Ahad, 13 Januari 2013

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Pengajaran dari sejarah (13/1/13)

Posted: 13 Jan 2013 05:04 AM PST


Sebentar tadi saya sempat menonton dokumentari terbitan BBC berkenaan kesan seni di Sepanyol.
Ia berkisar berkenaan sejarah warna-warni Sepanyol yang dijajah beberapa kali seawal zaman keagungan Rom dan terakhir oleh Tentera Islam Moor dari Afrika Utara dikepalai Panglima Tariq ibnu Ziad sekitar tahun 711.

Pemerintahan Islam berlangsung selama 781 tahun di Sepanyol yang dikenali sebagai Andalusia di bawah pemerintahan Islam yang berkahir pada tahun 1492 apabila pemerintah Islam ketika itu Abu Abdallah Muhammad ke XII menyerah kuasa kepada kebangkitan tentera Kristian pimpinan Isabella dan Ferdinand.

Apa yang menarik menurut BBC adalah kesan seni bina peninggalan pengaruh Islam yang begitu meluas khasnya di Selatan Sepanyol, antaranya yang terneal adalah Masjid di Cordoba dan Kota Alhambra di Granada. Begitu hebat dan teguhnya senibina Islam sehingga kuasa Kristian yang membebaskan Sepanyol kemudiannya sekadar membina sebuah gereja di dalam perkarangan masjid, yang sesungguhnya menurut BBC mencacatkan senibina asal yang indah itu.
Apa pun yang lebih menarik bagi saya untuk kita belajar dari sejarah lama ini adalah bezanya pentadbiran Moor dan Kristian Sepanyol selepas kejatuhan Islam sebagaimana diulas oleh BBC. Semasa kerajaan Andalusia, rakyat Sepanyol yang rata-rata bukan Islam, iaitu Kristian dan sebahagiannya Yahudi, dianggap sebagai zimmi dan diberikan kebebasan mengamal dan menganut agama mereka. Tiada gereja atau rumah ibadat Yahudi yang dirobohkan. Malah ratusan tahun pemerintahan Islam telah melihat sebahagian besar rakyat Andalusia yang bukan Islam memeluk Islam.

Akan tetapi apabila militan Kristian menghalau keluar tentera Islam, antara kanun yang diperkenalkan adalah memaksa penduduk Andalusia "lama" memakan khinzir. Orang Islam ditawan dan akhirnya dihalau keluar dari Sepanyol termasuklah rakyat tempatan yang memeluk Islam. Malah akhirnya rakyat menganut agama Yahudi juga dihalau keluar. Masjid dirobohkan dan atas robohannya dibina gereja.
Banyak pengajaran boleh kita pungut dari sejarah ini, yang pnetingnya mana yang kejam dan tidak berperikemanusiaan jangan kita ulangi. Mana yang baik kita ikuti, itulah pentingnya sejarah bagi kita.

 

Tindakan yang tidak wajar dibela (13/1/13)

Posted: 13 Jan 2013 01:17 AM PST


Perlakuan seumpama ini tidak wajar dibela oleh sesiapa pun. Saya merujuk kepada insiden pembakaran kenderaan peronda JPJ di Lumut Perak yang dilaporkan terlibat dalam kemalangan.
Tindakan tersebut kononnya didorong oleh kemarahan apabila kenderaan peronda JPJ itu dikatakan yang menjadi punca mengakibatkan kemalangan tersebut sehingga mencederakan lebih 20 orang.
Tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri, jelas tidak beradab, walaupun jika ianya berasas sekalipun.

Menurut laporan polis hari ini, beberapa tangakapan telah dibuat dan pihak polis percaya anasir "tonto" yang sebenarnya telah mendorong kejadian berkenaan.

Kita kesal apabila menyaksikan video, kanak-kanak sekolah yang turut berada di tempat kejadian (kerana dua bas sekolah turut terlibat dalam  kemalangan itu) mengambil kesempatan merakamkan video dari telefon bimbit masing-masing, merakam kejadian berkenaan. Bayangkan apa pelajaran yang mereka pungut dari insiden ini?

Selalunya orang yang tidak menghormati undang-undang seperti ini dan berani bertindak ganas, adalah orang yang sama yang boleh bertindak ke atas orang lain walau dalam kejadian apa sekalipun.
Saya bukan membela sesiapa, jika benar anggota JPJ berkenaan bertindak di luar batasan kuasa mereka, mereka wajar diambil dan dikenakan tindakan. Tetapi kesalahan yang mereka lakukan itu tidak memberi lesen kepada orang lain untuk bertindak ke atas mereka.

Semoga pihak polis segera memuktamadkan penyiasatan dan menyeret mereka yang bersalah ke hadapan pengadilan. Kesimpulannya tindakan tidak sivik ini tidak wajar dulangi oleh sesiapa pun.

Tiada ulasan: