SIASAH |
Nick Xenophon tidak bantu Pakatan Rakyat Posted: 19 Feb 2013 01:20 AM PST Nick Xenophon, senator dari Australia yang dihalang memasuki Malaysia tempoh hari tidak membantu usaha Pakatan Rakyat dalam menuntut proses demokratik yang lebih baik, malah kelihatan lebih menjejaskan usaha PR ini. Sokongan kuat Xenophon kepada PR, dan hubungan akrab beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim memudahkan pemerintah membuat kaitan sokongan asing terhadap parti-parti PR. Editor luar negara akhbar The Australian, Greg Sheridan membuat kenyataan yang wajar dalam tulisannya mengkritik Xenophon, kerana Xenophon telah menunjukkan sokongan yang sangat kuat kepada Anwar dan PR. Tindakan ini sama dengan tindakan John Malott, bekas duta AS ke Malaysia yang menampakkan sokongan sangat kuat kepada Anwat hingga berterusan menghantar tulisan ke media untuk menunjukkan sokongan kepada Anwar dan kebencian kepada pemerintah Barisan Nasional, sehingga memudahkan tuduhan bantuan asing dilemparkan kepada PR. Tindakan Xenophon telah mencetuskan sedikit ketegangan dalam hubungan Kuala Lumpur-Canberra, tetapi berjaya dikawal dengan cepat, termasuk melalui kenyataan Menteri Hal Ehwal Luar Australia, Bob Carr, yang walaupun mengkritik halangan kemasukan itu, menegaskan hubungan kedua-dua negara kekal baik. Dalam hal ini, kerajaan Australia kelihatan berusaha untuk tidak mengeruhkan lagi suasana, mungkin kerana menyedari tindakan berlebihan oleh Xenophon dan supaya tidak terseret dalam satu krisis yang tidak perlu, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, ketika beberapa kerjasama penting sedang dibina melibatkan kedua-dua negara. Dalam keadaan ini juga, Canberra tidak mahu mengambil risiko dengan menunjukkan sokongan kepada gabungan PR secara terbuka, walaupun mungkin bersetuju dengan banyak pendirian gabungan itu. Carr sebelum ini menolak untuk terlibat dalam membantu memastikan pilihan raya di Malaysia berjalan dengan bersih, atas permintaan Anwar sendiri. "Pilihan raya Malaysia ialah hal rakyat Malaysia. Sangat sukar untuk Australia berbuat apa-apa tentang bagaimana pilihan raya tersebut dijalankan, seperti juga sukar untuk Malaysia atau mana-mana kerajaan mempengaruhi pilihan raya di Australia. Kita bukan pihak berkuasa pilihan raya di Malaysia," kata Carr dalam satu wawancara dengan Perbadanan Penyiaran Australia, ABC. Episod ini juga memperlihatkan usaha untuk menarik sokongan daripada negara-negara maju, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti yang dijangka sengit. Kerajaan-kerajaan asing seperti Australia ini dinilai sebagai berkredibiliti dan dapat diterima pandangan mereka terhadap proses pilihan raya di negara ini. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan