BRIGED MP SEGAMBUT |
DR ASRI? SAYE JUGA TIDAK MENYOKONGNYA Posted: 17 Mar 2013 10:00 PM PDT Tokoh agama terkenal Datuk Dr Asri Zainul Abidin, yang diura-urakan bertanding atas tiket PKR, kemungkinan besar tidak jadi dicalonkan oleh parti tersebut. Sumber-sumber PKR memberitahu Malaysiakini, Dr Asri dianggap tidak serius untuk bertanding selepas pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dua minggu lepas. Pada masa yang sama, Dr Asri sendiri dikatakan sudah membuat keputusan muktamad dengan menolak tawaran itu walaupun dijanjikan kerusi timbalan ketua menteri Pulau Pinang. Sumber-sumber PKR memberitahu, parti itu mahukan komitmen segera daripada bekas mufti Perlis itu kerana pembubaran Parlimen dijangka diumumkan penghujung bulan ini. Difahamkan tawaran kerusi timbalan ketua menteri itu dibuat oleh Ketua Pembangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam pertemuan empat matanya dengan ulama muda itu sebelum ini. Dr Asri sendiri malam tadi mendedahkan dalam mesej di akaun Twitternya tentang pertemuan dengan perdana menteri. Bagaimanapun butiran perbincangan di pertemuan kedua-duanya tidak dinyatakan dengan jelas sama ada berkaitan pencalonan dalam pilihan raya umum atau hal-hal lain. "Dua minggu lepas, YAB PM jemput saya ke pejabat beliau sendirian. Saya beri pandangan-pandangan saya dan beliau dengar dengan teliti. Saya hargai sikap itu," kata Dr Asri dalam twitnya. Surat-menyurat pertemuan Menurut sumber PKR lagi, parti itu tidak selesa dengan sikap Dr Asri yang berhubung dengan Najib sewaktu rundingan kerusi dengan parti itu sedang berjalan. Difahamkan surat-menyurat pertemuan Dr Asri dengan perdana menteri pernah ditunjukkan kepada beberapa pemimpin PKR. Antaranya, surat pihak Najib itu menyebutkan pertemuan itu diatur di pejabat perdana menteri pada petang 28 Februari lalu oleh seorang pegawai pemimpin tersebut. Namun, Dr Asri sendiri mempunyai sejarah hubungan dengan beberapa tokoh politik BN dan Pakatan Rakyat sejak bertahun-tahun lalu lagi. Muncul melalui kegiatan PAS zaman mahasiswanya, beliau dilantik mufti Perlis sewaktu Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai menteri besar sebelum digugurkan selepas pilihan raya 2008. Selain mengekalkan hubungan dengan tokoh Umno itu, Dr Asri juga dikatakan bertemu dengan pemimpin-pemimpin PAS dan DAP. Kedua-dua parti Pakatan Rakyat ini berminat mencalonkan beliau. Malaysiakini difahamkan, DAP berminat menyerahkan satu kerusi selamat di DUN di Pulau Pinang. Sementara PKR pula ingin meletakkan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu di kerusi Penanti, bawah parlimen Permatang Pauh. Dr Asri tolak jadi calon, kerusi TKM Sementara itu, Dr Asri ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi enggan mengulas berhubung perkara itu. Bagaimanapun, difahamkan Dr Asri tidak berminat bertanding dalam pilihan raya kerana merasakan langkah itu "tidak sesuai". Menurut sumber yang dekat dengannya, beliau juga merasakan masih boleh menyumbang sesuatu walaupun selepas pilihan raya dan tidak menjadi calon. "Tunggulah era politik baru pasca-PRU13 nanti," kata sumber dalaman itu sambil menambah "Dr Asri akan ada dalam siri berikutnya". Keputusan muktamad itu dibuat setelah berbulan-bulan PKR memujuk Dr Asri, termasuk menghantar pemimpin-pemimpin tertinggi mereka bagi bertemunya. Malah, menurut sumber juga, setakat minggu lepas, Dr Asri masih dihubungi oleh seorang naib presiden PKR yang memintanya menimbang bertanding atas tiket PKR. Selain Dr Asri, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik juga antara dua tokoh ulama muda yang sedang direkrut menyertai Pakatan dalam kempen menumbangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Berbeza dengan Dr Asri, kedua-dua mereka dikatakan masih belum membuat sebarang keputusan muktamad walaupun pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang. |
Posted: 17 Mar 2013 09:13 PM PDT Penceramah popular Azhar Idrus berpendapat, demonstrasi bukan satu perbuatan yang haram sekiranya dilakukan mengikut hukum syarak dan Islam hanya menolak demonstrasi yang mendatangkan kemudaratan. Begitu juga hukum untuk menghasut, yang menurutnya bukan satu perkara yang salah sekiranya dibuat untuk tujuan kebaikan. "(Demonstrasi) bersyarat, harus bukan bertujuan nak buat kacau, tidak bertujuan untuk menghancurkan sesebuah negara, bukan tujuan untuk memporak-perandakan sistem ekonomi, tidak bertujuan gugatkan keselamatan negara dan hanya untuk tujuan berarak sahaja, maka hukumnya tidak ada seorang ulama pun yang mengatakan haram. "Sebab itulah, bila ada demonstarsi biarlah dia berdemonstrasi. Ingat, yang (buat) demonstrasi tidak bebas. Kamu terikat dengan hukum syarak," katanya ketika diajukan soalan oleh aktivis politik Hishamuddin Rais dalam wacana Malam Seni Untuk Perubahan di Kampung Baru malam tadi. Bercakap di program yang dihadiri 3,000 orang itu, Azhar berkata, peserta demonstrasi tidak boleh menggugat keselamatan negara, merosakkan harta benda awam dan juga membuat kekacauan. "Berdemonstrasi (hanya) untuk menarik perhatian (bahawa) jika perkara ini dibiarkan ramai lagi yang akan menerima keburukan," katanya. Mengulas hukum mengenai hasutan pula, bekas gitaris kumpulan pop Iklim itu hasutan yang membawa ke arah kebaikan dengan niat melakukan perubahan merupakan dakwah di sisi Allah. Beliau memberi contoh hasutan untuk menukar seorang imam yang salah rakaat ketika mengimamkan solat subuh, beliau berkata, kariah boleh menghasut orang lain supaya menukar imam tersebut dengan tujuan kebaikan. "Menghasut memang tak baik. Menghasut asal hukumnya ialah haram kerana menghasut ke arah kerosakan. "Tetapi mengajak orang untuk lakukan perubahan dan menghasut, itu disisi Allah adalah dakwah. Kalau mengajak pada perubahan, kita tetap tak bersalah jika perubahan itu membawa kebaikkan. Kalau mengajak perubahan yang membawa mudarat, itu salah," kata Azhar lagi. Turut hadir sebagai ahli panel dalam program tersebut ialah dua orang artis Hairie Othman dan Meor Yusuf Aziddin serta aktivis pelajar Adam Adli. Azhar juga menyertai sesi soal jawab politik bersama naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi dalam program tersebut. Program itu dimulakan dengan persembahan nyanyian oleh beberapa orang artis antaranya oleh Ito dari kumpulan Blues Gang serta Yassin yang turut menyanyikan sebuah lagu yang bertajuk Reformasi. Selain itu pelakon dan penyajak, Pyan Habib Rahman turut membacakan sebuah sajak yang bertajuk Huru-hara manakala penyanyi rock metal popular FTG, Tajol Ismi Akhbar mengumumkan secara rasmi penyertaannya ke dalam PAS. Progeam yang bermula kira-kira jam 9 malam itu diakhiri satu ceramah ringkas oleh timbalan presiden PAS Mohamad Sabu. |
You are subscribed to email updates from BRIGED MP SEGAMBUT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan