Sabtu, 30 Mac 2013

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Mengundi dan kebebasan memilih pemimpin adalah cabang hak asasi manusia — Nisar Mohammad Ahmad

Posted: 30 Mar 2013 02:15 AM PDT



30 MAC — Dengan tempoh pembubaran automatik Parlimen Malaysia hanya berbaki kurang lebih sebulan lagi iaitu pada penghujung April 2013, rata-rata rakyat Malaysia dilihat semakin 'galak' bercakap tentang pilihanraya umum ke-13 (PRU13) yang akan dipanggil pada bila-bila masa.

Dari lobi parlimen, pejabat-pejabat kerajaan, kampus-kampus universiti, sekolah-sekolah sehinggalah ke warung-warung kopi, dari Perlis sehinggalah ke Sabah, topik perbualan utama rakyat jelata mutakhir ini lebih menjurus kepada 'cakap-cakap PRU13'.

Apa jua isu, tragedy dan kejadian yang berlaku dalam negara ketika ini akan diolah, dianalisa dan dikomen oleh pelbagai pihak berdasarkan aspirasi politik masing-masing untuk mendapatkan laba politik sebagai persediaan menghadapi PRU.

Tidak kurang juga para penganalisis politik, samada yang bertauliah di universiti atau yang 'tak bertauliah' di warung-warung kopi yang tidak melepaskan peluang memberikan komentar dan pandangan tentang tarikh PRU13 dan trend pengundian berdasarkan hasil kajian dan kecenderungan politik masing-masing. 

Entah kenapa kedatangan PRU begitu mengujakan. Manakan tidak, kesempatan untuk menunaikan hak mengundi ini hanya datang sekali setiap lima tahun. Sudah pasti ia amat dinanti-nantikan oleh rakyat jelata terutamanya pengundi-pengundi baru. Untuk nota, mengikut statistik terkini yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), jumlah pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRU13 adalah seramai 13.1 juta orang dengan 2.9 juta daripadanya adalah pengundi baru.

Pastinya, apa jua pilihan yang dibuat oleh 13.1 juta pengundi berdaftar ini akan memberi kesan kepada keseluruhan 28 juta rakyat Malaysia.
Meskipun tarikh pembubaran parlimen masih menjadi teka-teki, bendera-bendera parti politik yang bakal bertanding sudah sedia terpasang di pokok dan jalan di seluruh pelosok negara. 

Media cetak dan elektronik tidak terlepas peluang menghiasi muka-muka hadapan dan berita utama mereka dengan berita politik dan pilihanraya. PRU umpama pesta dan perayaan besar yang bakal disambut oleh semua rakyat Malaysia khususnya dalam menunaikan hak politik sebagai rakyat Malaysia sebagaimana yang dijamin oleh perlembagaan. 

Perkara 119 Perlembagaan Malaysia memperuntukkan syarat-syarat menjadi pengundi sekaligus memberikan jaminan kepada rakyat Malaysia untuk menunaikan hak memilih pemimpin.

Perlembagaan tidak menyebut parti atau pihak mana yang perlu dipilih. Justeru, siapa atau pihak mana jua yang dipilih oleh rakyat Malaysia sebagai pemimpin adalah tidak bercanggah
dengan perlembagaan. Sesungguhnya hak dan kebebasan memilih pemimpin ini adalah suatu cabang daripada hak asasi manusia yang perlu dihormati dan dilindungi. 

Namun, sejauhmana kebebasan rakyat memilih pemimpin adalah suatu yang memerlukan perbahasan lanjut kerana ia berkait dengan mentaliti dan trend pilihanraya negara. Sebagai contoh, di Malaysia, terdapat kecenderungan untuk menyamakan parti politik dan kerajaan atau negara hanya kerana parti politik itu menguasai kerajaan di dalam PRU sebelumnya. Ia menyebabkan mentality rakyat menganggap pertembungan di dalam pilihanraya adalah di antara Kerajaan melawan Pembangkang, bukannya parti politik melawan parti politik.

Untuk memahami dengan lebih jelas, saya ingin ambil contoh suasana di peringkat DUN Selangor dan Parlimen di peringkat Persekutuan memandangkan pemimpin di kedua-kedua peringkat kerajaan tersebut diwakili oleh gabungan parti politik yang berbeza. Di Selangor, perlu difahami bahawa Pakatan Rakyat (PR) adalah parti politik dan Selangor adalah negeri.

Meskipun Pemimpin PR dipilih oleh rakyat Selangor untuk menjadi peneraju Kerajaan Selangor di dalam pilihanraya yang lalu, menjatuhkan PR di dalam pilihanraya akan datang tidak bererti menjatuhkan negeri Selangor, menghuru-harakan atau mengancam keselamatan negeri

Selangor. Pihak yang menentang PR di dalam pilihanraya adalah musuh politik PR dan tidak boleh dianggap sebagai musuh negeri Selangor. Musuh PR dan musuh Selangor adalah dua perkara berbeza. Maka, menumbangkan PR dan meruntuhkan negeri Selangor juga adalah dua perkara berbeza.

Begitu juga, Barisan Nasional (BN) adalah parti politik dan Malaysia adalah negara. Keduanya adalah entiti berbeza walau saling berkaitan. Meskipun pemimpin utama BN adalah juga pemimpin utama Kerajaan Malaysia, usaha menumbangkan pemimpin-pemimpin ini dan BN dalam pilihanraya tidak boleh dianggap sebagai usaha menjatuhkan atau menghuru-harakan Malaysia. Pihak yang menentang BN tidak boleh dilabel musuh negara kerana mereka hanya musuh politik BN. Musuh BN dan musuh negara adalah dua perkara berbeza.

Bahkan persaingan politik termasuk menentang BN melalui pilihanraya ini dibenarkan oleh undang-undang. Ini kerana mengadakan pilihanraya adalah sebahagian daripada syarat asas sesebuah negara demokrasi. Jika menentang BN adalah suatu yang mengancam dan membawa malapetaka kepada negara, sudah pasti PRU akan diharamkan. Bukankah PRU itu membuka ruang untuk BN ditentang?

Apabila pilihanraya berlangsung, pertandingan pihak-pihak di dalamnya ialah di antara parti politik melawan parti politik bukannya Kerajaan melawan Pembangkang. Ini kerana, setelah Parlimen dan DUN dibubarkan, tempoh mandat untuk kerajaan sediaada telah tamat dan tiada pihak yang sepatutnya mendakwa diri mereka sebagai Kerajaan sehinggalah keputusan pilihanraya berikutnya diumumkan. Ini kerana jawatan Menteri Besar di peringkat negeri dan Perdana Menteri di peringkat persekutuan dilantik kerana penjawat jawatan tersebut telah terpilih menjadi ADUN atau Ahli Parlimen.

Apabila DUN dan Parlimen sudah dibubarkan, maka dengan sendirinya status ADUN dan Ahli Parlimen akan luput sekaligus jawatan MB dan PM yang disandang. Dalam tempoh tersebut, suatu entiti berkecuali yang di sesetengah negara dipanggil Kerajaan Sementara atau 'Caretaker Government' seharusnya diwujudkan untuk menguruskan pentadbiran negara. Justeru, semasa tempoh berkempen seharusnya tiada pihak yang menggunakan kelebihan atau kemudahan kerajaan di peringkat negeri mahupun persekutuan samada dalam bentuk jawatan, kewangan, agensi dan sebagainya untuk kepentingan parti politik masing-masing.

Samada MB Selangor atau PM Malaysia, kedua-duanya tidak boleh lagi menggunakan kelebihan jawatan tersebut sebagaimana sebelumnya untuk berkempen sebaik sahaja DUN Selangor dan Parlimen Malaysia dibubarkan. Ia adalah tidakadil kepada pihak yang tidak mempunyai kelebihan tersebut bahkan bercanggah dengan asas demokrasi yang menitikberatkan pertandingan pilihanraya berteraskan prinsip 'level playing field'.

Hakikatnya, pilihanraya adalah medan untuk rakyat jelata membuat pilihan siapa yang mahu dipilih untuk berkhidmat kepada mereka untuk tempoh lima tahun mendatang.

Rakyat membayar pelbagai bentuk cukai seperti cukai tanah, cukai pintu, cukai pendapatan, cukai jalan, duti import, duti eksport dan pelbagai bentuk cukai yang lain yang sebahagian hasil kutipan cukai itu digunakan untuk membayar gaji menteri dan pemimpin yang dilantik untuk melaksanakan program pembangunan dan infrastruktur bagi kemudahan semua rakyat.

Tempoh lima tahun adalah tempoh untuk rakyat membuat penilaian sejauhmana janji dan manifesto yang dibuat semasa pilihanraya ditepati. Sekiranya rakyat tidak berpuashati dengan prestasi pemimpin sediada yang mereka telah pilih, undang-undang memberi hak dan kebebasan kepada rakyat melalui pilihanraya untuk memilih mana-mana pemimpin lain yang mereka sukai. Usaha mengubah pemimpin sediada, samada kepimpinan dalam Kerajaan Selangor mahupun Kerajaan Malaysia adalah usaha yang dibenarkan undang-undang.

Tuntasnya, setiap rakyat perlu diberi kebebasan yang mutlak untuk menentukan sendiri pemimpin pilihan mereka bersesuaian dengan falsafah pilihanraya itu sendiri. Let them freely exercise their political rights to choose their own leaders who will serve them better. Namun,  jika ada unsur paksaan, intimidasi, ancaman, ugutan, tekanan dan sebagainya terhadap rakyat – sehingga menyebabkan kebebasan memilih itu dinafikan, barangkali perkataan pilihanraya perlu ditukar kepada 'paksaraya'.

Selamat mengundi kepada seluruh rakyat Malaysia! ` Malaysian Insider

Tiada ulasan: