Ahad, 17 Februari 2013

.

.


Duhai Melayu Belajar Dengan Dong Zong

Posted: 17 Feb 2013 03:05 AM PST

RENUNGAN SENJA                                                                                                               

Najib Razak hari ini mencatat satu lagi sejarah baru sebagai perdana menteri pertama yang menghadiri majlis anjuran persatuan pendidikan dan budaya Cina, Dong Zong. Sebulan lepas Najib telah mencatat rekod sebagai perdana menteri Malaysia pertama yang menjejak kaki ke bumi Ghozzah.

Kehadiran Najib atau mana-mana pemimpin Melayu dalam majlis tegar kaum lain (rasis) termasuk majlis Thaipusam dan sebagainya merombak tradisi sebelum ini. Sebelum ini orang Melayu dan pemimpinnya agak 'seme' (malu-malu atau segan) untuk hadir ke majlis berkenaan. Namun hari ini atas nama anjakan 'transformasi' dan ledakan 'reformasi' ianya dilakukan tanpa segan dan 'seme mata' lagi.

Tidak dipastikan apakah kehadiran Najib itu memberi keuntungan politik kepadanya sekiranya kesediaannya mencemarkan duli itu bertujuan politik? 


Majlis anjuran Dong Zong itu diadakan sempena majlis sambutan Tahun Baru Cina. Najib juga ikut sama mengaul mee perpaduan (yee sang) dengan pemimpin Dong Zong termasuk pengerusinya Dr Yap Tian Sing. Katanya Najib tidak memberi apa-apa ucapan tetapi kehadiran itu sudah cukup bagi Dong Zong menjadikannya sebagai satu 'sejarah' dan perintis pembuka pintu lebih luas.

Kalau Najib gembira kerana diberi sambutan oleh 5,000 orang, Dong Zong lebih gembira lagi daripada Najib. Lebih bermakna dari itu apabila ketua pembangkang yang disebut-sebut bakal menjadi perdana menteri Anwar Ibrahim juga turut sama hadir walaupun bukan serentak dan sama-sama memegang chop stick untuk menggaul mee.

Dong Zong sudah tentu gembira kerana mereka dapat bertemu dengan dua orang tokoh besar yang menjadi defacto di negara ini dalam satu majlis yang sama anjuran mereka. Kehadiran Najib - Anwar sangat bererti dan membawa signifiken tersendiri. Dalam bahasa bambastiknya Dong Zong berjaya memasukkan dua ekor jaguh ke dalam satu perkup.

Nasib baik presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak diundang sama. Saya pasti kalau diundang Abdul Hadi juga akan mengangkat jubah dan hadir. Kalau Abdul Hadi juga turut sama hadir, Dong Zong berjaya memasukkan tiga jaguh Melayu ke dalam satu perkup busuk. Mursyidul Am PAS Nik Aziz terselamat kerana tatkala ini beliau masih di Makkah.

Kehadiran Najib, Anwar dan beberapa pemimpin lain itu memang menyeronokkan Dong Zong. NGO itu wajar bergembira dan merasakan mereka hebat kerana jarang dua tokoh besar yang berbeza ideologi politik dan kebetulan pula sedang merebut kerusi sama hadir dalam satu majlis. Kehadiran itu satu penghormatan buat mereka.

Kesediaan Najib dan Anwar hadir itu satu kejayaan dan sekaligus meletakkan Zong Dong sebagai NGO dihormati dan ada berwibawa. Ia jauh lebih baik dari Perkasa(m) dan juga Ngo beras jati. Kerja-kerja meletakkan pemimpin berterusan di antara satu sama lain seharusnya dilakukan oleh Perkasa(m), beras jati dan NGO Islam dan Melayu lain. Tetapi malang NGO Melayu dan bercirikan Islam lebih suka menjadi keldai perut labuh daripada memainkan peranan sebenar untuk menjaga kepentingan bersama - bangsa, agama dan negara.

Mungkin Dong Zong bercadang atau mahu melihat Anwar dan Najib sama-sama mengaul mee. Malangnya tidak terjadi mungkin kerana mereka memahami akan perseteruan 'mak anak' di antara kedua tokoh itu. Bagaimana pun Dong Zong sudah berpuas hati dan matlamat mereka tercapai apabila Najib mengatakan persetujuan untuk berjumpa Dong Zong secara rasmi selepas raya Cina ini.

Dong Zong adalah NGO yang menjaga kepentingan dan hak kaum Cina di negara ini. Ia tidak menampakkan kecenderongan politik kepada mana-mana pihak. Sekilas pandang ia ikhlas. Tetapi tidak dapat siapa menafikan yang Dong Zong memperjuangkan nilai-nilanya sendiri. Seperti mana yang dijelaskan di dalam surat jemputan ke atas Najib, Dong Zong menggariskan tiga isu utamanya.

Pertama, meminta kerajaan mengikhtiraf sijil peperiksaan bersepadu (UEC), membina lebih banyak sekolah bebas dan menyemak semula blue print pendidikan nasional. Inilah asas perjuangan Dong Zong yang tidak pernah dihentikan. Ketiga-tiga isu atau tuntutan ini sesuatu yang berat untuk dilaksanakan kerana ia boleh merosakkan dasar pendidikan negara.

Dong Zong tidak perlu dan mengharapkan Najib bercerita dan bercakap mengenai isu-isu atau tuntutan mereka. Tetapi apabila Najib memberi kesanggupan bersedia untuk berjumpa ia sudah satu kejayaan dan doa merek termakhbul. Selalunya pertemuan pertama akan diikuti dengan pertemuan kedua dan seterusnya akan disusuli dengan perundingan. Yang penting ialah pertemuan dan katajanji. Masa dan ketika diambil oleh Dong Zong untuk memulakan 'sesuatu yang baru' seperti mana kata timbalan pengerusi Dong Zong, Chow Sie Hon adalah tepat dan strategik.

Dong Zong tahu waktu ini Najib dan Anwar sedang merebut pengaruh untuk menang kemudian menjadi perdana menteri. Mereka tahu kedua tokoh ini sedang berpatah arang berkerat rotan. Kerana itu Dong Zong masuk celah (line) waktu ini. Baginya mereka, bukan soal siapa kalah dan siapa menang, yang penting kepentingan Dong Zong akan tercapai, kemenangan Dong Zong itu mustahak.

Setelah Najib memberi kesanggupan itu, Anwar juga akan memberi kesanggupan yang sama. Kalau Najib membawa buah tangan, Anwar juga akan boleh menjanjikan buah tangan. Najib dan Anwar sedang berlumba tawaran untuk orang Cina dan India di negara ini. Mereka dikejar oleh ombak nasfu politik sedhingga tidak mengenali lagi kepala naga di hadapan mereka.

Najib boleh terus memberi apa yang dikehendak kerana beliau memiliki kuasa. Manakala Anwar pula hanya boleh berjanji saja namun itu pun cukup kerana Dong Zong bijak membaca masa depan politik negara ini. Kalau Dong Zong memberi sesuatu baik kepada Anwar atau Najib mereka mengharapkan sesuatu imbuhan lain.

Di sinilah kebijaksanaan Dong Zong mengundang kedua pemimpin berkenaan. Kalau ini disebut perangkap, maka baik Najib dan Anwar tidak mengenali perangkap berkenaan. Atau pun kalau mereka menyedari ianya perangkap, tetapi mereka lupakannya juga, ternyatalah ianya dibuat demi kuasa. Inilah cara orang Melayu berpolitik meletakkan kepentingan diri dan puak lebih penting dari kepentingan-kepentingan asas negara yang lain.

Dalam isu Dong Zong ini baik Najib dan Anwar sepatut mengecualikan diri dan tidak menjadikan ia sebagai isu politik. Mereka harus sepakat dan understanding menolak untuk menjadi tetamu. Mereka harus sepakat dan sekata bahawa isu-isu dibangkit oleh Dong Zong hendaklah dibincang di luar  kerangka atau pun periode politik yang boleh memerangkap diri masing-masing.

Keadaan ini sungguh membimbangkan. Orang Cina menerusi berbagai helah dan muslihatnya mereka akan berusaha untuk memiliki apa saja yang mereka ingini tanpa bertungkus lumus atau berperang dengan mana-mana pihak. Cukup bagai mereka kekal sebagai kuasa pendesak dan menjadi bargaining power. Orang Cina hanya perlu menjadi kuda yang membunyikan suara untuk melihat orang Melayu lari bercemperaian.


Orang Melayu khasnya para pemimpin tahu akan implikasi ini. Atau pun kalau sudah tahu harus mencari jalan dan ikhtiar bagaimana untuk tidak terus terperangkap dalam jerat kumpulan-kumpulan seperti Dong Zong ini. Pada masa ini saya melihat kumpulan Hindraf juga berkecenderongan untuk menjadi seperti Dong Zong ini. Hindraf yang ditubuhkan oleh masyarakat India ini juga sedang memperjuangkan nasib diri kaum berkenaan. Sedar atau tidak, di negara kita ini ada dua kumpulan yang sedang memperjuangkan 'kemerdekaan' kaum mereka dari dalam negara yang sudah merdeka ini.

Sementara itu bangsa Melayu yang berbangga dengan proklamasi kemerdekaan mereka terdodoi dan asyik dengan ilusi dan nostalagia lampau kononnya mereka sudah merdeka, tamadun dan maju. Sebab terkhayalkan dengan ilusi dan sejarah proklomasi itulah menyebabkan bangsa Melayu kini sudah tidak mantap lagi dan pemimpin mereka pula terus bercelaru melayan hak dan permintaan orang lain lebih utama dari memikirkan nasib badan sendiri.

Duhai orang Melayu belajar hidup, belajar menutut hak dan belajar memperjuangkan kemerdekaan dalam negara merdeka seperti Dong Zong dan Hindraf itu. Sebenarnya orang Melayu juga tidak merdeka dalam sebuah negara yang telah merdeka ini. Mat... Mat mana lagi Mat Maslan lah, apa khabar sihat ke? Felda macam mana? [wm.kl. 6:43 pm 17/02/13]

Untuk ke Makkah Perlu Menanti Seru

Posted: 16 Feb 2013 10:30 PM PST

MUSAFIR KE TANAH SUCI                                                                                          

Seminggu lalu para pembaca blog ini tertanya-tanya mengenai saya, kenapa saya tidak up-date blog dan membiarkan saja beberapa persoalan yang terladum dalam posting terakhir; mengenai perjumpaan 'gelap' di antara Timbalan Mursyidul Am PAS Haron Din dengan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.

Suasana di makam Nabi senantiasa penuh sesak.
Semua sudah tahu ke mana saya menghilang selama satu minggu, bermula 9 hingga 16 Februari - saya ke tanah suci Makkah dan Madinah - menjadi tetamu Allah bagi tahun ini. Iya, apabila Dia sudah memanggil saya tidak akan berlenggah dan sanggup menangguhkan segala urusan lain. Politik Allah lebih penting daripada segala politik lain. Hatta sekiranya parlimen sudah dibubar kalau Allah dan Nabi memanggil ke sana saya harus mengutamakan mereka.

(Saya bukan ahli politik yang gilakan kerusi dan kedudukan. Pernah berlaku seorang bekas wakil rakyat yang membawsa rombongan Haji pulang tergesa-gesa meninggalkan jemaah kerana parlimen sudah dibubarkan. Beliau pulang bimbang namanya tidak dicalonkan. Hendak dijadikan petunjuk, bekas wakil rakyat berkenaan tidak pun dicalonkan oleh partinya).

Menjadi tabiat saya kalau saya hendak turun ke Makkah dan Madinah saya tidak mengkhabarkan kepada sesiapa. Hatta isteri dan anak-anak juga tahu di saat-saat hendak berangkat. Ibu pula akan saya hubungi tatkala dalam perjalanan ke airport untuk memohon doa restu darinya.

Perangai saya ini bukan baru, sejak tahun 80-an lagi. Saya seorang yang simple dan suka melakukan perjalanan kembara bersendirian. Hidup saya tidak ada batas-batas masa yang lazim dilakukan oleh orang lain. Bagi saya walaupun berjalan sendiri ada keburukan tetapi, ia menjadi kesukaan saya kerana ia ringkas dan menyenangkan. Bagi orang seperti saya yang tidak suka berlenggah, tidak sabar menanti dan benci kepada birokrasi tidak boleh terikat dengan kerenah-kerenah tertentu. Saya tegas dengan kata-kata dan tidak mudah kompromi dengan sebarang maksud melenggahkan waktu dan masa.

Sebab itu di dalam facebook saya akan bertindak remove mana-mana kawan yang degil atau pun suka memperolok-olok atau bergurau tanpa mengira masa dan keadaan.

Kalau merantau saya selalu bersendirian dan tidak suka kepada berpasukan kerana bagi saya perjalanan secara kabilah merumitkan kerana terpaksa mengikut jadual dan peraturan serta rukun-rukun tertentu. Satu hal lain perjalanan saya, bukan saja fokus kepada apa yang diagendakan tetapi saya suka melihat kepada sudut-sudut atau ruang yang tidak terbentang di mata.

Pernah satu tahun saya meninggalkan anak dan isteri lebih sebulan kerana menggembara di beberapa buah negeri di Asia Tenggara - dari Bangkok, Pakistan, Syria, Lebanon, Iran, Uzbekistan, Mesir, hingga ke Sudan. Ketika itu anak ketiga saya, Erma Esmah masih dalam pantang. Saya bernasib baik isteri pula seorang yang tidak pernah bertanya ke mana saya hendak pergi, hanya mengetahui apabila saya sudah berada di Bangkok.

Isteri saya sudah masak mengenai 'teladan' hidup dan perjuangan saya. Di malam pertama perkahwinan lagi saya menyebut kepadanya, seorang penulis dan perjuang seperti saya ini tidak terikat dengan rukun-rukun rumah tangga biasa. Saya akan pergi tidak tentu masa dan akan pulang tidak diduga. Kelangsungan hidup begini adalah atas kefahaman dan pengertian tinggi dari isteri. Dan inilah juga kekuatan yang ada kepada saya.

Tradisi dan perangai itu terbawa-bawa sampai ke hari ini. Jadi kalau saya tidak meninggalkan apa-apa nota di blog saya memaklumkan ke mana saya, itu adalah perkara biasa. Dari kerenah ini anda semua akan memahami diri saya. Namun ianya tidak sezalim mana, kerana perjalanan dan perkembangan diri saya masih dimaklumkan menerusi facebook atau twitter. Sesiapa yang menjadi sobat dan 'saing' saya akan mengikut perkembangan saya di Fb di mana sesekali saya ada mencatat dan memberi klu di mana saya berada menerusi medium berkenaan.

Bukit di belakang itulah Nabi dihumban batu.
Lantaran itu ramai yang bertanya tentang saya dan mendoakan saya agar saya selamat dan dapat membuat catatan, susupan malam, susupan siang atau pun catatan selepas Subuh. Bila saya buka email banyak komen berkaitan beberapa posting sebelum ini tidak diurus-diposkan. Maaflah. Lebih 200 email yang mendap dalam box komen saya dan tidak larat pula untuk saya membaca satu persatu. Jadi kalau komen-komen yang berkualiti dan tidak dilepaskan harap maaf kerana saya belum membaca dan menelitinya.

Banyak komen yang menyentuh mengenai kunjungan Haron Din kepada Anwar Ibrahim. Masing-masing menyatakan suspen dan minta saya menjelaskan lagi apakah tujuan dan maksud pertemuan mereka. Mereka yang mengenali saya baik semasa di Colombo, Madinah dan Makkah bertanya perihal itu. Semua ghairah dengan maklumat itu. Tetapi saya tidak sedia melayan kerana tahu di mana bumi di pijak.

Makam syuhak Uhud. Di depan makam Hamzah.
Isu itu saya rasa ia sudah tidak perlu dijelaskan lagi. Teka teki dan kemisterian itu sudah pun terjawab. PAS sendiri menerusi Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah membuat penjelasan; kononnya solusi yang dibawa oleh Haron Din itu seperti dilaporkan oleh media PB tidak benar. Ia adalah fitnah akhbar yang suka membuat fitnah semata-mata. Apa dilaporkan akhbar pemfitnah nombor wahid berkelas A itu, kononnya Haron Din berjumpa Anwar kerana membawa amanat parti. Sebenarnya tidak begitulah kata Nik Aziz?

Pun begitu mungkin ramai yang tidak berpuas hati dengan penjelasan itu seolah ianya cuba menenangkan keadaan saja. Lagipun mereka melihat penjelasan Nik Aziz itu sebagai penjelasan politik bukan penjelasan leteral kepada apa yang berlaku atau diberi tahu. Kita tunggulah penjelasan daripada Anwar Ibrahim pula apakah kedatangan Haron Din itu membawa secangkir air tawar (air jampi) untuk Anwar bagi menghilangkan sakit belakang dan tengkoknya atau apa? Kita berharap Anwar akan berkongsi cerita mengenai perjumpaan dengan Haron Din itu.

Apa-apa perkembangan atau konsensus baru yang diambil dalam mana-mana parti yang bergabung dengan Pakatan Rakyat perlu didedahkan kepada rakyat. Ia jangan menjadi rahsia atau pun 'bom jangka' kepada parti-parti berkenaan. Rakyat hari ini memerlukan kepada sikap terbuka dan gentlemen bukannya main tusuk-tusuk punca.

Plan bagaimana umat Islam diserang dari atas bukit.
Biarlah kita tingalkan cerita itu, saya akan 'kuban' di lain masa kalau ia masih disebut atau pun diselindungkan. Di sini saya ingin kongsikan sedikit senario perjalanan saya ke Madinah dan Makkah serta sedikit info terbaru apa yang berlaku di sekitar masjid Haram kini yang rancak dengan urbanisasinya yang tidak pernah habis-habis kerana untuk menampung tetamu Allah yang bertambah setiap tahun.

Perjalanan saya ke tanah suci kali ini menelan masa yang panjang dan agak berbeza sedikit dengan perjalanan sebelum ini. Perjalanan kali ini menelan masa selama 15 jam, di mana hampir separuh kali ganda dengan perjalanan biasa. Ini kerana perjalanan ini menyinggahkan saya di Colombo Sri Lanka. Selalunya perjalanan saya ke tanah suci akan memasuki Makkah kemudian ke Madinah baru selepas itu menyinggahi lokasi lain.

Berbicara soal ke Makkah ini saya sangat percaya untuk ke sana perlu ada perestuan atau pun 'visa' dari Allah sendiri. Visa yang dikeluarkan Arab Saudi belum tentu lagi akan membawa kita ke sana. Setengah orang sudah ada multi visa tetapi masih tetap tidak berjaya mendarat di Makkah. Ada orang menanggapi untuk ke Makkah ini mudah asal cukup wang dan sihat tubuh badan boleh ke sana. Tetap tidak begitu sebenarnya.

Walaupun ia kelihatan mudah dan rumah Allah adalah rumah terbuka sepanjang masa, namun ia tidak terbuka kepada orang yang tidak dijemput. Bagi mereka yang tidak dibuka kamar puadnya oleh Allah tidak akan sampai rumah-Nya. Mereka yang tidak diseru-seru oleh Nabi Muhammad s.a.w tidak akan sampai ke bandarayanya, di Madinah.

Benarlah kata orang, untuk ke Makkah perlu ada seruan, perlu ada taufik dan perlu ada hidayah. Ada wang dan mampu dari segala aspek duniawi belum tentu akan sampai ke sana. Saya sendiri tidak pernah merasakanya dan berkemampuan untuk ke sana. Tetapi alhamdulilah setiap tahun saya sempat menyinggahkan kaki ke dua-dua laman yang pernah berkat itu. Terasa diri dan hati tidak akan senang kalau dalam setahun tidak menyentuh bumi keberkatan itu dan menghirup zam-zam sepuas-puasnya. Dari mana dapat wang?

Ada kalanya dalam kita tidak merancang untuk ke sana, tiba-tiba kita akan diterbangkan ke sana. Adalah sebab musababnya yang sukar untuk dihuraikan akan hubung kait dan makrifahnya. Sebab itu saya kata kepada kawan-kawan untuk ke Makkah bukan soal wang dan keperluan lain tetapi cukup apabila ada azam. Untuk ke Makkah tidak perlu tikit kapal terbang, tetapi cukup dengan azam dan keinginan yang kuat, insya-Allah akan sampai ke sana.

Tuhan yang sifatnya tidak buta dan pekak, Maha Pengasih dan Maha Pemurah, senantiasa mendengar doa dan pengharapan kita. Dia akan memenuhi apa yang kita minta tanpa dalam sedarkan. Soalnya apakah kita pernah berdoa kepada-Nya meminta agar dibawa ke laman rumah-Nya? Maaflah, ini saya sebut sebagai iktibar dan semangat untuk rakan-rakan yang seakan merintih kerana belum kesempatan ke sana walaupun saya lihat mereka mampu dan berduit. Jika masih belum berkesempatan tetapi kalau niat sudah terpasang dikira sudah mendapat pahala.

Di Colombo tidak ada aktiviti apa-apa melainkan hanya singgah sebagai transit sahaja. Barangkali jarang diketahui bahawa bumi ini ada hubung kait dengan ketamadunan Islam. Di bumi inilah dipercaya tempat Adam a.s di syariatkan di atas dunia ini. Tempat itu dikenali sebagai Adam's Peak. Adam adalah bapa segala manusia. Baginda dilontarkan ke bumi selepas terpedaya dengan hasutan syaitan supaya menelan huldi.

Masjid Quba, masjid yang pertama dibina Rasulullah.
Manakala Hawa pula yang turut sama dilontar jatuh di Jeddah. Makamnya terdapat di sini. Mereka berdua kemudian bertemu di atas Bukit Rahmah di Arafah - Padang Arafah yang dikenali dengan Padang Pertemuan. Setiap tahun jutaan manusia akan berhimpun di sini dalam rangka mengerjakan Haji. Padang ini akan kelihatan putih dengan manusia yang bersantai dan duduk bermunajat dan berdoa kepada Allah untuk mendapat keberkatan dan keredahaan.

Siap berikhram di Bir Ali.
Arafah dianggap sebagai lokasi yang penuh keberkatan. Manakala Bukit Rahmah pula dijadikan lokasi tempat mereka yang masih belum bertemu jodoh berdoa untuk mendapatkan jodoh!

Penerbangan dari Colombo ke Jeddah memakan masa selama lima jam setengah. Perjalanan disambung pula dengan bas menuju ke Madinah untuk berjumpa Rasulullah yang memakan masa kira-kira lima jam. Satu perjalanan yang meletihkan sebenarnya tetapi kerana hati sudah bersama Rasulullah keletihan itu terhalau begitu saja.

Kepuasan dan segala penat akan hilang tatkala begitu terlihat dome masjid Nabawi berwarna hijau di mana di bawahnya terletak makam Rasulullah. Hati merasa lega dan sekawan hiba terus menyewah ke dalam hati lantas membikin sebak dan menjuraikan air mata. Selalu menjadi amalan saya, berdoa dan menyampai salam segenap orang yang berkirim salam kepada Nabi.

Menjadi tradisi saya apabila melewati makam Rasululah akan menyampaikan salam ibu, salam isteri dan salam anak-anak, menanti dan cucu kepada Rasulullah. Seluruh hati orang kampung saya paut kemudian bawa ke makam Rasulullah. Selepas itu saya menyampaikan salam sahabat handai dan kawan-kawan. Saya rangkulkan sekali semua rakan Fb dan penjenguk blog saya, termasuklah yang memaki hamun dan mencincang penulisan saya.

Mana-mana kawan yang mendoakan keselamatan dan kesihatan saya, saya dahulukan memberi dan menyampaikan salam mereka serta memohon kepada Rasululullah agar segera memanggil mereka ke negeri Baldatu toyibah itu.

Entah mengapa setiap kali tatkala saya melewati dan bertafakurkan sejenak dihadapan makam Nabi hati menjadi kelam dan diri menangis. Bimbang kalau Nabi tidak menerima saya sebagai umatnya. Betapa malang dan hinanya saya kalau Rasulullah tidak mengakui saya sebagai umat. Semua kehebatan, kekayaan dan keagungan duniawi yang dimiliki ini sia-sia saja kalau Nabi tidak menerima sebagai umatnya. Semuanya tidak membawa apa-apa makna dan erti.

Dalam rangka mengerjakan umrah saya miqat di Bir Ali. Sesudah itu akan meneruskan perjalanan ke Makkah. Tidak banyak kunjungan dan ziarah luar di Madinah, kerana sudah kerap, kecualikan saya ke makam para syuhadah di Bukit Uhud. Ke makam di syuhadah ini tidak pernah terlepas. Berdoa kepada mereka dan berterima kasih atas jihad mereka. Kerana keberanian, jihad dan pengorbanan merekalah memberi kita untuk mengenali agama Islam yang kita anuti hari ini.

Betapa jasa dan pengorbanan mereka seperti Hamzah Abdul Mutalib ibni Hasyim, Abdullah bin Jahsyi, Musa'ad bin Umair, Shammas bin Utsman, Amru bin Mu'adz bin An Nu'man dan lain-lain. Di sini saya berdoa agar mereka semua memanggil saya dan kita semua agar bersama mereka. Doa penting saya di sinilah ialah; Tuhan.. Kau istiqamahkan perjuanganku, kuatkan imamku, dan Kau syahidlah aku seperti mana Kau syahidkan mereka.

Setakat ini dulu letih dan akan di sambung bahagian kedua mengenai Makkah. [wm.kl.1:19 pm 17/02/2003]

Konsert Psy Di Pulau Pinang Diganggu Rosmah?

Posted: 16 Feb 2013 05:08 AM PST

RAHSIA BERITA                                                                                                                

Semasa di Makkah saya tidak banyak membaca laporan politik tanah air tetapi tidak bermakna saya melupai terus negara. Sambil menjalani ibadat, hati dan perasaan tetap juga terkenang kepada negara. Salah satu kejadian yang dilaporkan dan mendapat perhatian saya ialah mengenai konsert kumpulan Gangnam dari Korea Psy.

Katanya konsert Psy Gangnam Style berkenaan kecoh dan tidak berjalan seperti mana dirancangkan. UBN tidak mendapat manfaat besar dari pengundangan Psy untuk menghibur masyarakat Cina sempena dengan tahun baru Cina. Konsert yang diadakan di Pulau Pinang itu menjadi kontroversi apabila dikatakan berlaku salah faham sehinga Psy enggan tampil ke pentas walaupun di undang oleh Perdana Menteri Najib Razak.

Najib katanya memanggil Psy untuk tampil dipentas bersamanya bagi mengaul mee (yee sang)  bersama-samanya bersama pemimpin BN lain. Psy tidak menyahut seruan Najib dan keadaan itu memalukan perdana menteri berkenaan.

Najib juga dapat malu besar apabila beliau membuat provokasi dengan bertanya hadirin apakah sudah sedia dengan Psy, orang ramai menjawab yes dan apabila ditanya apakah sedia dengan BN, hadirin menjawab NO.

Sesampai di lapangan terbang KLIA tadi baru saya dapat tahu apa yang berlaku sebenarnya. Seorang pemimpin Umno yang berkebetulan satu penerbangan dengan saya yang mendapat maklumat dalaman memberi tahu apa yang berlaku dari versi Umno.

Katanya kontroversi konsert berkenaan sehingga perdana menteri mendapat malu ialah disebabkan sikap 'geleteh' Rosmah Mansor. Menurut makluman dalam Umno memberi tahunya, Rosmah ikut sama tampil di pentas dengan menyanyikan sebuah lagi Cina. "Penampilan Rosmah itu menyebabkan konsert berkenaan sedikit terganggu dan dianggap sebagai rosak," jelasnya.

Pihak penganjur khasnya pengurus pentas Psy tidak senang dengan telatah Rosmah itu dan gara-gara itulah apabila Najib memanggil Psy untuk naik ke pentas untuk menggaul mee dan bernyanyi dengan Najib dan pemimpin BN lain ditolaknya.

"Rosmah tidak patut masuk campur, dan inilah masalah sebenar Najib," katanya tokoh Umno itu dengan nada kesal. Sebenarnya apa yang menjadi perbualan rakyat bukan soal Najib tetapi telah dan sifat-sifat gelenyer Rosmah.

Walhasil balik asal, UBN yang mengharapkan mendapat lonjakan sokongan Cina dari konsert Gangnam berkenaan terjadi sebaliknya. [wm.kl. 9:02 pm 16/02/13]

Penahanan Senator Australia Menjejaskan Kredibiliti Kerajaan

Posted: 16 Feb 2013 04:38 AM PST

SUSUPAN MALAM                                                                                                          

Kepulangan saya dari Makkah hari ini disambut dengan penahanan Senator Australia Nick Xenophon oleh Imigresen di lapangan terbang tambang murah (LCCT) di Sepang. Senator itu ditahan kerana beliau disenaraikan sebagai musuh negara. Bagaimana pun kerajaan tidak menurunkan butir-butir penuh sebab apakah Xenphon disenaraikan sebagai musuh negara.

Seharusnya kerajaan perlu menyenaraikan beberapa bentuk kesalahan beliau sehingga beliau perlu dihalang memasuki ke negara ini. Di zaman langit terbuka dan Malaysia pua sering mendenagnkan sebagai sebuah negara demokratik penahanan itu menjadi sebaliknya.

Beliau dikatakan akan berada di negara ini bersama tiga delegasi terdiri dari NGO dari Australia untuk memantau sistem pilihan raya negara ini yang didakwa tidak telus. Tindakan mereka itu katanya kurang disenangi oleh kerajaan UBN.

Xenophon sebelum ini pernah datang ke Malaysia dan kali terakhir ialah sewaktu Bersih 3.0. Maklum terbaru mengenai nasib senator itu beliau akan dihantar pulang ke negaranya malam ini juga setelah di tahan beberapa jam di lokap di LCCT.

Persoalan kini apakah tindakan menahan senator bebas berkenaan tidak memburukkan reputasi kerajaan UBN? Sekiranya halangan terhadap Xenphon itu kerana tidak mahu beliau memantau perjalanan sistem pilihan raya negara ini, ia akan menjadi persoalan. Di satu sisi  kerajaan menerusi SPR mengatakan perjalanan pilihan raya negara ini telus dan adil, tetapi dalam masa lain kerajaan menghalang orang yang ingin memantaunya.

Kerajaan tidak perlu takut untuk membiarkan mana-mana pihak memantau proses pilihan raya negara ini kerana ia telus dan terbuka. Sebaliknya apabila ada halangan ke atas pemerhati, dakwaan pilihan raya itu telus dan terbuka boleh diragui dan bohong.

Kerajaan tidak perlu gerun untuk sesiapa sahaja membuat pemeriksaan ke atas apa-apa dasar dan polisi yang dilakukan selagi ianya adalah untuk kepentingan umum dan bukan atas tujuan mempersoalkan keselamatan negara. Demokrasi atau sistem pilihan raya adalah untuk kebaikan rakyat dan umum.

Dalam hal ini dilihat tindakan menghalang kemasukan Xenophon itu satu lagi tindakan kurang bijak dan demokratik oleh Hishmauddin Hussein sebagai menteri dalam negeri. Mungkin ianya disokong oleh penyokong tegar UBN tetapi dari sisi lain ia memberi reputasi buruk kepada pihak kerajaan. [wm.kl. 8: 30 pm 16/02/13]

Tiada ulasan: