Sabtu, 2 Februari 2013

.

.


Apa Dibimbangi Terhadap Musa Telah Terjadi

Posted: 01 Feb 2013 10:32 PM PST

RASA JIWA                                                                                                                             

Mula-mula lagi saya telah mengsyaki sesuatu yang tidak baik kepada bekas Ketua Polis Negara, Musa Hasan bila dia secara tiba-tiba menunjukkan minat kepada Pakatan Rakyat dan dalam masa sama mengkritik bekas pasukannya.

Musa: Tektik tak menjadi.
Asas kesangsian saya mudah, Musa ialah polis, polis merupakan peribadi yang tidak boleh dipercayai kerana mereka sangat menghormati pasukan mereka. Setiap dari mereka akan bersumpah taat setia dan memegang piagam perkhidmatan. Piagam itu mereka akan genggam hatta hingga ke saat akhir hayatnya. Ada orang kata kalau dia polis jangan dipercayai ketegasannya dalam jawatan baik dia ayah, abang, adik, isteri atau suami kita.

Saya pernah menonton sebuah filem Barat mengenai ketinggian peribadi seorang tentera. Tentera ini sangat menghormati kepada ikrar dan sumpah setia perkhidmatannya. Dia sangat menghormati kepada ketua dan sedia berkorban untuk negara atas arahan bosnya. Kerana semangat tentera itu sudah 'menjelirat' ke dalam darahnya, hingga ke saat beliau hendak menghebuskan nafas terakhirnya dia masih angkat tangan, (tabik) kepada ketuanya yang menziarahi dia saat di sakaratumaut itu.

Nah.. begitu juga dengan polis, apa lagi orang seperti Musa Hasan, bekas IGP. Orang yang bertaraf sepertinya tidak mungkin akan terbalik ketaatanya kepada kerajaannya dengan begitu mudah kalau tanpa ada sebab musabab besar. Apa lagi kenaikannya menjawat jawatan itu dengan melangkau beberapa orang pegawai senior lain lagilah dia perlu berdisiplin. Dalam kata lain kenaikan Musa menjadi IGP kerana ada sebab bersebab tentulah dia berterima kasih banyak kepada 'rekmendor'nya.

Jadi apabila dia menunjukkan angin kepada Pakatan Rakyat menyebabkan saya berburuk sangka mengira ada sebab bersebab dan ada undang di sebalik batu. Saya mengambil pedoman bidalan orang tua-tua; tempuan tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada mengada. Justeru apabila Musa menunjukkan baik hati dan buang tabiat ingin berbudi dengan Pakatan Rakyat tertentu ia ada motif tersirat.

Lantaran itu sebaik saya mengetahui dia sedang merisik untuk menyertai PAS, saya terus menembaknya awal-awal lagi. Saya memberi ingatan kepada PAS agar tidak mudah terpesona dan tertawan dengan perubahan fiil perangai Musa Hasan. Gara-gara itu menyebabkan Musa terpaksa menafikan dan PAS juga terpaksa membuat penelitian semula terhadap sikap ganjil Musa.

Wahasilnya dia tidak jadi mengisi borang PAS. Terima kasih kepada tokoh veteran Umno yang memecahkan maklumat ini kepada saya. Mungkin kalau maklumat ini tidak terpecah awal boleh jadi Musa kini sudah pun berada dalam PAS, dan telah pun hadir ke muktamar PAS di Kota Bharu yang lalu.

Apabila beliau gagal untuk menyusup di dalam PAS dan memecah belah kepaduan PAS dengan parti Pakatan Rakyat khasnya PKR, beliau membuat tektik dan strategi lain. Musa memang seorang hebat dan tidak tahu malu muka. Seorang tali barut yang bagus. Bayaran atau pun benefit yang bakal diperolehinya kalau misinya berjaya mungkin dapat membayar segala malu aid dan maruahnnya yang tergadai kerana aksi itu.

Selepas gagak mengetuk pintu PAS dia berjinak-jinak pula dengan Anwar Ibrahim. Langkah pertama dia menarik balik saman ke atas Anwar Ibrahim berhubung dakwaan Anwar di dalam satu laporan polis menuduh dia terlibat dalam menyembunyikan maklumat bersama Ghani Petail. Penarikan balikan saman itu mengejutkan bukan saja Anwar tetapi orang ramai juga. Apa lagi ianya bukan atas kehendak Anwar.

Semua orang naik bingung dan mula merasakan Musa seorang yang baik dan lebih diharapkan dia akan membantu perjuangan Anwar kononnya atas rasa insaf kerana menyusahkan Anwar sewaktu era reformasi dulu. Mereka yang berhati lembut mulai merasa lunak dengan Musa dan suka sangat kalau dia berbalik hati memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.  Kehadiran Musa itu akan disambut dengan pulut kuning dan ayam panggang.

Keberanian diambil oleh bekas Pengarah Siasatan Jenayah,  Fauzi Shaari dijadikan ukuran bagaimana hati nurani Musa terbuka dan menginsafi apa yang berlaku. Begitulah selalunya rakyat bersangkat baik kepada penjawat awam, walaupun rekod penjawat awam itu cemar dan buruk dan menyakitikan hati mereka sewaktu memegang kuasa.

Sebenarnya beberapa bulan sebelum Musa cuba menjinak diri dengan PAS sudah ditaburkan propoganda kononnya Musa seorang yang kuat bersembahyang. Nama ayahnya Hassan Azhaari digunakan untuk mernunjukkan akan ketinggian budi dan akhlak bekas IGP ini. Saya sudah hairan kenapa nama Musa tiba-tiba dijaja dengan sebegitu rupa. Belum pernah selama beliau berkhidmat di dalam pasukan polis nama baik dan maruah ayahnya ditimbulkan bersama namanya. Rupa-rupanya ada muslihat di sebaliknya.

Seperti kata tadi selepas gagal menjinakkan PAS dia cuba menjinakkan Anwar pula. Anwar juga mulanya sudah mulai termakan dengan perangkap Musa dan mulai hendak jinak dengan Musa Hasan. Begitulah Anwar seorang yang tidak tahu berdendam dan pemafaat serta redha atas takdir yang berlaku mudah bersangka baik. Dia tidak tahu implikasi di sebalik bersangka baik sebab itu dia selalu kena main dalam manis oleh konspirator yang hendak menjatuh dan memusnahkan kerjaya politiknya.

Ketika saya berjumpa dengannya di mahkamah, dengan bangga Anwar bercerita kepada saya yang Musa telah berubah hati dan bersedia membantu Pakatan Rakyat. Kononnya Musa akan mendedah berberapa tembelang polis dan kerajaan yang masih menjadi msiteri sebelum ini. Cara Anwar bercerita hari itu beliau yakin sangat dengan madah berhelah Musa itu.

"You tahu Musa Hassan pun telah mula berubah," begitulah Anwar membuka cerita. Saya tahu dia mahu menarik perhatian saya. Saat itu kami kebetulan sedang minum di kantin kompleks mahkamah selepas rihat pendengaran bicara satu kesnya. Meja kami berdekatan dan dia datang berdiri di meja kami.

"Dia dah tarik saman ke atas saya," sambungnya lagi dengan wajah ceria. Saya tidak memberi respon pantas dan hanya mendengar saja.

Entah macam mana hati saya mendidih dengan tiba-tiba apabila mendengar nama Musa Hasan yang terus disebut-sebutnya itu lantas bekata; "saya ingat Pak Sheikh jangan percayakan Musa, dia ada udang di sebaoik batu. Dia nak kenakan Pak Sheikh saja," kata saya. Anwar tercenggang dan mengenyitkan kening macam Ziana Zain seakan tidak percaya dengan apa yang saya katakan.

"Jangan mudah percaya Pak Sheikh, dia ada motif," tekan saya lagi dengan lebih tegas. Adik Anwar, Rosli yang berdiri di sampng kami terus menyampuk; "aku dah kata dah...," Rosli bersetuju dengan pandangan saya dan dia terus meninggalkan saya bercacangan dengan Anwar. Mungkin Rosli berbulu dengan sikap dan perangai abangnya yang mudah kesian dan percayakan orang itu.

"Tetapi... ok la...," Anwar sambung lagi sekaan kurang senang dan cuba menyenangkan saya. "Itu...pun bersama kita," tingkah lagi Anwar sambil memberi isyarat kepada bekas Ketua Pendakwa yang mengendalikan kes liwat II nya dulu dan kini telah bertindak membelanya pula. Anwar mengambil contoh pendakwa itu terhadap apa yang berlaku ke atas Musa Hasan.

Bila saya menunjukkan kejengkilan kepada Musa, Anwar jadi serba salah hari itu untuk menceritakan perubahan Musa. Dia tidak senang dengan gelagat saya. Hari itu juga dia menyebut, Musa ada hendak berjumpa dengannya. "Dia nak jumpa saya, tetapi saya suruh jumpa orang lain dululah..." ceritanya menyebabkan saya sekali lagi menegaskan; "lebih baik you jangan layan, bahaya."

Saya tidak tahu apakah Anwar jumpa Musa atau tidak. Tetapi dari makluman dalaman saya dapat tahu Anwar tidak berjumpa dengan Musa. Musa terus juga hasratnya hendak jumpa dengan Anwar. Dia  meminta bantuan bekas seorang pegawai polis tetapi Anwar tetap tidak mahu berjumpa. Mungkin Anwar menemui petanda baru bahawa tujuan Musa berbaik dengannya itu adalah tektik untuk memecahkan hubungannya dengan rakan dalam Pakatan dan membuat onar dalam PKR.

Dan, Musa Hasan ternyata frust dengan dua kegagalan itu; menyertai PAS dan berbaik dengan Anwar. Rasa kecewa Musa ini jelas sekali apabila beliau telah meralatkan semula kritikan beliau ke atas polis yang agak lantang sebelum ini dengan mengatakan jangan salah anggap sikap vokalnya kepada polis. Sebelum ini, sewaktu hendak berbaik dengan Anwar bukan main lagi dia mengkritik kepimpinan polis yang kononnya berlaku penyalahgunakan kuasa.

Penjelamaan beliau dalam majlis Bicara Mahathir, di Karangkraf beberapa minggu lalu pula menjelaskan siapa dia Musa sebenarnya. Kehadiran itu menunjukkan keakraban dia dengan Mahathir dan masih melaksanakan misi atas kehendak Mahathir? Dia masih belum berubah dan apa yang cuba dilakukan sebelum ini adalah strategi dan sandiwara semata-mata.

Terbaru tuduhan Musa kononnya Pakatan Rajkyat akan menghidupkan semula akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Apa tujuan dan motifnya. Tuduhan itu jelas berniat jahat ke atas Anwar Ibrahim. Dia mahu agar orang Melayu marah kepada Anwar. Tuduhan itu menjelaskan betapa busuk pahitnya hati Musa Hasan.

Dia ini sanggup melakukan saja untuk survivenya. Kalau dia tahu asal usul dan perjuangan menentang ISA dia tidak akan buat tuduhan itu. Dia tidak akan tergamak untuk bercakap bohong dan menyatakan sesuatu yang semua tahu. Siapakah yang memperjuangkan untuk memansuhkan ISA. Apakah Umno dan Mahathir atau pun Anwar dan Pakatan Rakyat?

'Debek' dan 'ngor' sangatlah sebagai bekas IGP tidak mengetahui sejarah mengenai ISA dan perjuangan menentang akta berkenaan. Jadi sekali lagi tindakan dan fitnah Musa itu menggambarkan rupa dirinya sebenar. Dalam banyak hal saya nampak Musa sama mempunyai watak dan bentuk hati seperti Mahathir. Suka melempar batu sembunyi tangan dan mengamalkan politik kotor tanpa mengira masa dan ketika. Yang penting semua itu akan memuaskan hatinya.

Bila mengenangkan kecelaruan Musa hari ini saya merasa bahagia kerana apa yang saya bimbangi terhadapnya tidak sempat menjadi kenyataan. Musa gagal untuk memecah belahkan PAS, Anwar dan Pakatan Rakyat dengan menjadi tali barut atau pun musang berbulu ayam dalam mana-mana parti Pakatan Rakyat.  [wm.kl.1:19 pm 02/02/13]

Tiada ulasan: