Rabu, 20 Februari 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Gambar] Apa Cerita di Balik Gambar Ini?

Posted: 20 Feb 2013 03:00 PM PST



Gambar-gambar ini sudah tersebar di FB sejak dua tiga hari lalu. Setakat ini, pihak-pihak yang berposing dalam gambar-gambar ini belum lagi memberikan respons.

TM yakin, 1Malaysia berminat untuk mengetahui ketulenan gambar di atas. Jika tulen, apa cerita di baliknya?


Sumber:: FB

P/s: Kagum pula TM dengan kesungguhan orang PKR yang bersatu hati dan bersungguh-sungguh untuk membongkar penyelewengan UMNO. Cuba lihat usaha yang dilakukan oleh Rafizi di bawah ini. Beliau sanggup berhadapan dengan saman dan ugutan semata-mata untuk memastikan penyelewengan duit rakyat terbongkar.

Oleh sebab ada sesetengah pemimpinnya mahu berpadu dengan UMNO, mungkin hal itu menjadi sebab sukar untuk kita melihat usaha pemimpin PAS menyelongkar penyelewengan dan pecah amanah pemimpin BN dalam mengurus dan mentadbirkan kewangan negara. 

Harap-harap tanggapan itu salah!



Siang tadi saya selesai menyemak perjanjian di Menara Boustead melibatkan Raja Ropiaah, Deepak dan Boustead. Terdapat 2 perjanjian iaitu: 

1) Perjanjian Membangunkan 3 Bidang Tanah setebal 21 m/surat 
2) Perjanjian membeli saham setebal 21 m/surat. Perjanjian tersebut tidak boleh diambil salinan atau apa2.

Ini baru permulaan. Terus ikuti page Rafizi Ramli untuk info.

Ketika masa 2 jam yang diberikan saya telah membuat catatan dengan menumpukan bahagian-bahagian yang memberi maklumat mengenai kepentingan kesemua individu yang terbabit serta peruntukan-peruntukan membolehkan perjanjian tersebut terbatal.

Namun, saya benar-benar terkejut dengan beberapa urusniaga yang sebelum ini disembunyikan dari pengetahuan umum dan pemegang saham yang lain kerana tidak difailkan kepada Bursa Malaysia.

Urusniaga-urusniaga ini dirancang dan dimeterai dengan satu tujuan iaitu memberikan durian runtuh kepada Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua wanita UMNO Selangor

Mohon rakan-rakan share maklumat ini agar kita sama-sama membongkar rasuah dan pelbagai urusniaga yang merugikan rakyat. - FB Rafizi Ramli



Sah Tidak Tercalon...Ada Kemungkinan Jadi Calon PKR?

Posted: 20 Feb 2013 07:27 AM PST




Kalau menurut Presiden MCA, seteru politiknya ini tidak akan tercalon sebagai wakil MCA dalam PRU13 nanti. Alasan yang diberikan oleh CSL ialah OTK tidak mendapat sokongan parti komponen di kawasannya. Malah OTK didakwa tidak mendapat sokongan bahagiannya sendiri.

Persoalannya, adakah bekas Presiden MCA ini akan bertanding menggunakan tiket PKR? Hal ini pernah diperkatakan suatu ketika dahulu sebelum OTK menafikan hal itu.

Kalau ada perancangan berbuat demikian, TM harap pimpinan PR memikirkan masak-masak hal ini sebelum membuat keputusan. Begitu juga hasrat untuk mencalonkan bekas tokoh parti komponen BN yang kini aktif di pentas PR. 

Mungkin kecurangan Ibrahim Ali wajar dijadikan pengajaran! -DCM




[Gambar] Dulu Kain Batik, Kain Pelikat, Sekarang....Terdesak Sungguh

Posted: 20 Feb 2013 05:00 AM PST


Siapa dapat angkat tangan? Orang bagi, ambil, apabila mengundi pangkah lain!

Siapa yang sanggup undi BN hanya kerana kicap dan sos di atas?




P/s:  Patutnya, poster di atas kena ada pernyataan "...Kerana Anda Kuat Kami Dapat Macam-macam..."








[Gambar] Dr Haron Din dan Geng TOLAK Anwar Ibrahim???

Posted: 20 Feb 2013 12:22 AM PST


Siapa Jibrail Disebalik Jibrail Dalam PAS?
MEMBONGKAR CERITA


[MSO] Pertemuan eksklusif di antara Timbalan Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din dengan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim beberapa hari sebelum saya meninggalkan negara kerana ke Madinah dan Makkah telah menjadi isu panas dan kontroversi.

Bukan pertemuan di antara dua umarak (politician) dan ulamak itu yang menjadi isu, tetapi intipati pertemuan itu yang menimbulkan kegelisahan dan kemarahan ramai. Yang menyebabkan orang merasa kurang senang, kesal dan terkilan yang amat sangat sehari dua ini.

Tidak hairanlah sejak beberapa malam lalu sudah ada orang bersolat hajat agar perkara ini - tujuan pertemuan itu - tidak akan menetas menjadi masalah kemudian akhirnya menguburkan harapan rakyat kepada Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru yang adil, telus dan saksama. Mereka tidak mahu nyalaan api untuk membakar UBN akan menjadi layu dan terpadam sebelum tiba masanya.

Risau juga saya melihat perkembangan hari ini berpunca dari masalah itu kerana ada yang tidak menahan perasaan dan terlebih emosi sampai menangis memikirkan kemalangan dari apa yang meletus kini. "Tolonglah sheikh, kita sayang... kepada semua, dan apa yang dah ada ni colek dah," begitulah rayu dan desah seorang pembaca blog saya. Beliau rujuk kepada konsensus sepadu Pakatan Rakyat sebelum.



Anwar: Terkilan sangat...

Walaupun saya sudah dapat meneka tujuan pertemuan itu, tetapi saya sengaja tidak dedahkan. Jauh dilubuk hati saya menyelinap rasa sayu dan sedih dengan apa yang diketahui dan turut juga berdoa agar ia selamat. Lantas saya hanya bertanya apakah hajat besar Dr Haron Din maka beliau menemui Anwar dalam 'gelap' - maksudnya secara diam dan SULIT. Tujuan saya melontarkan itu memberi signal dan isyarat bahawa saya sudah tahu apa yang terbungkus dalam kilas Haron Din dengan harapan apa-apa yang dikilas itu tidak akan terburai di tengah jalan.

Ia juga memberi isyarat bahawa apa-apa yang berlaku termasuk dengan niat busuk tidak boleh disembunyikan kerana akhirnya ia akan terdedah juga kemudian memberi natijah buruk kepada diri sendiri - back fire.

Saya sengaja tidak mendedahkan agar orang ramai khasnya penyokong Pakatan Rakyat tidak 'terkanyak' dengan peristiwa itu. Saya tidak terlalu menganggu emosi dan semangat mereka. Biarlah mereka tenang dan terus mengumpul kekuatan rohani dan jasmani untuk menumbangkan UBN tanpa dikacau ganggu. Biarlah air yang tenang terus menjadi tenang dan jernih manakala gunung kekuatan untuk tumbangkan UBN terus tegak kukuh seperti awalnya. Dan kalau mereka mengetahuinya dari sumber lain itu adalah takdir dan inisiatif diri sendiri.

Bagaimana pun akhirnya seperti saya katakan dalam intri itu (rujuk sini) buah yang jenis berbau tidak boleh ditusukselindugkan. Apabila ia sudah masak ia akan mengeluarkan baunya dan lendir ketika itu ia tidak dapat disembunyikan lagi. Sesuatu keburukan dan kebatilan itu tidak boleh diselindungkan kerana akhirnya kebenaran akan mengambil tempat. Laksana bangkai yang terdedah maka akan berderulah dubuk datang mengoyak dan mengheretnya menjadi habuan perut mereka.

Bau itu kini sudah mengalir keluar dan sudah diecerkan. Ia menyendak ke dalam lubang hidung para pendokong Pakatan Rakyat. Ia sudah mulai membusuk keadaan. UBN sudah mengambil kesempatan menjaja untuk menceritakan Pakatan Rakyat bermasalah. Isu pertemuan dan cadangan itu telah meringankan beban asmara UBN. Jangan salahkan anjing kalau ia menggonggong tulang hanyir.

Yang hendak dicari kini atas apa yang berlaku ini, siapa yang boleh dipersalahkan? Siapakah yang patut menerima hukum karmanya. Secara umumnya ia boleh disalahkan kepada kedua individu yang bertemu itu; Anwar dan juga Haron Din. Merekalah yang perlu dipertanggungjawab ke atas tersebarnya rahsia pertemuan itu. Mereka berdualah berhak membuat press release kerana mereka saja yang kamil dan makrifah mengenainya.

Tetapi didalam soal ini, kalau Anwar yang menyebarkan ia adalah sebagai protection dirinya. Sebagai seorang manusia sekuat mana jiwanya dia tetap ada kelemahan sesuai sifatnya sebagai makhluk baru. Beliau tidak boleh dipersalahkan kerana bingkisan yang dibawa Haron itu boleh dianggap satu pemungkiran janji dan pengkhianatan. Ia memeranjatkan dirinya kerana dianggap sebagai gunting dalam lipatan. Haron telah memusnahkan konsensus awam. Justeru yang wajar dipersalahkan di sini Haron Ibni Din kerana beliau yang membawa niat itu, yang membuka mulut menyampaikan tujuan itu yang tidak bijak diluah saat Pakatan Rakyat sedang berganding bahu menyeberangi lautan untuk mengapai pulau kemenangan.

Tidak salah jika dianologikan apa dilakukan Haron kononnya atas kehendak Majlis Syura Ulamak (MSU) itu seperti membocorkan kapal yang sedang belayar yang mana tujuannya untuk membuang musuh yang ada bersama. Mereka seronok dengan perbuatan itu padahal mereka tidak sedar ia juga membahayakan diri sendiri. Haron Din tidak sedar kalau dia berjaya membocorkan kapal bukan saja Anwar tenggelem tetapi dia, dirinya sendiri akan kelemasan dan tenggelam. Apakah perkataan sesuai untuk dipadankan dengan fiil ini kalau bukan bodoh?

Apa hendak dilakukan MSU atau Haron Din itu bukan perkara baru sebenarnya. Ianya sudah ada sejarah dalam Islam lebih 1,400 tahun sebelum ini. Perhatikan apa yang berlaku dalam ritual ibadat di dalam Islam. Sudah berlaku pertukaran kiblat dari masjid al-Aqsa ke masjid Haram di Makkah. Kejadian ini berlaku dalam tahun kedua atau ketiga Hijrah. Kejadian itu memberi isyarat sesuatu yang sudah ditetapkan itu boleh diubah bila keadaan berkehendakkan begitu.

Mulanya kiblat orang Islam ialah ke arah masjid al-Aqsa di Baitumaqdis (Palestin) kemudian dipindah ke masjid Haram di Makkah (Arab Saudi). Perpindahan itu ada sebab musababnya. Antaranya kerana Nabi merasa malu dan hina apabila dipersendakan oleh Yahudi kononnya orang Islam meniru kiblat mereka. Nabi berdoa mohon Tuhan memberi petunjuk. Hinggalah pada satu hari semasa Nabi sedang mendirikan solat Zohor (di masjid Qiblatain) bersama beberapa orang kawan Jibrail turun menyampaikan perintah agar Nabi memalingkan diri (kiblat) dari arah masjid al-Aqsa ke masjid Haram. Ketika itu juga Nabi memusingkan badannya mengarah ke Makkah.

Barang kali sejarah itu dijadikan iktibar dan diguna pakai atau diambil sebagai justifikasi oleh Haron Din untuk melaksanakan misi gelapnya itu, memberi tahu Anwar bahawa PAS (bukan PAS sebenarnya ahli MSU) telah memindah kiblat sokongan kepadanya sebagai perdana menteri kepada orang lain. Di sini seolah-olah Haron Din seperti Jibrail yang menyampaikan mesej PAS kepada Anwar. Namun secara peribadi saya tidak percaya kalau Haron Din itu adalah batang tubuh Jibrail asal. Pasti ada Jibrail yang lebih Jibrail dari itu dan dialah yang mempunyai agenda mengenai pengubahan 'kiblat' berkenaan.

Siapakah dia?

Satu sisi Haron Din hanya adalah alat atau hanya Jibrail kecil saja di mana kesalahannya hanya kecil juga. Dia dijadikan utusan kerana dia adalah memanda tua yang dimalu mata. Apa yang perlu disediliki ialah mencari Jibrail yang mempunyai perancangan itu. Jirbail inilah lebih tahu kenapa dan dia tentu ada politiknya tersendiri menggunakan majlis syura ulamak dan Haron din sabagai galang gantinya. Jibrail inilah yang sepatutnya disula.

(Dalam catatan lain saya akan cuba mendedahkan siapa Jibrail di dalam PAS).

Apapun alasan mesej dan siapa yang empunya idea itu ia sungguh menyenak dan menyedihkan hati Anwar dan seluruh pendokong PKR dan Pakatan yang telah menerima konsensus awal. Mungkin Anwar boleh menerima apa yang disarankan itu atas kapasiti dia seorang pemimpin yang berjiwa besar, bertaraf 'ulul azmi' tetapi bagaimana orang dibawah, dengan penyokongnya.

Anwar boleh membujuk Azizah, Nurul Izzah tetapi dia tidak akan berdaya membujuk pemimpin PKR di sekelilingnya. Paling 'rohok' untuk Anwar ialah untuk memberi tahu kepada orang Cina, India, Dayak, Kadazan, Dusun di Sabah dan Sarawak yang sudah sepakat menjadikan dia sebagai 'kiblat'. Juga susah untuknya untuk memberi tahu kepada sekutunya DAP? Anwar atau sesiapa boleh menguasai kelompok sendiri tetapi tidak untuk menguasai kehendak rakyat.

Sambung di sini.


P/s: Tidak terbayang di hati jika perkara di atas benar dan disahkan oleh pihak yang terlibat. Dari satu segi, TM berharap pemimpin PAS yang cenderung dengan idea perpaduan agar mengisi borang UMNO dan berjuanglah demi Islam mengikut versi parti sekular itu.

Menurut maklumat yang diterima oleh Malaysia Waves, calon PM pilihan pihak ini ialah Tengku Razaleigh. Bagi TM, apa sumbangan Tengku Razaleigh kepada kejayaan PR? Jelas dan terang, tanpa perjuangan Anwar Ibrahim, jangan bermimpilah PR akan mencapai kejayaan yang dikecapi hari ini. Tanpa auranya, jangan haraplah tapak ceramah PR akan dipenuhi rakyat.

Apa alasan penolakan tersebut? Liwat? Sudah dibicarakan di mahkamah. Video seks? Adakah Majlis Syura PAS sudah mendapat bukti forensik yang mengatakan bahawa video itu tulen, bukannya hasil rekayasa teknologi masa kini?

Apa sumbangan puak ini kepada kejayaan PR sehingga boleh memberikan pengaruh terhadap pemilihan PM? Berapa kalikah mereka naik ke pentas PR di seluruh negara menerangkan dasar PR dan mengajak rakyat menolak UMNO?

Tanpa sokongan PKR dan Cina DAP, mampukah PAS mempertahankan Kelantan dan mentadbirkan Kedah serta menguasai kerusi DUN dan Parlimen di negeri lain?

Keterujaan TM menonton video ceramah Tim. Mursyidul Am Pas di sini terbantut. Memang antiklimaks!!!

Hasan Jati dan geng pula yang sedang teruja dan tersenyum gembira!

Menarik:

Sultan Selangor Setuju Jika DUN Selangor Bubar Awal

Posted: 19 Feb 2013 11:12 PM PST


Khalid: Sultan Tada Halangan Selangor Bubar DUN Awal

[TMI] SHAH ALAM, 20 Feb ― Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tiada sebarangan halangan untuk kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri Besar Selangor itu berkata Sultan telah bersetuju, namun meminta agar kerajaan Selangor mengumumkan tarikh pembubaran tersebut dalam keadaan dan cara yang lebih teratur.

"Tuanku bersetuju ... dan saya akan umum pada masa yang sesuai dan cara yang teratur," kata Khalid (gambar) ketika sidang media di sini.

"Sultan tidak menghalang pembubaran, tapi baginda cadangkan ia dibuat dengan tertib dan teratur.

"Saya sudah berjanji, dan ikut titah tuanku, tidak payah umum sehingga dibubarkan," tegas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu lagi

Khalid bagaimanapun tidak mengumumkan tarikh pembubaran tersebut.
 
 
 
 

[Wajib Baca] Melayu Perlu Takut UMNO atau DAP? Sila Baca...

Posted: 19 Feb 2013 10:29 PM PST


Melayu Tidak Perlu Takut DAP – Hanipa Maidin

[HD] FEB19 – Semasa berada di Mansoorah, Mesir dengan Timbalan Presiden Pas, Tuan Haji Mohamad Sabu berforum dengan para pelajar Malaysia di sana, soalan berikut ditanya kepada kami : "Apa akan jadi sekiranya DAP dan MCA menang banyak kerusi dalam pilihanraya umum nanti?".

Saya menjawab soalan tersebut seperti berikut "jika kita turuti silsilah soalan tersebut percayalah ianya berasal usul dari Umno. Itulah kempen Umno di kampung-kampung dan malangnya kini pelajar di menara gading juga terjerat dengan kempen jahat tersebut.

"Hakikatnya soalan itu sendiri adalah tidak betul. Bagaimanakah DAP dan MCA boleh kedua-duanya menang banyak kerusi dalam keadaan kedua -dua parti tersebut lazimya bertanding antara satu sama lain bagi merebut kerusi yang sama. Adakah masuk akal di kawasan Parlimen Bukit Bintang misalnya yang DAP dan MCA bertanding , jika DAP menang MCA juga akan menang?"

Parti perkauman seperti Umno, kerana mahu terus berkuasa, dengan tanpa rasa tanggungjawab berusaha keras menimbulkan keraguan bahawa DAP adalah satu elemen yang bahaya kepada Melayu dan Islam. Justeru itu , menurut logik Umno, jika orang Melayu menyokong Pakatan Rakyat yang ada DAP di dalamnya, maka Melayu dan Islam akan terancam. Logik Umno ini berpremiskan DAP adalah bermajoritikan orang bukan Melayu dan Islam maka kepentingan Islam bukan sahaja tidak terbela jika mengundi DAP malahan kedudukan Melayu dan Islam juga terhakis terancam.

Hujah Umno ini sama sekali melupakan bahawa hakikatnya Umno juga berkawan dengan bukan Melayu dan bukan Islam. Jika MCA dan MIC yang boleh dikatakan hampir 100 peratus dikuasai oleh bukan Melayu/Islam, mengapakah mengundi sama ada Umno atau MCA atau MIC tidak dilihat mengancam Islam? Adakah pemimpin MCA khususnya sunyi dari perbuatan menghina dan memperkecilkan Islam? Jika tidak sunyi, mengapa hanya DAP dipersalahkan dan tidak MCA atau MIC?

Apa peliknya jika DAP masih belum menerima Islam dan segala hukum hakamnya sepertimana MCA dan MIC yang juga berkeadaan begitu. Bukankah yang peliknya mengapakah Umno yang bermajoriti Melayu/Islam masih tidak menerima Islam sebagai sistem hidup yang syumul dan sanggup pula dalam banyak keadaan menghina Islam dan hukum hakamnya. Siapa yang hina hukum hudud , DAP atau Umno? Siapakah yang luluskan lesen judi , DAP atau Umno? Siapakah Osu Sukam yang berjudi di luar Negara dan berhutang jutaan ringgit.. adakah beliau DAP atau Umno? Dan senarainya cukup panjang untuk dikongsi di ruang terhad ini.

Benarkah DAP mengancam kepentingan Melayu? Apakah peruntukkan di dalam Perlembagaan yang menyentuh kepentingan Melayu yang DAP kacau dan ganggu gugat? Adakah DAP atau Umno yang ganggu gugat kedudukan bahasa melayu di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan apabila kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dirombak melalui PPSMI?

Siapakah yang gagal jaga tanah rezab Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan ... DAP atau Umno? Siapakah yang hancurkan Bank Bumiputra yang diilhamkan untuk menjaga kepentingan Melayu? Siapakah yang enggan tambah kerusi Parlimen dan Dun di negeri Kelantan dan Trengganu sekaligus boleh menambah kerusi orang melayu semasa persempadanan semula kawasan pilihanraya dibuat.. DAP atau Umno? Siapakah yang mendera ekonomi majoriti rakyat Melayu/Islam di Trengganu dan kini Kelantan apabila wang royalti pertroleum di rompak di siang hari tanpa sekelumit rasa bersalah.

Siapakah yang menghina Raja Raja Melayu? Siapakah yang ingin menggantikan Sultan Kelantan dengan ditabalkan Tengku Ibrahim , ahli perniagaan sebagai Raja ? Umno atau DAP? Siapakah melarikan anak raja...pemimpin DAP atau Umno? Siapakah yang mengheret secara tidak bermaruah institusi Raja berperlembagaan ke kancah penghinaan dengan menjatuhkan Kerajaan dan Menteri Besar pilihan rakyat di Perak dengan melanggar doktrin Raja Berperlembagaan dan konvesyen Perlembagaan (constitutional convention) secara terang-terangan?

Jika DAP tidak menghormati Islam, mengapa pula di Pulau Pinang yang diterajui oleh pemimpim DAP, YAB Lim Guan Eng, peruntukkan Sekolah Agama Rakyat (SAR) lebih besar dari peruntukkan Sekolah Cina dan Sekolah Tamil . SAR di bawah negeri yang diterajui DAP memperuntukkan secara purata RM 97, 000-00 setiap sekolah sedangkan sekolah Cina dan Tamil hanya diperuntukkan secara purata RM 60, 000-00 dan RM 63, 000-00 masing -masing bagi setiap sekolah (lihat website Kerajaan Pulau Pinang) . Bukankah Umno pernah menarik bantuan per kapita SAR dan menuduh pula SAR tidak mengajar agama sebaliknya mendidik pengganas?

Satu yang ironi, DAP yang dikatakan mendatangkan ancaman kepada Islam mempunyai pemimpin seperti Lim Guan Eng yang mana Negeri yang beliau terajui mahukan ramai huffaz Al Quran dengan diberi bantuan kepada madrasah tahfiz dan memberikan penghargaan dan sijil-sijil pengiktirafan kepada para penghafal al-Quran ( lihat website Kerajaan Negeri Pulau Pinang). Yang lebih aneh lagi elaun Imam di masjid -masjid di Pulau Pinang jauh lebih tinggi darI elaun imam-imam di negeri-negeri yang Umno perintah. Mengapakah DAP yang dikatakan mengancam Islam suka elaun Imam tinggi manakala Umno yang "sayang" Islam lebih suka pula elaun Imam rendah?

Ya, Karpal Singh yang bukan Islam tidak setuju hukum hudud kerana dia berpenDAPat hudud bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Pemimpin Umno yang Islam seperti Mahathir pula tidak setuju hudud kerana jika dilaksanakan akan huru hara dan ramai makan sup tangan !!! Siapa lebih teruk antara mereka berdua?

Jika Karpal yang dari DAP membawa hujah Perlembagaan bagi menentang hudud, mengapa Umno yang Islam dan pernah ada dua pertiga suara di Parlimen tidak mahu pinda Perlembagaan bagi memberi ruang Pas laksana hudud di Kelantan . Bukan sahaja tidak mahu pinda Perlembagaan , Dr Mahathir (Ya , Mahathir bukan Karpal) bagi pula surat amaran pula kepada Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat jika Kerajaan Kelantan laksana hudud , Kerajaan Pusat yang diterajui Umno akan ambil tindakan.

Siapa yang cabar undang-undang hudud di Mahkamah? Karpal Singh atau Zaid Ibrahim yang masih itu bersama Umno? Siapa yang hina hukum hudud dan hentam Umno apabila Adun Rengit dari Umno mahukan hudud dilaksanakan di Johor ... Lim Kit Siang atau Chua Soi Lek? Siapakah yang kata di negeri BN perintah hudud tidak akan dilaksanakan ... Najib Tun Razak atau Karpal Singh?

Siapa yang bela gadis Melayu yang dirosakkan oleh pemimpin Melayu jika bukan Lim Guan Eng? Lim Guan Eng yang bukan Melayu dan bukan Islam masuk penjara 18 bulan kerana bela gadis Melayu/Islam yang dirosakkan oleh pemimpin Melayu berjenama Umno? Di mana maruah orang Melayu? Umno, kerana dendam, aibkan pemimpin Melayu dengan tuduhan seks namun yang bela Anwar Ibrahim adalah peguam bukan Islam dari DAP. Apabila wanita Islam berpurdah, Halimatus Sadiah dibuang kerja oleh regim Umno, peguam DAP juga yang membela wanita tersebut di Mahkamah? Di mana peguam Umno yang kata sayang dan nak jaga Islam?

Kesimpulannya Umno hentam DAP bukan kerana Umno ingin menjaga Islam. Hakikatnya Umno tahu perpaduan PR adalah malapetaka bagi Umno. Oleh itu pecahkan PR adalah agenda jahat Umno. Mana mungkin Umno yang siang malam , pagi petang mempunyai masalah dengan Islam kini secara tiba-tiba ingin membela Islam . Pepatah Amerika kata " kamu boleh bohong sesetengah orang dalam sesuatu masa tapi kamu tidak boleh bohong semua orang dalam semua masa". – Hanipa Maidin. Penulis ialah peguam PAS merangkap AJK PAS Pusat.
 
 
P/s: Fikirkan, renungkan!
 
 

Janda Dicekup Tinggal Sebilik dengan Warga Asing

Posted: 19 Feb 2013 05:59 PM PST


Penguat kuasa menjalankan pemeriksaan ke atas lelaki dan wanita yang dicekup di sebuah rumah, di Taman Melur.

[SH] AMPANG - Seorang janda beranak tiga dicekup bersama pasangannya, warga Nepal yang dikenali sejak dua bulan lalu, setelah disyaki berkhalwat di sebuah rumah kedai, di Pandan Perdana, awal pagi semalam.

Pasangan itu ditahan kira-kira jam 1 pagi oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah.

Pegawai Masjid Al- Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi membuat pemeriksaan sebaik menerima aduan mengenai kegiatan maksiat di bilik sewa rumah berkenaan.

"Setelah beberapa kali mengetuk bilik berkenaan, seorang wanita sekitar usia 38 tahun yang hanya berkemban dengan tuala membuka pintu.

"Wanita itu terkejut melihat kehadiran penguat kuasa, lalu memberi alasan tinggal bersama kakaknya, namun kami berjaya menemui seorang lelaki berpakaian lengkap berusia 30 tahun menyorok bawah tilam di premis sama," katanya.

Menurutnya, wanita yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pengawal keselamatan itu juga beralasan membenarkan lelaki baru dikenali itu tinggal bersama kerana simpati.

"Wanita itu memberi alasan kasihan dan membenarkan tinggal bersama di bilik sewa terbabit kerana sebelum ini teman lelakinya mendiami hostel yang sempit serta sesak.

"Pasangan itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk laporan tangkapan dan wanita terbabit diberi jaminan keluarga atau kenalan, bagaimanapun lelaki Nepal berkenaan dilepaskan kerana bukan Islam," katanya.

Dalam serbuan berasingan, perbuatan mencurigakan beberapa wanita memasuki rumah bujang lelaki di Taman Melur, di sini, terjawab apabila kediaman itu diperiksa.

Ahmad Nawi berkata, lima individu termasuk dua wanita sekitar 20 hingga 30an ditahan dalam serbuan berkenaan.

Menurutnya, dua lelaki masing-masing hanya bertuala dan berseluar pendek didapati tidur bersama seorang wanita berpakaian lengkap di ruang tamu rumah berkenaan.

"Seorang daripada lelaki terbabit memberi alasan teman wanitanya terpaksa menumpang di kediaman itu kerana kesukaran mencari rumah sewa lain," katanya.

Pada masa sama, sepasang kekasih turut dicekup tidur bersama dalam bilik di tingkat atas rumah itu.

Lima yang ditahan dalam operasi itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang untuk laporan tangkapan.


[Video] Ceramah Anwar, Dr Hatta, Saifuddin, & Bekas Jeneral di Kota Damansara

Posted: 19 Feb 2013 04:21 PM PST


 Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Kota Damansara, 19 Feb 2013




Tiada ulasan: