DUNIACACAMARBA |
- Giliran Hasan Ali Disaman Anwar Ibrahim?
- Utusan Kalah Kes Saman RM50 Juta, Tidak Teringin Tersenarai dalam Malaysia Book of Record?
- Wanita Ini Bukan Isteri No.2 Fathul Bari
- Paderi Indonesia: Kalimah Allah Khusus untuk Ortang Islam
Giliran Hasan Ali Disaman Anwar Ibrahim? Posted: 21 Jan 2013 04:34 AM PST [KD] KUALA LUMPUR 21 Jan: Datuk Seri Anwar Ibrahim pertimbang mengambil tindakan lanjut terhadap Presiden Jati, Datuk Dr Hassan Ali ekoran kenyataan fitnah beliau ke atas Ketua Umum KEADILAN itu dalam Utusan Melayu. "Kita akan fikir apa tindakan wajar perlu diambil terhadap Hassan Ali. Saya akan bincang dengan peguam," kata Anwar ketika ditemui selepas penghakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi. Beliau mengulas kemenangannya dalam kes saman fitnah terhadap Utusan Melayu dan Ketua Pengarang, Datuk Abdul Aziz Ishak pagi tadi."Alhamdulilah, saya bersyukur atas keputusan itu yang membuktikan ada fitnah jahat terus menerus oleh Utusan," katanya. "Yang penting, keterangan terperinci oleh hakim yang mempertahankan kebebasan badan kehakiman. Dia (hakim) tahu kes ini melibatkan Umno. Dia juga tahu wakil Presiden Umno duduk dalam pengurusan Utusan," jelas Anwar. Anwar menyokong ketegasan Hakim Datuk VT Singham yang mempertahan kebebasan media tetapi perlu mengikut etika kewartawanan dan profesionalisme. "Kebebasan media itu perlu tetapi bukan kebebasan menyebarkan fitnah. Dalam kes ini Utusan berulang kali dan paling tidak bertanggunjawab memfitnah saya kononnya saya menyokong homoseksualiti, mengikut pandangan Hassan Ali yang bertopengkan agama tapi bila ditanya tidak ada asas," tegasnya. "Sekali lagi saya bersyukur, berlaku satu lagi episod penegasan bahawa media Umno di bawah pengurusan Datuk Seri Najib Razak terus meningkat fitnah menjelang pilihan raya," kata Anwar lagi. Dalam laporan muka depan bertajuk "Tolak Anwar – Hasan" mengatakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu membidas Anwar kerana mempertikaikan undang-undang berkaitan homoseksual di negara ini. Isu ini berbangkit selepas Mingguan Malaysia, edisi mingguan Utusan Malaysia memfitnah Anwar semasa temubual bersama BBC, mengatakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempertikai undang-undang berkaitan kegiatan homoseksual di negara ini.Peguam mewakili Anwar, N Surendran turut memuji ketegasan hakim yang menyatakan dua elemen penting dalam kes tersebut. "Kebebasan media dan badan kehakiman yang dinyatakan hakim dalam kes ini adalah satu penghakiman yang sangat penting, 'rare' dan mudah sebenarnya. Itulah perkara asas dalam menjayakan sesebuah demokrasi," kata Naib Presiden KEADILAN itu. Utusan diarah membayar gantirugi kos sebanyak RM45,000 kepada Anwar. Pampasan pula akan ditentukan 15 Februari ini ekoran penyiaraan artikel bersifat fitnah pada 17 Januari 2012 itu bertujuan menjatuhkan reputasi Anwar. |
Utusan Kalah Kes Saman RM50 Juta, Tidak Teringin Tersenarai dalam Malaysia Book of Record? Posted: 21 Jan 2013 02:15 AM PST [MStar] KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin membuat keputusan memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah RM50 juta yang difailkan Ketua Pembangkang itu terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan Ketua Pengarangnya kerana menyiarkan dua artikel berhubung komen beliau mengenai undang-undang homoseksual kepada BBC. Dalam penghakimannya, Hakim Datuk V T Singham memutuskan bahawa perkataan yang digunakan dalam artikel tersebut bersifat fitnah dan boleh menjejaskan reputasi dan kedudukan politik Anwar dengan mengatakan beliau tidak sesuai memimpin kerajaan Persekutuan. Beliau berkata, defendan gagal untuk membuktikan justifikasi memandangkan tiada bukti yang menunjukkan mereka tidak berniat untuk memfitnah plaintif. "Mereka juga gagal untuk membuktikan komen yang adil. Artikel yang disiarkan itu tidak bersifat untuk kepentingan awam memandangkan Utusan tidak menyiarkan kenyataan penuh plaintif," katanya. Singham berkata, dalam temu bual BBC tidak menyebut Anwar mempromosikan hak golongan gay dan lesbian. Katanya, perkara yang sepatutnya dilakukan defendan adalah untuk meminta maaf atau menjelaskan artikel itu, bukannya mengabaikan notis undang-undang dikeluarkan Anwar. Pada 20 Januari 2012, Anwar memfailkan saman fitnah itu bagi menuntut ganti rugi RM50 juta atas dakwaan telah menerbitkan dua artikel di muka hadapan dan muka surat 10 akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Jan tahun ini berhubung temu bualnya bersama BBC. Dalam saman itu, Anwar menamakan Utusan Melayu dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai defendan. P/s: Kategori akhbar paling banyak kena saman. OK? |
Wanita Ini Bukan Isteri No.2 Fathul Bari Posted: 20 Jan 2013 07:15 PM PST Baca di sini. P/s: Kalau sudah terlepas tangan, pandai-pandailah mohon maaf dan padamkan gambar dan kenyataan yang menggambarkan wanita di atas sebagai isteri nombor 2 Fathul Bari. |
Paderi Indonesia: Kalimah Allah Khusus untuk Ortang Islam Posted: 20 Jan 2013 06:39 PM PST [TMI] KUALA LUMPUR, 20 Jan – Penganut agama Kristian perlu memahami kalimah 'Allah' sebagai kata nama Tuhan atau sembahan khas bagi umat Islam telah berlaku sejak lama dahulu, kata Paderi dari Indonesia, Jahja Iskandar. Memetik laporan akhbar Mingguan Malaysia hari ini, Jahja (atau disebut Yahya) berkata perkataan Allah itu tidak boleh diterjemahkan kerana ia merupakan kata nama khas untuk Tuhan kepada komuniti Muslim. "Lihat sahaja dalam kitab suci umat Islam, al-Quran sama ada dalam terjemahan bahasa Inggeris, bahasa Belanda waima bahasa Melayu sekalipun, kalimah Allah terang-terangan disebut tanpa sebarang perubahan. "Dari sudut pandangan linguistik, setiap sembahan atau Tuhan harus memiliki nama. Dan Tuhan orang Islam adalah Allah, ia tidak boleh diterjemahkan kerana ia merupakan kata nama khas," kata Jahja dipetik Mingguan Malaysia. Jahja yang ditemui di Jakarta berkata, berdasarkan kajian yang dijalankanny, Tuhan Kristian berdasarkan bahasa asli perjanjian lama adalah Elohim. "Seandainya diterjemahkan kepada bahasa Arab, maka yang tepat menggantikan Elohim adalah Ilah, bukan Allah," katanya, dan menambah terjemahan itu dibuat berasaskan terjemahan paling awal ke bahasa Arab iaitu Inskripsi Zabad pada tahun 512. Paderi Indonesia itu menjelaskan, nama Allah sangat konsisten berdiri atas namanya sendiri dan tidak diterjemah berasaskan berasaskan bahasa suku, seperti mana kalimah Elohim. Beliau turut mengemukakan contoh bagaimana kalimah Elohim diterjemah kepada beberapa bahasa suku, seperti Tete Manis bagi Kristian Maluku, Jubata (Kristian Dayak), Diyos (Kristian Filipina), God (Kristian Amerika Syarikat), dan Theos (Kristian Yunani), serta banyak lagi. "Ini yang membezakan Tuhan Islam dan Kristian ... Tuhan Islam sangat konsisten iaitu Allah. "Nama Allah tiada terjemahan atau dialih bahasa, ini harus menjadi ingatan penganut Kristian," katanya. Polemik penggunaan kalimah Allah sejak sekian lama menjadi pertikaian di Malaysia berikutan permohonan akhbar Kristian Katolik Herald untuk menggunakan perkataan itu dalam penerbitannya. Perkataan Allah juga telah diguna pakai sejak lebih 50 tahun lalu dalam Bible berbahasa Melayu, Al-Kitab, di Sabah dan Sarawak untuk penganut Kristian di sana yang kebanyakan adalah penduduk pribumi, yang menerima Bible berbahasa Melayu yang di bawa masuk dari Indonesia. Kalimah itu kemudiannya kembali menjadi topik hangat setelah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng melalui perutusan Krismasnya menggesa kerajaan Barisan Nasional memberikan kebenaran untuk komuniti Kristian menggunakan perkataan tersebut. Tindakan beliau itu kemudiannya mendapat respon pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik, malahan, PAS juga turut membuat ketetapan perkataan itu boleh digunakan bukan Islam, namun tidak boleh ditafsirkan kepada mana-mana bahasa atau sebaliknya. Pakatan Rakyat bagaimanapun mengambil ketetapan perkataan Allah boleh digunakan kelompok bukan Islam. Sultan of Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, melalui Majlis Agama Islam Selangor, juga turut bertitah dan menegaskan perkataan Allah adalah hak Muslim dan golongan bukan Islam dilarang sama sekali menggunakannya. |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan