SIASAH |
Krisis air, BN cetus persepsi kerajaan PR lemah Posted: 11 Jan 2013 12:49 AM PST Seluruh jentera Barisan Nasional kelihatan bersedia menghadapi politik isu air yang melibatkan Syarikat bekalan Air Selangor dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Umno telah memulakan gerakan di kawasan-kawasan terjejas dengan menyampaikan bantuan bekas air, yang walaupun kecil membantu penduduk yang terbabit. Persepsi yang diwujudkan daripada tindakan ini - dan banyak usaha lain yang dijangka dilakukan - ialah kelemahan kerajaan PR Selangor dalam membantu mengatasi masalah ini atau meringankan beban mereka yang terbabit. Secara mudahnya, mesej yang disampaikan oleh BN kepada rakyat ialah kerajaan PR sibuk mempolitikkan isu krisis air ini sedangkan Umno turun ke bawah membantu rakyat. Perincian kes ini, seperti urusan konsesi, bentuk hubungan antara kerajaan negeri dengan Syabas mungkin tidak diambil kira oleh sebilangan besar rakyat yang terjejas, kerana apa yang penting kepada mereka ialah masalah mereka ditangani segera. Pihak kerajaan Selangor mungkin mempunyai pendirian yang sah dan benar melibatkan banyak perkara dalam isu ini, dan dapat menghasilkan kenyataan yang tegas mempertanggungjawabkan Syabas, tetapi persepsi kelemahan kerajaan PR tidak dapat dielakkan sekiranya mereka dilihat tidak bersungguh membantu meringankan beban rakyat. Kerajaan PR ialah pihak berkuasa yang paling dekat dan mudah diperhatikan oleh rakyat yang terjejas, disebabkan kedudukannya sebagai kerajaan negeri Selangor. Hal melibatkan hubungan rakyat dengan penguasa ini ialah satu asas yang tidak dapat dielakkan, seperti juga kerajaan BN tidak dapat mengelak daripada bertanggungjawab apabila berlaku keganasan melibatkan pihak berkuasa terhadap rakyat semasa perhimpunan protes. Setakat ini, Umno dan BN menunjukkan tindakan yang bersepadu dan terancang dalam menghadapi kesan daripada krisis air yang melanda, dilaporkan melibatkan setengah juta penduduk Lembah Kelang. Kerajaan PR Selangor nampaknya perlu memikirkan tindakan yang lebih kemas untuk menghadapi apa yang boleh disifatkan sebagai kempen politik BN untuk merampas kembali Selangor ini. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan