Jumaat, 1 Februari 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Skandal Shafie-Zahida: Bekas Pemandu Zahida Rafik Dipanggil Ke SPRM

Posted: 01 Feb 2013 01:14 AM PST


Bekas pemandu kepada pelakon Zahida Rafik hari ini dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang ditemani Pengerusi Biro Undang-undang PKR Latheefa Koya serta ibu saudaranya, yang juga penyanyi terkenal tahun 1980-an, Dayangku Intan memasuki bangunan SPRM di Putrajaya kira-kira jam 10 pagi.

Latheefa yang ditemui pemberita di luar bangunan SPRM berkata, beliau tidak tahu atas tujuan apa Azman dipanggil.

Bagaimanapun beliau percaya ianya melibatkan kes dakwaan Azman sebelum ini yang melibatkan Zahida dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal.

"Saya tak tahu kenapa dia dipanggil. Tapi saya percaya benda ni ada kaitan dengan dakwaan dia sebelum ini tentang Shafie dan Zahida. Kena tunggulah," katanya.

Pada 16 Mei tahun lalu, Azman (tengah) dilaporkan mendakwa, beliau pernah menemani Zahida untuk memasukkan duit berjumlah RM1 juta yang didakwa diberikan oleh Shafie.

Shafie dan Zahida sebelum ini telah menafikan dakwaan Azman dan PKR serta mengugut akan menyaman pihak-pihak yang didakwa cuba menfitnah mereka.

Sementara itu, Azman bersama Latheefa keluar dari bangunan SPRM kira-kira jam 1.17 tengahari.

Pada sidang media yang diadakan selepas itu, Latheefa memberitahu, Azman dipanggil ke SPRM sebagai saksi dalam kes melibatkan dakwaan Zahida terhadap bekas pemandunya itu.

Menurut Latheefa lagi, Azman memberi keterangan kira-kira satu jam setengah.

Bagaimanapun, beliau berkata, kandungan keterangan itu tidak boleh didedahkan kerana terikat dengan Akta Anti Penggubahan Wang Haram (AMLA).

"Keterangan telah diambil selama kira-kira satu jam setengah. Tapi kita tak boleh dedahkan sebab terikat dengan AMLA.

"Saya percaya Azman dipanggil hari ini berkaitan dengan dakwaan Zahida yang mengatakan Azman melarikan wang RM200 ribu dan pendedahan Azman mengenai wang RM1 juta tahun lalu.

"Tetapi sehingga hari ini beliau belum didakwa atau dituduh di mahkamah," kata Latheefa.

Menurut Latheefa lagi, Azman telah dipanggil untuk memberi keterangan pada 29 Januari lalu tetapi memilih pada hari cuti am, hari ini kerana kesibukan masa.

Katanya lagi, Azman dipanggil ke SPRM berkemungkinan daripada laporan yang dibuat oleh Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berhubung isu tersebut sebelum ini.

Ulasan GB

Kita tunggu dan lihat siasatan SPRM.

Apakah langkah SPRM ini telus untuk menyiasat skandal Shafie Apdal-Zahida Rafik atau untuk membersihkan nama Shafie Apdal sepertimana kes lembu NFC dulu.

UMNO Cepat Berkubur Bila Polis Terus Bertindak Berat Sebelah & Tidak Profesyenal

Posted: 31 Jan 2013 10:52 PM PST


#KL112 mencatatkan sejarah tersendiri. Tidak ada siapa yang boleh memberikan angka tepat mengenai berapa ramai yang berhimpun dalam dan di sekeliling stadium pada 12 Januari lepas. Namun seperti biasa angka ini akan dijadikan bahan oleh regim untuk perkecil himpunan rakyat ini. Mulanya regim mengumumkan tidak lebih dari 30,000 orang sahaja, namun jumlah ini disentak dengan pengumuman polis yang menyatakan pihak penganjur bersalah langgar syarat kebenaran iaitu melebihi 30,000 orang. Apa pun penafian kebangkitan rakyat dengan regim bermain nombor mudah dipatahkan dengan gambar himpunan.

Isunya bukan sekadar jumlah, bagi regim ini makin panik ialah di manakah agensi seperti PDRM berada? Di mana-mana sejarah kebangkitan rakyat menghumban regim tua, di mula kebangkitan pasti polis atau tentera alat penting regim untuk mematahkan kebangkitan rakyat tetapi apabila hakikat sebenar bahawa betapa regim membawa kerosakan dan sudah tidak boleh diselamatkan lagi maka saat kemenangan kebangkitan rakyat akan ditandakan dengan bermulanya (selalunya sebahagian) dari polis atau tentera sedia untuk 'mengkhianati regim' dan duduk bersama rakyat. Tanda ini agak jelas ketika Himpunan #KL112 atau HKR baru-baru ini.

Bagaimana ketika Najib diluar negara, pimpinan utama polis selesa duduk berbincang dengan pimpinan rakyat di Bukit Aman sehingga persetujuan untuk mencipta sejarah himpunan rakyat paling aman dan paling ramai sejak merdeka. Namun setelah Najib pulang dari luar negara 'mungkin' polis ditekan dan dipertikai mengapa PDRM berani memberi jaminan sedemikian, maka sedikit gangguan dimunculkan iaitu surat cadangan mengalih lokasi himpunan ke Bukit Jalil.

Akhirnya semua berjalan sempurna. Ini membuktikan selama ini jika tanpa campur tangan regim (baca : Umno/Bn) memperdaya PDRM pasti semua himpunan aman dan baik dan hubungan PDRM dan rakyat akan terpelihara juga dihormati.Depan mata saya bagaimana selepas himpunan ada yang mengutip sampah, ramai yang berjalan berkumpulan tua / muda mendekati anggota polis dan bersalaman.

Masih ingat gelak tawa gurauan anggota polis yang berdialek Borneo di stesen LRT Stadium yang mengatakan 'macam hari raya' apabila semua orang bersalaman dengannya dan kawanya pula bercakap 'aik macam menteri pula rasa'. Semua jadi tertawa.

SAMM bergerak dari Kg. Baru ke Stadium Merdeka. Kami sudah putuskan satu perarakan yang meriah dengan lagu – lagu bermasej 'rakyat', selawat, nasyid dan sebagainya. Ribuan yang bersama perarakan SAMM ke Stadium Merdeka pasti bergembira sebagai sinambungan program mengira detik di Kampung Baru, KL malam sebelum itu. Masih teringat lagi demonstran mengambil gambar sambil sama menari dengan anggota trafik mengikut muzik lagu Korupsi (one buck short) dan bongkar (iwan Falls) diselang seli lagu Ubah Jang Ubah. watak yang sama tetapi imej berbeza ketika Bersih 3.0, yang bezanya ialah campur tangan jahat Bn.

Namun regim ini tidak pernah akur dengan kebangkitan rakyat. Isu bawa kanak-kanak pula dinaikkan. Ada maklumat dari dalam PDRM menyatakan keluhan mereka kerana dipaksa melakukan kerja bodoh iaitu meneliti gambar peserta #KL112 dengan kanak- kanak. Semalam Polis mula mengedarkan kononya gambar peserta yang membawa kanak-kanak.

SAMM menyeru semua peserta himpunan yang terlibat supaya mendapatkan nasihat guaman dahulu sebelum bertindak. Namun jauh dari itu SAMM bersimpati dengan polis yang dipaksa regim untuk bertindak sedemikian. Sehari dua ini apabila pimpinan PDRM WP muncul dengan pengumuman iba bapa bawa anak ini ramai yang tertawa dan tidak kurang kecewa. Ada yang mengatakan dari cari ibu bapa yang bawa anak lebih baik PDRM guna masa tersebut untuk cari ibu bapa yang buang anak atau anak hilang.

Namun SAMM mengajak orang ramai jangan menyalahkan PDRM 100 peratus dalam perkara ini, mereka sedar tindakan mereka ini bakal ditertawakan dan buang masa tetapi mereka dipaksa oleh regim BN yang sudah hilang punca.

Hari yang sama 12 Januari 2013, Najib juga melakukan himpunan di Semenyih. Untuk mengumpulkan ramai orang maka bertrelar beras diagih percuma , ibu bapa ramai yang membawa anak. Dalam berebut beras ada yang pengsan dan terhimpit.

SAMM bersimpati dengan PDRM dan menyeru untuk PDRM khususnya pimpinan utama mereka agar punya sedikit lagi keberanian untuk terus berdiri bersama rakyat. SAMM amat yakin PDRM mendapat maklumat lengkap mengenai betapa tapak sokongan BN amat goyah kini. BN akan kalah dalam PRU akan datang (jika PRU itu adil). Paling penting pimpinan utama PDRM sendiri tentu sedar betapa Bn makin membawa kerosakan pada negara, pendedahan Musa Hasan bekas Ketua Polis Negara mengenai campur tangan pemimpin politik BN dalam urusan PDRM selama ini sudah tentu menyentap imiginasi keseluruhan PDRM yang semala ini punya persepsi berbeza.

Yakinlah Malaysia tanpa BN pasti lebih baik untuk semua. Yang lebih penting menjatuhkan BN kali ini beerti kita sama menghidupkan suis demokrasi dalam negara. Apabila demokrasi itu diaktifkan maka kerajaan yang takut dengan rakyat akan wujud. Jika PR tidak baik kita ganti semula.

Mitos menyatakan pertukaran parti pemerintah merosakkan negara perlu ditinggalkan. Semua negara maju sering bertukar kerajaan. Huru hara akan muncul apabila sistem demokrasi mati dan regim terlalu zalim memperkuda agensi yang sepatutnya bebas menjaga kepentingan rakyat.

Kepada Peguam Negara dalam perkara ini ketahuilah kamu boleh terus melakukan pendakwaan tetapi yakinilah tindakan pendakwaan tersebut merupakan sabotaj besar kepada regim BN kerana akan mempercepatkan kejatuhan mereka.

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia

Apabila Mahathir Dedahkan Dirinya Hipokrit Darjah Tertinggi...

Posted: 31 Jan 2013 06:37 PM PST

Mahathir: Pembangkang tangkap lawan jika berkuasa

Pakatan pembangkang akan bertindak terhadap pesaing politiknya sebaik sahaja ia berkuasa, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, mereka akan mengambil tindakan terhadap orang yang tidak baik dengan mereka atau yang mereka rasa tidak baik dengan mereka.

Berucap di Kuala Lumpur hari ini, Dr Mahathir berkata, terdapat desas-desus bahawa kerajaan persekutuan yang dikuasai Pakatan, akan menangkap orang seperti itu, termasuk dirinya sendiri.

Bekas perdana menteri itu berkata, ada yang mengatakan beliau harus meninggalkan Malaysia sebelum keputusan pilihan raya diumumkan.

"Itu perkara pertama yang mereka (Pakatan) akan lakukan (apabila berkuasa) ialah menutup semua lapangan terbang supaya tidak ada pesawat persendirian boleh berlepas.

"Tetapi saya tidak fikir mereka akan berbuat demikian. Pembangkang adalah orang baik.

Mereka mungkin menangkap orang dan mendakwa mereka.

" Mahathir secara berseloroh berkata, beliau gembira Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak lagi wujud dan bahawa Pakatan, yang menentang undang-undang tersebut, tidak boleh sebarangan menyumbat orang ke dalam penjara jika ia berkuasa.

"Tanpa ISA, saya berasa lebih selesa,"
katanya.

Ulasan GB

Orng yang hidup dengan kebatilan akan sentiasa terasa bimbang dengan masa depannya. Kerana kebatilan itu ialah sesuatu yang PASTI binasa -itu janji Allah dalam Al-Quran.

Memang Pakatan akan menangkap raai menteri-enteri UMNo - tetapi - bukan kerana alasan mereka seteru Pakatan, tetapi adalah kerana salahlaku dan rasuah yang dilakukan, kerana kezaliman dan kekejaman yang mereka telah laksanakan sepanjang 55 tahun menjadi kerajaan.

Mahathir tiba-tiba mengakui lebih selesa tanpa ISA, sedangkan beliaulah yang menggunakan ISA untuk menangkap seteru-seteru politiknya seperti di dalam Operasi lalang. Ia jelas menunjukkan bahawa Mahathir adalah si hipokrit yang paling tinggi darjahnya.

Jika kerajaan Pakatan tidak menggunakan ISA dan tidak mengambil tindakan ke atasnya atau menteri-menteri UMNO yang telah melakukan kesalahan namun mereka tidak boleh terlepas dari sunnatullah - hukum kebenaran dna keadilan akan tetap mengambil tempatnya - bahawa seorang yang melakukan kesalahn akan tetap menerima hukumannya. Tiada keraguan lagi mengenai hal itu.

VIDEO & BERGAMBAR: Tangisan Anak Gajah Melihat Ibunya Yang Mati Keracunan Di Sabah

Posted: 31 Jan 2013 04:01 PM PST


Gajah Borneo Mati Diracun

KOTA KINABALU: Sesuatu yang menyayat hati bagi pakar veterinar, Dr Sen Nathan apabila melihat seekor anak gajah pigmi Borneo cuba menggerakkan ibunya yang sudah mati di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau di Sabah.

Pakar veterinar Jabatan Hidupan Liar Sabah itu menyaksikan sendiri detik berkenaan ketika melakukan siasatan berhubung misteri kematian sepuluh ekor gajah terdiri daripada tujuh gajah betina dan tiga gajah jantan di Unit Pengurusan Hutan (FMU) 23, kawasan konsesi Yayasan Sabah di hutan simpan berkenaan iaitu kira-kira 130 kilometer dari Tawau.

"Saya berasa sangat sedih, tiada perkataan untuk menggambarkan perasaan saya," katanya, sambil menambah bahawa anak gajah jantan berusia tiga bulan bernama Kejora itu telah dihantar ke Zoo Hidupan Liar Lok Kawi untuk dijaga termasuk bagi memberi susu botol.

Sepuluh ekor gajah berumur antara empat hingga 20 tahun ditemui mati antara 29 Disember dan 24 Januari lalu di kawasan Lembah Danum dan Lembangan Maliau.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk Dr Laurentius Ambu berkata keracunan mungkin punca utama kematian gajah berkenaan.

"Post mortem yang dilakukan mendapati tiada kesan kecederaan akibat tembakan sebaliknya bahagian organ dalaman gajah-gajah berkenaan rosak teruk. Selain bahagian usus, mulut dan anus mereka turut didapati berdarah.

"Kami mengesyaki terdapat unsur keracunan daripada bahan makanan yang mereka makan (toksin semulajadi atau racun perosak) tetapi kita masih menunggu laporan makmal analisis kimia," kata Dr Ambu.

Menurut Ambu, laporan pertama diterima pada Selasa ketika pegawai Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) menjalankan kajian hidupan liar dimaklumkan oleh seorang pekerja mengenai kematian gajah kira-kira 5 kilometer dari pintu Syarikat Empayar Kejora Sdn Bhd iaitu sebuah anak syarikat Yayasan Sabah.

Katanya gajah berkenaan mungkin termakan racun di tempat lain dan berjalan beberapa kilometer sebelum rebah di kawasan berhampiran Empayar Kejora.

"Kami percaya bahawa kematian semua gajah ini ada kaitan antara satu sama lain," katanya. -mstar



“Mengapa Polis Tembak Mati Isteri Saya?”

Posted: 31 Jan 2013 07:34 AM PST


Seorang pemandu lori menuntut siasatan bebas mengapa isterinya ditembak mati oleh polis selepas berlaku kejar mengejar kereta dua minggu lalu di kawasan perumahan dan berakhir dengan kejadian tembak.

Insiden berlaku pada 18 Januari pada jam 8.30 malam, apabila Pua Bee Chun, seorang suri rumah berusia 22 tahun bersama rakannya, dikejar polis semasa memandu di Taman Sentosa di sini.

Foo Voon Kong, 26 tahun memberitahu wartawan bahawa isterinya, menurut bedah siasat, mati akibat peluru menusuk ke bahagian jantung.

"Ada 24 lubang peluru di tepi pintu keretanya,"
kata Foo.

"Saya diberitahu oleh seseorang, saya ingat dia bergurau dan meminta agar tidak bergurau. Kemudian dia bawa saya ke tempat kejadian dan apabila saya tiba, isteri saya sudah dalam beg mayat," kata ayah kepada dua orang anak itu.

"Polis tembak isteri saya," katanya lagi.

Beliau berkata pihak berkuasa tidak memberi sebarang keterangan mengapa Pua, yang dikatakan seorang yang baik ditembak mati. Foo membuat laporan polis dan beliau mahu tindakan diambil ke atas polis Klang kerana gagal memberitahu sebab menembak isterinya.

Kematian Pua berlaku dalam pada pelbagai pihak mendesak Putrajaya menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) selepas kemarahan orang ramai dia atas dua kematian melibatkan polis bulan ini.



Dua minggu lalu polis dituduh memukul pengawal keselamatan berusia 41 tahun C. Sugumaran ketika tangannya digari dan didakwa dipukul beramai-ramai oleh polis dan sejumlah 20 orang awam lain.

Kematian Sugumaran adalah sebahagian dari kes kematian melibatkan polis, termasuk kematian dalam tahanan Chang Chin Te awal tahun ini, A. Kugan dan R. Gunasegaran pada 2009, dan kematian dalam kejadian tembakan seorang lelaki berusia 14 tahun Aminulrasyid Amzah pada tahun 2010.

Dalam semua kes, polis menafikan sebarang salahlaku.

Dalam kes Pua, polis sekali lagi dituduh cuba menyembunyikan kesalahan apabila Foo mendakwa rakaman yang dirakam oleh kamera litar tertutup dirampas dan dipadamkan.

"Dengan memadamkan bukti itu sudah menjadi kesalahan jenayah," kata ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, peguam yang mewakili keluarga tersebut.

Menurut Foo, kamera tersebut kepunyaan penduduk di kawasan tersebut apabila peristiwa tembak itu berlaku. Lelaki berusia 26 tahun itu bagaimanapun tidak menerangkan bagaimana polis memadamkan rakaman.

Ahli parlimen Kelang dari DAP Charles Santiago menuntut Bukit Aman membuat siasatan bebas ke atas insiden ini dan polis Klang. "Dari melihat 24 lubang peluru kita dapat tahu polis ini menembak sesuka hati," kata Santiago lagi.

Gobind berkata keluarga mangsa akan mengumumkan apa tindakan yang akan dilakukan, termasuk mengambil tindakan undang-undang ke atas polis.

Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010 (United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, terdapat "lebih 1,500 tahanan mati ketika ditahan pihak berkuasa.

Gobind dan Santiago berkata peningkatan kematian melibatkan polis mengukuhkan sebab mengapa IPCMC perlu ditubuhkan, cadangan yang ditunggu-tunggu oleh kumpulan hak asasi manusia dan pembangkang sejak 2006. -TMI


"Mengapa Polis Tembak Mati Isteri Saya?"


KLANG 31 JAN : Seorang pemandu lori mahu Polis Diraja Malaysia berterus terang dan menyiasat bagaimana isterinya, Pua Bee Chun, 22, mati dipercayai ditembak anggota mereka.

Bee Chun dipercayai mati ditembak ketika berada di dalam sebuah kereta di Jalan Bendahara, Taman Sentosa, Klang pada 18 Januari.

Menurut Foo Voon Kong, 27, isterinya dipercayai mati selepas ditembak dari belakang badannya. Kereta tersebut dipercayai ditembak sebanyak 24 kali.

Voon Kong mendakwa segala usaha untuk mendapat penjelasan daripada polis tentang bagaimana dan kenapa isterinya mati menemui jalan buntu.

Di dalam satu sidang media di sini hari ini, Voon Kong berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan isterinya pada 5 petang pada hari kejadian sebelum isterinya keluar rumah.

Katanya, beliau menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) menyuruh Bee Chun pulang untuk makan malam dan keluar ke pasar malam bersama kedua anak mereka.

"Bagaimanapun, beliau (isteri) kata tidak dapat pulang, apabila saya menghantar sms kali kedua bertanya dia dimana, isteri saya tidak membalas sms itu.

"Kira-kira jam 8.30 malam, saya menerima panggilan telefon dari rakan saya memberitahu beliau ternampak isteri mayat isteri saya.

"Apabila saya sampai ditempat kejadian, saya lihat ramai orang awam dan polis, mayat isteri saya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

"Doktor memaklumkan, isteri saya ditembak melalui belakang badannya," katanya di dalam sidang akbar di pejabat khidmat MP Klang.

Beliau mendakwa polis tidak menjalankan tugas mereka secara profesional dengan melulu menembak isterinya.

"Semua bukti seperti baju, kamera litar tertutup (CCTV) dan kereta yang dinaiki isteri saya diambil polis.

"Saya percaya isteri saya ditembak dengan 24 das tembakan berdasarkan kesan tembakan di pintu kereta dan bahagian belakang kereta," katanya.

Voon Kong menambah, beliau difahamkan isterinya ditembak ketika di dalam sebuah kereta jenis Waja bewarna perak bersama seorang lelaki yang merupakan kawannya.

Lelaki tersebut dipercayai ditahan polis dan satu laporan polis telah dibuat oleh Voon Kong pada 19 Januari lalu di Balai Polis Klang.

Sementara itu, MP Klang, Charles Santiago berkata kes itu merupakan yang ketiga berlaku selepas kematian pengawal keselamatan C Sugumaran dan kes Amirul Rasyid yang membabitkan polis.

"Kini, semua bukti berkaitan dengan pembunuhan hilang. Jika semua bukti ini tiada bagaimana hendak bawa kes ini ke mahkamah," katanya.

Selain itu, MP Puchong, Gobind SinghDeo mahu polis menjalankan siasatan yang adil dan Perdana Menteri perlu campur tangan dalam kes itu.

"Polis tidak boleh menghukum mangsa dengan terus menembaknya, kini polis sudah tidak memberi perlindungan kepada rakyat."
-SH

Nizar: Zambry Menabur fitnah Setelah Gagal Jawab Penyelewengan Tanah Di Perak

Posted: 31 Jan 2013 05:23 AM PST

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, banyak tanah Perak diseleweng kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Zambry Kadir didedahkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi isu tersebut gagal dijawab.

"Bila Umno BN gagal jawab isu, mereka timbulkan pula fitnah kononnya Tuan Guru Nik Aziz (Nik Mat) merasuah pemimpin DAP Perak untuk berikan saya jawatan Menteri Besar dengan memberikan tanah Kelantan.

"Fitnah ini jelas menghina kedudukan Sultan Perak yang berkuasa mutlak melantik Menteri Besar dan pemimpin Umno BN yang celupar fitnah dan mereka patut didakwa segera," kata Adun Pasir Panjang itu di hadapan lebih 5,000 hadirin.

Pelbagai bangsa termasuk Orang Asal dari Chenderiang dan Kampung Batu Berangkai, Kampar hadir pada Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Kampung Perak, Temoh Stesen, Tapah, malam kelmarin.

Nizar berkata, himpunan rakyat Tapah yang dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas merupakan mesej sokongan kepada Ketua Umum KEADILAN itu bahawa rakyat mahukan perubahan.

Turut hadir, Pengerusi KEADILAN Negeri, Dr Muhammad Nur Manuty; Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye; Adun Hutan Melintang, S Kesavan; Adun Sungkai, A Sivanesan; Adun Keranji, Chen Fook Chye dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Mustafa Kamil Ayub.

Mengulas suasana aman ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 12 Januari lalu, Nizar berkata, himpunan boleh aman jika tiada provokasi dari Umno BN.

"Polis memberi kerjasama hari itu. Rusuhan yang tercetus sebelum ini semua berpunca dari Umno BN yang gemar melihat keganasan untuk memastikan mereka terus berkuasa," ujar bekas MB Perak yang dirampas jawatannya itu secara haram oleh BN. -KD

"Percepatkan Tindakan Ke Atas Ibrahim Ali" - Abu Talib

Posted: 31 Jan 2013 03:35 AM PST

Pihak berkuasa harus mempercepatkan tindakan terhadap Datuk Ibrahim Ali berhubungan dengan gesaannya untuk membakar bible, kata bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman.

Pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang lantang itu dilaporkan menggesa agar kitab suci penganut agama Kristian itu dibakar dalam satu sidang media di Pulau Pinang pada 19 Januari.

"Isunya bukan pembakaran bible. Apa yang menjadi isu adakah beliau mengucapkan kata-kata tersebut?" kata Abu Talib kepada The Malaysian Insider dalam satu temuramah baru-baru ini.

"Jika ya, sama ada kata-kata tersebut berunsur hasutan menurut Akta Hasutan dengan membacanya secara keseluruhan dan dalam konteks ianya dibuat. Jadi, sama ada bible telah dibakar adalah tidak ketara walaupun membantu dalam pendakwaan kes itu jika beliau didakwa," katanya.

Bekas peguam tertinggi kerajaan itu berkata laporan polis yang dilakukan pengadu terhadap kenyataan provokatif Ibrahim berkait dengan pertikaian mengenai penggunaan kalimah "Allah" yang masih belum selesai semenjak empat tahun lalu.

Beliau mengatakan tidak ada sebab penguatkuasa undang-undang berlengah-lengah membuat keputusan sama ada mahu mendakwa atau tidak ahli parlimen bebas itu yang telah dituduh mencetuskan ketegangan di antara penganut agama Islam Malaysia dan penganut agama lain.

"Polis mengatakan mereka merakamkan kenyataan dari saksi yang relevan. Sudah tentu mereka tidak perlukan masa yang begitu banyak untuk melengkapkan penyiasatan dan membuat keputusan jika mereka komited kepada penyiasatan yang adil dan saksama.

"Demi keadilan kepadanya bersihkan beliau segera jika beliau tidak bertindak bertentangan dengan Akta Hasutan 1948 atau untuk perkara itu, mana-mana undang-undang yang terpakai,"
kata lelaki berusia 73 tahun itu yang menjawat jawatan peguam negara selama 13 tahun dari 1980 hingga 1993, merujuk kepada Ibrahim.

Majlis Peguam dan ahli parlimen pembangkang Karpal Singh telah mendesak kerajaan untuk mendakwa ahli parlimen Pasir Mas itu kerana menghasut akan tetapi Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengatakan tindakan hanya akan diambil kepada Ibrahim jika bible telah dibakar, dan kenyataan Ibrahim tidak membimbangkan beliau.

Menekankan tentang isu ini, Abu Talib berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah bekerja untuk memansuhkan undang-undang kuno, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - yang telah secara meluas digunakan sebagai alat untuk menindas perbezaan pendapat – untuk mempercepatkan perjalanan sistem keadilan di negara ini dan selaras dengan dasar hak asasi manusia antarabangsa.

"Demokrasi, menjadi kerajaan dari, untuk dan oleh rakyat, menunjukkan penduduk perlu diberi perkhidmatan dan yang dipilih adalah hamba, dan bukan sebaliknya," kata Abu Talib yang pernah mempengerusikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pejabat Peguam Negara dan pasukan polis telah dikutuk oleh orang ramai baru-baru ini dengan pembangkang Rakyat Pakatan (PR) menuduh dua institusi awam itu bekerja dengan musuh politik mereka Barisan Nasional (BN), bagi memastikannya terus berkuasa.

Pejabat Peguam Negara di bawah pimpinan Abdul Gani diserang dengan tuduhan mengamalkan pendakwaan terpilih, termasuk daripada bekas penjawat awam lain seperti bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim.

Tinjauan baru-baru ini terhadap lima institusi awam oleh Merdeka Center menyaksikan polis adalah yang paling tidak dipercayai dikalangan pengundi kali pertama Pilihan Raya 2013, berbanding kedua-dua kerajaan pusat dan kerajaan negeri, sistem kehakiman, badan penggendali pilihan raya dan parti politik.

Ahli-ahli politik dan pemimpin gereja telah membidas Ibrahim, pengasas dan presiden Perkasa kerana didakwa menyemarakkan kebencian agama diantara orang Islam dan bukan Islam.

Islam adalah kumpulan agama terbesar di Malaysia sebanyak 60 peratus, manakala minoriti Kristian hanya di bawah 10 peratus daripada 28 juta rakyat Malaysia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga mengecewakan pemimpin gereja dengan khutbah Jumaat lepas, di mana ia memberi amaran kepada umat Islam di seluruh negara "musuh-musuh Islam" akan cuba untuk mengelirukan mereka supaya mempercayai semua agama berkongsi tuhan yang sama.

Pemimpin Islam dan Kristian di sini bertelagah di atas penggunaan perkataan Arab "Allah" walaupun penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009 memerintahkan Islam tidak mempunyai hak eksklusif kepada perkataan "Allah".

Perdebatan timbul semula bulan lalu selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang dalam perutusannya sempena Hari Natal mendesak kerajaan persekutuan agar menarik semula pengharaman terhadap penggunaan kalimah Allah dalam bible berbahasa Melayu.

Kumpulan gereja Sabah juga telah mendakwa kebebasan beragama Bumiputera Kristian diserang sambil menegaskan kebanyakan penganutnya datang daripada Malaysia Timur dan menggunakan bahasa Melayu.

Kumpulan penganut agama Buddha telah menggesa Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk campur tangan menyelesaikan pertikaian tentang penggunaan kalimah "Allah" daripada terus berlarutan. -TMI

Tiada ulasan: