Rabu, 20 Mac 2013

AKU INGIN BEBAS

AKU INGIN BEBAS


Raja Muda Sulu, Agbimudin @ Azzimuddie Kiram Adalah Rakyat Malaysia dan Kakitangan Awam

Posted: 19 Mar 2013 08:53 PM PDT


Sejak pencerobohan di Lahad Datu berlaku, pelbagai spekulasi timbul akibat maklumat yang samar-samar yang diberikan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak, sebagai penjawat awam tertinggi yang bertanggungjawab kepada rakyat.

Salah satu persoalan yang paling besar ialah latar belakang kumpulan bersenjata ini. Walaupun secara rasminya mereka diisytiharkan sebagai orang asing dari satu kumpulan yang mewakili Kesultanan Sulu, banyak spekulasi timbul apabila ada tokoh-tokoh pimpinan tertentu dari kumpulan itu yang dikatakan rakyat Malaysia.

Perkara ini penting kerana ia membayangkan kesan sampingan Projek IC yang dikaitkan dengan Tun Mahathir Mohamad dan setakat ini disahkan oleh keterangan-keterangan kepada Suruhanjaya diRaja Mengenai Kerakyatan di Sabah. Wujudnya tokoh-tokoh dari kumpulan bersenjata Sulu ini dari kalangan rakyat Malaysia mengesahkan keresahan rakyat bahawa pemberian kerakyatan bagi tujuan politik tanpa melalui proses yang sah mengundang ancaman keselamatan.


Sejak tercetusnya pencerobohan di Lahad Datu, KEADILAN telah mengadakan pertemuan dengan penduduk tempatan untuk cuba mendapat maklumat lanjut mengenai latar belakang tokoh-tokoh ini. Salah seorang yang sering disebut ialah ketua kumpulan itu sendiri yang menggelarkan dirinya Raja Muda Sulu, bernama Agbimudin @ Azzimuddie Kiram.

Maklumat awal penduduk tempatan menyatakan bahawa dia pernah bertugas sebagai pegawai kerajaan di Pejabat Daerah Kudat dan mengesahkan bahawa dia adalah rakyat Malaysia setelah diberikan kad pengenalan.

Dari maklumat tersebut, Timbalan Setiausaha Agong KEADILAN, Sdr Darell Leiking telah menjejaki maklumat kakitangan Kerajaan Negeri Sabah di beberapa tempat termasuklah di Jabatan Arkib Negara Sabah.

Dari maklumat Senarai Kakitangan 1975, Perkhidmatan Awam Sabah seperti yang disimpan di Jabatan Arkib Negara Sabah, disahkan bahawa Datu Agbimudin Kiram tersenarai sebagai Pegawai Pentadbir Muda di Pejabat Daerah Kudat dengan lantikan bermula 1 Mac 1974 bergaji RM610 sebulan.


(Sila rujuk dokumen Senarai Kakitangan 1975 yang disertakan bersama)

Download (PDF, 1.4MB)





Dengan maklumat ini, Dato' Seri Najib Tun Razak tidak lagi boleh bersembunyi disebalik alasan keselamatan nasional untuk mengelak dari menjawab soalan-soalan yang berlegar di pemikiran rakyat:

1. Berapa orang setakat ini dari kalangan penceroboh bersenjata merupakan rakyat Malaysia yang berasal dari Filipina yang diberikan kad pengenalan biru seperti Agbimudin Kiram?
2. Berapa orang setakat ini dari kalangan penceroboh bersenjata rakyat Malaysia itu adalah ahli Umno?
3. Kenapa Dato' Seri Najib Tun Razak tidak berterus terang dengan rakyat bahawa ketua kumpulan bersenjata ini adalah rakyat Malaysia berasal dari Filipina yang diberikan kad pengenalan biru?

Penemuan ini membuka dimensi baru mengenai pencerobohan ini yang jelasnya mengesahkan hubung kait di antara pencerobohan bersenjata dengan Projek IC yang dikaitkan dengan Tun Mahathir Mohamad dan Umno.

Untuk mengupas perkara ini dengan lebih lanjut, KEADILAN akan meganjurkan Bicara Kedaulatan dan Keselamatan Negara (BKKN) dalam bentuk forum yang disertai oleh Leftenan Jeneral (B) Dato' Abdul Ghafir Abdul Hamid (mantan Timbalan Panglima Tentera Darat) dan Tuan Yusuf Barji (mantan Penolong Pesuruhjaya Polis/ACP dan Pengarah Cawangan Khas PDRM Sabah) di Kuala Lumpur, Sungai Petani dan Johor Bahru.

BKKN yang pertama akan berlangsung di Dewan Dato' Ahmad Razali Ampang pada hari Khamis, 21 Mac 2013 jam 9 malam dan akan dipengerusikan oleh saya sendiri. Melaui BKKN, persoalan hubungkait Projek IC dan ancaman keselamatan akibat dari semborono Umno itu akan dikupas dengan sejelasnya, selain dari isu-isu kedaulatan dan keselamatan negara yang lain.
KEADILAN menunggu jawapan dari Dato' Seri Najib Tun Razak dan Tun Mahathir Mohamad agar perkara sebenarnya dapat dijelaskan kepada rakyat.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

DARELL LEIKING
Timbalan Setiausaha Agong

20 MAC 2013

JAUHILAH POLITIK AIBKAN MARUAH

Posted: 19 Mar 2013 06:04 PM PDT

KECENDERUNGAN mengaibkan pihak lawan dengan pelbagai cerita berupa tohmah yang belum tentu akan kesahihannya bagaikan sudah  lumrah dan sebati dalam kerangka politik kepartian masa kini.

Setiap pencacai parti-parti politik kini tidak kira pemerintah mahupun pembangkang bagaikan berlumba-lumba mendedahkan aib pihak lawan. Menariknya dalam keghairahan mendedahkan aib lawan, sering kali juga mereka suka menuding jari menuduh pihak lain yang melakukan penyimpangan tersebut.

Ia samalah seperti pencuri menuduh dan cuba meyakinkan orang ramai bahawa orang lain yang mencuri. Memanglah tidak ada pencuri mengaku dia mencuri. Tapi sikap menuding jari pada orang lain demi mengaburi mata orang ramai akan hakikat kebobrokan dirinya pastilah tidak akan membawa apa-apa makna.

Namun apa boleh buat kerana demikianlah realiti budaya politik masa kini yang bagaikan sudah semakin lompong akhlak dan akal-budi Islami sehinggakan yang mengakar adalah budaya songsang yang langsung tidak berpaksikan agama dan hukum moral manusiawi.

Bagi penulis budaya politik sebegini tentunya tidak cocok bahkan merupakan tragedi kepada politik Islam yang seharusnya berteraskan al-Quran dan as-Sunnah yang sejati. Jika ditelusuri prinsip Islam, membuka aib sesama Islam adalah suatu yang amat keras dilarang ALLAH sebagaimana ayat 12 daripada Surah Al-Hujurat:

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya sebahagian besar prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan aib orang lain; dan janganlah kamu mengumpat sebahagian yang lain."

Menjaga aib sesama Islam begitu dititikberatkan oleh junjungan Rasulullah SAW sehinggakan pernah diriwayatkan satu kisah selepas selesai solat Asar di Masjid Quba', seorang sahabat lalu mengundang Nabi SAW berserta jemaah menikmati hidangan daging unta di rumahnya. Ketika sedang makan, terhidu para sahabat suatu bau yang kurang menyenangkan. Wajah Nabi SAW sedikit berubah tanda tidak selesa.

Maka tatkala waktu Maghrib hampir masuk, sebelum majlis bersurai, Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa makan daging unta, hendaklah dia berwuduk!". Mendengar sabda Baginda ini, maka seluruh jemaah tadi mengambil wuduk. Maka terhindarlah aib orang yang terbuang angin di khalayak tadi.

Begitulah tingginya peribadi Nabi SAW yang begitu mengerti kesan psikologi seseorang yang mungkin menerima aib daripada perbuatannya. Bahkan kesan psikologi dimalukan mampu mencetuskan kekeruhan bahkan merungkai hubungan persaudaraan sesama Islam yang menjadi teras kekuatan umat.

Sebab itulah Islam cukup menitikberatkan aspek menjaga aib sesama saudara seIslam sehinggakan jika seseorang melakukan maksiat kepada ALLAH secara sembunyi selagi tidak merugikan orang lain seperti perbuatan dirinya meminum arak, berzina dan lain-lain, maka dikehendaki ditutupi aib tersebut, bahkan tidak boleh dihebahkan kepada orang lain.

Sekalipun diketahui maksiat sebegini dilakukan oleh saudaranya, maka kewajipan amar ma'ruf nahi mungkar, iaitu menyeru yang benar dan mencegah kemungkaran tetap wajib dilaksanakan namun jangan disebarluaskan.

Malangnya, budaya politik kepartian masa kini amat jauh daripada garis panduan yang ditetapkan syarak. Pendukung-pendukung parti tidak kira pemerintah mahupun pembangkang, yang berlabel Islam ataupun tidak, sering kali melakukan penyimpangan sebegini demi fatamorgana kuasa yang begitu mengasyikkan. Masing-masing tampak begitu rakus menyelak kain dan mendedahkan aib antara satu sama lain yang hakikatnya belum tentu berpaksikan pada kebenaran mahupun kepalsuan.

Lebih menyedihkan lagi ada yang sanggup menghalalkan tindakan bobrok sebegini dengan menggunakan pelbagai justifikasi agama dengan hujahan beralaskan ayat-ayat al-Quran terpilih ikut selera politik masing-masing.

Semuanya sanggup dilakukan demi untuk menang pilihan raya dan berkuasa di Putrajaya.  Tanpa disedari, hari ini 'Putrajaya' bagaikan zikir wajib yang sering diratibkan dalam minda para pendukung hingga segala prinsip agama dan akhlak sanggup dipertaruh dan digadaikan.

Justeru, penulis menyeru marilah kita kembali kepada ajaran Islam sebenar yang seharusnya menjadi teras dalam budaya pempolitikan umat Islam. Ini menuntut setiap kita agar ikhlas dan jujur membanteras budaya politik mengaibkan maruah yang hakikatnya membawa kebinasaan.

Tiada ulasan: