tuan-ibrahim-tuan-man
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan Pas Pusat
TEMERLOH - Pas menyifatkan kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil membayangkan tragedi 13 Mei 1969 akan berulang jika Umno hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti merupakan ketakutan Umno untuk berdepan pilihan raya.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen, kenyataan itu sangat tidak wajar kerana berbaur hasutan melampau.

Sehubungan itu katanya, polis diminta bertindak segera kerana mendakwa kenyataan emosional Shahrizat itu jelas berupa ugutan kepada rakyat.
Beliau turut menyangkal dakwaan perubahan kuasa politik dan kejatuhan Umno pada PRU13 akan menggugat kedudukan orang Melayu kerana parti akan menggantikan Umno ialah Pas yang terdiri daripada orang Islam berbangsa Melayu.


"Kenyataan beliau jelas menggambarkan kegerunan Umno berhadapan dengan PRU13," katanya dalam satu majlis, di sini.

Kenyataan Shahrizat itu dimuatkan dalam teks ucapan beliau semasa Perhimpunan Agung Wanita Umno di Dewan Merdeka, semalam.

Dalam teks tersebut, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, jika Umno tidak lagi berada di tampuk kuasa, kestabilan politik akan goyang dan pastinya kaum Melayu juga rakyat majoriti tidak akan senang.

Katanya, beliau bimbang keadaan itu akan membawa kepada ketegangan kaum sekali gus mengulangi tragedi 13 Mei 1969.

"Kenyataan itu jelas berbentuk ancaman, seolah-olah mereka akan berusaha mencetuskan huru-hara jika Umno kalah. Mereka cuba takutkan rakyat dengan mendakwa tragedi akan berulang jika Pakatan Rakyat (PR) ambil alih kuasa," katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat turut mengesyorkan Pas di semua peringkat membuat laporan polis berhubung kenyataan Shahrizat disifatkan 'bahaya' itu. - SINAR

"Kita minta polis mengambil tindakan segera sebagai tindakan mencegah sebelum sesuatu tidak diingini berlaku," katanya.