Rabu, 20 Februari 2013

Biaqpila

Biaqpila


BR1M: KISAH SEDIH YANG MENYENTAP

Posted: 20 Feb 2013 04:00 AM PST


Gambar Hiasan

Admin saya ada cerita sedih sangat pasal pengambilan wang BRIM 2.0 Tu tadi kalau boleh sembunyikan identiti saya...

Tadi saya pergi ambil wang rm 500 tu atas nama bapa saya.... setelah bapa saya dapat mesej daripada ketua cawangan umno kawasan umah saya ni semalam supaya datang didewan serbaguna hari ni pukul 3 petang untuk ambil duit rm 500 tu.. dan hari ini saya pun pergi ke dewan tersebut tepat pukul 3 petang saya sudah sampai ke dewan tu... mewakili bapa saya yang lumpuh dan sakit dirumah...

Apabila sampai saya trus ambil baucer tu dan saya ada tanya kakak kat kaunter diluar dewan tu boleh ke saya ini nak ambil brim tu atas nama bapak saya kakak tu kata boleh tak ada masalah... dan saya pun trus beratur hampir sejam setengah baru tiba giliran saya.. bila sampai ke kaunter didalam dewan untuk menerima wang itu tetiba kakak yang jaga kaunter dipercayai puteri umno kerana mereka pakai tudung warna pink memberitahu saya tidak boleh ambil wang itu dia kena umpunya dri jugak datang baru boleh ambil wang itu.. Saya kata bapa saya lumpuh tak sihat tak boleh datang tadi kakak kat luar dewan kata boleh ambil kalau ada wakil yang merupakan anak2nya... Dia berkeras jugak... lepas tu pegawai bank yang duduk sebelah kkak tu pun menyampuk dan trus tinggi kan suara tak boleh dik dah tu peraturan yang ditetapkan nak buat macam mana.. kalau bapak kamu lumpuh sekali pun tak boleh jugak.. kena datang ke dewan ni tak kira la apa cara sekali pun.. saya kata la umah saya tak ada kereta ada motor je macam mana nak datang dengan keadaan bapa saya begitu.. Pegawai bank tu kata pandai2 kamu la pinjam kereta jiran ke...Dah nak duit orang kena la ikut peraturan yang orang tetapkan...

Saya mengucap panjang apabila kiri kanan orang mula tengok saya dan saya terasa amat malu sangat dengan layanan begitu rupa... Dan saya pun trus keluar dari dewan tu...
Saya anak tunggal Umur 23 tahun ibu dengan ayah saya dah tua tak berapa sihat... Saya bekerja di sebuah pasaraya gaji cukup2 je sebulan.. Sanggup saya ambil cuti tadi samata2 nak ambil brim untuk bapa saya tu... tetapi sedih sangat dengan duit brim semua tak dapat.. kerja pun tak pergi... saya sebenarnya tak berparti pun dua2 page saya ada like pro pr dengan pro bn... saya tak tau la ada orang lain kena macam saya ke tak...

Perasaan malu tadi hanya ALLAH Sahaja yang tau dah la beratur sejam lebih bukan ke duit brim tu duit hasil cukai ke jugak... Inshaallah setelah kejadian tadi saya dah tekad kami satu keluarga tidak akan sesekali undi kerajaan yang melayan rakyat sebegitu rupa... Maaf kalau susunan ayat tak betul saya belajar sampai SPM Je...
kisah ini berlaku di kawasan parlimen batu dewan serba guna taman melewar pukul 3 petang tadi.. maaf saya tak ingat nama kakak dan pegawai bank itu tak sempat pulak nak tengok name tag tadi sebab orang terlalu ramai dan malu teramat sangat.. saya bawa bukan setakat ic fotostet ic ori yang bapa saya pun ada saya bawa sekali.. tetapi tak dapat juga.. dia nak kena umpunya diri sign katanya..saya tak terfikir pun nak ambil gambar atau video saya pergi dengan niat nak ambil duit bukan nak buat provokasi.. saya belajar sampai SPM pun sebab ada kekangan masalah kewangan dan terpaksa jaga ayah dan ibu yang sudah uzur.. bukan saya malas inshaallah kalau ada kesempatan dan peluang saya akan sambung belajar lagi.. tak apa la duit itu mungkin bukan rezeki bapa saya..

Sumber: fb Malaysian Gags

STADIUM DI TERENGGANU RUNTUH LAGI

Posted: 19 Feb 2013 11:48 PM PST

Bumbung Stadium Sultan Mizan di Terengganu yang sedang diperbaiki runtuh sekali lagi dalam satu kejadian yang mencederakan tiga orang pekerja tempatan hari ini.

Laporan The Star Online menyebut, struktur besi untuk bumbung stadium tersebut runtuh dalam kejadian pada kira-kira jam 11.30 pagi ini.
Tiga orang pekerja yang terperangkap di bawah runtuhan tersebut berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Laporan itu juga menyebut, pihak bomba dan pois sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.Ia merupakan kejadian kedua selepas bahagian bumbung stadium di Gong Badak, Kuala Terengganu itu runtuh pada Jun 2009.

Gambar yang merakamkan kejadian itu beredar pantas di ruang Internet hari ini dan menjadi bahan jenaka di kalangan pengguna media sosial.

malaysiakini


DUN SELANGOR AKAN DIBUBARKAN HARI INI?

Posted: 19 Feb 2013 09:33 PM PST



MB menghadap Sultan Selangor, bubar Dun hari ini?

SHAH ALAM - Teka teki pembubaran Dewan Undangan Negero (Dun) Selangor bakal terjawab apabila Menteri Besar, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bagi mendapatkan perkenan berhubung perkara itu.

Perkara ini disahkan beberapa pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) Selangor dan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani berhubung pertemuan antara Menteri Besar dan Sultan hari ini mengenai pembubaran Dun Selangor.

Desas desus ini disahkan, Timbalan Speaker Selangor merangkap Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
"Memang setiap Rabu, Menteri Besar akan menghadap Sultan sebelum mesyuarat exco. Tetapi mungkin pertemuan esok (hari ini) bakal menjawab segala 'ribut spekulasi' yang melanda Selangor belakangan ini.

"Petang ini (semalam) Menteri Besar mengadakan mesyuarat dengan barisan pimpinan Pakatan Rakyat (PR), ini memang mesyuarat berkala tetapi mungkin agendanya bakal menjawab teka-teki pembubaran Dun Selangor," katanya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman turut memaklumkan perkara sama.

"Betul, betul, Tan Sri Abdul Khalid akan menghadap Sultan esok," katanya.

Ribut spekulasi ini turut mendapat reaksi positif daripada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani, mengiakan perkara tersebut walau bagaimanapun beliau enggan mengulas tujuan pertemuan tersebut.

"Setiap Rabu, memang Menteri Besar akan menghadap Sultan pada jam 8.30 pagi tapi saya tidak pasti tujuan pertemuan esok (hari ini)," katanya.

Sebelum ini, Abdul Khalid memaklumkan pembubaran Dun akan dilakukan selepas sambutan Cap Goh Meh, yang jatuh Ahad ini, dan dijangkakan perkara ini akan disahkan Menteri Besar sendiri pada mesyuarat Exco hari ini.

Semalam, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri hanya mengumumkan pembubaran Dun selanjutnya adalah tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk merancang dan melaksanakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.

SH


Punca Sakit Jantung Di Usia Muda

Posted: 19 Feb 2013 08:00 PM PST



Penyakit Jantung Bukan Lagi Penyakit Orang Tua

KETIKA bersukan, tiba-tiba dia rebah dan tidak sedarkan diri. Beberapa minit kemudian, lelaki berusia 30-an itu disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Sering menjadi tanda tanya di kalangan kita apabila mereka yang sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, tiba-tiba dilaporkan meninggal dunia kerana diserang sakit jantung yang dianggap penyakit orang tua.

Atlet, iaitu individu yang dianggap mengamalkan gaya hidup sihat, juga mungkin boleh mendapat sakit jantung jika mempunyai masalah kongenital (penyakit sejak lahir) yang menyebabkan kematian mengejut akibat serangan jantung berikutan gangguan ritma jantung (rhythm abnormality).

Ternyata penyakit jantung yang sering dikaitkan sebagai penyakit orang tua, kini makin banyak dialami orang muda seawal usia 30-an.

Perunding Kardiologi Hospital Pantai Klang, Dr Suhaimi Osman, berkata faktor genetik mendedahkan seseorang kepada penyakit pembunuh nombor satu di Malaysia itu.

Jika ada ahli keluarga atau ibu bapa menghidap sakit jantung, anaknya mungkin berdepan kemungkinan sama pada masa akan datang.

Faktor lain yang mendedahkan seseorang kepada penyakit berkenaan ialah merokok (risiko paling tinggi), diabetes, kolesterol dan tekanan darah tinggi.

"Walaupun banyak faktor boleh menyebabkan sakit jantung, sering kita lupa ialah faktor sejarah keluarga kerana mereka yang mempunyai ahli keluarga menghidap sakit jantung, mempunyai risiko besar mendapat penyakit berkenaan.

"Impak mendapat sakit jantung bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga sama dengan pesakit jantung yang disebabkan amalan merokok.

"Malah, jika seseorang itu merokok, menghidap diabetes, mempunyai kolesterol tinggi serta penyakit darah tinggi, digabung faktor sejarah keluarga, risiko dia mendapat sakit jantung makin berganda," katanya.

Menurutnya, ada lebih 20 ciri genetik diketahui sekarang, menyebabkan mereka mudah terkena sakit jantung dan lebih berisiko berbanding orang lain.

"Individu yang mempunyai sejarah keluarga berisiko tinggi jika bapanya mendapat sakit jantung pada usia muda iaitu ketika berusia tidak sampai 50 tahun atau ibunya diserang ketika berusia kurang 55 tahun.

"Adakalanya tanpa faktor risiko pun, seseorang boleh mendapat sakit jantung. Misalnya, satu kajian membabitkan kira-kira 120,000 individu yang pernah menghidap sakit jantung koronari mendapati, 15 peratus wanita dan 19 peratus lelaki tidak mempunyai faktor risiko yang dikenali. Faktor genetik yang belum dikesan, disyaki memainkan peranan dalam kes sebegini," katanya.

Beliau berkata, kajian terhadap tahap kolesterol, trigliserid (lipid atau lemak neutral daripada gliserol bergabung dengan tiga molekul asid lemak), lipoprotein (satu daripada sekumpulan protein di dalam plasma darah dan limfa yang bergabung dengan lemak lain seperti kolestrol), low-density lipoprotein (LDL – kolestrol jahat) dan (high density lipoprotein – kolestrol baik) di kalangan individu yang mempunyai sejarah keluarga sakit jantung turut mendapati mereka memang mempunyai kecenderungan untuk mendapat penyakit itu.

"Mereka yang mengalami sindrom metabolik iaitu mengalami obesiti, trigliserid tinggi dan menghidap darah tinggi yang menyebabkan radang pada pembuluh darah turut terdedah kepada sakit jantung.

"Jika tiada sakit jantung, tetapi ujian high-sensitivity C-Reactive Protein (hs-CRP) yang dijalankan ke atasnya tinggi, dia turut berisiko mendapat sakit jantung.

"Ujian hs-CRP boleh mengesan lebih tepat kepekatan protein yang lebih rendah dan digalakkan sesetengah pihak sebagai ujian untuk menentukan tahap risiko yang berpotensi untuk penyakit kardiovaskular, serangan jantung dan strok," katanya.

Beliau berkata, genetik ialah faktor utama untuk risiko sakit jantung. Ia seperti penyakit keturunan lain seperti jika dalam keluarga ibu bapa mempunyai diabetes, anaknya mungkin menghidap penyakit sama.

Begitu juga dengan kolesterol tinggi dan merokok. Dalam sebuah keluarga yang sosial ekonominya rendah, didapati risiko juga bertambah dan faktor stres juga menambah risiko melalui hormon adrenergik yang dikeluarkan kelenjar suprarenal apabila di bawah stres.

"Perbezaan jantina ialah lelaki mendapat risiko sakit jantung lebih awal. Perempuan mendapat perlindungan daripada hormon estrogen tapi selepas menopaus, risiko mereka terdedah sakit jantung sama seperti lelaki," katanya.

Menurutnya, salur darah perempuan juga lebih kecil daripada lelaki. Oleh itu, gejala dialami wanita mungkin berbeza dengan lelaki.

Antara gejala sakit jantung dialami wanita ialah tiba-tiba rasa berpeluh sejuk, sesak nafas, rasa sakit antara tulang belakang, sakit tengkuk, bawah dagu, tepi lengan, belakang dan perut.

"Ramai wanita beranggapan sakit jantung penyakit lelaki, jadi mereka tidak menyangka diserang sakit jantung hingga lambat mendapatkan rawatan. Apabila penyakit disedari, ia lebih susah dirawat."

"Salur darah koronari wanita lebih kecil menyebabkan mereka lebih sukar dirawat secara angioplasti, di mana sten dimasukkan ke dalam salur darah untuk mengembalikan pengaliran darah yang lancar di dalam pembuluh darah.

"Jika angioplasti tidak dapat dijalankan, rawatan perubatan atau medical therapy adalah pilihan rawatan bagi mereka. Pesakit lelaki lebih berkemungkinan mendapat sakit dada ketika serangan jantung berbanding wanita, dan biasanya akan didiagnosis lebih awal," katanya.

Dr Suhaimi berkata, tekanan emosi berlebihan boleh menjadi beban kepada jantung dan boleh melemahkan jantung.

Emosi juga antara penyebab sakit jantung, misalnya dalam mesyuarat atau terbabit pergaduhan, tekanan darah naik dan menyebabkan beban kepada jantung, seterusnya menyebabkan berlaku sakit jantung.

"Setiap individu, walaupun baru berusia 25 tahun, digalakkan membuat pemeriksaan darah dan ECG (diagnosis penyakit jantung).

"Pemeriksaan darah dapat mengesan masalah kolesterol dan diabetes. Jika kolesterol terlalu tinggi dan seseorang itu perokok walaupun usianya 20-an, dia mungkin diserang sakit jantung," katanya.

"Yang kita perlu faham mengenai sakit jantung ialah, mencegah lebih baik daripada merawat. Pengesanan serangan sakit jantung pada peringkat awal daripada gejala dialami membolehkan rawatan sewajarnya dijalankan.

"Rawatan untuk memulihkan sakit jantung seperti pintasan (bypass) dan sten, tidak boleh bertahan selama-lamanya. Ia tidak sama dengan yang asli kerana pintasan jantung mungkin tersumbat 10 atau 15 tahun kemudian.

"Pesakit yang mempunyai ibu mendapat serangan jantung sebelum 55 tahun, perlu berhati-hati kerana risiko untuknya mendapat sakit jantung lebih tinggi dan pemeriksaan awal perlu dijalani. Mereka yang ada kolesterol tinggi kadangkala boleh dilihat dengan tanda kolesterol di mata," katanya.

Gaya hidup sihat membantu mengawal faktor risiko sakit jantung. Hentikan tabiat merokok serta elakkan makan terlalu banyak daging merah seperti lembu dan kambing, produk tenusu seperti krim dan mentega kerana semua jenis lemak tepu boleh ditukar kepada kolesterol.

Sumber: Harian Metro

panduankesihatan

Tiada ulasan: