Jumaat, 25 Januari 2013

labun KulupSakah...

labun KulupSakah...


yang semakin menghilang...

Posted: 24 Jan 2013 04:39 AM PST

salam Maulidurrasul...


di penjuru ini, di sudut masjid Tengku Sultan Sulaiman Ketari Bentong ini pada ketika aku berusia enam tahun, balik dari zohor menyelongkar muqaddam dan menyertai barisan anak-anak lain mengenal alif ba ta dan surah-surah dalam al quran. Mak ayah aku belum sempat menghantar aku ke situ tetapi aku sendiri berlari mendapatkan penjuru ini.
Di dinding ini bilal Malek (arwah) bersandar dengan rotan kecil di tangan sebagai penunjuk dan sesekali mengetuk muka muqaddam atau quran untuk menegaskan sedikit ajaran.

"awak nak ngaji juga?" tanya arwah ketika aku bersila di hadapannya dengan muqaddam apabila murid di depan aku selesai giliran mengaji.
aku ingat lagi hari pertama itu, aku hanya mengulang apa yang bilal sebut. Yang aku tak ingat berapa hari aku  benar-benar sudah mengenal dan bukan menghafal. Yang aku ingat aku berubah dari satu ayat ke satu ayat dengan pantas dan memotong juga beberapa 'abang-abang' dan 'kakak-kakak' yang lain.

Kawasan di dalam masjid ini luas pada mata kecil aku waktu itu. Hari-hari aku bermain di sini. Mak ayah aku tak larang. Dalam kawasan ini selamat. Dulu kereta pun kurang, tidak seperti hari ini apatah lagi jika perayaan sampai - jalan menghubung pekan Bentong dan negeri-negeri Pantai Timur ini akan sesak sesesaknya.

Kawasan masjid ini kawasan kami. Perkauman kuat waktu itu. Jika 'anak cina' atau 'anak Benggali' masuk kawasan ini kami mengejar mereka. Entah kenapa abang-abang mengajar kami begitu. Masjid ini meriah juga. Kadang-kadang ada kenduri, seluruh kampung datang bergotong-royong. Aku seronok sebab ia seperti pesta- malam pun mak ayah aku bebaskan kami berlari sana-sini. Ada pertandingan nasyid, musabaqah dan bermacam-macam.

Waktu SRP, kawan-kawan aku tidur masjid dengan alasan kepada ibu bapa kononnya hendak ulangkaji pelajaran. Walhal main terup, hisap rokok dan sayur.
Masjid ini tempat bersembunyi seketika apabilaselesai kami bergaduh.

Setiap kali pulang ke kampung aku akan ke sini. Mengukur kembali masjid ini yang kulihat kecil sudah. Kawan-kawan sepermainan aku hari ini sudah beranak bermenantu tetapi mereka masih setia di sini. saban malam mengimarahkan masjid ini.
Ada roh kawasan ini untuk aku. Melihat kembali penjuru itu, aku seperti melihat kembali aku sedang bersila mengaji. Riuh suara anak-anak lain melagukan ayat-ayat suci. Duri landak menjadi penunjuk bacaan.

"Sekarang ini masjid berkunci. Mana boleh tidur lagi? dah ada penjaga. Tapi kecurian berlaku juga." Kata Lani. Kata Amat Tebu pun begitu.
Aku memandang lagi penjuru itu. Aku nampak bilal Malek sedang mendengar aku mengaji dengan tersenyum.
Al fatihah untuk arwah...

kawan-kawan Ketari.

Anak-anak arwah bilal Malek : abang Ngah Lan yang berkopiah hitam tinggi di belakang, Fuad (Atan) berbaju askar hijau dan Kamar berbaju hijau paling kanan.

Amat Tebu paling tua tapi cuba merendahkan badannya di belakang Fuad (Atan)



Tiada ulasan: