DIALOG RAKYAT |
- Iklan 'Sayangi BN' dikesan dalam koc komuter
- Jadual Gaji Baru SSM 2013 Untuk Cuepacs Bantu 50,000 Kakitangan Awam Naik Gaji Lagi? SEGERA!
- BR1M 2.0 dibayar mulai Februari
- Pelakon drama Anak Pontianak hadapi tuduhan miliki dadah
- Himpunan 12 Jan: Pakatan harap PM tunai janji
- Tragedi Bukit Setiawangsa: Banglo MP Jamaluddin Jarjis akan diroboh
- Rebat RM200: Tiada had harga beli telefon pintar
- Jakim jangan jadi alat politik
- Banjir Terengganu makin pulih, Kelantan tidak banyak berubah
- Soi Lek sedia letak jawatan jika DAP jadi MB Johor
- Umno: Hadi wajar ditahan jika gagal beri penjelasan
- Amanat Hadi: Rais patut jemput PM sekali, kata Pas
- Deklarasi R: 2013 Tahun Tuntut Royalti
- Sambutan Ambang 2013 P Pinang penuh makna
- Menitip sisa berharga 2012 menuju kemenangan demokrasi dan rakyat
- Pilih PR perintah negara untuk bawa transformasi sebenar
- Pentas astaka Kemaman runtuh tutup tirai 2012
- PKNS optimis pertumbuhan ekonomi Selangor 2013
- Mogok lapar anti-Lynas, Kuantan terus dibayangi gelar “Bandar Radioaktif” Malaysia
- 2013 tahun untuk Rakyat tukar kerajaan rasis, ekstrim
Iklan 'Sayangi BN' dikesan dalam koc komuter Posted: 02 Jan 2013 05:18 AM PST MALAYSIA KINI Selepas kontroversi pemasangan bendera BN dan iklan yang mensasarkan masyarakat Selangor di stesen perhentian dan gerabak KTM Komuter, kini muncul pula iklan "Sayangi BN" di dalam sistem pengangkutan awam tersebut. Tinjauan Malaysiakini pada hari Isnin lalu mendapati, paparan video iklan sepanjang kira-kira tiga minit itu menonjolkan visual pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama kelompok masyarakat. Iklan berkenaan turut menonjolkan logo BN dan slogan "Dikau menjamin harapan", "Yakini BN - Sayangi Selangor" dan "Sekian lama aman sejahtera". Satu sumber di KTMB menyebut, iklan tersebut hanya dipasang di dalam unit set komuter yang baru dari jenis SCS (Six-Car-Set) di sekitar Lembah Klang. Sumber di KTMB yang tidak ingin namanya dinyatakan itu berkata, iklan tersebut mula dipasang di dalam koc berkenaan pada 29 Disember lalu. Tarikh berkenaan merupakan hari pertama Karnival Sayangi Selangor anjuran BN negeri, yang berakhir pada hari Isnin lalu. Sumber berkenaan bagaimanapun tidak dapat menjelaskan tempoh tayangan iklan dalam koc komuter berkenaan, dan sama ada ia merupakan iklan berbayar. April tahun lalu, KTMB menafikan mengeluarkan sebarang arahan berhubung pemasangan bendera BN di beberapa stesen komuter di Selangor. Beberapa bulan selepas itu, iklan "Sayangi Selangor" pula muncul di badan gerabak dan di stesen KTM Komuter, tanpa memaparkan logo BN. Kempen berkenaan antaranya lainnya menonjolkan Najib dengan slogan "Kami mendengar masalah anda tentang kos sara hidup" dan "Kami mendengar dan memahami keperluan anda tentang pendidikan". Pengerusi KTMB, yang juga penyelaras BN Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed ketika diminta menjelaskan isu berkenaan pada Julai tahun lalu sekadar berkata ia merupakan iklan berbayar. Malaysiakini sedang menunggu maklum balas presiden KTMB Datuk Elias Kadir, yang bertegas supaya soalan dikemukakan kepadanya melalui emel, untuk memberi penjelasan mengenai kempen terbaru BN di dalam koc komuter tersebut. | |||||||
Jadual Gaji Baru SSM 2013 Untuk Cuepacs Bantu 50,000 Kakitangan Awam Naik Gaji Lagi? SEGERA! Posted: 02 Jan 2013 05:15 AM PST Jadual Gaji Baru SSM 2013 : Realiti apa yang berlkau di Malaysia melibatkan sektor awam sudah ada berapa kali yang dilaksanakan. Ada yang sudah berjaya, ada yang sudah melepasi tempoh "matangnya", ada yang terkandas di tengah jalan dan ada juga yang perlu diberikan penambaikan. Bermula dengan… Bermula dengan SUFIAN, KABINET, Sistem Saraan Malaysia (SSM), Sistem Saraan Baru (SSB), termausk yang tidak menjadi iaitu Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mana SBPA ini mereka lakukan untuk memberikan penambaikan daripada SSM disebabkan tempohnya sudah melebihi 10 tahun lamanya, sistem tangga gaji menghalang kenaikan gaji @ pergerakan gaji tahunan. Tetapi memandangkan SBPA telah dimansuhkan (perbincangan hangat KLIK SINI), kabinet sedang adakan jawatankuasa untuk menilai & menambahbaik skim sedia ada. Antara yang dicedok daripada SBPA. Antara laiannya ialah :
Sekarang ini apabila SBPA dimansuhkan, pelarasan gaji hanya diberikan sekitar 7-13% (sekali perbincangan HANGAT KLIK SINI). Dan ini tuntutan daripada Cuepacs yang terbaru kepada pihak kerajaan melibatkan nasib 50,000 kakitangan awam… Jadual Gaji Baru : Atasi Masalah Tahap Gaji Maksimum @ Gaji Mati 2013?
Masih lagi dalam Sistem Saraan Malaysia (baru). Jadual Gaji Baru SSM 2013 seperti yang diminta Cuepacs ini adalah bertujuan untuk membantu kalangan kakitangan awam yang "langgar dinding" sahaja. Secara teorinya, jadual gaji baru adalah bertujuan untuk menambah bilangan tangga gaji supaya kalangan kakitangan awam yang telah "langgar dinding" berpeluang untuk naik gaji lagi. Mana-mana yang sudah "langgar dinding" biasanya :
Tahun hadapan (esok sudah tahun baru 2013, sekejap rasanya masa berlalu), berdasarkan sumber yang kami perolehi setakat ini, akan dibuat pelarasan gaji @ jadual gaji baru bagi kalangan kakitangan awam yang sudah mencapai tahap maksimum @ langgar dinding. Banyak isu yang perlu disemak dan difikirkan mengenai "imbuhan" keran ia melibatkan kos yang tinggi. Itu tidak dikirakan elaun dan kemudahan. Apa respon balas nada pula? | |||||||
BR1M 2.0 dibayar mulai Februari Posted: 02 Jan 2013 04:57 AM PST Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0) akan dilaksanakan bermula Februari depan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.Beliau berkata bantuan BR1M 2.0 yang melibatkan peruntukan RM3 bilion itu dijangka memberi manfaat kepada seramai 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang. Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata ketua isi rumah yang tercicir dari senarai penerima BR1M yang lepas atau belum pernah memohon masih berpeluang berbuat demikian. Beliau berkata sebanyak 2,684,916 permohonan baharu untuk BR1M 2.0 (BR1M) telah diterima sehingga hari ini di mana ia melibatkan 1,823,039 individu bujang manakala baki 861,877 diterima daripada isi rumah (keluarga). "Kerajaan menggalakkan lebih ramai individu bujang memohon untuk mendapatkan BR1M 2.0. Pendaftaran akan terus dibuka sehingga satu tarikh yang diumumkan kelak," katanya. Tahun lepas, seramai 4.2 juta penerima mendapat manfaat daripada BR1M, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.1 bilion.- Bernama | |||||||
Pelakon drama Anak Pontianak hadapi tuduhan miliki dadah Posted: 02 Jan 2013 04:46 AM PST Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 26, yang pernah berlakon dalam drama bersiri Anak Pontianak, dan Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, 27, didakwa didakwa secara bersama-sama memiliki pil tersebut. Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh mereka di sebuah kediaman di Jalan PJU 10/1C Damansara Damai di sini, pada 5.30 petang, 30 Disember lalu. Mereka yang juga pelajar kolej swasta didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Majistret Nazri Omran membebaskan Zarina dan Mohamad Fakhruzaim dengan ikat jamin masing-masing RM2,000 beserta seorang penjamin yang terdiri daripada ahli keluarga. Mahkamah menetapkan 8 Februari ini untuk sebutan kes. | |||||||
Himpunan 12 Jan: Pakatan harap PM tunai janji Posted: 02 Jan 2013 04:41 AM PST PETALING JAYA - Kemuncak Himpunan Kebangkitan Rakyat yang dijadual berlangsung 12 Januari ini di Stadium Merdeka tetap akan berlangsung di lokasi yang sudah diuar-uarkan meskipun belum mendapat maklum balas berhubung kebenaran dari pihak yang bertanggungjawab. Pengarah himpunan berkenaan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya tidak bercadang menukar lokasi himpunan yang diharapkan berjaya mengumpul kira-kira sejuta rakyat Malaysia. "Buat masa ini, hanya Stadium Merdeka. Saya yakin PM akan tunai janji," katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis setiausaha Pakatan Rakyat di sini, hari ini. Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu ditanya sama ada terdapat lokasi alternatif lain yang difikirkan jawatankuasa itu sekiranya mendapat halangan dari pihak berkuasa untuk mengadakan himpunan di stadium terbabit. Sebelum ini sudah berlangsung dua siri Himpunan Kebangkitan Rakyat iaitu di Negeri Sembilan pada 3 November dan 17 Disember lalu di Perlis. Menurut Mohamad, kedua-dua perhimpunan itu berjalan dengan jayanya dan mendapat kerjasama baik dari pihak polis. "Kami jamin himpunan ini (Stadium Merdeka) akan berlangsung aman," tegasnya lagi. Himpunan yang bakal berlangsung dua minggu dari sekarang ini akan bermula pada jam 2 hingga 5 petang. Berkonsepkan santai, acara kemuncak pada petang itu adalah bacaan deklarasi rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, pimpinan utama Pakatan Rakyat akan bertemu Ketua Polis Negara bagi membincangkan perkara tersebut dalam tempoh segera. Sementara peringkat kedua diikuti oleh jawatankuasa induk himpunan tersebut akan bertemu Ketua Polis Kuala Lumpur. Kedua-dua surat berhubung perkara itu akan dihantar hari ini. Himpunan ini akan diadakan serentak dengan beberapa negara lain seperti Austalia, Sydney, London dan Dubai. Di ibu negara, himpunan akan disertai oleh pemimpin dan penyokong parti politik termasuk NGO-NGO yang menyokong dasar-dasar pembangkang. | |||||||
Tragedi Bukit Setiawangsa: Banglo MP Jamaluddin Jarjis akan diroboh Posted: 02 Jan 2013 04:37 AM PST KUALA LUMPUR - Banglo milik Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis yang terletak di kawasan tanah runtuh Puncak Setiawangsa, Bukit Setiawangsa di sini, akan diroboh 80 peratus. Ketua Pegawai Operasi Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Mohd Taufik Haron berkata, belum ada sebarang keputusan untuk merobohkan kediaman Jamaluddin, namun pihak pemaju sedang menyediakan kertas cadangan ke arah itu. "Apa yang saya boleh katakan, kemungkinan 80 peratus kediaman beliau perlu dirobohkan kerana telah sedikit terjejas berikutan terdapat pergerakan tanah yang berlaku, tambahan pula kita perlu buat zon penampan," katanya hari ini. Langkah itu juga bagi memberi laluan kepada pembinaan zon penampan untuk mengukuhkan cerun bukit. Katanya, kerja-kerja meroboh sebuah banglo mewah yang terjejas teruk akibat tragedi tanah runtuh di Puncak Setiawangsa berikutan dikhuatiri menjadi beban pada cerun sudah selesai sebanyak 80 peratus. Bagaimanapun, kerja-kerja itu masih dilakukan dengan berhati-hati bimbang berlaku runtuhan yang tidak dijangkakan walaupun tiada pergerakan tanah direkodkan sejak malam hingga pagi tadi. Taufik berkata, proses pembersihan banglo itu bermula semula kira-kira jam 9 pagi tadi. "Walaupun tinggal 20 peratus lagi, kita tidak boleh jangka bila ia akan mengambil masa yang lama mahupun singkat kerana ia masih bergantung kepada keadaan dan beberapa faktor berkaitan termasuk pergerakan tanah," katanya. Kerja-kerja merobohkan sebuah banglo mewah yang terjejas berikutan tragedi tanah runtuh yang berlaku pada malam 29 Disember lalu telah bermula sejak tiga hari lalu. Semalam pihak pemaju membentangkan tempoh kerja-kerja penyelesaian untuk menstabilkan cerun yang dijangka siap pada 31 Januari ini. Proses meroboh banglo itu dijadualkan mengambil masa tujuh hari. | |||||||
Rebat RM200: Tiada had harga beli telefon pintar Posted: 02 Jan 2013 04:33 AM PST SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Jemaah Menteri telah bersetuju agar belia berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan RM3,000 ke bawah boleh membeli apa jua jenis telefon pintar dengan rebat RM200 yang diumumkan kerajaan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan di sini, berkata perkara itu diumumkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementerian tersebut hari ini. Pemberian rebat RM200 itu dilaksanakan di bawah Pakej Komunikasi Belia (PKB) selaras dengan ucapan Belanjawan 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada September lepas. Menurut kenyataan itu, pelaksanaan skim tersebut ialah atas prinsip 'siapa cepat dia dapat'. Tujuh syarikat telekomunikasi yang melaksanakan skim PKB di bawah koordinasi SKMM adalah Celcom, Clixster, DiGi, Maxis, Tune Talk, U Mobile dan YTL Communications. SKMM memperjelaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan PKB sama ada penjual atau peruncit dikenakan syarat harga patut. Dalam kenyataan terdahulu, SKMM memaklumkan hampir 5,500 belia yang layak telah mendaftar untuk mendapatkan rebat itu selepas pendaftarannya dibuka semalam. SKMM turut menasihati para belia yang telah berdaftar untuk membuat pilihan dengan bijak serta meninjau pasaran terlebih dahulu sebelum membeli peranti pilihan berdasarkan tahap kemampuan masing-masing. Pendaftaran di bawah PKB boleh dilakukan secara online dari pukul 7 pagi hingga 11 malam di laman sesawang komunikasibelia.skmm.gov.my. Orang ramai boleh menghubungi hotline SKMM di 1800-88-4040 dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum jika terdapat sebarang pertanyaan. - Bernama | |||||||
Jakim jangan jadi alat politik Posted: 01 Jan 2013 09:44 PM PST SHAH ALAM - Pas mengingatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya tidak menjadi alat permainan politik mana-mana pihak tertentu dalam isu Amanat Haji Hadi. Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, jika Jakim benar-benar telus, isu itu sepatutnya sudah lama diselesaikan dan bukan sekarang baru hendak bertindak. "Saya tidak teruja untuk memanjangkan isu amanat ini. Tapi, mengapa sekarang ini Jakim baru mahu panggil Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedangkan ia dilaung sekitar 30 tahun lalu. "Saya juga tidak pernah dengar ada kajian saintifik mengenai perpecahan orang Melayu hanya disebabkan amanat itu. Lihat sahaja hari ini, orang Melayu masih sama, tiada perbalahan seperti yang dikatakan," katanya, semalam. Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kehidupan masyarakat Melayu di negara ini masih harmoni tanpa ada yang gelisah dengan amanat itu. "Kalau ada pun berlaku perpecahan, ia hanya kes terpencil dan tidak ada kajian kes itu. "Sekali lagi, saya ingatkan, Jakim tidak perlu jadi 'hero' dalam isu ini kerana kami orang Pas tidak pernah anggap apa dikatakan Presiden kami sebagai amanat, sebaliknya kata-kata biasa dalam ceramah," katanya. Katanya, hanya orang luar beranggapan ucapan itu amanat, namun ia tidak beri kesan terhadap ahli Pas. | |||||||
Banjir Terengganu makin pulih, Kelantan tidak banyak berubah Posted: 01 Jan 2013 09:42 PM PST Di Terengganu, 138 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan di tiga daerah iaitu, di daerah Hulu Terengganu seramai 74 orang, diikuti Besut (43 orang) dan Setiu (21 orang), menurut portal banjir negeri. Lima buah pusat penempatan banjir masih dibuka sehingga pukul 9 pagi ini iaitu masing-masing dua di Besut dan Hulu Terengganu manakala satu lagi di Setiu. Di KELANTAN, keadaan banjir di jajahan Pasir Puteh tidak banyak berubah dengan 44 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan pada pagi ini. Menurut portal banjir negeri, seramai 26 orang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil dan 18 orang lagi di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, Pasir Puteh. - Bernama | |||||||
Soi Lek sedia letak jawatan jika DAP jadi MB Johor Posted: 01 Jan 2013 09:35 PM PST JOHOR BAHRU - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membuat pengakuan berani apabila sanggup meletakkan jawatan disandangnya jika wakil DAP berjaya menjadi Menteri Besar Johor. Bagaimanapun, beliau yakin situasi berkenaan tidak berlaku dan mustahil DAP mampu memiliki jawatan nombor satu dalam Kerajaan Negeri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) mampu menawan negeri ini jika menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Soi Lek berkata, jawatan Menteri Besar semestinya akan disandang oleh wakil Pas sekali gus impian untuk DAP memegang jawatan itu tidak akan menjadi kenyataan. "Saya yakin sokongan semua rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) semakin kuat, termasuk masyarakat Cina. Mereka mula sedar jika undi DAP pada pilihan raya, mereka turut undi Pas. "Malah saya berpendapat, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hanya kukuh di Pulau Pinang sahaja, namun tidak di negeri lain. Justeru, kita yakin Johor akan kekal di bawah BN selepas pilihan raya akan datang," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Konsert Sambutan Tahun Baru dan Pameran Pelancongan Taiwan Mini Travel Fair di tempat letak kereta Sutera Mall, di sini, malam kelmarin. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman. Soi Lek berkata, negeri ini juga semakin maju hasil pemerintahan kerajaan BN sejak sekian lama, malah dengan adanya pelbagai projek mega khususnya limpahan daripada Iskandar Malaysia turut memberi manfaat kepada rakyat. "Dalam masa lima tahun sahaja, saya percaya negeri ini mampu mengatasi Selangor hasil daripada pembangunan Iskandar Malaysia. Sementara itu, Abdul Ghani mengakui kira-kira 90 peratus orang Melayu di negeri ini menolak Pas dan beliau yakin BN mampu menang dalam PRU akan datang. "Saya juga ingin mempersoalkan kenapa Salahuddin Ayub (Naib Presiden Pas) tidak bertanding sahaja di Pontian, sedangkan dia berasal dari daerah itu," katanya. | |||||||
Umno: Hadi wajar ditahan jika gagal beri penjelasan Posted: 01 Jan 2013 09:34 PM PST KOTA BHARU - Pihak berwajib disarankan bertindak tegas sekiranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan tampil untuk sesi penjelasan di televisyen setelah menetapkan syarat kepada kerajaan. Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan, Profesor Mohd Noor Deris berkata, Abdul Hadi wajar ditahan dan diambil keterangan seandainya beliau sengaja tidak hadir setelah meminta untuk bersiaran langsung bagi menjelaskan isu yang hangat diperkatakan itu. Saranan Mohd Noor itu adalah berikutan Abdul Hadi sendiri yang menetapkan syarat untuk berdialog selama satu jam secara langsung menerusi televisyen dan tindakan tegas itu perlu kerana tidak mahu kesungguhan kerajaan dilihat sebagai mainan oleh Pas dalam isu Amanat Haji Hadi itu. "Saya melihat Pas ini sudah mencabar banyak perkara, ini bukan perkara main-main, jika tidak hadir juga paksa dia datang, sekiranya tidak mahu pihak berkuasa boleh menahan dia serta disiasat mengikut undang-undang yang ada. "Amanat Haji Hadi ini adalah sesuatu yang boleh membawa mudarat jika ia tidak ditangani dengan baik dan Abdul Hadi itu sendiri perlu jelaskan perkara tersebut kerana ia mengganggu metodologi politik Islam," katanya kepada Sinar Harian semalam. Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk menjemput tokoh agama dan mufti negeri bersama sesi siaran langsung Mohd Noor yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas menegaskan, ia satu cadangan baik. Katanya, perbincangan melibatkan tokoh ulama akan memberi kesan yang besar kepada dunia menerusi kupasan secara jelas apatah lagi boleh menghilangkan kekeliruan didakwa berhubung kait dengan tuduhan kafir sesama Islam ini. "Isu Amanat Haji Hadi ini adalah satu cabaran yang besar kepada negara dan pihak berkaitan tidak boleh berdiam diri kerana dakwaan pegangan ke arah memesongkan ini boleh meracuni maruah, agama, keturunan, ekonomi serta minda," katanya. Sabtu lalu, Abdul Hadi meminta diberi peluang secara langsung selama satu jam untuk menjelaskan amanat yang dibuatnya pada tahun 1981 itu dan beliau bersedia bila-bila masa sahaja menghadirinya. | |||||||
Amanat Hadi: Rais patut jemput PM sekali, kata Pas Posted: 01 Jan 2013 09:32 PM PST SHAH ALAM - Pas menyindir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang berkata mufti dan tokoh agama akan menyertai Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di televisyen dalam sesi penjelasan berkaitan polemik Amanat Haji Hadi. Sehubungan itu, Pas berkata adalah lebih baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir. Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di televisyen bersama Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah lebih baik. Bagaimanapun, Salahuddin berkata, jemputan dibuat itu adalah perkara kedua, yang penting bagi Pas penjelasan amanat presiden perlu dibuat secara langsung di televisyen. Beliau berkata, peluang dan ruang yang adil perlu diberi kepada rakyat tanpa mengira ideologi politik di media. "Bagi saya yang penting perkara itu dapat dijelaskan dan disegerakan. "Namun perkara yang berkaitan jemputan ini nombor dua, yang penting penjelasan yang akan disampaikan Presiden nanti adalah secara langsung," kata beliau kepada Sinar Harian Online. Dalam laporan media kelmarin, Rais berkata, tokoh agama dan mufti akan turut dijemput untuk bersama dalam forum yang akan memberi peluang buat julung kalinya kepada Hadi bagi memperjelas amanatnya yang telah memecah-belahkan umat Islam di Malaysia. Rais berkata, Hadi tidak boleh membuat keputusan bersendirian dan terlalu yakin dengan kebolehan dirinya yang berlatarbelakangkan pendidikan agama "kerana sentiasa ada orang yang lebih bijak daripada kita." "RTM adalah hak rakyat dan ia boleh diguna untuk menjelaskan sesuatu perkara, tapi bukan satu saluran sahaja (Hadi seorang), ia mesti disertai oleh pihak-pihak yang juga ada ilmu, nas dan pengalaman," katanya. Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kerajaan perlu adil dan tidak membezakan hak untuk rakyat menggunkan saluran media sedia ada. | |||||||
Deklarasi R: 2013 Tahun Tuntut Royalti Posted: 01 Jan 2013 04:15 PM PST
KOTA BHARU: "2013 Tahun Tuntut Royalti" terkandung dalam Deklarasi Rakyat 2013 yang diserah Gabungan Professional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (R) kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam. (Sultan Kelantan menandatangani plak tuntutan Royalti) R juga menuntut setiap Rabu diisytiharkan sebagai hari memperingati perjuangan menuntut royalti. Manakala kakitangan kerajaan negeri, agensi-agensi dan syarikat milik kerajaan hendaklah memakai baju korporat kempen "2013 Tahun Tuntut Royalti" atau baju batik berwarna merah. R juga menuntut slogan "2013 Tahun Tuntut Royalti" dijadikan moto rasmi kerajaan negeri dengan menjadikan simbol "R" sebagai logo rasmi kerajaan negeri. R turut menyarankan plak titah Sultan Muhammad V mengenai pendaratan gas ke Kelantan ditampalkan di pejabat dan premis kerajaan negeri. Deklarasi itu juga menyarankan kerajaan negeri hendaklah mewujudkan Urusetia Tuntut Royalti bagi mempastikan perjuangan menuntut royalti menjadi kenyataan. Presiden R, Nazri Deraman berkata, kajian mengenai kesedaran tentang isu royalti dan perbelanjaan atau penggunaan wang hasil royalti wajar dilakukan. "Kerajaan negeri wajar menubuhkan syarikat khusus bagi menguruskan perniagaan dalam bidang petro kimia dan perniagaan hiliran. "Langkah-langkah drastik dari sudut perundangan hendaklah diambil bagi mendapatkan hak bayaran royalti, hak pendaratan minyak dan gas serta hak pembangunan industri petro kimia," katanya di sini. Turut dituntut kerajaan negeri membawa tuntutan royalti ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa. R turut menyarankan setiap kenderaan kerajaan negeri, agensi dan syarikat milik kerajaan negeri hendaklah ditampal sticker "R" atau "2013 Tahun Tuntut Royalti". Kerajaan Negeri juga perlu menandakan sempadan laut Kelantan bagi mengelakkan sebarang pertikaian mengenai hak ke atas telaga minyak dan gas di antara pihak-pihak yang berkepentingan. "Kerajaan negeri juga hendaklah mengambil kira beberapa undang-undang berkaitan dan sempadan Kelantan sebelum menyertai Persekutuan Tanah Melayu," ujarnya. Sementara itu hari ini R melancarkan Misi Cycling For Royalty (C4-R) Kota Bharu-Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di hadapan Kompleks Kota Darulnaim. Pelancaran itu disempurnakan anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood. Hadir sama Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO, Abdul Latif Abdul Rahman dan Presiden R, Nazri Deraman. Pengarah program, Jeming Hassan berkata, program berkenaan bertujuan menyemarakan semangat kebangkitan rakyat dalam isu tuntutan royati yang kini berjumlah RM10.8 bilion. Selain itu bagi menyebarkan maklumat royalti kepada rakyat di negeri-negeri yang dilalui iaitu Terengganu, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur. "Ini merupakan satu mekanisme bagi mengalakkan penyertaan lebih ramai rakyat ke Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari 2013 nanti di Stadium Merdeka," katanya. Sebanyak sembilan penunggang basikal menyertai jelajah itu hari ini ke Kok Lanas sejauh 23 km. Siri jelajah R itu meliputi jarak lebih 700 km. | |||||||
Sambutan Ambang 2013 P Pinang penuh makna Posted: 01 Jan 2013 04:13 PM PST (Skestsa yang dipertontonkan pada semua hadirin.)
BUTTERWORTH: Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menerusi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Pewaris berjaya menyantuni anak muda sempena Sambutan Ambang Tahun Baru 2013 bertempat di Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, Butterworth malam tadi. Program yang berlangsung secara santai itu juga merupakan program menutup tirai tahun 2012. Menurut Pengerusi Generasi Pewaris MAIPP, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuden (gambar bawah kanan), Generasi Pewaris sengaja memilih R&R Bagan Ajam kerana ia bersesuaian dan strateji berikutan ianya terletak bersebelahan dengan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) memudahkan para pengunjung berhenti rehat serta datang bersama keluarga tersayang. Ramai pengunjung rata-rata terpukau dengan persembahan qasidah, boria, sketsa dan konvoi bermotor dari Alternatif Riding Club (ARC) dan Pilot One Biker Club yang datang seramai 130 orang temasuk kapchai sekitar jam 10.00 malam. Apa tidaknya, antara pengisian utama yang dilaksanakan menjurus kepada konsep santai iaitu lebih kepada mendidik bukanya menambah kelalaian rakyat terutamanya pengunjung beragama islam. "Ianya satu kejayaan yang tidak disangka-sangka untuk menutup tirai 2012. Kedatangan tahun 2013 pastinya menambahkan lagi kesungguhan kami untuk terus mendekati para remaja," ujarnya. Ketidak hadiran Yang Dipertua Majlis Agama Islam, Datuk Saleh Man yang dijangkakan pada jam 11.00 malam ekoran tersekat dalam kesesakan jalanraya berdekatan Tol Bukit Tambun tidak mematahkan semangat bahkan diatasi dengan kehadiran ramai sukarelawan dari 11 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Pulau Pinang. Selain persembahan antara yang berucap ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah, celoteh pengerusi majlis, Ustaz Taufik Husin dan paling menyengat perasaan ialah tazkirah dua orang ustaz muda iaitu Ustaz Fawas Mohd Jan dan Ustaz Hanif Harun. Selepas jam 12.00 malam barulah risalah dakwah disebarkan kepada pasangan yang menjadikan malam di R&R rumah kedua bersama pasangan masing-masing. "Itulah tujuan kami sebenarnya. Kita bukan mengherdik atau memarahi mereka sebaliknya sekadar menegur sambil mengajak dengan hikmah. Mudah-mudahan hati mereka boleh dicairkan hasil tindakan yang tidak menyakitkan, " terangnya. Program bersambung lagi hingga ke pagi jelas Afnan, untuk memastikan tiadanya gejala yang kurang sopan. | |||||||
Menitip sisa berharga 2012 menuju kemenangan demokrasi dan rakyat Posted: 01 Jan 2013 04:11 PM PST Oleh Hafiz Zainuddin KIAMAT tidak jadi. Dalam beberapa detik lagi, 2012 bakal tercatat dalam sejarah masa yang diwarnai dengan conteng lorek politik negara yang tak pernah selesai. Daripada politik suku-sakat, politik kepartian, politik jemaah, politik tuhan, politik punggung, sehinggalah kepada politik ahli politik. Segalanya berlalu pantas meninggalkan rekah dan parut yang dalam. Rakyat makin dewasa setelah disajikan dengan rentetan kejadian, trauma dan kesaksian jelek akibat tindakan politik Barisan Nasional (BN). Ia lebih berbekas buat mereka yang merasai hidup penangan tembakan kanister, air asid dan sepak terajang FRU dalam himpunan aman yang pernah diraikan. Struktur masyarakat yang dibina dalam kerangka feudal UMNO-BN sudah lama berakar umbi dalam masyarakat Malaysia. Ia meletakkan sebahagian masyarakat menjadi dangkal dan bantut akal. Doktrin, ajaran, isme yang ditanam UMNO-BN pada minda rakyat bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicabut. Apapun, detik pembodohan massa masyarakat ini semakin berubah dan akibat impak teknologi maklumat dan iklim politik dunia. 2012 menyaksikan kebangkitan dan kesedaran rakyat membedah dan bereksperimentasi dengan proses pendemokrasian negara. Perhimpunan Bersih, Bersih 2.0, Bersih 3.0, perhimpunan mansuhkan ISA, perhimpunan mahasiswa, perhimpunan Hijau, himpunan Oren, tunjuk rasa di Pengerang malah himpunan-himpunan yang dianjurkan UMNO-BN sendiri termasuklah wacana-wacana bebas anjuran media-media utama negara, ia adalah manifestasi perkembangan proses pendemokrasian yang semakin subur. Persoalannya, sejauh mana proses pendemokrasian ini mampu memberi impak perubahan dalam Malaysia sekiranya kepompong demokrasi itu masih berlegar dan dimain dalam kerangka jumud yang dicipta pemerintah UMNO BN? Misalnya himpunan aman Bersih dituduh himpunan yang mahu menggulingkan kerajaan malah lebih berat adalah perhimpunan untuk menghapuskan institusi beraja, melemahkan Melayu dan Islam. Atau mungkin, inilah satu-satunya jalan yang harus ditempuh sebelum mengecap perubahan dan kejayaan perjuangan rakyat yang mahu atau tidak, perlu dituntun komponen oposisi dalam Pakatan Rakyat sebagai wadah rasmi dengan segala kewajaran. . Mungkinkah 2013 peluang terbaik 'jalan mati' buat UMNO-BN? Tidak dinafi, UMNO-BN menuju jalan mati. Apa lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat terlalu lemah untuk mengemudi bahtera partinya yang makin kehilangan anak kapal. Pergelutan kuasa dalam UMNO dengan blok dan perpecahan serius memungkinkan parti itu sekadar mampu berbangga dengan pencapaian sejarah silam 1946. Semua orang tahu, di antara Najib dan Muhyiddin kedua-duanya tidak sekepala biarpun hari demi hari mereka melaungkan kesatuan Melayu, perpaduan umat atau pekikan 1Malaysia. Pembongkaran individu tertentu yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan kejam Altantuya Sharibuu, isu kapal selam Scorpene, indeks rasuah yang semakin memburuk, peningkatan hutang negara dan bebanan hidup rakyat, pengaliran wang haram ke luar negara, isu peribadi sang isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, salah guna kuasa institusi awam seperti Polis, SPR dan SPRM, kematian tahanan dalam lokap dan banyak lagi adalah antara sebab kredibiliti Najib goyah dan tidak mampu mandiri tanpa sokongan lain. Biarpun nama beliau popular disebut orang sebagai anak kepada mantan Perdana Menteri Tun Razak yang berjasa kepada generasi Felda, Najib tetap tersepit di celah kelangkang isteri dengan dihantui beban bebal dosa lampau termasuklah gangguan jelmaan 'hantu Mahathir' yang banyak mengacau segala perencanaannya. 2013 tahun perubahan Selamat tinggal 2012. Malaysia terus dewasa dan semakin menua. Pun demikian, kematangan negara ini menempuh detik usia tidak mempunyai apa-apa makna selagi kita, rakyat dan seluruh makhluk yang melata masih takut, menagih simpati belas ehsan kerajaan yang rakus, dayus, angkuh, yang berselingkuh dengan segala macam konspirasi dan keserakahan. Biarpun 2012 menutupkan jendelanya dengan seribu satu rasa. Tanggungjawab meneruskan perjuangan anak bangsa Malaysia tidak bererti perlu diulang dan dirangka semula dari bawah. Kita, rakyat yang sedar dan patriot telah memulai satu lembaran baru sejak berlakunya Tsunami politik 2008. Hujan penghujung Disember ini harus tidak akan melemahkan kita untuk terus berjuang mematahkan segala kerja buat UMNO-BN yang rancak membakar api perkauman dan agama yang tidak pernah berhenti. Begitu juga kita dan rakyat seluruhnya yang perlu sedia beraksi menjadi pencerah pemikiran dan menjadikan diri sebagai korban untuk perubahan. Perjuangan murni memartabat dasar kebangsaan, menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, teguh bersama Perlembagaan, haruslah terus diberi keutamaan memainkan peranan mencerahkan segala kekaburan yang dilontarkan. Biar ombak menghempas pantai, biar ribut datang melanda. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Selamat Tahun Baru 2013! –Roketkini.com | |||||||
Pilih PR perintah negara untuk bawa transformasi sebenar Posted: 01 Jan 2013 04:07 PM PST Roketkini.com Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ini kerana selama hampir empat tahun janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan satu demi satu program transformasi iaitu ekonomi, politik, pendidikan dan sosial dan jenayah, namun semuanya bukan membawa transformasi sebaliknya kepada kecacatan (deformasi) negara. Katanya, yang dicapai daripada semua pengumuman dan inisiatif itu adalah gelaran "Negara Akronim" sementara kecacatan negara dalam semua aspek kehidupan masih berterusan. "Rakyat akan mengenang pemerintahan Najib selama empat tahun sebagai pentadbiran yang merudum dalam pelbagai indeks global yang ditonjol melalui tiga laporan antarabangsa pada bulan terakhir 2012," katanya dalam mesej Tahun Baru 2013. Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, ketika pemerintahan Najib Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) Malaysia menjunam ke paras paling rendah dalam tempoh 18 tahun iaitu pada kedudukan ke-56 pada 2009 dan 2010, ke-60 (2011) dan ke-54 pada 2012 berbanding kedudukan paling teruk ke- 23 ketika Mahathir dan ke-47 ketika Tun Abdullah. "Ini menunjukkan rasuah di bawah Najib lebih buruk berbanding di bawah semua Perdana Menteri sebelum ini termasuk Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah. "Laporan Global Finance Intergrity pula Malaysia dengan populasi 28 juta berada di tempat pertama dalam pengaliran keluar wang haram, samada dalam bentuk wang gelap pada 2010 iaitu sebanyak RM196.8 bilion dan sebanyan RM871 bilion dalam tempoh antara 2000 hingga 2010," katanya. Selain itu, katanya, tahap pencapaian pelajar Malaysia dalam matematik dan sains juga teruk iaitu berada pada kedudukan ke-26 dalam matematik dan ke-32 dalam sains berbanding pelajar negara lain berdasarkan kajian TIMSS 2011. Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua rakyat Malaysia. – Roketkini.com | |||||||
Pentas astaka Kemaman runtuh tutup tirai 2012 Posted: 01 Jan 2013 04:03 PM PST
KEMAMAN: Negeri Terengganu Darul Iman menutup tirai 2012 dengan insiden bumbung pentas astaka di Taman Bandar Chukai, Kemaman runtuh pada 30 Disember lalu. Kejadian 'runtuh' seolah-olah badi bagi negeri ini selepas kejadian bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu runtuh pada 2 Jun 2009. Tinjauan Harakahdaily mendapati sengkuap (awning) di pentas astaka berkenaan runtuh menyembah bumi dipercayai strukturnya yang lemah serta reput sekitar jam 2.30 petang. Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, Hanafiah Mat menggesa agar siasatan perlu dibuat secara telus bagi memastikan punca sebenar sebahagian bumbung astaka itu runtuh. Ini kerana, katanya kejadian runtuh, roboh dan tumbang banyak berlaku di negeri ini seolah-olah membenarkan jolokan gelaran 'Terengganu Darul Runtuh' yang memalukan. | |||||||
PKNS optimis pertumbuhan ekonomi Selangor 2013 Posted: 01 Jan 2013 03:58 PM PST
KUALA LUMPUR: Walaupun suasana ekonomi negara dan global masih suram, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) optimis dengan pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor dan Malaysia bagi tahun 2013. "Pada tahun lepas, cabaran ekonomi dan sosial yang getir telah dilalui oleh PKNS dengan tekad dan komitmen yang lebih jitu untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat," ujar Pengurus Besar PKNS, Othman Omar (gambar) dalam satu kenyataan. Berikut kenyataan penuh beliau. Walaupun suasana ekonomi negara dan global masih suram, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) optimis dengan pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor dan Malaysia bagi tahun 2013. Pada tahun lepas, cabaran ekonomi dan sosial yang getir telah dilalui oleh PKNS dengan tekad dan komitmen yang lebih jitu untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat. PKNS telah mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan dari sudut pembangunan bisnes dan korporat antaranya termasuk: 1. Projek perumahan di Alam Nusantara, Setia Alam dan Seksyen 24, Shah Alam habis dijual dalam masa 6 jam selepas dilancarkan. Tiada stok hartanah PKNS di luar Lembah Klang seperti Antara Gapi, Kota Puteri dan Bernam Jaya yang kesemuanya habis dijual. 2. PKNS telah membayar kesemua hutangnya (zero gearing) dan kini berada dalam kedudukan kewangan yang begitu kukuh. Keuntungan PKNS pada tahun 2012 dijangka mencecah RM300 juta meneruskan pencapaian cemerlang dan konsisten sejak 2008. 3. Projek perumahan mampu milik di Bukit Botak, Selayang kini dalam fasa terakhir dan dijangka siap pada Mac 2013. Sebanyak 1,422 unit rumah berkembar disiapkan oleh PKNS dalam tempoh tidak sampai 18 bulan setelah terbengkalai hampir tiga puluh tahun ianya terbengkalai akibat pemaju sebelumnya. Kos pembinaan berjumlah hampir RM260 juta di mana PKNS menanggung subsidi sebanyak RM80 juta. Setiap unit rumah dijual pada harga RM99,000 seunit di bawah harga pasaran sebanyak RM300,000 seunit. 4. PKNS turut menanggung subsidi berjumlah RM12 juta untuk membina 124 unit pangsapuri 6-tingkat perumahan mampu milik di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi yang dijangka siap pada Jun 2013. Malah, PKNS akan membelanjakan sebanyak RM1.1 bilion untuk membina 12,000 unit rumah mampu milik di seluruh Negeri Selangor dalam tempoh 8 tahun sehingga tahun 2020. 5. Pada tahun 2012, PKNS telah dianugerahkan sebagai Top 10 Property Developer Di Asia Tenggara oleh BCI Asia Awards. Projek Datum Jelatek, Kuala Lumpur oleh Datumcorp International (milik penuh PKNS) turut menerima anugerah Most Iconic Design of The Year oleh Malaysian Reserve Editors' Choice Property Awards. 6. PKNS merupakan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri pertama di dalam negara yang menandatangani Lafaz Integriti Korporat (Corporate Integrity Pledge) dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). PKNS turut mencatatkan penjimatan (bottomline savings) melebihi RM100 juta pada tahun 2012 hasil daripada inisiatif integriti menerusi proses tender terbuka. 7. Penubuhan PKNS Real Estate (milik penuh PKNS) pada tahun 2012, yang fokus dalam pelaburan dan pengurusan hartanah untuk meningkatkan nilai aset serta menjana pendapatan berterusan bagi PKNS. Ini akan menjadi salah satu aktiviti teras bisnes PKNS. 8. Pembuatan Halal Sutures oleh Worldwide Medivest Sdn Bhd (milik penuh PKNS) akan mula beroperasi pada suku kedua tahun 2013. Alatan perubatan (sutures) ini merupakan yang pertama menurut perakuan syariah di dalam negara dan rantau ini. 9. Rangkaian hotel syariah terulung negara, Hotel De Palma (milik penuh PKNS) telah dianugerahkan piawaian Islamic Standard Quality (ISQ) pada tahun 2012. 10. Pembangunan usahawan Bumiputera merupakan salah satu fokus utama PKNS dan akan memperuntukkan lebih daripada RM15 juta pada tahun 2013 menerusi pelbagai program pembangunan usahawan dan pelbagai subsidi. Pada tahun 2013, PKNS akan terus menumpukan usaha menerusi aktiviti-aktiviti teras bisnes dalam pembangunan hartanah di Antara Gapi, Kota Puteri, Bernam Jaya dan banyak lagi kawasan-kawasan strategik dan berpotensi. Projek-projek perumahan mampu milik akan diteruskan dengan lebih aktif di Antara Gapi, Bernam Jaya, Kota Puteri, Taman Sains Selangor 2, Seksyen U12 Petaling, dan di banyak lokasi lain seluruh Negeri Selangor. Kesemua pencapaian ini membuktikan bahawa PKNS terbukti sebagai jenama yang dipercayai, berkredibiliti tinggi serta diterima ramai. Pada masa yang sama, pihak pengurusan PKNS dengan penuh rasa tawadduk dan rendah diri sedar bahawa pencapaian ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dan kepercayaan kerajaan, pihak berkuasa, rakan-rakan kongsi dan rakyat. PKNS ingin menegaskan tekad dan komitmen organisasi untuk terus mempertingkatkan ekonomi Bumiputera dan rakyat Negeri Selangor menerusi pelbagai program ekonomi, pembangunan usahawan, pendidikan dan tanggungjawab sosial korporat. Semoga tahun 2013 yang bakal mendatang akan membawa harapan baru kepada rakyat Negeri Selangor, khasnya dan Malaysia, amnya. | |||||||
Mogok lapar anti-Lynas, Kuantan terus dibayangi gelar “Bandar Radioaktif” Malaysia Posted: 01 Jan 2013 03:56 PM PST Oleh Hafiz Zainuddin Kumpulan yang dinamakan "Anak Muda Menentang Projek Memudaratkan Alam Sekitar" sedang mogok lapar 100 jam sehingga jam 12 tengah malam esok, 1 Januari 2013. Mogok lapar, seperti Ghandi demi kemerdekaan India, seperti Orlando Zapata yang berlapar di penjara Cuba sehinnga hujung nyawanya, Fadzlullah dan Razali berlapar ketika ditahan ISA demi kebebasan. Namun, tindakan mereka tidak dipeduli kerajaan Ini membuktikan kerajaan BN terlalu angkuh untuk belajar daripada pencemaran radioaktif yang berlaku di Papan, Perak dan tidak lama lagi bumi Kuantan pula akan dinobat gelaran 'bandar radioaktif'. Ketika penduduk Bukit Koman menjadi mangsa santau angin Sianida, kerajaan pula bersikap 'tuli', enggan mendengar segala teguran, rayuan dan tuntutan rakyat, apa lagi permintaan penduduk setempat untuk dibela dan diselamatkan. Atau mungkin, kerajaan punya strategi. Mahu harga tanah di kawasan itu jatuh dan penduduk mula berpindah kemudian membangunkan bandar baru dengan segala insentif dan jaminan kepada pelabur dan pemaju. Siapa tahu, apapun spekulasi yang timbul, masyarakat cuma akan bangkit apabila masalah menghempap batang hidung. Ini lebih cocok dengan budaya rakyat Malaysia mungkin? Mengharap ehsan kerajaan: hentikan Lynas Di bucu itu, dalam tenggelam timbul suara Arulchelvan daripada PSM memberi ucapan, seorang lelaki sedang berbaring dengan tangannya diikat dengan kain bernombor A20. Lee Chin Chen, 28, adalah seorang daripada peserta mogok lapar itu. Beliau bingkas duduk apabila saya menyapa. Chin Chen adalah anak muda yang berasal dari Kuantan. Sambil membetulkan sleeping bag, menurutnya sehingga hari ini, beliau sudah 50 jam tidak menjamah sebarang makanan kecuali meneguk air kosong. "Saya anak Kuantan. Ini isu besar bagi saya," katanya sambil bersandar di balik tembok kecil beralaskan tikar. Apabila ditanya mengapa beliau menyertai mogok lapar itu. Chin Chen yang juga seorang Pemuda DAPSY Pahang berkata, ini antara cara yang boleh digunakan. "Sebelum ini pun kita pernah berhimpun beberapa kali sehingga berjalan kaki 14 hari dari Kuantan ke kuala Lumpur. tapi keadaan tetap sama. Kerajaan tetap berdegil dan tidak buat apa-apa. "Kali ini kita harap kerajaan akan dengar suara kita, prihatin terhadap risiko yang bakal dihadapi Kuantan, Bukit Koman dan Malaysia!," tegasnya yang kelihatan lemah. "Saya bukan daripada mana-mana parti atau NGO" Selesai saja bersembang dan menemubual Chin Chen, mata saya terarah kepada seorang wanita yang asyik mendengar ucapan dan di sebelahnya seorang teman yang berkerusi roda. Saya merapati mereka. Hanya mahu dikenali sebagai Kak Kamilah, 40, beliau yang berasal dari Serdang turut serta dalam mogok lapar itu atas kesedaran dan keperihatinannya dengan masalah yang sedang membelenggu penduduk Kuantan. "Akak ada di sini nak tunjukkan rasa marah akak, sedih dan protes kenapa sampai sekarang kerajaan nampaknya tidak langsung peduli mengenai isu ini. Ini isu besar dan bukan isu main-main," tegasnya. Dalam santai menjawab soalan yang dilontarkan, beliau yang hadir dengan kehendak sendiri dan bukan ahli mana-mana NGO atau parti politik turut kesal terhadap kerajaan BN kerana mereka seolah-olah tidak mahu memikirkan nasib generasi akan datang. Seorang lagi peserta mogok lapar yang ditemui yang hanya mahu dikenali sebagai Zamri, 24, berkata rakyat tidak mempunyai banyak masa lagi untuk berdiam diri kerana operasi Lynas akan dimulakan bila-bila masa saja dan ia harus dihentikan. "Saya sangat sedih dengan respon kerajaan BN. Mereka tak tunjuk rasa hormat dan keperihatinan mereka kepada rakyat. "Saya di sini untuk menunjukkan sokongan kepada perjuangan. Kita nak hentikan projek Lynas, termasuk isu pencemaran cynade di Bukit Koman," katanya yang juga berasal dari Pahang. "DAPSY sokong penuh tuntutan ini" Malam sudah hampir jam 10 tetapi orang ramai terus membanjiri bucu kecil, sisa Dataran Merdeka yang 'ditawan' peserta mogok lapar. Sambil meninjau dan bertegur sapa dengan beberapa teman yang hadir, saya berkesempatan bertemu Ketua Pemuda DAPSY Selangor, Chua Yew Chung. Menurutnya, DAPSY Selangor menyokong penuh usaha itu agar kerajaan segera bertindak terhadap semua isu alam sekitar yang timbul terutamanya isu Lynas di Kuantan dan perlombongan menggunakan bahan kimia Sianida di Bukit Koman. "Saya berharap, tidak ada perkara buruk yang berlaku dan setinggi-tinggi tahniah buat mereka yang berani mogok lapar menyuarakan hasrat mereka. "Saya percaya perjuangan mereka mewakili seluruh penduduk Kuantan dan Bukit Koman," katanya. Dalam masa sama, Chua berkata, sebagai tanda solidariti, DAPSY Selangor membekalkan 10 dozen air mineral dan 200 pasang ear plug kepada peserta mogok lapar disebabkan mungkin wujud gangguan bunyi daripada latihan persembahan sambutan tahun baru yang diadakan. Sudah tiba masanya untuk bangkit Apabila sebahagian rakyat turun ke jalan menuntut pilihan raya bersih, harga minyak dan gula dikurangkan, tol dimansuhkan dan gaji dinaikkan; sebahagian yang lain pula boleh secara sinikal berkata "bersyukurlah, asal jangan huru hara, asal jangan hilang kerja. Lainlah kalau minyak naik seringgit, lainlah kalau tol naik beringgit-ringgit." Walhal, mereka dan kita pada masa yang sama saban bulan mengeluh akibat kurang modal belanja, simpanan makin berkurang, ada yang terpaksa menjual nasi lemak di pejabat, masuk MLM dengan segala janji manisnya, perokok pula mula menukar rokok dengan jenama murah dan semakin lama, banyak nama terpampang di ruang iklan dalam senarai muflis. Benar. Projek Lynas belum menampakkan taringnya, belum cukup untuk membelasah lapangan tanah subur dan udara segar bumi Pahang. Adakah hanya kecelakaan yang boleh mengajar kita? Semangat yang ditunjukkan peserta mogok lapar demi bumi tercinta adalah kerja buat yang mulia dan tersanjung biarpun kerajaan BN terus membutakan mata mereka. Justeru, seluruh rakyat Malaysia harus sedar, walaupun diam itu kadang-kadang lebih baik, tetapi tidak berdosa juga kiranya bangkit menegur dan suarakan bantahan. 12 Januari ini bakal menyaksikan satu lagi sejarah bakal tercatat dalam lembaran Malaysia pasca merdeka. Dari Kuantan, Bukit Koman, dari kampung, Felda dan bandar besar, ayuh kita pekikkan suara keadilan, suara kedamaian, suara kebebasan! – Roketkini.com | |||||||
2013 tahun untuk Rakyat tukar kerajaan rasis, ekstrim Posted: 01 Jan 2013 03:51 PM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR: Jika Malaysia ingin kembali ke jalan yang lurus dari segi ekonomi dan hak politik, 2013 harus menjadi tentangan rakyat, bukannya menentang siapa yang lebih rasis dan ekstrim. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, 2013 adalah tahun penting bagi rakyat Malaysia mengubah kerajaan berusia 56 tahun yang takut kepada idea baru kerana mereka sudah hilang idea dan membelakangi prinsip keadilan, kebebasan, kebenaran, demokrasi dan integriti dalam pentadbiran. Katanya, jika rakyat ingin mengatasi golongan yang mahu memecah-belahkan perpaduan kaum dan agama, rakyat harus ingat selain pelbagai sejarah, mereka juga terikat dengan sejarah kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan sejak 1957. Beliau berkata, bagi mengurangkan jurang, membina kepercayaan dan memperluaskan sokongan untuk mengeratkan perhubungan antara semua rakyat, dasar bukan saja harus sah dari segi undang-undang tetapi juga sah dari segi moral, politik dan umum. "Prestasi di luar jangkaan tiga negara Asean harus menjadi panduan yang memanfaatkan sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang memberi tumpuan kepada prestasi. Thailand jauh melebihi jangkaan khususnya sektor pelancongan dengan pertumbuhan paling tinggi sebagai destinasi pelancongan nombor satu, sementara pasaran sahamnya untuk 2012 adalah pasaran yang paling berprestasi di Asia dengan peningkatan 37 peratus berbanding 2011. "Filipina pula adalah negara tumpuan dengan kadar pertumbuhan ekonomi melebihi enam peratus sementara pasaran sahamnya meningkat 33 peratus berbanding 2011. Manakala Indonesia adalah bintang Asean, bukan saja kerana saiznya tetapi kerana perangkaan pertumbuhan yang mengkagumkan," katanya dalam perutusan Tahun Baru 2013. Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, tiga negara memberi manfaat daripada populasi muda yang mahir dan kerajaan yang mementingkan ekonomi daripada politik, memilih prestasi dan polisi daripada ekstremisme kaum dan agama serta pemimpin yang memperjuangkan integriti dan menghukum korupsi. "Rakyat Malaysia harus memberi perhatian kepada kejayaan tiga negara berkenaan dan memastikan kelakuan yang tidak baik tidak mendapat ganjaran tetapi dihukum serta menolak BN yang mengamalkan korupsi. "Taktik memfitnah dan menakutkan rakyat bahwa perubahan akan membawa kepada Negara Kristian atau Negara Islam tidak akan laku lagi apabila Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang paling penting adalah demi kesejahteraan rakyat," katanya. Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka akan diadakan sebelum April 2013 harus berkisar pada persoalan parti manakah yang dapat menjanjikan kejayaan kepada mereka yang jujur, berusaha kuat, melabur pada masa depan dan mematuhi undang-undang dalam Malaysia yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat. – Roketkini.com |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan