Rabu, 13 Mac 2013

.

.


Terima Kasih Polis Membantu Kami

Posted: 13 Mar 2013 03:18 AM PDT

RAKAMN RASA                                                                                                                  

Semasa kunjungan saya ke Sabah yang berakhir semalam, khasnya sewaktu di Kunak dan Lahad Datu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dari kedua Ibu Pejabat Polis (IPD) di situ. Kerjasama yang diberikan sungguh menyenangkan.

Untuk menjamin keselamatan kunjungan saya bersama Drs Zainuddin Awang Hamad menerusi program "Musafir Keamanan dan Kebajikan Kelantan", kami terlebih dahulu mendapat bantuan dan pandangan dari pihak polis. Maklumat dan masalah keselamatan semasa juga diperolehi oleh pihak polis. Maklumat ini bagi memudahkan kami membuat tinjauan dan intraksi dengan orang ramai.

Sebaik sampai di Kunak kami langsung ke IPK Kunak untuk mendapat penjelasan perkembangan terkini mengenai tahap keselamatan di situ dan kawasan kampung sekitarnya. Kami mulanya diberi taklimat dan penerangan secara ringkas oleh Ketua Cawangan Khas di situ Tuan Zulkefli sebelum OCPD M Ghazali yang ketika itu masih di luar pejabat.

Dua anggota UTK asal Kelantan bertanya tujuan kami.
Penerimaan dan sambutan mesra M. Ghazali merujakan kami. Beliau memanggil kami terus ke biliknya ditingkat atas dan di situ diberikan penjelasan soal-soal keselamatan dan juga suasana di Kunak. Taklimat dan perbualan berlangsung kira-kira 25 minit.

Salah satu sekatan jalan menuju ke bandar.
Seperti mana jelasnya keadaan di Kunak tidak segenting di Lahad Datu atau pun Semporna. Tidak ada kejadian buruk berlaku atau cuba dicetuskan. Bagaimana pun jelasnya kesiap-sigaan PDRM berada dalam tahap tinggi. Cuma tercetus sedikit kegemparan di Balung tidak jauh dari Kunak kononnya penceroboh memasuki  kawasan berkenaan menyebabkan penduduk ketakutan dan melarikan diri ke pekan Balung.

Menurut M Ghazali semua balai polis di Kunak dikawal sepanjang masa dan dibina kubu. Menurutnya waktu malam semua balai bergelap untuk tujuan keselamatan dan anggota berkubu.

Zainuddin menjelaskan beliau dari Kelantan.
Dalam kesempatan itu Drs Zainuddin menyerahkan sedikit bantuan kepada IPK Kudak sebagai mewakili MB Kelantan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat untuk keperluan anggota PDRM. 

Selain itu Zainuddin memberi tahu pihak kerajaan Kelantan telah mengadakan solat hajat memohon keselamatan dan kesejahtraan anggota polis dan tentera yang bertugas serta disegerakan Allah mengamankan Sabah.

Selain itu, bantuan atau sumbangan berupa air minuman, makanan ringan juga turut dibahagikan di pos-pos kawasan khasnya di sekatan jalan raya. Dalam pada itu menurut M Ghazali kerjasama dari orang awam sangat diperlukan untuk membantu polis memulihkan keadaan.

Bukan beras tetapi pasir dalam guni sebagai kubu.
Katanya kalau wujud kerjasama apa juga masalah boleh diatasi. Setakat ini katanya pihak polis berpuas hati dengan kerjasama ditunjuk dan diberikan oleh orang ramai.

Sementara itu di Lahad Datu kami juga mengunjungi IPK Lahad Datu. IPK yang terletak atas bukit itu baru saja operasi. Malangnya OCPD Lahad Datu tidak ada dipejabat dan kami diberi taklimat ringkas oleh anggota biasa.

Bergambar kenangan dengan M Ghazali.
Sumbangan berupa air minum dan makan juga turut diberikan di Balai Polis lama yang terletak di tengah-tengah bandar Lahad Datu.  Di mana di balai polis ini kawalannya agak ketat.

Jalan menuju ke balai polis ini disekat dan dikhaskan untuk laluan tentera dan polis sahaja. Sesiapa yang tersalah masuk akan disekat dan disoal. Kami juga mengalami masalah ini tetapi lepas bila dijelaskan akan tujuan kedatangan kami.

Berbeza dengan keadaan di Kunak, suasana di Lahad Datu agak 'menakutkan' ini kerana di mana-mana kelihatan anggota polis sedang berjaga atau mengawal keadaan. Pemandangan di pesisir pantai di mana terletaknya rumah pendatang Filipina berbangsa Sulu menyiraukan bulu roma tatkala memandangnya.

Semasa singgah di sebuah restoran, untuk makan tengah hari, kira-kira 60 orang anggota polis memenuhi tiga unit ruang kedai. Semuanya lengkap bersenjata dan baju kalis peluru.

Waktu kami tiba itu turut berada sama di restoran berkenaan Ketua Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Bakeri Zini yang juga merupakan warganegara Sabah.

Beberapa orang anggota polis yang sempat disapa menceritakan keadaan di Lahad Datu di mana menurut mereka suasannya masih lagi belum aman sepenuhnya. Dalam tempoh 72 jam lalu tiada kejadian buruk dilaporkan kecuali kejadian di kampung Sungai Nyamuk, Tanjung Batu kelmarin yang menyebabkan seorang anggota tentera, Ahmad Hurairah Ismail maut.

Sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih banyak kepada anggota PDRM yang membantu dan memberi kerjasama baik kepada misi pemusafiran kami. [wm.kl.5:47 pm 13/03/13]

M Ghazali hantar kami sampai ke bawah, diperhati Zul.

Tayar dijadikan bongkah kubu.
Zainuddin menyumbang minuman dan makan di satu pos road blok.
Bersalam dengan anggota polis dalam restoran.
Di belakang saya ialah anggota polis.


Siapa Yang Memperlekehkan Pasukan Keselamatan?

Posted: 12 Mar 2013 11:45 PM PDT

SAYUP MEMANDANG                                                                                                  

Di hari pertama lagi ketika Zahid Hamidi tampil bersama Hishamuddin Hussein memberi sidang akhbar melaporkan perkembangan tragedi pencerobohan di Lahad Datu saya memerhati kredibiliti dan relevansi beliau dalam sidang akhbar itu. Zahid khasnya cuba menampilkan dirinya sebagai seorang Menteri Pertahanan yang berwibawa dan digeruni serta prihatin. Setidak-tidaknya secanggih kapal salam Scorpene.

Cara dia bercakap dan mimik muka yang dipamerkan di skrin tv seakan dia serius, bukan main-main. Zahid menanggalkan iras yang muka selamba dan hemah. Sememangnya didalam situasi sebegitu seorang menteri pertahanan seperti dia harus serius dan mencermin semangat juang yang tinggi. Perang bukan boleh main-main. Perang bukan pemilihan jawatan dalam Umno.

Sidang sidang kemudian selepas itu saya terus memerhati aksi dan body language Zahid dan memerhati juga kepada mulut dan pipi Hishamuddin Hussein. Mereka saling bercakap dan bertukar microphone seperti 'tok jora' dikir barat dengan tukang karut pula lagaknya. Saya tidak pasti apakah berlaku keadaan demikian di dalam perang di negara-negara maju; sidang akhbar bersama menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan diadakan.

Zahid: Bermuka sedih durjana.
Selepas selesai menteri memberi laporan dengan mengutik political mileage daripadanya, sidang itu akan diteruskan pula oleh Ketua Polis Negara, Ismail Omar dan Ketua Turus Angkatan Tentera, Zulkefi Mohd Zain. Sama juga dengan dua menteri itu, penampilan kedua orang besar keselamatan ini tidak begitu licin dan tidak memberi jawaban yang tepat kepada pertanyaan wartawan. Tersekat-sekat macam bulldozer menaiki bukit.

Sidang akhbar itu disiarkan secara live oleh stesen tv, kononnya kerana ingin memberi maklumat terus dan segera kepada rakyat. Setiap tiga atau empat jam sekali, penonton tv berkenaan akan membawa mata orang ramai ke skrin tv mereka mengikut perkembangan di Sabah.

Sekali ingat, sidang media itu seperti siaran langsung (telecast) stesen tv pengampu yang menyiarkan lintas langsung semasa perhimpunan agung Umno. Selepas presiden menyampaikan ucapan dasar ia akan diulas oleh seorang pengulas politik dan disiarkan secara langsung. Menerusi ulasan pengulas bertaraf Prof yang memiliki sijil berjela-jela itu akan memuji ucapan presiden. Mengangkat presiden ke langit hijau. Seolah dari ayat pertama ucapan itu hingga ke ayat akhir, semuanya betul dan bernas. Pengulas dari golongan akademik ini melihat presiden Umnolah yang betul semuanya.

Timbul pertanyaan di minda saya perlukah pihak keselamatan mengadakan sidang media untuk memberi maklumat mengenai pencerobohan itu? Mungkin sidang media perlu, kerana media dan rakyat mahu maklumat yang sahih atau rasmi. Tetapi mengadakan lintas langsung mempamirkan bagaimana wartawan menyoal menteri dan pegawai tinggi keselamatan, sesuatu yang tidak wajar. Apa lagi ada menteri atau pegawai tinggi keselamatan tergaru-garu hidung dan perut kelihatan semput, turun naik macam ombak di Lautan Sulu untuk menjawab soalan wartawan.

Satu perkara yang jelas saya nampak mereka tidak biasa berdepan dengan wartawan yang jauh lebih advance segala maklumat berbanding dengan mereka. Wartawan yang dihantar ke Felda Sahabat itu khususnya dari media asing bukan calang-calang. Mereka bukan seperti wartawan Malaysia yang suka menerima sampul berduit atau seronok terlompat-lompat macam lotong bila ada menteri atau PM ajak makan malam.

Bahkan saya percaya wartawan yang berhimpun di Pusat Media Perang di Felda Sahabat 16 itu ada juga di kalangan tentera atau mereka yang pernah berkhidmat dengan tentera dan sekaligus menjadi intelligent.

Paling buruk ada pegawai tinggi polis meninggi suara apabila gagal atau tidak boleh menjawab soalan wartawan kononnya atas dalih keselamatan dan strategi. Tidakkah gambaran atau aksi itu menyebabkan penonton akan hilang rasa hormat kepada polis? Jadi eloklah kalau sidang media yang dibawa secara langsung itu tidak diadakan lagi.

Berbalik kepada tindakan Zahid yang menasihat dan memberi amaran agar jangan ada orang memperlekeh dan memperkecil-kecilkan pasukan keselamatan dan meminta rakyat bersatu padu berkali-kali itu ia menjadi tanda tanya. Siapakah yang memperkecil-kecil dan memperlekehkan tugas dan tanggungjawab pasukan keselamatan kita?

Zahid tidak patut mengulangi perkara yang boleh ditafsirkan sebagai negatif itu. Bila beliau memfokuskan kepada itu seolah-olah ada orang atau pihak yang memperkecilkan pasukan keselamatan. Beliau tidak memberi gambaran spesifik mengenai hal itu dan hanya secara umum. Rasanya semua orang bencikan kepada perang, pembunuhan dan juga pembohongan. Elok Zahid mendedahkan mereka yang memperkecil-kecilkan pasukan keselamatan itu. Kalau perlu tangkap dan dakwa mereka yang jelas tidak mempunyai tanggungjawab ke atas negara.

Dalam penilaian saya yang bukan anggota keselamatan ini, cara menangani dan melawan pencerobohan di Lahad Datu ada sedikit kelam kabut. Pasukan keselamatan seakan buntu untuk bertindak. Mulanya ia diserah kepada polis kemudian dipanggil askar, untuk bergabung atas nama Strategi Lautan Biru melawan penceroboh. Di sini jelas awal-awal lagi kelemahan pasukan keselamatan, risik tentera dan juga SB Polis kerana tidak dapat mengagak dan membaca kekuatan musuh.

Kelam kabut dikatakan kerana tragedi itu tidak dirisik secara terperinci. Sebagai risik mereka seharusnya mendapat maklumat terperinci sebelum bertindak memasuki kawasan musuh atau bersedia untuk menerima tentangan musuh. Laporan dari risikan kedua pasukan itu hendaklah dinilai dan dikaji sebaik mungkin. Tetapi kerana tanggungjawab ini diabaikan maka berlakulah apa yang sudah berlaku itu.

Barang kali benar kata bekas Jeneral (B) Abdul Ghafir Abdul Hamid kegagalan agensi perisikan negara mengesan pencerobohan itu menyebabkan berlaku banyak kehilangan nyawa. Katanya jika anggota perisikan menumpukan kepada usaha mengesan lebih awal akan kemasukan penceroboh dari negara luar, maka insiden di Lahad Datu dapat dielakkan.

Beliau juga menyebut perisikan tentera tidak berfungsi sehinggakan mereka yang masuk tidak diketahui. Ini semua katanya disebabkan unit risikan telah disalah gunakan, bukan untuk merisik untuk keselamatan negara tetapi digunakan untuk kepentingan orang-orang politik tertentu.

Bila menyebut perkara ini saya teringat kepada apa dimaklumkan kepada saya oleh seorang pegawai askar yang berkhidmat di Mindef, di mana seorang pegawai menghabiskan masanya sepanjang minggu bukan di Mindef tetapi di Bagan Dato'. Menghadiri majlis-majlis politik dianjurkan oleh Zahid.

Maklumat ini tidak boleh ditolak begitu saja dan dianggap fitnah. Kalau ketua mereka Zulkefli Zainal Zain boleh berada dalam 'khemah Umno', menghadiri program politik Najib di Kelantan, tentu mereka (pegawai Mindef) itu berfikir kenapa tidak dengan dia juga. Dia juga boleh hadir di Bagan Dato'?

Sebenarnya peranan perisikan atau dikenali dengan MIO ini sudah lama disalah gunakan. Ia bukan saja untuk memastikan orang politik menang tetapi MIO juga membuat risikan dan kerja untuk memenangkan mana-mana orang Umno dalam perhimpunan agung Umno. Keadaan inilah apa yang dimaksudkan Ghafir tadi bahawa perisikan askar telah tidak berfungsi sebagai betul.

Hal atau perkara ini sepatutnya ditegur dan dipantau oleh Zahid. Kalau dia boleh menegur pegawai tentera yang asyik dengan kayu golf, kenapa beliau tidak menegur pegawai-pegawai tertentu yang asyik keluar masuk pejabat orang politik? Boleh jadi juga tindakan beberapa orang pegawai tinggi tentera mengambil sikap terbuka menentang kerajaan dan menyokong Pakatan Rakyat kerana cuak dan tidak tahan dengan keadaan sebegini.

Dalam wawancara dengan televisyen seperti dilaporkan, Zahid menekan supaya rakyat tidak memperlekehkan pasukan keselamatan, khasnya ATM dan hendaklah bersatu memberi sokongan. Menyeru memang mudah, melaksanakan sangatlah payah. Saya mengira kata-kata itu hanya retorik saja bukan lahir dari dhamir yang ikhlas.

Kalau benar Zahid mahukan rakyat bersatu padu dan semua pihak terlibat memberi semangat dan sokongan, beliau harus membuka bilik gerakan perang di Lahad Datu untuk sama dikunjungi pemimpin pembangkang bagi mendapat taklimat. Untuk negara rasanya ia bukan dosa besar. Atau beliau atas sifatnya sebagai menteri pertahanan dan naib presiden Umno boleh mengadakan majlis khas untuk memberi taklimat kepada pimpinan pembangkang mengenai tragedi di Lahad Datu itu.

Kalau Najib takut untuk memanggil sidang khas parlimen, cara lain boleh dilakukan. Soalnya kini Zahid hanya tahu berkata-kata tetapi tidak tahu berbuat. Dia hanya pandai menanam tebu dibibir mulut saja untuk mempesonakan rakyat?

Tidak timbul rakyat tidak memberi sokongan. Apa yang perlu diperbetulkan persepsi orang ramai terhadap tragedi itu. Dengan tidak telusnya penjelasan berhubung kejadian itu serta ada unsur-unsur untuk melindungi fakta menyebabkan orang ramai kebingungan dan jadi keliru. Kekeliruan inilah mungkin ada yang berfikir siapakah yang benar dalam soal ini?

Saya yakin dan percaya kalau rakyat diberi tahu apa yang sebenar, dan dedahkan maklumat secara profesional, bukan saja rakyat akan bersatu memberi sokongan moral, tetapi kalau dikerah untuk menjadi pagar kepada pasukan keselamatan di Lahad Datu pun mereka bersedia. Sebab tanggungjawab menjaga tanah air adalah satu cabang penting bukti seseorang itu berimam. Mereka yang tidak beriman saja yang akan mengkhianati negara, bangsa dan menghina agamanya siang malam, malam siang.

Di sini saya nak cabar Mat, Mat mana lagi kalau bukan Mat Maslan, pergilah tidur di Felda Sahabat 16 atau 17 atau Sahabat 1 atau 2, hatta sekerat hari saja. Dulu katanya tidur di rumah peneroka sebagai satu kegiatannya. Nah teruskan tradisi anda. [wm.kl.2:43 pm 13/03/13]

Jenazah Dua Anggota Tentera Tiba di Kampung Halaman

Posted: 12 Mar 2013 08:36 PM PDT

 BERITA                                                                                                                        

Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Nik Mat turut sama hadir di Lapangan Terbang Sultan Islam Pengkalan Chepa untuk menanti ketibaan dua jenazah anggota tentera yang terkobran di Sabah, Ahmad Huharaiah Ismail dan Ahmad Farhan Roslan.

Beliau diiringi sama oleh TMB Ahmad Yaacob dan beberapa wakil rakyat. Adun Limbongan Drs Zainuddin Awang Hamad yang baru pulang dari Sabah juga turut hadir sama.

Media PB buntut tidak mengkredit kehadiran Tokguru dan pemimpin PAS lain dan hanya menyebut kehadiran pemimpin Umno saja.

Nik Aziz dan Mustapa hadir di air port Pengkalan Chepa.
Mungkin tahap buta huruf dan buta pedal media PB menjadi-jadi menjelang pilihan raya. Gambar di sebelah menunjukkan Nik Aziz memegang tongkat dan berdiri di sebelah kanannya Mustapa Mohamed berkopiah putih tanpa serban sedang menyaksikan jenazah diusung keluar oleh anggota tentera.

Jenazah tiba kira-kira jam 10:00 pagi.

Ahmad Hurairah masih bujang dan dijagka akan bertunang tidak lama lagi lagi maut dalam pertempuran dengan penceroboh di Kampung Sungai Nyamuk, Tanjung Batu Lahad Datu pagi semalam. Dalam pertempuran itu dua penceroboh turut terkorban.

Allahyraham berasal dari kampung Lalang Bayu Pasir Mas, Kelantan iaini satu daerah dengan Pengliam ATM Zulkefli Zainal Abidin. 

Manakala seorang lagi meninggal dunia dalam kemalangan apabila trak ATM yang dinaiki untuk menghantar bekalan terbabas dan jatuh ke dalam gaung. Allahyarham berasal dari Pasir Tumbuh, Kelantan.

Dengan kematian dua lagi anggota keselamatan kita ini, setakat ini sudah sembilan anggota pasukan kita terkorban dalam accident di Lahad Datu. Kedua-dua jenazah sudah sampai ke kampung halaman masing-masing dan waktu ini dalam urusan solat dan pengembumian. Al Fatihah dan salam takzirah dari blog Merah Tinta. [wm.kl.11:32 am 13/03/13]

Pendatang Haram Ke Sabah Memang Milik IC Malaysia

Posted: 12 Mar 2013 08:16 PM PDT

SIASATAN                                                                                                                      

Berbagai-bagai faktor ataupun sebab musabab diperkatakan berhubung dengan tragedi pencerobohan di Lahad Datu Sabah. Macam-macam teori dan pendapat dikemukakan untuk mencari apakah alasan orang "kesultan Sulu" menceroboh Lahad Datu.

Kad pengenalan 'pemberian' bersama kad Umno.
Dalam berbagai-bagai teori dan rumusan itu tidak satu pun disahkan oleh kerajaan. Mungkin kerajaan ada helah dan motif tersendiri tidak mahu menjelaskan apakah sebab sebenar di sebalik tragedi itu dan apakah faktor pendorongnya.

Sikap kerajaan mendiamkan diti menjelaskan punca sebenar berlaku 'kacau ganggu' itu menyebabkan orang ramai keliru dan membuat andaian sendiri yang tidak begitu menyeronokkan banyak pihak.

Bagaimana pun semacam banyak pihak bersetuju tragedi itu disebabkan kelalaian oleh kerajaan sendiri ataupun 'kependekan akal' bekas perdana menteri Mahathir Mohamad yang terlupa untuk melihat apa yang diprojekkan itu menjadi punca atau penyebab sokongan. Projek dimaksudkan itu ialah pemberian kad pengenalan (IC) kepada pendatang haram dari Filipina.

Mungkin semasa melaksanakan projek berkenaan untuk satu tujuan, Mahathir atau pemikir projek berkenaan tidak terfikir akan implikasi dan risiko di sebalik projek berkenaan di kemudian hari. Inilah kesilapan dan kebodohan besar Mahathir Mohamad dan kuncu-kucunya.

Gara-gara projek IC ini membolehkan penceroboh berselindung di sebalik 'legalasi' berkenaan atau menjadikan waris warah mereka sebagai benteng untuk melindungikan diri.

Ini terbukti apabila ada di kalangan penceroboh itu terdiri dari rakyat Filipino yang sudah memilihi kad pengenalan legal negara ini. Terdapat di kalangan penceroboh yang mati katanya memiliki kad pengenalan Malaysia. Sejauh mana kebenaran belum ada kepastian tetapi kerajaan tentu ada maklumat ini. Pihak berkuasa tidak perlu menyembumyikan perkara ini dan patut dijelaskan secara terbuka tanpa memikirkan implikasi politik. Kebodohan diri yang memudaratkan umum elok diakui dan didedahkan.

Kita anggaplah tidak ada penceroboh yang mati itu memegang kad pengenalan Malaysia. Kita anggap mereka semua adalah rakyat Filipino bangsa Tausug?

Tetapi persoalan apakah memang ada rakyat Filipino ada memiliki kad pengenalan Malaysia? Semasa di Sabah, Lahad Datu, Tawau atau Sandakan saya mencari-cari mengenai hal ini. Saya mahu melihat sendiri dokumen yanhg diperkatakan. Hasil dari pencarian saya, saya menemui orang Filipino yang mempunyai kad pengenalan dibawah projek pemberian warganegara itu. Saya namakan dia sebagai Basir Basilang, bukan nama asal.

Menurut Basir kad pengenalan itu dia memperolehinya 17 tahun lepas. Dia mengakui dia datang ke Sabah secara haram. Kad pengenalan itu diperolehi semasa projek pemberian IC itu dilaksanakan. Akui Basir dia ahli parti Umno, "ini kadnya.." katanya sambil menunjukkan kad keahlian Umno.

Menurutnya semua mendarat bersamanya mendapat kad pengenalan secara automatik akan menjadi atau dijadikan ahli Umno diberikan sekeping kad keahlian.


Menceritakan bagaimana proses mendapat kad pengenalan itu, menurut Basir ianya mudah saja. Mulanya nama saya diambil oleh seseorang, gambar lima keping dan mengisi satu jenis borang khas. Tidak sampai dua tahun kad pengenalan itu diserahkan kepada saya bersama kad keahlian Pertubuhan Melayu Kebangsaan Bersatu (Umno).

Ditanya sejauh manakah kad pengenalan itu valid, ia sama dengan status kad pengenalan warganegara asal Sabah, boleh beli hartanah dan juga mengundi dalam pilihan raya. "Berbini juga boleh," katanya bergurau.

Basir mengakui dia pernah mengundi dua kali dalam pilihan raya.

Berdasarkan sumber berkenaan maka jelas apa diperkatakan bahawa rakyat Filipina diberikan kad pengenalan dan boleh membuang undi ternyata benar. Jangka hayat kad pengenalan itu bukan saja untuk sekali pakai, tetapi berlaku selama-lamanya.

"Apakah kad ini tidak laku lagi selepas 10 tahun?" tanya saya. "Oh tidak, iya berguna selama-lamanya, dalam pilihan raya akan datang nama saya masih didaftar sebagai pengundi," ujar Basir sambil mengatakan 'kali ini' dia akan mengundi Pakatan Rakyat.

Saya tidak mahu membuat andaian apakah telahan mengatakan di kalangan penceroboh itu ada yang memiliki kad pengenalan Malaysia atau tidak. Seperti mana dijelaskan oleh pihak keselamatan dan berkuasa, mereka tidak berjumpa apa-apa dokumen di tubuh penceroboh yang dibunuh dalam Operasi Daulat? Jadi pihaknya tidak dapat mengenal inditatas penceroboh itu apakah mereka orang Filipino yang diberikan kad pengenalan atau tidak. [wm.kl.10:58 am 13/03/13]

Siapa Biadap, TV3 Atau Tian Chua?

Posted: 12 Mar 2013 05:43 AM PDT

MENCANAK MINDA                                                                                                    

Tian Chua tidak perlu gentar.
Tokoh politik pembangkang yang menjadi sasaran UBN hari ini ialah Naib Presiden PKR Tian Chua. Isunya ialah kononnya Tian Chua menganggap tragedi pencerobohan di Lahad Datu adalah sandiwara. Tiap malam media PB memainkan isu berkenaan. Tv3 dalah media paling ke depan dan hero di dalam membawa isu ini. Cara tv itu memainkan isu berkenaan sudah tidak waras lagi.

Tv itu seakan melihat Tian Chua lebih bahaya daripada penceroboh Sulu di Sabah. Cara tv mengecam Tian Chua dengan menemu ramah orang-orang tertentu agar mengecam Tian Chua lebih hebat daripada kecamannya kepada penceroboh Sulu.

Tv3 hanya beberapa hari saja menemu ramah orang ramai untuk pengaruhi pemikiran awam agar benci kepada pencerobohan di Lahad Datu itu, sebaliknya mengenai Tian Chua ini berhari-hari dan masih belum ada tanda-tanda ianya akan dihentikan. Mungkin episod Tian Chua akan berpanjang selagi tiadak tokoh oposisi sebagai pengganti.

Orang yang dijadikan koresponden pula berbagai lapisan masyarakat, dari orang awam yang kencing tidak basuh sampailah kepada bekas-bekas pegawai keselamatan, dari polis maupun tentera. Kenapa?

Baru sekejap tadi tv itu mengendorcekan pendapat seorang bekas polis menganggap Tian Chua sebagai biadap mengeluarkan kenyataan itu. Individu itu juga meminta Tian Chua menjaga mulutnya. Saya rasa yang biadap dalam hal ini bukan Ahli Parlimen Batu itu tetapi individu berkenaan dan juga tv3.

Saya tidak tahu apakah individu itu faham dan mendengar apa sebenarnya yang diucapkan Tian Chua atau ia hanya mendapat maklumat dan terjemahkan tv3 saja? Rasanya begitulah. Adalah tidak adil untuk mengecam Tian Chua tanpa mendengar versi sebenar apa yang beliau ucapkan.

Tian Chua sudah pun menafikan tuduhan ke atasnya dan telah pun mula mengambil tindakan undang-undang kepada bloger yang memfitnahnya? Bila tindakan sudah diambil tidak sepatut lagi ia dikecam tunggulah apa keputusan mahkamah nanti. Nampak orang negara ini tidak kira bekas kerajaan atau yang memang sedia kala bodoh tidak tahu menghormati undang-undang dan hak asasi orang lain.

Saya mencabar Tv3 agar menyiarkan video ucapan Tian Chua berhubung apa yang didakwakan itu? Jangan hanya meminta orang awam mengulas versi yang sudah dikotori oleh pihak-pihak tertentu. Tv3 sepatutnya menjaga kredibiliti dan kod etikanya sebagai media yang sepatutnya.

Sekiranya tv3 berkenaan berniat dengan menyiarkan kenyataan Tian Chua itu bagi membangkitkan kemarahan keluarga anggota keselamatan dan orang ramai, ia adalah tindakan sia-sia. Apabila ia dibuat secara bertubi-tubi semacam orang tidak siuman apa yang hendak di psywarkan itu tidak mendatangkan hasil lagi sebaliknya apa yang berlaku orang akan marah dan ludah skrin tv berkenaan.

Sepatutnya tv berkenaan membuat kajian menyeluruh sejauh manakah kebekesanan isu-isu yang dibangkitkan dalam membantu UBN. Ini kerana ada isu-isu yang dibangkitkan tidak relevan dan seolah-olah ia disengajakan untuk memburukkan kepercayaan dan sokongan orang ramai kepada UBN. Isu yang dimainkan bukan menguntungkan UBN tetapi melabakan pihak oposisi.

Sekali lagi diminta tv3 akan menyiarkan petikan ucapan Tian Chua berhubung apa yang dituduhkan itu. Kegagalan ini menyebabkan tv3 berbohong dan biadap. Dan kalau benar Tian Chua mengeluarkan kata-kata seperti dilaporkan itu wajar kita semua membelasah Tian Chua.  [wm.kl.8:41 pm 12/03/13]


Seorang Anggota Tentera Kita Korban

Posted: 12 Mar 2013 05:19 AM PDT

TERKINI                                                                                                                         

Hari ini seorang lagi anggota keselamatan kita maut dalam pertempuran di Sabah. Anggota yang meninggal itu ialah anggota ATM Mohd Hurairah yang berasal dari Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas Kelantan. Hurairah maut dalam pertempuran dengan penceroboh yang berlaku di Kampung Sungai Nyamuk, Tanjung Batu pagi ini.

Menurut Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan akhbar tengah hari tadi jenazah anggota itu akan diterbangkan ke Semanjung esok.

Dengan gugurnya seorang lagi pasukan keselamatan kita ia menjadikan sembilan yang terkorban, manakala di pihak penceroboh 57 orang. Al Fatihah kepada roh Hurairah dan salam takzirah kepada keluarganya. [wm.kl.8:16 pm 12/03/13]

Tiada ulasan: