Selasa, 5 Mac 2013

.

.


Rengkas Perkembangan Perang di Sabah

Posted: 05 Mar 2013 01:41 AM PST

JERATAN INFO                                                                                                                        

Foto Najib dibakar depan Kedutaan M'sia.
Sehingga kini pihak berkuasa Malaysia masih belum mengumumkan hasil serangan ke atas penceroboh yang bermukim di kampung Tanduo Lahad Datu pagi tadi. Apa yang dimaklumkan operasi penghapusan itu tidak mendatangkan apa-apa kecederaan atau kematian di pihak Malaysia.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN) Hishmuddin Hussein yang mengadakan sidang akhbar bersama dengan Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi di Felda Sahabat, Lahad Datu lewat tengah hari tadi. Hishmuddin dan Zahid menjelaskan banyak pihak penceroboh yang terkorban.

Menurut Zahid, Ketua Polis Negara akan membuat pengumuman berhubung perkara itu.

Dalam perkembangan lain Zahid Hamidi juga dipetik sebagai menafikan laporan mengatakan pihak bersenjata MNLF - askar pembebasan Moro juga akan ikut sama membantu penceroboh. Katanya tidak ada maklumat diterima mengenai perkara itu dan ia disifatkan sebagai laporan tidak berasas.

Laporan kononnya tentera MNLF akan bersama penceroboh itu dipetik oleh media dari portoal berita luar negara yang melaporkan kenyataan seorang kerabat di raja Sulu.

Dalam satu lagi perkembangan pihak Kesultanan Sulu telah menafikan penglibatan pihak pembangkang dalam pencerobohan itu. Seorang keluarga di Raja Sulu dalam satu kenyataan menjelaskan perkara itu. Sebelum ini media massa PB begitu 'gelenyer' cuba mengaitkan pencerobohan itu dengan pihak pembangkang termasuk Anwar Ibrahim.

Ada juga maklumat-maklumat liar mengatakan operasi yang bermula jam 7:00 pagi di samping berjaya melumpuhkan penceroboh ia juga turut sama menimpa orang awam. Bagaimana pun maklumat ini tidak disahkan oleh mana-mana pihak setakat ini. Manakala di pihak penceroboh dilaporkan mereka tidak akan berganjak dan sedia untuk mati.

Dipercayai lewat petang ini atau malam ini pihak berkuasa akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini dan juga perkembangan operasi berkenaan. Kemungkinan kalau masih berlaku kerumitan dan kekeliruan kenyataan penuh akan dibuat esok.

Sementara itu di Kok Lanas Kelantan malam ini PAS Kelantan mengadakan solat hajat khas mendoakan kesejahtraan dan keselamatan negara. Solat hajat itu dianjurkan oleh Dewan Ulama PAS Kelantan. Orang ramai yang ingin menyertai solat berkenaan dipesan agar membawa sejadah dan peralatan sembahyang sendiri.

Terlupa, di Manila pagi tadi dilaporkan kira-kira 100 warga Filipina beragama Islam dan Kristian telah mengadakan tunjuk perasaan di hadapan kedutaan Malaysia. Dalam tunjuk perasaan itu juga para penunjuk perasaan telah membakar gambar presiden Filipina Aquino dan Perdana Menteri, Mohd Najib Razak. Gara-gara itu kedutaan Malaysia ditutup. [wm.kl.5:40 pm 05/03/13]

Selepas Serang dan Menang, Tunggu Apa Kata Dunia

Posted: 04 Mar 2013 07:56 PM PST

ULASAN PERANG                                                                                                          

Peperangan sebenar di Lahad Datu, Sabah sudah bermula secara rasmi jam 7:00 pagi ini apabila ATM dan PDRM telah melancarkan Strategi Nasional Laut Biru (operasi perang) dengan menggempor kampung Tandou yang dijadikan perkampungan oleh para penceroboh sejak lebih dua minggu lalu.

Serangan dimulakan dengan jet penggempur Sukhoi S18 menggugurkan bom di kampung berkenaan kemudian diikuti dengan tembakan mortar dari darat. Dengan terasminya serangan itu ertinya tempoh rundingan dan tawar menawar telah berakhir. Penyelesaian kemelut perang itu secara damai tidak ada hayat lagi.

Apa yang kita dapat lakukan kini tunggu hasil serangan itu. Apakah ia akan lumat hanya sekali serangan sahaja ataupun akan berterusan beberapa hari lagi. Kita mengharapkan kemelut dan perang itu akan berakhir dengan sekali serangan sahaja.

Penceroboh akan lekas menyerah diri dan mengaku kalah. Kita dan sesiapa pun tdak mahu memperpanjangkan keadaan kritikal itu. Kita tidak mahu bunuh membunuh di antara satu sama lain.

Di samping menunggu hasil serangan itu kita juga menunggu satu perkembangan lain di mana perkembangan ini memerlukan kebijaksanaan dan kekuatan mental kita untuk menerima ulasan dan komenter dari negara-negara luar. Komentar ini adalah perang psikologi yang panjang.

Perlu diingat bangsa Sulu tidak bersendirian dalam membuat tindakan itu. Sebagai bangsa yang sudah lama berperang dan menyusun strategi untuk mendapatkan haknya, mereka tentu bersiap sedia bukan saja dari segi logistik peperangan tetapi juga bersedia dalam saraf-saraf atau tektik dan strategi peperangan lain. Sokongan luar sudah pasti dipinta dan ditagih simpati.

Tanpa memberi tahu mereka berlindung dan bakal mendapat simpati dari mana-mana kuasa besar, ia pasti wujud. Inilah satu permulaan baru yang terpaksa negara kita hadapi; ulasan dari komentar dari negara luar.

Situasi sebgini biasa dan berlaku dengan sendirinya. Kita juga akan turut memberi ulasan dan padangan ke atas mana-mana peperangan hatta kita tidak mengetahui kronologinya. Nah begitu juga dengan dunia lain ke atas kita. Sejarah kita perlu cipta tetapi kelurusan sejarah juga penting sebab ia dilihat sepanjang zaman. 

Kalau komenter itu berpihak kepada kita Alhamdulilah, tetapi kalau sebaliknya, di sinilah ia memberi masalah dan perang psikolgi baru kepada kita. Kita harus bersiap sedia dari semua segi. Kita belum pernah menerima kecaman dunia atas apa-apa kehilafan kita. Kita juga belum pernah berjuang dan beperang dengan orang luar. Kita diterima sebagai negara berbilang kaum yang harmonis. Ini adalah pertama kali.

Sebelum ini kita hanya menghadapi ancaman dalaman seperti komunis, samseng ataupun kumpulan-kumpulan pengganas berbentuk puak sahaja. Berbeza kali ini kita berhadapan dengan rakyat asing, rakyat Filipina. Ertinya peperangan kita ini adalah peperangan dengan 'dunia'. Secara umumnya kita berperang dengan Filipina.

Kita tidak boleh menyekat atau menghalang komentar dan kritik negara asing atau badan-badan kemanusiaan lain ke atas apa yang berlaku. Badan pemantau perang sudah pasti tidak mendiamkan diri. Mereka akan membuat siasatan dan analisa kemudian meledakkan kepada dunia.  Mereka semua ada pandangan dan persepktif tersendiri. Tidak semestinya apa yang kita rasa patut dan wajar dilakukan relevan untuk mereka. Tidak mustahil juga peperangan hari ini akan terhimbau hingga ke United Nation (PBB).

Kerana itu mereka akan meluahkan apa saja. Kecaman demi kecaman sudah tidak dapat dielakkan. Yang pastinya Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan lain-lain pihak harus bersiap siaga menghadapi kemungkinan serangan psikologis dunia. Semua itu hendak didengar umpama angin masuk telinga kiri dan biarkan ia keluar telinga kanan.Semua kena tebalkan telinga.

Namun yang mungkin rumit ialah untuk menjawab dan menjustifikasikan kepada mereka yang memahami sejarah dan susur galur kenapa bangsa Sulu menjadi 'histeria' untuk menceroboh Lahad Datu atau Sabah. Kita perlu menjelas persoalan mereka juga bukan saja dari sudut hak asasi kita tetapi dari sudut-sudut lain kemanusiaan dan sejarah.

Justeru jawaban dan penjelasan biarlah tepat dan meyakinkan. Kita tidak mahu kerana kesilapan kita dalam memberi justifikasi terhadap serangan balas ini akan mengundangkan masalah baru kepada kita, iaitu cemuhan dunia luar. Sesebuah negara sangat mengelakkan daripada mendapat kecaman dunia luar kerana ia memberi implikasi buruk.

Paling malang kalau peperangan ini berpanjangan ia boleh membuka ruang kepada kuasa asing yang kesekian lama terliur dengan persekitaran di lautan Sulu yang kaya dengan khazanah alam, menyebabkan mereka akan campur tangan. Mungkin campur tangan itu tidak wajar, dan tidak patut, tetapi kita kena faham dalam era peperangan yang tidak wajar pun akan jadi wajar. Peperangan berlaku kerana tekanan, penindasan atau kerana untuk mempertahankan hak, dan di sekitar peperangan sering ada oportunis yang zalim.

Penjelasan nanti hendaknya dibuat dengan telus dan menyakinkan dan ia tidak akan membuka ruang untuk kuasa besar turut campur tangan. [wm.kl.11:45 am 05/03/13]

Bom Telah Gugur Di Kg Tanduo?

Posted: 04 Mar 2013 07:07 PM PST

TERKINI DAN HANGAT                                                                                                  

Maklumat terbaru diterima ATM telah menggugurkan sekurang-kurangnya enam butir bom di kampung Tanduo lokasi yang dijadikan perkampungan para penceroboh. Sehingga ini pihak kerajaan belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi. Tunggu penjelasan dari Perdana Menteri.

Kita teruskan doa agar tiada kemalangan jiwa terutamanya di sebelah pasukan keselamatan kita berlaku. [wm.kl.11:06 am 05/03/13].

Tentera Akan Bertindak Drastik Hari ini?

Posted: 04 Mar 2013 03:41 PM PST

KHABAR SUBUH                                                                                                                    

Satu khabar diterima memberi tahu semalam Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi telah berjumpa dengan Menteri Luar Sulu bersama seorang ulamak besar dari Indonesia keturunan SULU untuk berunding dan mencari penyelesaian berhubung kemelut perang di Lahad Datu.

Menteri Luar Sulu dan ulamak dari Indonesia berkenaan mencadangkan kepada Zahid agar penyelesaian kemelut itu dilakukan dengan bijak sana tanpa merugikan mana-mana pihak. Menteri Luar dan ulamak itu juga mengatakan kekesalan dan kecaman atas apa yang berlaku.

Sejauh mana permintaan atau cadangan itu diterima pakai walhu'alam. Bagaimana pun katanya Zahid ada menyebut hari ini pihak ATM akan bertindak secara drastik.

Marilah kita semua terus berdoa semoga kemelut perang itu akan selesai dengan damai hari ini. Kita mendoakan agar pasukan keselamatan kita akan dilindungi Allah s.w.t. [wm.kl.7:41 am 05/03/13]

PR Tawar Untuk Adakan Rundingan Meja Bulat Dengan Kerajaan

Posted: 04 Mar 2013 04:30 AM PST

KENYATAAN                                                                                                                     

Kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengulangi cadangan dikemukakan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub agar parlimen memanggil sidang untuk membincangkan peristiwa pencerobohan di Lahad Datu Sabah.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini yang ditanda tangani oleh Anwar Ibrahim, Lik Kit Siang dan Abdul Hadi Awang, parlimen perlu dipanggil bersidang untuk mendapat gambaran jelas apa yang sedang berlaku di Sabah waktu ini.

Sehubungan itu juga Pakatan Rakyat menawarkan untuk mengadakan sidang meja bulat dengan pemimpn kerajaan bagi mencapai maufakat bersama dalam isu ini.

Perkembangan ini seharusnya disambut oleh pemimpin kerajaan UBN bagi mengendurkan ketegangan politik demi penyelesaian segera pencerobohan di Sabah itu.

Berikut adalah kenyataan penjuh yang die-mailkan kepada blog Merah Tinta.


KENYATAAN MEDIA
PIMPINAN PAKATAN RAKYAT

4 MAC 2013

DATO' SERI NAJIB RAZAK SEWAJARNYA MENUMPUKAN USAHA MEMASTIKAN KEDAULATAN WILAYAH NEGARA, KESELAMATAN RAKYAT SABAH DAN ANGGOTA PASUKAN KESELAMATAN

Setiap pimpinan mana-mana negara sekalipun bertanggungjawab mempertahan kedaulatan wilayah negara, keselamatan rakyat dan anggota pasukan keselamatan.

Kegagalan mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat merupakan satu pengkhianatan serta menodai amanah rakyat. Justeru Pakatan Rakyat berhasrat mengingatkan pimpinan negara agar tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara dan tidak alpa memastikan keselamatan setiap rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah ekoran dari insiden pencerobohan sekumpulan bersenjata warga asing di sekitar Lahad Datu serta Semporna. Setiap inci tanah Sabah dan keselamatan rakyatnya wajib dipertahankan.

Pencerobohan di Lahad Datu telah mengorbankan dua nyawa perwira negara manakala insiden terbaru di Semporna pula mengorbankan enam nyawa perwira negara. Kita merakamkan ucapan takziah buat keluarga mereka dan rakyat Sabah serta berdoa moga roh mereka dicucuri rahmat.

Pakatan Rakyat juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tetap teguh mendokong pasukan keselamatan, samada dari pihak polis atau tentera. Kita berdoa moga mereka kekal selamat serta bersemangat mempertahankan negara dan rakyat Malaysia dari ancaman penceroboh.

Pakatan Rakyat sedar keadaan mutakhir di Sabah sememangnya menimbulkan kebimbangan, akan tetapi kita menyeru agar orang ramai tetap bertenang dan tidak mengambil tindakan terburu-buru atau menyebarkan berita-berita fitnah yang boleh menimbulkan keresahan. Pakatan Rakyat ingin menyatakan dengan jelas keyakinan kita terhadap kecekapan dan kebolehan anggota pasukan keselamatan. Mereka pastinya dapat menjalankan tugas dengan profesional sekiranya diberi kebebasan bertindak tanpa sebarang campurtangan politik.

Sehingga kini, kita merasa kesal dan kecewa dengan sikap kepimpinan negara yang tidak mempamerkan kewibawaan dan iltizam dalam menyelesaikan masalah ini. Pimpinan negara juga gagal menyalurkan maklumat tepat, cepat dan telus serta memberikan penjelasan terhadap apa yang berlaku kepada umum sehingga menyebabkan khabar angin tersebar luas.

Pakatan Rakyat menggesa supaya isu ini tidak dijadikan arena tuduh-menuduh dan sewajarnya kepimpinan negara memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara serta tidak mengalihkan pandangan rakyat dari kelemahan mereka. Sewajarnya mereka menyedari, keutamaan adalah demi mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan rakyat dan perwira negara yang bertungkus lumus di perbatasan.

Pakatan Rakyat menuntut agar segera diadakan satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu pencerobohan ini serta demi untuk mendapatkan gambaran sebenar insiden yang tercetus di Sabah. Kita juga berhasrat mengadakan satu persidangan meja bulat di antara pimpinan Pakatan Rakyat dengan pimpinan kerajaan dalam usaha untuk mencapai muafakat bersama berhubung isu ini.


YB DATO' SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum KEADILAN

YB DATO' SERI ABDUL HADI AWANG
Setiausaha Agung PAS

YB LIM KIT SIANG
Penasihat DAP
 [wm.kl. 8:27 04/03/13]

Tiada ulasan: