Selasa, 29 Januari 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pemimpin Rasuah Dihumban Ke Penjara Bila PR Memerintah

Posted: 29 Jan 2013 01:31 AM PST

Pakatan Rakyat bakal menghumban mana-mana pemimpin terlibat rasuah ke penjara sebagai balasan ke atas jenayah dilakukannya, tegas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, hukuman setimpal itu wajar dilaksana tanpa mengira latar politik dan ia disepakati pimpinan Pakatan untuk membersihkan sistem pentadbiran negara.

"Jika ada pemimpin di mana-mana peringkat yang mengamalkan rasuah, kita akan pastikan mereka bakal menerima hukuman penjara," katanya di depan 10,000 hadirin pada Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Pekan Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan, malam kelmarin.

Beliau menempelak kerajaan Umno BN menggunakan isu agama Islam dan nasib orang Melayu menjadi bahan kempen bagi menghalang pemimpin Pakatan.

Anwar berkata, barisan kepimpinan Pakatan dengan dibantu penyokong perlu melengkapkan diri dengan persiapan mental dan emosi sebagai menghadapi sebarang kemungkinan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

"Kita kena muafakat, kita ambil keputusan, kita berhimpun ikhtiar. Kita kukuhkan jentera ikhtiar, kita pakat KEADILAN, PAS, DAP kita ikhtiar. Akhirnya kita bertawakal kepada Allah. Mudah-mudahan Allah beri kita ukhwah," katanya.

Menurut beliau, sepanjang tempoh mesyuarat Pakatan sebelum ini, tidak pernah terdengar suara dari Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk membalas dendam jika gabungan itu menang PRU13.

"Kita tidak pernah menyuarakan sekiranya kita menang untuk membalas dendam. Tetapi semuanya sepakat sekiranya kita menang, kita akan pimpin dengan adil dan membela nasib masyarakat," katanya dipetik Sinar Harian.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani; Pengerusi DAP Negeri, Anthony Loke dan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Lajim Ukin. -KD

[ISU NASHA] Pengguguran Nasya Tepat Pada Masanya

Posted: 28 Jan 2013 10:18 PM PST


Isu Nasha tidak rugikan parti

Tindakan Majlis Syura menggugurkan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dilihat tidak merugikan parti walaupun ada pemimpin bimbang dengan keputusan itu, sebaliknya dilihat usaha terbaik untuk mengelak tindak tanduknya diikuti pemimpin Pas yang lain.

Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun berkata, tindakan tersebut juga dianggap tepat pada masanya, melihatkan kepada banyak tindakan Nasharudin yang dianggap mengguris hati pemimpin parti itu.

Katanya, beliau melihat keputusan ini tidak akan menjejaskan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi, memandangkan perbincangan sudah dibuat berhubung kesan tindakan ke atas pemimpin tersebut.

Menurutnya, Majlis Syura Ulama telah mengambil kira perkara itu, kerana jika dibiarkan lebih banyak perkara bakal dilakukan Nasharudin seperti mengiringi kepimpinan parti pembangkang ke luar negara tanpa memaklumkan kepada kepimpinan parti.

"Sepatutnya sudah lama beliau dipecat disebabkan tindakan yang dilakukannya selama ini mampu merugikan parti.

"Sebagai contohnya, kita tidak mengalang beliau untuk mengiringi pemimpin parti lain ke luar negara, tetapi beliau perlu terlebih dahulu memaklumkan perkara itu kepada kepimpinan parti untuk mengelak timbulnya fitnah.

"Tindakan itu hanya disedari pemimpin parti Pas, setelah melihatnya gambar beliau bersama pemimpin berkenaan," katanya, semalam.

Abdul Fatah berkata, Nasarudin agak rapat dengan pemimpin Umno dan itu dianggap bahaya kerana bimbang segala 'mesyuarat rahsia' akan dibocorkan kepada mereka.

Menurutnya, Majlis Syura tidak beremosi dalam membuat keputusan, malah dilaksanakan secara matang bagi mengelak dianggap membuat keputusan mengikut perasaan.

Ketika ditanya Sinar Harian kemungkinan Nasharudin akan menukar parti berikutan keputusan tersebut Abdul Fatah berkata, itu tidak mustahil kerana baginya segala kemungkinan boleh terjadi terutama menjelang musim pilihan raya.

Menurutnya, kemungkinan tersebut bukan akan berlaku terhadap Nasharudin sahaja, sebaliknya pemimpin yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti kebiasaannya menggunakan waktu sebegini untuk menunjukkan perasaan sebenar mereka.

"Pada ketika ini mereka 'berharga mahal' semuanya bernilai, apatah lagi jika seseorang itu berjawatan tinggi dalam parti.

"Ketika ini tidak mustahil mereka akan lompat parti kerana akan diterima parti pembangkang, termasuk Nasharudin sudah semestinya Umno akan menerimanya jika berbuat demikian," katanya.

Abdul Fatah berkata, Nasharudin akan diterima Umno kerana dia tidak lantang bersuara seperti Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dianggapnya sukar diterima Umno berikutan kelantangan beliau.

Semalam, Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh mengesahkan keputusan pengguguran Nasharudin dari Majlis Syura dan memaklumkan keputusan itu diambil pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

JASA Salah Guna Kuasa, Dana Awam Berkempen Untuk UMNO/BN

Posted: 28 Jan 2013 07:00 PM PST

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi lebih gementar menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berikutan angin perubahan di rantau ini bertiup kencang termasuk kemenangan Lee Li Lan dari Parti Buruh yang mengalahkan PAP pada Pilihan Raya Kecil Punggol East, Singapura dengan majoriti 3,182 undi.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Najib menjadi lebih gementar kerana sebuah agensi kerajaan menyalahgunakan dana awam dengan menjelajah seluruh negara untuk menyebarkan maklumat bahawa Barisan Nasional (BN) mampu mendapat dua pertiga majoriti pada PRU-13.

Katanya, Bernama dalam laporannya menyatakan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Penerangan, Fuad Hassan ketika menjawab satu soalan daripada peserta Perjumpaan Rakan Media Sosial Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa Johor bahawa BN mampu memenangi dua pertiga pada PRU-13 jika bekerja kuat dan berusaha mencapai apa yang disasarkan.

"Fuad menjelaskan bagi memperoleh majoriti dua pertiga, BN perlu menarik sekurang-kurangnya 30 peratus undi daripada pengundi Cina dan masing-masing 65 peratus undi daripada pengundi Melayu dan India di seluruh negara.

"Fuad yakin sokongan orang Melayu untuk BN di Johor mampu melebihi 80 peratus manakala sokongan orang India juga telah pulih sepenuhnya daripada kejatuhan PRU 2008, dan begitu juga sokongan masyarakat Cina.

"Fuad secara peribadinya sebagai rakyat Malaysia berhak untuk percaya dan berusaha bagi memenuhi matlamat BN mendapatkan semula majorti dua pertiga pada PRU-13, tetapi bukan urusan beliau untuk mengetuai JASA yang didanai oleh dana awam, berkempen untuk UMNO/BN.

"Ini adalah penyalahgunaan dana awam dan kemudahan kerajaan, penyelewengan kerajaan yang semakin menjadi-jadi, terang-terangan dan berleluasa selepas 55 tahun pemerintahan UMNO /BN," katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 74 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman dapat membezakan kepentingan kerajaan, parti politik yang berkuasa dan kapasiti peribadi, yang menjadi sebab penting mengapa rasuah dan penyalahgunaan kuasa diperhatikan dengan tegas pada tahun awal Merdeka tidak seperti tiga dekad lalu yang melampau melakukan penyalahgunaan kuasa dan dana awam.

Katanya, Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan Perdana Menteri pada April 1959, kerana merasakan beliau perlu ke serata negara untuk mengukuhkan sokongan terhadap Perikatan sebelum Pilihan Raya Umum 1959, ketika berdepan cabaran hebat oposisi.

"Tunku meletakkan jawatan untuk sementara waktu antara April hingga Ogos 1959 supaya tidak dituduh menyalahgunakan kuasa dan kedudukan sebagai Perdana Menteri apabila mengetuai kempen untuk meraih sokongan umum kepada Perikatan, dan menyambung semula jawatan itu selepas Perikatan memenangi PRU 1959.

"Tindakan Tunku itu tidak dapat dibayangkan hari ini apabila ada jabatan dan Kementerian yang matlamatnya hanya satu iaitu menyalahgunakan kuasa dan dana awam secara terang-terangan dan tidak tahu malu berkempen meraih undi untuk UMNO/BN bagi PRU-13.

"Fuad sepatutnya dipecat daripada Ketua Pengarah JASA, kerana menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya sebagai kakitangan awam dan dana awam. Selain itu, Fuad sepatutnya meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam dan Jabatan Hal Ehwal Khas di bawah Kementerian Penerangan dibubarkan.

"Fuad sepatutnya menyertai UMNO sebagai pegawai khas untuk mempromosikan capaian media sosial untuk UMNO/BN menjelangnya PRU-13, dan gajinya dibayar oleh dana parti, bukannya dana awam kerana itu terang-terangan merupakan matlamat parti politik," katanya.

Menurut Kit Siang, jelas Fuad dan JASA hanya sebahagian daripada penyalahgunaan jentera awam dan dana awam untuk memenuhi matlamat dan objektif pemimpin UMNO/BN. Ini satu lagi sebab mengapa perlunya UBAH pada PRU-13 untuk mengakhiri secara sistematik penyalahgunaan kuasa kerajaan dan dana awam yang semakin menjadi-jadi dan punca berleluasanya rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam negara. – Roketkini

Rafizi Gempur Parlimen Zahid Hamidi, Dedah Penyelewengan LTAT

Posted: 28 Jan 2013 04:09 PM PST


Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli bakal gempur Bagan Datoh, Parlimen Datuk Zahid Hamidi Februari ini bagi menerangkan isu salahguna dan penyelewengan dana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di bawah pentadbiran Menteri Pertahanan itu.

"Saya bersetuju beberapa tarikh untuk turun ke Bagan Datoh dalam bulan Februari.

"Saya juga masih menunggu saman Zahid Hamidi yang belum dihantar kepada saya. Tapi saya dah setuju turun habis-habisan gempur Bagan Datoh," tulis Rafizi pada twitternya hari ini.

Zahid 25 Januari lalu memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi berhubung satu artikel di dalam laman blognya.

Tegas Rafizi, saman Zahid akan dijawab di mahkamah kerana isu salahguna dan penyelewengan dana LTAT dan kebajikan anggota tentera yang diabai tidak boleh dipadam dengan tipu helah teknologi.

Rafizi semalam turut menolak keras laporan mendakwa beliau memohon maaf kepada Zahid dalam laman facebooknya.

"Kenyataan palsu dan berniat jahat itu dirancang laman pro-Umno dengan tujuan memfitnah saya dan mengelirukan rakyat.

"Saya menafikan sepenuhnya kenyataan maaf dan tetap dengan pendirian membawa perkara ini ke mahkamah.

"Saya tidak akan berganjak membawa isu salahguna dana Angkatan Tentera Malaysia," katanya pada kenyataan.

Rafizi berkata, tindakan menggodam akaun dan laman pro-Pakatan Rakyat, termasuk laman web dan facebook pimpinan Pakatan berpunca kegagalan Umno BN berdepan pendedahan memalukan.

"Ini kejadian kedua dalam tempoh dua hari selepas laman facebook Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.

"Saya mengutuk muslihat dan tipu helah yang digunakan cybertrooper Umno kerana tidak beretika," tegasnya.

[ISU NASHA] Jika Najib & UMNO Mahukan Nasha, Lamarlah Secara Baik, Itupun Jika Beliau Mahu...

Posted: 28 Jan 2013 07:31 AM PST


Najib kata Nasha dipecat lepas pulang dari Gaza

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menganggap pengguguran Nasharudin Mat Isa daripada Majlis Syura PAS ada kena mengena dengan lawatan bekas timbalan presiden PAS itu bersamanya ke Gaza.

Katanya, beliau percaya demikian memandangkan isu berkenaan timbul sekembalinya Nasharudin kembali ke Malaysia.

"Walaupun dikatakan disebabkan kegagalan beliau menghadiri majlis syura, tetapi masa pemecatan beliau itu setelah kembali ke tanahair selepas membuat lawatan Gaza memberikan gambaran bahawa ia ada kaitan dengan lawatan tersebut," kata Najib.

Najib tetap berpendapat demikian walaupun PAS menegaskan bahawa pengguguran Nasharudin daripada jawatankuasa berkenaan tiada kena mengena dengan kunjungan bersama perdana menteri ke Gaza.

Setiausaha jawatankuasa berkenaan, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata keputusan berkenaan dibuat lebih awal – ketika mesyuarat tersebut dipengerusikan mursyidul amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 13 Januari.

"Ianya langsung tidak ada kena mengena dengan lawatan ke Gaza tempoh hari kerana pengguguran keanggotaan beliau dibuat lebih awal dari itu," katanya seperti dipetik Harakahdaily hari ini -mk

Ulasan GB

Tiba-tiba Najib sendiri buat ulasan mengenai pengguguran Nasharuddin daripada mengganggotai Majlis Syura.

Selama ini ada Najib ambil kisah mengenai nasib Nasha?

Keprihatinan Najib itu menunjukkan bahawa Najib sendiri ada "agenda' tersembunyi membawa Nasha bersama ke Gaza. Tembelang Najib terbongkar akhirnya. Itu hukum kebenaran dan keadilan!

Jika betul-betul hendakkan Nasha menjadi ahli mereka... kita nasihatkan Najib dan UMNO untuk melamar Ustaz Nasha dengan cara baik... itupun jika Nasha sudi bersama UMNO.

Tak tahulah jika segunung intan akan dibawa sebagai hantaran untuk mencairkan hati nasha..

Seperkara lagi, Najib (dengan maaf: yang tak tahu bab Najis Mughallazah) dan UMNO, tahukah apa itu MAJLIS SYURA? Tahukah syarat-syarat untuk menjadi anggota Majlis tersebut? Parti UMNO mana ada hirarki sedemikian? Di dalam UMNO, kuasa semua terletak di atas tangan Presiden, sedang PAS, kuasa tertinggi itu pada Majlis Syura, bukan kepada individu tertentu. Itu beza PAS dengan parti-parti sekular seperti UMNO.

Jadi usah kejahilan Najib dan UMNO di dalam bab sistem pemerintahan Islam cuba pula untuk campurtangan di dalam urusan PAS. Sebelum nanti ditempelak orang bagaimana WIRA UMAT yang baru pulang dari Gaza jahil mengenai sistem pemerintahan Islam? Belajarlah daripada Nasha mengenainya. Nasha, saya kira tidak ada halangan untuk mengajar pemimpin-pemimpin UMNO terutama Najib dalam bab itu.

Daripada laporan terkini:

SHAH ALAM - Nasharudin Mat Isa berkata, menjadi hak parti jika mahu mengambil balik jawatan lantikan termasuk sebagai anggota Majlis Syura Pas.

"Jawatan (anggota Majlis Syura) tersebut adalah lantikan parti, bukan pilihan saya, jika parti ambil kembali jawatan itu, itu adalah hak parti," kata beliau ....

Nasharudin yang juga bekas timbalan presiden berkata, berorganisasi hanya wadah tetapi berpegang pada prinsip adalah satu tuntutan.

"Saya akan terus berikan sumbangan terbaik kepada mana mana pihak yang ingin mendaulatkan Islam," katanya.
-petikan SInar Harian

Harapan tipis nampaknya. Jadi yang kemaluan besar sekarang ini ialah : Najib dan UMNO sendiri!

Kes Surumugan: Keluarga Tolak Inkues, Mahu Siasatan Penuh Sebab Kematian

Posted: 28 Jan 2013 05:07 AM PST


Keluarga Sugumaran mahu siasatan, bukan inkues

Keluarga C.Sugumaran menolak cadangan untuk mengadakan inkues terhadap kematian pengawal keselamatan itu minggu lepas dan sebaliknya mendesak untuk siasatan pembunuhan, kata peguam N. Surendran.

kiriman pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider hari ini, naib presiden PKR itu berkata ini adalah kerana waris Sugumaran percaya lelaki berusia 39-tahun telah dibunuh di tangan polis dan tidak mati akibat serangan jantung.

"IPK Slg (ibu pejabat polis kontinjen Selangor) memberitahu kita mereka melihat untuk menjalankan inkues. Keluarga menolak panggilan untuk inkues-mereka mahu penyiasatan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pendakwaan bagi pembunuhan - terdapat bukti-bukti yang jelas dan terdapat saksi.

"Inkues hanya diperlukan jika terdapat keraguan dengan punca yang menyebabkan kematian," kata Surendran dalam kiriman pesanan ringkas malam tadi.

Beliau menambah polis masih belum bersetuju untuk bedah siasat kedua tubuh badan Sugumaram walaupun terhadap bantahan dari keluarga.

"Tindakan yang tidak boleh dimaafkan oleh pdrm. Kita akan meneruskan demo pada 29/1," katanya merujuk kepada perhimpunan duduk bantah diluar Bukit Aman 10.30 am pada Selasa.

The Malaysian Insider melaporkan Sabtu lalu keluarga dan penyokong Sugumaran akan berdemonstrasi untuk menuntut bedah siasat kedua diatas kematiannya.

Surendran telah memberitahu The Malaysian Insider waris lelaki itu marah pada sikap sambil lewa polis terhadap kes itu, dan telah berikrar untuk meneruskan tuntutan "sekurang- kurangnya sedikit keadilan".

"Ia adalah dahsyat untuk keluarga .... mereka mahu melengkapkan upacara akhir untuk lelaki itu tetapi mereka tidak lagi mampu untuk berbuat demikian.

"Pihak polis seolah-olah melengah-lengahkan perkara ini .... tetapi bayangkan apa yang dirasai oleh keluarga, penderitaan, "katanya ketika dihubungi.

Surendran juga menjelaskan beliau telah menulis kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada Khamis, menuntut bedah siasat kedua kepada tubuh badan Sugumaran.

Rabu lalu, saksi berkata Sugumaran yang berusia 39 tahun dikejar minggu lepas oleh empat anggota polis yang kemudiannya menggari dan memukulnya sehingga mati bersama-sama dengan lebih daripada 20 orang di Hulu Langat.

Mereka berkata selepas polis menangkap dan menggarinya, lebih daripada 20 lelaki lain dari restoran berdekatan menyertai anggota polis dan meneruskan untuk menyerang beliau.

"Polis memijak leher Sugumaran," kata R Moohanarajan apabila ditemui di Hospital Serdang.

"Dua puluh hingga tiga puluh orang ramai memakai baju biasa membelasah mangsa. Dia terbaring dengan tangannya bergari di belakang," tambah Moohanarajan yang merupakan jiran Sugumaran

Akan tetapi, pada Khamis lalu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab menafikan polis membelasah pengawal keselamatan hingga mati, mendakwa hasil bedah siasat pertama menunjukkan mangsa mati akibat serangan jantung.

Dalam cerita versi polis mengenai kejadian itu, balai polis di Batu 14 Hulu Langat menerima panggilan pada pukul 6.30 petang mengatakan seorang lelaki India telah mengamuk dan merosakkan harta benda awam.

ACP Abdul Rashid menambah tiga orang anggota polis dalam sebuah kereta peronda dan bermotosikal mengekori Sugumaran yang berjalan kaki hampir dua kilometer daripada Dusun Sri Nanding ke Taman Lagenda Suria di Hulu Langat, tetapi kemudiaannya mereka diserang dengan sebatang besi dan merosakkan pasu bunga dan wayar elektrik, tetapi tiba-tiba rebah di atas jalan.

"Polis dibantu orang ramai kemudiaan menahannya dan menggari lelaki tersebut namun mangsa bertindak ganas dan cuba bergelut semasa ditahan," terang Abdul Rashid yang menegaskan orang ramai tidak menyerang Sugumaran.

Beliau kemudiaan berkata anggota polis kemudiaan memanggil sebuah pacuan empat roda Land Rover untuk membawa Sugumaran yang bersaiz besar ke balai polis.

"Tetapi semasa pulang, lelaki India tersebut tidak sedar diri. Polis kemudiaan menghubungi hospital dan pegawai perubatan datang dan mengesahkan kematiannya," kata Abdul Rashid.

Pegawai polis tersebut menjelaskan hasil bedah siasat yang dilakukan oleh patologi Dr Mohd Azaini Ibrahim dari Hospital Serdang pada ketika itu dari 3.30 petang hingga 8.30 malam mendapati Sugumaran mati kerana serangan sakit jantung.

"Tiada kecederaan lain menyebabkan kematian mangsa," kata Abdul Rashid.

Walau bagaimanapun dengan mengambil kira cerita saksi, peguam keluarga Sugumaran menolak cerita versi pihak polis tersebut dan menuntut bedah siasat kedua, selain mahu kes tersebut dikelaskan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 203 Kanun Keseksaan.

Pada Khamis, Surendren dan seorang lagi peguam PKR Latheefa Koya mendesak polis untuk mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh selepas menolak dakwaan Hospital Serdang bahawa Sugumaran mati akibat serangan jantung.

Mereka juga mahu semua pegawai-pegawai polis yang didakwa terlibat dalam kematian lelaki pada Rabu ditangkap dan digantung sementara menunggu siasatan dan bedah siasat kedua.

Tambahan lagi, dua peguam tersebut menegaskan ini bukan kali pertama Hospital Serdang telah didakwa berkomplot dengan polis untuk menafikan pembunuhan.

"Ia harus diingat Hospital Serdang mempunyai sejarah memalsukan penemuan bedah siaat untuk memihak kepada pihak polis.

"Dalam kes A. Kugan, Hospital Serdang membuat dakwaan palsu Kugan mati akibat terdapat air dalam paru-paru sedangkan beliau dipukul hingga mati dalam tahanan polis.

"Pakar patologi Hospital Serdang Prof Dr Abdul Karim Tajuddin kemudiannya didapati bersalah oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kerana salah laku profesional untuk memalsukan hasil post-mortem Kugan," kata mereka.

Menurut Surendren dan Latheefa, hospital tersebut sekali lagi melanggar etika perubatan dengan menolak permintaan keluarga Sugumaran untuk melihat tubuh badan sehingga mereka disesak untuk berbuat demikian oleh peguam dan aktivis, empat jam kemudian. -TMI

Saksi lihat kejadian sebelum kematian Sugumaran

Mayat C Sugumaran terbujur kaku di satu kawasan semak dengan tangannya bergari di belakang badannya ketika menjelang senja 23 Januari lalu.

Wajahnya dipenuhi serbuk berwarna kuning namun kelihatan tenang. Anak bongsu daripada empat adik beradik itu sudah meningal dunia.

Sejam sebelum itu, Sugumaran baru selesai minum di sebuah warung di Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

Beliau menunggang motosikalnya, yang kemudiannya diparkir di luar sebuah kedai runcit di Persiaran Intan – pada kira-kira jam 5.15pm.

Beliau kemudiannya berjalan ke dalam kedai dan bercakap sendirian dalam dialek Minangkabau.

Pembantu kedai berkenaan bagaimanapun tidak mengendahkannya kerana keluarga yang mengendalikan kedai runcit tersebut sudah biasa dengan gelagat Sugumaran.

Saksi berusia 18 tahun yang membantu bapanya di kedai tersebut berkata keluarganya tahu bahawa Sugumaran mengalami masalah mental.

Namun, Sugumaran tidak pernah mengacau sesiapa dan sering menegur mereka, katanya.

Bapa saksi, 52, meminta agar nama keluarganya tidak disiarkan. Beliau bimbang kerana kira-kira 30 orang polis dari IPK Selangor berkunjung ke kawasan itu pada 26 Januari lalu untuk merekod kenyataan daripada beberapa orang individu.

Beliau mendakwa polis menyoal individu terbabit, menyediakan keterangan dan meminta individu berkenaan menandatangani dokumen tersebut.

Anaknya menjelaskan, Sugumaran kemudiannya keluar dan menaiki motosikalnya semula selepas berhenti di kedai tersebut seketika.

Sugumaran bagaimanapun turut dariapada motosikal itu semula dan menghempaskan topi keledarnya ke tanah.

Saksi itu berkata, beliau tidak tahu sama ada Sugumaran marah atau sengaja berbuat demikian.

Beliau bagaimanapun tidak terkejut dengan kelakuan Sugumaran. Beliau tidak mengendahkan kelakuan Sugumaran dan saksi berkenaan beredar untuk menghantar gas kepada seorang pelanggan.

"Apabila saya sampai semula ke kedai pada kira-kira jam 5.30 petang, saya lihat (Sugumaran) di seberang jalan," katanya.
-mk

Tiada ulasan: