Jumaat, 18 Januari 2013

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Kerajaan Negeri Berjaya Selesaikan Isu Perpindahan Penduduk "PAKR Lapang Besar" Di Transit Kuarters !

Posted: 17 Jan 2013 08:20 PM PST

KUANTAN, 18 Jan - Kerajaan Negeri Pahang berjaya menyelesaikan isu perpindahan penduduk Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Lapang Besar di sini bagi membolehkan satu projek komersial dilaksanakan dengan menawarkan dua pilihan kepada komuniti di kawasan itu. Dua pilihan yang diberikan kepada penduduk terbabit adalah memiliki rumah di Taman Kempadang Sejahtera di Kampung Pak Mahat atau menerima sejumlah wang pampasan. Menurut Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob (foto), seramai 75 keluarga memilih untuk memiliki rumah teres bernilai RM170,000 setiap satu selain menerima wang tunai berjumlah RM10,000 bagi membeli kelengkapan rumah. Seramai 48 orang lagi memilih pampasan berbentuk wang tunai sebanyak RM90,000. "Bagi mereka yang menerima rumah diharap tidak menjualnya hanya kerana mahu mengejar keuntungan segera. "Tinggallah bersama seisi keluarga kerana rumah ini cukup selesa dan paling penting hendaklah menjaganya dengan baik," katanya selepas majlis penyerahan kunci rumah dan cek pampasan kepada penduduk terbabit, di sini baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Saffian Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Datuk Chang Hong Seong. Adnan turut menasihatkan keluarga yang menerima wang pampasan agar menguruskannya dengan baik dan tidak digunakan untuk tujuan tidak berfaedah. "Saya risau sikit berkenaan hal ini. Kalau tinggal adik-beradik sahaja pun, maka bahagi secara adil dan dipersetujui bersama. Uruskanlah dengan sebaik mungkin demi masa depan," jelasnya. Beliau memberitahu, lebih 20 pemilik gerai Medan Selera Lapang Besar juga menerima pampasan wang tunai bernilai RM31,000. Katanya, wang pampasan tersebut diharap dapat digunakan oleh pemilik gerai sebagai modal kepada mereka untuk mencari tapak baharu. "Dengan wang itu, para peniaga boleh mencari tapak gerai lain dalam usaha tambah pendapatan mereka sekeluarga," tambahnya.



[Akhirnya masalah yang dihadapi oleh sebahagian besar penduduk di kawasan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Lapang Besar, Transit Kuarters ini berjaya diselesaikan selepas sekian lama menjadi kontroversi. Apapun, diharapkan para penduduk berpuas hati dengan tawaran yang diberikan oleh kerajaan ini. Mana yang baik rakyat harus menyokong kerana itu adalah hak mereka sebenarnya. Kawasan transit kuarters kini telah dimajukan sebagai pusat komersial oleh pemaju Jasa Imani dan kini hanya yang tinggal ialah dua buah bangunan rumah flat, sebuah dewan, gerai-gerai dan surau yang menanti hari untuk dirobohkan bagi tujuan pembangunan. Tindakan pantas kerajaan ini diharap dapat memberi kepuasa kepada semua pihak dan tidak perlu lagi ada suara-suara sumbang yang mempertikaikannya pada masa akan datang. Kini para penduduk boleh hidup selesa di lokasi yang lebih aman dengan rumah yang menarik. Apapun, jika ada sebarang masalah perkara ini wajar dibincangkan agar ia tidak mengeruhkan keadaan dari masa ke semasa. Kerajaan harus menjaga kebajikan rakyat tanpa membezakan fahaman politik masing-masing hendaknya. Jika tidak sudah pasti ia memberi kesan kepada undi mereka pada Piliharaya Umum Ke-13 nanti pastinya].

Panas: AJK Surau Gesa Kerajaan Negeri Pertahankan Bangunan Tersebut Daripada "Di Robohkan" Pemaju !

Posted: 17 Jan 2013 07:51 PM PST


KUANTAN, 18 Jan - Ahli Jawatankuasa Surau Al-Khairiah Lapang Besar, Transit Kuarters (foto) dekat sini mengadakan sidang media khas, bagi merayu kerajaan agarmempertahankan bangunan surau mereka daripada dirobohkan baru-baru ini. Ini difahamkan, pemaju Tanah Rezab Melayu yang dijadikan pusat komersial terbabit mahu membangunkan kawasan tersebut untuk fasa terakhir projek pembangunan Putra Square. Kawasan itu kini menjadi pusat tumpuan utama selepas pembangunan komplek membeli belah terbesar di pantai timur East Cost Mall, Hotel Zenith, Pusat Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Malay Town, China Town, Indian Town dan berbagai lagi. Pembangunan terbaru yang dijangka bermula Mac ini melibatkan kawasan gerai Medan Sukma, rumah flat, dewan orang ramai dan surau terbabit. Difahamkan, semua penduduk telah diarahkan berpindah ke penempatan baru oleh kerajaan di Kampung Pak Mahat yang terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi terbabit. Dalam sidang media yang dibuat selepas solat Asar itu, antara lain pihak berkenaan mendakwa surau mereka menjadi tumpuan utama kepada umat Islam setempat untuk menunaikan ibadah kerana disebabkan kebanjiran jemaah dari negeri Terengganu (Kemaman) yang berkunjung ke kawasan itu. "Mereka datang berkunjung ke sini menunaikan solat pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad...pada hari tersebut mereka juga bawa keluarga sekali.. jumlah ramai...  maka tidak wajar surau ini dirobohkan kerana ia masih berfungsi dan boleh digunakan dengan baik", kata wakil AJK surau terbabit. Difahamkan surau berkenaan juga telah mendapat surat daripada Jabatan Mufti Negeri Pahang pada September 2012 atas permohonan untuk mendirikan solat Jumaat di surau berkenaan. "Kelulusan sudah dapat dan sekarang kita sedang membesarkan bangunan surau seperti yang disyaratkan bagi menampung jemaah pada waktu solat Jumaat. Pembesaran dibuat kepada ruang solat, kemudahan tempat wuduk dan tandas.. untuk jemaah seramai 500 hingga 1,000 orang (sedia ada antara 300 hingga 400 orang sekarang)..untuk solat Jumaat kita anggarkan lebih ramai kerana pada masa ini jemaah ramai yang pergi ke Masjid Negeri atau pun Masjid Bukit Sekilau yang berdekatan", tambah beliau.


Mereka turut mendakwa, lokasi surau terbabit amat stratetgik untuk solat Jumaat, dan ia memudahkan jemaah dari kawasan sekeliling yang semakin ramai sekarang. "Bila solat Jumaat diadakan di surau ini, pekerja-pekerja tidak perlu lagi membawa kenderaan ke masjid lain.. mereka hanya perlu jalan kaki dan secara tidak langsung boleh mengelakkan kesesakan jalanraya....katakan ada 500 jemaah yang bersolat di sini pada peringkat awal dan separuhnya bawa kenderaan ... maka kita dapat elakkan lebih 200 kereta atas jalan raya... jadi jalan pun tak sesak... keduanya, memudahkan lagi pengunjung ke pusat membeli belah atau pekerja-pekerja di sini...  kerana kebanyakkan mereka yang datang pada hari Jumaat dari Kemaman dan Dungun.. jadi mudah untuk mereka menunaikan solat Jumaat", tambah beliau lagi. Malah, apa yang paling penting katanya ialah bangunan surau terbabit didirikan atas sumbangan dana persendirian dan wakah-wakaf, maka ia jadi satu kepentingan yang perlu dipertimbangkan.

[Kerajaan Negeri Pahang wajar menimbangkang permohonan AJK surau terbabit demi masa depan umat Islam di sekitarnya. Difahamkan, tapak baru telah dicadangkan namun tidak dipersetujui oleh mereka kerana lokasi yang tidak berapa sesuai. Surau berkenaan amat strategik kerana menjadi destinasi untuk menunaikan solat kepada umat Islam yang sering berkunjung ke kawasan East Cost Mall dan sekitarnya. Sememangnya hanya itu sahaja yang tinggal dan boleh dijadikan kenangan kepada anak cucu apabila kawasan Tanah Rezab Melayu Transit Kuarters itu dimajukan dan dijadikan pegangang bebas oleh pihak yang berkenaan. Jika selama ini pada penduduk setempat sering mempertahankan hak mereka namun akhirnya terpaksa akur dengan arahan kerajan, namun apalah salahnya jika hanya surau berkenaan dipertahankan oleh kerajaan. Bukankah sesuatu yang baik mempertahankan rumah Allah sebagai tempat ibadat untuk umat Islam. Justeru, pihak berkenaan di harap ambil perhatian atas perkara ini].

Tiada ulasan: