DATUK SERI LAJIM UKIN sebagai pemimpin veteran Sabah, mengejutkan dunia politik negara apabila beliau bertindak keluar parti ketika rakyat negara ini ternanti-nanti tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
LAJIM UKIN
Dengan Pakatan Rakyat (PR) tidak berhenti-henti berkempen di Negeri Bawah Bayu ini, ramai penganalisis melihat pembangkang mampu membuat kejutan di negeri ini sekali gus mencerahkan peluang PR merampas Putrajaya.

Persoalannya sekarang, adakah Lajim mampu memberi daya tujah tambahan kepada usaha PR? Ikuti wawancara khas Sinar Harian, MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN dan jurugambar, SAFWAN MANSOR menyingkap tindakan Lajim.

Kenapa Datuk memilih keluar Umno dan Barisan Nasional (BN) sekarang?

Saya keluar kerana Umno terutamanya di Sabah bukan lagi seperti Umno dahulu. Umno Sabah sudah dikuasai oleh Pengerusi Perhubungan Umno Negeri sendiri, Datuk Seri Musa Aman. Apa sahaja yang beliau lakukan adalah monopoli dan tiada orang lain boleh menegur. Selain itu, tiada dasar konkrit Umno di Sabah untuk mengatasi masalah yang dihadapi rakyat termasuklah di kawasan saya.