke dalam Umno adalah drama sinetron biasa disiarkan setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU).

Demikian ditegaskan Naib Yang Dipertuanya, Dr Azman Ibrahim (gambar) yang merujuk laporan akhbar hari ini kononnya 35 ahli PAS dari Cawangan Tok Dor dalam Dun Jabi diketuai seorang bernama Ali Bakar menyertai Umno.

"Plot ceritanya sudah basi, dan skripnya sudah hilang daya tarikan. Kesian kepada yang ditipu dan tertipu," ujarnya yang juga Pengarah MTD Jabli kepada Harakahdaily.

Justeru, beliau hanya memohon mereka mengemukakan dua perkara mudah sahaja sebelum mengulas lebih lanjut.

Yang pertama, katanya mereka perlu menyatakan nombor keahlian PAS, parti sesat yang didakwa oleh Ali Bakar yang telah disertainya selama 20 tahun.

"Yang kedua, beliau ahli PAS cawangan mana lantaran agak pelik masakan di sebuah kampung seperti Tok Dor yang dikategorikan bersaiz kecil, jawatankuasa PAS Cawangan Tok Dor tak mengenali beliau malah tak pernah bersua sebelum ini.

"Hairan bukan?" ujarnya.

Jelasnya, 35 ahli PAS cawangan Tok Dor menyertai Umno bermakna akan terbubarlah cawangan tersebut sedangkan pada malam sebelumnya, beliau menghadiri satu program di UPU Tok Dor yang disifatkan berjaya.

Tambahnya, tiada angin dan ribut pun tentang kemasukan ahli PAS ke dalam Umno.

"Ramlan dan mereka yang menjadi dalang di belakang kerja bodoh ini, sila kemukakan dahulu dua perkara yang diminta tadi.

"Kegagalan bermakna kamu adalah penipu dan pemutar belit fakta yang tak boleh dipercayai," katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau ini bermakna lebih tepat dinamakan majlis itu sebagai 'Majlis Ahli Umno Masuk Umno'.

Tak yakin prestasi diri punca Najib lengah PRU13

Posted: 10 Mar 2013 06:49 AM PDT

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Tidak yakin dengan segala transformasi yang dilakukan menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berlengah-lengah memanggil pilihan raya umum.

Jika dilihat pada hujah yang diberikan beliau sebelum ini, iaitu untuk menyelesaikan Bajet 2013, jelas kelihatan beliau tidak yakin rakyat menyokong Barisan Nasional (BN) biarpun segala bantuan dilimpahkan selama ini.

Namun, menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Hatta Mohd Ramli, pilihan raya ini tidak diukur dengan bajet, sebaliknya prestasi beliau selama ini sebagai perdana menteri.

"Kalau hendak tunggu bajet 2013 selesai, memang lebih panjanglah (tunggu pilihan raya). Sebab lepas dari itu ada pula bajet 2014.  Siapa perintah nanti, masih boleh teruskan bajet 2013 yang sudah diluluskan itu," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah Dr. Hatta, Najib sepatutnya boleh membubarkan parlimen lebih awal lagi sekiranya beliau yakin apa yang dilakukan selama ini benar-benar dapat menarik perhatian rakyat.

Sayangnya, kata Hatta Najib tidak berani berpegang kepada prestasi beliau sendiri selama empat tahun ini, sebliknya bergantung kepada bajet 2013 dan pemberian 'one-off' kepada rakyat muktahir ini.

"Di mana-mana, beliau berkata yakin boleh memperoleh majoriti dua pertiga. Namun hingga kini tarikh pilihan raya terus menjadi teka-teki rakyat Malaysia," kata beliau.

Mengulas lanjut, Dr Hatta berkata Najib mungkin mencuba untuk membawa sejauh mungkin tarikh pilihan raya, namun percaya jika beliau tiada jalan lain, kemungkinan Najib akan membubarkan parlimen dalam tempoh terdekat.

"Najib mungkin akan heret lebih jauh lagi tarikh pilihan raya, walaupun sudah lebih mandat yang diberi rakyat sejak Mac 2008. Tapi, saya percaya, jika beliau tiada pilihan lain, mungkin esok beliau umum bubar parlimen," kata beliau.

Pakatan ke mahkamah untuk bersihkan daftar pemilih

Posted: 09 Mar 2013 04:15 PM PST

Oleh Zurairi AR dan Ida Lim
 
 Wan Ahmad berkata adalah 'normal' untuk mempunyai 28 peratus pengundi tidak dikenalpasti daripada 500,000 yang terbaru di Selangor. – Gambar fail KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat (PR) telah memohon untuk semakan kehakiman bagi memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pemilih di Selangor, selain dari semakan pengesahan bagi mengelakkan pengundi yang mencurigakan, kata penggubal undang-undangnya.

Anggota parlimen Klang Charles Santiago akan mengetahui pada Khamis depan jika percubaannya untuk "memaksa" SPR menyemak daftar pemilih di kawasannya berjaya, tetapi dia juga terkejut suruhanjaya itu berpendapat adalah "normal" untuk mempunyai 28 peratus pengundi tidak dikenalpasti daripada 500,000 yang terbaru di negeri Malaysia paling maju, kerana masyarakat bergerak ke seluruh negara.

"Apabila saya baca berita tersebut, saya merasakan ianya kenyataan paling tidak bertanggungjawab," kata Santiago berhubung kenyataan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar Jumaat lalu.

Santiago telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bulan lalu untuk memaksa suatu penyiasatan oleh SPR, yang beliau dakwa cuba melengah-lengahkan ke atas isu pengundi diragui.

Santiago mengatakan terdapat 6,000 pengundi diragui, 3,457 pengundi dikeluarkan dari daftar pemilih tanpa kebenaran dan tidak diberitahu serta 2,195 pengundi dipindahkan tanpa kebenaran.

Pemimpin PR lain sedang memerhatikan keputusan "percubaan" Santiago sebelum mengikutinya termasuk anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad.

"Sebenarnya, pilihan yang tinggal kepada kami adalah untuk membawa ke mahkamah," kata ahli parlimen PAS itu, walaupun beliau percaya peluangnya mungkin tipis.

Mahkamah Shah Alam akan membuat keputusan pada Khamis depan mengenai pemberian kebenaran bagi permohonan semakan kehakiman Santiago manakala Khalid bergantung kepada sokongan orang ramai untuk meneutralkan kesan pengundi hantu.

Teresa Kok dari DAP bersetuju dengan Khalid, mengatakan beliau akan mengarahkan penyokongnya untuk mengumpulkan pengundi sebenar untuk keluar semasa hari mengundi.

Beliau mencadangkan agar pengundi membantu semasa tempoh berkempen, dan untuk berkhidmat sebagai agen mengundi dan agen mengira bagi memantau sebarang kemungkinan penipuan.

"Tidak banyak yang boleh kita lakukan, kerana semua (pegundi diragui) digazetkan dalam daftar pengundi, katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, mengatakan akan memastikan senarai pengundi yang tidak dikenali disemak di kawasan DUN beliau.

"Diperingkat kami, kami sudah sediakan orang-orang kami, mereka diberikan senarai nama pengundi tidak dikenalpasti, kata Zuraida Kamaruddin dari PKR kepada The Malaysian Insider.

"Jadi jika orang-orang ini keluar mengundi, kami akan melakukan inisiatif sendiri untuk mengesahkan mereka sebagai pengundi," kata anggota parlimen Ampang itu, menjelaskan tiga peringkat pengesahan yang beliau akan lakukan.

Dua langkah awal adalah ahli parti akan membantah kepada SPR termasuk melalui borang-borang berkenaan, jika pengundi disenarai hitam atau pengundi dengan alamat meragukan muncul dalam daftar pemilih terkini yang digazetkan.

Terakhir mereka akan membantah jika terdapat penyelewengan semasa semakan pada hari mengundi, dimana ahli parti akan menyemak sama ada pengundi adalah rakyat asing atau tidak tinggal begitu lama dalam negara sebelum menerima kad pengenalan.

Sebarang penyelewengan dalam daftar pemilih akan difailkan dan direkodkan untuk tujuan dokumentasi supaya tindakan mahkamah boleh diambil selepas pilihan raya jika diperlukan, kata Zuraida.

"Tetapi pada masa sama, kami tidak menolak kemungkinan untuk menghalang mereka dari mengundi, katanya walaupun beliau sedar ia merupakan satu kesalahan pilihan raya untuk melakukan perkara tersebut.
Khalid walau bagaimanapun berkata, walaupun agen mengundi boleh menyemak daftar pemilih berbanding senarai Selangor, tidak banyak yang boleh dilakukan kerana mereka akan dilihat menghalang pengundi sah daripada mengundi.

SPR telah mengatakan mereka tidak boleh menghalang mereka yang berdaftar daripada mengundi, kerana ini adalah hak mereka walaupun mereka tidak boleh dikenalpasti.

Inisiatif Selangor mendapat pujian daripada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang mendesak kerajaan negeri agar terus memperjuangkan perkara ini termasuk menggunakan saluran undang-undang.

"Mereka harus terus menerbitkan ini… Mungkin mereka boleh ke mahkamah untuk memaksa SPR untuk bertindak. Mereka juga perlu membuat laporan polis," Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan memberi cadangan.

Gabungan independen itu menyatakan sokongan terhadap Selangor, mengatakan mereka akan memberikan maklumat diperlukan kepada kerajaan negeri, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai tindakan sendiri dalam isu ini, yang mana ia digambarkan sebagai "menjejaskan semua orang".

Pengarah Projek Analisis Daftar Pemilih Rakyat Malaysia (Merap) yang juga anggota DAP Dr Ong Kian Ming mengakui bahawa parti politik tidak boleh melakukan banyak perkara, dengan mengambil kira undang-undang mengatakan daftar pemilih tidak boleh dicabar di mahkamah.

Selangor boleh meneruskan tindakan undang-undang atau menyediakan senarai pengundi tidak boleh dikesan untuk ejen mengundi parti-parti politik," kata Syed Ibrahim Syed Noh, presiden Malaysian for Free and fair Elections (Mafrel).

Zuraida merumuskan Pilihan Raya 2013 sebagai "pilihan raya penting" dan mengingatkan rakan seperjuangannya untuk berhati-hati, kerana satu undi akan menentukan siapa yang bakal menang.
SPR telah dilaporkan enggan untuk bekerjasama dengan PR dalam usaha untuk membersihkan daftar pemilih, mendakwa kerajaan negeri Selangor pergi ke media untuk keuntungan politik daripada berjumpa dengan suruhanjaya tersebut.

PR menang 36 daripada 56 kerusi DUN di Selangor dalam pilihan raya umum lalu dimana Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR menggantikan Dr Mohd Khir Toyo dari Umno sebagai menteri besar.

Beberapa pemimpin PR telah menuduh peningkatan pengundi baru di negeri tersebut adalah sebahagian daripada konspirasi BN untuk menjatuhkan Abdul Khalid melalui penipuan. Pemimpin BN walau bagaimanapun telah menafikan tuduhan tersebut.

Analisis pengundian baru-baru ini menemui senarai pengundi diragui adalah tertinggi di Selangor, negeri terkaya dimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikrar untuk merampas semula "dengan apa cara sekalipun".

Lahad Datu: Mengapa perlu darurat?

Posted: 09 Mar 2013 03:59 PM PST

DETIK DAILY

KUALA LUMPUR: Pihak SPR diingatkan agar tidak menggunakan alasan darurat untuk menangguhkan PRU13 kerana tragedi  di Lahad Datu diyakini mampu ditangani dengan baik oleh pasukan keselamatan.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi berkata, sekiranya tragedi itu boleh membawa kepada pengisyiharan darurat, rakyat mungkin beranggapan ia mempunyai kaitan dengan perancangan Umno-BN.  

Menurut beliau, tambahan pula tragedi itu sudah berlarutan hampir sebulan, yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan baik, dalam masa singkat jika ditangani dengan baik oleh kerajaan.

"Tetapi itulah sebenarnya harga yang kita bayar ekoran 'Projek IC' semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dulu. Apabila IC diberikan secara tidak senonoh, rakyat dan negaralah yang menanggung akibatnya," katanya.

Berdasarkan undang-undang, menurut Asmuni, jika diisytiharkan darurat memang boleh ditangguhkan pilihan raya, tetapi tragedi di Lahad Datu tidak mempunyai asas untuk SPR berbuat demikian di kawasan itu dan di Semporna.

"Pihak SPR tidak boleh menggunakan tragedi itu sebagai alasan tangguhkan pilihan raya. Soalnya, macam mana usaha selesaikan tragedi itu mengambil masa terlalu lama, sehingga hampir sebulan belum selesai lagi?" katanya ketika dihubungi 8 Mac lalu.

Asmuni berkata, sehingga kini, banyak pihak yang mempersoalkan perkara itu sama ada mempunyai kaitan dengan perancangan Umno-BN atau sebaliknya, tambahan pula punca sebenar tragedi itu tidak dijelaskan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak.

Katanya, Najib sepatutnya daripada awal lagi berucap secara rasmi bagi menjelaskan kepada rakyat punca sebenar pencerobohan kerana ia  amat perlu diketahui rakyat.

"Di negara lain jika berlaku kejadian seperti itu, Perdana Menteri akan segera berucap secara rasmi untuk memberitahu puncanya.

"Tidak di negara kita, ia jelas menunjukkan ketidakbijaksanaan Najib menangani tragedi itu," katanya.

Asmuni memberikan contoh tindakan bijak Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang segera berucap secara rasmi memberitahu berita sedih kepada seluruh rakyat negara itu tentang pembunuhan  Duta Besar Amerika di Tripoli, sebaik kejadian itu berlaku.

Beliau turut memberi contoh keadaan di Palestin yang berada dalam perang dan bahaya tetapi tidak pula ditangguhkan pilihan raya. 

"Di Vietnam pada tahun 1970-an,  walaupun negara dalam peperangan, pilihan raya presiden tidak ditangguhkan.

"Jadi apa alasan SPR  menangguhkan PRU13  disebabkan tragedi di Lahad Datu itu?

"Selesaikan masalah itu dengan baik, kenapa pula nak tangguh pilihan raya?" soalnya.

Media perdana itu hanyalah 'political bouncers'

Posted: 09 Mar 2013 03:52 PM PST

ASPAN ALIAS


Pihak pimpinan UMNO dan BN semakin terhimpit dengan krisis keyakinan yang sedang mereka hadapi. UMNO sekarang mungkin telah sedar tiada apa yang kita sembunyikan selama ini akan kekal tersembunyi buat selama-lamanya. Perkembangan dan pembangunan industri media dan maklumat di dalam dunia tanpa sempadan ini sangat menyusahkan UMNO. Tiada apa yang buruk mereka lakukan tidak dapat disorokkan dan dengan sekelip mata sahaja akan diketahui umum.

Apabila sampai sahaja maklumat ke satu-satu tempat maka dengan pantas UMNO akan menghadapi kejatuhan tahap keyakinan rakyat terhadapnya. Tetapi UMNO masih ada sedikit saki-baki kawasan yang belum ditempuhi oleh maklumat dan di sinilah UMNO mengharapkan pergantungan sokongan dari kawasan itu untuk mengharapkan dukungan.

Sejak dua tiga hari ini pimpinan tertinggi UMNO meminta supaya rakyat jangan percaya dengan media baru yang sedang berkembang dengan pesat sekarang. Isu ini di jadikan isu harian oleh pimpinan UMNO kerana mereka tahu yang rakyat lebih percaya kepada kredibiliti media alternatif jika dibandingkan dengan media arus perdana. Bagaimana mungkin UMNO terus-terusan bertahan dengan menjadikan media arus perdana sebagai alat propaganda mereka.

Sekarang pimpinan UMNO amat gusar dengan media baru ini kerana mereka (UMNO) tidak dapat menutupi kerja-kerja mereka yang tidak semenggah selama ini. Jika tiada media baru ini bagaimana rakyat hendak tahu tentang isu NFC dengan betul misalnya. Tidak mungkin media perdana akan melambakkan apa yang sebenarnya berlaku dalam isu lembu dan pinjaman kewangan terhadap seorang keluarga Ahli Jemaah Menteri yang terlibat itu.

Tanpa media baru tidak mungkin rakyat tahu bagaimana pimpinan UMNO menjual harta benda Kementerian Pertahanan yang melibatkan Senator Raja Ropiah berhubung dengan transaksi tanah Kementah seluas 200 ekar itu? Jika media baru tidak wujud kita tidak mungkin tahu yang akuan bersumpah kedua PI Bala itu adalah akuan bersumpah palsu. Rakyat tidak akan tahu tentang Rosmah berlumba-lumba dengan suaminya dalam pembahagian bisnes dan kontrak kepada kawan dan sahabat masing-masing. DAN tidak akan tahu juga kita perhubungan Najib dengan Flora Ong misalnya.

Semua ini tidak akan diketahui oleh ramai jika tiada media baru kerana media arus perdana dikuasai oleh UMNO dan semua ketidak telusan UMNO itu tidak akan disiarkan oleh mereka (media perdana). Bagi orang ramai media baru ini merupakan saluran alternatif kepada media perdana dan banyak telah merubah keadaan di negara kita ke arah perubahan yang baik.

Media baru ini penting kerana ia boleh membuat 'check and balance' terhadap laporan media arus perdana. Media baru telah merongkai banyak hal dalam UMNO. Mereka (UMNO) tidak suka dengan 'check and balance' kerana media baru akan menyusahkan mereka untuk mendapatkan 'cheque and all the balances' yang ada dalam perbendaharaan negara untuk pimpinan mereka.

UMNO sendiri telah mengupah ramai penulis-penulis dalam media baru tetapi UMNO masih lagi takut menghadapi media baru ini. UMNO telah mengupah dan membariskan penulis yang handal-handal dan mempunyai pengalaman yang luas dalam penulisan dan kewartawanan sedangkan di pihak pembangkang mereka terdiri dari penulis yang amatur dan mereka menulis dengan sukarela tanpa apa-apa bayaran dan imbuhan.

Saya sendiri bukanya seorang penulis pun tetapi saya mula menulis atas desakan keadaan untuk memberikan pandangan yang berbeza dengan media perdana yang tidak mempunyai laporan yang seimbang. Saya tidak mahu melihat orang ramai termakan dengan dakyah lapuk UMNO yang tertanam dalam parti itu sekian lama. Saya begitu sensitif terhadap tindakan mana-mana pihak memperbodohkan pihak yang lain yang telah berluas-luasa dalam masyarakat media kita.

Tetapi pihak pembangkang mendapat banyak sokongan dalam media baru bukan kerana mereka yang berpihak kepada pembangkang itu orang pandai-pandai, tetapi mereka lebih telus dan jujur serta mempunyai pemikiran yang jelas dan telus. Orang ramai bukan hendak membaca betapa hebatnya penulisan dalam media baru itu tetapi mereka memilih untuk memberikan sokongan kepada berita dan penulisan yang lebih jujur dan boleh diyakini.

Jika benar apa yang disiarkan oleh media arus perdana itu tidak dikotori dengan pembohongan masakan rakyat memilih untuk membandingkan kualiti laporan serta penulisan pihak media baru itu. Pihak UMNO tidak mungkin dapat mengekang rakyat daripada mendekati media baru kerana rakyat bijak memilih yang mana satu yang telus dan yang mana satu yang bertujuan untuk mengelirukan mereka sahaja.

Rakyat telah sedar tentang peranan yang berguna yang dimainkan oleh media baru itu adalah untuk memberikan pandangan yang berbeza dengan pandangan media perdana yang penuh dengan elemen dakyah yang merosakkan pemikiran rakyat yang ramai.

Saya pernah dicerca oleh pihak penyokong UMNO dalam media baru ini yang mengatakan saya mempunyai penulisan yang kurang 'standard'nya, dan tidak seperti 'standard' mereka. Saya akui saya bukan seorang penulis dan saya menumpukan kepada pemikiran dan bukannya kepada nahu dan tata bahasa yang baik. Saya lebihkan untuk memberikan pandangan dan pemikiran saya dan saya tidak mahu masuk pertandingan menulis untuk mendapat hadiah yang besar.

Walaubagaimana pun saya dapat merasakan respon dari masyarakat sangat baik terhadap pandangan dan kritikan saya terhadap isu yang mengelilingi UMNO dan BN. Saya tahu kelemahan saya dan itulah sebabnya saya tidak menggunakan perkataan-perkataan yang kotor seperti 'bangang', 'bodoh', 'babi' dan superlatives yang buruk-buruk di dalam penulisan saya. Saya tahu yang penggunaan istilah kasar dan kotor itu adalah satu pancaran jelas samada seseorang itu terdidik oleh ibu bapa dan keluarga yang baik-baik.  

Kata-kata yang keluar dari mulut seseorang itu melambangkan tahap darjat seseorang itu. Darjat kita bukan terletak kepada wang ringgit dan kekayaan kita sebaliknya darjat itu merupakan bayangan kepada darjat diri kita yang sebenar-benarnya. Semasa saya mula membuat kritikan terhadap kerajaan melalui penulisan di media baru dahulu, saya pernah dilemparkan dengan kata-kata kesat seperti bodoh, sial, dan berbagai-bagai lagi panggilan yang buruk-buruk oleh penyokong UMNO dan BN.

Tetapi saya memilih untuk berdiam diri sahaja kerana yang mengatakan saya dan yang lain itu sebagai bodoh itu, adalah orang bodoh yang sebenar-benarnya. Saya tidak perlu memberikan respon terhadap tindakan mereka yang tidak mempunyai keperibadian itu. Saya berdiam diri dan hanya menyandarkan segala-galanya kepada kebenaran tentang apa yang saya tulis itu. Saya masih mempunyai masa untuk membuktikan segala ketelusan penulisan saya, malah setengah daripada apa yang saya jangkakan itu telah pun terbukti kebenarannya.

Saya berkeyakinan media baru itu juga mampu untuk memberikan pelajaran kepada masyarakat tentang perkara baik walaupun tidak semua boleh memahami nilai sebenar seorang manusia itu. Seseorang yang tahu membuat penilaian itu hanyalah dari mereka yang terdidik dari keluarga yang baik.

Dalam media baru ini kita dapat belajar bermacam-macam perkara. Pengalaman saya selama beberapa tahun ini membuatkan kita lebih memahami manusia. Kita sudah boleh memahami yang sesiapa yang jiwanya kotor dan gundah-gulana tanpa ketenangan akan dipaparkan oleh mereka sendiri melalui penulisan dan komen mereka terhadap sesuatu isu itu.

Bahasa mereka akan lebih kasar dan tidak akan membahaskan sesuatu isu itu secara terbuka malah mereka terus sahaja melepaskan kata-kata kesat yang tidak selayaknya keluar dari insan yang secantik-cantik kejadian Tuhan itu.

UMNO sememangnya dalam keadaan terdesak sekarang ini. Sekarang media baru pula yang mengancam mereka. Bagaimana UMNO boleh bersandar kepada media arus perdana lagi? Sudah terbukti media perdana sudah menjadi bahan sindiran akhir-akhir ini kerana terlalu kerap gagal mempertahankan kewibawaan mereka di mahkamah.

Utusan misalnya telah terbukti sebagai salah satu punca fitnah dengan kegagalan mereka dalam beberapa saman yang difailkan oleh beberapa orang pimpinan Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini. Mahkamah telah membuktikan yang media perdana telah melakukan banyak fitnah yang tidak ada batasnya terhadap pimpinan pihak alternatif. Mereka ini (media arus perdana) hanyalah merupakan 'political bouncers' untuk mengekang kebenaran daripada diketahui umum.

Utusan sahaja terpaksa membayar jutaan ringgit kepada mereka yang telah menjadi mangsa fitnahnya sejak akhir-akhir ini. Itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa media arus perdana itu merupakan sumber besar fitnah yang berkeliaran di mana-mana sekarang.

Anwar: Saya sedia hadapi fitnah baru BN

Posted: 09 Mar 2013 03:49 PM PST

NIZAM ZAIN
Anwar: Saya sedia hadapi fitnah baru BN
Anwar Ibrahim sedang berucap.
 
Anwar: Saya sedia hadapi fitnah baru BN
Sebahagian penyokong Pakatan Rakyat yang hadir pada Majlis Ulang Tahun Kelima Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di Shah Alam, malam tadi.
 
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau bersedia untuk menghadapi serangan fitnah baru dibawa  pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya Umno termasuk cubaan melabel beliau sebagai dalang insiden warga Filipina menceroboh Lahad Datu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu tegas Anwar, walaupun sejak akhir-akhir ini banyak tipu muslihat BN dan Umno satu-persatu terbongkar, namun ia tidak bermakna cubaan mereka untuk menghancurkan karier politik beliau akan terhenti.

"Cara media perdana mainkan saya (kaitkan) isu Lahad Datu, saya akan hadapinya, namun undur tidak sekali.

"...tipu muslihat mereka terbongkar satu persatu, saya tak rancang pun, tapi ALLAH tunjukkan.

"...muncul (isu klip video) Lingam, kemudian (ahli perniagaan permaidani) Deepak, (penyiasat bebas) Bala dan terkini bapa Saiful Bukhari, beliau sendiri minta maaf kepada saya dan keluarga," katanya pada majlis sambutan ulang tahun kelima pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor, lewat malam tadi.

Menurut Anwar, pendedahan bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim tidak diketahuinya malah ia juga tidak dirancang kerana beliau yakin ia adalah pertolongan ALLAH dan berkat doa yang tidak putus-putus daripada rakyat.

Pagi semalam sambutan yang serupa diadakan di Pulau Pinang.

Di Georgetown, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, dari awal lagi beliau menegaskan bahawa tidak bersalah.

"Mahkamah juga membuat keputusan yang sama apabila ia membebaskan saya tahun lepas," kata Anwar.

"Bagi saya, tiada apa yang berubah kerana dari awal lagi saya telah menegaskan bahawa saya tidak bersalah, bahawa ini adalah satu fitnah yang berniat jahat," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Anwar mendakwa baru-baru terbongkar lagi usaha yang dilakukan BN apabila dana sebanyak RM1.2 juta dibayar kepada seorang penulis berbangsa Yahudi semata-mata untuk memburuk-burukkan dan memfitnah beliau menggunakan pengaruh individu tersebut.

"Dua minggu lalu terbongkar lagi tipu daya Umno apabila wang jutaan ringgit dibayar kepada penulis berbangsa Yahudi untuk membuat kerja-kerja memfitnah dan mencemarkan nama Anwar.

"...dakyah dibongkarkan penulis akhbar New York Times," dakwanya.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang turut hadir pada majlis terbabit mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak diberikan mandat dan tidak dipilih oleh rakyat.

Menurut beliau, Najib hanya mendapat mandat daripada Perdana Menteri terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi secara lantikan terus sekali gus ia tidak menjunjung semangat demokrasi yang kerap kali diuar-uarkan pemimpin BN.

Kata Kit Siang, Najib bukan Perdana Menteri yang sah kredibilitinya dipertikaikan banyak pihak susulan beliau mengambil masa yang lama untuk menetapkan tarikh pilihan raya umum ke-13.

"Buat pertama kali dalam sejarah negara ini yang nasih tidak laksana pilihan raya selepas lima tahun atau habis penggal.

"...mungkin Najib takut dengan ramalan Prof Rahman jadi kenyataan BN apabila hayat BN akan berakhir," katanya.

Selain itu, beliau yakin sekiranya rakyat bersatu padu nescaya kawasan "fixed deposit" Umno-BN di beberapa negeri akan dapat dipecahkan.

"Bukan senang nak ambil alih Putrajaya, tapi ia boleh dicapai, jika rakyat bersatu padu, kita boleh pecahkan fixed deposit Johor, Sabah dan Sarawak," tegasnya.

Seramai 2,500 penyokong hadir majlis itu manakala 10,000 orang pula melayari siaran langsung di TV selangor.

Hadir pada majlis itu Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tiada ulasan: